Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Sunday, November 7, 2010

PAS Kedah perlu sumbangan bantu mangsa banjir

Izwan Abdul Halim

ALOR SETAR, 6 Nov: PAS Negeri Kedah telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut dalam usaha memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, bilik gerakan tersebut akan beroperasi 24 jam dan akan mengkoordinasikan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa banjir.

PAS Kedah juga, katanya, telah menyusun tenaga sukarelawannya terdiri daripada Pemuda, Muslimat, Unit Amal dan Nisa’ untuk menjayakan bantuan tersebut.

Tambahnya, pada ketika ini pihak PAS Kedah amat memerlukan sumbangan orang ramai berupa air mineral, tuala wanita, lampin bayi dan biskut.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang prihatin untuk membantu usaha tersebut melalui sumbangan terus ke bilik gerakan banjir.

Katanya lagi, para dermawan yang berhasrat untuk turut serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir juga boleh terus berhubung dengan PAS Kedah agar kenderaan dan lokasi penyerahan sumbangan dapat ditentukan.

Sumbangan wang tunai juga boleh dihulurkan melalui akaun Maybank 552170001133 atas nama Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.

Sebarang pertanyaan boleh menghubunginya di talian 012-482 7563 atau Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya di talian 019-4704740 dan 04-748 1120.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29353:pas-kedah-perlu-sumbangan-bantu-mangsa-banjir&catid=1:utama&Itemid=50

Wednesday, August 26, 2009

Hukuman rotan syariah tidak melukakan



Hukuman rotan syariah tidak melukakan
Abdul Hadi Awang
Ogos 26, 09
5:51pm

Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.

Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!


Artikel ini diterbitkan sepenuhnya daripada kenyataan media Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

http://www1.malaysiakini.com/news/111478

PAS tolak hapus hukuman sebat

Ogos 26, 09 1:19pm
PAS menolak gesaan Majlis Peguam kepada kerajaan supaya menghapuskan hukuman sebat bagi apa jua kesalahan jenayah.

"Hujah yang diberikan oleh Majlis Peguam untuk menyokong gesaannya itu dianggap tidak tepat dan tidak kukuh," kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Sebaliknya, kata beliau, setiap hukuman yang telah ditetapkan dalam sistem perundangan negara buat masa ini adalah berasas "dan ia merupakan satu hukuman bagi mengajar pesalah dan rakyat di negara ini".


Dalam Islam, katanya, hukuman yang hendak dilaksanakan mestilah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada manusia supaya tidak mengulangi jenayah yang terkutuk samada oleh penjenayah mahupun rakyat umumnya.

"Malah, hukuman sebat ini disebut oleh Allah SWT dalam Al-Qur'an serta hadith-hadith yang muktabar dan pernah dilaksanakan oleh sahabat Rasulullah SAW sendiri.

"Kita harus sedar bahawa peningkatan kadar jenayah saban tahun adalah salah satunya berpunca daripada hukuman yang dijalankan kurang memberikan kesan psikologi dan jiwa kepada pesalah dan masyarakat.

"Ia tidak menggerunkan kita. Oleh yang demikian, rakyat tidak takut untuk melakukan kesalahan dan jenayah,"
katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, katanya, setelah Mahkamah Syariah membuat keputusan demikian, beliau (Kartika) redha dan mahu untuk dilaksanakan hukuman tersebut atas dasar keinsafan dan takut kepada hukuman Allah SWT di hari akhirat nanti.

"Malah, beliau juga menolak untuk menyaman mana-mana pihak dan mahu untuk menyegerakan hukuman tersebut.

"Saya berharap agar beliau benar-benar insaf dan menjadi insan yang bertaqwa. Saya berpendapat agar Majlis Peguam meneliti saranannya itu,"
kata Nasharuddin.

PAS, katanya, bersedia untuk bermuzakarah dengan mereka bagi berbincang mengenai perkara ini.

"Saya juga menyarankan agar pihak peguam syari'e di Malaysia dapat menjalankan aktiviti penerangan dan dialog bersama Majlis Peguam dan masyarakat supaya entiti dan sistem perundangan Syariah di Malaysia dimartabatkan," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/111434

Tuesday, May 19, 2009

MCA tak restu pertemuan Chua-Husam

May 19, 09 3:13pm
MCA tidak memberi kebenaran atau restu kepada timbalan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk mengadakan perbincangan dengan naib presiden PAS, Datuk Husam Musa mengenai krisis politik di Perak, kata presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat.

chua soi lek mca pc 171108 05Pucuk pimpinan parti hanya diberitahu mengenai perbincangan itu oleh Chua semalam, katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkara itu yang tersiar dalam blog Chua semalam.

Selain isu Perak, Chua yang disertai anaknya yang merupakan ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong, telah membincangkan isu-isu politik secara am dan mereka bersetuju bahawa kini terdapat amalan politiking yang keterlaluan di negara ini, lapor Bernama.

Sementara itu, di Petaling Jaya, wartawan Malaysiakini, Abdul Rahim Sabri melaporkan bahawa Chua memberitahu satu sidang akhbar bahawa beliau bertemu Husam atas kapasiti peribadi.

Dalam pertemuan tersebut, katanya, beliau memberitahu Husam bahawa selaras dengan amalan demokrasi, apabila mahkamah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah, maka beliau (Nizar) seharunya memanggil sidang DUN tergempar.

"Kalau dapat sokongan majoriti, kita ucaphkan tahniah kepadanya," tegas Chua.

Bagaimanapun, katanya, jika Nizar gagal mendapat sokongan majoriti DUN, maka beliau (Nizar) perlu memilih satu daripada dua pilihah:

Pertama, menghadap Sultan Perak dan nyatakan bahawa beliau (Nizar) tidak mendapat sokongan majoriti, dan menyerahkan kuasa kepada pihak yang mendapat sokongan majoriti di DUN Perak; atau 

Kedua, jika Nizar tidak mahu berbuat demikian, maka beliau harus menyatakan kepada baginda bahawa beliau tidak mendapat sokongan majoriti dan menasihatkan baginda supaya membubarkan DUN.

Dalam pertemuan itu juga, Chua berkata, Husam memberi gambaran seolah-olah BN telah merampas kuasa dahulu di Perak.

Bagaimanapun, katanya, beliau memberitahu husam bahawa tanggapan tersebut adalah tidak adil.

Sementara itu, katanya, kedua-dua pihak telah diharuskan oleh perdana menteri untuk duduk semeja berbincang dan mencari jalan untuk menyelesaikan krisis politik itu demi kepentingan rakyat.

http://www1.malaysiakini.com/news/104623

Chua-Husam bincang 'isu sensitif'

May 18, 09 7:13pm
Pertemuan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, asalnya bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Perak. 

Bagaimanapun kenyataan bekas menteri kesihatan itu boleh menimbulkan spekulasi baru apabila menyatakan terdapat "isu-isu sensitif" yang mereka bincangkan dan "tidak boleh dilaporkan." 

Bekas ahli parlimen Labis itu menjelaskan, mereka berdua juga membincangkan isu-isu politik negara, selain krisis rampasan kuasa BN di negeri tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, pihak MCA turut diwakili oleh anaknya dan ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong dan juga ahli jawatankuasa pusat parti itu Loh Seng Kok. 

Dr Chua menjadi perhatian nasional akhir-akhir ini apabila muncul spekulasi beliau akan melompat kepada Pakatan Rakyat selepas didakwa telah dipinggirkan dalam partinya sendiri.

Selepas pertemuan mereka hari ini, Husam gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut. 

Dalam kenyataannya, Dr Chua juga berkata orang ramai kini muak dengan permainan politik berlebihan antara BN dan Pakatan Rakyat, selain krisis berlarutan di Perak sejak Februari lalu.

Pertemuan dua pemimpin itu diusahakan oleh Husam dalam rangka PAS mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin BN. 

Sabtu lalu, beliau mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pertemuan PAS-MCA itu, Dr Chua berkata beliau menyatakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, jika disahkan sebagai menteri besar Perak, wajar mengadakan sidang tergempar DUN bagi menguji sokongan yang diperolehinya.

Tambahnya, jika gagal mendapat sokongan, beliau wajar meletakkan jawatan dan membenarkan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil alih kerajaan.

Atau, tambah Dr Chua, Mohammad Nizar membubarkan DUN dengan keizinan Sultan Perak. 

"Bagaimanapun, saya juga menjelaskan bahawa sama ada Pakatan Rakyat atau BN berjaya, mereka tidak akan boleh membentuk kerajaan yang stabil," katanya lagi. 

"Kami setuju bahawa terlalu banyak permainan politik buat masa sekarang. Rakyat sudah meluat pada ahli-ahli politik."

http://www1.malaysiakini.com/news/104582

Friday, November 21, 2008

Siapa batal MoU Universiti al-Azhar?


Jimadie Shah Othman Nov 21, 08 3:33pm

Pemuda PAS menuntut Malaysia menjelaskan pihak sebenar yang membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti al-Azhar dan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Naib ketua dewan itu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan universiti itu bahawa pembatalan MoU itu bukanlah atas kehendak universiti tersohor tetapi kerajaan Malaysia sendiri.

"Bila kita berjumpa pengurusan al-Azhar, al-Azhar kata bukan mereka yang batalkan, tetapi kehendak kerajaan Malaysia," jelasnya kepada Malaysiakini selepas menyerahkan memorandum kepada perdana menteri di Putrajaya semalam.

Azman Shapawi menambah, Pemuda PAS bertemu dengan pihak Universiti al-Azhar di Kaherah awal bulan ini.

Beliau berkata, penjelasan universiti itu bertentangan sama sekali dengan kenyataan kerajaan sebelum itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ogos lalu yang mendakwa pembatalan MoU itu akibat pencapaian rendah pelajar Malaysia, terutamanya penguasaan bahasa Arab.

Pembatalan itu didakwa dibuat oleh majlis tertinggi al-Azhar yang dipengerusikan oleh al-Imam al-Akhbar sendiri.

Menurut sayap kanan PAS itu, dalam memorandum, pembatalan itu menimbulkan masalah kepada 5,000 pelajar di 18 kampus.

Pemuda PAS menyerahkan memorandum kepada pejabat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya agar perjanjian itu disambung kembali.

Memorandum empat muka surat itu, antaranya, mendesak Kedutaan Malaysia di Mesir memainkan peranan menyelesaikan perkara itu "dengan lebih amanah".

Dalam memorandum itu juga, Pemuda PAS menggesa Universiti al-Azhar membantu meningkatkan kualiti kolej-kolej swasta yang bekerjasama dengannya, "bukan membuat pembatalan mengejut".

Memorandum turut menyenaraikan beberapa "kesan negatif" akibat pembatalan perjanjian itu:

*Menimbulkan masalah kepada institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan penuntutnya.
*Membantutkan usaha IPTS melahirkan modal insan seperti hasrat kerajaan.
*Mengurangkan jumlah pelajar IPTS milik pengusaha Melayu-Islam dan menimbulkan risiko ditutup.
*Membataskan pilihan mahasiswa Melayu-Islam mendapatkan pendidikan terbaik.

Ditanya tindakan selanjut PAS jika tuntutan itu tidak berhasil, Azman Shapawi berkata:

"Tengoklah Januari nanti apabila kemasukan baru dibuat. Kalau tidak berhasil juga, mungkin kita ramai-ramai pergi jumpa perdana menteri."

Azman Shapawi diiringi setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusuf dan ketua penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Amazan sewaktu memorandum itu diserahkan kepada setiausaha sulit kanan kepada perdana menteri, Datuk Ahmad Yaakob.

Pemuda PAS mendakwa tuntutan mereka disokong 25 pusat pengajian dan persatuan-persatuan mahasiswa itu di seluruh negara.

http://www1.malaysiakini.com/news/93516

Tuesday, November 18, 2008

Nik Aziz: Tiada istilah ketuanan Melayu dalam Islam



Selasa November 18, 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tiada istilah ketuanan Melayu atau kelebihan terhadap satu bangsa ditekankan di dalam Islam.


Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam merupakan agama yang universal tidak memberi sebarang keutamaan kepada mana-mana bangsa melainkan kelebihan itu akan diberikan kepada individu yang mempunyai ketakwaan yang tinggi kepada Allah s.w.t.


"Di dalam Islam tidak mengira bangsa, apa yang penting adalah takwa kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah bangsa apa, Cina, Melayu, India dan Arab.


"Tuhan hanya melihat ketakwaan seseorang itu... kerana bila kita bertakwa kita takut kepada Allah dan menjalankan tanggungjawab kita,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan restoran London Fish Tales, di sini hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan Melayu kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.


Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyifatkan perjuangan sesuatu parti terhadap satu bangsa tanpa mementingkan agama boleh membawa kepada satu kesan yang tidak sihat dan tidak berkekalan.


"Sebab itu saya masuk parti Islam, yang memperjuangkan agama kerana ianya tidak akan kehabisan. Matlamat perjuangannya sentiasa ada iaitu demi agama tanpa mengira kepentingan bangsa pun.


"Saya tidak duduk dalam politik yang gunakan Melayu, tetapi saya duduk dalam gerakan Islam,"
katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/18/mstar_mutakhir/20081117235549&sec=mstar_mutakhir

Friday, November 7, 2008

Kelab Penyokong Muda PAS dilancar 15 Nov

Nov 4, 08 4:23pm

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS (KPMP) ekoran sokongan dan kepercayaan rakyat, khususnya anak muda pelbagai kaum, terhadap parti itu dalam pilihanraya umum yang lalu.

Kelab tersebut akan dilancarkan oleh Ketua DPP, Salahuddin Ayub, yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, pada 15 November ini bertempat di pejabat agung PAS di ibunegara.

Pengerusi Lanjah Perpaduan Nasional (LPN) DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, inisiatif penubuhan kelab tersebut adalah selaras dengan dasar PAS dan juga Islam yang memberikan hak dan keadilan
kepada seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, Kelab Penyokong PAS (KPP) telah ditubuhkan, tetapi pada masa yang sama, wujud kehendak dari kalangan golongan muda bukan Islam untuk terlibat aktif secara langsung bersama PAS
dalam memperjuangkan hak-hak rakyat, khususnya bukan Islam.

"Setelah PAS berjaya melancarkan KPP pada tahun 2004 dan kini keahliannya sudah pun mencecah 18,000 orang, maka DPPP mengambil inisiatif untuk membentuk KPMP yang akan lebih cenderung ke arah aktiviti yang berbentuk pemudaaan.

"KPP sedia ada dilihat lebih dianggotai oleh golongan dewasa serta aktivitinya tidak banyak menjurus kepada golongan muda," kata Khairul Faizi dalam satu kenyataan hari ini.

'Himpunan Anak Muda'

Menurutnya, majlis perasmian tersebut akan diserikan dengan beberapa acara seperti persembahan kumpulan anak muda dari KPMP, pelancaran misi dan visi KPMP, penyerahan borang keahlian KPMP dan majlis memperkenalkan jawatankuasa penaja KPMP.

Khairul Faizi berkata, KMPM juga akan ditubuhkan di peringkat negeri, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, katanya, LPN akan bergerak ke seluruh negara untuk melancarkan KPMP di peringkat negeri, selepas pelancarannya pada 15 November depan.

Beliau berkata, kemuncak penubuhan KPMP akan diadakan pada bulan Mei 2009.

Khairul Faizi berkata ia merupakan satu himpunan Anak Muda KPMP yang akan menghimpunkan kesemua jawatankuasa penaja yang telah berjaya ditubuhkan di peringkat pusat dan negeri-negeri.

"Himpunan Anak Muda KPMP telah dipersetujui untuk diadakan di sekitar Lembah Klang," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/92431

Mingguan Malaysia didakwa manipulasi kenyataan Hadi

Jimadie Shah Othman Nov 3, 08 1:12pm

Akhbar Mingguan Malaysia didakwa telah memanipulasi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Selangor melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Akhbar Mingguan Malaysia hari ini (semalam) dengan cara yang paling tidak bertanggungjawab dan tidak profesional telah memanipulasi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi berkenaan pelantikan Low sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS," lapor laman akhbar rasmi PAS Harakahdaily.net semalam.

Akhbar itu melaporkan Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu dan beragama Islam, sistem pentadbiran sepatutnya diterajui oleh kaum tersebut.

Mingguan Malaysia memetik Abdul Hadi berkata demikian dalam satu sidang akhbar di Kemaman, Terengganu kelmarin.

Menurut akhbar itu lagi, Hadi berkata akan meminta penjelasan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung pelantikan Siew Moi itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, secara umumnya pemerintahan dan pentadbiran negeri mestilah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam.

Mengulas laporan tersebut, Harakahdaily.net meminta seluruh rakyat Malaysia "menilai laporan yang disiarkan akhbar itu dan mengambil tindakan sewajarnya" kerana mendakwa Utusan Malaysia "telah berkali-kali melakukan perbuatan melaporkan berita secara tidak wajar".

Persatuan bantah

Harakahdaily.net turut memuatkan transkrip penuh sidang akhbar di Kemaman kelmarin selepas merasmikan majlis Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu.

Menurut transkrip itu, Abdul Hadi, ketika ditanya berulang kali pendiriannya berhubung perlantikan Low itu berkata beliau "kena dengar keputusan Selangor dulu" kerana baru balik daripada luar negara dan "belum mendapat maklumat" berhubung perkara itu.

Beliau juga enggan mengulas isu pemansuhan ekuiti pemilikan 30 peratus bumiputera.

Bagaimanapun ketika diminta memberi komen secara umum sama ada seseorang itu tidak dapat diterima perlantikannya ke jawatan tersebut disebabkan tidak beragama Islam, beliau berkata:

"Sekarang.. semua pihak telah menerima sama ada PKR ataupun DAP, teras pemerintahan dan pentadbiran negara mestilah orang Melayu Islam... sudah diterima.. dalam masa yang sama tidak menafikan peranan semua kaum yang ada dalam negara ini...itu asas umum," katanya.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perlantikan Low sebagai pemangku pengurus besar sementara PKNS untuk tempoh setahun.

Low mengambil alih tugas Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan ini.

Keputusan Abdul Khalid itu dibantah enam persatuan kakitangan PKNS yang menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid dan mendesaknya menarik balik pelantikan Low.

Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mencari calon bumiputera untuk mengisi jawatan tersebut.

Semalam, lebih 30 ahli Umno bahagian Kajang dilaporkan mengadakan demonstrasi di pintu masuk Plaza Tol Kajang membantah tindakan menteri besar itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/92335

Tuesday, October 21, 2008

PAS beralih angin - kini yakin '16 Sept'

Jimadie Shah Othman Oct 14, 08 6:00pm
dikemaskini 6:44pm PAS akhirnya yakin dengan "projek 16 September" Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti itu menyertai mesyuarat pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP.

Keputusan biro politik parti itu minggu lalu telah pun direstui mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimennya kelmarin.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin kanan yang diberikan mandat untuk mengetuai delegasi parti itu termasuklah timbalannya Nasharudin Mat Isa, dua naib presiden Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain dikritik akibat berunding dengan Umno, Nasharudin sebelum ini tidak pernah dilaporkan terlibat rundingan bersama Pakatan Rakyat, manakala Mohamad menyatakan keraguannya berhubung rancangan penasihat PKR itu.


Abdul Hadi pula, walaupun pernah menyertai mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin PKR dan DAP, dianggap menolak projek perubahan kerajaan Anwar - asalnya diuar-uarkan menjelang 16 September - selepas berkata beliau enggan menjadi "ahli politik Mat Jenin" apabila mengulas kemungkinan beliau dicadangkan sebagai perdana menteri apabila Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan.

Rundingan dengan Pakatan sebelum ini didominasi golongan pro-kerjasama dengan Pakatan seperti Husam, Kamaruddin, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan bendahari Dr Mohd Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti dibuat kerana perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru "sampai ke tahap lebih tinggi" yang melibatkan perbincangan dasar-dasar dan persediaan membentuk jemaah menteri.

Salahuddin berkata, keputusan menghantar pemimpin kanan itu dibuat kerana usaha menumbangkan kerajaan BN sudah "sampai ke tahap akhir" dan "setiap tindakan memerlukan keputusan segera".

"Dulu, kita lebih kepada (hal-hal) teknikal seperti (menyusun) agenda bertindak... boleh katakan sekretariat. Sekarang kita berada pada tingkat lebih tinggi yang memerlukan perbincangan tentang dasar-dasar politik," katanya.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, menurutnya lagi, perbahasan tentang delegasi lima pemimpin tertinggi PAS berlangsung dengan "sangat positif" dan mesyuarat bersetuju sebulat suara menerima mereka.

Suasana perbincangannya digambarkan sebagai "berterus-terang" dan dalam keadaan "bebas mengeluarkan pandangan".




Barisan pemimpin atasan PAS sebelum ini terbelah dua berhubung isu pertukaran kerajaan persekutuan, khususnya antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu dan juga ahli strategi parti Datuk Mustafa Ali, menjelang 16 September lepas.

Mohamad, yang pernah berkata "PAS bersikap tunggu dan lihat terhadap 16 Septermber", berkata beliau menerima keputusan itu.

"Itu keputusan parti, saya terima," katanya, yang hadir di mesyuarat itu, kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sebab kelima-lima pemimpin berprofil tinggi itu, beliau berkata: "Hendak pilih lima orang, kita pilih limalah. Kalau enam, kita pilih enamlah. Kalau lapan, kita pilih lapanlah."

Husam - disebut-sebut sebagai penggerak utama dalam PAS yang mendukung usaha Anwar - pula menyifatkan barisan pemimpin tertinggi yang dipilih itu "bukan wakil baru", "tidak ada perubahan" dan "tidak berbangkit".

"Saya ingat salah faham. Tiada yang istimewa," katanya, mengulas keputusan dalam mesyuarat biro politik parti itu minggu lalu.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad yang dikatakan pihak pertama mencadangkan idea menghantar pimpinan utama PAS berkata "semua khilaf dan salah faham sudah selesai".


"Sebelum ini mungkin ada yang tidak nampak bangunan Parlimen. Sekarang tidak ada khilaf lagi," katanya, yang menganggotai biro politik PAS, hari ini.

Khalid bagaimanapun mendakwa khilaf yang dimaksudkan itu hanya di peringkat teknikal akibat sumber-sumber maklumat yang berbeza antara pemimpin parti.

"Tetapi akhirnya, dengan semua sumber itu, semuanya saling melengkapi," katanya, yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Tambahnya, salah faham dalam parti itu mula reda hasil pertemuan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dengan Anwar di Kota Bharu hujung bulan lalu (foto atas, kiri).

http://www1.malaysiakini.com/news/91255

Saturday, October 11, 2008

Tukar k'jaan: PAS hantar pemimpin tertinggi

Jimadie Shah Othman Oct 10, 08 6:44pm

kemaskini 8:19pm Lima pemimpin paling kanan PAS akan terlibat sepenuhnya dalam mesyuarat peringkat tertinggi Pakatan Rakyat mulai minggu depan, demikian diputuskan oleh biro politik parti itu.

“Mesyuarat memilih lima orang untuk mewakili parti dalam mesyuarat Pakatan,” kata ahli jawatankuasa pusat Khalid Samad, yang menganggotai lajnah politik dan pilihanraya PAS.

Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, awal minggu ini juga memutuskan untuk mendapat restu secara rasmi oleh anggota-anggota jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli Dewan Rakyat parti itu.

Khalid menambah, pertemuan untuk mendapat mandat barisan pemimpin itu diadakan pada Ahad ini.

“Mesyuarat putuskan, pada 12 Oktober, perkara ini akan dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimen (PAS). Mereka kena terima (keputusan itu),” katanya.

Selain Abdul Hadi, timbalannya Nasharuddin Mat Isa, dua timbalannya Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu terpilih bersama setiausaha agung Datuk Kamaruddin Jaffar untuk mewakili PAS ke mesyuarat Pakatan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan pemimpin berprofil tinggi itu dihantar sebagai persiapan pakatan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan seperti rancangan Anwar yang dikenali "projek 16 September."

PAS selama ini mengirim pemimpin lebih rendah kerana pada peringkat awal pembentukan Pakatan, yang bermula hanya selepas kemenangan mengejut pembangkang dalam pilihanraya umum Mac lalu, ia bertujuan "menyemak nama-nama ahli parlimen BN" yang bakal menyertai gabungan tersebut.

“Dulu kita berusaha menyemak nama-nama ahli-ahli parlimen BN menyertai Pakatan. Sekarang kita hendak menyelaraskan kerjasama dalam Pakatan ke arah membentuk kerajaan baru. Termasuklah membincangkan soal (anggota) kabinet dan sebagainya,” kata Khalid.

Beliau mengulas sebab pergantian wakil PAS dalam majlis kepemimpinan Pakatan Rakyat daripada pemimpin rendah kepada pemimpin yang lebih kanan.

Mengulas pertembungan terbuka beberapa pemimpin parti itu di pelbagai peringkat, khususnya reaksi terhadap projek 16 September, beliau berkata “semua sudah OK” selepas mesyuarat lajnah tersebut.
Dalam mesyuarat Isnin lalu, perkara itu “ada perbahasan sedikit”, katanya.

Khalid menambah, “semua pemimpin faham” dan bersetuju untuk mengeluarkan pandangan rasmi parti sahaja dan mengelak mengemukakan idea peribadi secara terbuka.

“Kalau semua orang hendak kemukakan pandangan peribadi, susahlah (PAS),” katanya.

Permukiman di Langkawi bulan depan bagaimanapun tetap diadakan untuk membincangkan banyak perkara berkaitan strategi pembentukan kerajaan persekutuan, tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91062

Mufti Perak akui saran kerjasama PAS-Umno

Jimadie Shah Othman Oct 10, 08 5:57pm

kemaskini 7:35pm Mufti Perak mengakui mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mencadangkan penubuhan kerajaan campuran antara Umno dan PAS di negeri itu.

Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, cadangan itu dikemukan bagi mewujudkan pemerintahan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu dan Islam.

“PAS kalau campur dengan Umno lagi bagus. Umno ada 27 kerusi. Kalau campur dengan PAS, seratus peratus orang Melayu-Islam memerintah,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan desas-desus di Internet bahawa beliau mengadakan pertemuan kedua untuk tujuan itu.

Mufti berpengalaman itu didakwa "menangis dan merayu" Nik Aziz , yang juga menteri besar Kelantan, untuk memastikan kerajaan campuran PAS-Umno.

Harussani menambah, beliau menemui Nik Aziz dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu di rumah tokoh PAS di Kota Bharu, Kelantan.

Harussani berkata, dalam pertemuan yang disifatkannya sebagai “sembang-sembang” itu, pandangnnya itu tidak diterima oleh Nik Aziz.

“Nik Aziz kata itu bukan bidang kuasa dia. Beliau kata beliau hanya mursyidul am saja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

“Dah dia tidak terima, tidak mengapa. Tidak apalah,” katanya.

Diminta mengulas prestasi pemerintahan kerajaan campuran Pakatan Rakyat di negeri itu, beliau berkata "saya bukan orang politik".

Setiausaha politik menteri besar Kelantan, Anual Bakri Haron ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan Nik Aziz dan mufti tersebut.

Dalam pertemuan itu, tambahnya, Harussani hanya menyatakan kerisauannya jika orang Islam tidak menjadi menteri besar di Perak.

Katanya, Harussani menyuarakan hasratnya supaya PAS dapat menjadi menteri besar di negeri itu.

Sementara itu, pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang berkata beliau turut dihubungi mufti berpengalaman itu untuk tujuan pembentukan kerajaan dengan Umno tetapi beliau menolaknya.

"Ada dua tiga kali beliau menelefon saya. Tetapi saya kata, kita sudah ada keputusan (bersama Pakatan)," katanya.

Katanya, beliau mula-mula menerima panggilan daripada Harussani sehari selepas pertemuannya dengan Nik Aziz.

Harussani juga didakwa turut mencadangkan perkara yang sama kepada pesuruhjaya PAS negeri itu.

Bagaimanapun, Ahmad menolak cadangan itu kerana menurutnya, setelah 50 tahun memerintah, BN yang ditunjangi Umno terbukti “tidak boleh diharapkan”.

“Kita tidak boleh harap pada BN. Kita mahukan kerajaan baru. Lagipun, dalam kerajaan baru ini, PAS yang jadi ketua (menteri besar). Kalau beliau berkata (DAP) anti-Islam, yang Umno ini, sudah 50 tahun...” katanya.

Ahmad dan Anual Bakri tidak pernah mengetahui wujudnya pertemuan kedua Harussani-Nik Aziz seperti dakwaan di beberapa blog sejak semalam.

http://www1.malaysiakini.com/news/91050

Pemuda PAS pelawa Ku Li sertai Pakatan Rakyat



Sabtu Oktober 11, 2008

KUALA LUMPUR:Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini secara peribadi mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyertai Pakatan Rakyat sekiranya Anggota Parlimen Gua Musang itu tiada sefahaman lagi dengan Umno.


Salahuddin, yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian, berkata tujuan mempelawa Tengku Razaleigh adalah untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang melalui idea dan pengalamannya terutama dalam bidang ekonomi.


"Secara peribadi saya mempelawa Tengku Razaleigh untuk menyertai Pakatan Rakyat. Setakat ini belum ada pertemuan secara rasmi lagi dilakukan untuk tujuan itu melainkan pertemuan biasa. Dua hari lalu saya lontarkan pelawaan itu kepada Tengku Razaleigh di Kota Baharu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS di sini hari ini.


Ditanya mengenai maklum balas daripada Tengku Razaleigh, Salahuddin berkata:


"Saya diberitahu secara tidak rasmi oleh pembantu beliau bahawa dia hanya tersenyum di atas pelawaan saya itu."


Beliau juga berkata Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan di Putrajaya pada 10 Jan depan untuk membantah pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/11102008

Wednesday, October 8, 2008

Khalid jelas sebab pertikai 3M PAS


Abdul Rahim Sabri Oct 7, 08 6:01pm

Saranan agar PAS tidak terlalu menekankan syarat "majoriti Melayu-Muslim" (3M) sebelum menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan hanyalah untuk perbahasan, jelas timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor.

"Ia adalah cetusan idea untuk difikirkan. Kalau semua syarat kita diterima dan menguntungkan kita, susah kepada parti-parti lain (dalam Pakatan Rakyat) menerima PAS," kata Khalid Samad ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahli parlimen Shah Alam diminta mengulas tulisannya di blog peribadinya yang menyifatkan syarat tersebut "agak sukar" memandangkan kebanyakan kerusi Melayu dipegang oleh Umno.

Dalam tulisannya itu, Khalid menyebut: "Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan yang dibuat tetapi tidak boleh elak daripada memikirkan peristiwa perjanjian Hudaibiyyah.

"Sekiranya syarat-syarat yang menguntungkan dan menjamin kedudukan Islam sahaja yang boleh diterima, maka sudah pasati ia tidak akan ditandatangani.

"Malahan, syarat-syarat Hudaibiyyah bukan sekadar berat sebelah, Rasulullah (saw) terpaksa membenarkan kalimah 'Ar-Rahman' dan 'Ar-Rahim' serta istilah 'Rasullullah' digugurkan untuk memenuhi kehendak wakil kaum Quraisy.

"Namun Hudaibiyyah diisytiharkan sebagai kemenangan besar oleh Allah dan setelah beberapa tahun membawa kepada Fathul (Pembukaan) Mekah."

Dalam blognya juga, Khalid berkata: "Kadangkala kita kena lihat pada potensi sesuatu keadaan dan dengan mengambil kira potensi itu, perlu berani dan yakin terhadap pertolongan Allah untuk maju ke hadapan. Dengan itu, apa yang dilihat sebagai satu kerugian boleh berubah menjadi kejayaan.

"Perjuangan semestinya memerlukan pimpinan mengambil risiko yang dipertimbangkan terdahulu atau “calculated risk” (risiko yang diperhitungkan).

"Perjuangan yang tidak sanggup mengambil risiko tidak akan maju dan tidak akan ke mana-mana. Pemimpin yang tidak berani mengambil risiko tidak akan mampu mencapai kejayaan yang cemerlang."

"Oleh itu, jika dikaji secara objektif, beliau bertanya apakah risiko yang akan terpaksa kita hadapi sekiranya majoriti ahli parlimen Pakatan Rakyat adalah bukan Islam? Pada pandangan saya, amat minimum sekali.

"Pertama, Islam dan kedudukan Melayu dilindungi Perlembagaan (Persekutuan). Tuntutan perlembagaan akan pasti dipertahankan oleh semua institusi termasuk Yang di-Pertuan Agong.

"Kedua, sekiranya bermasalah dan terancam, PAS boleh keluar dari pada Pakatan Rakyat pada bila-bila masa dan pada ketika itu kerajaan PR akan terbubar dengan sendirinya," tambahnya.

Berbanding dengan risiko yang minimum ini, tegasnya, potensi kebaikan sebaliknya begitu menggunung sekiranya Pakatan Rakyat bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengambil alih kuasa di peringkat pusat.

"Namun, potensi ini akan hanya tercapai sekiranya diusahakan. Ia tidak datang bergolek dan oleh itu mesti ada kesungguhan dan keyakinan terhadap kemampuan Islam untuk menawan hati semua yang melihat.

"Kalau kita tidak yakin dengan potensi yang ada, lagi mudah melepaskan sahaja peluang ini tanpa mengambil apa-apa risiko," katanya.

"Mungkin masalah kita sekarang ialah kita tidak lihat perlunya rakyat Malaysia keluar daripada bawah pemerintahan Umno/BN. Pemerintahan zalim ini yang ditolak oleh rakyat kita anggap lebih baik daripada Pakatan Rakyat semata-mata kerana bilangan ahli parlimennya (nanti) bukan terdiri dari majoriti Melayu-Muslim.

"Maka amatlah malang sekiranya kita terpaksa melihat pada akhirnya kerajaan yang zalim dan korup gagal ditumbangkan kerana PAS!" tulis Khalid lagi.

Mengulas lanjut maksud tulisannya itu, Khalid berkata, beliau menyamakan hal ini dengan perjanjian Hudaibiyah kerana ia memberi keuntungan pada masa depan kepada PAS dan Pakatan.

"Ia memberi persamaan (dengan perjanjian Hudaibiyah) kerana memberi keuntungan kepada kita (Pakatan) pada masa hadapan iaitu, BN tidak akan mengganggu kerana kita bentuk kerajaan dan pengiktirafan DAP kepada PAS," katanya.

Beliau menambah, antara manfaat lain yang diperolehi sekiranya Pakatan membentuk kerajaan ialah membolehkan demokrasi tertegak, media menjadi lebih bebas dan rakyat bebas membuat pilihan dan penilaian.

"Ia membuatkan kedudukan kita menjadi lebih kukuh," jelasnya.

Bagaimanapun, tegas Khalid, buat masa kini PAS akan terus bersama Pakatan selagi gabungan tiga parti besar itu memberi manfaat kepada perjuangannya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar PAS tidak tergesa-gesa keluar daripada Pakatan di peringkat pusat, sekiranya majoriti ahli parlimen gabungan pembangkang terdiri bukan Islam.

Sebaliknya, Khalid menyarankan agar PAS mengadakan muktamar khas untuk memutuskan kedudukan parti itu dalam Pakatan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90841

Pemuda PAS: Gambar Anwar bukan patung

Jimadie Shah Othman Oct 7, 08 12:33pm

kemaskini 3:32pm Pemuda PAS Selangor berpendapat replika gergasi imej Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Caves tidak termasuk dalam kategori patung yang diharamkan dalam ajaran Islam.

"Dalam Islam, apa-apa pun, kalau berunsur pemujaan tidak boleh. Kedua, (kalau) berhala, tidak dipuja pun tidak boleh.

"Tetapi, (replika) itu hanyalah gambar besar untuk memperingati pemimpin. (Imej) itu bukan patung. Itu hanyalah gambar besar," kata ketua dewan itu Sallehen Mukhyi.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyatakan replika gergasi itu menunjukkan PKR mendewa-dewakan pemimpinnya, Sallehen berkata:

"Yang beliau (Mohd Ali ) sensitif sangat kenapa? Meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara itu pun menyalahi akidah, (hukum) itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, dan itu memang jelas berbentuk manusia, (perkara) itu beliau tidak sibuk pula.”

Mohd Ali semalam turut menimbulkan persoalan sama ada pembinaan replika itu diterima oleh PAS sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Sallehen berkata, projek mendirikan gambar itu inisiatif penyokong Anwar sendiri dan oleh itu, sudah tentu kepimpinan tertinggi PAS tidak dimaklumkan.

"Malah saya rasa, Anwar sendiri pun tidak tahu (sebelum timbul kontroversi)," katanya.

Mengulas pandangan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam yang dilaporkan berkata, gambar besar itu "membawa unsur keberhalaan dan perlu dihapuskan dengan segera", Sallehen berkata:

"Boleh jadi mufti (Perlis) patut datang tengok sendiri (replika itu)."

Sementara itu penduduk setempat bersedia untuk merobohkannya jika kontroversi berlarutan berhubung penegakan replika gergasi itu, kata pengelola projek tersebut R Viriya.

"Saya tidak mahu isu ini menjadi besar. Kalau dikaitkan dengan isu perkauman, saya pun tidak mahu buat.

"Saya hanya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada orang Melayu dan (lagi pun) Deepavali pun sudah dekat," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Deepavali akan disambut pada 27 Oktober.

Beliau mengulas kesediaan wakil rakyat PKR Batu Caves, Amiruddin Shari untuk menurunkan replika itu apabila permit kelulusannya yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang tamat tempohnya tidak lama lagi.

Viriya menambah, sebelum replika itu didirikan pada 28 September lalu, beliau pernah merujuk kepada rakan-rakannya yang berketurunan Melayu tetapi mereka menjelaskan "tidak salah" membina imej sedemikian.

Katanya lagi, beliau tidak mendapat sebarang aduan membantah daripada penduduk setempat dan hanya mengetahui kontroversi replika itu melalui media.

"Tiada teguran (daripada penduduk), hanya (pemimpin) Umno (di media) sahaja yang tegur," katanya.

Tambahnya, yang juga timbalan pengerusi persatuan penduduk Kampung Indian Settlement di Batu Caves, projek ini asalnya usaha sekumpulan penduduk di situ.

"Projek ini kita buat sendiri, ramai yang menyumbang. (Replika) ini bukan projek persatuan penduduk," kata Viriya.

http://www1.malaysiakini.com/news/90804

Tuesday, October 7, 2008

Hindraf tidak biadab - Presiden PAS

Posted by: pinkturtle2 October 5, 2008


Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah... kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi... biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih... itu biasa... Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah- Hj Hadi

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) tidak biadab apabila bertemu Perdana Menteri pada rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet beragama Islam Rabu lalu.

Beliau berkata, tindakan penyokong Hindraf bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Datuk Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bukan sesuatu yang biadab dan perlu dipandang dari sudut positif.

“Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah… kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi… biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih… itu biasa… Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah.

“Kalau betul mereka tak mahu bagi Hindraf masuk, mereka boleh halang. Tetapi apa yang berlaku tidak ada polis yang halang. Tak ada masalah mereka jumpa Perdana Menteri macam tu… saya pun ada orang datang ke rumah. Kita kena lihat ia sebagai perubahan demokrasi di Malaysia, lagipun mereka tidak buat kecoh atau bertumbuk,” katanya selepas berucap pada majlis perasmian Ijtima’ Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Badan Perhubungan PAS negeri di Kuala Terengganu semalam.

Beliau meminta semua pihak melihat tindakan penyokong Hindraf bertemu Perdana Menteri pada majlis rumah terbuka itu sebagai demokrasi era baru.

Dalam kejadian itu, kira-kira 800 penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal jam 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain untuk bersalam dengan Abdullah dan menyerahkan kad ucapan Aidilfitri yang turut diselitkan dengan mesej supaya Perdana Menteri membebaskan pemimpin Hindraf yang dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keadaan dilaporkan “menjadi kecoh seketika” oleh akhbar-akhbar pro-Barisan Nasional (BN) apabila mereka dihalang memasuki dewan jamuan di aras empat PWTC dan “melaungkan rasa tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk bertemu Perdana Menteri”.

Polis pula dilaporkan terpaksa campur tangan polis untuk mengawal keadaan.

Hindraf, yang begitu sukar dan tidak pernah berpeluang berjumpa Perdana Menteri dikutuk oleh para pemimpin Umno khususnya kerana menyampaikan bantahan mereka ke atas penahanan tanpa bicara rakan-rakan mereka di bawah ISA di rumah terbuka itu.

“Kami telah berusaha untuk berjumpa dengannya (Perdana Menteri) selama ini, jadi kami mengambil peluang hari ini. Kami datang dengan hati yang terbuka,” kata Koordinator Kebangsaan Ideologi Hindraf, W. Sambulingam.

K Shanti, isteri pemimpin Hindraf dalam pelarian P Waythamoorthy berkata, mereka hanya menyerahkan patung beruang dan kad tersebut sahaja.

“Dalam semangat saling bermaafan sempena Hari Raya Aidilfitri, kami mahu menyatakan bahawa orang-orang India di Malaysia memaafkannya (Perdana Menteri) kerana menghantar para pemimpin Hindraf ke (Kem Tahanan Perlindungan) Kamunting,” Malaysiakini memetik Shanti sebagai berkata apabila ditanya mengenai kad itu.

Selain 200 penyokong Hindraf itu, kira-kira 40 aktivis anti-ISA juga hadir ke rumah terbuka itu.

http://www.harakahdaily.net

http://pinkturtle2.wordpress.com/

Saturday, September 27, 2008

PAS Tidak Bersama Kerajaan Pakatan Rakyat Sekiranya Islam tidak menjadi majoriti


Ditulis oleh WanKay

Saturday, 27 September 2008

Dungun - PAS akan menarik diri dan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Islam tidak menjadi majoriti dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Presiden PAS, dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian alam ucapannya dalam satu majlis ceramah di perkarangan Surau Haji Zainal Abidin, Dungun, baru-baru ini.

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syaratnya mestilah kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada (Barisan Nasional),

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih ‘buruk’dan mesti lebih baik,”tegas beliau.

Beliau turut menyenaraikan beberapa syarat bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk lebih kukuh dan bukan kerajaan yang lemah sebagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam,

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang menakut. Terang-terang kita (PAS) sebut. Jika wakil rakyat itu penakut hendak buat perubahan. Perubahan itu (hanya) sementara sahaja,”katanya.

Namun begitu, menurut beliau PAS lebih mengharapkan wakil-wakil rakyat UMNO menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Kita (PAS) lebih mengharapkan supaya wakil rakyat UMNO menyertai PAS kerana mereka mahu membina kekuatan orang Melayu Islam (mereka) mesti bersama dengan PAS.

“Kita (PAS) terbuka dan mereka (UMNO) boleh menyertai mana-mana parti tetapi dasarnya ialah majoriti Islam dan ini syarat penting,” ujarnya.

Beliau turut meletakkan pra-syarat bahawa PAS akan melihat senarai Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum memberikan sokongannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS telah memberi kepercayaan melalui wakil yang duduk dalam sekretariat Pakatan Rakyat, bagi membawa mesej tersebut dalam perbincangan Pakatan Rakyat.

“Kita (PAS) mahu melihat senarai terlebih dahulu dan sebarang keputusan hendaklah melalui mesyuarat parti terlebih dahulu.

“PAS memberi kepercayaan kepada wakil-wakil kita (PAS) dalam sekretariat dan wakil-wakil PAS telah membawa mesej ini.

“Mesej ini telah disampaikan dan ditegaskan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat dan sehingga kini, mereka terima dari segi dasarnya. Parti KeADILan Rakyat terima, DAP pun terima,” jelas Dato’ Seri Abdul Hadi.

http://buletinonline.net/

Thursday, September 25, 2008

Pemuda nafi 'badan PAS, baju PKR'



Jimadie Shah Othman Sep 24, 08 3:50pm

Pemuda PAS menafikan ahli-ahli parti itu terikut-ikut dengan rentak PKR sehingga lebih meyakini usaha penggantian kerajaan oleh penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding nasihat pemimpin mereka sendiri.

Rentetan pergeseran terbuka tokoh-tokoh PAS terhadap projek 16 September anjuran Anwar, ahli-ahli parti Islam seumpama itu khususnya anak muda dikritik sebagai "berbadan PAS tetapi berbaju PKR".

Kritikan keras mursyidul am PAS kepada pesuruhjaya Terengganu, Datuk Mustafa Ali minggu lalu berhubung projek Anwar didakwa menunjukkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat "lebih tebal fanatiknya" terhadap penasihat PKR berbanding semangat mempertahankan dasar parti sendiri.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub bagaimanapun menjelaskan pengaruh PKR dan Anwar tidak sampai menghakis identiti Pemuda PAS.

Perkara ini yang diungkitkan oleh seorang pemimpin PAS Kedah tidak pernah menjadi isu dalam mesyuarat dewan itu sama ada di peringkat pusat atau negeri, tambahnya.

Salahuddin mengulas pandangan sasterawan terkenal Azizi Abdullah yang mendakwa ramai ahli PAS, khususnya Pemuda sangat terpengaruh PKR khususnya dalam kempen pilihanraya, termasuk di Permatang Pauh bulan lalu.

Menulis di blognya (aziziabdullah.blogspot.com), pengarang novel Seorang Tua di Kaki Gunung itu yang pernah menjadi calon PAS berkata "sangat payah hendak membezakan yang mana PKR, yang mana orang PAS".

"Sebenarnya telah kelihatan ramai ahli-ahli PAS semacam sudah menjadi ahli PKR, malah mereka lebih PKR daripada PAS, mabuk rasa, mabuk nama," katanya, yang pernah dilantik pengarah Majlis Tindakan DUN parti itu.

"Terakhir, dari mulut ke mulut, mereka (ahli PAS) impikan peralihan kuasa melalui PKR dan apabila ada pemimpin PAS berceramah, mereka akan merungut dan membebel mulut jika pemimpin PAS mengupas soal peperangan Kubra atau nuzul Quran dalam konteks politik kini, kerana pemimpin PAS itu tidak mengulas dengan penuh semangat bagaimana peralihan kuasa dan kewibawaan Anwar menjadi pemimpin."

Azizi berkata, ahli-ahli PAS tidak lagi melaungkan takbir tetapi "reformasi" dalam ceramah-ceramah dan lebih banyak menghabiskan masa di pondok panas PKR daripada pusat PAS ketika menghadapi pilihanraya.

"Memang muak pun melihat ramai ahli-ahli PAS, terutama kalangan anak-anak muda, apabila berbadan PAS tetapi berbaju PKR.

"Sesekali semacam hendak menyindir betapa akidah kepartian mereka sangat senang digoncang hinggut oleh pengaruh apa yang dianggap 'reformasi'," katanya.

Ahli-ahli PAS juga didakwa terikut-ikut dengan pendirian PKR terhadap ahli parlimennya Zulkifli Nordin berhubung tindakan membantah forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam, Ogos lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Salahuddin menyifatkan pandangan Azizi itu "tidak menggambarkan hakikat sebenar" yang berlaku.

Menyentuh kerjasama dalam pilihanraya kecil tersebut, Salahuddin berkata, beliau mengarahkan ahli-ahli Pemuda PAS membantu PKR dalam muktamar dewan itu atas semangat setiakawan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, oleh kerana pilihanraya kecil itu ditandingi Anwar, sudah tentu baju, poster dan kemeja T PKR dibekalkan dan dipakai oleh ahli-ahli PAS.

"(Perbuatan itu) bukan penghakisan (pengaruh PAS) atau asimilasi, (dakwaan) itu tidak benar. Kita tetap dengan entiti dan identiti PAS," katanya.

Beliau berkata, dakwaan sekarang tidak lagi kedengaran laungan takbir sebaliknya diganti dengan "reformasi" juga tidak tepat.

"Dalam program PKR, program Anwar, sudah tentu laungan reformasi itu lebih (kuat) kedengaran," katanya, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Mengulas pengaruh PAS terhadap golongan muda saat ini, Salahuddin berkata, sokongannya sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

"Daripada lebih kurang 1,000 ahli baru setiap bulan, 60 peratus orang muda," katanya.

Exco Angkatan Muda PKR Kedah, Hasrul Muhaimin Hasbi pula mengakui bahawa PKR dan penasihatnya memang lebih popular di kalangan orang muda tanpa mengira parti.

"Anwar popular di kalangan orang muda kerana imej mudanya itu jelas. Orang kenal Anwar sejak daripada beliau muda-muda di zaman sekolah dan universiti lagi.

"Imej muda itu membuatkan orang tertarik dan rasa dekat," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, yang menjadi calon PKR di Kuah, Langkawi dalam pilihanraya umum lalu, sejarah kelahiran parti itu melalui siri demonstrasi pada 1998 membuka peluang kepada pembabitan golongan muda.

Hasrul berkata, dalam pemerhatiannya, penyokong pembangkang lebih selesa dengan imej, dasar dan pendekatan PKR kerana PAS lebih menekankan soal agama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa anak muda yang pelbagai latar belakang.

"PAS ini banyak golongan ahli agama, dua tiga kali dia pergi kena nasihat, lepas itu dia seganlah nak pergi. Yang tidak pakai tudung, sudah tentu tidak pergi (mendekati PAS)," katanya.

Bagaimanapun, persoalan "curi ahli" tidak timbul kerana, menurutnya, ia cuma "membuang masa" dan bagi penyokong pembangkang, kedua-dua parti itu "sama sahaja".

"Mereka anggap PAS dan PKR sama saja. Mereka tidak peduli PAS atau PKR atau DAP, asalkan pembangkang, dia sokong.

"Mungkin juga kita sedang menuju sistem dua parti yang hanya ada kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kritikan Azizi kini semakin tersebar meluas di Internet, khususnya di kalangan ahli dan penyokong PAS.

Ia mengukuhkan lagi tanggapan bahawa pemimpin-pemimpin parti itu terbelah dua dalam isu penggantian kerajaan 16 September, yang mula ketara sejak muncul isu rundingan dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan Rakyat beberapa bulan lepas.

http://www1.malaysiakini.com/news/90301

Tuesday, September 23, 2008

Faktor Khalid Tidak Berasas


Ditulis oleh SM Noor
Tuesday, 23 September 2008



Kuala Nerus - Tuduhan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menyatakan pendekatan keras dan tiada senarai keutamaan menyebabkan PAS Terengganu tewas di tangan BN dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu, disifatkan oleh PAS Terengganu sebagai tidak berasas dan agak ‘sombong’.

“Jangan suka tuduh, sebenarnya kenyataan (Khalid) macam sombong sikit,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Hj Abu Bakar Chik ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (gambar atas) dekat sini petang semalam.

Menurut beliau banyak faktor samada faktor luaran atau dalaman parti yang menyebabkan kekalahan PAS di Terengganu pada pilihanraya umum yang lalu.

Beliau berkata amalan demokrasi yang tidak memenuhi piawaian sepatutnya juga menyumbang kepada kekalahan tersebut.

”Sebab itu timbul isu pada pilihanraya yang terakhir, nak pakai dakwat (kemudian) tak jadi pakai dakwat pada saat akhir, nak pakai borang mati stem tapi saat akhir ditarik,
”kemudian tahun 2004 dalam dua hari sebelum mengundi tak boleh pakai bangsal panas tiba-tiba hari terakhir dibenarkan pakai bangsal panas, kita tak tahu sedangkan UMNO tahu,”jelas beliau, ketika memberikan respon terhadap kenyataan Khalid.


Ustaz Abu Bakar Chik yang juga Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bedah Siasat (Post-Mortem) Pilihanraya PAS Terengganu menegaskan isu pengundi hantu adalah satu isu yang masih relevan.
”Soal pengundi hantu, kita (PAS) pada peringkat jawatankuasa ‘post-mortem’ negeri Terengganu dan jawatankuasa peringkat pusat merasa hairan dari segi jumlah pengundi yang keluar terlalu tinggi di negeri terengganu, sampai tahap 90%,

“kita juga merasa hairan, jumlah pengundi yang sangat tinggi, (jumlah) penduduk yang kurang lebih satu juta (tetapi) pengundinya setengah juta,”tegas beliau.

Beliau mendedahkan melalui kajian post-mortem yang telah dibuat, tidak terdapat faktor sebagaimana yang dinyatakan Khalid menjadi sebab kepada kekalahan PAS Terengganu pada pilihanraya umum yang lalu.

“Kajian telah dibuat diperingkat apa yang Khalid sebut tidak ditunjukkan oleh penyelidikan yang kita buat,

“faktor yang disebut oleh Khalid tidak kami (PAS) ditemui daripada post-mortem melalui jentera parti dan juga penyelidikan diperingkat bawah,”terang beliau.

Beliau menerima hakikat kemenangan (PAS) dinegeri-negeri lain, namun sejauh mana ketahanannya adalah bergantung kepada pilihanraya yang ke 13 akan datang.

Beliau tidak faham apa yang diperkatakan oleh Khalid dan meminta Khalid untuk memberitahu apa yang dibuat oleh PAS Terengganu yang tidak membetuli dengan (kaedah) Islam.

“Kita sedia mendengar dan sedia perbaiki,”tambah beliau.

http://buletinonline.net/

Makanan berkhasiat, 3x sehari di lokap


Jimadie Shah Othman Sep 23, 08 1:12pm

Kerajaan diminta menyediakan makanan tiga kali sehari, berkhasiat dan seimbang kepada tahanan, termasuk yang ditahan tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub berkata, beliau akan membawa isu makanan yang “mutunya tidak dijamin” itu ke persidangan parlimen yang bersambung pada 13 Oktober ini.

“Bukanlah (mahu makanan) mewah, tetapi biarlah sederhana dan munasabah,” katanya, yang pernah dipenjara sebulan, kepada Malaysiakini.

Salahuddin (foto kiri) dibawa ke Penjara Kajang pada 2000 selepas didapati bersalah terlibat dalam perhimpunan haram bagi membantah kehadiran pasukan kriket Israel pada 1997.

Menurutnya lagi, dengan kenaikan harga barang di pasaran, keperluan menaikkan kos makanan di penjara dan lokap tidak boleh dinafikan.

Beliau mencadangkan RM10 sehari diperuntukkan untuk makanan tahanan di penjara dengan RM2 untuk sarapan pagi dan RM4 makan tengah hari dan makan malam.

Beliau diminta mengulas pendedahan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah yang dilaporkan berkata beliau terkejut dengan kos makanan yang disediakan oleh kerajaan untuk setiap tahanan di lokap dan menyifatkannya “tidak masuk akal.”

Untuk tiga kali makan, katanya, kerajaan memperuntukkan RM4.50 sehari dengan pecahan 60 sen (sarapan), RM2 (tengah hari) dan RM1.90 (makan malam).

Murugiah mencadangkan kerajaan meningkatkan peruntukan RM10 sehari bagi setiap banduan atau tahanan.

Isu ini timbul apabila exco kanan Selangor, Teresa Kok (foto kanan) menyifatkan hidangannya dalam tahanan ISA minggu lalu “seperti makanan anjing” - dua biji telur, timun dan kuah untuk makan tengah hari dan malam.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pula berkata ia menerima aduan tahanan tentang penyediaan makanan yang “teruk” dan “tidak pelbagai” di Penjara Simpang Renggam, Johor.

“Mereka diberikan ikan masin, nasi dan kari hampir setiap hari. Bila Suhakam datang melawat, baru makanannya berubah,” kata penyelarasnya E Nalini.

Tambahnya, tahanan dapat makanan sedap seperti ayam dan daging sebagai lauk hanya seminggu sekali.

Beliau berpendapat, tahanan patut diberikan makanan berkualiti untuk mengelakkan penyakit.

http://www1.malaysiakini.com/news/90219
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...