Showing posts with label Virus Influenza ILI. Show all posts
Showing posts with label Virus Influenza ILI. Show all posts

Saturday, January 22, 2011

Potong rambut Sikh: JLKN serah pada polis

Jan 21, 11 6:10pm

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang remaja lelaki beragama Sikh bahawa rambutnya dipotong semasa sedang tidur di kem program latihan khidmat negara (PLKN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata pihaknya telah menyerahkan perkara itu kepada polis untuk membuat siasatan lanjut dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum.

"Walaupun siasatan dalaman JLKN tidak menemui apa-apa bukti, ia tetap diserahkan kepada polis sebagai pihak yang bertanggungjawab membuat siasatan... siasatan awal kami telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan yang ditetapkan.

"Siasatan pihak kami sebelum ini melepasi dua tahap iaitu siasatan awal oleh komandan dan jurulatih kem serta diikuti pasukan khas dari ibu pejabat," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Sentosa, Chenderian, dekat Tapah hari ini.

Abdul Hadi berkata remaja terbabit, Basant Singh, 18, yang sedang bercuti, dibenar memanjangkan sedikit masa rehatnya.

"Saya juga benarkan beliau untuk berpindah ke kem lain ataupun menangguhkan sementara program yang diikuti. Saya beri dua pilihan kepadanya tetapi jika ingin terus ke kem asal, itu jalan terbaik,"katanya.

Basant yang membuat laporan polis mengenai kejadian itu Ahad lepas dilaporkan enggan meneruskan latihan kerana trauma dengan insiden yang mengejutkannya kerana dia tidak pernah memotong rambut sejak lahir sebagai mematuhi ajaran agama.

Sementara itu, beliau berkata seramai 83 pelatih Kem PLKN Sentosa yang dikesan menghidap penyakit serupa influenza (ILI) minggu lepas pulih sepenuhnya.

Katanya JLKN yang mendapat bantuan dan sokongan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya mengekang virus H1N1 daripada terus merebak kepada pelatih lain di dalam kem itu.

"KKM memberi kebenaran kepada setiap kem untuk meneruskan program latihan sekiranya terdapat serangan wabak itu dengan mengasingkan pelatih yang dijangkiti ILI... tiada lagi kem yang akan ditutup selepas ini," katanya.

Sehingga kini, terdapat 148 mangsa ILI yang kini dirawat di Kem PLKN Sinaran Suria, Sungkai manakala kes lain membabitkan 25 pelatih di Kem PLKN Tegas Kendiri, Kuala Kangsar.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/154071

Friday, June 11, 2010

32 kes baru sah positif H1N1

2010/06/11

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 32 kes baru disahkan positif influenza A (H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan berjumlah 15,019.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bagi tempoh 24 jam sehingga lewat petang semalam, tiada kejadian kluster ILI yang baru dilaporkan.


Kes ILI yang dirawat di dalam wad hospital di seluruh negara adalah 475 kes dan daripada jumlah tersebut 40 kes atau 8.4 peratus disahkan positif H1N1. “Jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah lapan dan enam daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada kematian baru dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian kekal 88 kes.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/32kesbarusahpositifH1N1/Article

Monday, May 31, 2010

Dua lagi sekolah catat kes ILI

2010/05/31

KUALA LUMPUR: Dua lagi sekolah masing-masing di Kerian, Perak disahkan kluster terbaru Penyakit Serupa Inluenza (ILI) dengan satu kes dilaporkan positif Influenza A (H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan 14,804 .

Bagaimanapun, tiada mangsa terbaru meninggal dunia sepanjang tempoh 24 jam lalu dan jumlahnya kekal sama dengan seorang ibu mengandung berusia 41 tahun yang menetap di Pulau Pinang menjadi korban ke-87 Rabu lalu.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata terdapat 74 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara dan pemantauan ke atas kes berkenaan mendapati 589 kes wujud dan 49 kes atau 8.3 peratus disahkan positif H1N1. “Dalam pada itu, jumlah pesakit yang masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital sebanyak enam kes dengan lima daripadanya tergolong dalam kelompok individu yang mempunyai faktor risiko.


“Seperti di kebanyakan negara, jangkitan ini masih aktif dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah kawalan serta pencegahan sempurna,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.


Dr Mohd Ismail berkata, orang ramai dialu-alukan melayari laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini.


Kementerian juga boleh dihubungi menerusi talian hotline 03-88810200/0300.


Sementara itu, situasi global masih dihimpit penularan jangkitan virus terbabit terutama di Asia Tenggara, Afrika Barat dan Afrika Timur serta negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur. Laporan menyebut sehingga 21 Mac lalu, jumlah kematian di seluruh dunia adalah melebihi 16,931 kes, iaitu meningkat sebanyak 118 kes atau 0.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DualagisekolahcatatkesILI/Article

Monday, May 24, 2010

31 kes baru positif H1N1

2010/05/24

KUALA LUMPUR: Sejumlah 31 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dikesan sehingga petang kelmarin, menjadikan jumlah terbaru iaitu 14,662.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan semalam berkata, Kementerian Kesihatan menerima dua laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) di Selangor.


Menurutnya, sejumlah 549 kes ILI masih dirawat di wad seluruh negara dan 75 kes daripadanya disahkan positif H1N1, manakala bilangan kes ILI di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula lapan kes berisiko H1N1.


“Tiada laporan kematian terbaru dan jumlah hari ini kekal 86 orang,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/31kesbarupositifH1N1/Article

Saturday, May 22, 2010

Lima pelatih dijangkiti H1N1


Kem Sri Ledang, Tangkak yang menempatkan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara.


LEDANG – Seramai 410 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditempatkan di Kem Sri Ledang di sini kecoh apabila lima rakan mereka disahkan menghidap selesema babi atau influenza A (H1N1) manakala 60 yang lain menghidap penyakit serupa influenza (ILI) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri Johor, Dr. Robia Kosai berkata, lima pelatih yang positif H1N1 itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan.

“Secara keseluruhan jumlah pelatih yang terjejas merangkumi 44 lelaki dan 21 perempuan. Empat daripada mereka telah pun diasingkan di dalam sebuah bangunan di kem tersebut.

“Kesemua mangsa juga telah diberikan rawatan antiviral. Kami juga giat memantau tahap kesihatan 60 pelatih lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Monday, May 17, 2010

59 lagi disahkan positif H1N1

2010/05/17

PUTRAJAYA: Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif Influenza A (H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1.

Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko.

“Penularan H1N1 bukan sahaja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. — Bernama

Monday, April 19, 2010

39 Kes Baru H1N1 Dikesan

Isnin April 19, 2010

PUTRAJAYA: Sejumlah 39 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu setakat ini sebanyak 13,127 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican bagaimanapun berkata tiada kematian baru dilaporkan, serta tiada kemasukan baru ke Unit Rawatan Rapi menjadikan kes yang dirawat di unit itu kekal 12 orang.

"Jumlah kes Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 534 kes. Daripada jumlah itu, 70 kes atau 13.1 peratus disahkan positif A (H1N1)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dr Mohd Ismail berkata sehingga jam 8 pagi ini, kementerian menerima enam laporan kejadian kluster ILI daripada empat negeri iaitu Johor, Pahang, Perak dan Perlis.

Beliau berkata ia termasuk Tadika Sri Merdeka, Taman Merdeka, Batu Pahat, Johor, Klinik Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Indera Pahlawan, Jengka 6 Maran, Pahang dan Kuarters Imigresen, Padang Besar, Perlis.

Dr Mohd Ismail berkata orang awam perlu sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan sepertimana yang telah dihebahkan sebelum ini dan golongan berisiko tinggi termasuk ibu hamil dan penghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, buah pinggang dan jantung harus segera mendapatkan pelalian vaksin A (H1N1) di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara.

Beliau berkata hasil pemantauan pemberian vaksinasi itu mendapati ia adalah selamat tanpa sebarang kesan sampingan yang serius.

Maklumat lanjut berkenaan Influenza A (H1N1) boleh didapati dengan melayari laman sesawang kementerian di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-8881 0200 atau 03-8881 0300, katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/19/mstar_berita/20100418140221&sec=mstar_berita

Sunday, October 4, 2009

170 pesakit baru, berhati-hati ketika menghadiri rumah terbuka

Seramai 170 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 198 kes didiscaj hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 715 orang dengan 62 pesakit merupakan kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 62 pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 17 kes atau 27 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kematian setakat ini masih kekal 77 orang.

Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.

"Dalam menyambut dan meraikan suasana Aidilfitri, banyak jamuan sempena rumah terbuka dan keramaian diadakan yang mana pastinya sangat sesak dengan orang ramai dan dikhuatiri akan memudahkan lagi penyebaran virus," katanya.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang digariskan kementerian itu di samping mengamalkan gaya hidup sihat, rehat dan tidur yang cukup, minum air secukupnya dan amalkan pemakanan sihat.

"Individu yang mempunyai simptom ILI dinasihatkan memakai topeng mulut dan

hidung ketika berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai,"
katanya. - BERNAMA


Thursday, July 30, 2009

H1N1: Lagi IPT dan sekolah ditutup



Jul 29, 09 6:36pm
Dua buah institusi pengajian tinggi (IPT), sebuah kampus pengajian dan sebuah sekolah ditutup hari ini dan semalam selepas beberapa pelajar mereka dikesan terkena jangkitan seperti influenza (ILI).

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak, kampus kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di Nibong Tebal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) di Bukit Mertajam, diarahkan ditutup selama tujuh hari mulai hari ini manakala Kolej Yayasan Profesional Mara (KYM) Pahang di Kuantan diarahkan tutup seminggu bermula semalam.


Kementerian Kesihatan mengarahkan kampus UPSI ditutup sehingga 3 Ogos dan 14,000 pelajar UPSI diarahkan pulang selepas 435 pelajar dilaporkan dijangkiti ILI sejak petang semalam. Hanya kira-kira 4,000 pelajar mendiami asrama di kampus UPSI manakala selebihnya tinggal di luar.

Di IPOH, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Perak berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh dari Pejabat Kesihatan Daerah bagi mendapatkan maklumat bilangan penuntut UPSI yang terlibat dan pertambahan kes jika ada.

"Sehingga kini, kita masih menyiasat sampel darah yang diambil daripada penuntut terbabit bagi mengesahkan sama ada positif influenza A (H1N1)," katanya kepada Bernama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kesemua penuntut yang dijangkiti ILI sebelum ini telah dikuarantin di sebuah blok sebelum arahan penutupan kampus dikeluarkan.

Minggu lalu, semua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar telah diarah tutup selama seminggu selepas 10 sampel darah pelajar yang dijangkiti ILI disah H1N1.

Penularan virus ILI


Di PULAU PINANG, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Pooh berkata arahan penutupan serta-merta Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin (A) dan kampus kejuruteraan USM itu adalah bagi mengelak berlaku penularan virus ILI kepada pelajar lain.

"Langkah segera diambil selepas sejumlah pelajar di sekolah berkenaan dan USM dikesan dijangkiti virus seperti influenza atau ILI kerana Kementerian Kesihatan tidak mahu penyakit itu merebak kepada pelajar lain," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini kerana semua langkah pencegahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah diambil.

"Walaupun semakin banyak sekolah dan pusat pengajian di negeri ini ditutup ekoran wabak itu, keadaan penularan penyakit berkenaan terkawal kerana Jabatan Kesihatan telah mengambil pelbagai langkah segera," katanya.

Phee turut menasihatkan mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan supaya berdisplin dan mematuhi arahan kuarantin yang ditetapkan Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar USM Mohamad Abdullah menerusi satu kenyataan media di sini berkata USM terpaksa menutup pusat pengajian kejuruteraan berkenaan selepas 20 pelajarnya dikesan dijangkiti penyakit ILI.

Katanya hanya aktiviti akademik serta kuliah ditangguhkan dan ia akan dijadualkan semula nanti.

"Aktiviti lain akan berjalan seperti biasa," katanya.

KYPM Pahang ditutup seminggu

Di KUANTAN pula, KYPM Pahang ditutup selama seminggu bermula semalam selepas empat pelajarnya disahkan positif influenza A (H1N1).

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar KYPM Naimah Abdul Muttalib berkata pihak pengurusan kolej juga telah mengarahkan supaya semua 1,043 pelajarnya pulang ke kediaman masing-masing.

"Seramai 91 pelajar dikuarantin bermula Jumaat lepas atas arahan Jabatan Kesihatan selepas mengadu demam dan tidak sihat. Selepas melakukan pemeriksaan, seramai 10 orang disyaki H1N1 sebelum mendapati empat orang daripada mereka sah positif H1N1 semalam.

"Semua pelajar juga diarahkan supaya tidak pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan awam dan mereka mesti dijemput keluarga masing-masing,"
katanya kepada pemberita hari ini.

Mereka juga perlu mengikut arahan keselamatan yang ditetapkan supaya tidak menjangkiti ahli keluarga mereka ketika di rumah, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Naib-naib Canselor/Rektor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak pula menasihatkan ibu bapa yang anak-anak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan virus influenza A (H1N1) di kampus-kampus IPTA digalakkan mengambil sendiri anak-anak mereka.

Ini kerana dengan membiarkan pelajar menggunakan pengangkutan awam akan mendedahkan mereka kepada orang lain serta meningkatkan penularan dan risiko jangkinan wabak berkenaan, katanya.

Minta keluarga ambil anak


"Jawatankuasa Naib-Naib Canselor dan Rektor IPTA yang bersidang di Universiti Malaysia Kelantan pagi ini menyeru ibu bapa yang anak-anak mereka menghadapi masalah kesihatan terutamanya berkaitan dengan jangkitan selesema H1N1 supaya dapat mengambil sendiri anak mereka.

" Bagi pelajar yang menuntut di Sabah dan Sarawak, mereka akan dibantu oleh pihak IPTA masing-masing,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkifli yang juga Naib Canselor USM berkata mereka yang terpaksa berada di dalam kampus akan dibantu dengan sewajarnya oleh pihak universiti.

"Semua universiti dengan kerjasama agensi-agensi yang terlibat khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani hal tersebut," katanya.

Dzulkifli berkata para pelajar pula perlu bekerjasama membuat pemeriksaan di klinik-klinik universiti atau pusat kesihatan berhampiran jika mempunyai simptom terutamanya apabila demam yang tinggi dan berterusan.

Katanya universiti akan melakukan apa sahaja untuk menanganinya namun perlu ditegaskan, bagi kampus-kampus yang terlibat hanya aktiviti akademik yang ditangguhkan seketika manakala urusan-urusan lain universiti berjalan seperti biasa.

Kem PLKN ditutup

"Ibu bapa dan pelajar dinasihatkan untuk menghubungi universiti jika perlu dan jangan mempercayai khabar angin," katanya.

Sementara idi JOHOR BAHRU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita an Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Johor Dr Robia Kosai berkata enam institusi pengajian tinggi dan satu kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) i negeri itu ditutup seminggu sejak semalam bagi mencegah penularan H1N1.

Dr Robia berkata institusi yang ditutup itu adalah Institut Latihan
Perindustrian (ILP) Ledang, ILP Mersing, ILP Pasir Gudang, Kolej Radiografi ohor Baharu, Institut Kemahiran Mara (IKM) Larkin dan Politeknik Johor Bahru erta PLKN Sekakap, Mersing.

"Prosedur menutup sementara semua institusi dan kem PLKN sehingga 4 Ogos ini dalah prosedur biasa sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Katanya notis mengenai penutupan semua institusi itu sudah ditampal dan iedarkan manakala semua pelatih institut itu juga sudah dibenarkan pulang ke umah masing-masing.

Di KUCHING, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dan Sekolah enengah Kebangsaan Bako Kuching diarahkan ditutup selama seminggu bermula hari ni selepas beberapa pelajar di kedua-dua tempat disyaki dijangkiti influenza A (H1N1) hari ini.

Semalam, Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua Miri menjadi sekolah pertama di bahagian itu yang diarahkan ditutup selama seminggu selepas seorang pelajar lelaki dimasukkan ke Hospital Miri berikutan simptom seperti selesema.

UPSR, PMR, SPM, STPM diteruskan

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata semua peperiksaan kebangsaan - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak akan ditangguhkan walaupun jangkitan Influenza A(H1N1) semakin membimbangkan.

Katanya, peperiksaan itu terutamanya UPSR September ini, akan tetap diteruskan dan mungkin dilakukan di hospital jika perlu.

"Peperiksaan-peperiksaan ini berpusat, maka kita tidak boleh tukar tarikh sewenang-wenangnya. Antara pilihan yang kita ada ialah melakukan peperiksaan di hospital untuk calon yang sedang dirawat atau melakukannya di sekolah masing-masing tanpa kehadiran pelajar lain yang bukan calon peperiksaan," katanya kepada Bernama.

Alimuddin berkata pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah terbaik menjalankan kesemua peperiksaan itu dalam masa terdekat.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah ditutup kurang daripada seminggu akibat penularan penyakit itu. Setakat ini, terdapat empat kematian akibat penyakit itu.

Alimuddin juga berkata alat seperti topeng mulut dan hidung serta cecair nyahkuman akan diedar ke semua sekolah tidak lama lagi bagi mencegah penularan virus itu.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember.

http://www1.malaysiakini.com/news/109546

Monday, July 27, 2009

Korban kedua H1N1 di Malaysia

Jul 27, 09 4:14pm
Wabak selesema A (H1N1) memakan korban kedua - lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, 12.35 tengahari semalam.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi di hospital swasta di Subang Jaya.

Rakyat tempatan itu yang bekerja di Belgium pulang pada 4 Julai lalu mula mengalami demam serta batuk selepas bercuti bersama keluarga di Langkawi pada 13 Julai.


Si mati kemudian mendapat rawatan di hospital swasta di Petaling Jaya pada 16 Julai dan pemeriksaan dada menunjukkan korban mengalami pneumonia, kata ketua pengarah kesihatan.

"Kes dirujuk ke hospital swasta yang lain di Subang Jaya pada 19 Julai untuk rawatan di unit rawatan rapi.

"Ujian sampel tekak buat pada 22 Julai dan sahkan positif influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 23 Julai,"
kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Menurut kenyataan rasmi Dr Mohd Ismail, daripada 49 kes terbaru hari ini, 29 kes daripadanya di sembilan gugusan penularan baru dan 13 lagi kes daripada empat gugusan sedia ada.

Tujuh kes selebihnya, termasuk satu kes kematian itu, dikelaskan sebagai kes terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A (H1N1) hingga kini 1,124 kes, termasuk 550 kes jangkitan tempatan.

Maklumat berkaitan kes terbaru di sembilan gugusan penyakit seakan-akan selesema (ILI) seperti berikut:

Lima kes di kalangan pelajar Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Kuala Sungai Baru, Melaka. Seramai 58 dari 1,477 orang pelatih dan kakitangan institut berkenaan dikesan mengalami gejala ILI sejak 23 Julai.

Kolej tersebut ditutup Sabtu lalu sehingga 1 Ogos.

Dua kes di SMK Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Terdapat 18 pelajar daripada keseluruhan 625 pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala ILI bermula dari 23 Julai.

Sekolah ini ditutup bermula Khamis lalu sehingga 30 Julai.

Empat kes melibatkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Terdapat 282 pelajar bergejala ILI bermula 21 Julai. Universiti tersebut ditutup dengan memberikan cuti semester lebih awal sejak Sabtu lepas hingga 2 Ogos.

Tiga kes di SMK Bako, Kuching, Sarawak. Terdapat 41 orang daripada 1,549 warga sekolah mempunyai gejala ILI sejak 17 Julai. Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau kejadian ILI di sini.

Tiga kes positif di sebuah kelas di SMJK Cina Katholik, Petaling Jaya, Selangor. Terdapat empat daripada 49 pelajar mempunyai gejala ILI sejak 21 Julai.

Lima kes di SM Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor. Terdapat 59 daripada 994 pelajar dan guru mempunyai gejala ILI bermula 22 hb Julai.

Akibatnya, sekolah ini telah ditutup mulai Jumaat hingga 30 Julai.

Empat kes didapati positif di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat 23 daripada 240 pelajar asrama mempunyai gejala ILI sejak 25 Julai dan sekolah ini ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Satu kes didapati positif di SM Agama Kota Kinabalu, Sabah. Terdapat enam daripada 470 warga sekolah mempunyai tanda ILI dari 25 Julai dan sekolah ditutup mulai semalam hingga 2 Ogos.

Dua kes di SM La Salle, Tanjung Aru, Sabah. Empat daripada 800 pelajar mempunyai gejala ILI dari 21 Julai.

Pejabat Kesihatan Daerah sedang memantau sekolah ini.

Sementara itu, Bernamamelaporkan, Kementerian Pelajaran merancang mengedarkan alat mencegah jangkitan virus wabak itu ke semua sekolah, membabitkan peruntukan RM3.6 juta.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) bagi mengedarkan termometer, topeng muka dan hidung serta cecair penyahkuman.

"Ini langkah terbaik dalam usaha kementerian mencegah H1N1. Pemakaian topeng muka dan hidung serta bahan penyahkuman juga merupakan sebahagian latihan kebersihan di kalangan murid," beliau dipetik berkata selepas taklimat perkembangan H1N1 di Johor Bahru hari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/109351
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...