Showing posts with label Talent Corp - Perbadanan Bakat. Show all posts
Showing posts with label Talent Corp - Perbadanan Bakat. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

GAGAL UNDI DARI LUAR NEGARA, SPR DISAMAN

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 31ST, 2011

Sekumpulan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi.Keenam-enam mereka yang bekerja di United Kingdom memohon untuk didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya ke-13 akan datang.
Sebaliknya, SPR hanya mendaftarkan mereka sebagai pengundi biasa yang mesti kembali ke negara untuk membuang undi secara fizikal.

Antara ‘litigant’ itu, Dr Teo Hoon Seong dalam dalam kenyataan medianya berkata hak untuk mengundi adalah asas bagi demokrasi.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan setiap warga negara diberi layanan adil mengikut undang-undang yang membenarkan mereka melaksanakan hak berkenaan,” katanya.

Adalah dijangkakan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan memulakan saman ke atas SPR atas kegagalan menyediakan hak mengundi yang dijamin di bawah Perlembagaan Malaysia. Kebanyakan negara termasuk juga jiran Malaysia iaitu Indonesia menggunakan kedutaan mereka di luar negara untuk membolehkan rakyat mereka bekerja di luar negara mengundi.

Dalam perkembangan berkaitan hari ini, dianggarkan sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara sehingga April tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany, berkata angka itu dikeluarkan Bank Dunia berikutan kajian bersama dengan Unit Perancang Ekonomi JPM.

Beliau berkata, penubuhan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) adalah langkah tepat dalam usaha menarik mereka untuk kembali berkhidmat di tanah air.

“Antara usaha TalentCorp untuk menjangkau golongan ekspatriat Malaysia yang masih bekerja di luar negara termasuk pelaksanaan program Returning Expert Programme (REP),” katanya ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai warga Malaysia berkenaan.

Katanya, bagi mereka yang masih ingin bekerja di luar negara, TalentCorp berusaha membina jaringan profesional dengan mereka untuk mengketengahkan peluang pekerjaan serta menggunakan kepakaran dan jaringan mereka di luar negara yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi negara.

“TalentCorp menjalankan sesi temu seru bagi membina jaringan dengan warga Malaysia di luar negara, termasuk di Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/10/gagal-undi-dari-luar-negara-spr-disaman/

Thursday, March 3, 2011

TalentCorp tumpu merit tapi tak ketepikan Melayu

TalentCorp tumpu merit tapi tak ketepikan Melayu
Salhan K Ahmad & Hazlan Zakaria
Mac 2, 11
4:13pm

Ketua pegawai eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad Johan Mahmood Merican berkata, usaha agensi berkenaan dalam meningkatkan pekerja berkemahiran tinggi dalam negara ini akan dijalankan berasaskan merit.

Tegasnya, langkah itu akan dilaksanakan walau terdapat NGO hak Melayu yang terus menekan kerajaan supaya Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dilaksanakan dengan polisi berasaskan kaum.

NONENamun, usaha yang akan dilaksanakan itu tidak akan bertentangan dengan kepentingan orang Melayu mahupun mana-mana kaum, kata Johan lagi dalam satu wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tuntutan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang terus menuntut supaya golongan Melayu diberi kelebihan dalam program transformasi ekonomi.

Johan (kanan) berkata, beliau tidak berniat untuk merendah-rendahkan perlembagaan yang memperuntukkan kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera.

"Saya menyokong kemajuan orang Melayu. Saya sendiri seorang Melayu dan saya mahu melihat orang Melayu maju," kata Johan, 37.

Graduan dalam bidang Ekonomi dari University of Cambridge itu berkata, orang Melayu perlu membina kekuatan untuk membolehkan mereka maju.

Bagi tujuan itu, masyarakat Melayu perlu diberi akses kepada pendidikan dan peluang ekonomi yang setara untuk membolehkan golongan itu berkembang maju, katanya.

Peluang yang sama juga perlu diberikan kepada golongan itu dalam mendapatkan peruntukan dan juga pekerjaan, katanya lagi.

Katanya, agenda untuk kemajuan Melayu telahpun dinyatakan dalam dokumen Model Baru Ekonomi (MBE) dan juga dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Tambahnya, dasar perlu diubah setelah kemampuan golongan bumiputera telah berjaya ditingkatkan bagi memastikan golongan itu terus kompetitif berdasarkan kemampuan mereka sendiri.

"Inilah haluan yang perlu diambil oleh negara – berdasarkan (tujuan supaya) masyarakat bumiputera tidak ketinggalan, tetapi juga memastikan mereka boleh berkembang," katanya lagi.

Katanya lagi, golongan pekerja juga perlu mampu bersaing dalam mencapai sasaran ekonomi berpendapatan tinggi.

“Jadi apabila kita memacu ekonomi kompetitif untuk sesuatu yang berdasarkan merit, ia mungkin dilihat kejam, tapi ia bertujuan menjadikan kita lebih kuat," katanya lagi.

[Baca laporan penuh]


http://malaysiakini.com/news/157511

Tuesday, December 7, 2010

Talent Corp mula operasi 1 Januari

Dis 6, 10 3:18pm

Talent Corporation, yang ditubuhkan untuk menarik, memotivasi dan mengekal modal insan berkemahiran, akan mula beroperasi pada 1 Januari 2011.

Ketika melancarkannya di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pas residen akan ditawarkan kepada modal insan berkemahiran tinggi ekspatriat untuk menetap dan bekerja di Malaysia.

Beliau juga berkata pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam yang terpilih akan diberi kelonggaran untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama dalam bidang NKEA.

Sementara itu, perdana menteri juga mengumumkan inisiatif-inisaitif dasar baru bertujuan memenuhi keperluan bagi Malaysia mempunyai bakat bertaraf dunia sejajar dengan transformasi ekonomi negara.

Inisiatif dasar yang diluluskan oleh kerajaan itu adalah bagi membolehkan pelajar terpilih dalam program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berkhidmat di luar perkhidmatan awam.

Kerajaan juga meluluskan dasar untuk memperkenalkan pas pemastautin yang membolehkan pemegangnya tinggal dan bekerja di Malaysia untuk satu tempoh yang lama.

"Untuk mencapai hasrat Malaysia menjadi ekonomi yang bertaraf antarabangsa, kita perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk menarik, membangun dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

Najib berkata pemegang biasiswa JPA yang terpilih akan dapat memenuhi ikatan bon masing-masing menerusi pelbagai badan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Katanya pertubuhan khususnya yang ada kaitan dengan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan mekanisme terperinci akan dihasilkan oleh kerajaan tahun depan.

"Kita akui terdapat pelbagai cara untuk menyumbang dan kita sedang mewujudkan peluang-peluang kepada pemegang biasiswa ini untuk berbuat demikian," kata perdana menteri.

Mengenai pas pemastautin, beliau berkata ia akan disediakan kepada pegawai asing yang berkemahiran tinggi yang mahu terus bekerja dan tinggal di Malaysia.

Tidak seperti pas pekerjaan, pas pemastautin ini mempunyai kelebihan iaitu ia tidak terikat kepada mana-mana majikan dan ia meliputi tempoh masa lebih lama dan meliputi juga pasangan pemegangnya, kata Najib.

"Pas pemastautin ini akan juga ditawarkan kepada diaspora Malaysia dan anak-anak mereka yang tidak lagi warga negara malaysia. Pas pemastautin ini adalah satu cara menawarkan kepada mereka satu hubungan dengan Malaysia dan memberikan mereka kemudahan untuk pulang sama ada untuk bekerja atau bersama anggota keluarga," katanya.

Jabatan Imigresen sedia untuk menerima permohonan bagi pas pemastautin ini menjelang 1 April tahun depan, kata Najib.

Perdana menteri mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia sentiasa terbuka dalam bidang perniagaan dan sedia menerima bakat asing yang berkemahiran tinggi yang mampu bekerja untuk memacu transformasi ekonomi Malaysia.

"Sebab itulah tak perlu lagi diiklankan jawatan penting bagi pegawai asing. Tambahan pula kabinet telah meluluskan kelonggaran syarat pas pekerjaan.

"Secara khususnya ini melibatkan pemansuhan had 10 tahun dan syarat wajib menyediakan pelatih bagi jawatan eksekutif," katanya.

Najib berkata Talent Corporation akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan bakat yang diumumkan hari ini.

Beliau berkata syarikat itu yang akan memulakan operasi pada 1 Januari 2011, akan mengandungi Lembaga Pemegang Amanah dan akan dipengherusikan beliau.

Katanya tambahan anggota lembaga itu termasuk dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata Johan Mahmood Merican telah dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad.

"Perbadanan bakat itu bukan hanya setakat membawa rakyat Malaysia di seberang laut untuk balik ke tanah air tetapi juga mengekalkan bakat yang ada di Malaysia juga," katanya.

Najib berkata dianggarkan kira-kira 700,000 rakyat Malaysia bekerja di seberang laut dan kebanyakannya di Singapura dan Hong Kong.

Beliau berkata syarikat itu akan bertindak sebagai perantara yang perlu berhubung dengan sektor swasta dan GLC, untuk menjadi rakan sepadan yang baik bagi menarik rakyat Malaysia untuk bekerja di tanah air.

"Mereka (rakyat Malaysia) tidak boleh dipaksa untuk mendaftar, tapi Talent Corp akan berusaha untuk mengesan mereka dan berhubung dengan mereka sama ada secara fizikal atau online," katanya.

Mengulas mengenai mengenai gaji yang mungkin menjadi isu utama bagi menarik mereka kembali ke tanah air, beliau berkata: "Kita perlu bersaing secara global, jika tidak rakyat tidak mahu kembali ke Malaysia."

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150093


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...