Showing posts with label Hishamuddin Rais. Show all posts
Showing posts with label Hishamuddin Rais. Show all posts

Thursday, September 1, 2011

'Ketuanan' bawa malapetaka

Hishamuddin Rais
Ogos 22, 11
1:55pm

Pada 15 Mei setiap tahun warga Palestin di mana sahaja mereka terbuang akan menyambut hari Nakba - hari Malapetaka. Pada 15 Mei 1948 negara Israel telah dicacakkan ke bumi Arab. Semenjak tarikh itu warga Palestin dan Arab terus hidup dalam kesengsaraan. Tanah mereka telah dirampas. Mereka menjadi orang pelarian. Huru hara berterusan di bumi Arab kerana kerenah kaum Zionis Israel. Nakba ialah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.

Pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu pula menerima Malapetaka. Ini terjadi apabila British meninggalkan kuasa pentabiran kepada United Malays National Organistion. Semenjak 31 Ogos 1957 anak semua bangsa di Tanah Melayu telah hidup dalam kesangsaraan. Dasar 'ketuanan Melayu' telah membawa Malapetaka kepada Tanah Melayu. Justeru, 31 Ogos adalah hari untuk memperingati kesampaian Malapetaka itu.

Pada bulan Ogos tahun 2011 ini saya akan cuba membawa para pembaca untuk memahami konsep dan intipati Malapetaka ini. Memahami Malapetaka 31 Ogos ini amat penting. Jika kita tidak tahu dari mana kita datang maka kita juga tidak akan tahu arah mana yang hendak kita tuju.

Dari sejarah Tanah Melayu, kita diberitahu bahawa pada 20 Jun 1948 British telah mengistiharkan apa yang dipanggil 'darurat'. Untuk saya, darurat ini macam kita dalam kereta tetiba merasa sakit perut yang amat sangat. Maka kita berhenti dan mencari tandas. Kerana tidak berjumpa tandas maka kita terberak dalam belukar di tepi jalan. Kerana tidak ada sumber air maka kita dedat dengan daun. Apa yang saya kisahkan ini ialah suasana darurat. Tetapi pada tahun 1948 dahulu, tidak ada seorang pun warga Tanah Melayu yang dalam darurat. Tidak ada sesiapa yang hendak terberak di tepi jalan.

Apa yang berlaku ialah kuasa kolonial British telah diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya. Gerakan bersenjata ini bertujuan menghalau penjajah British dari Tanah Melayu. Dengan licik Britsih telah mengalihkan perjuangan untuk mendapat kemerdekaan ini kepada darurat. Tidak ada apa yang darurat. Yang hendak terberak di tepi jalan kerana diserang oleh Tentera Pembebasan Rakyat Malaya ialah soldadu upahan British. Soldadu upahan inilah yang sedang dalam darurat.

Berjuang mengangkat senjata ini telah membuka lanskap politik baru ke Tanah Melayu. Kuasa kolonial yang dianggap gagah dan lengkap bersenjata kini telah diserang oleh gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Kuasa kolonial British amat memerlukan bumi Tanah Melayu kerana dari bumi kita ini terdapat kekayaan bijih dan getah. Punca ekonomi inilah yang ingin dipertahankan oleh penjajah. Politik ialah ekonomi. Memiliki kuasa politik memiliki punca ekonomi. Justeru penjajah British bertahan kerana lombong bijih dan ladang getah.

Serangan bersenjata dari gerila pembebasan ini menjadikan kuasa kolonial terus berdarurat. Akhirnya British merancang satu strategi baru. Jika terus menjajah maka perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya ini akan merebak luas. Tuntutan untuk merdeka akan merebak untuk menjadi ajenda anak semua bangsa. Keadaan sedemikian amat bahaya untuk British.

Justeru, British memerlukan budak suruhan yang baik sebagai ganti sebelum mengundur. Dengan licik dan terancang British telah memasang dua "kuda tunggang" -- Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Seperti di Iraq hari ini kuasa kolonial Amerika memasang lebih dari seekor kuda. Ada kuda bernama Nouri al-Maliki, ada Jalal Talabani dan ada Tariq al-Hashmi.

Kuasa kolonial kulit putih sedar dengan memasang beberapa ekor kuda mereka akan dapat mencari budak suruhan yang setia. Terlalu ramai anak tanah jajahan yang bersedia untuk menjadi budak suruhan dan mengikut kata tuan kolonial. Taktik British cukup senang - siapa yang dapat membuktikan yang mereka lebih setia kepada tuan penjajah maka sosok itu akan dinobatkan. Inilah taktik kuasa kolonial dalam percaturan realpolitik. Ia berlaku dahulu dan sedang dijalankan sekarang.

Di Tanah Melayu kuasa kolonial British telah memilih United Malay National Organsiation untuk menjadi budak suruhan mereka. Parti Kebangasan Melayu Muda, AWAS, API, Hisbul Muslimin, Parti Komunis Malaya - adalah parti-parti yang menentang British. Parti-parti ini mengangkat senjata menentang British. Parti ini akan membawa merdeka tetapi amat bahaya untuk kepentingan British. Ini berbeza dengan United Malay National Organisation yang bekerjasama dan menjadi budak suruhan.

Buktinya apa yang saya tulis ini cukup jelas. Pada bulan Ogos ini cuba baca - tak perlu beli - akhbar milik United Malaya National Organisation. Akan penuh dengan dengan kisah melawan komunis. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka. Ketika anak semua bangsa bangun melawan penjajah British, United Malay National Organisation seperti diupah oleh British untuk menentang dan melawan orang yang menentang British. Orang angkat senjata lawan British, gerombolan ini angat senjata lawan orang yang lawan British. Inilah kerja budak suruhan. Inilah Malapetaka yang saya maksudkan.

Kita akan muntah setiap tahun apabila melihat Bukit Kepong di kaca TV. Memang betul ada serangan ke rumah pasong Bukit Kepong. Memang betul polis yang diserang ketika itu adalah polis Melayu. Tetapi polis Melayu ini adalah polis upahan British. Kerana mereka Melayu tidak semestinya apa yang mereka lakukan baik dan betul. Melayu bukan bermakna betul. Ada Melayu budak suruhan dan ada Melayu nasionalis.

Anak muda hari ini juga wajib diberitahu bahawa serangan Bukit Kepong itu dipimpin oleh Mat Indera. Mat Indera ialah seorang nasionalis kiri Melayu. Ini tidak terdapat dalam filem Bukit Kepong kerana United Malay National Organisation tidak mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada Melayu yang berani angkat senjata melawan British. Dan dalam Parti Komunis Malaya amat ramai ahlinya, kadernya dan pucuk pimpinan terdiri dari orang Melayu.

Dari awal lagi British telah menjalankan dasar pecah dan perentah. Melayu, Cina dan India tidak akan dibenarkan bersatu. Pada tahun 1947 apabila ada kerjasama dan setiakawan yang erat di antara bangsa-bangsa maka muncul Perlembagaan Rakyat. Jawapan British kepada Perlembagan Rakyat 1947 ialah melakukan penangkapan beramai-ramai. Satu tahun kemudian Tanah Melayu diistiharkan darurat - perang kolonial bermula.

Dasar pecah dan perintah dan dasar rasisme British ini telah diambil oleh United Malay National Organsation untuk digunapakai hingga ke hari ini. Justeru, sebagai contoh terbaru, kita lihat bagaimana media dan TV United Malay National Organisation cuba menunjukan kepada umum bahawa tidak ramai bukan Melayu yang turut serta dalam tunjuk perasaan BERSIH pada 9 Julai dahulu. Maknanya gerakan BERSIH ini tidak dapat sokongan dari masyarakat bukan Melayu. Ertinya 9 Julai gagal.

Taktik pecah dan perintah ini adalah taktik yang ampuh untuk digunapakai oleh pemerintah yang zalim. Lihat di Palestin. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini tanpa henti henti. Warga Palestin terus diserang oleh kaum Zionis. Bagitu juga di Tanah Melayu, semenjak 31 Ogos 1957 dahulu, Malapetaka ini bukan berkurangan malah terus bertambah. Malapetaka yang dibawa oleh United Malay National Organisation ini dari hari ke hari semakin mencekik kehidupan warga.

Kaum Zionis di Palestin telah menggunakan rasisme sebagai senjata yang ampuh. Kaum Yahudi telah dinobatkan sebagai kaum terpilih bukan sahaja di dunia ini malah di akhirat juga. Di Tanah Melayu ini, United Malay National Organisation telah mengunakan falsafah 'ketuanan Melayu' dimana dikatakan manusia Melayu memiliki hak-hak yang istemewa. Diheboh dan dicanang ke hulu ke hilir bahawa tanpa 'ketuanan Melayu' dan tanpa United Malay National Organisation negara kita ini tidak mungkin wujud. Inilah apa yang saya katakan Malapetaka.

Hari ini secara dirancang melalui akta dan peraturan garis pisah bangsa-bangsa telah diwujudkan. Melalui hukum dan syarat yang disadur dengan hujah agama, tembok pemisah telah didirikan. Setiakawan antara India, Melayu dan Cina tidak dibenarkan mengampuh budaya bangsa. Prasangka antara bangsa -bangsa sengaja diatur dan disusun untuk memastikan orang ramai terus syak wasangka sesama sendiri. Suasana syak wasangka ini amat baik untuk United Malay National Organisation meneruskan kuasa. Inilah yang saya maksudkan dengan Malapetaka.

Ogos bulan Malapetaka ini sedang memperlihatkan kepada orang ramai bagaimana taktik pecah dan perintah dijalankan. Minggu lalu, tiba-tiba media kita heboh dengan berita Melayu murtad. Berita Melayu makan dalam gereja. Berita tentang penganut agama Kristian bersedekah kerana berniat untuk memurtadkan Melayu. Semua yang berlaku ini sebenarnya ialah taktik United Malay National Organisation.

Sebelum berita Melayu murtad ini kita telah membaca berita kepala babi ditemui dalam kawasan masjid. Berita masjid dilempar cat. Berita gereja dibakar.

Apa makna semua ini?

Semua ini adalah taktik dan strategi gerombolan untuk menakut-nakutkan Melayu. Manusia Melayu wajib terus ditakutkan. Jika manusia Melayu takut maka mereka akan mencari perlindungan. United Malay National sedang memasang lukah untuk memerangkap Melayu yang takut. Apa dia Melayu yang takut?

Melayu yang takut adalah Melayu yang rendah diri. Melayu yang berjiwa hamba. Melayu yang sanggup mencium ke bawah duli. Melayu yang telah bagitu lama ditakut-takutkan sehinggakan tidak lagi memiliki inisiatif sendiri. Melayu yang takut ini cukup bijak dengan budaya bodek yang telah disebarkan oleh United Malay National Organisation. Melayu yang takut ini hanya sanggup menerima fatwa kerana tidak ada memiliki fikrah yang kritikal. Otak manusia Melayu yang takut ini telah di bonsaikan oleh United Malay National Organisation semenjak 31 Ogos 1957. Justeru tarikh itu saya nobatkan sebagai hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. END


http://malaysiakini.com/columns/173744

Friday, August 12, 2011

Malapetaka Ogos

Hishamuddin Rais
Ogos 6, 11
11:33am

Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan huruf M besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Setiakawan melawan penjajah

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.

Semua bangsa dipanggil Melayu

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jjika tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation?

Tidak berkesudahan

Sejarah jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.

Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.


http://malaysiakini.com/columns/172154

Friday, July 29, 2011

Makna dan tanda 9 Julai

Hishamuddin Rais
Jul 27, 11
3:54pm

Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum Zionis.

Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari 'malapetaka' pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.

Tetapi apa sangkut pautnya malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.

Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.

Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot - diambil daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis Maginot.

Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua kapal yang membawa bala tenteranya.

Tariq ibni Ziyad telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan - iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih dari ini.

Sekarang mari kita sama-sama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai yang ambil pot.

Lawak menjadi seram

Ada komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.

Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.

Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu, presiden atau perdana menteri, semua menggunakan 'takut' sebagai alat. Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.

Apa yang telah dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja orang suruhan.

Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.

Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.

Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.

Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.

Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh 'desas bin desus'. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan

Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000 warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?

Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi 'Garis Takut'. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.

Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.

Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.

Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda - anak semua bangsa - tidak ambil pot langsung terhadap Pekasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.

Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua - para penyokong Bersih - telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.

Pasti ada yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang lalu?

Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah 'Kapal Kerajaan Perpaduan'. Seperti Tariq ibni Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan di Menara Maybank.

Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.

Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak 31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.


http://malaysiakini.com/columns/171193

Sunday, July 24, 2011

Bersih & Nakba orang Melayu

Hishamuddin Rais
Jul 19, 11
5:40pm

Maka pada pagi yang mulia ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu-cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya; agar cucu-cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di kurun masehi ke-21 ini.

Biarlah hamba menjadi tok perawi yang sahih, membawa kisah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu-cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kisahkanlah hendaknya. Amin.

Wahai anak cucu-cicit sekalian, kisahnya bermula dari sini:

Di negeri Arab Palestin berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestin dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestin melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.

Kesedihan orang Palestin itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku-sakatnya.

Inilah malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini.

Semenjak malapetaka ini sampai, hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah dibodoh-bodohkan. Orang Melayu telah digula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampun, inilah malapetaka. Inilah Nakba.

Adalah hendak dijadikan cerita, hamba hanyalah tok perawi yang membawa kisah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri.

Telah terdengar kisah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihan raya setiap kali.

Maka nujum dan pawang pun dipanggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang.

Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari-hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika.

Saat itulah saat gembira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang bersih disalut oleh hati yang bersih.

Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita.

Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.

Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkanlah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa.

Pemikir dan soldadu mendapat upah, mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu dibodoh-bodohkan.

Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata.

Adalah mengikut surah ini si mamat ini bangang lagilah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng, mukanya pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan buntut tersadai.

Si mamat ini disurahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau di dalam parit tetapi ditepi busut, di sebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat mat pet berjual beli.

Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang-layang memenggal leher ibu dan abang.

Tidak cukup dengan kisah bom dan parang di tepi Sogo, datang pula kesah seorang mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun.

Bukan di Kerinchi, bukan di Pandan tetapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak di sebelah kuil Cina. Mengikut kisahnya, si mamat ini sedang berusaha menanam parang, bom dan senjata.

Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kisahkan lagi. Inilah cara, inilah gaya, inilah teknik, inilah strategi untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya.

Adalah bom, adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya bersih membawa senjata.

Inilah tipu, inilah helah. Inilah rupa kerja manusia yang di waktu siangnya dia menipu, di waktu malamnya dia menjarah. Biarlah di sini hamba memanjangkan surah. Wahai abang- abang dan kakak-kakak, sila lihat, sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov.

Aduhai bodohlah SB yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.

Tidak cukup dengan ini, tipu helah gerombolan terbongkarlah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail, carilah surah.

Bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishamudin. Molotov cocktail perlu botol kaca. Botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.

Aduhai segala hamba Allah, berita yang dirancang oleh gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa penutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung sang puteri.

Apakah otak, apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hamba yang menjadi tok perawi kini jadi serba salah. Nak menangis pun ada, nak tersenyum pun salah.

Tidak cukup dengan ini, seantero negeri pun mula diberitahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berlegar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta diperiksa.

Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta digeledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.

Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral, ada yang mula berkata, tugas tentera bukan untuk gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat, orang kampung, sanak saudara, sahabat dan taulan.

Mengikut tuan yang empunya ceritera, apabila Najib diberitahu duduk perkara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih, kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.

Hambo sebagai tok perawi tidak mahu berlagak sombong. Hamba hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa, adik dan kakak jangan senyum, tapi ketawalah terbahak-bahak. Hamba nak royak kisah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak.

Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut.

Semua mula berkata: "Kami tak takut."

Auta Perkasa sudah terserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak. Jangan menuduh hamba ini tok perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita.

Perkasa lesap hilang entah ke mana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir, berkelintau memukau, akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.

Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hamba diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka menantu ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangladesh diberi upah pakai baju merah.

Tak cukup dengan Mat Bangladesh, si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai, mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.

Kepada cucu-cicit yang akan datang zaman berzaman, marilah kita belajar dari alkisah ini. Hendaknya kisah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut, dari laman ke laman, dari blog ke blog, dari Twitter ke Twitter.

Di akhirnya, ini hamba sebagai tok pewaris ingin mengundur diri. Hamba di sini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan.

Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datanglah taufan, datanglah Perkasa, datanglah silat, datanglah Patriot.

Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah malapetaka busuk ini, pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa-apa, Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.


http://malaysiakini.com/columns/170403

Friday, July 8, 2011

Negara kebajikan melalui sosialisme

Hishamuddin Rais
Jul 5, 11
5:12pm

Tiba-tiba negara kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan muktamar PAS tahun 2011 baru-baru ini. Hasil dari muktamar ini, umum diberitahu bahawa PAS akan menjadikan negara kebajikan sebagai akidah perjuangan.

NONEBila sahaja PAS mengajukan negara kebajikan kepada umum, dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru, mengikut United Malays National Organisation PAS hanya menjadi "pak turut".

Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya negara kebajikan. Saya yakin, ramai yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalankan dasar negara kebajikan.

palestine hamas and fatah unite 270209 01Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai agenda negara kebajikan, ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam negara kebajikan.

Hampeh. Pengakuan United Malay National Organisation ini betul-betul mengelirukan ramai warga. Pengakuan United Malay National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui bahawa dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama negara kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation bukan negara kebajikan.

Sudahnya kita semua menyedari 'cakap tipu' United Malays National Organisation ini. Biar saya sambung penerangan tentang negara kebajikan. Sesebuah daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia wujudiah kita pada hari ini hanya ada dua bentuk sistem ekonomi - ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain-lain hanyalah pecahan dari sistem ekonomi ini.


Saki baki budaya feudal

Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.

Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal. Sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang menjadi lambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat orang Melayu tunduk kepada raja walaupun raja itu hampeh. Hingga ke hari ini saki-baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.

malaya malaysia old days circa 17 century 300807 01Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Arab Saudi telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Kutub Utara yang sejuk bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.

Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tata susila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang sedia dipakai.

Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi - kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin di capai.

dap protest against lynas 150511 03 dramaIni adalah hakikat bertentangan antara dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba dikelentong dengan kata-kata 'sama-sama menang' atau win-win situation. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama-sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng akan dibuka, yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama-sama untung.

Dalam bahasa orang kampung - tidak mungkin tauke untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya ini adalah kata-kata dari orang gila yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar atau membaca kata-kata win-win situation. Kata-kata ini datangnya dari mulut politikus United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.

Kepentingan ekonomi

Dalam sisem ekonomi kapitalis, pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan tauke balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafik yang menyorokkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.

Saya amat berharap para pembaca yang budiman faham bahawa politik itu adalah ekonomi. Perebutan kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini dalam negara kita.

NONEBiar saya jelaskan bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini akan menyokong United Malays National Organisation kerana parti ini menyebelahi kepentingan mereka.

Bagitu juga pendokong yang mengajukan sistem ekonomi sosialis. Mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis, pihak yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin yang hidup tanpa harta kekayaan.

Justeru, sekali lagi saya tunjukan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul, di mana hendak kita letakkan negara kebajikan yang telah diajukan oleh parti PAS?

Biar saya terangkan dengan sejelas mungkin tentang negara kebajikan ini. Negara kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa negara kebajikan ini satu sistem ekonomi. Bukan.

Naratif dalam al-Quran

Negara kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa kemunculan negara kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa PAS ini bukan parti sosialis. Pas mengakui diri sebagai parti Islam. PAS sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.

pas muktamar 030611 audience 02Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci al-Quran yang dimunculkan adalah ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan negara kebajikan. Justeru terpulanglah kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan negara kebajikan.

Di tahap tamadun manusia hari ini, negara kebajikan hanya dapat diwujudkan melalui struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan, bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?

Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh propaganda 'perang dingin' yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideologi sistem ekonomi. Ideologi sistem kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Rusia. Pertempuran ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

NONEAdalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti enjin kereta yang wujud. Tugas enjin hanya untuk bergerak dari kampung ini ke kampung itu. Tidak mungkin enjin kereta ini beragama dan bertuhan.

Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua akan memiliki pandangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang penganut agama Islam yang selalu bersedekah; tetapi dia juga seorang kapitalis besar. Harta kekayaan Syed Mukhtar datangnya dari tenaga kaum buruh.

Seorang lagi kapitalis besar ialah Bill Gates. Bill Gates tuan empunya Microsoft adalah seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan, bukan agama dan kepercayaan yang penting tetapi akidah. Bill gates dan Syed Mukhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Kaum kapitalis mencari untung. Akidah mereka ialah keuntungan maksima.


http://malaysiakini.com/columns/168992

Monday, June 27, 2011

Apa jadi dengan 'Yu Gi'?

Hishamuddin Rais
Jun 20, 11
8:10pm

Para pembaca yang budiman, aku rasa agak ramai pembaca yang agak kabur tentang konsep dan falsafah negara kebajikan. Apabila parti PAS mengajukan negara kebajikan sebagai raison d'être atau matlamat dan garis perjuangan parti, kelihatan musuh utama rakyat Malaysia - United Malays National Organisation – menjadi sasau.

Secara mengejut, tiba-tiba benggolan-benggolan dari United Malays National Organisation menjadi sasau dan mamai. Entah pelesit mana yang datang merasuk. Dengan mengejut secara tiba-tiba Mahathir Mohamad, Najib Razak, Nazri Aziz, Utusan Malaysia dan PERKASA meluahkan cinta berahi mereka terhadap para ulama PAS.

Aku perhatikan, tanpa segan silu mereka 'frust menonggeng' dan tergolek menangis, merayu dan meraung apabila negara Islam tidak lagi dijadikan agenda politik oleh PAS. Dengan penuh sasau mereka ingin memeluk dan mencium para ulama PAS, terutama yang telah kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

Cerita sedih ini menjadi lucu apabila Ibrahim Ali merasa kesucian agamanya tercemar apabila PAS mengajukan negara kebajikan. Zul Nordin tersedak hingga tercabut kopiah apabila diberitahu bahawa Mohamad Sabu telah berjaya menduduki kerusi pucuk pimpinan PAS. Utusan Malaysia tidak putus-putus air liur bergebang tentang bagaimana PAS telah menjadi kuda DAP.

Nampaknya kemunculan pimpinan baru dalam PAS ini telah menjadikan United Malays National Organisation kelam kabut dan sampar-larau tak tentu arah tujuan. Ada benggolan yang meminta PAS meninggalkan agenda Islam. Ada benggolan yang berkata PAS telah belot kerana kononnya meninggalkan agenda Islam.

Lawak-lawak seram ini semakin menjadi-jadi. Aku terguling-guling dan ketawa terbahak-bahak hingga tercabut tiga helai bulu hidung apabila terbaca berita tentang Mahathir berfatwa dengan surah dan ayat-ayat Quran.

Bayangkan Mahathir, kaki kelentong ini telah bersalin kulit menjadi seorang lebai. Lebai Mahathir ini telah mula berlabon dengan ayat-ayat Quran. Paling lawak apabila lebai ini menerangkan kepada jemaah suraunya bahawa pimpinan baru dalam PAS ini bermaksud kemenangan untuk Karpal Singh. Macam mana si Karpal ini masuk dalam kes ini, aku pun tak faham.

Aku perhatikan kempen anti-PAS ini akan diteruskan. Kempen ini bertujuan untuk mengharu-birukan PAS dan para penyokong PAS. Kempen yang berjangka panjang ini bertujuan agar muncul tim serpihan 'ulama' dalam PAS. Benggolan-benggolan dalam United Malay National Organisation akan bernazar jika parti PAS retak dan pecah.

Malam membakar fail


Kenapa ini berlaku?

Biar aku terangkan di sini tentang pensejarahan latar belakang agar kita semua dapat memahami realpolitic yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Semuanya bermula pada malam kemenangan pilihan raya yang lalu. Ingat tak malam itu? Jangan lupa malam itu juga dikenali sebagai malam membakar fail di pejabat kerajaan Shah Alam.

Pada malam itu United Malays National Organisation melihat kekalahan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan. Kekalahan di Selangor adalah satu pukulan hebat. Negeri terkaya di Malaysia telah terlucut. Sesudah membakar fail-fail, dengan cepat dan tangkas bermula kerja-kerja jahat.

Khir Toyo menelefon. Beberapa pucuk pimpinan PAS telah dihubungi. Tujuannya untuk melahirkan apa yang dipanggil 'kerajaan perpaduan'. Pekara ini bukan lagi rahsia. Apa yang aku tulis ini bukan fitnah. Semua telah terbarai. Semuanya telah diketahui umum. Apa yang aku lakukan ini hanya merakamkan sejarah ini secara hitam putih putih untuk ingatan cucu cicit kita nanti.

Semenjak malam itu, mimpi berahi United Malay National Organisation untuk kembali berkuasa di Selangor tidak putus–putus. Dalam masa yang sama beberapa benggolan PAS terus dirangsang oleh mimpi berahi untuk menjadi menteri besar dan meniduri jawatan menteri pusat jika kerajaan perpaduan dapat diwujudkan.

Benda yang dipanggil 'kerajaan perpaduan' ini dikenali juga dengan nama manjanya 'Yu Gi'. Yu Gi ini bermakna unity government. Anasir-anasir yang menyokong Yu Gi dalam PAS ini terus bergerak. Di Selangor, ia amat aktif sekali hingga anasir Yu Gi ini berjaya menyingkirkan Saari Sungip dan Khalid Samad dari pucuk pimpinan PAS Negeri.

Selama tiga tahun bahtera PAS terumbang ambing akibat dari kerja-kerja jahat anasir-anasir Yu Gi. Dalam masa yang sama benggolan United Malay National Organisation terus 'memukul telefon' berhubung dengan anasir-anasir Yi Gi dalam PAS. Hubungan sulit terus dilakukan. Cinta kasih sayang mereka terus dibakar. Akhirnya gerak kerja anasir Yu Gi dalam PAS ini telah berjaya menggangu gugat kerja-kerja politik Pakatan Rakyat.

Nafsu dan berahi anasir Yu Gi ini terus dibelai. Justeru pelbagai bentuk kenyaataan telah dibuat. Pucuk pimpinan United Malays National Organisation telah membuat kenyataan tentang betapa indahnya jika Melayu bersenggama dengan Melayu. Betapa gah dan luasnya politik ketuanan Melayu jika Melayu dapat berpadu-padu dengan Melayu.

Sesudah petang Krismas

Aku tersenyum melihat bagaimana pada awalnya kenyataan dan jemputan dari benggolan United Malays National Organisation ini agak berlapik. Tetapi semua ini berakhir pada petang cuti hari Krismas yang lalu. Pada petang itu satu pertemuan sulit di mana Najib, Muhyiddin Yassin, Nik Aziz Nik Mat dan Hadi Awang telah diadakan. Perjumpaan ini menjadi pancit apabila Nik Aziz minta diri berundur.

Kisah Nik Aziz menggagalkan projek Yu Gi ini menjadi gelak ketawa dalam internet. Bayangkan kata-kata Nik Aziz dengan loghat Kelantannya:

"Ambo tok seeh (tidak mahu) padu-padu ni… ambo (saya) minta diri dulu… Ambo nok gi hospital."


Cuba bayangkan bagaimana rupa Najib dan muka Muhyiddin ketika Nik Aziz bangun dan beredar. Betapa sedih dan pilu rasa hati Abang Nasa apabila semua rancangan untuk menubuhkan 'kerajaan perpaduan' gagal. Mimpi Abang Nasa untuk menjadi menteri kabinet jatuh berderai-derai, tergolek-golek.

Sesudah petang Krismas itu, jemputan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan ini mula diajukan tanpa berlapik-lapik. Jemputan ini datang bertalu-talu. Semua bersuara menjemput PAS untuk mendirikan kerajaan perpaduan. Hinggakan Lokman Adam seorang jurufikir ulung United Malay National Organisation sendiri sanggup membuat jemputan secara terbuka di satu forum di Kota Bahru.

Nampaknya hanya Ummi Ufilda sahaja yang tidak menjemput PAS untuk berpadu-padu dengan United Malays National Organisation. Ini mungkin kerana Ummi tidak memahami makna unity government kerana ia disebut dalam bahasa Inggeris.

Cita-cita dan niat United Malays National Organisation untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dengan PAS ini bertujuan untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang akan terus berkuasa. United Malay National Organisation yang semakin terpencil dan terpinggir memerlukan tabung oksigen dari PAS.

Lalu gendang ketuanan Melayu dimainkan untuk memanggil Melayu bertandak. Tetapi sayangnya, memukul gendang Melayu ini aku rasa telah membosankan. Selama 50 tahun gendang Melayu ini telah dipukul. Dari hari ke hari sambutan semakin hambar. Tak ramai anak muda dan berongeng dan bertandak. Bukan sahaja gendang ini memekakkan telinga, malah untuk anak-anak muda gendang Ketuanan Melayu ini tidak dilihat cool.

Cerita puntianak, drakula

Kini jelas, United Malay National Organsiation semakin hilang akal. Ini bukan lagi gila talak. Ini betul-betul jadi gila. Sejarah pilihan raya kecil memperlihatkan mereka kalah teruk dan dilihat terdesak. Undi orang Cina dilaporkan akan seratus-peratus pergi kepada Pakatan Rakyat. Undi Melayu hanya datang dari warga emas dan mak cik Felda. Hanya ada satu berita baik untuk United Malay National Organisation. Pengundi pimpinan Reezal Merican dan Abdeel Azeez masih tetap setia. Syukur.

Muktamar PAS yang baru berlalu dahulu bagitu bersejarah sekali. Ia membawa perubahan lanskap politik yang hakiki. Aku berpendapat, selesai sahaja muktamar PAS, pintu Yu Gi telah tertutup.

Anasir-anasir Yu Gi jelas terpelanting dari pucuk pimpinan. Abang Nasa diberitakan menangis kerana telah ditikam oleh 'geng' sendiri. Sebuah syarikat pun tak ada peluang untuk mengucapkan syabas kepada Hasan Ali kerana dia sendiri telah tercabut kuasa dari PAS Selangor.

Untuk menyeronokkan cerita, biar aku buka cerita puntianak dan drakula. Mengikut kisahnya, Count Dracula yang meracau sesudah mati hanya dapat dibunuh dengan tikaman salib. Legenda Dracula ini tak jauh bezanya dengan cerita puntianak orang Melayu. Mengikut kisah cerita, minah puntianak akan berhenti menggangu kampung apabila tengkoknya dipaku.

Tentu tuan pembaca yang budiman akan bertanya, Apa sangkut pautnya puntianak dan drakula dengan politik tanah air kita? Mari sini ambo nak royak. Dengar baik-baik.

Apabila abang Mat Sabu menang dan menduduki tempat kedua dalam PAS, ini samalah seperti paku akan akan memaku si puntianak yang bernama Yu Gi. Puntianak Yu Gi yang meracau meroyan ini akan dikuburkan. Yang tinggal sekarang hanyalah pelesit tidak berjenjang.
Tak faham?

Kalau tak faham tunggu minggu depan.


http://malaysiakini.com/columns/167506

Friday, June 17, 2011

Antara dua garis politik

Hishamuddin Rais
Jun 3, 11
12:50am

Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Ada yang menarik. Sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu - si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisahkan macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolung ke dalam satu kelas. Secara kasar, ada dua kelas - yang memerintah dan yang diperintah. Contohnya yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini, golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit. Mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat, fakta sahih yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini - menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Tamat. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk diagih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai - suara rakyat - diwakili oleh Pakatan.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si mamat atau si minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia, hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikun di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan gulungan feudal di Arab Saudi. Sarkozy di Perancis dipilih untuk mempetahankan kepentingan saudagar Perancis dan kaum Zionis di Perancis.

Parti borjuis kecil

Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi diatas maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mohamad Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Untuk saya pertandingan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden parti PAS ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.

PAS mewakili guru-guru Melayu, tok peraih, penjaja, tuan empunya warung, kontraktor kelas bawah, peneroka, nelayan, termasuk juga askar dan polis pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.

Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu, bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan, penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongn kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan tauke dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.

Justeru hari ini kita akan bertemu dengan ulama yang bekerja dengan United Malay National Organisation. Mereka ini saudagar agama yang kaya dan lumayan. Kerja mereka ialah mencari ayat-ayat dan hadis nabi untuk 'menghalalkan' apa saja dasar dan tindak tanduk United Malay National Organisation.

Dengan ini apakah Mat Sabu dan Nasarudin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti tauke tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chettiar can mandur tetapi ramai kuli estet yang menjadi ahli.

Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam PKR juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana elektrik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.

Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang diwakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi, perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.

Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, istilah ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah 'tagline' untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli PAS adalah manusia warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini, jenama ulama ini cukup memyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam parti PAS.

Tabur racun

Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi 'calon ulama' atau yang 'bukan calon ulama' itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.

Akhbar Utusan Malaysia dianggap suara musuh oleh PAS dan Pakatan. Kebelakangan ini, sebelum muktamar PAS berlangsung, akhbar ini tiba-tiba menyatakan rasa gembira dan senang hati jika 'kumpulan ulama' dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) – kumpulan Umno pencen – tiba-tiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu 'tim ulama' menang dan terus berkuasa.

Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun berkempen agar ahli PAS akan mengenepikan Mat Sabu.

Lalu timbul persoalan, kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.

Nasharudin walau pun dalam parti PAS tetapi dilihat memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar - borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya PAS dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasama dalam satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini di bawah lambang perpaduan Melayu.

Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasarudin dan Tuan Ibrahim ini memiliki implikasi yang amat jauh merentas markas tarbiah PAS di Gombak. Kemenangan Mat Sabu akan membuka satu garis baru dalam PAS. Garis ini ialah garis memperjuangan golongan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu padi kunca di Kedah di mana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.

Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Malah Nasarudin ini didakwa sedia bersekongkol dengan United Malay National Organisation. Manakala Tuan Ibrahim mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.

Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. Ini samalah seperti United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu tetapi akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.

Pasti ada sosok-sosok dalam Pas yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – Insya-Allah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jenis Nasarudin ini juga ada dalam PKR dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.

Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya di satu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.

Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.


http://malaysiakini.com/columns/165889

Osama yang lain

Hishamuddin Rais
Jun 1, 11
12:36am

Ketika bangunan World Trade Center (WTC) di New York dilanggar kapal terbang, aku dalam satu sel dengan Tian Chua di kem tahanan Kamunting. Kami dikawal daripada mengetahui apa yang sedang berlaku di luar penjara.

Akhbar yang dimiliki oleh United Malays National Organisation hanya diberi setelah enam bulan kami ditahan. Akhbar ini pun telah dipotong-potong untuk memastikan kami tidak tahu apa yang sedang berlaku di luar penjara. Hasilnya aku ketinggalan dengan semua bentuk berita.

september 11 2001 wtc attack 911Aku tidak tahu menahu apabila berlakunya serangan terhadap WTC di New York pada Selasa itu. Hanya esoknya, hari Rabu, Elizebeth Wong datang melawat Tian Chua. Dan dia membawa berita ini.

Aku dengan serta-merta merasa agak was-was tentang apa yang sebenarnya berlaku. Percambahan fikrah tidak membenarkan aku menerima dan menelan bulat-bulat apa sahaja fakta daripada pihak kuasa daulah tanpa ditapis.

Tidak jauh dari blok aku ialah blok Al-Maunah. Warga Al-Maunah ini telah sampai ke Kamunting beberapa bulan lebih awal dari aku.

Bila aku menyelidik dan bertanya dengan anggota Al-Maunah ini sendiri, maka aku lihat mereka telah diperangkap dengan satu modus operandi operasi hitam untuk menghalalkan pengunaan ISA - penjara tanpa bicara.

kamunting prison penjara jailBila aku kaji kes Al-Maunah, maka aku merasakan ledakan WTC ini juga satu operasi hitam. Tetapi pada ketika itu pembacaan dan maklumat yang mungkin dapat aku cungkil tidak wujud. Dari Kamunting tidak mungkin aku dapat menganalisa dan mengkaji latar belakang serangan pada 9/11 ini.

Satu minggu sesudah 9/11, aku dibawa ke Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes tunjuk perasaan Reformasi. Dari Kamunting kami di bawa ke rumah pasung Sentul, sebelum kami dipindahkan lagi ke tempat sulit di pinggir kota Kuala Lumpur.

Di rumah pasung inilah kali pertamanya aku melihat klip dua buah kapal terbang yang menuju ke arah WTC dan kemudian meletup. Aku mencuri lihat klip ini dari kaca TV di rumah pasung Sentul.

Aku tidak ambil peduli siapa Osama bin Laden. Untuk aku, nama Bin Laden ini adalah nama busuk dari satu keluarga yang jahat. Sebelum 9/11 berlaku, pada tahun 1993 dahulu, satu ledakan di Kerpan, Kedah terjadi bila seorang yang bernama Bin Laden telah merampas tanah sawah orang kampung untuk dijadikan kolam udang.

Rampas tanah orang kampung

Aku masih ingat lagi bentrokan berlaku awal 90-an di mana orang kampung bangun melawan apabila tanah sawah mereka dirampas. Manusia yang bernama Bin Laden ini telah berjaya merampas tanah sawah orang kampung dengan kerja sama United Malays National Organisation.

Mara kehadapan dua tahun kemudian, apabila aku dibebaskan dari Kamunting aku terus mencari sebanyak mungkin maklumat tentang WTC dan 9/11. Melalui internet aku mula mendapat pemahaman jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku di New York pada 9/11 itu.

george w bush final days 130109 03Aku juga dapat melihat kembali detik-detik akhir sebelum ledakan itu berlaku. Aku juga dapat melihat George Bush bermuka 'poyo' dalam bilik darjah ketika diberitahu oleh pegawai sulitnya tentang serangan ini.

Semakin banyak bahan yang aku baca semakin meyakinkan aku bahawa 9/11 adalah kerja orang dalam. Ini samalah seperti apa yang terjadi kepada kumpulan Al-Maunah. Pada hemat aku penangkapan Al-Maunah melengkapkan agenda Mahathir Mohamad pada tahun 2000.

Ketika ini imej Mahathir dilihat sebagai bangkai oleh orang Melayu. Justeru satu sandiwara rompakan bersenjata dipentaskan di Sauk untuk menimbulkan simpati orang Melayu kepada Mahathir.

NONEDengan sandiwara bersenjata Sauk ini juga, Mahathir seakan mendapat persetujuan orang ramai untuk menangkap pemimpin gerakan Reformasi.

Justeru, apabila sepuluh aktivis Reformasi dan kepimpinan PKR ditangkap, kami dituduh sedang merancang menggunakan senjata untuk menggulingkan Mahathir.

Kami dituduh sedang menyusun gerakan ini secara sulit dan rahsia. Justeru, kerana ini maka aku berpendapat amat jelas bahawa Al-Maunah hanyalah pembuka jalan untuk tangkapan beramai-ramai.

Sayangnya, operasi Sauk ini telah dijadikan bahan lawak oleh orang ramai. Orang ramai telah diberitahu bahawa tiga buah Pajero telah berjaya membawa lari 4 tan senjata dalam masa 15 minit.

Apabila berita ini muncul satu negara ketawa besar. Lawak Pajero ini menjadikan rancangan ini terbarai.

Gurindam Al-Maunah

Untuk menolak gurindam dan seloka Al-Maunah ini, babak rompakan ini telah dipentaskan semula untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa memang ia boleh berlaku dalam masa 15 minit dan 4 tan senjata boleh dimuatkan dalam tiga buah kereta Pajero.

Nasib tidak menyebelahi Mahafiraun - nama julukan kepada Mahathir ketika itu. Tidak ada sesiapa ambil peduli tentang lakonan semula rompakan senjata ini. Imej Mahathir terus merundum hingga ke hari ini. Ini samalah dengan apa yang terjadi kepada George Bush sesudah 9/11.

NONEKajian demi kajian telah dibuat tentang apa sebenarnya berlaku sebelum dan sesudah pada 9/11. Maklumat baru muncul, maklumat tersorok dicungkil, gambar baru muncul, kenyataan yang cuba ditenggelamkan dibuka kembali, akhirnya lebih dari 50 peratus warga Amerika tidak percaya dengan maklumat yang diberikan oleh Rumah Putih, tentera atau Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Dalam masa yang sama semakin ramai sosok-sosok berwibawa dan berjawatan tinggi dalam kerajaan telah mula mempersoalkan 'kerja orang dalam ini'. Mereka yang mempertikaikan naratif rasmi ini bukan 'kecil anak'.

Morgan Reynolds, bekas penasihat ekonomi dibawah Bush Sr; Paul Roberts, ketua Pengurusan Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) dari Jabatan Pertahanan; Michel Meacher bekas Menteri Alam Sekitar United Kingdom ( 1997-2003) antara sosok yang bangun dan bersuara kerana kesangsian mereka terhadap 9/11.

Manakala Andreas Von Buelow, bekas menteri pertahanan Jerman secara terang-terang telah mengeluarkan kenyataan dan menulis buku tentang konspirasi Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mewujudkan 9/11.

central intelligence agency cia and terror terroristKemudian pada tahun 2005 aku dapat menonton dari YouTube filem dokumentri bernama Loose Change. Dokumentri ini dengan jayakan membuktikan bahawa ledakan WTC adalah kerja orang dalam.

Malah aku sendiri terperanjat kerana ada beberapa fakta baru yang tidak aku sedari telah ditimbulkan dalam Loose Change.

Mungkin hingga ke hari ini aku rasa masih ramai warga dunia tidak menyedari bahawa dalam kejadian 9/11 itu, bukan dua (not two) tetapi tiga bangunan telah runtuh. Bangunan ketiga ini dipanggil Building7.

Yang menjadi lawak besar (macam lawak Pajero Al-Maunah), Building7 ini tidak ada kena mengena dan tidak diusik pun oleh kapal terbang yang dikatakan telah dibajak oleh Al-Qaeda. Building7 ini terbakar dengan sendiri dan akhirnya runtuh.

Perkakas sementara

Sehari sesudah 9/11, George Bush dengan tangkas menuduh ledakan WTC adalah kerja Al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama Bin Ladin. Justeru, semenjak 9/11 berlaku, nama Osama telah menjadi nama yang digunakan untuk mengolah persetujuan warga dunia agar menyokong kuasa imperialis Amerika dalam tindakannya menyerang Iraq, Iran, Afghanistan dan Pakistan.

Di era Perang Dingin dahulu, sebelum runtuhnya Tembok Berlin, yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan rakyat dunia ialah Rusia dan Komunis.

osama bin laden dead newspaper reports 1Selesai Perang Dingin ini, Osama dan Al-Qaeda telah dijadikan hantu baru untuk menakutkan warga dunia dan menghalalkan perang dengan strategi yang dipanggil "perang menentang keganasan".

Dengan jelas aku melihat, seperti Al-Maunah, George Bush juga telah menggunakan Osama untuk menyerang Iraq dan Afghanistan. Di Iraq, military industrial complex - kuasa industri senjata Amerika - ingin menawan telaga minyak. Di Afghanistan pula, yang ingin ditawan ialah punca-punca gas.

Apabila berita Osama ditembak mati di Abbotabad, Pakistan terbit, aku juga tidak ambil peduli. Ini bukan kerana aku masih lagi dalam tahanan di Kamunting. Aku tidak ambil peduli kerana dari apa yang aku kaji dan aku baca, amat jelas bahawa Osama ini adalah pekakas yang telah digunakan oleh CIA.

Macam selipar jepun, macam skru, macam beg palstik. Semua ini boleh kita gunakan untuk satu ketika.

osama bin laden dead protest 1Skru mungkin berkarat. Selipar Jepun mungkin terputus talinya. Beg plastik mungkin terkoyak. Semuanya boleh dibuang bila tidak boleh digunakan lagi. Bagitulah juga dengan sosok yang bernama Osama Bin Ladin. Jangan silap faham, bukan aku tidak menghormati orang yang telah meninggal dunia.

Sesiapa yang rajin membaca dan mengkaji sejarah 9/11 dan Osama, akan mengakui bahawa Osama ini hanya perkakas CIA. Puluhan buku telah ditulis. Ratusan dokumentari telah dibuat.

Semuanya menunjukkan bahawa Osama ini adalah apa yang dipanggil 'aset' dalam pengistilahan CIA. Aset ialah manusia yang bekerjasama dengan CIA dan memiliki hubungan dengan badan perisik Amerika ini.

Dari segi fakta sejarah, hubungan antara Osama dengan CIA ini terjalin pada awal tahun 80-an dahulu di Afghanistan. Ketika ini tentera Soviet Union/Rusia telah menduduki Afghanistan. Amerika yang memusuhi Russa secara bijak dan terancang telah melaungkan trompet "jihad melawan komunis".

'Aset' terbaik CIA

Berbondong-bondong anak muda Islam datang untuk menyahut laungan CIA ini. Ketika ini sesiapa sahaja yang bangun melawan Rusia di Afghanistan akan dipanggil mujahidin.

pakistan forces streetfighting against taliban forces in swat valley pakistan 190509 01Tetapi CIA memiliki satu masalah - tidak mungkin seorang Mat Saleh dari Boston atau New York yang minum arak dan bertogel siang malam dapat memimpin gerakan 'jihad' ini.

Imej islamik amat- amat diperlukan. Maka di sinilah munculnya peranan Osama Bin Laden - seorang Arab, warak beragama, berjanggut mengikut sunah nabi dan dikatakan kaya dan memiliki dana melimpah ruah. Sudah tepat, Osama adalah 'aset' terbaik untuk CIA.

Duit mula meluncur masuk membantu mujahidin yang sedang berjihad melawan komunis. Duit dan senjata dari CIA ini dikatakan datang dari sedekah dan zakat warga Arab yang kaya-raya.

US soldier Taliban hostage AfghanistanBayangkan betapa gembiranya para mujahidin apabila mendengar bahawa muslim dan muslimat bersedekah membantu mereka.

Tetapi ada orang yang lebih bergembira. Kuasa imperial Amerika amat-amat gembira kerana ada orang lain yang mati melawan musuh Amerika. Inilah peranan Osama Bin Laden.

Aku tidak menafikan dan memperlekehkan niat suci Osama dan niat baik anak-anak muda yang datang 'berjihad' di Afghanistan pada ketika itu. Sama seperti apa yang berlaku kepada tim silat Al-Maunah. Mereka kurang sedar ada agenda tersorok yang lebih besar. Mereka hanya menjadi pekakas.

Di belakang niat suci dan niat baik para mujahidin ini adalah agenda kuasa imperial dan kuasa industri tentera Amerika untuk mendirikan satu kerajaan dunia di bawah telunjuk Amerika Syarikat.


http://malaysiakini.com/columns/165669

Thursday, March 24, 2011

Sebelum nuklear, cermin Proton dulu

Hishamuddin Rais
Mac 18, 11
4:27pm

Wira kami meluncur meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Merlimau. Cuaca petang agak nyaman. Lalu saya meminta si pemandu memadamkan alat hawa dingin kerana saya ingin membuka cermin kereta.

Saya ingin menghidu udara petang. Berkali-kali saya tekan punat tetapi sang cermin amat degil tidak mahu turun ke bawah.

Si Pemandu menoleh sambil ketawa dan bersuara: "Ini Proton, bro... Takkan tak tahu... Ini pun belum sampai setahun."

Kami terbarai ketawa.
(Dari ingatan berkempen ke Merlimau)

Saya sedang memberi kuliah di Akademi Seni Kebangsaan. Bangunan ini belum sampai lima tahun. Hujan yang awalnya renyai-renyai menjadi lebat. Tiba-tiba, di luar air mencurah masuk. Atap bangunan ini telah terbarai.
(Dari ingatan mengajar di ASWARA)

Apabila kita membaca dan melihat apa yang sedang terjadi kepada lima buah loji nuklear di Jepun, maka kita akan sedar bahawa ini adalah satu pelajaran yang amat mahal. Mata pelajaran ini sedang dibayar dengan harga darah dan nyawa oleh warga Jepun. Pelajaran di hadapan mata kita ini sedang membuktikan bahawa radioaktif ini amat merbahaya untuk umat manusia.

Ini adalah kali kedua warga Jepun membayar dengan nyawa mereka untuk membuktikan kepada dunia tentang malapetaka yang akan dibawa oleh radioaktif. Kali pertama dahulu pada pada 6 dan 9 Ogos 1945. Pelajaran itu telah dipaksakan ke atas warga Jepun apabila dua butir bom atom telah diledakkan di kota Nagasaki dan Hiroshima.

Kali ini agak berbeza, bukan dengan paksaan dari sesiapa tetapi hasil dari kerja lobi para saudagar penjual loji tenaga nuklear.

Lihat dan perhatikan, ketika loji nuklear di Fukushima terbakar, para saudagar tenaga nuklear, para pelobi tenaga nuklear, para kangkung pakar nuklear dan para politikus rasuah, sedang meminta kita semua bertenang. Suara paling terbanyak meminta kita bertenang datangnya dari sosok yang mengaku arif dan berilmu dalam hal nuklear.

Ilmuan 'kangkung'

Justeru, para profesor dan ilmuan yang arif tentang hal radioaktif kini sedang sibuk membincangkan pandangan mereka. Ilmuan "kangkung" dan pakar nuklear ini sedang bersilat lidah di kaca TV untuk mententeramkan keadaan. Para pakar ini dilihat gah dan hebat dengan ijazah berjela-jela tetapi bila kita selidik dengan rapi, maka akan kita temui bahawa mereka ini ada pertalian kepentingan dengan saudagar penjual loji tenaga nuklear.

Di Malaysia para kangkung ini tidak perlu menyorokkan diri untuk berselindung. Mereka secara terbuka menyokong rancangan kerajaan untuk mendirikan loji nuklear pada tahun 2021. Suara sokongan mereka sedang dijadikan alat untuk bercanang ke hulu ke hilir oleh para saudagar loji nuklear.

Para kangkung ini bersuara menyokong tenaga nuklear bukan kerana mereka berilmu tetapi kerana dengan cara ini sahajalah suara mereka akan dilaporkan oleh media arus perdana. Dengan menyokong tenaga nuklear maka muka mereka akan muncul di kaca TV. Dan jika mereka rajin sadikit mereka akan dapat menulis di ruangan akhbar Utusan atau Berita Harian.

Orang awam jangan terperanjat apabila diberitahu bahawa menulis di Utusan atau di Berita Harian ini juga akan diambil kira sebagai pencapaian keilmuan. Ini juga akan dihitung untuk kenaikkan pangkat dan gaji. Nampaknya menulis di akhbar arus perdana di Malaysia ini telah disamakan tarafnya seperti menulis di majalah Foreign Affairs, New Scientist, Nature atau Oxford Journals.

Maaf. Jangan silap faham. Tulisan saya ini bukan bercita-cita atau berniat untuk memperlekehkan para ilmuan tempatan ini. Tidak. Saya tidak perlu meperlekehkan mereka kerana mereka sendiri memang telah lama lekeh. Majoriti ilmuan kangkung ini lekeh kerana tidak pernah melahirkan buku atau menulis secara ilmiah. Kebijaksanan mereka ialah membodek dan mengampu untuk naik pangkat.

Kalau kurang yakin tentang apa yang saya nyatakan di sini, sila rujuk laporan akhbar minggu lalu bagaimana Najib Razak telah mengingatkan kangkung-kangkung ini agar tidak berebut-rebut untuk menjadi naib cancelor.

Biasanya para akademik yang tegar dengan ilmu pengetahun dan kajian akan menolak pangkat naib cancelor. Sosok yang berilmu akan menolak pangkat ini kerana ia akan membuang masa ekoran terlibat dengan kerja mentabir universiti. Cita-cita sosok yang berilmu ialah membaca, mentelaah, mengkaji, menduga, mencuba di bilik makmal dan akhirnya menerbitkan bahan kajian untuk untuk dibincangkan oleh rakan-rakan dalam dunia akademia.

Seorang akademia yang bukan jenis kangkung tidak akan membuang masa untuk hadir di majlis-majlis 'hampeh' seperti menghantar menteri ke lapangan terbang atau membuang masa dan tenaga untuk memastikkan mahasiswa kumpulan Aspirasi menang dalam pilihan raya kampus.

Pandangan juling tentang Fukushima


Saya telah dan akan terus menimbul dan mempersoalkan tentang keupayaan ilmu profesor kangkung. Saya lakukan ini kerana saya yakin dalam minggu ini akan banyak suara-suara kangkung ini kedengaran. Mereka akan dijemput untuk memberi pandangan-pandangan juling tentang letupan loji nukelar di Fukushima.

Komen dan pandangan profesor kangkung ini akan digunakan untuk mengolah persetujuan orang ramai agar menerima hakikat bahawa negara kita tidak ada pilihan melainkan menggunakan nuklear sebagai punca tenaga elektrik dalam masa 10 tahun yang akan datang. Kangkung ini juga akan memberi pandangan kontot mereka bahawa loji tenaga nuklear ini selamat untuk digunapakai.

Para kangkung ini tidak akan menyebut berapa banyak kecelakan kecil dan besar yang telah terjadi di loji nuklear. Dengan sempoi para kangkung akan melupakan data dan sejarah.

Jika ada disebut satu kecelakaan kecil maka si kangkung ini akan menyatakan yang ini terjadi pada satu ketika yang lama dahulu. Di zaman teknologi secanggih hari ini, tidak mungkin kecelakan akan berlaku lagi.

Hakikatnya, kecelakan yang berpunca dari loji tenaga nuklear berlaku terus menerus. Pada tahun 1979, sebuah loji nuklear Three Mile Island di Pennsylvania, Amerika Syarikat telah hampir meledak. Ini kerana kesilapan teknikal. Selama tiga hari Amerika Syarikat dalam keadaan mengigil menunggu apakah akan terjadi satu letupan.

Pada tahun 1986, satu lagi ledakan loji nuklear telah berlaku di Chernobyl, Ukraine. Ini telah membawa malapetaka yang amat dahsyat. Hingga ke hari ini wilayah sekitar Chernobyl telah ditinggalkan kosong kerana bahaya radioaktif yang masih berkeliaran. Untuk berapa tahun lagi wilayah ini akan ditinggalkan? Berapa lama kesan radioaktif ini akan berkeliaran?

Umur radioaktif ini ditakrifkan sebagai half life. Half life ini mungkin 300 tahun dan mungkin 3,000 tahun. Half life hanyalah konsep. Kerana itu hingga ke hari ini, masih ada bekas warga Chernobyl yang melahirkan bayi cacat dan tidak cukup sifat akibat serangan radioaktif.

Lalu timbul persoalan, jika tenaga nuklear ini amat bahaya kenapa ia masih digunakan. Jawapan untuk soalan ini ialah keuntungan. Para saudagar penjual loji nuklear akan mendapat keuntungan berbilion ringgit apabila ada negara yang ingin membeli loji ini. Loji tenaga nuklear bukan dijual macam kereta.

Teknologi tenaga nuklear ini amat tinggi dan canggih. Tidak semua negara dalam dunia ini memiliki keupayaan untuk mendirikan loji nuklear ini. Negara-negara yang memiliki teknoloji untuk membuat dan menjual loji nuklear ini juga terhad. Ini menjadikan harga loji ini mahal.

Dalam masa yang sana kefahaman dan kesedaran orang ramai terhadap bahaya radioaktif dari loji ini telah ditumpulkan. Seperti di Malaysia, banyak perkara dilakukan oleh politikus tanpa banyak perbincangan.

Malah ada pekara dilakukan secara senyap-senyap tanpa diketahui umum. Contoh terbaik ialah kilang nadir bumi di Gebeng yang juga akan membawa malapetaka radioaktif secara tiba-tiba.

Bangunan, atap, stadium runtuh

Oleh kerana tidak ada perbincangan, maka orang ramai tidak mendapat maklumat yang penuh sama ada perlu menerima atau menolak pengunaan tenaga nuklear sebagai punca tenaga leterik.

Ini ditambah pula oleh lebun para kangkung yang kerap muncul di media arus perdana untuk menjadi juru heboh tenaga nuklear. Pandangan kedua atau cadangan alternatif akan dinafikan untuk untuk memastikan orang ramai dapat terus ditipu.

Malah si pembawa pandangan kedua atau alternatif mungkin akan ditangkap untuk dikenakan ISA. Ini pernah berlaku di Bukit Merah, Perak pada tahun 1987.

Warga di Bukit Merah telah bangun menentang rancangan untuk mendirikan kilang nadir bumi yang kini telah dipindahkan ke Gebeng. Beberapa orang aktivis Bukit Merah telah ditahan dalam Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987.

Para menteri pula akan berhujah mengatakan bahawa kita perlu tenaga nuklear kalau tidak kita akan bergelap. Cakap-cakap seperti ini menakutkan orang ramai seolah-olah kita tidak ada pilihan. Di belakang cakap-cakap menteri ini ialah saudagar penjual loji nuklear. Ini samalah seperti kita membeli kapal selam dari Perancis.

Saudagar penjual loji nuklear ini juga bergerak sama seperti saudagar senjata. Malah kadangkala yang menjual senjata ini juga menjual loji tenaga nuklear.

Untuk saya keputusan sama ada Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear atau tidak cukup senang untuk dibuat. Kita tidak perlu melihat ke Jepun atau ke Chernobyl. Kita hanya perlu melihat kereta keluaran Proton.

Berapa ramai pembeli kereta Proton telah menyumpah dan menyesal kerana cermin tingkap kereta Proton tidak boleh dipakai. Juga kita sering terbaca bangunan kerajaan runtuh.

Malah kita juga terbaca bagaimana atap bangunan Parlimen telah runtuh. Kali terakhir ialah berita runtuhnya stadium di Kuala Terangganu.

Untuk saya, sebelum kita mendirikan loji nuklear di bumi ini marilah kita meminta secara jujur agar para ilmuan, para saintis dan para jurutera kita dapat memperbaiki cermin tingkap kereta keluaran Proton. Ini adalah asas teknologi.

Kalau yang asas ini pun selalu kantoi, bayangkan apa yang akan terjadi apabila loji nuklear meledak.

Mari berfikir sejenak. Sebelum ke sekolah kita ke alif ba ta dahulu. Sebelum buat itu, buat ini dahulu.


http://malaysiakini.com/columns/159009
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...