Showing posts with label Teoh Beng Hock. Show all posts
Showing posts with label Teoh Beng Hock. Show all posts

Friday, August 5, 2011

SPR, SPRM: Tiada lagi kepercayaan awam


Ahmad Lutfi Othman


Tidak mudah untuk menganalisis perkembangan politik tanahair mutakhir ini. Namun, untuk membiarkannya berlalu begitu sahaja, tambah membebankan. Wartawan harus terus mencatat,'kan? Kita berada di ambang perubahan dan bakal merakam sejarah yang lebih manis daripada tsunami politik 2008.

Ramai boleh bersetuju bahawa demam pilihan raya sudah berjangkit ke Malaysia. Lawatan Pengerusi BN, Najib Razak ke seluruh negara berkempen mencemuh pembangkang, dengan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, semakin rancak. Timbalannya, Muhyiddin Yassin turut memperlengkap misi; kedudukan BN kian goyah, namun difahamkan budaya cah keting di peringkat tertinggi Umno terus merebak.

Najib pasti mahu mengelak daripada menjadi PM terakhir daripada Umno, dengan menggunakan apa juga kaedah, memperkakaskan apa jua kemudahan, tanpa mempedulikan kos yang bakal dihanguskan. Sentuhannya kerap tidak menjadi, malah bermacam-macam slogan muluk ciptaannya memakan diri.

"Tiada beza antara Najib dan pendahulunya, Abdullah Badawi. Masing-masing hanya ghairah bercakap hal yang besar-besar dan menabur berjanji, tetapi hasilnya kosong," kata seorang pembaca Harakah kepada saya. "Kalau ada pun yang berbeza, mungkin cakap Najib nampak lebih berisi, namun natijah akhirnya sama, kosong."

Semasa parti-parti komponen BN, terutama MCA, Gerakan dan MIC, masih gagal memperbaiki imej, hubungan Umno dengan rakyat nampak semakin longgar. Sokongan akar umbi, termasuk di desa dan kampung-kampung dilihat merosot. Kenaikan harga barangan keperluan asas begitu menjerut leher golongan terbanyak. Jurang maklumat yang menguntungkan BN selama ini berjaya didekatkan.

Projek-projek mega yang diumumkan Najib menaikkan lagi kemarahan orang ramai, apatah lagi dengan kisah sensasi isterinya Rosmah Mansor; terkini dengan cincin berlian RM24.4 juta dan sebelumnya dengan cerita penguasaan melampau Rosmah ke atas pentadbiran kerajaan. (Derita Abdullah yang pernah tertekan dengan isu hampir sama -- berkaitan menantu dan kroninya -- bakal menyeksa Najib). Rosmah umpama duri dalam daging yang paling sukar ditangani PM!

Kehidupan majoriti rakyat kian terhimpit, tidak kira di pedalaman mahupun kota besar. Soalnya, apakah mereka yakin Pakatan Rakyat mampu menawarkan formula penyelesaian? Tawaran Buku Jingga diperkatakan di mana-mana tetapi tentunya kepercayaan rakyat tidak sekadar pembentangan dokumen ringkas itu. Sekali lagi isu kepercayaan awam menjadi perdebatan.

Apa pun, tanpa meremehkan persiapan pilihan raya di bandar-bandar besar, yang membabitkan kelas menengah Melayu dan masyarakat Tionghua, tumpuan gerakerja Pakatan tidak dapat lari daripada mendekati dengan lebih jujur dan akrab komuniti kampung-kampung tradisi. Sensitiviti dan aspirasi mereka mungkin berbeza. Kesedaran berpolitik masih menjadi isu besar.

Ada pandangan popular Parlimen akan dibubarkan pada Oktober depan. Sekurang-kurangnya untuk mengesan kelemahan jentera pilihan raya Pakatan, elok tarikh itu disandarkan bagi menilai keberkesanan persiapan. Dengan jangkaan tempoh kempen akan disingkatkan (ingat tuntutan Bersih agar 21 hari diberikan), fokus patut diberikan di kawasan yang memerlukan masa lebih lama untuk menemui pengundi.

Kepada Harakah, ada yang mengingatkan saya: "Tempoh tiga bulan terakhir ini cukup kritikal. Harakah harus ada perancangan strategik. Usah bazirkan ruang akhbar yang terbatas itu. Bekalkan pembaca dengan informasi dan pendedahan berguna. Isu mesti disokong fakta dan data lengkap, dengan persembahan grafik yang menarik."

Dalam pada itu, saya bersetuju dengan pandangan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi bahawa isu sebenar berkaitan himpunan Bersih 2.0 dan riuh-rendah serangan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah kepercayaan rakyat. Saya sering membangkitkan peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan yang mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong membantu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM.


"Itulah sebabnya yang sebenar, bukan soal dakwat kekal atau biometrik. Isunya adalah kepercayaan kepada SPR," kata Saifuddin. Jika SPR menggunakan teknologi apa sekalipun, tambahnya, selagi masalah kepercayaan terhadap suruhanjaya itu belum diatasi, ia tetap tidak akan dipercayai.

Lebih memburukkan imej SPR apabila Timbalan Pengerusinya, Wan Ahmad Wan Omar dikatakan antara orang paling dipercayai Najib, yang diamanah menjalankan "misi sulit", dengan sokongan pelbagai kemudahan, bagi memenangkan BN dalam PRU13. Tindak-tanduk Wan Ahmad menguatkan lagi syak itu.

Kepercayaan awam kepada SPR, apatah lagi bagi parti-parti pembangkang, yang sedia tercalar, kini hampir musnah. Saya masih mengharapkan Agong dapat menggunakan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan untuk menjernihkan keadaan. Keanggotaan SPR mesti dirombak dan dibarisi tokoh-tokoh yang diyakini rakyat.

Secara peribadi, saya lebih suka membayangkan Pakatan dalam "kedudukan terburuk" agar penambahbaikan dapat dilakukan sebelum terlambat. Saya turut perhatikan selama ini pemimpin DAP jarang melahirkan optimisme mereka menjelang pilihan raya. Ternyata mereka begitu berhati-hati sekali.

Namun, pendirian terbaru Lim Kit Siang cukup menarik: "... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai."

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, beliau yang aktif berpolitik sejak 1969 menekankan: "Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi."

Selain isu kos hidup yang terus meningkat, juga keberanian rakyat dalam himpunan Bersih 9 Julai, dan gelagat "Wanita Pertama" Rosmah yang memburukkan lagi persepsi terhadap Najib, saya perhatikan kematian Teoh Beng Hock tetap menjadi isu besar dalam kempen PRU13 nanti.

Malah, jika diteliti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD), jelas sekali imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada pada kedudukan hampir sama dengan SPR. Sekadar membelek sambil lalu laporan tersebut, saya kira sudah dapat merumuskan bahawa banyak sekali penyelewengan dan salahguna kuasa pegawai SPRM yang terbabit.

SPR dan SPRM, dalam aspek tertentu, tidak lebih daripada satu lagi perkakas Umno-BN untuk mengekalkan kuasa. Personaliti keji Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim bersama dua lagi pegawainya yang terbabit secara langsung dalam siasatan terhadap Beng Hock membayangkan hubungan istimewa mereka dengan aktor-aktor politik, sekali gus menguatkan lagi dakwaan bahawa ia selari dengan usaha BN merampas Selangor.

Memetik perenggan 176, laporan SSD itu: "Kami mendapat bahawa dia (Hishamuddin) seorang yang angkuh, bercakap bohong, tidak jujur dan tidak akan bertolak ansur ..." Tentulah ada sesuatu yang menarik untuk dibongkar apabila beliau dilihat mempunyai imuniti dan kuasa tidak terbatas.

Insya-Allah saya cuba menganalisis laporan SSD itu pada tulisan akan datang.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/4671-spr-sprm-tiada-lagi-kepercayaan-awam

Friday, July 29, 2011

TBH: RCI terlepas pandang penilaian risiko bunuh diri

TBH: RCI terlepas pandang penilaian risiko bunuh diri
Kuek Ser Kuang Keng
Jul 28, 11
4:33pm

ANALISIS Satu daripada bukti-bukti utama yang digunakan oleh suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyokong kesimpulan kontroversinya bahawa Teoh Beng Hock telah membunuh diri, ialah laporan pakar psikiatri Paul Edward Mullen.

Selepas meneliti laporan 11-muka yang dikemukakan dalam siasatan tersebut oleh Mullen - profesor emeritus psikiatri forensik dari Universiti Monash yang dibawa oleh Majlis Peguam - didapati lebih banyak faktor yang menunjuk kepada Teoh tidak membunuh diri, dan bukan sebaliknya.

NONEIni, bagaimanapun, nampaknya seolah-olah telah terlepas pandang oleh RCI.

Dalam penilaian risiko bunuh diri, Mullen mengklasifikasikan
Teoh dalam "kumpulan yang paling rendah berisiko untuk membunuh diri ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia tidak membuat kesimpulan Teoh telah membunuh diri, dengan menggambarkan setiausaha politik DAP itu kekurangan faktor-faktor yang biasanya terdapat pada mereka yang boleh membunuh diri.

Mullen menulis bahawa dia mendapati Teoh mempunyai pekerjaan tetap, teman wanita yang akan dikahwininya tidak lama lagi, hubungan kekeluargaan yang rapat, ramai teman dan rakan sekerja dan tidak ada masalah kewangan yang diketahui.

Katanya, semua itu merupakan faktor-faktor sosial yang mengurangkan risiko membunuh diri.

NONETeoh, katanya, berada di peringkat awal kehidupan dewasa (25-40 tahun), tidak mempunyai sejarah cubaan membunuh diri atau memudaratkan diri sendiri, tidak berjudi berlebihan, dan tidak mempunyai sejarah keluarga membunuh diri.

Menurut Mullen, ia adalah faktor-faktor yang mengurangkan kemungkinan untuk membunuh diri.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/171326

Monday, July 25, 2011

Mens rea TBH: Nazri diminta rujuk kes Altantuya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Julai 25: Penasihat DAP Lim Kit Siang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz agar merujuk dimana 'mens ria' (motif) pembunuhan Altantuya Shaariibuu sebelum mempertikaikan 'mens rea' pembunuhan Teoh Beng Hock (TBH).

Kit Siang menjawab dakwaan Nazri kononnya beliau gagal membukti motif pembunuhan TBH kerana gagal menyebut motif pembunuhan itu apabila mendakwa 'menyebabkan terbunuh' sama saja dengan 'membunuh'.

Nazri baru-baru ini mempertikaikan kenyataan Kit Siang dengan mendakwa dakwaan Kit Siang terlalu remote dan tidak boleh dipegang.

“Tengok apa yang Lim Kit Siang kata – paksa bunuh diri sama juga dengan membunuh… mana dia belajar undang-undang ini, ia terlalu remote,” selar Nazri. “Untuk membukti pembunuhan, ia mesti mempunyai mens rea (motif) dan actus reas (tindakan)… dalam kes Teoh, di mana mens rea?” soal beliau.

Lim berkata, perkataan 'mens rea' menyebabkan beliau teringat kes pembunuhan Altantuya di mana dua pegawai Unit Kawalan Keselamatan Pejabat Perdana Menteri, Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah menggunakan bom C4 untuk membunuh model Mongolia tersebut pada bulan Oktober 2006 dan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

“Rakyat Malaysia yang berfikir masih bertanya apa motif pembunuhan Altantuya oleh Azilah dan Sirul...ia membangkitkan banyak persoalan khasnya siapa sebenarnya dalang dalam pembunuhan tersebut dan mengapa dalang tersebut masih bebas?” bidas beliau.

Bagi Kit Siang, dengan mengambil kira benda-benda ngeri termasuk soal siasat SPRM yang kejam dan dipenuhi dengan penyalahangunaan kuasa yang mendorong Teoh untuk membunuh diri seperti yang dilaporkan Suruhanjaya Penyiasatan Diraja (RCI), rakyat yang berfikiran waras akan terus menjawab ia adalah satu pembunuhan.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga meminta Nazri mempertahankan kenyataannya yang menyatakan bahawa laporan RCI telah membersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawainya.

“Ia nampak seperti Nazri tidak membaca dan menelaah laporan RCI James Foong dengan teliti kerana di dalam laporan itu tidak ada penyataan yang membersihkan SPRM dan pegawainya dalam kematian Beng Hock di pejabat SPRM Shah Alam, 16 Julai 2009.

"Bolehkah Nazri memetik laporan RCI untuk menunjukkan bahawa ia telah membersihkan SPRM daripada sebarang tanggungjawab terhadap kematian Beng Hock?” soal Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebaliknya, Lim berkata beliau boleh memetik dua perenggan daripada laporan RCI yang menyatakan bahawa pegawai SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

Pada perenggan 198, Lim berkata RCI menyatakan ketidakpercayaan mereka terhadap keterangan saksi pegawai SPRM Raymod Nion anak John Timban yang memberitahu RCI bahawa beliau nampak Teoh sedang berehat di atas sofa pada 6am 16 Julai 2009 di luar bilik Nadzri.

“Pada pandangan kami, beliau bukanlah seorang saksi yang berwibawa dan digunakan oleh pihak bertanggungjawab dalam kematian TBH untuk menjauhkan diri dengan memberikan tanggapan bahawa TBH bukan sahaja masih hidup pada 6am pada 16hb tetapi juga tengah berehat secara selesa dan tenang di kerusi sofa luar bilik Nadzri,” tulis laporan tersebut.

Di perenggan 201 satu pula, Lim berkata laporan RCI menyatakan bukti yang dikemukakan Raymond seolah-olah dibuat untuk disesuaikan dengan objektif tertentu yang dalam kes ini untuk menyelamatkan pegawai SPRM yang bertanggungjawab terhadap kematian Teoh.

RCI telah menolak bukti beliau sebagai tidak berwibawa dalam aspek bahawa beliau telah melihat TBH pada 6am 16hb.

“Jadi bagaimana Nazri boleh buat kesimpulan bahawa RCI telah membersihkan SPRM daripada tanggungjawab dalam kematian Beng Hock di mana perenggan 198 dan 201 telah menunjukkan bahawa pegawai SPRM bertanggungjawab terhadap kematian beliau,” soal Lim, sambil menambah bahawa Nazri perlu membaca laporan RCI itu dengan teliti.

Lim turut menjawab tohmahan bahawa DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh.

“Saya hanya perlu rujuk Nazri kepada laporan RCI TBH yang menyebut bahawa ‘kematian dalam tahanan barangkali merupakan jenayah paling teruk dalam dalam masyarakat yang bertamadun yang ditadbir oleh kedaulatan undang-undang",” kata Lim.

Beliau juga menyeru Nazri agar tidak memandang remeh kematian dalam tahanan sama ada kes Teoh, Ahmad Sarbaini Mohamad yang turut didapati tiba-tiba mati di dalam tahanan SPRM dan juga A.Kugan.

Dalam satu temubual dengan Mingguan Utusan, Nazri dilaporkan sebagai berkata bahawa walaupun SPRM perlu membaiki dirinya, namun RCI telah membersihkan daripada tuduhan membunuh dan ini tidak perlu dipersoalkan lagi.

Nazri turut menuduh bahawa pemimpin DAP telah mempolitikkan isu kematian Teoh sehingga mereka tidak dapat menerima keputusan RCI.

Lim turut menjemput Nazri untuk menghadirkan diri pada forum “RCI Teoh Beng Hock – Di mana kebenaran yang dijanjikan?” yang dijadual besok malam di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall untuk mempertahankan dan memberikan justifikasi terhadap kenyataan beliau.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4545-mens-rea-tbh-nazri-diminta-rujuk-kes-altantuya

TBH: DAP dakwa RCI bercanggah dengan SPRM

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Julai: DAP hari mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kematian Teoh Beng Hock bercanggah dengan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang kecewa dengan laporan RCI yang merumuskan Teoh mati kerana membunuh diri itu berkata, laporan itu ternyata tidak konsisten dan hanya untuk memburukkan reputasi DAP.

"Saya tidak dapat menerima laporan RCI yang mengatakan Teoh mengalami konflik emosi yang keterlaluan, rasa bersalah yang mendalam, putus harapan dan mengalah kepada kekecewaan kerana laporan SPRM tidak menunjukkan ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di antara saya dan Teoh," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, dekat sini hari ini.

Adun Seri Kembangan itu membangkitkan percanggahan laporan RCI yang menyifatkan bekas pembantunya itu menghadapi perubahan minda sehingga bertindak membunuh diri yang disifatkan tidak berdasarkan fakta dan bukti.

Sedangkan katanya keterangan saksi IO Ahmad Shafik Abdul Rahman jelas menunjukkan tiada sebarang bayaran pendahuluan dibuat oleh DAP Serdang Aman untuk membiayai projek kecil di kawasan beliau.

Sebaliknya DAP Serdang Aman hanya bertindak sebagai pembantu pengurusan pada ketika itu.

Namun katanya, RCI tidak mengambil kira maklumat tersebut sebaliknya mengluarkan laporan yang berbeza daripada apa yang dikatakan saksi SPRM.

"Kalau lihat testimoni bertulis oleh IO Shafiq ketika pendengaran RCI adalah senario yang bertentangan. IO Syafik memberitahu RCI bahawa siasatan menunjukkan resit adalah sama dan projek tersebut dijalankan," jelasnya.

Tambahnya, RCI tidak mencari pnca kematian sebaliknya meninggalkan lebih banyak persoalan berhubung kematian Teoh.

Sehubungan itu, naib presiden DAP, Tan Kok Wai berkata, DAP akan terus komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keuarganya dengan menganjurkan pelbagai program penerangan bermula dengan forum bertajuk "laporan siasatan suruhanjaya Teoh Beng Hock-di manakah kebenaran?" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam esok.

"DAP komited untuk mendapatkan keadilan untuk Beng Hock dan keluarganya bukan sebab dia merupakan ahli DAP tapi sebab kita mahu tuntut keadilan yang dijanjikan," kata beliau yang juga ahli Parlimen Cheras.

Keputusan Suruhanjaya Diraja yang diumumkan pada Khamis lalu merumuskan Teoh membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.

Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes yang hanya membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.

Keputusan mengenai punca kematian Teoh itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat prosiding suruhanjaya diraja menyiasat kematiannya yang didedahkan kepada umum Khamis lalu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4543-tbh-dap-dakwa-rci-bercanggah-dengan-sprm

TEOH BUNUH DIRI:FAKTA ATAU KHAYALAN?

POSTED BY ADMIN ON JULY 25TH, 2011

Kim Quek

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI – Royal Commission of Inquiry) berhubung kematian Teoh Beng Hock, pembantu peribadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, membuat kesimpulan bahawa beliau membunuh diri.Dan apakah sebab seorang anak muda yang mempunyai masa depan dan karier politik yang cerah meragut nyawanya sendiri?

RCI menyediakan jawapannya dalam (perenggan 232 Laporan RCI) hasil siasatannya, yang merujuk kepada peringkat akhir beliau disoalsiasat bertubi-tubi sepanjang malam hingga ke dini hari di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada 15 Julai 2009.

“Teoh mengalami perubahan dalam kedudukan fikirannya. Dalam dalam tempoh beberapa jam sahaja, berlaku transformasi dalam diri beliau, dari kumpulan berisiko rendah kepada kumpulan berisiko tinggi untuk melakukan tindakan membunuh diri,” kata laporan itu.

Perubahan dalam diri Teoh dalam tempoh yang singkat yang didakwa oleh laporan itu seperti keraguan, ketidaktentuan, konflik dalam diri, tekanan emosi yang keterlaluan dan rasa bersalah yang amat sangat, kesemuanya tidak dapat diterima.

Memandangkan dirinya tidak mempunyai alasan yang mampan untuk menangkis segala tuduhan terhadapnya, beliau mendapati dirinya tidak dapat mencari jalan keluar dari perangkap yang dilaluinya, kata laporan itu lagi.

Apabila beliau hilang semua harapan, Teoh merasakan dirinya terperangkap, hilang segala harapan maka beliau terjerumus dalam kehampaan dan kesengsaraan.

Teoh mendapati jalan keluar yang ada dari kesengsaraan yang beliau bhadapi ialah dengan melompat dari tingkap, walaupun ini bermakna nyawanya melayang.”

Berdasarkan dari keseriusan perasaan sengsara yang digambarkan oleh RCI, seseorang akan menyangka bahawa Teoh didakwa atas kesalahan menyalah guna dana awam yang melibatkan berjuta ringgit.

Dan beliau menghapati tekanan jiwa dan menghadapi saat harga diri diaibkan, orang-orang yang disayangi, partinya dan kerajaannya, demikian menurut laporan itu.

Nampaknya, tidaklah sedemikian rupa.

Tuduhan remeh dan meragukan

Teoh sebenarnya dibawa oleh SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan berhubung tuduhan (yang belum lagi dibuktikan kesalahannya) yang dihadapi bosnya kerana menyalah guna dana awam sebanyak RM2,400, yang didakwa digunakan untuk membeli bendera yang tidak pun diterimanya.

Jika anda seorang yang baru mengetahui tentang kes ini, anda tentu melahirkan rasa terperanjat dan tidak percaya bahawa perkara yang begitu remeh boleh menyebabkan seorang aktivis politik yang berwibawa membunuh diri.

Tetapi RCI berfikir sebaliknya, di mana mereka mengutarakan berbagai sebab, yang utama disimpulkan dalam perenggan 230 laporan itu, di mana saya memetik sepenuhnya:

“Tahap tekanan emosi yang bertalu-talu dalam siasatan mungkin membawa kepada kesangsian dalam kotak pemikiran Teoh berhubung tugasnya sebagai setiausaha politik Ean Yong Hian Wah.

“Menandatangani sendiri dokumen dengan menggunakan cop rasmi Ean, ketiadaan tiga sebutharga sebelum memberi projek atau program, dakwaan rasuah terhadap DAP, pemberian secara runding terus projek, dan menetapkan harga kepada barangan yang diperlukan untuk projek-projek, juga membebankan pemikirannya.”

Sebelum itu, RCI menjelaskan dalam laporannya bahawa pegawai-pegawai SPRM membuli Teoh dengan pelbagai tuduhan-tuduhan palsu terhadap salah laku, yang beliau tidak lakukan.

Ini termasuk Teoh menandatangani dokumen dengan menggunakan rubber stamp Ean (walaupun beliau tidak bersalah kerana namanya berada dalam dokumen itu dan beliau berbuat demikian bagi pihak bosnya).

Begitu juga dengan pemberian kontrak setelah mendapatkan tiga sebutharga (walaupun peraturan ini dimansuhkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk projek di bawah nilai RM20,000 boleh diberi secara runding terus tetapi Teoh tidak biasa dengan peraturan ini.)

Kejadian-kejadian lain yang menyebabkan kerungsingan Teoh, pada pendapat RCI ialah pengambilan telefon bimbitnya di mana Teoh begitu bergantung padanya dan pendedahan nombor password kepada akaun emailnya, membolehkan akses kepada hal peribadinya.

Integriti Teoh, Ean terus mantap

Bagaimanapun, RCI dalam percubaannya untuk merendahkan kredibiliti Teoh menyatakan bahawa Teoh “mempunyai semangat yang lemah” (perenggan 229, laporan RCI). RCI lupa bahawa bahawa integriti Teoh dan bosnya tetap kukuh dan Teoh sedar akan hal ini.

Malahan, ketika Teoh disoalsiasat, beliau sudah biasa dengan taktik SPRM yang cuba mencari kesalahan terhadap para pemimpin

Pakatan Rakyat yang telah berjalan sejak sekian lama, sebagai sebahagian dari strategi Barisan Nasional untuk mengucar-kacirkan kestabilan kerajaan negeri Selangor.

Dalam keadaan sedemikian, walaupun SPRM berjaya menimbulkan keraguan dalam dirinya Teoh melalui tuduhan-tuduhan palsu seperti yang digariskan dalam perenggan 230, ini hanya berbentuk teknikal semata-mata.

Tidak ada elemen ketidakjujuran dalam kes ini, sama ada Teoh atau Ean telah mengambil wang.

Oleh itu, bagaimana RCI boleh membuat kesimpulan bahawa tuduhan palsu berhubung salah tingkah laku yang kecil telah menyebabkan Teoh berada dalam situasi “konflik emosi yang teruk”, “perasaan bersalah yang keterlaluan”, “tidak menaruh sebarang harapan”, dan “terjerumus ke dalam kesengsaraan”?

Ketika membuat kesimpulan ini, adakah RCI telah membuat satu lompatan yang jauh ke sebuah negeri yang penuh dengan fantasi?

Dari sudut mana pun kita melihatnya, Teoh merupakan seorang anak muda yang mempunyai integriti dan penampilan diri yang menarik dan sedang menanti hari perkahwinan di mana tunangnya sedang mengandungkan anaknya.

Adakah seseorang itu akan melompat dari tingkat 14 bangunan semata-mata kerana dia disoalsiasat secara tidak adil dan saksama oleh pegawai-pegawai kerajaan?

Profesor Paul Edward Mullen, Profesor Emeritus Psychiatri Forensik Universiti Monash, yang dibawa untuk menyediakan laporan itu, memberi jawapannya apabila beliau menyatakan (dalam perenggan 209 Laporan RCI):

“Teoh berada dalam kumpulan berisiko yang rendah untuk membunuh diri apabila beliau berada dalam tahanan SPRM. Jika benarTeoh…..membunuh diri, beberapa perkara telah berlaku untuk menggugat kestabilannya dari sudut psikologi dan percubaan menakut-nakutkannya berdepan dengan kematian.”

Adakah benar Teoh ditakut-takutkan dengan kematian dengan antik soalsiasat yang dilakukan, dengan kejam, yang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPRM berhubung dengan kes yang remeh dan tuduhan yang meragukan itu?

Laporan pakar sakit jiwa tidak tepat

Mengenai laporan daripada pakar sakit jiwa, adalah mengecewakan apabila RCI memilih untuk memetik bahagian yang tidak tepat untuk memberi gambaran seolah-olah pakar-pakar ini menyokong tindakan bunuh diri.

Namun kenyataan akhbar dari Majlis Peguam yang memetik dari laporan ini tidak pula menyokong teori bunuh diri.

Mengenai laporan Profesor Mullen, Majlis Peguam berkata, “beliau berpendapat peristiwa-peristiwa yang menjadi pertikaian yang telah berlaku bukannya membawa kepada tindakan bunuh diri dalam tahanan.

Namun demikian beliau berkata beliau tidak dimaklumkan apa-apa keadaan panik dan tekanan yang dikira wajar untuk mendorong Teoh memelihara maruah diri yang sudah tercemar.

Dan laporan bersama pakar sakit jiwa Dr Badiah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali, yang hadir pada prosiding mahkamah dan mewawancara mereka yang rapat dengan Teoh, turut menyatakan status Teoh berada pada risiko yang rendah untuk tindakan membunuh diri.

Laporan mereka menyebut:

“Kami tidak mempunyai bukti bagaimana siasatan dijalankan kerana tidak ada soalan bertulis dikemukakan kepada Teoh atau rakaman audio bagi mengesahkan tahap tekanan yang beliau alami.”

Adalah tidak jelas sama ada beliau mengalami dalam fikirannya kesan kemungkinan dijatuhkan hukuman berhubung tuduhan-tuduhan itu, sama ada sesuatu yang mendatangkan bencana kepada dirinya dan/atau pertubuhannya.”

Meskipun dua pakar sakit jiwa ini bertegas bahawa tidak ada bukti yang boleh dipercayai bahawa Teoh membunuh diri, RCI tetap berkeras untuk menggunakan pemerhatian kedua-dua pakar ini bagi mencadangkan terdapat unsur membunuh diri.

Pakar-pakar sakit jiwa itu mendapati Teoh menerima tekanan emosi berhubung dua peristiwa di bawah berhubung soalsiasat SPRM terhadapnya:

  • Teoh terpaksa mempercepatkan tarikh perkahwinannya selepas mendapati tunangnya mengandung.
  • Pengumpulan maklumat oleh SPRM dari Pejabat Tanah dan Daerah menggambarkan seolah-olah terdapat salah guna peruntukan oleh bosnya, Ean.

Kehabisan modal

RCI terpaksa mengggunakan dua peristiwa ini bagi menyokong kesimpulannya mengenai tindakan bunuh diri dan ini menunjukkan bbahawa RCI kehabisan modal untuk menyakinkan orang awam yang masih ragu-ragu.

Mempercepatkan tarikh perkahwinan akibat kandungan yang tidakbdirancang adalah perkara biasa dan diterima dalam masyarakat btempatan, dan tidak sepatutnya menjadi isu, mahupun ianya mendatangkan krisis terhadap emosi.

Para pegawai SPRM yang melawat pejabat-pejabat kerajaan untuk mendapatkan bukti bagi membabitkan para pemimpin Pakatan Rakyat sudah lama dikenali sebagai ‘modus operandi’ untuk mensabotaj kerajaan negeri Selangor dan Teoh sudah tidak hairan dengan perkara ini.

Walaupun laporan RCI mendapati Teoh sebenarnya membunuh diri namun ianya tidak menyakinkan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu telah menjalankan tugasnya dengan baik apabila mendedahkan salah guna kuasa dan salah laku pegawai-pegawai SPRM, sepertimana jua dalam institusi-institusi yang lain, yang sentiasa dinafikan oleh para pemimpin politik yang korup sejak sekian lama.

Sekiranya RCI berlaku jujur dalam menyiasat kes kematian Teoh ini, sepertimana yang dilakukan dengan mengkritik salah urus tadbir dalam SPRM, ini bermakna RCI memberi perkhidmatan yang baik dan malah membantu tuan-tuan politiknya.

Ini kerana para pengundi akan percaya terhadap parti pemerintah yang bersungguh-sungguh ingin mendedahkan kebenaran, lebih penting dari segi moral, walaupun ianya pahit untuk ditelan.

Namun begitu, Teoh dalam kematiannya akan terus menuntut keadilan daripada para pemimpin politik yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap kematiannya.


http://www.kl-today.com/2011/07/teoh-bunuh-dirifakta-atau-khayalan/

Kematian Teoh: SPRM lucutkan tugas tiga pegawai

Kematian Teoh: SPRM lucutkan tugas tiga pegawai
Jul 23, 11 5:11pm

Dua hari selepas laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock didedahkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan tiga pegawainya yang dikatakan bertanggungjawab telah dilucutkan daripada tugas operasi siasatan.

NONEKetiga-tiga mereka adalah - pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim (kiri), yang ketika itu timbalan pengarah SPRM Selangor dan dua pegawai penguatkuasanya Mohd Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus yang terbabit menyoal-siasat Teoh.

Suruhanjaya itu juga telah membentuk sebuah panel siasatan khas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Professionalisme) Datuk Zakaria Jaffar untuk menjalankan siasatan dalaman susulan yang menyeluruh serta menyediakan laporan yang komprehensif berhubung dakwaan dalam laporan itu ke atas ketiga-tiga mereka.

"Sementara hasil laporan susulan tersebut diperolehi, ketiga-tiga pegawai berkenaan dilucutkan atau dikecualikan daripada sebarang tugas operasi siasatan.

"SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan bertolak ansur atau melindungi mana-mana pegawai yang didapati bersalah melakukan apa-apa kesalahan jenayah atau tatakelakuan," kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

azlanHasil laporan yang disediakan kelak akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Aduan yang terdiri daripada empat orang individu bebas, yang dipengerusikan oleh mantan Hakim Mahkamah Rayuan dengan keanggotaannya terdiri daripada mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, mantan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam dan seorang peguam.

“Mereka-mereka ini adalah Datuk Mohd Noor Abdullah, Datuk Muhammad Mohd Noor, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah dan V Ravindran,” petik kenyataan itu.

SPRM juga berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang melanggar peruntukkan undang-undang atau melakukan sebarang perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, SPRM menerima dan memandang serius terhadap cadangan-cadangan penambahbaikan yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang dikeluarkan pada Khamis lalu.

NONE“Beberapa cadangan dalam Suruhanjaya tersebut telah dan sedang diambil tindakan seperti pemasangan kamera litar (CCTV), mewujudkan 'Video Interview Room' (VIR), semua pelanggan dilayan di aras bawah bagi bangunan milik SPRM, pelanggan sentiasa diiringi semasa berada dalam premis SPRM dan sebagainya.

“Cadangan lain akan terus diteliti dan diambil tindakan penambahbaikan yang sewajarnya.,” petik kenyataan itu.

Ia juga berkata SPRM akan menyerahkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan berkaitan secara bebas dan telus.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/170842

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...