Showing posts with label YBGM - Bantuan Guaman. Show all posts
Showing posts with label YBGM - Bantuan Guaman. Show all posts

Sunday, February 27, 2011

Upko mahu bantuan guaman di mahkamah adat Sabah

Feb 27, 11 4:54pm

Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Senator Datuk Maijol Mahap mahu kerajaan Persekutuan memperluaskan khidmat Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagi kes-kes Mahkamah Hak Adat di Sabah.

kadazandusun harvest 090606 sumazauKetika membuat gesaan itu, beliau berkata ini kerana bantuan guaman yang disediakan oleh yayasan itu hanya meliputi kes mahkamah syariah, jenayah dan sivil.

"Anak jati di Sabah patut mendapat manfaat bantuan guaman ini. Biar khidmat ini dirasai oleh semua golongan masyarakat di Malaysia asalkan mereka berada dalam lingkungan (pendapatan) RM25,000 setahun.

"Banyak pihak di Mahkamah Hak Adat enggan merayu kepada Mahkamah Rayuan Hak Adat kerana tidak mampu membayar yuran guaman. Di sini yayasan dapat membantu mereka," katanya kepada Bernama, di sini ketika diminta mengulas pelancaran yayasan itu yang menyediakan bantuan guaman kepada golongan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun.

kadazandusun harvest 090606 men dancingYayasan itu yang mempunyai 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Maijol berkata walaupun seorang peguam dibenarkan mewakili pihak-pihak terbabit di peringkat Mahkamah Hak Adat daerah dan Mahkamah Hak Adat, para peguam dibenarkan mewakili bagi pihak plaintif hak adat dalam Mahkamah Rayuan Hak Adat.

"Saya percaya yayasan itu boleh membantu menyediakan bantuan guaman pada peringkat ini dengan mengambil peguam yang sudahpun dipanggil peguam Mahkamah Hak Adat di Sabah," katanya.

Katanya pada masa ini ada 19 peguam di Sabah yang disenaraIkan sebagai peguam Mahkamah Hak Adat dan mereka mahir dengan undang-undang adat di negeri ini.

Sambil menyifatkan usaha kerajaaan Persekutuan mewujudkan yayasan itu sebagai kena pada masanya, Maijol berkata ini merupakan satu lagi usaha kerajaan bagi memberikan keadilan yang mencukupi kepada orang ramai mengikut peraturan undang-undang.

Penubuhan yayasan ini menunjukkan sikap penyayang Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak kepada rakyat dan bagi membolehkan ia dilaksanakan sepenuhnya dan dirasai oleh orang ramai, firma-firma guaman di negara ini juga perlu menyokong sistem ini.

Beliau berpendapat Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Sabah dan Sarawak perlu dimaklumkan dan dijemput menyertai usaha ini bagi menjayakan usaha itu.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/157195

Saturday, February 26, 2011

Najib lancar yayasan bantuan guaman

Feb 25, 11 11:11am

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang ditubuhkan hasil inisiatif kerajaan dan Majlis Peguam Malaysia untuk menyediakan khidmat bantuan guaman kepada golongan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM25,000 setahun.

Perdana Menteri berkata yayasan itu akan dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati semua rakyat Malaysia.

"Keadilan merupakan prasyarat kepada negara dan rakyat yang maju dan berjaya," katanya melancarkan yayasan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Yayasan itu mengandungi 12 anggota lembaga pengarah dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala Presiden Majlis Peguam K Ragunath adalah timbalan pengerusi.

Ia akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, Abdul Gani dan Ragunath.

Najib berkata 80 peratus Orang Kena Tuduh (OKT) dalam kes-kes jenayah, tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan untuk membayar fi yang tinggi.

Katanya Majlis Peguam telah mencadangkan supaya sebuah yayasan ditubuhkan bagi membantu OKT yang kurang berkemampuan mendapatkan khidmat peguam dan kabinet bersetuju dengan cadangan itu.

Perdana menteri berkata kerajaan telah memberi geran pelancaran sebanyak RM5 juta sebagai tanda sokongan padu untuk membiayai perjalanan yayasan itu bagi menegakkan keadilan dan menjamin hak yang sama rata di sisi undang-undang kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya ingin menyatakan di sini, peruntukan kewangan tidak seharusnya menjadi kekangan untuk mendapatkan keadilan. Justeru, jika tidak mencukupi, kita akan berusaha untuk mencari sumber kewangan tambahan," katanya.

Najib berkata penubuhan YBGK ialah sebahagian usaha sebuah kerajaan yang bertanggungjawab selaras dengan Gagasan 1Malaysia.

"Penubuhannya bukan bermakna kerajaan hendak membela golongan penjenayah," katanya.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, yayasan itu akan memastikan semua yang dituduh melakukan jenayah dapat menjalani perbicaraan di mahkamah dengan penuh keadilan dan ketelusan, selaras dengan Fasal (3) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya peguam-peguam yang menjadi panel YBGK akan memberi perkhidmatan dengan bayaran yang minimum.

Perdana Menteri berharap lebih ramai peguam yang menjadi anggota Majlis Peguam tampil memberi khidmat bakti bagi melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat.

"Ini dapat mengelakkan kes-kes di mana OKT menerima hukuman yang berat dalam mahkamah semata-mata kerana mereka tidak diwakili oleh peguambela, lalu telah mengaku bersalah berikutan tidak dapat membuat pembelaan yang berkesan," kata Najib.

Beliau berkata dengan wujudnya YBGK, perkhidmatan bantuan guaman dan khidmat nasihat boleh diberikan kepada semua warga negara, sama ada berkemampuan atau tidak berkemampuan bagi semua jenis kesalahan jenayah, di peringkat tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin.

Bagaimanapun, Najib berkata bantuan tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati kerana Mahkamah Tinggi akan melantik peguam untuk mewakili tertuduh yang tidak mempunyai peguam.

Katanya YBGK adalah pelengkap kepada perkhidmatan bantuan guaman yang diberi Jabatan Bantuan Guaman di Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam.

YBGK bukan agensi kerajaan tetapi entiti berbentuk syarikat khairat yang bebas dan neutral dalam melaksanakan tugasnya, kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata Jabatan Bantuan Guaman dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam juga akan meneruskan peranan mereka seperti biasa.

Mengenai kerjasama antara YBGK dan agensi penguatkuasaan yang termeterai menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani dan disaksikan beliau, Najib berkata langkah itu bagi memastikan keberkesanan YBGK.

"Apabila seseorang ditangkap atas kesalahan jenayah, adalah menjadi tanggungjawab pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi penguatkuasaan lain untuk menghubungi peguam panel YBGK melainkan jika orang yang ditangkap itu hendak mengupah peguamnya sendiri," katanya.

Najib juga berkata sehingga kini sebuah firma guaman Tetuan Shearn Delamore & Co telah bersetuju untuk berperanan sebagai setiausaha syarikat secara percuma kepada YBGK.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/156997
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...