Showing posts with label Keadilandaily com. Show all posts
Showing posts with label Keadilandaily com. Show all posts

Saturday, July 23, 2011

Halau Bourdon: Najib ulangi perbuatan zalim Ben Ali





(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghalau peguam, William Bourdon yang mengendalikan kes rasuah Scorpene di Perancis, ‘melayakkan’ Perdana Menteri itu sebaris dengan diktator lain di dunia.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mengingatkan semua pihak bertapa perbuatan Najib itu mengulangi kezaliman bekas Presiden kuku besi Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali yang digulingkan rakyat baru-baru ini.

“Bourdon sebelum ini pernah dihalau oleh Ben Ali. Kali ini, Najib pula mengulangi tindakan sama. Najib sama seperti Ben Ali, sebaris dengan Ben Ali. Tiada bezanya mereka berdua.

“Kalau tidak salah, kenapa dihantar balik peguam Perancis. Bourdon datang untuk jalankan tanggungjawabnya mendedahkan kontroversi pembelian Scorpene,” katanya yang lebih dikenali Chegu Bard kepada KeadilanDaily, hari ini.

Bourdon dijadualkan memberi ucapannya di Selangor malam semalam dan 23 Julai di Ipoh, Perak sebelum ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dihantar pulang ke Paris jam 11.30 malam semalam.

Beliau aktif dalam memulakan prosedur undang-undang di Perancis terhadap bekas pemimpin Serbia atau pemimpin Rwanda yang disyaki melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Beliau juga peguam kepada keluarga asal Perancis-Chile yang menjadi mangsa kepada bekas diktaktor Augusto Pinochet, selain mempertahankan beberapa banduan Perancis yang ditahan di Guantanamo.

Zine El Abidien Ben Ali

Ben Ali pula seorang beragama Islam tetapi tidak melaksanakan pemerintahannya berlandaskan syariat, malah menolak tuntutan al-Quran sebagai dasar sesebuah kerajaan sekalipun majoriti rakyat, beragama Islam.

Ben Ali juga menukarkan Tunisia kepada sebuah kerajaan polis apabila meletakkan seorang anggota polis bagi mengawal setiap 100 penduduk

Pemerintahan kuku itu berakhir berikutan kebangkitan rakyat hingga menyebabkan Ben Ali dan isterinya, Laila Trabelsi yang popular sebagai First Lady dan boros membelanjakan wang rakyat, melarikan diri ke luar negara.

Mengulas lanjut, Badrul berkata, Najib dalam keadaan semakin terdesak dan kini takut akan bayang-bayangnya sendiri hingga akhirnya memalukan dirinya sendiri.

“Najib semakin tergugat apatah lagi takut pembohongannya terdedah dengan pembongkaran Bourdon,” kata Ketua Cabang Rembau itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17384


http://www.keadilandaily.com/halau-bourdon-najib-ulangi-perbuatan-zalim-ben-ali-chegubard/

Halau peguam Scorpene bukti Najib sembunyikan sesuatu – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pengusiran Bourdon membuktikan ada sesuatu yang disembunyikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

“Kita tahu polis Perancis sudah memperoleh sejumlah banyak dokumen penting, mengaitkan (Datuk Seri) Najib Razak, Perdana Menteri kita yang ‘dicintai’. Sebab itu tindakan tidak munasabah diambil (mengusir Bourdon).

“Saya fikir, kerana kerajaan mengusir beliau dengan cara yang tidak baik, ia membantu perjuangan kita. Ini semua ujian. Saya lihat apa yang berlaku sebelum 9 Julai hingga kini satu ujian kepada pentadbiran Najib,” katanya dipetik Malaysiakini, yang terkilan kerana tidak berpeluang bersemuka dengan peguam hak asasi tersohor itu.

Seorang lagi Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, tahanan ke atas Bourdon mengimbas semula ingatannya terhadap apa yang terjadi kepada bintang Hollywood Malaysia, Datuk Michelle Yeoh yang disenarai hitam oleh junta tentera Myanmar kerana berlakon sebagai pejuang pro-demokrasi negara Aung San Suu Kyi dalam satu filem.

“Sedih saya katakan, tindakan (kerajaan Malaysia) ini membawa kita ke tahap seperti Burma,” katanya.

Lakaran Scorpene oleh Zunar dibeli untuk sumbangan kos kes Scorpene di Perancis

Kartunis Zunar pula mempersoalkan mengapa Bourdon dilarang masuk ke negara ini untuk bercakap mengenai kebenaran sedangkan Najib pula bebas ke luar negara menyampaikan maklumat tidak tepat.

“Mengapa Bourdon tidak boleh ke mari dan memberitahu kita perkara yang sebenarnya, sedangkan Perdana Menteri kita boleh ke luar negara menyebarkan pembohongan?” soalnya.

Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel menceritakan betapa cara penahanan dan pengusiran yang didakwanya tidak beretika oleh Jabatan Imigresen.

Beliau yang mengiringi Bourdon turut mendedahkan Bourdon dipaksa menandatangani satu kenyataan dalam bahasa Malaysia yang tidak difahaminya.

Malah, katanya, Bourdon turut ‘diundang’ untuk ditahan di KLIA selama tiga hari kerana dijadualkan balik ke Perancis pada Ahad ini namun ditolak Bourdon yang menggunakan wang sendiri membeli tiket baru untuk pulang ke Perancis jam 11.50 malam semalam.

“Bolehkah anda bayangkan? Pihak berkuasa Malaysia menangkap personaliti Perancis yang dikenali di serata dunia ini selama tiga hari,” katanya.

Mereka berkata demikian pada majlis makan malam di Dewan Sivik Petaling Jaya, malam semalam bagi mengutip derma bagi perbicaraan kes ‘Scorpene’ di Paris, September ini.

Kira-kira 500 orang hadir bagi membuktikan solidariti mereka kepada peguam berusia 55 tahun yang diupah oleh Suaram dan NGO hak asasi manusia yang lain.

Kes kapal selam Scorpene telah difailkan oleh Suaram pada tahun lalu melalui Bourdon dan pasukannya.

Mereka percaya firma pertahanan Perancis DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada syarikat Perimekar dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu. Bayaran komisyen kepada pegawai dan pemimpin kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah isteri Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Najib dan pembantunya itu didakwa terbabit dengan pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17380


http://www.keadilandaily.com/halau-peguam-scorpene-bukti-najib-sembunyikan-sesuatu-nurul-izzah/?utm_medium=twitter&utm_source=twitterfeed

Wednesday, July 20, 2011

Najib jumpa Pope: Penganut Kristian tulis surat nyatakan kebimbangan

KUALA LUMPUR: Seramai 365 rakyat Malaysia penganut Katolik menulis surat kepada Ketua Gereja Katolik, Pope Benedict XVI menyatakan kegusaran mereka terhadap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Vatican 18 Julai lalu.

Surat itu disampaikan kepada wakil Pope Benedict di Singapura, delegasi Apostolik His Grace Archbishop Leopoldo Girelli.

Najib bertemu Pope Benedict XVI di Rom 18 Julai lalu, bagi meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama dengan Wismaputra- Gambar Reuters

Perkara itu didedahkan oleh penulis, Anil Netto dalam laman web Aliran.com semalam.

Ia menyampaikan rasa hati penganut Katolik yang risau kemungkinan kerajaan dan pemimpin asing terpengaruh dengan Najib yang ghairah menyebarkan mesej kesederhanaan di luar negara sedangkan kerajaan Najib sendiri berulang kali menggunakan kekerasan terhadap rakyat dalam negaranya.

Antara lain mereka menyebut tentang keganasan Najib menangani himpunan aman Bersih, manipulasi sentimen etnik dan keagamaan yang diamalkan Najib untuk kekal berkuasa, dan kekangan terhadap kebebasan beragama di Malaysia.

Mereka juga risau Najib akan menggunakan lawatan tersebut untuk meraih undi dan mengekalkan popularitinya di kalangan penganut Kristian di Sabah Sarawak.

“Kami risau jika terdapat agenda politik tersembunyi untuk memenangi sokongan pengundi Kristian di Sabah dan Sarawak bersempena lawatan Najib ke Vatican ini.

“Akhir sekali, kami juga risau Najib cuba untuk mendekati Holy See pada masa ini untuk mendapatkan sokongan popular dalam pilihan raya umum akan datang yang bakal berlangsung menjelang awal 2013,” tulis mereka dalam surat itu.

Justeru, mereka meminta Pope Benedict agar berwaspada dalam berurusan dengan kerajaan pimpinan Najib

“Kami berdoa agar Holy See akan mempertimbangkan isu-isu yang kami nyatakan ini dan mendapat petunjuk dari Roh Kudus dalam berurusan dengan kerajaan Malaysia,” kata mereka.

Akhbar arus perdana hari ini menyiarkan berita hubungan diplomatik yang baru termeterai di antara Vatican dan kerajaan Malaysia selepas Najib bertemu Pope Benedict XVI di istana musim panasnya di Castel Gandolfo.

Lawatan itu dibuat Najib selepas beberapa minggu sebelumnya, Najib membuat kenyataan terbuka kononnya himpunan aman Bersih yang berlangsung 9 Julai lalu didalangi dan dibiayai gerakan Kristian luar negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17031


http://www.keadilandaily.com/najib-jumpa-pope-penganut-kristian-tulis-surat-nyatakan-kebimbangan/

Bersih: Tak perlu nafi, bukti keganasan polis banyak di internet – Nik Nazmi

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sudah terlambat untuk kerajaan menyiarkan rakaman polis mengenai keganasan yang kononnya dilakukan peserta himpunan Bersih 9 Julai lalu.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim semalam bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyiarkan rakaman polis mengenai keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan itu.

Ia susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis segera menyiarkan rakaman itu, kelmarin.

Sebaliknya, kata Nik Nazmi, kerajaan sepatutnya menjawab dahulu rakaman mengenai keganasan polis yang banyak disiarkan di internet seperti laman Youtube dan Facebook.

“Sudah terlambat untuk menyiarkan bukti-bukti yang menafikan keganasan polis. Beliau (Rais Yatim) sepatutnya melihat bukti yang telah lama disiarkan di internet,” katanya kepada Keadilandaily.

Katanya, banyak bukti menunjukkan peserta mengalami kecederaan akibat keganasan polis termasuk kes peserta yang patah kaki dan diikat tangannya tetapi dibiarkan begitu saja tanpa diberi rawatan secepat mungkin.

“Saya juga hairan kenapa kerajaan yang mempunyai peruntukan yang berjuta-juta ringgit tapi mengambil masa yang lama untuk menyiarkan video bukti tersebut,” katanya yang juga ADUN Seri Setia.

Tambahnya, rakyat juga mempersoalkan kredibiliti RTM yang diketahui lebih suka menyebarkan propanda dengan menyiarkan berita dan iklan yang memberi imej buruk terhadap perhimpunan Bersih.

“Kerajaan perlu ingat kerana RTM bukanlah UMNO yang punya, kerana yang membayar cukai adalah rakyat yang sebahagian menyokong pembangkang.

“Apa pun propaganda yang dibuat dari Kerajaan selepas ini, rakyat sudah lagi tidak percaya kerana RTM sudah tidak lagi mempunyai kredibiliti,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17035


http://www.keadilandaily.com/bersih-tak-perlu-nafi-bukti-keganasan-polis-banyak-di-internet-nik-nazmi/

Selepas Bersih, Imej Malaysia terus tercemar di mata dunia- Yusmadi

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR: Pengarah Biro Antarabangsa KEADILAN, Yusmadi Yusuf berkata, Malaysia tidak mungkin berperanan seperti negara-negara maju sekiranya terus mencabuli hak asasi dan demokrasi di negara ini.

Katanya, kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil iktibar selepas kritikan dan imej buruk yang digambarkan media antarabangsa berhubung keganasanan polis semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.

Tambah beliau, kecaman masyarakat antarabangsa mengenai layanan keras pihak berkuasa terhadap peserta perhimpunan aman itu, dianggap memalukan dan mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.

“Kita telah menerima teguran termasuk dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amnesty International. Kita harap ini bukanlah imej yang mahu digambarkan kepada dunia tentang Malaysia,” kata Yusmadi, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau.

Terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cuba memadamkan fakta dan berita mengenai laporan berkaitan perhimpunan itu yang disiarkan oleh majalah antarabangsa The Economist.

Anggota parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran dalam Twitter nya hari ini, The Economist keluaran 16 Julai telah disaring dan dipadamkan oleh KDN.

Yusmadi dalam pada itu turut mengulas layanan baik oleh kerajaan di luar negara terhadap peserta perhimpunan itu di lebih 30 bandaraya di seluruh dunia.

Antaranya London, Washington, Los Angeles, New York, Seoul, Melbourne, Taiwan, Bangkok, Kaherah dan Paris.

Ia mencerminkan tahap demokrasi matang yang diamalkan di negara-negara tersebut.

KDN padamkan laporan mengenai himpunan Bersih pada majalah The Economist keluaran 16 Julai

“Dalam masa sama wakil kerajaan Malaysia menunjukkan ‘perhubungan awam’ yang baik kepada rakyat sendiri di mata kerajaan dan media asing,” kata Yusmadi merujuk ‘sikap baik’ Menteri Luar, Datuk Anifah Aman menyantuni peserta himpunan Bersih di kota London.

“Begitu juga sikap yang sama dtunjukkan diplomat di Kedutaan Malaysia

di Washington DC,” kata Yusmadi.

Namun, kata Yusmadi, apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya apabila kerajaan menggunakan polis dan undang-undang untuk melakukan hambatan kepada rakyat yang mahu menuntut keadilan.

“Sedangkan undang-undang sepatutnya membela dan melindungi kita. Berbanding dengan rakyat Malaysia di luar negara, nampaknya hak mereka lebih terjamin,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17050



http://www.keadilandaily.com/selepas-bersih-imej-malaysia-terus-tercemar-di-mata-dunia-yusmadi/

KDN hitamkan laporan The Economist tentang Bersih

KUALA LUMPUR: Laporan tentang himpunan Bersih yang disiar Majalah antarabangsa The Economist ditapis oleh Kementerian Dalam Negeri, dalam cubaannya menyaring maklumat sampai kepada pembaca di negara ini.

Perkara itu mula ditimbulkan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran dalam laman twitternya mengenai laporan Bersih yang diterbitkan majalah antarabangsa itu.

Berdasarkan gambar yang disiarkan portal media, laporan khas bertajuk ‘Political Affray in Malaysia: Taken To The Cleaner” menunjukkan empat bahagian yang dihitamkan menggunakan pen dakwat kekal.

Sekiranya dibandingkan dengan versi dalam talian The Economist, bahagian yang dihitamkan itu berkaitan salah laku dan keganasan yang dilakukan polis dalam menangani himpunan aman 9 Julai lalu.

Antara ayat-ayat yang dihitamkan itu adalah:

‘Seorang lelaki mati akibat sakit jantung’ (and one man died of a heart attack), pada perenggan pertama.

‘Perhimpunan itu kemudiannya diharamkan, meskipun pihak berkuasa menawarkan sebuah stadium untuk berhimpun – tetapi menarik balik tawaran itu’ (The march itself was then banned, although the authorities offered Bersih a stadium to meet in – and then withdrew the offer’) pada perenggan kedua.

‘Taktik polis mencetuskan kemarahan; kerajaan akur menjalankan siasatan rasmi berhubung dakwaan keganasan polis. Dalam satu kejadian (sempat dirakamkan dalam filem) polis seolah-olah menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah peserta himpunan yang berlindung daripada serangan belantan’

(The heavy-handed police tactics have provoked a lot of anger; the government has conceded an official investigation into claims of police brutality. In one instance (caught on film), police seemed to fire tear gas and water cannon into a hospital where protesters were sheltering from a baton charge), pada perenggan keempat.

Majalah mingguan itu mendakwa Malaysia mempunyai sejarah dalam menapis laporan-laporan yang disiarkan oleh The Economist dalam rencananya pada September tahun lalu.

Majalah itu menyenaraikan Malaysia di bawah India dan China dalam carta 12 negara yang menapis, mengharamkan atau menyita naskhah-naskhah The Economist, yang dijual di 190 negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17065


http://www.keadilandaily.com/kdn-hitamkan-laporan-the-economist-tentang-bersih/

Tekanan antarabangsa jika tidak bebaskan tahanan EO- Peguam

(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menerima tekanan antarabangsa sekiranya masih tidak membebaskan 6 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), kata peguamnya, Edmund Bon.

“Tuntutan bagi pembebasan tahanan EO6 ini bukan hanya berkumandang di Malaysia, bahkan mula kedengaran di luar negara terutamanya di United Kingdom dan negara Eropah lain.

“Petisyen secara dalam talian (online) dan bertulis juga mulai diedarkan untuk ditandatangani,” kata Edmund kepada Keadilandaily.

Sementara itu, Edmund berkata Ordinan Darurat tidak jauh beza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari segi tuduhan dan kaedah lanjutan tempoh penahanan.

“Ada kemungkinan tahanan EO6 ditempatkan bersama dengan pesalah jenayah yang turut ditahan di bawah Ordinan Darurat.

“Persoalannya, mengapa tahanan ini disoal berhubung aktiviti politik parti termasuk penyumbang dana, hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat dan Anwar Ibrahim?,” soal beliau.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan memfailkan ‘Habeas Corpus’ iaitu perintah mahkamah untuk membawa keenam-enam aktivis PSM membela diri bagi mendapatkan perbicaraan adil.

“Kita akan failkan Habeas Corpus pada hari Jumaat jam 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Ini kerana Menteri Dalam Negeri melalui Jabatan Peguam Negara boleh menyambung perintah tahanan sehingga 2 tahun sebelum tempoh penahanan 60 hari itu berakhir.

“Kepada simpatisan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu meneruskan tekanan bagi pembebasan mereka,” kata Edmund.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia melancarkan petisyen online mendesak Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara membebaskan 6 tahanan tersebut menerusi – http://www.petitiononline.com/eo6/petition.html

Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM ditangkap mengikut EO sebaik mereka dibebaskan pada 2 Julai lalu.

Antaranya termasuk Timbalan Pengerusi PSM, M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan pemimpin pemuda Sarat Babu.

Sebelum itu, mereka bersama 24 yang lain ditahan di Tangkak Johor semasa program ‘Udah lah..bersaralah’, menjelang himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17084


http://www.keadilandaily.com/tekanan-antarabangsa-jika-tidak-bebaskan-tahanan-eo-peguam/

Serangan gas di hospital, panggil semua saksi – Chua Jui Meng

(Oleh: Nabihah Hamid)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Datuk Dr Chua Jui Meng menggesa pihak polis memangil semua saksi berhubung serangan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin, ketika himpunan aman Bersih 2.0.

Katanya, siasatan tersebut perlu telus dengan memanggil saksi berkenaan termasuk dari Majlis Peguam dan individu yang turut berada di tempat kejadian semasa serangan itu dilakukan.

Beliau berkata demikian mengulas penubuhan dua pasukan khas oleh polis bagi menyiasat dakwaan 11 doktor dari hospital berkenaan yang mendakwa serangan pada 9 Julai itu benar-benar berlaku.

“Polis sebelum ini boleh menafi dengan sekerasnya, dan kini kita menunggu siasatan dijalankan. Kita boleh tunggu namun siasatan tersebut perlu dipercepatkan” katanya ketika dihubungi keadilandaily.

Chua Jui Meng yang jua mantan menteri kesihatan berkata, rakyat meneliti bukti yang disiarkan menerusi internet berhubung serangan gas dan keganasan pihak polis di kawasan hospital berkenaan.

Katanya lagi, orang ramai juga tidak akan membiarkan isu serangan gas pemedih mata di hospital itu lenyap begitu sahaja, meskipun kerajaan menggunakan pelbagai helah untuk menafikan dakwaan itu.

“Walaupun tidak disebarkan melalui media arus perdana namun kita ada media alternatif sebagai sumber yang memaparkan bukti kejadian melalui gambar yang juga terpapar di internet,” katanya.

Tambah beliau, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kini dilihat sudah mula mendiamkan diri tentang isu itu.

“Peristiwa yang memburukkan imej dan tidak menyebelahi mereka akan disertakan dengan penafian sekeras-kerasnya, seterusnya dengan pengancaman dan menakut-nakutkan mangsa jika dakwaan yang di’siasat’ tidak benar,” katanya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17124



http://www.keadilandaily.com/serangan-gas-di-hospital-panggil-semua-saksi-chua-jui-mei/

Kanister Israel: KDN, KPN perlu beri penjelasan- AMK



(Oleh: Sidiqin Omar)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai penggunaan kanister gas pemedih mata oleh Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), yang didakwa jenis yang sama digunakan tentera Israel untuk memerangi rakyat Palestin.

Catatan pada kelonsong kanister menunjukkan ia digunakan bersama respirator berpenutup muka penuh dengan katrij penapis organik.Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ini kerana FRU menggunakan kanister gas pemedih mata yang sama untuk menyerang peserta himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.

Justeru katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bertanggungjawab memberikan penjelasan.

“Pihak polis yang diketuai Ketua Polis Negara perlu menjelaskan secara terpeinci kerana dakwaan ini adalah serius, dari satu sisi ia amat bahaya kepada negara kerana menunjukkan pengaruh Israel yang meresap dalam pasukan PDRM,”

“Kita bimbang Syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel ini kemungkinan turut menerima pakai nasihat dari Apco,” ujarnya kepada Keadilandaily, mengulas pendedahan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya.

Latheefa sebelum ini mendedahkan kanister itu dibekalkan oleh Federal Laboratories Inc kepada tentera Israel, mengandungi bahan kimia yang berupaya menjejaskan sistem saraf, kecederaan kepada mata, paru-paru dan penyakit kulit.

Kanister jenis yang sama juga pernah diharamkan dalam peperangan mengikut Konvensyen Senjata Kimia pada 1993.

Malah beberapa penduduk palestin pernah terbunuh akibat serangan gas pemedih mata yang sama digunakan tentera Israel.

Menurut Shamsul, beliau juga khuatir kematian Baharudin Ahmad, 59 yang dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi jantung semasa serangan FRU di KLCC, berpunca dari serangan gas tersebut.

“Kita menuntut KPN juga menjelaskan secara terpeinci punca kematian Baharudin, kerana pihak polis mengatakan ia disebabkan kompilasi jantung. Apakah kematiannya sebenarnya berpunca dari gas tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak polis perlu menjelaskan kenapa pihak berkuasa itu tidak mematuhi prosedur dengan melepaskan tembakan menghala terus kepada orang ramai dalam himpunan itu.

“Dalam rakaman video dan gambar kita dapat lihat prosedur yang salah, antaranya tembakan gas pemedih mata yang dihalakan terus kepada peserta himpunan.

“Begitu juga dengan tangkapan yang dibuat secara kasar termasuk menumbuk, menendang sehingga menyebabkan kecederaan serius dan pendarahan,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17111


http://www.keadilandaily.com/kanister-israel-kdn-kpn-perlu-beri-penjelasan-amk/#

FRU guna kanister Israel sahkan kezaliman BN – Shuhaimi Shafiei




(Oleh: Ahmad Fadli)

SHAH ALAM: Kanister gas pemedih mata yang digunakan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyerang peserta himpunan Bersih, didedahkan adalah jenis sama digunakan tentera Israel untuk membunuh rakyat Palestin.

Ia sekaligus mengesahkan kekejaman BN yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk meniru pendekatan tentera zionis bagi mendatangkan kecederaan kepada rakyat yang menentangnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata demikian mengulas laporan Suara Keadilan edisi terbaru, yang mendedahkan bahawa FRU menggunakan kanister tersebut untuk menyerang peserta Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Kanister mengeluarkan gas jenis CS itu dikeluarkan syarikat Combined System Inc dari Amerika Syarikat yang berupaya menyebabkan kecederaan mata, paru-paru dan penyakit kulit.

Ia pernah meragut nyawa seorang warga Palestin, Jawaher Abu Rahmah dari Kampung Bil’in pada 1 Januari 2011 akibat terhidu gas berlebihan yang dikeluarkan kanister itu.

Sebelumnya pada April 2009, abang Jawaher, Baasem Abu Rahmah juga mati akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu di bahagian dada.

Pendedahan itu dilakukan Pengarah Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya yang mendakwa syarikat Federal Laboratories berpengkalan di Amerika Syarikat, pernah disaman berikutan penyalahgunaan gas pemedih mata yang sama pada 1992.

Ia menyebabkan syarikat itu terpaksa membayar pampasan kepada 30 keluarga Palestin.

Menurut Shuhaimi, beliau tidak terkejut dengan pendedahan itu kerana polis yang diperalatkan Umno akan menggunakan apa sahaja termasuk meniru pendekatan tentera Israel menzalimi rakyat Palestin.

“Kita memang tidak terkejut. Dari awal lagi (kita tahu) mereka akan guna kekerasan yang boleh mendatangkan kematian (kepada peserta himpunan),” katanya.

“Mereka akan guna apa-apa sahaja cara, termasuklah ilmu yang diajar APCO untuk memusnahkan kebangkitan rakyat,” kata Shuhaimi.

Katanya, ia bukti kelakuan ganas polis terhadap demonstran Bersih pada 9 Julai lalu sememangnya disengajakan untuk mendatangkan kecederaan kepada warga Malaysia yang menuntut reformasi pilihan raya.

“Polis Malaysia dengan arahan Umno sememangnya berniat melakukan kecederaan serius terhadap semua peserta Bersih. Malangnya, perancangan jahat mereka tidak berhasil kerana ia memakan diri,” kata Shuhaimi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17069



http://www.keadilandaily.com/fru-guna-kanister-israel-sahkan-kezaliman-bn-shuhaimi-shafiei/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...