Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Tayangan perdana The Message di De Palma Ampang

Harakahdaily

AMPANG, 23 Feb: Bersempena sambutan Maulidur Rasul, jawatankuasa Surau Nurul Hikmah dengan kerjasama pihak Hotel De Palma Ampang menganjurkan satu Tayangan Perdana sebagai satu aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) untuk umat Islam tempatan.

Sehubungan itu, menurut jurucakap program, pihaknya menjemput orang ramai untuk hadir ke majlis tayangan perdana yang bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu.

Sesiapa yang ingin hadir ke majlis di Grand Ballroom De Palma Hotel Ampang itu sila RSVP tempat duduk melalui SMS ke nombor 016-6560047 dengan menaip: TM Nama anda Email anda Jumlah RSVP, contoh: TM Ahmad AAA@gmail.com 5

Atau melalui emel kepada roomsdivision@depalmahotel.com / depalmahotel@yahoo.com

“Kami mengharapkan majlis seumpama itu dapat menyuntik kembali ruh Islam dalam kalangan generasi mutakhir ini.

“Semoga Allah merahmati kita semua, Insya Allah,” katanya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31009:tayangan-perdana-the-message-di-de-palma-ampang&catid=1:utama&Itemid=50

Tuesday, February 15, 2011

Pulau Pinang beri RM150,000 pada guru Kafa



Feb 15, 11 12:32pm

Kerajaan Pulau Pinang memperuntukan sejumlah RM150,000 untuk kira-kira 1,500 guru Kafa di negeri itu sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri itu hari ini.

Ketua menterinya Lim Guan Eng berkata, setiap seorang akan mendapat RM100 seperti dicadangkan dalam mesyuarat exco negeri Khamis lalu.

"Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus; serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah," katanya sambil memberitahu perkara itu diakui oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009 dan badang antarabangsa seperti Transparency International.

Katanya, kerajaan juga memberikan RM100 kepada guru Kafa sempena perayaan Awal Muharam dan duit raya kepada golongan itu sebanyak RM250 pada tahun lepas.

Sementara itu, mengulas sambutan Maulidur Rasul bertemakan "Wasatiah (Kesederhannaan) Tonggak Kecemerlangan Umah", Lim berkata kesederhaan Islam akan menolak dakwaan bahawa agama itu ekstrimis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup.

Memetik pandangan ulama terkenal Mesir Dr Yusof Al Qaradhawi, Lim berkata, kesederhaan Islam bersumberkan kepada prinsip keadilan, konsisten dan keamanan serta menjadi lambang kepada kebaikan dan tunjang kekuatan.


"Kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan," katanya.

http://malaysiakini.com/news/156060

Teladan politik Islam pada diri Rasulullah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ianya membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

"Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

"Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat," ujarnya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1432H.

Berikut perutusan penuh beliau.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.

Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.

Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

12 Rabiul Awal 1432H/15 Februari 2011

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30867:teladan-politik-islam-pada-diri-rasulullah&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Ujian atas saya kecil berbanding para Anbiya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ujian yang beliau terima sekarang sebagai kecil sahaja berbanding dengan ujian yang dihadapi oleh para Anbiya.

Justru itu, beliau yakin fitnah yang beliau hadapi ini akan lenyap juga akhirnya.

"Ternyata sudah lama keluarga saya berdepan dengan dugaan ini, namun apalah dibandingkan dengan ujian yang dikenakan ke atas para Anbiya dan mereka yang dekat dengan Allah S.W.T. Namun InshaAllah, diiringi doa saudara semua serta pertolongan Yang Maha Penyayang, fitnah ini akan lenyap jua," kata Anwar.


Anwar berkata demikian dalam perutusan beliau sempena dengan Maulidur Rasul yang bakal disambut oleh umat Islam esok.

Sejak dipecat dari timbalan perdana menteri, Anwar tidak pernah berhenti dari menerima pelbagai tuduhan dari musuh-musuh politiknya.

Ia bermula dengan pentadbiran Tun Dr Mahathir apabila beliau didakwa meliwat pemandunya sendiri, Azizan Abu Bakar namun ditolak oleh mahkamah.

Menurut rakan-rakan rapat beliau, serangan terhadap Anwar bermula apabila beliau selaku Menteri Kewangan enggan menggunakan duit negara untuk membantu salah seorang anak Mahathir yang ketika itu sangat teruk dilanda masalah ekoran kegawatan ekonomi.

Kini Anwar sedang dituduh lagi meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. Menurut sumber, tekanan kepada Anwar tidak akan berhenti sehinggalah beliau meninggalkan pentas politik tanahair.

Ini kerana, Anwar dianggap ancaman paling besar kepada penguasaan Umno dalam politik berikutan keupayaannya menyatu semua penentang Umno.

"Mengenangi Sayyidina Muhammad S.A.W dan perjuangan Baginda itu moga menambah rasa kecintaan yang mendalam serta dirahmati pula dengan suri teladan buat menjadi pedoman.

"Justeru membaca sirah Nabi S.A.W sentiasa menenangkan saya manakala terus ditohmah rekayasa musuh.

"Kerana itu saya mengambil kesempatan merenung serta meneliti kesabaran Junjungan Besar berhadapan dengan dugaan," kata Anwar dalam perutusan itu.

Beliau mengingatkan kisah bagaimana isteri Baginda Rasulullah juga pernah difitnah dalam peristiwa Al-Ifk.

"Kita pastinya tahu akan peristiwa Al-Ifk, kisah fitnah yang dilemparkan kepada Sayyidatina Aishah. Kesabaran Junjungan dan Sayyidatina Aishah berhadapan tohmahan besar itu memperkukuh iltizam saya dan sekeluarga untuk tidak lekang mengharap belas ihsan serta pertolongan Allah S.W.T," tegas Anwar.

Anwar memetik ayat Al Quran surah Surah An Nur ayat 19 bagi memberikan peringatan kepada mereka yang gemar membuat tuduhan-tuduhan buruk.

Maksud surah itu adalah:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui(segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30862:ujian-atas-saya-kecil-berbanding-para-anbiya&catid=1:utama&Itemid=50

Monday, February 14, 2011

Ya Maulidur Rasul, tidak Hari Valentine

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Feb: Pemuda Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru masyarakat menghayati kefahaman sebenar Maulidur Rasul menolak sambutan Hari Valentine.

Justeru, pengerusinya , Mohd Fadzil Saleh menyeru pihak kerajaan dan institusi berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar sekolah mengenai budaya songsang hari Valentine dan membuat penguatkuasaan agar ianya tidak menjadi satu budaya yang diraikan sejak peringkat sekolah.

Katanya, virus sosial yang dibawa Hari Valentine di semua IPT perlu diperangi habis-habisan di samping menggembleng tenaga, membuat penguatkuasaan dan mengambil tindakan untuk melumpuhkan sebarang aktiviti dan usaha-usaha untuk memeriahkan atau menyambut Hari Valentine itu.

Sebaliknya, kata beliau masyarakat Islam menghayati semangat dan kefahaman sebenar perayaan bersempena Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah saw.

Tambahnya, belia dan remaja mengalihkan sudut pandang mereka kepada mencontohi Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah hasanah (contoh teladan terbaik) dalam konteks menzahirkan kasih sayang selain melibat diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membina akhlak dan intelektual mereka.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru belia dan remaja agar mengetahui latar belakang dan matlamat Hari Valentine, agar tidak terikut-ikut budaya liar yang langsung tiada kaitan dengan Islam; malah tersasar darinya.

Di samping itu, ujar mereka hendaklah mengelakkan terbabit dalam sebarang bentuk aktiviti meraikan hari tersebut seperti ‘dating’ yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak seperti penzinaan, arak dan pembuangan bayi.

Bagi keluarga dan ibu bapa pula, katanya mereka perlu mendapatkan maklumat yang betul mengenai Hari Valentine dan menyampaikannya kepada anak-anak, menghidupkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga.

“Memastikan anak-anak tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang merosakkan ini dan mewujudkan aktiviti-aktiviti alternatif agar anak-anak dapat dijauhkan dan tidak terlibat dengan sambutan Hari Valentine,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau juga menyeru media massa menyampaikan maklumat sebenar mengenai Hari Valentine agar masyarakat menjauhi sebarang aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sambutannya di samping menghentikan sebarang bentuk promosi yang menjurus kepada mempopularkan sambutan Hari Valentine.

Katanya, saban tahun, 14 Februari merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan kekasih, malahan seminggu sebelum tarikh tersebut, ianya hangat diwar-warkan di media massa mahupun di laman sosial.

“Saban tahun juga, kita menyaksikan ramai belia dan remaja ternoda,” katanya.

Laporan Polis Diraja Malaysia yang dikongsikan di dada akhbar bertarikh 10 Februari 2011 (Sinar Harian, hlm N15) menunjukkan sebanyak 517 kes pembuangan bayi yang dilaporkan dari 2005 sehingga Januari lalu.

Manakala dalam tempoh Januari sahaja, sebanyak 19 kes pembuangan bayi telah dilaporkan yang amat membimbangkan.

Pergaulan bebas tanpa kawalan antara puncanya.

Pengurusan institusi Raudatus Sakinah mendapati bahawa punca fenomena tersebut adalah hasil daripada kemaksiatan dan penzinaan yang berlaku bersempena dengan sambutan Hari Valentine dan juga sambutan Hari Kemerdekaan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24hb November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan ‘Valentine’s Day’ bukan amalan Islam. Malah, ia menegaskan bahawa, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampurbaur dengan perbuatan maksiat yang bercanggah dan terlarang dalam Islam.

Namun, sehingga kini, kata Mohd Fadzil ia masih lagi menjadi budaya dalam masyarakat dan diamalkan oleh penganut-penganut beragama Islam – khususnya dalam kalangan belia dan remaja. Tahun lepas, misalnya, ada pihak telah mencetuskan kempen ‘No Panties’ pada Hari Valentine.

“Ini jelas menggambarkan betapa kroniknya budaya songsang telah menular dalam masyarakat kita,” katanya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30855:ya-maulidur-rasul-tidak-hari-valentine&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...