Showing posts with label Ex-husband - Ex-Wife Problems. Show all posts
Showing posts with label Ex-husband - Ex-Wife Problems. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Angkara bekas suami

Angkara bekas suami

Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.m

KUALA LUMPUR: Lelaki bertopeng yang merogol, menyamun dan menyimbah sejenis cecair ke atas seorang wanita ketika hendak berbuka puasa di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, dua hari lalu, disyaki bekas suami mangsa sendiri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam berkata, bekas suami mangsa ditahan ketika menziarahi bekas isterinya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa jam selepas kejadian.


Katanya, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan dipercayai bermotifkan dendam akibat masalah rumah tangga mereka. Pasangan itu bercerai setahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun itu tinggal bersendirian dan ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia tiga hingga 11 tahun yang berada dalam jagaan bekas suaminya.


“Siasatan lanjut ke atas cecair yang digunakan untuk menyimbah muka mangsa didapati sejenis bahan peluntur,” katanya.


Katanya, polis turut menjumpai rantai leher milik mangsa yang dicuri lelaki terbabit ketika dia ditahan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang baru pulang ke rumahnya selepas membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, dirogol, disamun dan disimbah sejenis cecair oleh seorang lelaki bertopeng.


Difahamkan, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki sudah menceroboh masuk dan bersembunyi.

Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya. Selepas ditinggalkan dalam keadaan kesakitan mangsa menjerit meminta pertolongan dan jeritannya didengari jiran yang kemudian membawanya ke HKL.


Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui mayat bayi lelaki yang tersangkut pada perangkap sampah di sungai berhampiran Kampung Puah Bahagia, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.


Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan.


“Polis belum mengenal pasti usia dan tempoh bayi terbabit dibuang dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Angkarabekassuami/Article

Sunday, April 3, 2011

‘Sedia maaf jika dia lupakan ayah’

MUAR: “Saya bencikan dia dunia dan akhirat. Bagaimanapun, saya sedia maafkan jika dia sanggup lupakan ayah kandungnya,” kata Salmah, 54, ibu kandung Azli ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Salmah, tindakannya itu berpunca daripada perceraiannya dengan suami kira-kira 16 tahun lalu.


“Saya ditinggalkan sebatang kara, malah dibiarkan tanpa nafkah untuk menyara anak sedangkan dia (suami) lari bersama perempuan lain.

“Tanpa sebarang sebab atau pertikaian, saya diceraikan melalui surat,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurut Salmah, sejak itu, dia tertekan dan terpaksa bekerja keras untuk menyara kelima-lima anak termasuk Azli.


Bagaimanapun, Salmah yang berpenat lelah membesar dan menyara anaknya itu tersentak apabila Azli menemui bekas suaminya semula lima tahun lalu dan mempelawa lelaki berkenaan tinggal bersama.

“Tindakannya membuatkan saya jauh hati kerana pengorbanan selama ini langsung tidak dihargai Azli. Tergamak dia membawa lelaki yang pernah menghancurkan hati saya tinggal bersamanya.


“Sejak itu saya sengaja buat cerita supaya Azli tertekan, seterusnya menghalau ayahnya daripada tinggal bersamanya,” katanya.

Azli tinggal bersama bekas suami Salmah di rumah lain menyebabkan ibu tunggal itu tidak mahu ke rumah Azli kerana terlalu benci untuk melihat wajah bekas suaminya.


“Hati saya pedih kerana dia melupakan saya selepas bertemu bapanya, malah bertambah pedih apabila kedua-duanya datang sekali,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011040203204620110402032046/Article/index_html

Benci lihat muka anak

Benci lihat muka anak

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my

KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.

MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.

“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.


Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.

“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.


“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.


Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.

Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.


Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.

Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.


“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.


“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.


Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.


Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.


Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.


“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.


Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bencilihatmukaanak/Article

Thursday, March 31, 2011

Selamat bekas suami

Selamat bekas suami

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

CARI...Shafie (kanan) bersama Hafizi mencari barangan berguna selepas rumah mereka ranap dilanda ribut.
CARI...Shafie (kanan) bersama Hafizi mencari barangan berguna selepas rumah mereka ranap dilanda ribut.

ALOR SETAR: Tindakan pantas bekas isteri berjaya menyelamatkan warga emas daripada maut apabila rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didiaminya ranap dalam kejadian ribut di Kampung Simpang Empat Kuar, Alor Janggus, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, rumah Shafie Othman, 72, yang didiami bersama anaknya, Mohd Hafizi, 22, runtuh dan hanya tinggal bilik air akibat dilanda ribut selama kira-kira 10 minit.

Bekas isterinya, Che Dah Rashid, 52, berkata secara kebetulan sebelum kejadian, dia ke kampung berkenaan menziarahi rakannya yang tinggal kira-kira 10 meter dari rumah bekas suaminya itu.

“Ketika angin kencang itu, saya melihat Shafie berdiri di depan pintu rumah. Pada masa sama, dinding di sebelah kanannya mula runtuh. Saya menjerit memanggilnya tetapi tidak diendahkan kerana dia mengalami masalah pendengaran.

“Saya berlari ke arahnya dan sebaik saja saya menarik tangannya keluar, rumah itu runtuh. Saya tidak tahu apa akan terjadi jika tidak sempat menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Katanya, dia dan Shafie bercerai sejak 14 tahun lalu dan kini dia tinggal di Kodiang bersama suami barunya, namun kerap ke kampung berkenaan menziarahi bekas suami dan anaknya itu.

Dalam pada itu, Shafie ketika ditemui, berkata ketika kejadian dia tidak menyedari dinding rumahnya runtuh kerana tidak mendengarnya.

“Mujur Che Dah sempat menyelamatkan saya. Jika tidak tentu nasib saya lebih buruk,” katanya.

Shafie berkata, dia mendiami rumah PPRT berkenaan sejak 12 tahun lalu dan tidak pernah mengalami masalah walaupun kampung itu kerap dilanda angin kencang.

“Walaupun semua harta benda musnah, saya tetap bersyukur kerana terselamat tanpa kecederaan,” katanya yang menumpang di rumah anak perempuannya, Norhaslinda, 24, di Simpang Empat, Perlis.

Selain mengalami masalah pendengaran akibat ketumbuhan dalam telinga, Shafie turut mengalami masalah mata berselaput menyebabkan penglihatannya kurang.


http://www.hmetro.com.my/articles/Selamatbekassuami/Article

Friday, March 18, 2011

'Aku tikam jika kau urut lelaki'

'Aku tikam jika kau urut lelaki'

Oleh Ibrahim Isa dan Salman Hamat
am@hmetro.com.my

TERBARING...pasukan perubatan HSA merawat mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil, Dewi.
TERBARING...pasukan perubatan HSA merawat mangsa di tempat kejadian. Gambar kecil, Dewi.
TRAGEDI...lokasi kejadian dua beranak terbabit ditikam, semalam.
TRAGEDI...lokasi kejadian dua beranak terbabit ditikam, semalam.

JOHOR BAHRU: Tidak tergambar kesengsaraan dialami seorang wanita yang hamil empat bulan apabila dia bukan saja ditikam bapa kandung di rumahnya di Kampung Sri Serdang, di sini, petang semalam, malah pisau berkenaan terpacak di belakang badannya kira-kira empat jam sebelum berjaya ditarik keluar.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Dewi, 43, maut ditikam di perut, manakala mangsa yang hanya dikenali sebagai Idah, 28, parah apabila pisau itu ditusuk sehingga hampir mengenai tulang belakangnya.

Difahamkan, pasukan perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menggunakan imbasan X-ray sebelum mengeluarkan pisau berkenaan bagi mengelak kecederaan lebih parah sekiranya senjata itu terkena tulang belakang mangsa.

Selain itu, pasukan perubatan perlu berhati-hati bagi memastikan bayi dalam kandungan mangsa selamat berikutan dia kehilangan banyak darah.

Dua beranak itu menyediakan khidmat mengurut badan secara sambilan di rumah berkenaan dan ketika kejadian, suami mangsa pulang ke Indonesia atas urusan keluarga.

Sementara itu, saksi, Farhana Zamir, 16, berkata dia tidak menyangka amaran yang didengarnya beberapa hari lalu menjadi kenyataan.

Katanya, dia terdengar seorang lelaki pernah memberi amaran kepada Dewi supaya tidak meneruskan perkhidmatan mengurut lelaki.

“Saya terdengar ‘kalau kau urut lelaki di rumah ini, aku tikam kau’, tetapi saya tidak menyangka ia menjadi realiti.

“Saya tidak tahu siapa yang melakukannya dan bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi itu amaran yang saya dengar kerana lelaki terbabit sering ke rumah Dewi dan bertengkar dengannya.

“Ketika kejadian, saya sibuk membasuh baju sebelum terdengar orang bertengkar di rumah itu.

“Pada mulanya, saya tidak mengendahkannya, tetapi keluar selepas mendapati ia berbeza berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik keluar rumah, dia melihat Dewi dan Idah terbaring di lorong belakang rumah lalu segera berlari ke depan untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

Jiran, Aizuddin Ramli, 22, berkata sebaik keluar rumah, dia melihat Dewi keluar dari pintu belakang sambil memegang perutnya dan berjalan terhuyung-hayang.

“Ia diikuti Idah dengan pisau masih tertusuk di belakang badannya dan ia mengerikan. Pada masa sama, saya melihat seorang lelaki berbadan gempal minum air di depan rumah dua beranak berkenaan.

“Saya mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengejar lelaki terbabit dan menahannya sebelum diserahkan kepada polis yang melalui kawasan ini,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan lelaki terbabit bukan suspek sebaliknya pelanggan mangsa kerana beberapa penduduk mendakwa terlihat kelibat suspek utama mengekori Dewi hingga ke lorong belakang rumah.

Penduduk mendakwa suspek mencium dahi bekas isterinya itu selepas wanita berkenaan rebah sebelum melarikan diri ketika orang ramai mengejar lelaki berbadan gempal terbabit.

Berikutan itu, polis menjejaki suspek dan menahannya ketika dia cuba mengambil motosikalnya yang diletakkan di lokasi berhampiran beberapa jam kemudian.


http://www.hmetro.com.my/articles/Akutikamjikakauurutlelaki/Article

Friday, February 11, 2011

Cerai suami kerana hutang

KUALA LUMPUR: “Dia bukan hanya meninggalkan saya dan tiga anak kami tanpa sebarang nafkah, tetapi turut meninggalkan beban hutang menyebabkan kami sekeluarga hidup serba kekurangan dan terpaksa berhutang dengan bank bagi melangsaikan hutangnya,” kata Lau Yiek Kiew, 56, yang dihimpit kesusahan akibat sikap bekas suaminya yang meminjam along.

Yiek Kiew berkata, sehingga kini rumah diduduki terpaksa digadai kepada bank sebanyak RM270,000 pada 2009 yang dibuat atas nama anak sulungnya dengan bayaran bulanan RM1,000 selama 35 tahun.


Menurutnya, rumah itu terpaksa digadai bagi membayar hutang bekas suaminya yang bertimbun dengan along sehingga anaknya berdepan risiko diisytiharkan muflis gara-gara tidak dapat membayar ansuran bulanan itu.

“Saya memberi peluang kepadanya berubah sikap, namun tidak menyangka dia tidak serik, malah membuat hutang baru menyebabkan saya nekad bercerai dengannya.


“Sebelum ini pun saya sudah melangsaikan hutangnya RM80,000 dengan bantuan saudara-mara yang meminjamkan wang,” katanya ketika hadir pada sidang media di Wisma MCA, di sini.


Beliau berkata, duit simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya RM70,000 juga habis digunakan untuk perjudian.

“Pada 27 Januari lalu kira-kira jam 3.45 petang, saya dikejutkan dengan kehadiran beberapa samseng along yang menyimbah cat merah ke dinding rumah saya. Ketika itu saya menyedari bekas suami masih berhutang dengan along,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ceraisuamikeranahutang/Article/index_html

Tuesday, February 8, 2011

Helah bunuh bekas suami dengan mentega terbongkar

ROME: Sepasang kekasih dari Sicily gagal dalam cubaan mereka menutupi pembunuhan ke atas seorang lelaki yang dilemaskan menggunakan sepotong mentega, lapor akhbar Corriere della Sera, semalam.

Akhbar itu melaporkan, mangsa, Lo Cocco, sengaja diperangkap supaya berkunjung ke rumah bekas isterinya yang kini tinggal dengan kekasih barunya di Campobello di Licata, selatan Sicily.


Apabila tiba di situ, Cocco, 40, ditangkap dan dilemaskan dengan memasukkan sepotong mentega ke kerongkongnya.

Pasangan itu percaya mentega berkenaan akan cair selepas Cocco mati.


Bagaimanapun, bedah siasat menunjukkan ada kesan mentega pada saluran pernafasan Cocco dan penipuan pasangan itu terbongkar.


Sebelum ini, ketika disoal siasat polis mengenai kematian Cocco, pasangan terbabit mendakwa lelaki itu tiba di rumah berkenaan dalam keadaan mabuk dan cuba menyerang mereka.

Pasangan itu juga mengaku terpaksa mengikat Cocco tetapi lelaki terbabit tiba-tiba rebah dan didapati mati. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Helahbunuhbekassuamidenganmentegaterbongkar/Article/index_html

Saturday, January 22, 2011

Didakwa dera anak sampai mati

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Macam mana entah aku kena sedangkan aku selalu bekerja di luar,” kata Norafizan Ludin, 29, ketika dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, pagi semalam selepas dia dan isteri keduanya dituduh membunuh darah dagingnya sendiri, selain mendera dua lagi anak hasil perkahwinan pertama.

Norafizan dan Dewi Nadia Alias, 24, didakwa membunuh Nur Dania Qistina, berusia tiga tahun di rumah beralamat 1284-6, Jalan Tengku Mariam, Batu 17, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.


Bagi pertuduhan pertama, operator pengeluaran di kilang bersama isterinya itu didakwa melakukan perbuatan terbabit antara 8 Januari 2011, kira-kira jam 9 pagi hingga 9 Januari 2011, sehingga mengakibatkan kematian Nur Dania Qistina.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Hafizah Johor Ariff Johor.


Majistret turut tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chuah Shyue Chien.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari ini bagi membolehkan kedua-dua tertuduh melantik peguam bela.


Sementara itu, bagi pertuduhan kedua yang dilakukan di mahkamah sama, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak berketurunan Melayu, Nor Dania Batrisha Norafizan, empat tahun dan seorang kanak-kanak lelaki Melayu, Danish Irsyad Norafizan, berusia setahun.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan yang berpakaian sedondon berwarna putih, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama bermula pada Oktober 2010 hingga Januari 2011.


Bagi kesalahan itu, tuduhan dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Majistret menetapkan perbicaraan kes pada 16 Ogos 2011. Nur Dania Qistina meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 9 Januari lalu selepas dipercayai didera ahli keluarga hingga mengalami pendarahan dalam paru-paru selain mempunyai 73 kesan penderaan fizikal pada seluruh badan.


Mangsa, Nur Dania Qistina Nurafizan difahamkan dibawa ke HSI oleh bapanya selepas dia dikatakan ditemui dalam keadaan lemas di dalam baldi.


Bagaimanapun, bedah siasat dijalankan pihak hospital membongkar punca sebenar kematian kanak-kanak itu apabila dia disyaki didera.

http://www.hmetro.com.my/articles/Didakwaderaanaksampaimati/Article

Wednesday, December 15, 2010

Temani mayat ibu

Temani mayat ibu

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin

ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis, semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan polis, semalam.

SIBU: Kasih anak kecil yang tidak mengerti apa sebenarnya berlaku menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kelaparan dan ditemui tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang sudah berulat dipercayai mati akibat dibunuh kira-kira tiga hari lalu di sebuah rumah teres di Jalan Hua Kee, di sini.

Ketika ditemui jam 4.30 petang semalam, kanak-kanak itu duduk tidak bermaya di sisi mayat ibunya yang terlentang di atas tilam dalam bilik tidur dengan kesan kecederaan di badan dan telinga kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Zamani Hamdan, berkata kanak-kanak berkenaan ditemui anggotanya yang bergegas ke lokasi selepas mendapat laporan pemilik rumah yang didiami wanita berumur 34 tahun itu apabila terhidu bau busuk.

Katanya, pemilik rumah itu pada mulanya ke rumah yang didiami ibu tunggal terbabit untuk memungut sewa bulanan sebelum curiga apabila panggilannya tidak berjawab sebelum terhidu bau busuk meloyakan daripada dalam rumah itu.

“Dia menghubungi polis yang kemudian membuka pintu dan menemui sekujur tubuh dalam keadaan sudah berulat terlentang di atas tilam di dalam bilik tidur.

“Di sisi mayat itu duduk seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan minum sejak beberapa hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zamani berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat itu, polis percaya wanita terbabit mati sejak tiga hari lalu dan kanak-kanak perempuan itu tetap menemani ibunya.

“Berdasarkan siasatan awal, kami menemui beberapa kesan kecederaan pada kepala dan telinga kanan mangsa dan tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Sibu itu mangsa pembunuhan.

“Bagaimanapun, kami masih menunggu laporan penuh bedah siasat ke atas mayat bagi mengetahui punca kematian wanita itu,” katanya.

Zamani berkata, kanak-kanak perempuan berkenaan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut kerana dipercayai trauma dengan pengalaman yang dilaluinya dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Susulan penemuan mayat mangsa, polis menahan seorang lelaki yang juga bekas suaminya bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Temanimayatibu/Article

Friday, November 19, 2010

Penangan cemburu

KUALA LUMPUR: Sikap cemburu melampau terhadap teman wanita dituduh masih menjalin hubungan cinta dengan bekas suami menyebabkan seorang lelaki sanggup membelasah selain menghempuk telefon bimbit miliknya berulang kali ke muka teman wanitanya itu hingga berlumuran darah.

Dalam kejadian itu, suspek yang hilang pertimbangan kerana terlalu geram turut menendang perut kekasihnya itu tiga kali dengan alasan sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan itu lagi.


Sumber polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin, ketika mangsa yang berusia 28 tahun sedang menaiki kereta bersama teman lelakinya itu berhampiran kawasan meletak kenderaan di Menara Berkembar Petronas KLCC, di sini.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran dikatakan sedang berbual mesra dengan kekasihnya itu sebelum tiba-tiba menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bekas suaminya.


“Suspek yang mengetahui mengenai SMS dihantar bekas suami mangsa kemudian bertindak memarahi kekasihnya itu yang dituduh masih berhubung dengan bekas suaminya. Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.


“Suspek yang terlalu marah kemudian merampas telefon bimbit mangsa sebelum memukulnya berulang kali ke muka mangsa. Tidak cukup dengan itu perut mangsa turut ditendang,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dipukul kemudian dipaksa menghubungi bekas suaminya itu untuk mengatur temu janji berikutan suspek mahu bersemuka dengan lelaki berkenaan.


“Berikutan bimbang terus dipukul, mangsa kemudian akur dengan arahan itu. Suspek kemudian membawa mangsa bertemu bekas suaminya yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini.

“Sebaik bertemu, kekasih mangsa dikatakan bertengkar pula dengan bekas suami mangsa yang dituduh sengaja mahu mengganggu hubungan cinta berkenaan. Bagaimanapun, mangsa yang kesakitan sempat beredar sebelum ke balai polis berhampiran membuat laporan,” katanya.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang jurujual lelaki berusia 27 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa diugut seorang wanita membayar wang tunai RM10,000.


Mangsa dikatakan tertekan selepas gadis berusia 21 tahun terbabit meminta mangsa membayar wang berkenaan jika mahu laporan polis mengaitkannya dengan kes cubaan cabul kehormatan ditarik semula.


“Berdasar laporan sebelum ini, gadis berusia 21 tahun terbabit mendakwa pernah cuba dicabul ketika mangsa datang menghantar barang ke premis tempatnya bekerja di Jalan P Ramlee di sini, bulan lalu.


“Susulan laporan dibuat itu, polis menahan mangsa sebelum dibebaskan selepas keterangannya diambil. Bagaimanapun gadis terbabit didakwa menggunakan kesempatan itu untuk memeras ugut mangsa supaya membayar sejumlah wang bagi menggugurkan kes itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penangancemburu/Article/index_html

Friday, October 15, 2010

'Ameng pembohong'


Oleh Muhd Izawan Baharin

2010/10/15

KUALA LUMPUR: “Ameng pembohong!” Demikian dakwaan penerbit dan pelakon, A Aida menjawab tuduhan bekas suaminya itu kononnya dia bersama suami berkomplot merosakkan nama serta kerjaya Ameng ketika membela diri atas tuduhan memasukkan ganja ke dalam badan di Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu.


BINCANG...A Aida berbincang  dengan peguamnya, Zulkifli Yong, semalam.
BINCANG...A Aida berbincang dengan peguamnya, Zulkifli Yong, semalam.
A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 39, berkata, dia membuat laporan polis terhadap Ameng yang juga bekas vokalis kumpulan Spring April lalu kerana ugutan jenayah dan ia tidak ada kena mengena dengan tuduhan mengambil dadah atau hak penjagaan anak.

“Saya terpaksa membuat laporan polis kerana dia berterusan menghantar SMS mengganggu saya, malah suami saya yang menghubunginya meminta menghentikan perbuatan itu turut dimaki-hamun.

“Saya ada saksi bagi membuktikan SMS itu, malah maki-hamun serta ugutan terhadap suami saya direkodkan kerana ketika menghubunginya, suami saya menggunakan telefon pejabat,”
katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, peguamnya, Zulkifli Yong Azmi.

Aida berkata, dakwaan Ameng kononnya wujud konspirasi menjatuhkannya hanya sekadar meraih simpati.

“Siapa kami untuk masuk campur proses siasatan polis, malah saya yakin polis menjalankan siasatan secara profesional terhadap Ameng.

“Dia sebenarnya ada pilihan membuat laporan polis terhadap tuduhan (konspirasi) itu, tetapi kenapa dia tidak lakukannya,” katanya.

Menurutnya, tuduhan Ameng dihalang berjumpa dua anak juga satu pembohongan kerana pada Mac lalu, penyanyi itu ada mengambil anak mereka dan membawa sehingga ke Jerteh, Terengganu.
“Pada 2004 pula, anak sulung saya ditemui merayau di Subang Jaya selepas lari dari rumah ketika di bawah jagaannya sehingga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengingatkan saya jangan benarkan mereka berjumpa Ameng.

“Pada Aidilfitri tahun itu juga, Ameng ada datang ke rumah tapi anak tidak mahu berjumpa dia kerana takut. Saya masih memberi peluang dan memujuk anak menemuinya kerana tak mahu memutuskan hubungan mereka. Malangnya, dia langsung tak tahu berterima kasih, malah memburukkan saya,” katanya.

Aida berkata, Ameng juga berbohong ketika meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM3,000 kerana mahu membayar nafkah anak di bawah jagaan saya.

“Selepas bercerai satu sen pun dia tidak pernah berikan. Saya terpaksa bekerja keras demi membesarkan anak. Memang pada mulanya saya tak peduli sangat kerana tahu dia tidak ada duit, tetapi sekarang saya sudah tidak dapat bersabar,” katanya.

Sehubungan itu, Aida berkata, dia akan mengemukakan saman malu, tuntutan nafkah dan tunggakan nafkah anak-anak daripada bekas suaminya itu.

“Selepas kami bercerai, saya fikir yang sudah itu, biarlah sudah tetapi dia tidak habis-habis mengaitkan keluarga dan mencemar nama saya. Saya terpaksa lakukan sesuatu untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

Selasa, lalu Ameng memberitahu Mahkamah Majistret, Aida dan suaminya, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman melakukan konspirasi hingga menyebabkan dia ditahan polis kerana mengambil dadah pada April lalu.

Katanya, mereka berbuat demikian kerana mahu melihat menderita sekali gus merosakkan nama dan kerjayanya sebagai penyanyi.

Ameng dan Aida berkahwin pada 1995 serta dikurniakan dua anak, Wan Alissa dan Wan Natasha. Pasangan itu bercerai pada 2002.



Wednesday, October 6, 2010

Usah babit Watie

Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my
2010/10/05


KUALA LUMPUR: “Talak sudah jatuh. Saya sudah melafazkan cerai di depannya dan saksi, cuma sedang menanti tarikh memfailkannya ke mahkamah. Hentikanlah spekulasi dan usah babitkan Watie dalam masalah ini kerana dia tiada kena-mengena langsung,” kata penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, menjawab semula dakwaan bekas isterinya, Noraini Nasir, 44.

Harian Metro semalam memaparkan kenyataan Noraini kononnya Joey lupa tanggungjawabnya terhadap anak tunggal mereka yang berusia empat tahun, Zidani Zulkifli dan tidak menghormatinya kerana mengaku sudah bercerai sedangkan tiada hitam putih serta keputusan mahkamah untuk mengesahkan perkara tersebut.

Malah, nama dramatis terkenal, Norwati Sadali (Watie), 34, turut dikaitkan kerana dikatakan punca pergolakan rumah tangga mereka.

Noraini yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon yang juga vokalis kumpulan Exists itu pada 4 Mei 2005 turut menyifatkan Joey tidak pernah takut bermain dengan sumpah kerana menafikan tindakannya yang pernah merujuk selepas tiga hari menceraikannya di ruang meletak kereta.

Bagaimanapun Joey yang popular menerusi drama bersiri Blues Pasar Tani, Ejen 2x5 dan filem Crayon itu ketika dihubungi menegaskan kemelut rumah tangganya ini memberikan tekanan kepadanya serta mengundang persepsi negatif masyarakat semata-mata.

“Jujurnya saya tertekan kerana kenyataan dia (Noraini) seperti meludah ke langit. Lambat-laun, ia akan memakan diri sendiri. Saya melihat tiada gunanya kita mengaibkan mana-mana pihak kerana tindakan itu tiada penghujung dan penyelesaian sebaliknya hanya memberi ruang untuk orang sekeliling menepuk tangan. Kenyataan itu bukan saja memalukan pihak saya dan dia, malah tidak semena-mena nama Watie pula dikaitkan sedangkan punca itu tidak pernah wujud sejak awal lagi.

“Kenyataannya lebih bersifat peribadi dan tidak mampu menerima kenyataan sebenar. Hakikatnya talak itu sudah jatuh di depannya sendiri. Saya bukan jahil soal agama dan sebab itulah saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah. Itu adalah sewajarnya dan sebagai lelaki, saya perlu bertanggungjawab atas keputusan saya sendiri.

“Apabila emosi sudah menguasai diri lengkap dengan perasaan marah, semua cerita boleh keluar. Apa yang menyedihkan dan sangat memalukan, tindakan itu ibarat membuka pekung di dada sendiri. Mungkin apa yang tersirat di sebalik semua fakta yang diberi hanyalah perasaan seseorang yang tidak mampu menerima hakikat perpisahan,” katanya.

Joey bagaimanapun menegaskan berkali-kali agar nama Watie tidak terus terheret dalam masalah ini.

“Usah mudah menuding jari dan mencari punca dengan mengaitkan nama Watie dalam masalah ini. Perceraian ini tidak langsung disebabkan soal orang ketiga sebaliknya antara kami sudah tiada persefahaman lagi.

“Saya kecewa dan tertekan kerana nama Watie pula dibabitkan. Hubungan kami memang baik dan keluarga kedua-dua pihak juga merestuinya. Saya tidak mahu masalah rumah tangga saya memberikan tekanan kepada orang lain.

“Saya mengaku ada membawa Watie bertemu keluarga pada Aidilfitri yang lalu dan alhamdulillah mereka juga menerima Watie dengan baik. Jika ada jodoh dan keizinan, saya tidak mampu menolaknya namun apa yang penting, kami berdua mendoakan sesuatu yang baik,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UsahbabitWatie/Article

Friday, October 1, 2010

Cemburu keterlaluan jadi agresif

2010/10/01

KUALA LUMPUR: Lelaki yang gila talak dan sanggup melakukan tindakan agresif hingga mencederakan seseorang mungkin berbuat demikian kerana perasaan cemburu yang keterlaluan terhadap bekas isteri.

Presiden Persatuan Psikiatri dan Mental Asean, Prof Dr Mohamad Hussain Habil berkata, apabila berlaku perceraian pasangan kebiasaannya terdorong dengan tindak balas emosi kerana dirinya merasa kehilangan hingga menimbulkan tingkah laku yang keterlaluan.

“Tindak balas ekstrem itu juga disebabkan rasa kesunyian dan ada juga suami gila talak yang bersikap pentingkan diri kerana terlalu mengikut emosi daripada berfikir secara waras,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai tindakan agresif suami gila talak yang sanggup membelasah anggota tentera yang bakal menikahi bekas isterinya pada majlis akad nikah, baru-baru ini. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cemburuketerlaluanjadiagresif/Article

Suspek bukan pembantu perubatan

2010/10/01

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang mengamuk dan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi bekas isterinya dalam kejadian di Medan Warisan, di Kuantan pada Selasa lalu disahkan bukannya bekerja sebagai pembantu perubatan.

Presiden Kesatuan Pembantu Perubatan Semenanjung Malaysia (KPPSM), Taram Singh Walia, berkata pihaknya sudah menyelidik maklumat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan ternyata suspek terbabit sebenarnya bekerja sebagai atendan hospital itu.

Katanya, pihaknya mendapat maklumat terbabit dari penyelia Jabatan Kecemasan hospital itu semalam selepas membaca laporan muka depan akhbar ini berhubung seorang pembantu perubatan mengamuk akibat gila talak.

“KPPSM badan profesional yang mempunyai keahlian 2,600 orang dan bekerja di pusat kesihatan seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Klinik 1Malaysia.

“Kita tidak mahu orang awam tersalah anggap dengan pembantu perubatan akibat hal ini. Jawatan sebenar lelaki yang terbabit dalam insiden itu ialah Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) atau dulu lebih dikenali umum sebagai atendan hospital.

“Dua jawatan terbabit dan skop tugas berbeza. Diharapkan kenyataan saya hari ini (semalam) dapat memperjelaskan salah faham kepada orang awam,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum suspek yang juga bekas suami bakal isteri mangsa tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suspekbukanpembantuperubatan/Article

'Tolong jangan ganggu'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/10/01

KUANTAN: “Tolong jangan ganggu kehidupan saya. Kita sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dan cukuplah awak (bekas suami) menyeksa hidup saya selama perkahwinan kita,” demikian tegas seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Has, 31, berhubung kejadian bekas suaminya, yang bekerja di sebuah hospital, di sini, membelasah suami barunya, seorang anggota tentera di Medan Warisan di sini, Selasa lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Has berkata sebelum itu, dia berada dalam bilik dan membuka sedikit pintu untuk melihat kehadiran tetamu sebelum melihat kelibat bekas suaminya berlari di ruang tamu.

Menurutnya, tidak sampai lima saat, dia terdengar bunyi kecoh di ruang tamu sebelum keluar dan melihat bekas suaminya kelihatan seperti dirasuk apabila bertubi-tubi membelasah suaminya ketika itu berjabat tangan dengan jurunikah untuk menyempurnakan majlis akad nikah.

Katanya, melihat suaminya dibelasah, dia bersama tiga sepupu kemudian cuba membantu meredakan kejadian, namun bekas suaminya bertindak menolaknya hingga tersungkur di lantai.

“Tidak cukup memukul suami dengan topi keledar dan tongkat, bekas suami turut mengambil pisau pemotong daging di dapur sebelum meluru ke arah suami dan cuba menetak kepalanya.

“Hanya tinggal seinci lagi pisau pemotong daging dipegang bekas suami singgah di kepala suami, namun sepupu mengalihkan perhatiannya sebelum polis tiba di tempat kejadian.

“Saya tidak sangka dia sanggup bertindak luar batasan sedangkan saya tidak lagi mempunyai hubungan suami isteri dengannya selepas dicerai talak dua,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Medan Warisan, semalam.

Difahamkan, Has mempunyai tiga cahaya mata perempuan berusia empat bulan hingga lapan tahun bersama bekas suaminya itu, namun ketiga-tiga anaknya itu dibawa lari lelaki berkenaan.

Menurutnya, dia begitu berharap bekas suaminya itu berubah perangai dan membuang sikap panas baran selain menerima hakikat dia kini sah menjadi isteri kepada anggota tentera terbabit selepas diijabkabulkan pada malam kejadian.

Semalam Harian Metro melaporkan, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan jurunikah untuk diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba meluru masuk dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Sementara itu, anggota tentera terbabit yang mahu dikenali sebagai Mud, 31, berkata kejadian itu berlaku dengan pantas apabila bekas suami isterinya menyerang menggunakan topi keledar.

Menurutnya, dia dibelasah hampir setengah jam apabila lelaki itu menggunakan tongkat untuk memukul dan memijak kaki kirinya menyebabkan kecederaan lamanya akibat terbabit kemalangan dua bulan lalu berulang.

Katanya, dia turut cedera pada tangan kanan serta patah hidung akibat dihempuk dengan topi keledar sebelum melihat lelaki terbabit cuba menetak kepalanya menggunakan pisau pemotong daging yang diambil di dapur.

Menurutnya, dia mendakwa tidak berdaya mempertahankan diri serta berdiri kerana kaki kirinya patah sebelum dibantu isteri dan beberapa tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

“Apapun, saya bersyukur majlis akad nikah selesai dan saya sah menjadi suami kepada Has. Saya minta lelaki itu tidak lagi mengganggu kehidupan kami,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolongjanganganggu/Article

Thursday, September 30, 2010

Amuk gila talak

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/09/30

KUANTAN: Mungkin akibat gila talak, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.

Kejadian itu menyebabkan mangsa patah kaki kanan selain cedera di kepala, muka dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh suspek yang berusia 37 tahun. Suspek dipercayai tidak puas hati dengan tindakan bekas isterinya berkahwin lain sedangkan mereka baru setahun bercerai.

Suspek turut memijak kaki mangsa yang dikatakan belum sembuh sepenuhnya akibat kecederaan lama menyebabkan kaki lelaki berkenaan cedera semula.

Selain itu, suspek turut bertikam lidah dengan bekas isteri dan keluarga wanita berkenaan sebelum dileraikan beberapa tetamu. Dia kemudian ditahan polis yang tiba di tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Difahamkan, majlis akad nikah itu tetap dilangsungkan selepas suspek ditahan. Biarpun kakinya patah dan mengalami kecederaan lain, mangsa masih mampu menggagahkan diri menyempurnakan pernikahannya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai tidak puas hati dengan bekas isterinya yang bakal melangsungkan perkahwinan, lalu menyerang bakal suami wanita itu dengan topi keledar.

Katanya, lelaki terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebelum dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tinjauan Harian Metro di rumah pengantin perempuan di Medan Warisan, semalam mendapati ia kosong manakala jiran tidak mengetahui di mana keluarga wanita berkenaan berada.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amukgilatalak/Article

Friday, September 17, 2010

Polis cemburu ugut tembak bekas isteri

2010/09/17

AMPANG: Hanya kerana cemburu dan mengesyaki bekas isterinya mempunyai hubungan sulit dengan rakan baik sendiri, seorang pegawai kanan polis sanggup mengacukan pistol dan mengugut akan menembak wanita terbabit pada penghujung Ogos lalu.

Malah, ugutan mahu menembak itu berlaku dua kali dan bukan saja isterinya, namun lelaki yang juga rakan baiknya turut sama diugut akan ditembak pegawai polis itu.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an
itu pada mulanya enggan mendedahkan perkara terbabit kerana khuatir dengan sikap panas baran bekas suaminya itu bagaimanapun selepas mendapat nasihat, dia akhirnya melaporkan kejadian itu kepada polis, Selasa lalu.


Menurut sumber, kejadian bermula apabila bekas suami mangsa yang dikatakan naik angin kerana mengesyaki isterinya itu mempunyai hubungan dengan rakannya sendiri memukul mangsa hingga mukanya lebam.


“Mangsa dan lelaki terbabit dikatakan kerap bertengkar sejak beberapa bulan lalu dan setiap kali pertengkaran berlaku mangsa pasti dipukul bekas suaminya.


“Kemuncaknya berlaku pertengahan Julai lalu apabila mangsa bukan saja dipukul hingga bibirnya berdarah, malah dilafazkan cerai oleh suaminya itu,”
katanya.


Sumber terbabit berkata, bagaimanapun mangsa masih lagi tinggal bersama bekas suaminya kerana menunggu keputusan mahkamah selepas dia memfailkan perceraian berkenaan. “Sepanjang tempoh tinggal bersama, mangsa turut dipukul hingga mengalami kecederaan di tangan membuatkan dia sudah tidak tahan dengan perangai bekas suaminya itu.


“Mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah dan mangsa hanya mengikut arahan itu bagi mengelak dicederakan,”
katanya.


Beliau berkata, mangsa cuba mendapatkan bantuan daripada seorang lelaki yang juga rakan bekas suaminya namun tindakan itu menimbulkan rasa cemburu bekas suami mangsa dan menuduh wanita terbabit mempunyai hubungan sulit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Poliscemburuuguttembakbekasisteri/Article

Monday, June 14, 2010

Marah janda kahwin lain

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana cemburu apabila bekas isteri berkahwin semula dengan lelaki yang jauh lebih tua daripada dirinya, seorang lelaki bukan saja membawa bersama abang, malah kira-kira 17 lagi lelaki lain untuk membelasah suami baru wanita itu.

Pasangan berkenaan diserang ketika sedang berehat di kawasan Pantai Kemasik dekat Kemaman, menyebabkan suami baru wanita terbabit cedera dibahu serta dada dan dua anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, serangan dipercayai bermotifkan cemburu dan siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca akibat perasaan tidak puas hati seorang lelaki berusia 40 tahun apabila jandanya berusia 30 tahun itu berkahwin dengan lelaki berusia 49 tahun.

“Itu saja yang dapat saya katakan kerana kami tidak tahu bila wanita itu bercerai dengan bekas suaminya dan bila pula dia berkahwin, namun yang pasti dia sudah bercerai sebelum berkahwin kali kedua,” katanya.

Beliau berkata, serangan berkenaan bukan hanya menyebabkan suami wanita terbabit cedera, malah dua anggota polis turut menerima nasib sama akibat dilibas dengan kayu ketika meleraikan pergaduhan kumpulan itu.

Kejadian dipercayai bermula ketika kedua-dua anggota dari Balai Polis Air Jernih, Kemaman itu terserempak dengan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu membuat kecoh dan mereka cuba meleraikannya selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Anggota polis terbabit berhenti rehat di gerai dekat pantai Kemasik selepas selesai menjalankan rondaan dan terserempak dengan kumpulan itu sebelum cuba campur tangan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik menghampiri dan memperkenalkan diri, seorang daripada anggota berkenaan dipukul di kaki manakala seorang lagi di lengan.
Manoharan berkata, kumpulan berkenaan kemudian melarikan diri sebelum kedua-dua anggota polis dan pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Air Jernih.

“Kedua-dua mereka dihantar ke hospital dan dirawat sebagai pesakit luar kerana luka dan lebam manakala suami wanita yang diserang itu turut mengalami kecederaan di bahu dan dada.

“Kami sudah mencari dua beradik berkenaan di kediaman masing-masing sekitar Kemaman bagi membantu siasatan, namun mereka gagal dikesan setakat ini,”
katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka menyerah diri atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit menghubungi pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Thursday, June 10, 2010

Lepas geram bakar masjid

Oleh Hayati Ibrahim

2010/06/10

SEPANG: Akibat kecewa apabila mengetahui bekas isterinya akan berkahwin, seorang lelaki bertindak nekad membakar sebuah masjid di Kampung Limau Manis, dekat sini, malam kelmarin.

HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
HANGUS...Samsudin menunjukkan ruang sembahyang utama masjid yang dibakar, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, lelaki berusia 30-an yang dipercayai mabuk bertindak demikian semata-mata untuk melepaskan geram.

Kejadian itu menyebabkan keseluruhan ruang sembahyang utama Masjid Jamiurrahmah terbakar.

Lelaki itu dipercayai menggunakan petrol untuk memulakan kebakaran sebelum tidur di ruang sembahyang utama tanpa menghiraukan keselamatan diri.

Imam masjid berkenaan, Samsudin Mat Daud, berkata kejadian itu disedari selepas ternampak api dan asap dari masjid berkenaan sebelum meninjau untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya cuba buka pintu utama, tetapi ia dikunci dari dalam. Kemudian saya cuba masuk menerusi pintu belakang dan mendapati seorang lelaki sedang tidur nyenyak berhampiran pintu di ruang sembahyang utama.

“Ketika itu, api marak. Saya tidak berani mendekati lelaki itu kerana bimbang dia mempunyai senjata.

“Saya ke kedai makan berhampiran untuk meminta pertolongan penduduk sebelum bergegas semula ke masjid untuk memadamkan api,”
katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Samsudin berkata, lelaki itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung.

Katanya, penduduk menelefon bomba untuk membantu memadamkan kebakaran bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain.

“Kejadian itu menyebabkan semua ruang sembahyang utama termasuk permaidani, al -Quran dan almari terbakar dan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM300,000,” katanya.

Difahamkan, lelaki terbabit memulakan kebakaran dengan membakar al-Quran dalam almari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menjejaki seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai mencetuskan kebakaran.

“Kami sudah mengenal pasti suspek dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 435, Kanun Keseksaaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasgerambakarmasjid/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...