Showing posts with label Wan Nik Wan Yussof. Show all posts
Showing posts with label Wan Nik Wan Yussof. Show all posts

Saturday, April 16, 2011

PRN Sarawak: Antara jangkaan dan realti


Wan Nik Wan Yussof

Bagi pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis sejak dari awal proses pilihan raya negeri Sarawak sudah mengumumkan mengenai wujudnya Kerusi Panas. Ia dimaksudkan kepada kedudukan kerusi-kerusi yang berkaitan rapat dengan potensi persaingan sengit dan ketegangan isu kempen dimainkan antara parti-parti atau calon bertanding. Di samping kawasan itu juga ditandai warna merah yang menjelaskan keadaan lebih kritikal yang berkemungkinan besar pihak Barisan Nasional bakal kalah ditangan Pakatan Rakyat.

Jangkaan sebelum realiti


Menurut Malaysiakini (14 April 11) yang memetik sumber Umno berkata ada 28 kerusi panas yang melibatkan 19 kerusi dianggap bakal dimenangi Pakatan Rakyat. Sementara sembilan Dun lagi bakal menjadi medan perebutan yang belum pasti.

Sejumlah 19 kerusi panas itu, 15 kerusi adalah ditandingi SUPP, iaitu lima di Kuching, tiga di Sibu, tiga di Miri, dua di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu. Sementara empat kerusi lagi ialah masing-masingnya tiga PBB dan satu SPDP. Jika ini berlaku bermakna, Pakatan Rakyat akan dapat memenangi setidak-tidaknya 19 hingga 28 Dun dan sekaligus memungkinkan upaya Pakatan Rakyat menafikan kuasa mutlak dua pertiga.

Sekiranya matlamat untuk menafikan kuasa dua pertiga, iaitu memenangi 24 kerusi, rasanya Pakatan Rakyat tidak mempunyai halangan besar. Ini kerana kesemua kerusi itu terletak di kawasan majoriti Cina dan Iban, kecuali tiga Dun ditandingi PBB merupakan Dun Melayu/ Melanau (Seribas, Beting Maro dan Lingga). Di Dun Panas itu juga berlakunya putaran ligat isu penolakan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari kuasa ketua menteri. Ia seperti mana dijelmakan oleh laras bahasa kempen DAP yang mengingatkan pengundi bahawa “vote SUPP = vote Taib” sehingga memaksa pihak Barisan Nasional memutar isu tersebut menggunakan pendekatan reverse psi-war dengan mengajak pengundi Cina mengundi Barisan Nasional demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, kemakmuran dan kesederhanaan.

Apa pun semua laras bahasa kempen pihak Barisan Nasional sudah dilihat kaku dan tidak bermaya berikutan banyak isu-isu yang terdedah sudah membongkarkan kekayaan Abdul Taib, anak-anak, menantu dan kroninya menerusi pelbagai projek ekonomi dan kewangan.

Menurut Bridget Welsh (Malaysiakini 12 April 2011) isu-isu berkaitan Abdul Taib itu telah perlekatkan dengan kekangan ekonomi semasa, peningkatan perbelanjaan sara hidup, gaji yang murah diikuti dengan pembolotan kekayaan oleh elit politik kroni Barisan Nasional dan elit politik dari Semenanjung Malaysia yang seida mengaut hak rakyat Sarawak. Ia bakal mencetus suatu gelombang kebangkitan rakyat Sarawak seumpama dengan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.

Hal ini ada benarnya berasaskan kepada kajian persepsi oleh Zentrum Future dan maklumat Malaysiakini daripada ‘dalaman Umno’ yang menyimpulkan pihak Barisan Nasional Sarawak tidak lagi kalah lapan Dun, sebaliknya akan hilang kuasa dua pertiga.

Jadual berikut adalah ringkasan kedudukan jangkaan keputusan oleh dua entiti tersebut.

Jadual 1: Kajian persepsi semasa - Zentrum Future Studies




Berdasarkan jadual 1, Pakatan Rakyat dijangka berjaya meraih 31 kerusi dan parti oposisi lain, iaitu SNAP 12 kerusi dan Bebas 4. Ini bermakna Barisan Nasional bakal jatuh dari tampuk kuasa dengan hanya meraih 21 Dun. Maka dijangka tamatlah riwayat Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama. Justeru jangkaan Zentrum Future sudah tidak popular lagi buat Abdul Taib dan rakan sepasukannya.

Hal yang hampir sama ditunjukkan oleh Malaysiakini daripada maklumat ‘dalaman Umno’ (seperti mana dipetik Malaysiakini, 14 April 11) ) yang menilai prestasi kempen di Dun Sarawak. Jadual 2 berikut menunjukkan Barisan Nasional masih utuh di tampuk kuasa, meskipun masih kekal sebagai pihak berkuasa negeri.



Berpandukan jadual 2, kesemua parti Pakatan Rakyat dikatakan akan mencapai kemenangan di kerusi panas seperti yang dijelas di awal tadi. Namun, menurut sumber Umno (yang dipercayai bersumberkan maklumat perisikan yang sah), kemungkinan agak realistik, meskipun di sana masih muncul keghairahan kalangan pengundi Iban untuk berubah bersama-sama Pakatan Rakyat. Hal yang sama dijangkakan oleh salah seorang pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (dalam Hornbill Unleassed 3 April 2011) yang meletakkan 29 kerusi persaingan sengit dan boleh dimenangi Pakatan Rakyat.

Apakah ini suatu realiti atau hanya sekadar jangkaan permainan analisis angka para pengkaji? Justeru itu, perkembangan kempen sehingga hari terakhir (15 April) di setiap 71 Dun boleh menjadi asas untuk menjangkakan kemenangan besar atau kecil . Ataukah ia bakal menyaksikan peralihan kuasa?

Perkembangan terakhir

Faktor Abdul Taib yang sudah berusia 74 tahun dan sudah berkuasa selama 30 tahun sebagai ketua menteri masih gagal diganti, ia sudah cukup menjadi simbol kontroversi di sebalik dominasi PBB mengetuai dominasi politik Sarawak.

Berdasarkan pandangan pengkaji politik, James Chin dari Monash University Malaysia, pihak Pakatan Rakyat dijangka memenangi sekitar 20 kerusi atas faktor pengundi yang tidak suka kepada Abdul Taib sahaja (belum diambil kira faktor lain). Asas tidak suka itu mungkin berkait rapat dengan angkara tuduhan rasuah berskala besar, amalan kroni dan penyuburan sekutu politik nepotisme.

Sebaliknyha, hal tersebut turut menyuburkan sambutan rakyat kepada Pakatan Rakyat, meskipun pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan sasaran kempen buli atas fitnah video seks dan liwat serta perpecahan dalaman parti KeADILan. Sekali-kali ia tidak menghalang sambutan luar biasa berlaku dalam kempen di Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu. Ia telah merekodkan poin hangat yang memungkinkan kesemua kerusi bandar dan sub-bandar akan menolak Barisan Nasional.

Jika itu benar, maka SUPP bakal terjelepak longlai seperti parti Gerakan, sementara PBB, SPDP dan PRS sedang tertekan dengan asakan isu pemilikan tanah adat dan kaitannya dengan penguasaan tanah tersebut oleh syarikat yang ada hubungannya dengan pemimpin politik parti-parti tersebut.

Atas faktor tersebut, nampaknya kesedaran muncul mendadak kalangan pengundi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta suku bumiputra lain. Jika benar, gelombang rakyat Sarawak menolak Barisan Nasional pasti berlaku, maka gelombang pengundi di pedalaman itu memungkinkan Baru Bian boleh menang selesa di Ba’kelalan, diikuti dengan persaingan sengit di semua Dun pengundi Iban melebihi 3,000 orang. Apa pun hanya malam 16 April
bakal menentukan semua jangkaan menjadi realiti untuk Sarawak, kemudian pilihan raya umum nasional ke-13.

---------------------------------------

Penulis adalah pemimpin kanan di Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat di samping Setiausaha Politik MB Kelantan.


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2821:prn-sarawak-antara-jangkaan-dan-realti&catid=91:pendapat-dan-analisis&Itemid=72

PRN Sarawak - 13 Dun panas, sengit


Wan Nik Wan Yussof

Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 kali ini sedang menyaksikan 13 Dun panas yang boleh disifatkan panas, persaingan sengit dan sedang merimaskan calon-calon bertanding. Ia diikuti dengan pula dengan enam Dun kelabu bagi Barisan Nasional Sarawak pimpinan Abdul Taib Mahmud.

Berikut adalah jadual yang menerangkan secara ringkas fakta tersebut.


Berpandukan jadual tersebut, 10 Dun adalah dimenangi BN pada pilihan raya 2006, hanya tiga Dun (N.09 Padungan, N.28 Engkilili dan N.43 Ngemah) pihak BN kalah.

Apa pun berdasarkan perkembangan semasa dan mood kebersamaan pengundi (khususnya kalangan Dayak dan Cina) menyahut kempen “Jom Ubah” pihak Pakatan Rakyat, maka dijangkakan 13 Dun panas tersebut bakal dimenangi Pakatan Rakyat atau parti oposisi BN.

Di antara parti-parti Pakatan Rakyat tersebut, KeADILan dijangka memperolehi lima Dun, DAP bakal memenangi empat Dun dan PAS pula dua Dun.

Sementara parti-parti oposisi lain adalah dijangka SNAP mengekalkan kemenangan di Engkilili dan PCM pula akan menawan Dun Ngemah yang dulunya dimenangi calon PCM atas tiket Bebas.

Sekiranya benar, jangkaan 13 Dun ini jatuh kepada Pakatan Rakyat dan parti oposisi. Kemudian, kemungkinan besar DAP dapat mengekalkan dominasi di enam Dun (N.10 Pending, N.11 Batu Lintang, N.12 Kota Sentosa, N.40 Meradong, N.45 Bukit Assek dan N.59 Kidurong) yang dimenangi 2006, maka Pakatan Rakyat bersama SNAP dan PCM akan memenangi sekurang-kurangnya 19 daripada 71 Dun. Ia belum cukup untuk meranapkan keegoan parti BN yang ditunjangi PBB dan SUPP.

Justeru, bagi meranapkan dominasi dua pertiga BN, Pakatan Rakyat perlu memenangi 25 Dun. Ia memerlukan enam Dun lagi. Antara Dun yang dilihat berpotensi ialah mana-mana Dun kelabu bagi parti SUPP, SPDP dan PRS. Dun tersebut ialah N.25 Balairingin (PRS), N.39 Repok (SUPP), N.41 Pakan (SPDP), N.47 Bawang Assan (SUPP), N.64 Pujut (SUPP) dan N.65 Senadin (SUPP).

Apakah matlamat meranap dominasi dua pertiga Barisan Nasional akan berjaya?

Berdasarkan mood dan kesedaran politik semasa (sentimen pengundi Cina menolak BN bermula di Sibu dan kebangkitan Orang Ulu, Iban dan Bidayuh), maka bukan setakat meranap dominasi dua pertiga, lebih dari itu ialah berkemungkinan BN akan terpenggal tampuk kuasa Kerajaan Negeri!

-----------------------------------------

Penulis adalah pemimpin kanan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat yang juga Setiausaha Politik MB Kelantan.


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2785:prn-sarawak-13-dun-panas-sengit&catid=91:pendapat-dan-analisis&Itemid=72

Monday, March 7, 2011

Pesta rasuah di Kerdau dan Merlimau


Wan Nik Wan Yussof

Salah guna kuasa/sogokan/rasuah/pancing/beli undi dan penyelewengan pihak BN mengiringi sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau. Kes-kes berikut telah dicatatkan berlaku menjelang penamaan calon sehingga kempen 2 Mac 2011:

1. Pada Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di Merlimau, Rabu (2 Mac) - Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka menyogok 70 basikal kepada murid sekolah SK Chenderah (MstarOnline 3 Mac) dengan taktik memancing undi ibu bapa pelajar terbabit.

2. Muhyiddin dalam lawatannya ke DUN Merlimau (1 Mac), memancing undi dengan menjanjikan peruntukan geran pembinaan sekolah agama rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjumlah RM1.5 juta (Utusan online 3 Mac).

3. Pihak Felda turut membantu BN di PRK Kerdau membeli undi melalui pengumuman bayaran ses di bawah Skim Insentif Tanam Semula yang diberi kepada 433 peneroka dengan bayaran wang insentif RM1,000 sehektar atau bersamaan RM4,000 seorang yang kesemuanya bernilai RM1.8 juta. Majlis membeli undi itu dijadualkan pada Jumaat ini (4 Mac), dua hari menjelang pengundian (Umno online 2 Mac; Utusan online 3 Mac).

4. Umpan untuk beli undi ibu bapa pelajar telah dilakukann oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan memberi sumbangan kepada seramai 34 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk 29 pelajar dari Sekolah Menengah Dang Anum. Majlis mengumpan itu diadakan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Jamuan Rakyat DUN Merlimau (dlm. Sinar Haroiana online - http://www.sinarharian.com.my/merlimau/).

5. PAS menerusi Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki telah mengadu secara rasmi kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melibatkan penggunaan jentera kerajaan/premis awam pihak BN di Kerdau sebagai tindakan salah guna kuasa dan penggunaan melampau premis Sekolah Rendah Batu Sawar, Padang Awam Teluk Sentang dan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23 serta Balai Raya Kuala Tekal. Di situ telah didirikan khemah dan menaikkan bendera parti serta aktriviti kempen.

6. Tan Sri Muhyiddin telah berjanji bersifat menyogok 300 seramai ibu bapa merupakan pengundi Dun Kerdau sedia meluluskan pembinaan blok tambahan untuk bengkel kemahiran hidup dan makmal bernilai RM5 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan turut mempengaruhi pengundi sebagai pancing undi dengan sanggup dimasukkan cadangan dalam projek Rancangan Malaysia ke-10. Di samping turut berjanji untuk menyiapkan 18 sekolah di parlimen Kuala Krau yang akan diberikan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.9 juta (Malaysiakini 1 Mac).

7. Berlaku pengedaran kotak barangan kepada pengundi Cina di Kerdau dan dilihat menyogok dan merasuah pengundi apabila peenerima diarahkan memasang pelekat BN pada rumah masing-masing dan dibuktikan lagi (sogokan dari BN) kerana pada kotak itu ada gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil. Setiap kotak mengandungi nasi, Milo, biskut, susu tepung dan sardin dalam tin (Malaysiakini 28 Februari).

8. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu nilai sogokan untuk memancing undi berjumlah hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menjelang hari penamaan calon. Pengumuman itu dibuat di dua majlis perjumpaan berasingan di hadapan pengundi di Batu Sawar dan pengundi Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau. Sogokan sebanyak RM10 juta itu dalam bentuk sogokan projek mengganti paip bernilai RM9.25 juta, gelanggang serbaguna masyarakat Cina RM400,000, membina kuil Hindu RM100,000, dan Balai Bomba sukarela RM150,000 (Malaysiakini 27 Februari).

9. Kehadiran Mohd Najib dan isterinya Rosmah menaiki helikopter berkempen sebelum penamaan calon di sekitar daerah mengundi Kerdau dan 'kawasan 3+1' – gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur dilihat sebagai salah guna kuasa kerana menggunakan wang kerajaan. Helikopter itu tidak dibiayai oleh Umno Kerdau (Malaysiakini 28 Februari).

10. Masjid as-Sujjah Merlimau (premis awam) juga digunakan sebagai pentas menyampaikan kempen oleh pengkuliah antara waktu maghrib-isyak (pada Isnin, 2 Feb). Antara ucapan pengkuliah yang sempat dicatatkan ialah "Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orang Melayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik. Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan." Memahami konteks itu, jelas pengkuliah itu adalah berkempen untuk BN atas masjid (Malaysiakini 2 Mac).

11. Tan Sri Muhyidin mengumumkan akan membina sekolah agama rakyat di Taman Muhibah dekat Masjid as-Sujjah Merlimau berjumlah RM1.5 juta di majlis perjumpaan pegawai agama masjid yang dihadiri sama calon BN Roslan (Berita Harian 2 Mac). Pengumuman itu satu sogokan dan mempengaruhi pengundi dari kalangan pegawai masjid seluruh Dun Merlimau.

12. Satu majlis di SMK Dang Anum, Merlimau (premis awam) pada hari Isnin (28 Februari) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengeluarkan kenyataan, berikutan pengumuman kenaikan gaji para guru oleh Tan Sri Muhyidin, lalu beliau meminta 311 orang guru di Merlimau dapat membalasnya dengan mengundi BN (Malaysiakini 2 Mac).

13. Agensi kerajaan Pusat, Biro Tata Negara Negara (BTN) turut menyertai kempen pilihan raya kecil Merlimau dengan mengadakan tiga ceramah setiap hari bermula Ahad (27 Mac) lalu. Misinya ialah memburuk-burukkan DAP yang kononnya ‘menentang Islam dan mengancam orang Melayu’ (Malaysiakini 1 Mac).

14. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari telah membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbrian di bawah Mohd Ali Rustam melibatkan projek dan dana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM13.85 juta. Penyelewengan didakwa berlaku dalam kes pembinaan kompleks MAIM dan penyerahan milik lot PT 83 kepada kontraktor dan penjualan lot 106 dan 106 oleh kontraktor terbabit kepada pihak ketiga serta kelewatan jadual pembinaan kompleks yang tidak diambil sebarang tindakan (Berita Harian 2 Mac). Atas kes ini ada isu amalan kronisme, subhat dan semacam melindungi penyelewengan oleh MAIM dan Mohd Ali selaku Ketua Menteri.

15. Mohd Ali Rustam juga diketahui umum oleh para kontraktor yang menyertai tender projek negeri Melaka, sebagai ketua menteri yang mengamalkan kronisme dan rasuah. Mana-mana kontraktor yang ingin mendapatkan projek dan kelulusan tender perlu mendapat surat akuan daripada runnernya dan perlu berjumpanya terlebih dulu, kemudian membuat beberapa komitmen untuk kepentingannya (Laporan menerusi SMS 3 Mac).

Perkara yang sama turut dilaporkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di USA yang membuat kajian berkaitan pembangunan negeri Melaka.

Berdasarkan pendekatan BN yang tidak bermoral, tiada integriti dan mencabar amalan demokrasi di PRK Merlimau-Kerdau, maka by hook or by crook BN akan menang!

Ini kerana, pihak pengundi sedia terperangkap dengan segala janji manis, takut dengan ugutan dan terpukau dengan sogokan berjuta-juta ringgit. Itulah pengundi BN.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31190:pesta-rasuah-di-kerdau-dan-merlimau&catid=96:fokus-khas&Itemid=134
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...