Showing posts with label IJN. Show all posts
Showing posts with label IJN. Show all posts

Wednesday, July 13, 2011

Polis tahan 10 wakil Pakatan lawat Jeyakumar di IJN

Nigel Aw
Jul 12, 11
2:45pm

Polis menahan sembilan ahli parlimen dan senator Pakatan Rakyat daripada melawat ahli parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang kini terlantar di Pusat Jantung Negara (IJN) ketika di bawah tahanan Ordinan Darurat.

Mereka yang ditahan itu adalah - M Manogaran (Teluk Intan), Khalid Samad (Shah Alam), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Tian Chua (Batu), R Sivarasa (Subang), Nurul Izzah Anwar (Pantai Dalam), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Fong Po Kuan (Batu Gajah) - dan senator S Ramakrishnan.

Sg siput mp dr jeyakumar devaraj - Socialism 2010Mereka tiba di IJN sekitar jam 1 petang tadi dan diberitahu oleh seorang doktor bahawa Jeyakumar (kanan) adalah di bawah tahanan polis dan tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan melawatnya tanpa izin polis.

Atas permintaan pemimpin Pakatan, doktor itu berkata beliau akan cuba berunding dengan polis bagi mendapatkan kebenaran berkenaan.

Ahli parlimen dari Parti Sosialis Malysia (PSM) dibawa ke IJN pada Sabtu lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari selepas mengadu sakit dada.

Menurut setiausaha agung PSM, S Arutchelvan, - Jeyakumar disoal-siasat oleh lima anggota polis semasa dalam tahanan sehingga menimbulkan tekanan mental.

Polis membenarkan kakaknya melawat ahli parlimen itu Ahad lalu.

Ini kali kedua aktivis sosial dan politik itu dibawa bagi mendapatkan rawatan perubatan setelah beliau bersama 29 ahli PSM yang lain ditangkap pada 26 Jun ketika dalam perjalanan menghadiri program parti itu 'Udah La Tu... Bersaralah' .

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/169701

Wednesday, January 7, 2009

Sime Darby batal hasrat ambil alih IJN


Rabu Januari 7, 2009

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd hari ini mengumumkan yang ia tidak akan meneruskan rancangannya untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).


Dalam satu kenyataan di sini, konglomerat itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas yang diterima berhubung cadangan itu.


Tindakan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan untuk membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.


"Kami merupakan syarikat yang pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia dan kami perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia adanya," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.


"Kami percaya bahawa pelaburan yang berterusan dalam penjagaan kardiovaskular adalah penting kerana ia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan satu daripada sebab utama kematian di Malaysia," kata Ahmad Zubir.


"Perkongsian dengan IJN akan menjadi gabungan yang memberi manfaat yang besar kepada kami, IJN, mereka yang berkepentingan dan orang ramai dan atas dasar inilah kami menyatakan hasrat kepada kerajaan mengenai kemungkinan perkongsian dengan IJN," katanya.


Menurut Sime Darby, ia menulis kepada kerajaan pada Ogos tahun lepas bagi menyatakan minat untuk menjalin pakatan yang akan memberi faedah bersama dalam melebarkan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare dan IJN.


"Perkongsian sedemikian akan membawa bersama kedudukan IJN sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik dan kepakaran Sime Darby Healthcare dalam penjagaan kesihatan tinggi swasta," kata Ahmad Zubir.


"Rancangan Sime Darby Healthcare adalah untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan seperti kanser, jantung dan neurologi di Malaysia dan seberang laut," katanya.


Menurut Ahmad Zubir, bagi projek IJN, Sime Darby sentiasa mengambil kira kebajikan dan kepentingan golongan mereka yang kurang berkemampuan, satu pendekatan sejajar dengan falsafah syarikat terhadap tanggungjawab sosial.


Beliau berkata beliau kekal yakin mengenai prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus meninjau peluang untuk pengembangan dan menjadikan Sime Darby Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan standard emas di rantau ini.


IJN mempunyai reputasi sebagai pusat jantung utama dan telah memberi rawatan kepada berjuta pesakit termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Sebagai hospital separa kerajaan, ia menyediakan rawatan perubatan kelas pertama di bawah kadar pasaran dengan bayarannya dikawal oleh kerajaan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090106184910&sec=mstar_berita

Sime Darby batal hasrat kuasai ekuiti dalam IJN

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd semalam mengumumkan tidak akan meneruskan rancangan untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam satu kenyataan, konglomerat itu membuat keputusan setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas berhubung cadangan itu.

Tindakan itu susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.

“Syarikat yang mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092148/Article/index_html

Saturday, December 27, 2008

Tiada masalah


KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) mengumpul dana RM3 juta pada tahun ini hasil keprihatinan masyarakat, organisasi dan syarikat swasta yang konsisten ingin membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan.

Pengurus Yayasan IJN, Alawiyah Yussof, berkata enam syarikat swasta menghulurkan dana secara tetap setiap tahun kepada yayasan itu, manakala organisasi lain dan individu pula akan menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa.

Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang kepada yayasan itu ialah Pfizer Malaysia, AirAsia dan Yayasan Tenaga Nasional.

“Bantuan yang dihulurkan bukan saja berbentuk wang ringgit, malah ada yang menjadi rakan kongsi pada setiap program yang dianjurkan,” katanya.

Yayasan IJN ditubuhkan pada 1995 bertujuan mengumpul dana bagi memberi rawatan kepada pesakit jantung di institut berkenaan.

Pada tahun lalu, yayasan itu membiayai 85 orang pesakit dengan kos lebih RM2 juta.

Alawiyah berkata, dengan bantuan seperti ini, yayasan tidak pernah mengalami masalah tidak cukup dana terutama apabila pesakit yang berkelayakan datang memohon bantuan yayasan secara kecemasan.

“Pada asalnya yayasan ini untuk membantu pesakit miskin yang mengalami kes kecemasan dan membiayai program penyelidikan di IJN. Begitupun, ada masanya dari segi peralatan kami cuma bantu beli sebagai barang tambahan sahaja, katanya.

Menurutnya, IJN merawat tiga golongan pesakit iaitu kakitangan atau pesara kerajaan, pesakit mampu bayar dan pesakit kurang mampu bukan kakitangan kerajaan seperti pesawah dan nelayan.

Yayasan IJN tidak menerima aduan daripada pesakit mahupun keluarga pesakit berhubung kekurangan peralatan ataupun ‘kecacatan’ terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Mengenai cadangan penswastaan IJN, Alawiyah berkata jika kerajaan memutuskan untuk menswastakan institut ini mungkin sokongan daripada penderma akan berkurangan.

“Keadaan ini dijangka berlaku mungkin kerana stigma masyarakat yang sudah lama beranggapan badan swasta hanya bergantung kepada keuntungan untuk mendapatkan pusingan modal,” katanya.

Baru-baru ini, Sime Darby Bhd dilaporkan merancang untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali IJN.

Pada masa ini, IJN adalah pusat perubatan jantung terkemuka di rantau ini, dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227100849/Article/index_html

Thursday, December 25, 2008

Bantah cadangan ambil alih IJN - PPIM

Rabu Disember 24, 2008

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah hasrat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang ingin mengambil alih 51 peratus kepentingan Institut Jantung Negara (IJN) untuk diswastakan kerana berpendapat ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.


Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Nordin berkata perkara itu perlu dikaji semula kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.


"Jangan kerana hanya gah untuk memastikan IJN dikenali di seluruh dunia dan mempunyai peralatan yang terkini tetapi rakyat Malaysia hanya mampu melihat dari jauh...apa gunanya kita mempunyai pusat rawatan jantung canggih," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, jaminan Sime Darby bahawa kos rawatan bagi golongan pendapatan rendah dikekal adalah tidak munasabah memandangkan kos perkhidmatan akan meningkat apabila sesuatu perkhidmatan itu diswastakan.


"Memang tidak dinafikan bahawa setiap agensi yang diswastakan mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik berbanding perkhidmatan sedia ada tetapi ini tidak bermakna jika perkhidmatan yang diberikan tidak mampu dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah kerana kos rawatan yang tinggi," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/24/mstar_berita/20081224172053&sec=mstar_berita

Tuesday, December 23, 2008

Jangan swastakan IJN

Apakah keluhan dan pandangan orang ramai sekiranya institusi yang mempunyai tanggungjawab sosial itu diswastakan?



RAKYAT percaya lambat laun, kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun IJN diswastakan.
--------------------------------------------------------------------------------


JUMAAT lalu, kerajaan memutuskan penangguhan keputusannya terhadap permintaan Sime Darby untuk mengambil alih pengurusan Institut Jantung Negara atau lebih dikenali sebagai IJN.

Semasa mengumumkan keputusan Kabinet, Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, keputusan kerajaan terhadap pengambilalihan tersebut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat terutama jaminan kerajaan terhadap tanggungjawab sosialnya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab terhadap penubuhan IJN menyambut baik keputusan tersebut.

Dalam blognya chedet.com, Dr. Mahathir berkata, pengurusan IJN sepatutnya dibiarkan seperti sekarang kerana institusi tersebut telah menjalankan tugasnya dengan baik kepada orang ramai.

Kata beliau, jika kerajaan berhasrat untuk meneruskan subsidinya terhadap IJN, maka tidak perlulah institusi tersebut diswastakan.

Bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Petaling Jaya pada hari yang sama, Tun Mahathir berkata, pada pandangan beliau, IJN telah memberi khidmat yang amat baik kepada pesakitnya.

Pemandu teksi, A. Kumaresan, pula berkata, ramai dalam kalangan rakan sejawatnya berpendapat tidak sesuai bagi orang ramai jika syarikat swasta menguruskan institusi tersebut, lantas langkah untuk menswastakan IJN adalah tidak bijak.

"Kami terkejut mendengar berita tentang ura-ura penswastaan IJN. Saya dah bertanya ramai penumpang dan mereka menyatakan tidak bersetuju kalau IJN diswastakan," katanya.

Ahli akademik dan aktivis sosial, Fatimah Mansur bersetuju dengan pendapat Kumaresan.

Kata Fatimah, negara mempunyai banyak hospital dan pusat perubatan swasta yang cukup untuk keperluan orang ramai.

"Biarlah IJN seperti apa yang adanya. Memang betul, senarai menunggu untuk mendapat rawatan adalah panjang tetapi itu merupakan perkara biasa dan orang ramai memahami, asalkan mereka dapat rawatan di institusi ini," kata ibu kepada tiga orang doktor itu.

Bekas kakitangan kerajaan Wee Teck Seng, yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada tahun 2000, berkata, IJN adalah satu institusi yang membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka.

Wee berkata, ramai pesakit yang menerima rawatan di IJN ialah kakitangan kerajaan, mereka yang sudah pencen dan mereka yang tidak mampu.

Katanya, mereka yang kaya dan mampu berupaya mendapatkan rawatan di institusi perubatan swasta yang banyak di negara ini.

"Setahu saya, sebelum penubuhan IJN, ramai rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Singapura untuk mendapat rawatan (pembedahan) dan perbelanjaannya memang mahal.

"Kalau IJN diswastakan, tidak mengira apa yang dijanjikan, kami percaya lambat laun, kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun.

"Kalaulah ini berlaku, ramai rakyat akan terjejas,"
kata beliau lagi.

Pensyarah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman berpendapat konsep penswastaan adalah baik.

"Bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk institusi perubatan awam, apatah lagi institusi seperti IJN.

"Lihat apa yang terjadi pada penswastaan Lembaga Letrik Negara dan Telekom. Memang perkhidmatan bertambah baik dengan begitu ketara tetapi pada harga yang lebih tinggi,"
kata beliau.



RAMAI rakyat akan terjejas jika Institut Jantung Negara diswastakan. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


Menurut Abdul Rahman, beliau percaya kerajaan tahu apa yang terbaik untuk rakyat.

"Saya pasti kerajaan akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat," tambah beliau.

Seorang doktor pediatrik di sebuah pusat perubatan awam di Kuala Lumpur yang enggan namanya disiarkan, berkata:

"Saya rasa pakar dan doktor di IJN tidak kisah sangat dengan pendapatan mereka.

"Bagi saya, mereka puas hati dan komited terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Bagi mereka, pendapatan tinggi tidaklah penting tetapi apa yang lebih penting adalah tugas mereka kepada rakyat Malaysia. Bagi saya, mereka mempunyai hati yang murni,"
kata beliau.

Seorang doktor di klinik swasta di Shah Alam yang mahu dikenali sebagai Dr. Muzaffar, berkata:

"Saya pasti pakar dan doktor di IJN puas hati dengan keadaan sekarang. Saya berani kata khidmat yang mereka berikan adalah amat baik.

"Tidak pernah terdengar rungutan terhadap mereka dan saya percaya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sebenarnya adalah wira-wira negara,"
tambah beliau.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pada Jummat lalu juga telah menyatakan bantahan terhadap rancangan penswastaan tersebut.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ida, 40, berkata, beliau amat terhutang budi kepada IJN.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, anak bongsunya yang sekarang berumur 16 bulan, dilahirkan dengan masalah jantung berlubang yang serius.

Doktor mendiagnosis anak Ida sebagai mempunyai Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD), Patent Foramen Ovale (PFA) dan Patent Ductus Arteriousus (PDA).

Pakar IJN berjaya melakukan pembedahan Total Intra Cardiac Repair ke atas bayi tersebut pada 23 November tahun lalu yang mengambil masa selama lapan jam.

"Doktor di hospital yang lain telah menyatakan masalah tersebut terlampau rumit dan tidak banyak boleh dilakukan untuk membantu bayi saya.

"Saya dinasihat mendapatkan pandangan kedua dari IJN, dan pakar di situ telah menyatakan satu pembedahan untuk membetulkan masalah tersebut boleh dilakukan,"
kata Ida, sambil menambah anaknya itu sekarang sudah sihat. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...