Showing posts with label Martial Art. Show all posts
Showing posts with label Martial Art. Show all posts
Thursday, January 22, 2009
Silat Cekak Hanafi tubuh akademi
Oleh NAZARALI SAERIL
nazarali@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Seni Silat Cekak Hanafi melakukan anjakan paradigma apabila menjadi perintis kepada semua pertubuhan silat seluruh negara dengan menubuhkan sebuah akademi ala Institusi Pengajian Tinggi (IPT) demi memartabatkan warisan bela diri Melayu itu.
Pemangku Presidennya, Md Nasir Md Arshad, berkata Akademi Silat Cekak Hanafi (ASCH) akan dilengkapi pelbagai peralatan serta kemudahan sokongan selain silibus pelajaran khas bagi memastikan pelajar dan jurulatih mendapat pengetahuan teori juga praktikal terbaik.
“Dengan adanya ASCH, kita mampu mengeluarkan pelajar serta jurulatih berwibawa. Mereka perlu lulus setiap ujian dijalankan, sama ada teori atau praktikal, untuk mendapatkan sijil, diploma atau ijazah.
“Tujuan penubuhan akademi berkenaan ialah memastikan warisan seni bela diri Melayu ini tidak dipandang sepi generasi akan datang, selain menjadikan silat lebih bersifat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam majlis Sambutan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Hanafi 1403 Hijrah.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Pengurusan Sumber Alam Selangor, Yaakob Sapari.
Menurut Md Nasir, pihaknya mencari tapak seluas kira-kira empat hektar bagi membina akademi berkenaan dan Selangor menjadi lokasi pilihan utama.
“ASCH ditubuhkan selepas mendapat kelulusan Majlis Muafakat Tertinggi (MMT) Silat Cekak Hanafi pada 22 Mei 2008 menerusi Silat Cekak Hanafi Sdn Bhd.
“Kami harap pembukaannya dapat direalisasikan dalam masa terdekat. Kita mahu setiap pelajar serta jurulatih silat ini menerima pengetahuan terbaik sebelum ia dicurahkan kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain itu, pelajar serta jurulatih keluaran ASCH diharap mampu menghasilkan lebih banyak bahan akademik berkaitan silat berkenaan dan lain-lain lagi untuk dijadikan rujukan.
“Silat Cekak Hanafi melahirkan kira-kira 65,000 pelajar serta jurulatih sejak ditubuhkan 44 tahun lalu dan ia semakin berkembang berdasarkan minat mendalam generasi muda yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara.
“Dengan adanya ASCH, seni warisan bangsa kita ini diharap tidak pupus atau ketinggalan berbanding seni bela diri bangsa lain,” katanya.
Sementara itu, jurulatih silat berkenaan, Roslan Zairi Ahmad Zawawi, 34, bersetuju dengan penubuhan ASCH kerana ia bukan saja meningkatkan darjat seni bela diri warisan bangsa Melayu berkenaan, malah mampu menarik lebih ramai golongan profesional menyertainya.
“Penubuhannya mampu menjadikan silat ini lebih dinamik selain tersusun. Dalam masa sama, pelajar serta jurulatih keluarannya pasti menerima lebih banyak input berkaitan teori serta praktikal,” katanya yang bertugas sebagai jurulatih di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090118174219/Article/index_html
Sunday, January 18, 2009
Ahli silat mahu ke Gaza
AHLI Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi bersiap sedia untuk dihantar ke Gaza pada satu majlis di Kuala Lumpur semalam. --------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia menawarkan diri membantu rakyat Palestin kini Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia (PSSCUHM) juga menyatakan hasrat yang sama.
Guru Utama PSSCUHM, Marui Latif berkata, penglibatan ahli-ahlinya boleh dikerah segera sekiranya kerajaan menyelaraskan program bantuan tersebut.
"Kami tidak ada masalah. Jika diminta, persatuan kami yang ada ahli di seluruh negara sentiasa bersedia untuk berkhidmat di sana (Gaza)," ujarnya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Bagaimanapun, Marui menyedari risiko dan prosedur tertentu yang menyukarkan penghantaran mereka untuk berkhidmat di wilayah bergolak itu.
Katanya, walaupun tidak berada di Gaza, PSSCUHM sudah memulakan bantuan berbentuk kewangan melalui kutipan Tabung Gaza yang sudah dilancarkan sejak bermulanya serangan Israel ke atas penduduk Palestin.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm