Showing posts with label Cheque - Check and Bank Deposit. Show all posts
Showing posts with label Cheque - Check and Bank Deposit. Show all posts

Saturday, February 5, 2011

Masuk perangkap Datuk Kabi

KUALA LUMPUR – Biarpun dalam perintah sekatan daerah, kegiatan penipuan seorang lelaki yang menggunakan gelaran nama Datuk Kabi tiada berkesudahan.

Baru-baru ini, lelaki berusia 30-an yang dikenakan perintah sekatan selama dua tahun di sebuah daerah di Johor itu dipercayai menipu seorang lelaki tempatan dengan menggunakan dua keping cek palsu yang kesemuanya berjumlah RM180,000.

Sumber berkata, kedua-dua cek tersebut dikeluarkan oleh Datuk Kabi kepada mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat insurans di ibu negara bagi urusan pembelian sebuah kenderaan mewah Toyota Alphard bernilai RM180,000.

Penjualan kenderaan mewah itu diiklankan menerusi sebuah laman web di Internet. Datuk Kabi kemudian menghubungi mangsa dan dalam perbincangan itu, suspek mendakwa dia hanya menjadi saksi pembelian kenderaan itu kerana ia akan dibeli atas nama ibunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, selepas bersetuju dengan syarat yang ditetapkan pemilik kenderaan itu, Datuk Kabi pada mula menyerahkan sekeping cek bernilai lebih RM2,000 sebagai wang pendahuluan.

Baki kesemua harga kenderaan itu dibayar melalui cek kedua yang diserahkan kepada mangsa seminggu selepas cek pertama.

Selepas menyerahkan dua keping cek itu, Datuk Kabi menerima kenderaan Toyota Alphard itu daripada mangsa pada 6 Januari lalu.

Namun, kata sumber itu, mangsa mula menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas gagal menunaikan cek pertama yang didapati cek tendang kerana tiada wang di dalam akaun tersebut.

Cek kedua bernilai RM161,000 pula yang diserahkan beberapa hari kemudian kepada pengurus tersebut pula didapati lewat tarikh tunai.

Jelas sumber itu, mengikut perjanjian suspek perlu membuat pembayaran penuh ke atas kenderaan mewah itu dalam tempoh 21 hari dari tarikh perjanjian.

Katanya, mangsa dan suspek telah berjumpa sepanjang urusan pembelian kenderaan tersebut namun tidak menyedari lelaki tersebut banyak terlibat dalam kes penipuan sebelum ini.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Travers di sini pada awal Januari lalu.

“Polis menumpukan siasatan ke atas cek pertama kerana ia kes tipu manakala bagi cek kedua pula, masih belum terbukti kesalahannya,” katanya yang memberitahu pihaknya belum membuat sebarang tangkapan kerana suspek masih menjalani perintah sekatan.

Datuk Kabi sebelum ini pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan cek mencecah jutaan ringgit dalam urusan pembelian hartanah dan menggunakan cek tendang di beberapa buah negeri di negara ini.

Pada 2 Januari 2009, Datuk Kabi pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang atas tuduhan menipu seorang jurujual melibatkan RM75,000.

Dia didakwa menipu dan memperdaya seorang jurujual, Ng Cheiw Beng, 43, dengan menyerahkan sekeping cek Am Bank (M) Bhd. bertarikh 5 April 2006 bernilai RM75,000 sebagai bayaran membeli sebuah kereta sedangkan cek itu tidak sah. Kes itu masih dibicarakan di mahkamah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya telah merampas kenderaan mewah itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0205&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Wednesday, November 3, 2010

'Datuk Kabi' ditahan polis lagi


GAMBAR fail menunjukkan anggota polis menahan 'Datuk Kabi' kerana sering menggunakan cek palsu ketika membuat urusan pembelian hartanah.


KUALA LUMPUR - Pemburuan polis terhadap seorang lelaki bergelar 'Datuk Kabi' bagi membantu siasatan berhubung kes-kes penipuan cek mencecah jutaan ringgit dalam urusan pembelian hartanah di beberapa buah negeri di negara ini berakhir apabila dia ditahan kelmarin.

Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada tengah hari berdekatan kawasan rumahnya di Sri Hartamas di sini.

Ketika ditahan, lelaki terbabit bersendirian di premis itu. Polis bagaimanapun tidak membuat sebarang rampasan.

Jurucakap polis berkata, pihaknya melakukan intipan selama sebulan terhadap suspek sebelum menahannya.

Suspek pernah menjadi buruan polis pada 2008 dan ditahan pada 17 Disember tahun yang sama selepas dia tampil menyerah diri di ibu pejabat JSJK Bukit Aman.

Suspek sebelum ini dipercayai terlibat dalam lebih 25 kes penipuan di ibu negara, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah membabitkan pembelian hartanah serta barangan lain menggunakan cek tendang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Wednesday, June 10, 2009

Ubah suai slip deposit cek

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pemilik dan pengguna buku cek dinasihati berwaspada berikutan muncul sindiket ‘getah pemadam ajaib’ yang mampu menukar nama untuk melesapkan wang mangsa, kini satu lagi taktik terbaru dikesan iaitu dengan menggunakan slip deposit cek.

Ini kerana, suspek didakwa ‘membantu’ mendepositkan semua cek yang dicuri sebelum mengambil slip depositnya untuk diubah suai.

Cek terbabit dicuri suspek selepas diposkan pembeli yang membuat pesanan dari mana-mana syarikat kebiasaannya membabitkan pembelian barangan elektronik.

Dalam kes terbaru, seorang pengarah urusan syarikat pembekal peralatan kamera, C H Low, 42 mendakwa hampir kerugian RM400,000 apabila berurusan dengan seorang ‘pelanggan’ baru yang membuat pesanan membeli sejumlah kad memori dari syarikatnya.

Menurut Low, seperti kebiasaan, pelanggan tetapnya akan membuat pesanan menerusi talian dan syarikatnya akan menghantar pesanan terbabit sebelum bayaran berbentuk cek akan dipos kepadanya.

“Namun, dalam kejadian dua minggu lalu, suspek dipercayai mencuri cek yang dalam perjalanan untuk dihantar ke syarikat saya dan menggunakan teknologi canggih mengimbas slip deposit bank terbabit sebelum mengubahsuainya.

“Suspek kemudian datang ke syarikat dan menuntut barangan yang ‘dibeli’ bernilai RM3,000 dengan slip deposit yang ditukar nama dan bank, namun mengekalkan nombor cek itu.


“Berjaya dengan penipuan pertama, tidak lama selepas itu, suspek datang sekali lagi ke syarikat saya di Petaling Jaya dan menuntut pembeliannya dengan menunjukkan slip deposit cek RM42,000,” kata Low sewaktu ditemui di Biro Pengaduan Awam di sini, semalam.

Menurut Low, bagi kedua-dua pembayaran itu, pekerja syarikatnya hanya mengesahkan pembayaran yang dilakukan suspek dengan menghubungi pihak bank dan menjadikan nombor cek sebagai rujukan.

“Apabila dirujuk menggunakan nombor terbabit, pihak bank memaklumkan yang bayaran itu dibuat dan pembayaran terbabit sebenarnya merujuk kepada nombor cek pelanggan tetap,” katanya yang mendapati kehilangan stok barangan jualan yang tidak seimbang dengan pembayaran yang diterima.

Low kemudian mula mencurigai pelanggan barunya itu kerana kerap memesan barangan sama dalam tempoh singkat.

“Tidak lama selepas itu, suspek sekali lagi membuat pesanan kad memori dan kali ini dengan jumlah yang lebih banyak membabitkan pembayaran RM350,000.

“Kerana curiga dengan suspek yang kerap menghubungi syarikat bertanyakan pesanan serta menawarkan harga lebih tinggi ke atas barangan terbabit, saya bersama pekerja memasang perangkap dan menunggunya datang ke pejabat untuk mengambil barang yang dipesan,”
katanya.

Sebaik suspek yang berpakaian seperti seorang usahawan serta memandu kereta mewah itu tiba di pejabatnya, Low menahan dan menemui ratusan cek yang dicuri dalam beg yang dibawanya.

“Suspek mengaku mengubah suai slip deposit cek terbabit dan dia diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan terbabit.

“Suspek yang berusia 30-an itu masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau sebatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090610055412/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...