Showing posts with label JUHAM. Show all posts
Showing posts with label JUHAM. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

Khairi mesti letak jawatan jika mahu berpolitik

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung aduan salah laku Pegawai Atase Pendidikan Malaysia, Khairi Jalalluddin.

Keputusan itu dibuat setelah delegasi DPPM meneliti dari dekat mengenai aduan mahasiswa Malaysia di Mesir sewaktu ke sana 2 Ogos lalu.

Malah banyak salah laku beliau telah didedahkan di laman sosial facebook "KJ Bocor Fan Club".

Antara contoh salah laku beliau yang dilapor dan didedahkan adalah berusaha untuk memecahkan kesatuan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRM).

Khairi yang merupakan ahli Lembaga Kelab Umno Mesir juga merancang untuk mengheret pelajar perubatan Mesir menyertai kelab tersebut serta berkempen di hadapan mahasiswa supaya mahasiswa menyertai kelab Umno Mesir.

Selain itu Khairi juga mengadu domba agar pihak duta bertembung dengan mahasiswa.

Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam kenyataannya berkata, DPPM memandang serius perkara ini dan memohon pihak KPT menyiasat segala pendedahan yang dibuat oleh KJ Bocor Fan Club.

"Jika Khairi bertindak seperti yang didedah, DPPM mendesak dan menggesa Khairi segera dipanggil pulang dan dikenakan tindakan wajar.

"Jika beliau mahu berpolitik dan mempolitikkan mahasiswa, sila letak jawatan sebagai pegawai atase pendidikan dan beliau boleh kembali ke Mesir atas nama ahli kelab Umno Mesir tanpa perlu berselindung di sebalik jawatan kerajaan," katanya dalam kenyataan yang dibacakan pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Tambahnya juga, Khairi ternyata melakukan tindakan yang bertentangan dengan etika kerja dan bercanggah dengan profesionalisme tugasnya.

"Beliau sepatutnya berperanan memberi khidmat dan membantu peningkatan akademik mahasiswa di Mesir tapi malangnya beliau pergi untuk berpolitik, mengganggu mahasiswa dan mencetus perbalahan di antara pihak mahasiswa dengan pihak kerajaan khasnya kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4755-khairi-mesti-letak-jawatan-jika-mahu-berpolitik

Thursday, July 21, 2011

Juham kaji tindakan keganasan polis pada Tiong Huat

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengkaji setiap sudut berkaitan keganasan pihak polis terhadap seorang lelaki berketurunan Cina dari Sarawak, Hii Tiong Huat, 59, yang ditahan polis sempena perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Sepanjang berada dalam tahanan polis, Hii Tiong Huat didakwa telah dikasari oleh pihak polis dengan pelbagai perlakuan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan beliau pengsan.

Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, kajian tersebut akan dibuat bersama laporan-laporan lain bagi membolehkan Juham mengambil tindakan lebih lanjut berhubung keganasan pihak polis.

Menurut beliau, ia juga adalah lanjutan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyarankan agar setiap pihak yang menjadi mangsa keganasan polis tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan masing-masing.

Katanya, kes yang berlaku ke atas Tiong Huat ternyata merupakan sebahagian daripada keganasan polis terhadap orang awam, khususnya para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

"Tindakan keganasan polis terhadap Tiong Huat sememangnya tidak boleh dinafikan lagi oleh setiap pihak, malah Tiong Huat sendiri telah pun membuat laporan polis akibat keganasan polis yang berlaku ke atas beliau," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tiong Huat, menurut beliau, bukan ditahan pada hari perhimpunan, malah sehari sebelum perhimpunan itu diadakan hanya disebabkan beliau memakai baju kuning, tetapi bukan baju kuning Bersih 2.0.

"Beliau ditahan di Balai Polis Dang Wangi. Ketika ditahan di Dang Wangi, beliau telah dipukul oleh pihak polis. Selepas itu, beliau ditahan reman pula selama 4 hari di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Semasa ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil, Tiong Huat dipukul lagi sehingga pengsan, manakala wangnya pula turut hilang ketika berada dalam tahanan polis," katanya.

Akibatnya, jelasnya, Tiong Huat terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

"KDN kata polis tak ganas dalam menangani perhimpunan itu. Tapi kes yang berlaku ke atas Tiong Huat itu, belum berhimpun pun dah ditangkap dan dikasari pula oleh pihak polis.

"Pada hal sebelum itu, pihak polis juga berkata, tidak salah pakai baju kuning, tetapi yang salah hanya pakai baju kuning Bersih 2.0. Tiong Huat pula tak pakai baju kuning Bersih 2.0. Dia hanya memakai baju kuning. Kenapa dia ditangkap?

"Selain itu, Tiong Huat ternyata dikasari oleh pihak polis semasa berada dalam tahanan polis. Dia dipukul, ditampar di muka, ditendang, malah sehingga pengsan. Tidakkah semua yang berlaku ke atas Tiong Huat itu antara bukti nyata keganasan pihak polis?" katanya.

Sementara itu, Hii Tiong Huat ketika ditemui menjelaskan, laporan berhubung keganasan pihak polis terhadap beliau telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Cheras pada 13 Julai lalu jam 1.28 tengah hari.

Dalam laporan itu, beliau berkata, pada jam 3.00 petang 9 Julai lalu, beliau telah dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana memakai baju kuning, setelah ditangkap pada 8 Julai di Petaling Street, di sini.

Menurutnya, semasa proses tukar baju di Pusat Tahanan Bukit Jalil, seorang anggota polis dengan kasar telah menyuruh beliau memasukkan seluar dan barang-barangnya ke dalam beg plastik yang dibekalkan kepadanya.

Katanya, beliau ingin senarai barang-barangnya direkodkan, tetapi anggota polis yang bertugas dengan marah mengatakan kepada beliau supaya jangan bising dan telah menampar mukanya beberapa kali sehingga cermin matanya rosak dan beliau tidak sedarkan diri.

"Kemudian saya telah memasukkan seluar saya yang berisi duit lebih kurang RM300.00, jam tangan, rantai jed, buku kecil dan seluar dalam ke tempat simpanan.

"Selepas itu, saya dimasukkan ke blok A Pusat Tahanan Bukit Jalil, tetapi saya tidak dapat tidur semasa berada di Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana ada orang yang ditempatkan dalam sel lokap saya 15 orang, manakala kelulasan sel lokap pada andaian saya hanya 18 kaki panjang," katanya.

Ketika dalam tahanan di pusat tahanan itu, dakwanya, beliau tidak dibekalkan dengan berus gigi, kain tuala, makan tidak cukup dan tiada sabun badan.

"Pada jam 11.00 pagi 12 Julai, saya dibawa ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan pada jam 6.00 petang 12 Julai. Pada jam 11.00 pagi 13 Julai, saya datang semula ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk mendapatkan kembali barang-barang saya.

"Tetapi saya dapati wang yang disimpan di dalam poket seluar saya hanya tinggal RM172.00 bersama barang-barang saya yang lain yang berada di dalam beg plastik yang disimpan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.

"Saya percaya duit saya telah diambil oleh anggota polis yang menampar saya pada hari saya dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana anggota polis tersebut tidak merekodkan duit dan barang-barang saya yang disimpan dan saya cam anggota polis tersebut.

"Dengan ini, saya tidak puas hati dan mahu pihak polis menjalankan siasatan," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4471-juham-kaji-tindakan-keganasan-polis-pada-tiong-huat

Juham yakin tiada kes disabitkan himpunan GMI

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Perbicaraan kes 29 tahanan membabitkan perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 lalu telah sampai ke penghujung, apabila saksi pihak pendakwaan terakhir selesai memberikan keterangannya di Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini, hari ini.

Penggulungan hujah bagi pihak pendakwa dan peguambela telah ditetapkan pada 23 September ini, sebelum mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, sehingga hari ini seramai 23 saksi pihak pendakwa telah dipanggil oleh mahkamah untuk memberikan keterangan masing-masing.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan kesemua saksi pendakwa, Juham yakin tidak terdapat kes yang boleh disabitkan dengan kesalahan yang didakwa oleh pihak pendakwa terhadap kesemua tahanan tersebut.

Katanya, malah sejak kes tersebut dibicarakan, pihak pendakwa ternyata gagal mengemukakan bukti-bukti tuduhan ke atas kesemua tahanan terbabit.

"Perbicaraan kes ini dah berjalan hampir 2 tahun. Selepas penggulungan, mahkamah akan putuskan sama ada terdapat prima kes atau tidak," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini.

Mereka yang terbabit dalam kes tersebut, menurut beliau, berusia antara 20 hingga 30 tahun, manakala seorang daripada mereka masih di bawah umur.

Katanya, daripada jumlah itu, 13 orang adalah anggota Unit Amal yang berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala selebihnya kebanyakannya adalah ahli-ahli PAS termasuk dari Johor, Perak, Kelantan, Terengganu atau seluruh negara.

Kesemua mereka ditahan oleh pihak polis pada 1 Ogos 2009 lalu di sekitar Kuala Lumpur kerana terlibat dalam perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA, manakala pembelaan terhadap mereka yang berada di bawah Unit Amal dikendalikan oleh Juham yang diketuai oleh peguam Azizul Shariman bersama 7 peguam Juham lain.

Mereka yang ditahan itu, selain disabitkan dengan kesalahan menyertai perhimpunan itu turut dikaitkan dengan kesalahan menjual baju kempen Mansuhkan ISA.

Sepanjang perbicaraan, jelasnya, pihak pendakwa cuba mengaitkan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sebagai pertubuhan haram.

"Tuduhan tersebut ternyata tidak berasas kerana Unit Amal adalah pertubuhan yang sah, bukannya haram kerana ia berada di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala Dewan Pemuda PAS Pusat pula berada di bawah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang nyata merupakan pertubuhan berdaftar dan sah dari sisi undang-undang," jelasnya.

Dengan kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti-bukti tuduhannya, Juham, tegas beliau, yakin bahawa tiada kes yang boleh disabitkan dengannya, terutama jika dikaitkan Unit Amal dengan pertuhuhan haram yang ternyata tiada sebarang isu yang timbul berhubung dengannya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4469-juham-yakin-tiada-kes-disabitkan-himpunan-gmi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...