Showing posts with label Volcano. Show all posts
Showing posts with label Volcano. Show all posts

Friday, March 11, 2011

Indonesia volcano erupts, spews lava and gas


JAKARTA, Indonesia – One of Indonesia's most active volcanos has erupted, sending lava and searing gas clouds tumbling down its slopes.

Volcanology official Agus Budianto said Friday that authorities were still trying to evacuate residents living along the slopes of Mount Karangetang.

There were no immediate reports of injuries or serious damage.

The 5,853-foot (1,784-meter) mountain is located on Siau, part of the Sulawesi island chain. It last erupted in August, killing four people.

Indonesia, the world's largest archipelago, is located on the so-called Pacific "Ring of Fire," an arc of volcanos and fault lines encircling the Pacific Basin.

The eruption happened hours after a massive earthquake in Japan that triggered a Pacific-wide tsunami.


http://news.yahoo.com/s/ap/20110311/ap_on_re_as/as_indonesia_volcano

Saturday, January 29, 2011

Letupan Gunung Bromo: Semua 462 pelajar Malaysia dilapor selamat

BANDUNG: Semua 462 pelajar Malaysia yang menuntut di Malang dan Surabaya, Jawa Timur tidak terjejas oleh beberapa kejadian letusan Gunung Bromo sejak 29 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, sungguhpun pelajar Malaysia tinggal jauh dari gunung berapi itu dan pihak berkuasa menurunkan status amaran Bromo daripada ‘Awas’ kepada ‘Siaga’, keadaan keselamatan mereka tetap dalam perhatian jabatan itu.


“Pihak kami sudah menghubungi Mohd Suhail Satri, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) Cawangan Malang dan Muhammad Abu Bakar, Yang Dipertua PKPMI Cawangan Surabaya.

“Mereka menyatakan semua 205 pelajar Malaysia di Malang dan 257 di Surabaya selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Menurut Dr Junaidy, Gunung Bromo terletak 75 kilometer (km) atau empat jam perjalanan darat dari penempatan pelajar Malaysia di Malang dan 112km atau lima jam perjalanan darat dari penempatan pelajar Malaysia di Surabaya.


Sejak 29 Disember lalu hingga semalam, letusan Bromo mengeluarkan asap dan abu vulkanik dengan ketinggian antara 400 dan 800 meter ke arah timur dan timur laut. Aktivitinya belum menurun.

Media tempatan melaporkan radius wilayah yang terkena hujan abu dari Gunung Bromo, yang terletak di kota Probolinggo, Jawa Timur itu mencapai puluhan kilometer hingga ke kota Lumajang.


Bromo yang berketinggian 2,392 meter di atas permukaan laut itu adalah objek pelancongan masyhur di Jawa Timur. Ia terletak dalam empat wilayah, iaitu daerah Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang.

Katanya, sebagai persiapan menghadapi kecemasan, jabatan itu menganjurkan kursus Pengurusan Krisis Bencana Alam kepada mahasiswa Malaysia di Malang dan Surabaya, Oktober lalu.


“Pelajar diarah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) Bencana Alam dan bersedia menyelamatkan diri ke tempat ditetapkan jika terdapat laporan letusan dan gempa susulan yang memberi impak ke atas keselamatan,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LetupanGunungBromo_Semua462pelajarMalaysiadilaporselamat/Article/index_html

Friday, January 28, 2011

Bali diancam debu Bromo

JAKARTA: Beberapa penerbangan antarabangsa keluar masuk Pulau Bali dibatalkan atau dialih bagi mengelak ancaman debu gunung berapi, kata pihak berkuasa semalam.

Debu dari Gunung Bromo - satu pusat tarikan pelancong popular di Jawa Timur - kini merebak ke pulau peranginan berkenaan.


Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan, berkata maklumat dari pusat pemantau mengesahkan debu Gunung Bromo kini mencapai ketinggian 5,500 meter dan menjejaskan sebahagian daripada Bali.

“Sebagai langkah keselamatan, kerajaan menasihati syarikat penerbangan supaya mengelakkan kawasan itu,” katanya.


Bagaimanapun, setakat ini belum ada rancangan untuk menutup sementara Lapangan Terbang Ngurah Rai yang menjadi pintu masuk utama pelancong ke Bali. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BalidiancamdebuBromo/Article/index_html

Tuesday, November 30, 2010

Indonesia tutup lapangan terbang Malang


GUNUNG Bromo yang terletak di Jawa Timur menghamburkan awan debu semalam.


JAKARTA - Pemerintah Indonesia semalam menutup Lapangan Terbang Abdul Rachman Saleh ekoran letusan gunung berapi yang terletak kira-kira 25 kilometer ke barat Gunung Bromo di Jawa Timur.

Lapangan itu ditutup kerana awannya mencapai setinggi 700 meter ke udara.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Bambang Ervan berkata, lapangan terbang domestik bandar Malang tersebut akan ditutup sehingga 4 Disember depan kerana abu yang dihamburkan itu mengandungi bahan kimia yang akan mengakibatkan gangguan pada enjin kapal terbang.

Ahli vulkanologi pemerintah, Surono berkata, gunung berapi tersebut akan menghamburkan asap selama beberapa hari lagi.

Gunung Bromo yang merupakan lokasi tumpuan pelancong, mula mengeluarkan bunyi pada awal bulan lalu.

Pihak pemerintah mengeluarkan amaran bahaya tahap merah namum ia berbeza dengan Gunung Merapi yang meletus pada 26 Oktober lalu.

Kawasan sekitar Bromo tidak mempunyai kepadatan penduduk kerana ia berhampiran dengan Taman Negara Bromo-Tengger-Semeru. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Sunday, November 14, 2010

Bantuan diberi Umno

KUALA LUMPUR: Bantuan Rp1 bilion (RM350,000) bagi mangsa Gunung Merapi di Yogyakarta disampaikan semalam adalah daripada Umno dan bukan sumbangan peribadi Datuk Seri Najib Razak seperti dilaporkan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Najib selaku Presiden parti mewakilkan beliau untuk menyampaikan bantuan itu bagi pihak Umno. “Umno amat bersimpati kepada rakyat Indonesia dalam bencana yang membabitkan 500,000 mangsa serta mengorbankan 194 orang.


“Sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia, saya dan rombongan menyampaikan sumbangan barangan pelbagai kegunaan kepada Sultan Yogyakarta yang juga Gabenor provinsi itu, Sri Sultan Hamengku Buwono ke-10,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zahid, yang juga Menteri Pertahanan berkata, dalam lawatan itu beliau mengunjungi pusat akhbar dan pusat pengedaran bantuan bagi melihat sendiri bagaimana maklumat bencana disampaikan serta bantuan disalurkan kepada mangsa. Bantuan disampaikan adalah susu bayi, makanan, selimut, tuala, kain sarung dan tuala wanita diserahkan kepada Sultan Yogyakarta, bagi meringankan penderitaan mangsa bencana Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah.- Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BantuandiberiUmno/Article/index_html

Cuti tidak dilanjutkan

YOGYAKARTA: Cuti untuk kumpulan pelajar Malaysia yang dihantar pulang ke tanah air berikutan letusan dahsyat Gunung Merapi pada 5 November lalu kekal sehingga hari ini dan tidak dilanjutkan.

Bagaimanapun, pihak Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta memberi kelonggaran kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk kembali ke kampus itu bagi menghadiri kuliah pada Isnin ini, kata Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EM) Datuk Dr Junaidy Abu Bakar.


“Kelonggaran diberi jika pelajar menghadapi kesukaran untuk hadir kelas Isnin ini iaitu sekiranya mereka merasakan keadaan masih tidak selamat dan menjejaskan kesihatan, manakala bagi pelajar yang berada di luar Yogyakarta pula jika berdepan masalah pengangkutan untuk datang ke Yogyakarta,” katanya.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, universiti itu menasihatkan pelajar yang sukar pulang untuk kuliah pada Isnin ini supaya mengikuti kuliah secara online melalui sistem GAMEL dan memuat turun bahan kuliah fakulti masing-masing.


Katanya, jadual peperiksaan pula bergantung kepada fakulti dan tahun pendaftaran bagi pelajar berkenaan kerana tarikhnya berbeza bagi setiap tahun pendaftaran.


“Bagi pelajar ko-as (program latihan klinikal) pula, cuti yang diberi hanyalah sampai hari ini. “Sekiranya tidak datang mereka dikehendaki mengulang program berkenaan dan bagi Ujian Remedial yang dijadualkan diadakan Isnin, pihak fakulti akan menjadualkan semula ujian itu,” kata beliau.

Sebelum ini Education Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara memohon kepada UGM supaya 378 pelajar yang dibawa pulang ke Malaysia pada 7 November lalu dibenarkan berada di tanah air sehingga 21 November bagi membolehkan mereka menenangkan diri daripada trauma letusan Merapi, sekali gus menyambut hari raya Aidiladha bersama keluarga.


“Saya menasihatkan pelajar mengulang kaji dengan serius untuk semua subjek yang berkaitan supaya tidak tertinggal dalam pelajaran,” kata Dr Junaidy.- Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cutitidakdilanjutkan/Article/index_html

Penduduk Merapi berkorban kerana lembu

Nov 13, 10 10:36am

Dek terlalu sayangkan lembu peliharaan mereka, ramai penduduk di lereng Merapi menjadi korban letusan gunung berapi itu kali ini.

"Mengapa banyak orang meninggal, kerana mereka cinta kepada sapinya," kata Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Dr Syamsul Maarif.

Hubungan itu sangat istimewa sehingga penduduk di situ enggan menjual lembu-lembu itu walaupun kerajaan menawar untuk membeli semua haiwan peliharaan mereka bagi mengelakkan mereka sering pulang rumah semasa Merapi masih aktif meletus sekarang.

Ada penduduk yang enggan berpindah ke pusat pemindahan kerana tidak mahu berpisah dengan lembu mereka, dan bagi yang berpindah pula, mereka akan kembali setiap hari ke rumah masing-masing untuk memberi makan lembu dan memerah susunya untuk jualan dan pendapatan mereka.

"Ada seorang perempuan warga mas di pusat pemindahan yang merintih kepada pasukan penyelamat untuk membawanya pulang ke rumah setiap hari semata-mata untuk bertemu dengan lembu-lembunya, dan selepas mengusap dengan penuh kasih sayang haiwan itu dengan tangannya selama beberapa ketika, beliau baru boleh dibawa turun semula ke pusat pemindahan," katanya.

Sehingga kini, bilangan kematian bencana letusan Merapi meningkat lebih 200 orang dan ia terus meningkat apabila pasukan pencari dan penyelamat menemui mayat-mayat penduduk yang dilaporkan hilang dalam kejadian letusan paling dahsyat pada 5 Nov lalu.

Kecuali pada hari itu apabila Merapi meletus paling dahsyat dan di luar dugaan yang menyebabkan sebilangan penduduk mati kerana tidak sempat menyelamatkan diri, kebanyakan kes kematian dalam bencana kali ini ialah penduduk pulang untuk memberi makan lembu mereka dan sekaligus mengambil susu.

Pemeliharaan lembu, kebanyakannya jenis tenusu, merupakan budaya hidup masyarakat di lereng Merapi sejak sekian lama. Pada masa ini terdapat puluhan ribu lembu di lereng gunung berapi berusia 400,000 tahun itu.

Tinjauan Bernama di lereng gunung itu sebelum Merapi meletus mendapati pemandangan biasa di situ ialah kebanyakan penduduk berjalan kaki membawa sabit yang tajam bagi memotong rumput di kawasan yang menghampiri puncak Merapi dan rumput itu menjadi makanan penting lembu mereka.

Tinjauan terkini pula mendapati banyak motosikal sarat dengan muatan rumput, kadang-kadang melebihi ketinggian kepala penunggang motosikal itu, diangkut mendaki gunung itu.

"Kami terpaksa membeli rumput dari bawah untuk memberi makan lembu kami kerana rumput-rumput di sini sudah dimusnahkan awan panas abu volkanik Merapi yang meletus beberapa kali sebelum ini," kata Maria Seger Rahayu.

Maria, pengusaha butik di pekan kecil Surowono, Klaten, merupakan antara keluarga yang enggan berpindah kerana mahu menjaga perniagaannya selain menjaga lembu peliharaan keluarganya.

"Boleh dikatakan setiap rumah memelihara lembu, kami ada lima ekor, ada keluarga yang mempunyai lapan ekor dan lebih," katanya.

Persoalannya ialah jika ini penyebabnya banyak kematian, kenapa lembu-lembu itu tidak dipindahkan ke kawasan selamat bersama penduduk agar mereka tidak perlu kembali ke rumah masing-masing bagi menjaga lembu-lembu itu.

"Lembu-lembu ini jumlahnya puluhan ribu, di Boyolali sahaja ada 50,000 ekor. Sebagai jalan keluar Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengusulkan agar kerajaan membeli semua sapi ini, namun ia bukan semudah itu kerana faktor hubungan istimewa penduduk dengan lembu-lembu peliharaan mereka itu," katanya.

Operasi pemindahan penduduk merupakan satu lagi cabaran BNPB kerana ada penduduk yang akan bersembunyi ketika anggota pasukan penyelamat berkunjung ke rumah mereka untuk dipindah dan diselamatkan.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak pernah berputus asa dalam usahanya dan antara tindakan yang dilakukan ialah menggunakan anggota tentera bagi melakukan pemindahan paksa iaitu dengan menangkap mereka yang enggan berpindah walaupun terpaksa berdepan dengan sebahagian penduduk yang menjerit dan meronta-ronta dalam proses pemindahan itu.

Dalam usaha menyelamatkan nyawa dalam keadaan kecemasan pula, anggota pasukan penyelamat bukan lagi mengetuk pintu rumah mengejutkan penduduk, malah mereka terpaksa memecahkan pintu dan terus mengangkat penduduk yang sedang nyenyak tidur dalam kes Merapi meletus di waktu dinihari.

Sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas, jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan bertambah daripada belasan ribu orang kepada 500,000 orang sekarang. Radius jarak keselamatan pula telah diperluaskan dari 10km di luar puncak Merapi itu kepada 20km sekarang.

"Menguruskan 500,000 orang ini yang dengan pelbagai ragam manusia bukan suatu perkara yang mudah. Kami terpaksa menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan harian yang asas selain memberi makan mereka tiga kali sehari.

"Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, kumpulan-kumpulan penduduk juga sering berpindah dari satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan lain apabila tertarik dengan menu makanan di tempat itu.

"Masing-masing ada telefon bimbit, mereka akan bertanya rakan-rakan di pusat pemindahan lain apa menunya di sana? Jika sesuai dengan selera mereka, mereka berpindah pula ke situ," kata Dr Syamsul.

--Bernama

Thursday, November 11, 2010

Gunung Merapi hambur awan panas


GAMBAR yang dirakamkan dari Klaten, Indonesia menunjukkan Gunung Merapi mengeluarkan awan panas semalam.


JAKARTA - Gunung Merapi di Pulau Jawa masih mengeluarkan awan panas semalam selepas letusan pertama pada 26 Oktober lalu. "Walaupun letusan semakin berkurangan, ia tidak bermakna bahawa aktiviti di gunung tersebut telah perlahan.

"Justeru kami kini mengekalkan status pada peringkat tertinggi," kata ketua sebuah agensi vulkanologi, Surono.

Jumlah kematian akibat letusan itu meningkat kepada 191 orang semalam manakala 320,000 orang terpaksa meninggalkan rumah akibat debu panas.

Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa seperti Cathay Pasific, ValueAir dan Qantas masih membatalkan penerbangan ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta semalam.

Menurut seorang pegawai yang memantau operasi di lapangan terbang itu, Syaiful Bahri, kebimbangan mengenai debu panas memaksa beberapa penerbangan membatalkan lagi penerbangan yang mendarat dan berlepas.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Jakarta pada minggu lalu selepas Gunung Merapi meletus dengan kuat. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Wednesday, November 10, 2010

Gempa bumi dekat Gunung Merapi



BEBERAPA anggota tentera mengangkat mayat mangsa Gunung Merapi di Kampung Ngepringan, Sleman semalam.


YOGYAKARTA - Gunung Merapi di Pulau Jawa menghamburkan asap semalam semasa angka kematian akibat letusannya meningkat kepada 151 orang.

Kira-kira 320,000 orang tinggal di dalam kawasan perlindungan sementara yang padat dengan mangsa selepas mereka diarahkan untuk meninggalkan zon bahaya di sekitar gunung tersebut.

Gunung Merapi itu meletus pada 26 Oktober lalu buat kali pertama.

Gas panas dan serpihan batu Gunung Merapi menyebabkan sejumlah orang terbunuh semasa mereka sedang tidur pada Jumaat lalu.

Sementara itu, gempa bumi sekuat 5.4 pada skala Richter yang berpusat 94 kilometer dari bandar ini pada tengah hari semalam mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

Gempa bumi itu mencetuskan memori kejadian gempa bumi besar yang melanda Yogyakarta pada 2006 yang menyebabkan 5,782 orang terbunuh namun setakat ini tidak ada laporan mengenai kecederaan dan kematian.

"Ibu bapa dan saya berlari keluar dari rumah. Saya berasa takut kerana saya masih trauma dengan gempa bumi besar yang berlaku di sini pada 2006," kata seorang penduduk, Deru Waskita, 33.

Agensi Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan pusat gempa bumi itu 94 kilometer ke barat daya bandar Yogyakarta.

Bandar Yogyakarta ketika ini diliputi debu Gunung Merapi yang meletus.

Seorang ahli vulkanologi pemerintah, Surono menyatakan, Gunung Merapi masih mengeluarkan awan panas semalam tetapi tidak sekuat seperti hari sebelumnya.

"Kekuatan letusan semakin berkurangan sejak kelmarin tetapi aktiviti gunung itu masih lagi tinggi. Status gunung itu masih berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Seorang jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho menafikan khabar angin bahawa sejumlah orang sedang meninggalkan bandar Yogyakarta yang terletak 26 kilometer ke selatan Gunung Merapi.

"Kami belum melihat sejumlah orang meninggalkan bandar Yogyakarta setakat ini," katanya.

Setakat ini, negara itu turut menghadapi kesan akibat tsunami yang melanda kampung-kampung di Kepulauan Mentawai, di perairan Sumatera pada 25 Oktober lalu yang menyebabkan lebih 400 orang terbunuh.

Penerbangan ke Jakarta kembali seperti biasa kelmarin tetapi debu Gunung Merapi menyebabkan lapangan terbang di Yogyakarta masih ditutup termasuk candi Borobudur.

Penjaga candi Borobudur, Iskandar berkata, terdapat kebimbangan bahawa debu Gunung Merapi akan merosakkan candi yang dibina pada abad ke-9 itu.

Candi itu terletak 40 kilometer ke barat daya Gunung Merapi. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Gelegar merapi bagai helikopter di kepala

Nov 7, 10 3:53pm

Dari jarak 12km ke puncak Merapi, gelegar gunung berapi itu sudah kedengaran seperti helikopter di atas kepala pada Khamis malam, sebelum ia mengamuk dengan letusan paling dahsyat sejam
kemudian.

Gemuruh Merapi yang sangat luar biasa itu telah memeranjatkan seluruh penduduk kawasan penempatan Surowono menyebabkan mereka bergegas meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri pada dini hari Jumaat.

"Seumur hidup bapa saya yang sudah berusia 65 tahun pun, amukan Merapi pada malam itu belum pernah berlaku. Bunyinya seperti helikopter di atas kepala, kami semua dan masyarakat seluruhnya segera meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri," kata Maria Seger Rayahu, penduduk pekan Surowono, Klaten, Jawa Tengah.

Menceritakan saat yang mencemaskan itu, Maria berkata malam gelap gulita dan kabus tebal pada hari itu, menutupi pandangan beliau dan penduduk kampung dari Merapi pada malam itu, namun mereka dapat merasakan sesuatu yang aneh pada malam tersebut.

"Tingkap kaca dan bingkai besi yang bergoncang yang mengeluarkan bunyi yang menyeramkan menjadi amaran awal kepada kami. Tak lama kemudian pada kira-kira pukul 11.30 malam, gelegar Merapi yang sangat luar biasa itu terdengar dan bunyi itu berlarutan sampai sejam," katanya.

Kini pekan Surowono, yang biasanya sibuk dengan kegiatan masyarakat membeli barangan harian menjadi sepi bagai pekan mati kerana hampir semua 500 penduduk telah menyelamatkan diri dan tinggal di pusat pemindahan bencana Merapi.

Maria, 40, dan anak lelakinya Petrus Nugroho, 18, adalah antara lima keluarga yang tetap tinggal di rumah mereka di pekan itu, kerana mahu memastikan harta benda mereka tidak hilang.

Ada keluarga lain yang tetap tinggal di kawasan itu kerana tidak sampai hati meninggalkan seorang warga mas Ibu Wiroyo Sanem, 85, yang tetap enggan berpindah dari rumahnya.

Maria mengusahakan kedai butik pakaian dengan dibantu anaknya Petrus dan di hadapan kedai mereka ialah Pasar Surowono. Pada hari-hari biasa sebelum ini dalam keadaan cuaca baik, Gunung Merapi akan kelihatan tersergam gagah dari jalan utama pekan Surowono itu.

Beliau berkata pengamalan awal pagi Jumaat itu membuat hampir seluruh penduduk kawasan tersebut takut untuk tinggal di rumah masing- masing, walaupun mereka selama ini yakin lahar panas Merapi tidak akan sampai ke situ kerana ada Gunung Hijau di hadapan Merapi yang menjadi penghadang.

Kini mereka bimbang dengan keselamatannya apabila awan panas "wedhus gembel" Merapi yang berkepanasan 600 darjah selsius telah mengakibatkan lebih100 penduduk di lereng gunung berapi itu maut terpanggang dan sejumlah yang lain lagi cedera.

Sejumlah 26 kampung turut musnah dalam kejadian letusan Merapi, yang terus berlaku hampir setiap hari sejak letusan pertama pada 26 Oktober lalu.

--Bernama

Tuesday, November 9, 2010

Pelajar Malaysia Bantu Hospital Rawat Mangsa Bencana Merapi

Selasa November 9, 2010

YOGYAKARTA: Bencana letusan Merapi memberi peluang kepada sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti kursus kedoktoran di Universiti Gadjah Mada di sini untuk membantu Hospital Sarjito merawat ratusan mangsa kejadian itu.

Mereka merupakan 38 pelajar yang tidak pulang Malaysia, sebaliknya tetap meneruskan program klinikal di hospital itu, yang merupakan sebahagian daripada UGM.

Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, secara kebetulan pengarah hospital berkenaan memerlukan khidmat mereka untuk merawat 287 penduduk yang cedera parah dalam bencana itu setakat ini.

Kehadiran mereka juga banyak membantu hospital menangani sebilangan besar kes pesakit luar yang kebanyakannya sakit akibat terhidu debu dan pencemaran udara berikutan hujan abu volkanik Merapi.

"Mereka ingin menghabiskan tempoh klinikal dan situsi darurat ini memberi peluang kepada mereka mempelajari dengan lebih berkesan kes-kes kecemasan.

"Di bahagian forensik pula, mereka turut berpeluang mengkaji banyak kes mayat mangsa bencana itu. Ini merupakan pengalaman baru bagi mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Junaidy berkata,EM telah menempatkan seorang pegawainya di Yogyakarta bagi memantau keadaan para pelajar itu serta keadaan keselamatan di kota Yogyakarta.

"Jika keadaan di hospital berbahaya akibat letusan Gunung Merapi, kita akan pindahkan para pelajar ini ke Solo atau kawasan yang selamat.

"Buat masa ini, kesihatan mereka semua adalah pada tahap baik," katanya.

Semalam Kerajaan Malaysia telah membawa pulang 378 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di beberapa institusi pengajian tinggi di Yogyakarta dengan tiga pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Solo.

Mereka diberi cuti oleh institusi pengajian masing-masing sehingga 13 November.

Penghantaran pulang pelajar itu dibuat berikutan bencana letusan Merapi, yang berterusan sejak 26 Oktober lalu, termasuk letusan paling dahsyat sejak seabad lalu pada 5 November apabila gunung berapi teraktif di dunia itu menyemburkan awan panas setinggi 8,000 meter.

Tiupan angin telah membawa hujan abu dan kerikil sehingga ke kota Yogyakarta, yang terletak 32 kilometer dari puncak gunung itu.

Sehingga kini, bencana Merapi telah mengorbankan lebih 100 orang dan mencederakan beratus-ratus orang. Penduduk sekitar lereng gunung berapi itu yang berpindah ke pusat pemindahan kini berjumlah lebih 200,000 orang.

Dr Junaidy berkata, pada masa ini sejumlah 1,000 mangsa turut ditempatkan di pusat pemindahan di UGM dan EM sedang berusaha memohon agar pihak universiti itu memanjangkan cuti para pelajar terbabit sehingga hari raya Aidiladha yang jatuh pada 17 November ini. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/9/mstar_berita/20101108212350&sec=mstar_berita

Gunung Merapi hambur awan panas satu kilometer


DEBU Gunung Merapi memenuhi kedai-kedai dan jalan di Pekan Muntilan.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi masih mengeluarkan bunyi gemuruh semalam manakala awan, gas dan serpihan dihamburkan setinggi satu kilometer ke udara.

"Berdasarkan apa yang kita lihat sekarang, ia akan meletus sekali lagi pada bila-bila masa," kata seorang ahli vulkanologi Indonesia, Surono.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan menyatakan, jumlah keseluruhan kematian akibat letusan itu meningkat dari 138 orang kepada 141 orang semalam.

Peningkatan itu ekoran pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat di kawasan pergunungan.

Pemerintah Indonesia turut meletakkan bandar Yogyakarta dalam keadaan berjaga-jaga ekoran letusan yang masih belum berhenti.

Lapangan terbang di bandar itu masih ditutup semalam dan debu tebal berterbangan di udara menyebabkan penduduk sukar bernafas.

Bagaimanapun, tidak ada arahan daripada pemerintah supaya penduduk meninggalkan bandar Yogyakarta.

Beberapa kampung kecil kelihatan seperti tidak berpenghuni dengan pintu dan tingkap rumah ditutup.

Namun, terdapat pakaian yang dibiarkan di penyidai.

"Apakah pilihan yang kami ada?'' soal seorang penduduk Sukirno, 37, yang menunggang motosikal bersama isteri dan seorang anak perempuan mereka berusia lapan tahun.

Menurutnya, dia akan menetap dengan saudara-maranya yang tinggal jauh dari gunung itu kerana bimbang debu tersebut akan menjejaskan kesihatan keluarganya.

Beberapa pakar menyatakan, ancaman terbesar di bandar itu ialah Sungai Code yang mengalir ke tengah bandar tersebut dari Gunung Merapi.

Sungai itu mungkin membawa lumpur berapi yang mengalir ke sungai apabila hujan sekali gus memusnahkan apa saja benda di laluannya.

Endapan gunung berapi telah memenuhi sebuah kawasan kediaman di tebing sungai.

Hampir 280,000 orang kebanyakannya yang tinggal di cerun gunung telah mendapatkan perlindungan di pusat-pusat kecemasan. Kebanyakan penghuni pusat kecemasan itu mengadu tiada tandas dan bekalan air bersih tidak mencukupi.

Gunung Merapi itu meletus pada 26 Oktober lalu dan ia masih belum berhenti.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengumumkan penghantaran satu briged tentera untuk membantu kerja-kerja bantuan dan pembangunan semula di tengah Jawa.

Pengumuman itu dilakukan selepas Indonesia turut dilanda tsunami pada 25 Oktober lalu ekoran gempa bumi dalam laut sekuat 7.7 pada skala Richter sehingga mengakibatkan 428 orang terbunuh manakala 15,000 lagi hilang tempat tinggal. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sunday, November 7, 2010

Tiga Pesawat TUDM Ke Solo Pada Ahad Bawa Pulang Rakyat Malaysia

Ahad November 7, 2010

KUALA LUMPUR: Tiga buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka berlepas pagi Ahad bagi membawa keluar 664 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali berkata pesawat pertama dijangka berlepas pada 10 pagi dari Pangkalan TUDM Subang dan mendarat di Lapangan Terbang Solo selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa negara itu.

"Hasil perbincangan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa negara itu, kita telah mendapat persetujuan bagi membawa keluar kesemua rakyat kita dalam misi dua hari itu.

"Setiap hari, kita akan adakan tiga penerbangan dengan setiap penerbangan pergi dan balik mengambil masa selama enam jam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Menurutnya kesemua 664 rakyat Malaysia itu terdiri daripada penuntut universiti dan kakitangan yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan penerbangan pulang pertama dijangka tiba petang Ahad.

Masalah pendaratan kerana cuaca dan kabus tebal tidak menentu di Lapangan Terbang Solo menyebabkan kesukaran membawa keluar orang awam dari kawasan berdekatan Gunung Merapi iaitu gunung berapi paling aktif di dunia itu. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/7/mstar_berita/20101106210314&sec=mstar_berita

Pelajar pindah ke Solo

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB

KUALA LUMPUR: “Kita sudah memindahkan semua pelajar di Yogyakarta ke Solo bagi membolehkan mereka dibawa pulang ke tanah air,” kata Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar selepas Yogyakarta diisytihar sebagai kawasan darurat dan tidak selamat diduduki.

Menurut Junaidy, walaupun sebelum ini ada pelajar masih menetap di Yogyakarta kerana masalah tertentu dengan pihak universiti mereka, pihaknya berjaya menyelesaikannya dengan pentadbiran universiti berkaitan, sekali gus membolehkan mereka diberi cuti sehingga keadaan dipastikan selamat.


“Yogyakarta memang sudah tidak selamat untuk didiami kerana debu halus yang keluar daripada Gunung Merapi sangat bahaya untuk kesihatan.

“Jadi, kita berbincang dengan pihak universiti untuk memberi cuti kecemasan kepada pelajar berkaitan selagi mana kawasan itu didapati tidak selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Junaidy berkata, seramai 357 pelajar serta lapan rakyat Malaysia yang bekerja di Yogyakarta dipindahkan dan sehingga kini pihaknya masih menunggu kebenaran daripada kerajaan Indonesia bagi membolehkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendarat di lapangan terbang Solo.


Katanya, penerbangan secara terus bagi membawa pulang rakyat serta pelajar Malaysia akan dilakukan sebaik permohonan itu diperoleh.

“Sebenarnya ini bukan satu arahan khusus kepada pelajar, sebaliknya kita beri kelonggaran sama ada mereka ingin ikut balik atau terus tinggal di Solo.


“Namun nasihat kita, sebaik-baiknya pulang ke tanah air kerana jika terus tinggal di Solo, makan serta minuman pasti tidak terurus dengan baik, yang mana dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Selain itu, bagi mengelak pelajar terdedah kepada persekitaran tidak sihat, pihaknya juga membekalkan beberapa barangan keperluan serta ubatan tertentu seperti topeng penutup mulut dan hidung serta ubat titis.


Malah katanya, walaupun ada antara mereka mengalami masalah kesukaran bernafas ketika di Yogyakarta, namun sebaik dipindahkan, semuanya kini dipastikan dalam keadaan sihat.


“Kita bersyukur kerana sehingga kini semua tahap kesihatan pelajar berada dalam keadaan yang sangat baik.


“Yang lebih kita harapkan mereka dapat pulang ke tanah air bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan secara lanjut dilakukan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelajarpindahkeSolo/Article/index_html

Tiga pesawat TUDM ke Solo bawa pulang rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Yogyakarta, Solo, Indonesia dari Pangkalan TUDM Subang dekat sini hari ini, bagi membawa pulang 664 rakyat Malaysia yang terkandas di provinsi republik itu berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pengarah Malaysian Education Department di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata satu lagi pesawat jenis yang sama turut berlepas dari Markas Pangkalan Udara Labuan bagi tujuan yang sama.


Beliau berkata, pesawat berkenaan sepatutnya berlepas ke Solo semalam, namun disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu serta tidak mendapat kebenaran dari Lapangan Terbang Solo, ia ditangguhkan ke hari ini.

Bagi misi hari ini, hanya 360 orang akan dibawa pulang dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang kira-kira 5 petang memandangkan setiap pesawat C-130 itu hanya dapat memuatkan 120 orang dalam satu-satu masa.


"Selebihnya akan dibawa pulang esok," katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Subang sebelum berlepas dengan pesawat itu hari ini.


Junaidi turut meminta ibu bapa pelajar terbabit yang terbabit agar tidak terlalu risau kerana keadaan anak mereka selamat.

"Di sana kita sudah menempatkan anak mereka di hotel dan asrama jadi anak mereka berada dalam keadaan selamat, jadi ia berbeza dengan keadaan kita semasa di Padang dahulu," katanya. --Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/TigapesawatTUDMkeSolobawaplangrakyatMalaysia/Article

Terbang ke Jawa bahayakan nyawa


ABU volkanik dari Gunung Merapi boleh membahayakan pesawat.


KUALA LUMPUR – Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia membatalkan semua penerbangan ke Pulau Jawa meliputi Jakarta, Yogyakarta, Bandung dan Solo bermula semalam. Hanya penerbangan ke Surabaya yang terletak di timur pulau itu dibenarkan.

Keputusan itu dibuat setelah syarikat terbabit mendapati penerbangan ke pulau tersebut tidak lagi selamat dan boleh menyebabkan nahas kerana ruang udaranya dipenuhi dengan debu volkanik ekoran letusan Gunung Merapi sejak 26 Oktober lalu.

Tindakan yang sama turut diambil beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain antaranya Japan Airlines, Turkish Airlines, Singapore Airlines, Lufthansa, Sing Air, Tiger Airways, KLM, Emirates, Eva Airlines, Etihad, China Southern, Lion Air, Value Air dan Cathay Pasific.

Menurut Pengarah Operasi MAS, Kapten Azharuddin Osman, kesemua penerbangan itu dibatalkan sehingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

“Ketika ini penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta, Yogyakarta dan Bandung dibatal atau ditangguhkan bermula hari ini (semalam) sehingga keadaan pulih.

“MAS akan terus memantau ruang udara Indonesia untuk memastikan keselamatan operasi penerbangan untuk memasuki kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Bahaya debu halus Merapi

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

BAHAYA...seorang penduduk menunjukkan jalan raya diselaputi debu halus.
BAHAYA...seorang penduduk menunjukkan jalan raya diselaputi debu halus.

KUALA LUMPUR: “Sekarang ini Gunung Merapi menghamburkan awam debu halus yang berbahaya untuk kesihatan.

“Kami menggunakan beberapa lapis topeng muka bagi mengelak terhidu debu gunung berapi berkenaan yang boleh menyebabkan maut,” kata Norazila Abdul Aziz, 27, pelajar perubatan Universiti Gadja Mada, Yogyakarta.


Beliau berkata, ramai penduduk dirawat di hospital di Yogyakarta akibat melecur terkena debu panas itu yang mengandungi silika yang biasa digunakan untuk industri kaca.

“Saya bersama tujuh lagi rakan dari universiti sama menunggu masa untuk dipindahkan kira-kira jam 1 pagi ini (2 waktu Malaysia). Rakan yang lain sudah dipindahkan secara berperingkat ke Solo sejak letusan berlaku.


“Kami kumpulan terakhir akan dibawa keluar dan keadaan di Yoyakarta agak kelam-kabut kerana awan debu panas akibat letusan gunung berapi itu sudah menyelubungi kawasan itu,” katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Yang di Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia, Khairul Hafidz Al Khair Khairul Amin yang dihubungi Harian Metro berkata, daripada 456 pelajar perubatan dari Universitas Gadja Mada, semua 371 orang menanti dibawa pulang ke tanah air menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam masa terdekat.


“Diatas sebab tertentu serta mempunyai masalah dengan fakulti, 48 pelajar mengambil keputusan menetap di Yogyakarta, namun pihak PKPMI terus memantau mereka.

“Pihak kedutaan juga menghubungi keluarga pelajar memaklumkan keadaan mereka di sini selain membuka talian bagi membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain,” katanya.


Menurutnya, ketika letusan paling teruk itu berlaku tengah malam kelmarin, kebanyakan pelajar berada di kediaman masing-masing.

“Sebelum ini semua pelajar sudah mengemaskan barang dan hanya bersiap untuk pindah. Apabila letusan menjadi lebih teruk dan hampir dengan rumah, pihak Kedutaan Besar Malaysia dan Wisma Putra mengarahkan untuk dipindahkan ke Solo sebelum menanti ketibaan bantuan pesawat dari TUDM untuk membawa semua mereka pulang ke Malaysia,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BahayadebuhalusMerapi/Article/index_html

Merapi meletus lagi pagi semalam


Gunung Merapi berterusan menyemburkan awan panas selepas meletus lagi pagi semalam


YOGYAKARTA - Lahar sejuk yang mengalir deras selepas Gunung Merapi meletus pada tengah malam kelmarin membanjiri sungai-sungai di sekitarnya dan menyebabkan penduduk di kota ini cemas, lapor sebuah akhbar semalam.

Gunung Merapi terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar ini yang dihuni kira-kira 400,000 penduduk.

Hujan lebat yang turun semalam membawa lahar sejuk yang mengandungi lumpur, pasir, belerang dan abu volkanik melimpahi tebing Sungai Code di sini semalam.

Seorang pegawai tempatan berkata, amaran berwaspada sudah dikeluarkan tetapi sama ada banjir lahar sejuk itu bakal membawa kemusnahan banyak bergantung sama ada berlaku hujan lebat pada hari ini.

Terdahulu, lahar panas yang mengalir deras sejurus selepas letusan Gunung Merapi pada tengah malam kelmarin telah memusnahkan tujuh buah dusun di sekitar lerengnya selain padang Kelab Golf Merapi.

"Tujuh dusun sudah hancur dibakar lahar panas selama dua hari dari Jumaat hingga Sabtu," kata seorang pegawai tempatan, Heri Suprapto, di Sleman dekat sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian keseluruhan sejak Gunung Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu kini meningkat kepada 138 orang.


Mayat-mayat mangsa korban dikumpulkan di pekarangan Hospital Sardjitodi Yogyakarta.


Seorang pegawai di Hospital Sardjito di sini, Sigit Priohutomo berkata, sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi kelmarin.

Sejumlah 44 lagi terkorban dalam letusan pertama gunung berapi berkenaan.

Kelmarin Gunung Merapi yang memiliki ketinggian 2,914 meter dari aras laut mengganas dengan memuntahkan lahar dan menghambur awan panas sejauh beberapa kilometer di udara.

Terbaru, Gunung Merapi kembali meletus pada pagi semalam dengan mengeluarkan awan panas dalam jumlah besar sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan. Gunung berkenaan mengeluarkan awam hitam yang menyelubungi udara manakala beberapa bunyi dentuman kuat turut didengari dari puncak gunung itu.

Penduduk dilihat memenuhi jalan-jalan raya dengan menaiki trak, kereta dan motosikal untuk meninggalkan zon berbahaya.

Selain manusia, binatang ternakan seperti lembu dan kambing turut dipindahkan.

Sementara itu, sukarelawan dan warga tempatan turut berkawal bagi melarang orang ramai daripada menghampiri zon berbahaya di sini.

Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Gunung Merapi dilihat masih menyemburkan awan panas ke udara manakala sekitar 200,000 orang telah mencari perlindungan di beberapa penempatan sementara di sini dan Jawa Tengah.

"Ia menakutkan. Letusan Gunung Merapi tak kunjung kebah," kata seorang penduduk, Wajiman, 58, yang berlindung di sebuah penempatan di Jawa Tengah. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Friday, November 5, 2010

Gunung Merapi catat letusan paling kuat


GAMBAR yang dirakamkan dari Klaten menunjukkan Gunung Merapi menghamburkan gas panas dan debu di Pulau Jawa semalam.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi kembali meletus dengan mengeluarkan gas panas dan debu setinggi 4,000 meter ke udara selain mengalirkan lahar dalam satu letusan kuat pada awal pagi semalam, namun tiada kematian baru dilaporkan.

Seorang pakar gunung berapi Indonesia, Surono memberitahu, letusan itu tiga kali lebih kuat berbanding letusan pada minggu lalu.

"Ia letusan yang luar biasa. Nampaknya, kita mungkin memasuki peringkat yang lebih teruk sekarang," kata Surono.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Jawa Tengah, Djarot Nugroho memberi amaran bahawa wang untuk membeli mi segera, air bersih, ubat-ubatan dan bekalan lain akan habis dalam tempoh lima hari untuk membantu lebih 70,000 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Askar-askar membawa golongan wanita dan kanak-kanak ke dalam trak, ketika batu dan debu gugur dari langit.

Letusan itu turut menyebabkan sejumlah kenderaan, pokok dan jalan-jalan di bandar-bandar yang terletak sejauh 130 kilometer dilitupi debu.

Seramai 44 orang terbunuh sejak Gunung Merapi yang setinggi 2,914 meter itu meletus buat kali pertama pada 26 Oktober lalu. - AP

Thursday, November 4, 2010

Merapi meletus kali kedua, sembur awan panas setinggi 3,500 meter

YOGYAKARTA: Gunung Merapi meletus buat kali kedua hari ini dalam tempoh tiga hari, dan kali ini menyemburkan awan panas abu volkanik sehingga 3,500 meter ke udara.

Kejadian berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.


"Awan panas muncul kembali, seelpas pasca letusan pertama yang berlaku pada Selasa," kata Ketua Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta, Subandriyo pada Khamis.

Awan panas itu, katanya masih tergolong sebagai kecil dengan radius luncuran mencapai sekitar 3,500 meter dari puncak Gunung Merapi.


"Badan itu bagaimanapun belum dapat memastikan arah luncuran kerana keadaan cuaca di sekitar puncak Merapi kurang baik," katanya.


Beliau menjangka luncuran awan panas itu akan berlaku lagi dan meminta penduduk tempatan supaya terus berwaspada.

Dalam kejadian letusan petang Selasa lepas, 32 orang terbunuh termasuk Jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, 83, serta seorang wartawan portal berita Vivanews.


Dalam letusan Selasa itu, Merapi menyembur awan panas abu volkanik sehingga 1,500 meter dan kesan abunya sampai sehingga ke Ciamis, Jawa Tengah, yang terletak 300 km jauhnya.

Ia menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah selsius di kawasan gunung berapi teraktif di dunia yang berusia 400,000 tahun itu, dan memusnahkan beberapa perkampungan di kaki gunung itu.


Pagi ini mereka yang terkorban dalam kejadian letusan pada Selasa dikebumikan secara beramai-ramai di dua tempat berasingan.


Mbah Maridjan dan empat yang lain dikebumikan Kampung Srunen, Glagahsari, Sleman, manakala yang lainnya di Kampung Sidoredjo, Sleman.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Merapimeletuskalikedua_semburawanpanassetinggi3_500meter/Article


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...