Showing posts with label Karate - Silat - Tae Kwan Do etc. Show all posts
Showing posts with label Karate - Silat - Tae Kwan Do etc. Show all posts

Wednesday, July 6, 2011

PSSPGM nafi terlibat dengan perhimpunan 9 Julai

Jul 4, 11 9:02pm

Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia (PSSPGM) hari ini menafikan laporan di beberapa blog bahawa pertubuhan itu terlibat dengan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Yang Dipertua Guru Utama PSSPGM Datuk Raja Abdul Majid Raja Mat Isa turut menafikan bahawa beliau adalah ketua bagi perhimpunan haram itu.

Raja Abdul Majid berkata sebaliknya, pertubuhan itu menentang sekeras-kerasnya segala bentuk demonstrasi jalanan termasuk perhimpunan haram Sabtu ini.

"Saya tidak tahu langsung mengenai BERSIH 2.0 ini dan apa yang digembar-gemburkan mengenai saya dan PSSPGM melalui facebook, blog dan media online yang lain ini adalah suatu pembohongan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di rumahnya di Gurun hari ini.

"Kami tidak akan memihak kepada mana-mana pihak yang menjadikan negara huru-hara dan di sini kami hanya akan mengikuti kerajaan yang sah, berdiri di belakang Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sahaja," kata Raja Abdul Majid.

Katanya sebanyak enam laporan polis dibuat oleh pertubuhan itu di seluruh negara bagi membantah perhimpunan haram itu.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/168906

Tuesday, July 5, 2011

Bersih 2.0: Mahaguru Gayong nasihat Omardin ingat Allah

Khamis, 30 Jun 2011 00:40
Ditulis oleh Zainulfaqar Yaacob

Kenyataan pendiri Pertubuhan Seni Silat Lincah Lincah Malaysia (PSSLM) Mahaguru Tan Sri Omar Din Mauju mengancam 300,000 rakyat yang dijangka menyertai perhimpunan aman pada 9 Julai di ibu negara ditegur sendiri oleh rakan seperguruannya.

Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa berkata, pengamal silat yang sebenar tidak akan bermegah-megah dengan ilmunya dan mengancam keselamatan orang lain, sebaliknya hanya mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk manfaat agama, bangsa dan negara.

Malah, mana-mana pengamal silat yang dengan sengaja menakut-nakutkan orang lain untuk menunjukkan kekuatan, pasti akan menerima balasan daripada Allah.

"Orang yang hendak buat kacau kita tidak galakkan. Kalau mereka hendak tunjuk megah, Allah Taala akan bagi balasannya," ujarnya, dipetik dari blog Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Omardin berkata, "Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut."

Penangdaily difahamkan, Omardin mengeluarkan ugutan kepada Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan supaya menghentikan hasrat mengadakan perhimpunan aman tersebut kerana khuatir tidak dapat mengawal 'emosi' anak-anak didiknya jika mereka 'bertembung' pada perhimpunan itu nanti.

Kenyataan Omardin itu disiar akhbar milik Umno, Utusan Malaysia beberapa hari lalu.

Bercakap lebih lanjut, Cikgu Majid berpendapat tujuan Bersih adalah berhimpun secara aman untuk menuntut keadilan, justeru tidak ada sebab mana-mana pertubuhan silat memusuhi peserta himpunan itu.

"Kita tak berfikir yang mereka (Bersih) akan menimbulkan masalah. Kita tak anggap begitu. "Apa-apa tindakan yang kita mahu ambil hendaklah berpaksikan keadilan yang sebenarnya," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid juga memberi jaminan bahawa penuntut Silat Gayung Pusaka sendiri tidak akan mengancam dan menakut-nakutkan orang lain daripada menyertai mahupun menghindari perhimpunan tersebut.

"Saya pun tak akan izinkan anak-anak Gayung buat kacau pada perhimpunan begini," kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid adalah Pengarah dan Gurulatih Utama Pusaka Gayong Malaysia dan masih mengekalkan gelaran 'Cikgu" walaupun beliau sendiri sebenarnya bertaraf seorang mahaguru dalam dunia persilatan.

Cikgu Majid adalah murid kanan pengasas Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan menuntut seni silat Melayu itu di Woodlands, Singapura.


http://www.penangdaily.com/index.php/Nasional/bersih-20-omar-din-dinasihat-ingat-allah.html

Monday, July 4, 2011

Nurul Izzah: Di mana tanggungjawab ‘Mahaguru’?

Nurul Izzah Anwar

Kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omar Din Mauju berkenaan dengan Himpunan BERSIH 2.0 menyebabkan saya rasa terpanggil untuk menyoal kredibiliti beliau selaku seorang Mahaguru yang disegani anak-anak buahnya.

Saya amat mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli Seni Silat Lincah yang dikatakan seramai 1 juta ahli ke Himpunan BERSIH 2.0 kerana ini jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara Malaysia untuk berhimpun secara aman.
Bukan sahaja Ahli Seni Silat Lincah sahaja, bahkan semua anggota-anggota pertubuhan silat di Malaysia ini dialu-alukan untuk hadir dan turun bersama bagi menuntut pilihanraya bersih dan adil di tanahair kita yang tercinta ini.

Yang menjadi kekesalan saya adalah apabila seseorang yang mendapat gelaran “Mahaguru” mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai satu amaran yang tidak bertanggungjawab seperti berikut:

“Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut”

Sewajarnya sebagai seorang “Mahaguru” menampakkan ‘kebersihan’ peribadi diri dan bukan memberikan amaran yang menjurus kepada provokasi sebelum sesuatu himpunan diadakan. Tambahan lagi, seorang “Mahaguru” sebenar tentunya boleh mengawal anak-anak buahnya sebelum melemparkan cabaran atau arahan kepada pihak luar.

Sikap yang ditunjukkan oleh seorang “Mahaguru” ini tidak langsung mencerminkan ‘kebersihan’ peribadi dan amaran seperti ini sewajarnya diambil serius oleh pihak Polis; sebaliknya yang dilihat adalah tekanan terbuka dan gangguan yang dikenakan menerusi tindakan polis terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, dan juga badan-badan bukan kerajaan yang mempromosikan kebebasan bersuara secara aman.

Saya yakin dan percaya, Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan yang tentunya akan selamat jikalau tindakan-tindakan provokasi seperti yang dilakukan oleh Pertubuhan Silat ini dihentikan serta merta. Marilah kita berlagak lebih sebagai pendekar yang bertanggungjawab selaku khalifah di bumi Allah ini, bukannya pengecut yang lebih suka mengeluarkan ugutan kepada mereka yang mungkin berlainan fikrah atau pandangan daripada kita.

Lampiran 1


Kenyataan dari Pemimpin Pertubuhan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia

Sejuta ahli persatuan silat akan turun padang bagi membanteras sekeras-kerasnya Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9hb. julai, 2011 ini. Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia [PSSLM], Tan Sri Omar Din Mauju memberikan kenyataannya dalam satu sidang akhbar berhubung pandangannya mengenai Perhimpunan BERSIH 2.0 semalam.

1. Adalah menjadi tanggungjawab Pengamal Seni Silat untuk mempertahankan negara sejak zaman pemerintahan Melaka lagi dan mereka tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras ke atas golongan yang cuba menimbulkan kekacauan dan huru hara.

2. PSSLM mempunyai sejuta ahli dan kami akan turun pada 9hb. Julai, 2011 jika Ambiga masih meneruskan Perhimpunan BERSIH 2.0 seperti yang dirancang.

3. Kami sebagai Golongan Pengamal Silat merupakan pelindung kepada negara dan Sultan sejak beratus tahun lalu tidak akan berdiam diri.

4. Sekira kami tidak mengambil apa-apa tindakan maka kami akan dianggap dayus.

5. Saya akan mengetuai pasukan ini walaupun dengan berkerusi roda dan akan berada di barisan paling hadapan.

6. Ambiga dinasihatkan supaya membatalkan perhimpunan ini jika tidak, Omar Din bimbang dia tidak dapat mengawal perasaan dan emosi anak-anak buahnya pada perhimpunan itu kelak apabila mereka bertembung.

7. “Sebagai pengamal silat, saya tidak boleh memberikan jaminan kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut” kata Omar Din lagi.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/4078-nurul-izzah-di-mana-tanggungjawab-mahaguru

Wednesday, January 5, 2011

'Mereka dengki saya'

P ARIVALAGAN mendakwa pemecatannya sebagai jurulatih karate negara dipercayai didalangi lima ahli Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang mendendaminya selain berhasrat menyingkirkannya.

Arivalagan yang sudah menjawat jawatan itu sejak 2005 mendakwa kontraknya tidak dilanjutkan berkuatkuasa 31 Disember lalu.


Lebih mengecewakan, kelompok kumpulan yang tidak menyukainya itu bukanlah mereka yang arif mengenai sukan karate tetapi menduduki kerusi jawatankuasa itu selepas menang dalam pemilihan persatuan.

“Mereka dengkikan saya sedangkan mereka sebenarnya tidak terlalu arif dalam sukan karate. Apakah pencapaian saya selama ini tidak cukup? Adakah saya selalu gagal membimbing anak buah saya? Jawapannya pasti tidak.


“Selain kelima-lima individu ini, saya yakin anggota Makaf lain masih mahu saya memegang jawatan ini berdasarkan pencapaian semasa pasukan kumite.


“Walaupun sedar ia sudah lama berlaku, saya ketepikan semua masalah ini dan tidak mencampur adukkannya ketika membimbing skuad negara,” katanya.

Selepas negara dikejutkan dengan pengunduran jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, P Arivalagan pula menerima tamparan apabila dipecat.


Selama Arivalagan bertindak sebagai jurulatih kumite, sentuhan bekas atlet negara itu tidak pernah mengecewakan apabila terbaru dia berjaya membimbing R Puvaneswaran meraih emas di Sukan Asia Guangzhou dengan kumite menyumbang dua lagi perak.

Sebelum itu, berderet sudah anak buah Arivalagan melakar kejayaan termasuk meraih lima emas pada Sukan Sea Laos dan tugasnya itu tiba-tiba saja bakal diganti jurulatih daripada Iran.


Apa yang membimbangkan Arivalagan ketika ini, kemelut melibatkan pemecatannya itu merebak kepada barisan atlet negara yang enggan berlatih selepas mengetahui kedudukannya.


“Anak buah saya kecewa dengan keputusan ini. Sehingga pagi tadi (semalam) mereka bertekad enggan berlatih sebagai tanda memboikot keputusan Makaf.


“Bagaimanapun, saya berjaya memujuk mereka dan akhirnya kami dapat menjalankan latihan singkat sekitar setengah jam saja. “Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang tindakan ini akan berterusan,” katanya.


Yang pasti, Arivalagan kini menunggu panggilan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetahui situasi sebenar dan selama itu juga, dia bertekad untuk melatih atlet kumite negara seperti biasa.


Sementara itu, Setiausaha Agung Makaf, Clement Soo menyerahkan perkara itu kepada barisan exco Makaf yang akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.


“Pada pandangan saya pertimbangkanlah sumbangan Arivalagan selama ini. Kita perlu bersikap adil kepada individu yang seringkali mengharumkan nama negara.


“Janganlah layan beliau dengan cara begini, apabila tidak diperlukan ditendang begitu saja,” katanya yang menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak.


Ditanya hasratnya untuk turut berundur, Clement berkata, sekiranya pandangannya itu tidak dapat diterima barisan exco Makaf, beliau bersedia melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 21 tahun itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekadengkisaya/Article/index_html

Atlet karate ugut keluar skuad negara

MAJORITI atlet karate bersetuju keluar dari skuad kebangsaan sekiranya Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal dengan keputusan tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan, P Arivalagan.

Salah seorang atlet, L Kunaselan berkata, dia dan rakan lain terkejut serta kecewa dengan tindakan Makaf dan berharap badan induk itu mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.


“Arivalagan sudah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya.

Kunaselan berkata, mereka sudah berbincang dan mengambil keputusan menarik diri jika Makaf kekal dengan keputusan menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.


Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai Makaf, esok, bagi membincangkan isu Arivalagan.


Kunaselan, antara empat nama awal yang disenaraikan menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Incheon 2014, berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

“Tidak wajar Makaf memberi alasan mengambil jurulatih Iran dengan tujuan meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.


“Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia Guangzhou. Tidak adil jika jasanya tidak dinilai Makaf,” katanya.

Di Guangzhou, Malaysia di bawah bimbingan Arivalagan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.


Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan Sea 2007 dan Sukan Sea 2009.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atletkarateugutkeluarskuadnegara/Article/index_html

'Selesai masalah dengan bijak'





SEMUA permasalahan yang timbul dalam persatuan-persatuan sukan di negara ini perlu ditangani dengan bijaksana bagi mengelak atlet menjadi mangsa keadaan.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar).

“Kalau boleh, saya mahu kerajaan kurang campur tangan (dalam menyelesaikan masalah yang timbul). Kita (Kementerian Belia dan Sukan) mahu memberi kebebasan kepada persatuan-persatuan sukan membuat keputusan dan membina sistem yang baik dalam bidang sukan mereka.

“Bagaimanapun, kerajaan berhak untuk mengambil tahu apa punca atau sebab isu seperti ini berlaku. Saya tidak mahu ia mengganggu kemajuan sukan kita di masa depan,” katanya merujuk kepada isu P. Arivalagan yang kontraknya sebagai jurulatih karate tidak diperbaharui oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan akan digantikan oleh jurulatih luar negara serta isu tindakan mengejut Datuk Mis- bun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih badminton kebangsaan.

Ahmad Shabery berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Kecemerlangan Proton di Subang Jaya semalam selepas majlis pelancaran pasu- kan rali Proton R3 dan penyera- han Jalur Gemilang kepada pasukan berkenaan yang akan menyertai Kejohanan Rali Antara Benua (IRC) dan Kejohanan Rali Asia Pasifik.

Mengenai isu peletakan jawatan Misbun, Ahmad Shabery berkata, beliau sedang memikir- kan cara bagaimana isu berke- naan dapat ditangani.

“Saya masih menunggu untuk berbincang dengan Datuk Nadz- mi Salleh, (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) untuk berbincang mengenai apa yang berlaku.

“Saya ingatkan dapat bertemu beliau di sini (Pusat Kecemerla- ngan Proton) untuk berbincang. Kita akan adakan pertemuan dalam masa terdekat.

“Selama ini kita hanya menggunakan satu model – semua pemain, semua jurulatih mesti mengikut sistem BAM. Kita mungkin akan cari satu sistem yang lebih liberal dengan membenarkan mana-mana perseorangan atau jurulatih untuk mempunyai sistemnya sendiri,” kata- nya.

Ahmad Shabery berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat bergantung kepada perbincangan beliau dengan Nadzmi dan Misbun nanti.

Mengenai isu Arivalagan pula, Ahmad Shabery berkata, beliau akan mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan laporan mengenainya.

“Tahun lepas, karate antara sukan yang menunjukkan kemajuan dan membawa kejayaan cemerlang pada Sukan Asia.

“Apabila timbul perkara-perkara seperti ini, kita hendak tahu adakah ini membawa kebaikan (mendapatkan khidmat jurulatih luar negara) atau wujud faktor- faktor yang lain,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Tinggalkan skuad negara


ARIVALAGAN (kiri) telah banyak mengorbankan tenaga untuk melahirkan atlet berwibawa.


ATLET karate negara mengancam untuk meninggalkan skuad kebangsaan jika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kekal dengan keputusan mereka memecat jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan.

Majoriti atlet karate negara bersetuju untuk berbuat demikian jika jurulatih yang telah banyak membantu mereka meraih kejayaan kepada negara disingkirkan.

Salah seorang atlet, L. Kunaselan berkata beliau dan rakan-rakanya terkejut serta kecewa dengan tindakan yang diambil oleh MAKAF dan berharap badan induk itu akan mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.

“Arivalagan telah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya semalam.

Kunaselan berkata, mereka telah berbincang sesama sendiri dan mengambil keputusan untuk menarik diri jika MAKAF masih kekal dengan keputusannya untuk menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai MAKAF Khamis ini bagi membincangkan isu Arivalagan.

Kunaselan antara empat nama awal yang disenaraikan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Beliau berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

Katanya, adalah tidak wajar bagi MAKAF memberi alasan mengambil jurulatih dari Iran bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia, Guangzhou pada November lalu. Adalah tidak adil sekiranya jasa beliau tidak dihargai oleh MAKAF,” katanya.

Pada Sukan Asia 2010 Di Guangzhou, skuad karate negara di bawah bimbingan Arivalagan menang dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R. Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.

Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan Sukan SEA 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...