Showing posts with label Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Terengganu. Show all posts

Saturday, August 20, 2011

Apa perlu Akta Jenayah Aqidah?

Thursday, 11 August 2011 14:25 Editor


- Laksanakan Hudud dan Qisas
KUALA TERENGGANU
– Pas mempersoalkan cadangan mewujudkan Akta Jenayah Akidah bagi tujuan mengelak murtad sama ada ia sesuai atau tidak dengan kehendak syariat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, walaupun menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga akidah umat, namun akta tersebut perlu diberi perincian untuk memastikan ia benar-benar selari mengikut syariat yang telah ditetapkan.

“Dalam undang-undang yang ada di Malaysia, tiada menyebut sebarang hukum berkait dengan murtad.

“Kita tidak tahu apa isi kandungan berdasarkan akta yang dicadangkan itu sama ada ia menepati syariat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, Pas tidak menolak hasrat tersebut yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah dalam usaha menjaga akidah umat Islam,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan atau dibentangkan di Parlimen bagi memastikan tiada usaha memurtadkan orang Islam berlaku di negara ini.

Beliau berkata, akta itu diperlukan untuk membendung gejala murtad, malah usaha memesongkan akidah orang Islam itu seolah-olah bukan rahsia lagi.

Dalam masa sama, walaupun menganggap cadangan tersebut baik, Abu Bakar menegaskan ia bukan isu baru kerana Pas sendiri sudah lama memperjuangkan hukum hudud dan salah satunya untuk memerangi gejala murtad.


Bagaimanapun, be-liau mendakwa kerajaan belum berhasrat melaksanakan syariat Islam apabila ia tidak diberi perhatian dan sering memberi jawapan yang tidak meyakinkan

“Kalau mereka melihat kepentingan menjaga akidah umat Islam, sudah tentu perkara yang begitu lama diperjuangkan Pas dilaksanakan terutama berhubung hudud dan qisas.

“Apabila kita panjangkan isu ini, mereka (kerajaan Persekutuan) beri pelbagai jawapan seperti akan mengkaji secara mendalam, akan ambil cada-ngan untuk dipertimbangkan atau dilaksanakan dan ada juga jawapan bahawa ia tidak sesuai dengan negara kita,” katanya.


Beliau berkata, Pas yang masih kukuh dengan perjuangan untuk mengembangkan syiar Islam pernah menggubal undang-undang jenayah di peringkat negeri sesuai dengan syariat Islam ketika memerintah Terengganu pada penggal 1999-2004.


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3897:apa-perlu-akta-jenayah-aqidah-laksanakan-sahaja-hudud-dan-qisas&catid=36:berita-nasional&Itemid=84

Dana Raya: Diskriminasi Ramadhan!

Friday, 19 August 2011 12:09 Skuad BO


- lafaz sumpah janji setia akan mengundi Umno/BN PRU ke-13 sebelum terima wang
KUALA TERENGGANU - Sambutan Hari Raya Idulfitri bakal menjelang tiba dan kerajaan Umno-Barisan Nasional Terengganu kini sedang sibuk mengagihkan peruntukan wang ehsan berjumlah RM60 juta bagi tahun 2011.

Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan jumlah peruntukan 'gula-gula raya' tersebut akan diberikan kepada rakyat miskin, berpendapatan rendah, warga emas termasuk golongan belia remaja.

Malangnya, pengagihan dana raya itu yang 'sedang rancak berlangsung' masakini, telah berlaku diskriminasi terutama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Penyelaras Dun masing-masing.

Sumber Skuad Buletin memaklumkan setiap penerima dana raya tersebut dikehendaki melafazkan ‘sumpah’ janji setia akan menyokong Umno-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.


Bahkan, disetengah tempat setiap penerimanya dikehendaki mengisi borang keahlian Umno terlebih dahulu sebelum pembayaran dibuat oleh pihak Dun atau JKKK.

Mohd Sabree Yunus (bukan nama sebenar), 30, dari Manir mendakwa terpaksa melafazkan ‘sumpah’ janji setia menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

Menurutnya, sumpah ‘Aku Janji’ itu dibuat di pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) dan di rumah Pengerusi JKKK berkenaan.

“Hendak buat macam mana, disuruh buat sumpah dengan surah Ya’asin. Saya buatlah sumpah Aku Janji akan sokong BN dalam pilihan raya akan datang.

“Jika tidak, saya tidak dapat RM300 itu. Saya buat di pejabat Dun dan ada rakan-rakan lain buat di rumah Pengerusi JKKK,” ujarnya.

Katanya, perbuatan melafaz sumpah taat setia dan ‘Aku Janji’ sambil memegang surah Ya’asin dibuat disemua tempat suluruh negeri Terengganu.

Beliau diberitahu oleh petugas Dun tindakan seumpama itu terpaksa dilakukan oleh Umno kerana bimbang sokongan rakyat terhadap Umno-BN semakin merosot.

Seorang warga emas, Mansor Ngah dari Kampung Maras mendakwa pihak penyelaras Dun dan JKKK telah memotong penerimaan dana khas raya.

Menurutnya, kesalahan yang membawa kepada pemotongan dana raya tersebut kerana telah menyertai satu rombongan melawat negeri kerajaan Pakatan Rakyat, di Pulau Pinang.

“Borang permohonan bantuan telah diisi tetapi telah dipotong dari senarai penerima dana raya kerana mengikuti rombongan melawat kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

Rakannya, Awang Yusuf, 54, mengakui telah dikeluarkan dari senarai penerima sumbangan dana raya beberapa hari lalu.

Katanya, sebelum ini pernah menerima sumbangan dana raya sebanyak RM400 tetapi telah dikeluarkan dari senarai penerima atas tuduhan menyokong PAS-Pakatan Rakyat.

[Gambar kiri - dari kanan, Rashid, Awang dan Ibrahim, dari Kampung Maras, Batu Rakit, dinafikan Dana Raya kerana melawat Pulau Pinang]


“Dulu dapat RM400 tetapi sekarang nama saya telah dipotong dari senarai penerima kerana pergi (ikut) rombongan ke Pulau Pinang, Mei lalu.

Beliau merupakan seorang buruh kasar dari keluarga berpendapatan rendah serta mempunyi seorang isteri dan 13 orang anak.

Encik Rashid Ibrahim, 47, dari Kampung Maras menyifatkan pemimpin Umno di peringkat kampung ‘zalim’ dan khianat.

Beliau sekadar bekerja kampung dan mempunyai lima orang anak tergolong di kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, ada di kalangan penerima dana raya dipaksa mengisi borang keahlian Umno sebelum duit tersebut diserahkan.

“Tahun 2011 ini, nama saya telah dipotong dari senarai penerima sumbangan dana idulfitri. Ini bukti Umno-BN mengamalkan diskriminasi.

“Saya diberitahu pihak petugas Umno kerana kesalahan menyertai rombongan melawat kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya.

Bekas pemain bola sepak Terengganu tahun 60-an, Ibrahim Mat, 63, berpendapat pemotongan dari senarai penerima dana raya bersifat dendam politik Umno-PAS.

Katanya, Umno mengamalkan sifat pilih kasih dan hanya mengutamakan penyokong serta ahli Umno-BN sahaja.

“Pemimpin Umno mempunyai sifat dengki, dendam terhadap ahli PAS dan Pakatan Rakyat. Mereka hanya mengutamakan di kalangan orang Umno dan Barisan Nasional,” jelasnya.

Manakala, nasib yang menimpa, Ahmad Kamalrul Hisan Ahmad Hanipah, 29, [Gambar kanan] dari Kampung Tok Dor Luar, Setiu tergolong dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) malang.

Katanya, pernah menerima bantuan hari raya tersebut sebelum dikeluarkan dari senarai penerima.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan RM500 sebulan mendakwa telah dua tahun namanya tercicir dari senarai penerima bantuan tersebut.

“Saya rasa terkilan dan tidak puas hati kenapa nama saya dikeluarkan. Saya berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Saya ada isteri dan seorang anak yang berusia hampir tiga tahun. Saya tidak boleh kerja berat selepas kemalangan jalan raya sejak lebih setahun lalu,” ujarnya.

Katanya, kali terakhir menerima bantuan raya yang diagihkan setiap tahun kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah pada 2008 sebanyak RM300.


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3939:dana-raya-diskriminasi-ramadhan-&catid=35:dalam-negeri&Itemid=85

Thursday, August 11, 2011

T'ganu rayu bina segera hospital baru di Dungun

Ogos 11, 11 11:04am

Kerajaan Terengganu merayu Kementerian Kesihatan agar mempercepatkan pembinaan hospital baru Dungun kerana ia begitu kritikal memandangkan hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah dan kedudukan di satu lokasi yang sesak.

kt by election 070109 ahmad saidMenteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (kanan) berkata cadangan pembinaan Hospital Dungun yang baru telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan tetapi sehingga kini ia belum terlaksana.

"Dua hospital yang sangat kritikal ialah Hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Ia sudah tidak sesuai lagi beroperasi di tempat yang ada sekarang kerana pembangunan yang berlaku di sekitarnya, menjadikan ia agak sesak.

"Kita sedia memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dengan menyediakan tapak baru untuk Hospital Dungun, kira-kira 20 hektar di Kampung Che Lijah di sini," katanya ketika menghadiri program Ehsan Ramadan di hospital itu dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit serta menghadiri majlis berbuka puasa di Dungun semalam.

Ahmad berkata, keadaan Hospital Dungun yang rendah, sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.

"Beberapa tahun lalu, pesakit hospital itu pernah dipindahkan ke tempat selamat akibat berlaku banjir kilat dan ia amat menyusahkan pesakit serta kakitangan hospital itu sendiri.

"Jadi kita haraplah agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Dungun agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat di sini," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172647

Friday, July 8, 2011

15,000 pemuda PAS Terengganu ke himpunan Bersih

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan menghantar 15,000 orang ahlinya ke Kuala Lumpur untuk mengikuti himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Mereka akan bergerak bersendirian dengan semangat kental untuk bersama-sama Bersih 2.0 mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di tanah air.

Ketua DPPNT, Mohd Nor Hamzah (gambar) menjelaskan, pemuda PAS Terengganu seperti juga pemuda PAS di negeri-negeri lain di seluruh negara sememangnya begitu bersemangat untuk menyertai perhimpunan itu sejak mula dirancangkan.

Beliau bagaimanapun secara jujur mengakui, semangat mereka mula berkurangan apabila Bersih 2.0 mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman itu di stadium.

"Namun dengan semangat perjuangan yang sudah sedia ada dalam diri masing-masing, semangat mereka itu amat mudah dinaikkan kembali.

"Jadi dengan itu, DPPNT tidak mengalami kesukaran untuk menghantar 15,000 orang ahlinya ke perhimpunan itu, malah boleh melebihi angka yang jauh lebih banyak dari jumlah itu jika kami kehendaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, tegasnya, tidak sepatutnya dihalang oleh pihak kerajaan untuk diadakan kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang, khususnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, menyedari hakikat itulah, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri telah mengeluarkan titah khas pada 3 Julai lalu yang antara lain turut meminta kerajaan supaya tidak menzalimi rakyat dan bertindak adil kepada rakyat.

Selain itu, Tuanku sendiri turut bersedia bertemu dan berbincang dengan jawatankuasa Bersih 2.0 berhubung perancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan aman itu.

"Tuanku ternyata bertindak dengan begitu lunak dengan rakyat. Tuanku juga turut membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu dengan kaeadah-kaedah tertentu," katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong amat kesal kerana tindakan kerajaan dalam menangani perhimpunan itu ternyata amat melampau dan ini secara jelas menunjukkan kerajaan tidak mempedulikan arahan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Di Terengganu, beliau turut memberikan contoh tindakan tidak demokrasi yang dilakukan oleh kerajaan apabila pihak polis menangkap Ketua Pemuda PAS Dungun, Syeikh Mohamad Hanafi Abdul Aziz dan 6 orang rakannya pada Sabtu lalu, hanya kerana memasang sehelai banner Bersih 2.0 di kawasan Dungun.

Empat orang daripada mereka telah dibebaskan, manakala 3 orang lagi terus ditahan sehingga diikat jamin sebanyak RM5,000 seorang di Mahkamah Majestret Dungun hari ini.

Selain itu, di Kuala Ibai di Kuala Terengganu pula, seorang pemuda ditahan polis, Ahad lalu, apabila disyaki hendak menjual baju kuning Bersih 2.0, walaupun dakwaan tersebut tidak mempunyai bukti kukuh setelah pihak polis sendiri turut ke rumah pemuda itu untuk mencari baju kuning Bersih 2.0 yang didakwa hendak dijualnya.

Pemuda tersebut tetap juga ditahan polis dan terpaksa dibayar ikat jamin RM3,000, walaupun dakwaan hasratnya hendak menjual baju kuning Bersih 2.0 seperti yang didakwa oleh pihak polis itu sendiri tidak terbukti, malah kalaupun terbukti bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.

Menurut Mohd Nor, kesemua kejadian itu hanyalah sebahagian dari contoh terkini yang dilakukan oleh kerajaan di Terengganu dan ia secara jelas bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman dengan kaedah tertentu.

"Itu semua turut bertentangan dengan titah Tuanku yang meminta kerajaan mengutamakan rundingan dengan pihak terbabit untuk menyelesaikan sesuatu masalah termasuk berhubung himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4233-15000-pemuda-pas-terengganu-ke-himpunan-bersih

Wednesday, July 6, 2011

Topi komunis berlogo Bersih, Gertak biadap

Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 6 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memandang serius kain rentang dan kad jemputan program ‘Ganyang Komunis’ yang diedar oleh Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) yang memaparkan logo Bersih pada topi ‘Komunis’.

Setiausaha DPPNT, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, kain rentang tersebut dapat dilihat di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu dan Kad Jemputan tersebut turut disebarkan melalui laman sosial Facebook.

Beliau menambah, ia secara langsung telah mengaitkan Bersih 2.0 dengan komunis dan menggambarkan perjuangan Bersih 2.0 adalah sama dengan perjuangan komunis.

“Maka dengan itu, DPPNT memandang bahawa ini merupakan satu cubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu sebenar yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, lapan tuntutan itu ialah penghapusan undi pos, pembersihan daftar pemilih, akses yang adil terhadap media, penggunaan dakwat kekal, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurutnya, amat menyedihkan dan merupakan suatu perkara yang tidak boleh diterima akal yang waras apabila ada pihak iaitu Gertak yang mengambil kesempatan mengaitkan Bersih 2.0 dengan ideologi perjuangan komunis.

Sehubungan dengan itu, tegasnya DPPNT menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap Gertak yang jelas cuba melakukan provokasi secara melampau dan biadab.

Katanya, rakyat tidak pernah lupa bahawa pihak yang sama juga pernah menganjurkan program MELAYU BANGKIT pada 13 Mei tahun lalu.

“DPPNT ingin menegaskan di sini bahawa Gertak merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang dibayangi di oleh Umno Terengganu. “Pengerusi Gertak, Razali Idris merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Marang. Tindakan Umno merestui program ini menyerlahkan sikap Umno terhadap keharmonian rakyat,” katanya.

Ini, ujarnya jelas berbeza dengan Bersih 2.0, merupakan Gabungan NGO berdaftar yang bergabung bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Apatah lagi, katanya Bersih 2.0 sudah mendapat perkenan daripada DYMM Tuanku Sultan untuk mengadakan himpunan secara aman di stadium.

Justeru, tambahnya mana-mana tindakan yang berbentuk kekerasan dan provokasi seperti program Gertak, rampasan baju, penahanan penyokong Bersih 2.0, sekatan-sekatan jalanraya yang tidak munasabah dan seumpamanya hendaklah dihentikan.

“Kami turut menggesa pihak berkuasa agar membebaskan penyokong-penyokong Bersih 2.0 dan mengembalikan semula baju-baju dan bahan-bahan Bersih 2.0 yang dirampas.

“Sekiranya gesaan ini gagal dan tidak diendahkan, maka boleh dianggap sebagai derhaka kepada DYMM Tuanku Agong yang merupakan Ketua Negara,” katanya lagi.

Beliau menambah, isu Bersih 2.0 mengancam keselamatan awam langsung tidak timbul kerana Bersih 2.0 bukanlah satu gerakan bersenjata yang ingin menjatuhkan kerajaan tetapi merupakan badan yang bertindak menuntut suatu pilihanraya yang bersih dan adil.

Justeru, katanya DPPNT percaya isu penemuan senjata bersama-sama T-shirt Bersih adalah satu provokasi terancang oleh pihak-pihak tertentu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4217-topi-komunis-berlogo-bersih-gertak-biadap

Thursday, June 30, 2011

MB kecewa stadium runtuh belum boleh dibaiki

MB kecewa stadium runtuh belum boleh dibaiki
Jun 27, 11 2:30pm

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kajian terhadap Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang sebahagian daripada bumbungnya runtuh lebih dua tahun lepas, masih belum siap.

Katanya Jabatan Kerja Raya pernah memaklumkan bahawa kajian oleh perunding akan siap pada bulan Jun ini.

collapsed half of roof of the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium in Kuala Terengganu"Tetapi apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.

"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di Kuala Terengganu sempena program sukan tahunan Isteri wakil rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/168121

Wednesday, June 22, 2011

Terengganu buat litar untuk anak muda merempit

Jun 18, 11 6:57pm

Kerajaan negeri Terengganu sedang mengenalpasti satu kawasan yang sesuai untuk dijadikan litar lumba motosikal bagi anak-anak muda yang berminat dalam sukan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata setakat ini beberapa kawasan telah dikenalpasti iaitu di Merang, Gong Badak dan Seberang Takir.

NONE"Yang penting kedudukan litar itu tidak mengganggu masyarakat dan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Karnival Belia Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya litar yang bakal dibuka itu memerlukan kawasan seluas 1.6 hektar dan dijangka akan dibina secepat mungkin dalam usaha untuk mengatasi masalah mat rempit di negeri itu.

Rozi berkata kos pembinaan litar tersebut sedang diteliti dan beberapa syarikat permotoran telahpun menyatakan persetujuan untuk memberikan sokongan dan panduan dalam pembinaan litar itu.

Beliau berkata, apabila siap kelak, ia akan menjadi litar pertama seumpananya di negeri itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/167330

Friday, April 1, 2011

Nangis dihukum mati

Nangis dihukum mati

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.
BERSALAH... Mariah diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman mati, semalam.

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita yang mempunyai tujuh cucu hanya mampu menangis apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 92.68 gram di pekarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit, dekat sini, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariah Hamad, 49, dari Rantau Panjang, Kelantan selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang@Mamat berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mariah diwakili peguam bela Tara Singh Delip dilihat memandang ke arah ahli keluarga yang berada di galeri awam ketika hukuman dibacakan.

Mohd Yazid pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan tertuduh ketika membuat pembelaan diri bahawa dia hanya membawa barangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai dadah atas permintaan seorang rakan bernama Ida untuk diberikan kepada seorang individu lain yang menunggu di kawasan masjid itu tanpa mengetahui isi kandungannya adalah tidak benar.


Beliau berkata, tertuduh didapati tidak bercakap benar kerana kelihatan takut dan pucat ketika ditahan polis di lokasi kejadian menunjukkan dia tahu mengenai isi kandungan barangan di dalam plastik dibawanya itu.

Katanya, tertuduh dalam pembelaannya turut memaklumkan dia bersama suami mahu ke Kuala Berang bagi menziarah saudara suami yang tidak dikenali dan berhenti di masjid itu untuk memberikan barang dikirim Ida.

“Malah, adalah tidak munasabah tertuduh sanggup menggunakan jalan pantai dari Rantau Panjang untuk ke Kuala Berang dan singgah di masjid itu semata-mata mahu menyampaikan barang yang dikirim Ida,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mariah yang juga peniaga kedai makan didakwa mengedar heroin kira-kira jam 3.45 petang pada 3 Ogos 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.


http://www.hmetro.com.my/articles/Nangisdihukummati/Article

Thursday, March 24, 2011

Padah percaya arahan Internet

KUALA TERENGGANU: Terpedaya dengan e-mel yang disangka datangnya dari sebuah bank, seorang lelaki kerugian RM700 apabila dia mengemas kini data akaun bank miliknya mengikut arahan yang tertera dalam Internet, Ahad lalu.

Mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal dari Dungun mengemas kini akaun miliknya melalui Internet dengan mengikut arahan tertera dalam e-mel berkenaan.


Bagaimanapun dia curiga selepas itu kerana sebelum ini bank berkenaan tidak pernah meminta pelanggannya membuat kemas kini akaun melalui Internet dan memberi arahan menerusi e-mel.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata mangsa memeriksa akaun simpanannya pada hari berikut dan mendapati ia berkurangan RM700.


“Terkejut dengan kehilangan wangnya, mangsa membuat semakan dengan bank dan diberitahu dia sudah membuat urusan dengan laman web palsu.


“Pihak bank mendakwa tidak pernah mengarahkan pelanggannya membuat kemas kini akaun menerusi internet dan tidak memberi sebarang arahan kepada pelanggannya menerusi e-mel,” katanya.

Beliau berkata, merasa tertipu dengan keadaan berkenaan, mangsa membuat laporan di Balai Polis Paka pada jam 12.30 tengah hari Jumaat lalu.


“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat tindak balas apabila menerima sebarang e-mel daripada mana-mana pihak untuk mengelak daripada ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila dihubungi pihak bank melalui internet, orang ramai yang merasa curiga mesti menghubungi bank berkenaan untuk mendapat kepastian mengenai kesahihan e-mel diterima,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana capaian kepada sistem komputer tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PadahpercayaarahanInternet/Article/index_html

Thursday, March 10, 2011

Satu kampung tak selamat

KUALA NERANG: Bimbang dengan ancaman ganas anak lelaki mereka yang menghidap penyakit mental, sepasang suami isteri kini hidup menderita selepas melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan sejak lima tahun lalu.

Lebih menyedihkan pasangan warga emas lembam dari Kampung Keda Pasir Putih di sini, hanya makan buah-buahan atau tumbuhan hutan sepanjang bersembunyi di dalam hutan itu bagi mengisi perut.


Ini disebabkan pasangan berusia 60-an itu bimbang dipukul anak mereka yang berusia 34 tahun jika mereka pulang ke rumah.

Anak ketiga daripada empat beradik yang pernah mendapat rawatan di wad psikiatri dikatakan sering bertindak liar dan ganas termasuk mendera ibunya seperti binatang.


Keadaan itu menyebabkan si ibu berusia 61 tahun dan bapanya berusia 64 tahun tidak sanggup lagi untuk memelihara lelaki sakit mental itu.


Anak lelaki pasangan terbabit didakwa mengalami masalah mental selepas makan telur rebus yang terapung di muara sungai di kampung itu ketika dia berusia 14 tahun. Telur berkenaan dikatakan dihanyutkan untuk tujuan .

Dia juga pernah mencabul beberapa wanita dan gadis menyebabkan penduduk kampung terkilan kerana dia dibebaskan pihak hospital selepas pemeriksaan perubatan mendapati dia siuman.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu, Mat Din Ariffin berkata, lelaki berkenaan pernah mencabul beberapa wanita di kampung itu yang kebanyakannya isteri orang ketika suami mereka keluar bekerja.

“Kami sudah menahannya beberapa kali dan menyerahkan kepada polis sebelum dia diserahkan kepada hospital, tetapi dibebaskan semula selepas doktor mengesahkannya berkelakuan baik sepanjang jagaan mereka.


“Kami berharap pihak berkuasa menghantar lelaki itu ke wad psikiatri atau Hospital Bahagia Tanjung Rambutan untuk dipantau kerana penduduk bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.


Penduduk, Norhayati Ahmad, 33, mendakwa pernah menjadi mangsa amuk lelaki itu ketika mencuci pakaian di bilik air rumahnya.


“Saya terpaksa menjalani rawatan tradisional selama dua bulan kerana trauma dengan apa yang berlaku. Macam mana pula pihak hospital mengatakan dia tidak gila sedangkan dia suka mencabul dan bertelanjang sepanjang masa,” katanya.


Kelmarin, tujuh pakar sakit jiwa dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar berada di kampung itu untuk berbincang dengan kira-kira 50 penduduk yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang dilangsungkan secara tertutup.


Bagaimanapun, penduduk dipercayai tidak berpuas hati apabila pakar terbabit mengesahkan lelaki itu hanya mengalami gangguan emosi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung lelaki berkenaan tetapi pihaknya hanya mempunyai kuasa menahan dan menyerahkan kepada hospital untuk mengambil tindakan.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satukampungtakselamat/Article/index_html

Monday, March 7, 2011

Lelaki kena jel 5 tahun


RUSLINA (kanan) bersama dua anaknya termanggu di jendela semalam mengenangkan nasib mereka yang tidak mempunyai rumah selepas dibakar suaminya. Mereka kini tinggal di rumah seorang saudara di Besut.


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang bertindak membakar rumah sendiri selepas naik berang ketika bertengkar dengan isterinya dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh Maliki Mohamed @ Lee See Tee, 39, (gambar) yang hanya mampu berjalan terhenjut-henjut ke kandang mahkamah akibat melecur pada kaki kanannya membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Azman menetapkan hukuman tersebut bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Februari lalu.

Maliki didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana membakar rumahnya menggunakan mancis sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000 di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu pada 26 Februari kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Monday, February 28, 2011

Bakar rumah lepas geram


KEADAAN rumah yang dipercayai sengaja dibakar seorang lelaki yang bergaduh dengan isterinya di Kampung Balik Bukit, Setiu semalam.


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang naik angin selepas bertengkar dengan isterinya dipercayai bertindak membakar rumah sendiri sehingga menyebabkan sebuah stor dan bengkel motosikal turut hangus dalam kejadian di Kampung Balik Bukit, Setiu semalam.

Difahamkan, semasa kebakaran pada pukul 12 tengah malam itu, lelaki yang berusia 39 tahun manakala isterinya yang berusia 35 tahun baru bertengkar.

Punca pertengkaran itu disebabkan pelbagai masalah rumah tangga pasangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, selepas melakukan tindakan di luar dugaan tersebut, lelaki yang bekerja sendiri itu menghilangkan diri dan sehingga petang semalam polis masih mencarinya.

Menurut beliau, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada si isteri dan semasa kejadian wanita tersebut dan tiga anaknya berada di rumah jirannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Thursday, February 24, 2011

Lagak alim kucing

Lagak alim kucing

Oleh Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

LANGGAR...Norlaila menunjukkan keretanya tercalar selepas melanggar pagar rumah ketika disamun.
LANGGAR...Norlaila menunjukkan keretanya tercalar selepas melanggar pagar rumah ketika disamun.

DUNGUN: “Saya tidak sangka lelaki berkopiah yang memandu kereta itu geng penyamun,” kata Norlaila Sulong, 32, selepas disamun seorang daripada sekumpulan empat lelaki di Kampung Gong Pasir dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 1.15 tengah hari itu membabitkan kerugian wang tunai berjumlah RM43,500 milik syarikat Norlaila bekerja yang disimpan di dalam beg tangannya.

Norlaila berkata, dia diarah majikannya mengambil wang itu di sebuah bank di bandar ini untuk membayar gaji pekerja dan selesai membuat urusan pengeluaran wang berkenaan pada jam 12.45 tengah hari.

“Saya sepatutnya segera balik ke pejabat, tapi membatalkan hasrat itu lalu ke sekolah untuk menjemput anak,” katanya.


Menurutnya, ketika memasuki lorong ke rumah ibunya di Kampung Gong Pasir bagi menghantar anaknya yang berusia sembilan tahun, dia berselisih dengan seorang lelaki yang berjalan kaki.

“Sebaik anak saya keluar dan menutup pintu kereta, lelaki yang berselisih tadi dengan pantas membuka kembali pintu sebelah penumpang dan bertanya di mana saya letak duit sambil mengancam mahu membunuh saya,” katanya.

Katanya, lelaki tidak bersenjata itu merampas beg tangan yang diletak di bawah kerusi depan sebelah pemandu dan berlaku tarik-menarik antara dia dengan suspek.

“Enjin kereta ketika itu masih hidup dan akibat pergelutan itu kereta bergerak ke hadapan dan terlanggar pagar rumah ibu menyebabkan saya terlepas pegangan tali beg tangan,” katanya.

Norlaila berkata, lelaki terbabit berlari sambil membawa beg tangan itu menuju ke sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang rakannya tidak jauh dari rumah ibunya.

“Tidak jauh dari motosikal itu, ada sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki dengan pemandunya memakai kopiah. Saya menjerit meminta tolong dengan harapan mereka akan membantu.

“Namun saya tidak sangka kedua-dua lelaki dalam kereta itu sebenarnya rakan penyamun terbabit kerana sebaik saya meminta tolong, pemandu kereta itu memecut kenderaannya mengiringi motosikal itu melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Beliau menasihatkan orang ramai yang membuat urusan pengeluaran wang yang banyak di bank supaya mendapatkan pengiring bagi mengelak kejadian sama berulang.


http://www.hmetro.com.my/articles/Lagakalimkucing/Article

Friday, February 11, 2011

Dua lelaki dituduh tipu wang pakej umrah


JOHARI (kanan) dan Mustafar yang dituduh melesapkan wang bagi pakej umrah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Dua lelaki dituduh melesapkan wang dan cek milik pelanggan yang mahu mengerjakan umrah berjumlah RM192,500 pada tahun 2009 di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh pertama, Johari Kamarudin, 35, dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, Kelantan berdepan satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang RM5,500 pada 1 Jun 2009.

Rakannya, Mustafar Ismail, 56, pula berdepan lapan pertuduhan serupa melibatkan wang dan cek berjumlah RM187,000.

Enam daripada lapan pertuduhan terhadap Mustafar membabitkan kesalahan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari hingga 25 Mac 2009 di rumah beralamat 3432, Taman Che Yah, Kampung Amir, Kampung Raja, Besut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Tuesday, February 8, 2011

Penoreh raih RM8,000 sebulan


WAN ALIAS menoreh getah yang kini memberi pendapatan lumayan kepadanya di Felda Belara, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Dengan hanya bekerja tiga hari seminggu, seorang penoreh getah di negara ini mampu meraih pendapatan di antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.

Malah, kebanyakan penoreh getah yang ditemui mengakui pendapatan mereka sejak kebelakangan ini jauh lebih besar berbanding gaji sesetengah kakitangan kerajaan.

Seorang penoreh, Wan Alias Wan Muda, 37, dari Felda Belara dekat sini berkata, cuaca yang baik sejak sebulan lalu memberi peluang kepada penoreh getah sepertinya untuk meraih pendapatan tiga kali ganda lebih banyak berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dengan harga getah di pasaran mencecah sehingga RM8 sekilogram, dia mampu meraih pendapatan bersih kira-kira RM3,500 sebulan.

"Kalau orang nak tanya berapa pendapatan saya sebulan, saya hanya boleh jawab pendapatan saya lebih besar daripada guru," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Friday, February 4, 2011

Dibelasah penduduk


BESUT- Hasrat dua lelaki dipercayai cuba mencuri kabel telefon di Kampung Lampu dekat Kuala Besut di sini, kelmarin tidak kesampaian apabila aktiviti jahat mereka dilihat orang ramai dan akhirnya mereka berjaya ditangkap sebelum dibelasah.

Dua suspek berusia 20-an dikatakan dari Gunung, Bachok, Kelantan sebelum itu melarikan diri dengan bersembunyi di dalam semak apabila kegiatan mereka yang dilakukan kira-kira jam 7 malam itu dilihat orang ramai yang lalu lalang di jalan utama menghubungkan Kuala Besut–Seberang Jertih itu.

Dikatakan, salah seorang suspek memanjat pokok berhampiran kabel untuk memotong kabel dengan pemotong manakala rakannya menunggu di bawah.

Sebaik menyedari orang ramai mengetahui kegiatan mereka, suspek lari menyembunyikan diri tetapi berjaya ditemui penduduk kampung dua jam kemudian.

Orang pertama yang berjaya menemui suspek sedang bersembunyi yang hanya mahu dikenal sebagai Zani, 24, berkata, selepas terserempak dengan orang ramai yang kemudiannya memaklumkan kepada polis, suspek dilihat berlari ke arah semak kira-kira 150 meter dari Pasar Borong Kuala Besut di sini.

Menurutnya, dua lelaki itu terpaksa berjalan kaki dipercayai selepas rakan mereka yang menunggang motosikal telah lari meninggalkan mereka apabila menyedari kehadiran penduduk dan polis.

“Saya bersama isteri menaiki sebuah motosikal mencari di kawasan belukar berkenaan di tepi anak sungai kerana mengesyaki suspek bersembunyi di situ setelah ada saksi yang melihat mereka berlari ke arah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zani berkata, beberapa minit selepas menggeledah semak tersebut, lampu suluhnya tersuluh kepala suspek yang sedang bersembunyi dengan keadaan berbaring di dalam semak.

Menurutnya, dia kemudian bertindak menyuluh ke arah lain sambil berkata dengan suara yang kuat bahawa suspek tidak ada di situ sebagai muslihat supaya suspek menyangka mereka belum dilihat.

“Saya berbisik kepada isteri yang berada berhampiran motosikal agar dia pergi memberitahu penduduk kampung mengenai penemuan suspek yang sedang bersembunyi di situ,” katanya.

Katanya, sepantas kilat kemudian ratusan penduduk kampung menyerbu semak itu dan melepaskan geram mereka dengan membelasah salah seorang daripada suspek sebelum menemui seorang lagi rakannya yang bersembunyi satu meter dari situ dan menerima nasib sama.

“Penduduk tidak dapat mengawal perasaan mereka memandangkan di kawasan itu terlalu kerap kabel telefon dicuri dan kejadian kecurian kabel selama ini amat menyusahkan orang ramai.

“Kehadiran polis di tempat kejadian berjaya menyekat kemarahan orang ramai dan suspek kemudian di bawa ke Balai Polis Kuala Besut,” katanya.

Katanya, salah seorang daripada dua suspek itu merayu agar orang ramai tidak memukulnya dengan alasan kononnya pada hari itu kali pertama dia terlibat melakukan jenayah itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan keja-dian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8711982.asp

Selangor bantu mangsa banjir


MERCHANG - Nasib 24 mangsa banjir di kawasan Merchang yang didakwa tercicir daripada menerima bantuan Kerajaan Negeri terbela apabila Kerajaan Selangor dan Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) tampil memberi sumbangan.

Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan tabung Pantas kepada mangsa banjir di sini berkata, bantuan itu adalah satu perkongsian Kerajaan Selangor untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Ia bukannya untuk memancing undi kerana jika kita berhajat ke arah itu, kita akan membuat perkara lain. Kita memilih tempat bagi mencari mereka yang tidak mendapat bantuan sewajarnya sebagai satu perkongsian daripada Kerajaan Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai pentadbiran Selangor, Rodziah berkata, walaupun PR baru sahaja memerintah negeri itu, rakyat Selangor telah menikmati kemudahan air percuma yang tidak pernah terdetik di hati pemimpin UMNO Selangor sebelum ini untuk melaksanakannya demi rakyat.

“Terengganu lebih baik berbanding Selangor, Selangor hanya ada pasir dan tanah tetapi apa yang dapat kita buat adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 50 penduduk di sekitar Parlimen Kuala Nerus juga turut menerima bantuan sama. Tabung itu seterusnya akan ke Kelantan dan Johor sebelum berakhir di Pahang.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712238.asp

“Saya tidak pernah dera mereka”


KUALA TERENGGANU – Penderaan didakwa empat beradik di daerah Setiu dilakukan bapa mereka sendiri yang mendapat liputan meluas akhbar harian mendorong bapa kepada kanak-kanak malang itu tampil membuat pengakuan kepada Sinar Harian setelah dibebaskan pihak berkuasa tanpa sebarang jaminan.

Bapanya yang dikenal sebagai Pak Nik berkata, dia cukup kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya menuduh mendera keempat-empat anaknya.

“Saya terkejut apabila tiba di balai polis Setiu, ditangkap atas tuduhan mendera anak saya, kerana semua itu adalah tidak benar seperti apa yang dilaporkan oleh anak saya, Tengku Khatijah, 14.

“Saya tidak pernah mendera mereka kerana dalam soal mendidik anak, tiada istilah dera tetapi hanya untuk kebaikan mereka pada masa akan datang supaya menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat,” katanya sambil berlinangan air mata mengenangkan nasib yang menimpanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa dibenarkan merotan atau memukul anak mereka bagi tujuan mendidik, tiada ibu bapa yang sanggup merotan atau memukul anak-anak sehingga sampai ke tahap mendera.

“Budak-budak bukan dia tahu apa pun, orang cakap kena pukul, dera, dia iyakan saja sedangkan pukul untuk mendidik itu adalah berbeza maksudnya malah saya yakin, semua ibu bapa faham apa yang saya maksudkan,” katanya.

Mengulas berhubung kenyataan yang dikeluarkan Khatijah mengenai cucuh api rokok, Ayah Nik berkata, luka akibat api rokok seperti yang didakwa anaknya itu benar, tetapi ketika kejadian itu berlaku dalam keadaan tidak sengaja.

“Pada hari itu, ada kawan saya datang rumah dan sedang leka berbual sambil menghisap rokok, secara tidak sengaja api rokok terkena tangannya kerana ketika itu dia berada di belakang saya.

“Saya tidak membawa dia ke klinik kerana tidak mempunyai duit untuk mendapatkan rawatan malah hanya membiarkan lukanya sembuh sendiri tetapi ada juga menggunakan ubat tradisional,” katanya.


Pernah bagi anak kepada keluarga angkat


Akibat kemiskinan, Pak Nik pernah menyerahkan empat anaknya kepada keluarga angkat tetapi tidak bertahan lama kerana keluarga angkat tidak tahan dengan kerenah mereka.

“Pernah beberapa kali keluarga angkat mengambil anak saya untuk dijaga kerana saya hidup miskin, tetapi hanya bertahan dua minggu kerana kenakalan anak-anak yang menyebabkan keluarga itu tidak sanggup menjaga mereka,” katanya.

Orang kampung pernah menuduh saya tidak pandai mendidik anak tetapi pada hakikatnya pelbagai cara dilakukan untuk memastikan mereka menjadi seorang anak yang baik.

“Hanya keluarga angkat yang pernah menjaga mereka sahaja memahami keadaan saya yang terpaksa menahan sabar menghadapi kerenah mereka berempat,” katanya.


Miskin punca anak melarikan diri


Dia merasakan masalah kemiskinan adalah punca berlakunya pergolakan itu sehingga menyebabkan anaknya lari dari rumah dan menuduh dia mendera mereka.

“Saya tinggal di pondok usang yang tidak berdinding dan hanya melakukan kerja menanam pokok buah-buahan seperti pisang, betik dan sebagainya untuk menyara keluarga.

“Bantuan daripada mana-mana pihak tidak pernah dapat sedangkan ada beberapa jabatan pernah datang untuk mengambil gambar keadaan rumah saya tetapi tiada sebarang tindakan susulan,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di kafe Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu semalam.

Pengakuan itu dibuat apabila tersebarnya kisah empat beradik Tengku Khatijah, 14, Tengku Siti Noras’syakirren, 10, Tengku Mohd Al-Moqarobin, 7, dan Tengku Siti Nor Asy’adah, 8 yang mendakwa didera bapanya di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.

http://www.sinarharian.com.my/sh/terengganu/content/story8712183.asp

Tuesday, February 1, 2011

Jurutera perunding didakwa


WAN Manan diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang jurutera perunding dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu sebagai pemeriksa yang diiktiraf untuk melakukan kerja pemeriksaan terhadap reka bentuk bumbung Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesnya disebut di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa.

Mengikut kertas pertuduhan, Wan Manan di antara 15 Januari hingga 29 Mac 2009 dengan curangnya menipu dan berpura-pura sebagai checker yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009.

Dokumen tersebut iaitu The main roof truss system and its associated work ialah sebagai cadangan untuk membina dan menyiapkan bumbung stadium utama di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Ia diserahkan kepada Rosli Zainal, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika itu di mana tertuduh memberi pandangan dan menandatangani dokumen itu untuk memperdaya Rosli dan Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Mokhtar Nong supaya mempercayai bahawa dia adalah checker yang diiktiraf.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Bumbung stadium runtuh: Jurutera perunding didakwa

Jan 31, 11 1:03pm

Seorang jurutera perunding hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/154968
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...