Showing posts with label PKNS. Show all posts
Showing posts with label PKNS. Show all posts

Monday, June 27, 2011

Saksi: PKNS lupus bon pelaksanaan syarikat Shamsuddin

Hazlan Zakaria
Jun 20, 11
4:33pm

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pernah melupuskan keperluan 'bon pelaksanaan' untuk Proniaga Sdn Bhd, sebuah syarikat milik pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni, demikian Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu hari ini.

Ini selepas Shamsuddin (kiri) membuat rayuan dengan sokongan menteri besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, kata bekas pengurus besar PKNS, Datuk Harun Salim dalam keterangannya hari ini.

Bon pelaksanaan untuk projek pembangunan di Bandar Baru Bangi itu, telah digantikan dengan jaminan pengarah, yang menurut Shamsuddin dalam keterangannya sebelum ini, bahawa beliau sendiri membayar RM2 juta dalam bentuk wang tunai.

Sebahagian besar kontrak PKNS memerlukan kontraktor membayar bon prestasi sebagai jaminan bahawa mereka akan menyiapkan projek.

NONEPihak pendakwaan mengemukakan satu lampiran bertulisan tangan pada surat rayuan tersebut sebagai bukti. Di dalamnya, Khir merujuk kepada Ditamas sebagai "syarikat bumiputera" dengan "rekod yang baik", dan mengesyorkan supaya keperluan bon itu dilupuskan.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya, Masri Mohd Daud dan semasa soal-balas oleh peguambela M Athimulan, Harun bertegas bahawa proses itu mengikut prosedur dan tidak ada pertimbangan istimewa telah diberikan kepada Shamsuddin.

Semua keputusan berhubung projek PKNS diputuskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Projek, kata Harun.

Tetapi ketika disoal Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, beliau mengakui bahawa langkah melupuskan bon pelaksanaan itu "jarang" dilakukan oleh PKNS.

Harun memberi keterangan pada hari kelapan kes perbicaraan Khir yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/167460

Friday, December 3, 2010

S'gor masih tunggu laporan audit ke atas PKNS

Dis 2, 10 1:19am

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau masih menunggu laporan Jabatan Audit Negara sebelum memutuskan sebarang tindakan yang sesuai dalam isu membabitkan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau berkata kerajaan negeri memberi tempoh kira-kira tiga minggu kepada jabatan itu untuk menjalankan audit secara menyeluruh sebelum laporannya diumumkan kepada orang ramai.

"Buat masa ini kita telah beri jabatan audit tempoh dua ke tiga minggu dan sebab itu saya tunggu laporan itu.

"Bila ia siap kita akan benarkan laporan itu dibaca oleh orang ramai supaya kita dapat maklumat dan penjelasan tentang dakwaan tersebut.

"Selepas itu barulah tindakan yang sesuai diambil jika perlu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam semalam.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus semalam yang mempersoalkan mengenai pelantikan tiga syarikat oleh PKNS yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Menteri Besar sebelum ini dalam kenyataan media berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, PKNS sehingga laporan penuh audit selesai.

Ini berikutan dakwaan beberapa pihak bahawa wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah pentadbiran Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Lima persatuan dan kesatuan dalaman PKNS juga dilaporkan turut mendesak Abdul Khalid supaya menamatkan kontrak Othman yang didakwa bertanggungjawab mengheret perbadanan itu ke dalam kancah kontroversi.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku MIzan Zanal Abidin pada Ahad ini dalam usaha pihaknya mendapatkan perhatian baginda berhubung isu air.

"Kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan kerajaan pusat dan syarikat konsesi termasuk menawarkan harga berpatutan untuk proses pengambil alihan tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kedua-dua pihak ini.

"Kerajaan Selangor berharap isu air ini mendapat perhatian Yang diPertuan Agong selaku Ketua Negara kerana kami berpendapat air merupakan keperluan asas.

"(Ia) tidak sepatutnya diniagakan untuk memperkayakan beberapa individu serta rakyat berhak untuk mendapat air pada harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang lebih cekap," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid sekali lagi mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menyalahgunakan kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan Selangor kepada rakyat menerusi Tabung Budi.

Beliau berkata Syabas sepatutnya lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti menyediakan air bersih dengan harga berpatutan yang boleh diminum melalui air paip secara terus.

"Kalau itu dilakukan Syabas sudah cukup, tidak payah buat kebajikan dengan ambil duit kerajaan negeri. Syabas bukan syarikat politik tetapi adalah syarikat perkhidmatan," katanya.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.

Wang kutipan itu kelak akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

http://malaysiakini.com/news/149764

Batal pangsapuri RM180 ribu, ganti mampu milik

Harakahdaily

SHAH ALAM, 2 Dis: Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina pangsapuri mampu milik di tapak Kampung Seri Temenggung, Gombak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, menurut perancangan asal PKNS, mereka akan membina 270 unit pangsapuri dengan harga sekitar RM180,000 sebuah.

Walau bagaimanapun, katanya memandangkan keperluan perumahan mendesak bagi golongan berpendapat rendah dan sederhana, PKNS akan membina pangsapuri mampu milik dengan harga tidak lebih RM70,000 dan keluasan tidak kurang 800 kaki persegi.

“Sekurang-kurangnya 500 pangsapuri akan dibina di atas tanah seluas lebih kurang 10 ekar ittu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, projek pangsapuri itu merupakan sebahagian dari usaha kerajaan negeri di bawah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan untuk memperkenalkan rumah mampu milik generasi baru.

PKNS juga, tambahnya terlibat di dalam projek 125 unit pangsapuri mampu milik di Bandar Baru Bangi yang akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada akhir bulan Disember ini.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29668:batal-pangsapuri-rm180-ribu-ganti-mampu-milik&catid=1:utama&Itemid=50

Saturday, November 20, 2010

Lagi 'ketegasan' pada anak syarikat S'gor

Nov 18, 10 4:30pm

Selepas kontroversi perbelanjaan mewah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan yayasan negeri, kerajaan Selangor kini lebih 'bertegas' terhadap anak syarikatnya.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan semua anak syarikat negeri mendapatkan kelulusan Perbadanan Menteri Besar (MBI) terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang aktiviti, termasuk sambutan perayaan atau ulang tahun.

NONEKatanya, ini ekoran kerajaan negeri sedang mengemaskini perjalanan anak syarikat dan agensi kerajaan secara holistik bagi memastikan pengurusan dibuat dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.

"Kelulusan tersebut termasuk antara lain (melibatkan) kelulusan belanjawan bagi penganjuran majlis, senarai jemputan dan aturcara.

"Dengan cara ini, kerajaan negeri dapat memantau penganjuran aktiviti oleh anak-anak syarikat seterusnya dapat mengawal perbelanjaan supaya ia munasabah dengan majlis itu bagi mengelak pembaziran wang rakyat," katanya.

Keputusan itu dipercayai ekoran kontroversi perbelanjaan PKNS dan Yayasan Selangor.

azlanYayasan itu kini disiasat ekoran perbelanjaan RM300,000 untuk majlis ulang tahunnya yang menyebabkan Sultan Selangor membatalkan kehadiran.

Manakala semua aktiviti membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS pula dibekukan ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk tajaan jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara yang dilaporkan bernilai lebih setengah juta ringgit.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata, anak syarikat akan hanya dibenarkan melantik syarikat pengurusan acara jika benar- benar perlu, dengan alasan yang kukuh dan melibatkan perbelanjaan yang tidak keterlaluan serta setimpal.

Bagaimanapun, menurut Khalid lagi, perkara itu tidak digalakkan sebaliknya anak syarikat dicadangkan menggunakan tenaga kerja dan kakitangan sedia ada.

"Kerajaan negeri berpendapat cara ini sudah tentu akan menjimatkan lagi perbelanjaan dan wang yang dijimatkan ini dapat disalurkan ke tempat atau kepada individu yang sepatutnya sejajar dengan konsep Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Hasil Negeri untuk Rakyat.

http://malaysiakini.com/news/148538

Monday, November 15, 2010

Belanja sambutan lebih rendah


SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan memancing anjuran Yayasan Selangor di Taman Tasik Rekreasi Seksyen 7, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Yayasan Selangor meraikan sambutan ulang tahun ke-40 semalam dengan menganjurkan pertandingan memancing di sini bagi menggantikan majlis makan tengah hari yang terpaksa dibatalkan.

Kos bagi menganjurkan pertandingan memancing itu sangat rendah berbanding program asal mengadakan majlis makan tengah hari yang menelan belanja RM300,000.

Kira-kira 1,200 peserta menyertai pertandingan itu yang diadakan di Taman Tasik Rekreasi Seksyen 7 di sini bermula pada pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Tempat pertama pertandingan itu dimenangi oleh Muhammad Affendi Harun yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi masing-masing oleh Wasli Ismail dan Mohd. Farid Napie dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

Pertandingan memancing itu turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM40,000 kepada para peserta.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Timbalan Pengurus Yayasan Selangor diarah cuti

Harakahdaily

SHAH ALAM, 14 Nov: Kerajaan Negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Kerajaan Selangor juga memutuskan membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS sehingga laporan penuh audit siap yang dijangka akhir bulan ini.

Ini berikutan kritikan yang dibuat terhadap PKNS yang didakwa menaja majlis perkahwinan seorang kenamaan baru-baru ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan.

"Jabatan Perhubungan Awam PKNS dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Selangor, kata Khalid, mengambil kira semua pandangan dalam memastikan pentadbiran Negeri, agensi kerajaan dan anak-anak syarikatnya diuruskan dengan baik dan setiap wang yang dibelanjakan digunakan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan juru audit bebas untuk menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan berhubung dengan urustadbir Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, katanya, menghargai setiap maklumat salahlaku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat di uruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

" Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29467:timbalan-pengurus-yayasan-selangor-diarah-cuti&catid=1:utama&Itemid=50

Aktiviti perhubungan awam PKNS pula dibekukan

Nov 14, 10 8:59pm

Ekoran dakwaan salah guna kuasa, termasuk menaja jamuan majlis perkahwinan angkasawan negara, kerajaan Selangor membekukan semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

khalid ibrahimMenteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pembekuan itu berkuatkuasa sehingga laporan penuh audit siap, dijangka akhir bulan ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan," katanya.

muszaphar shukor 101007Menurut Khalid, jabatan itu dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan.

Pada 10 November lalu, Khalid menubuhkan jawatankuasa audit profesional untuk menyiasat pendedahan ADUN Hulu Klang Saari Sungib bahawa wujud salah guna kuasa dalam penajaan majlis perkahwinan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Khalid yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah PKNS turut tidak menolak kemungkinan bahawa kes itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat).

Media melaporkan, jumlah tajaan oleh anak syarikat kerajaan negeri itu sebanyak RM520,000.

Tuesday, December 23, 2008

Othman dilantik Pengurus Besar PKNS Februari depan

Selasa Disember 23, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB




Khalid (tengah) menyaksikan Othman bersalaman dengan Low pada sidang media mengumumkan pelantikan Othman sebagai Pengurus Besar PKNS yang baru di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

PETALING JAYA: Bekas Pengarah Urusan sebuah firma pembangunan hartanah, Othman Omar (gambar), 49, dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuatkuasa 1 Februari depan, menggantikan pemangku jawatan itu, Datin Paduka Low Siew Moi.


Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKNS dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.


Khalid berkata, pemilihan Othman adalah berdasarkan kelebihan pengalamannya yang menyeluruh dalam bidang pembangunan dan hartanah merangkumi pelbagai projek daripada pembinaan projek kos murah/sederhana hingga projek mega.


"Kerajaan negeri percaya, pengetahuan dan pengalaman beliau amat berguna bagi PKNS dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baharu (redevelopment of new townships) di Petaling Jaya, Kajang dan Klang," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Khalid berkata, kerajaan negeri yakin Othman dapat bekerjasama baik dengan semua pegawai kanan PKNS yang sedia ada sekaligus membawa PKNS mencapai matlamat asalnya.


"Kita yakin beliau akan membawa PKNS mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, selain meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat terutama di kalangan kaum Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak," katanya.


Othman sebelum ini mempunyai pengalaman 25 tahun dalam industri pembinaan dan hartanah di Malaysia, Australia dan United Kingdom.


Beliau mendapat ijazah kepujian daripada University of Tasmania, Australia dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1984.


Sebelum dilantik menerajui PKNS, Othman adalah Pengarah KLWK Sdn Bhd, sebuah anak syarikat SP Setia Berhad.


Othman ketika mengulas mengenai pelantikannya itu berkata, beliau menerimanya sebagai tanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi kerajaan negeri agar PKNS dapat terus menerajui pembangunan di Selangor.


Pelantikan Low memangku jawatan Pengurus Besar PKNS menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara hujung Oktober lepas, telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk kakitangan PKNS sendiri yang mahu seorang Bumiputera mengisi jawatan itu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/23/mstar_berita/20081223162753&sec=mstar_berita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...