Showing posts with label Akta Jenayah Akidah. Show all posts
Showing posts with label Akta Jenayah Akidah. Show all posts

Saturday, August 20, 2011

Apa perlu Akta Jenayah Aqidah?

Thursday, 11 August 2011 14:25 Editor


- Laksanakan Hudud dan Qisas
KUALA TERENGGANU
– Pas mempersoalkan cadangan mewujudkan Akta Jenayah Akidah bagi tujuan mengelak murtad sama ada ia sesuai atau tidak dengan kehendak syariat Islam.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata, walaupun menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga akidah umat, namun akta tersebut perlu diberi perincian untuk memastikan ia benar-benar selari mengikut syariat yang telah ditetapkan.

“Dalam undang-undang yang ada di Malaysia, tiada menyebut sebarang hukum berkait dengan murtad.

“Kita tidak tahu apa isi kandungan berdasarkan akta yang dicadangkan itu sama ada ia menepati syariat atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, Pas tidak menolak hasrat tersebut yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah dalam usaha menjaga akidah umat Islam,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan atau dibentangkan di Parlimen bagi memastikan tiada usaha memurtadkan orang Islam berlaku di negara ini.

Beliau berkata, akta itu diperlukan untuk membendung gejala murtad, malah usaha memesongkan akidah orang Islam itu seolah-olah bukan rahsia lagi.

Dalam masa sama, walaupun menganggap cadangan tersebut baik, Abu Bakar menegaskan ia bukan isu baru kerana Pas sendiri sudah lama memperjuangkan hukum hudud dan salah satunya untuk memerangi gejala murtad.


Bagaimanapun, be-liau mendakwa kerajaan belum berhasrat melaksanakan syariat Islam apabila ia tidak diberi perhatian dan sering memberi jawapan yang tidak meyakinkan

“Kalau mereka melihat kepentingan menjaga akidah umat Islam, sudah tentu perkara yang begitu lama diperjuangkan Pas dilaksanakan terutama berhubung hudud dan qisas.

“Apabila kita panjangkan isu ini, mereka (kerajaan Persekutuan) beri pelbagai jawapan seperti akan mengkaji secara mendalam, akan ambil cada-ngan untuk dipertimbangkan atau dilaksanakan dan ada juga jawapan bahawa ia tidak sesuai dengan negara kita,” katanya.


Beliau berkata, Pas yang masih kukuh dengan perjuangan untuk mengembangkan syiar Islam pernah menggubal undang-undang jenayah di peringkat negeri sesuai dengan syariat Islam ketika memerintah Terengganu pada penggal 1999-2004.


http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3897:apa-perlu-akta-jenayah-aqidah-laksanakan-sahaja-hudud-dan-qisas&catid=36:berita-nasional&Itemid=84

Wednesday, August 10, 2011

Murtad: Umno tolak mentah-mentah usul PAS

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad.

"Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya.

Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam.

"Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya

Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.

Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu.

"Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin.

Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar.

"Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad.

"Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin.

Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy.

"Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya.

Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4815-murtad-umno-tolak-mentah-mentah-usul-pas

Akta Jenayah Akidah bukti Umno tidak ikhlas

Abdul Aziz Mustafa




KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Saranan mewujudkan Akta Jenayah Akidah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno mempertahankan Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Cadangan itu bukan sahaja ketinggalan zaman, malah semakin membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkaitan kepentingan Islam atau dalam usaha-usaha mempertahankan Islam.

"Nampak benar bila Umno nak tonjolkan diri sebagai jaguh, akta mengenai murtad pun dicadangkan.

"Tetapi bila hal berkaitan Islam tidak menguntungkannya dari segi politik, Umno bukan sahaja tidak mahu menyokong malah menentang dan memfitnahkan habis-habisan seperti yang berlaku terhadap Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993," kata beliau.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

"Cadangan itu ketinggalan zaman. Di mana Umno ketika (Presiden PAS, Datuk Seri) Tuan Guru Abdul Hadi (Awang) berusaha mencadangkan rang undang-undang berkaitan di dalam Parlimen?

"Bukan sekali, malah dua kali Umno dilihat berkonspirasi mengetepikan perbincangan dan cadangan rang undang-undang mengenai murtad.

"Inilah contoh sikap lidah bercabang Umno dan bermuka-muka seolah-olah mahu membela Islam sedangkan terbukti sebelum ini mereka bukan sahaja tidak mahu melakukannya malah menentang serta memfitnahkan usaha memartabat dan melaksanakan hukum Islam," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu membangkitkan, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, kata Mahfuz lagi, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

Bagi beliau, apa yang berlaku sudah lebih dari mencukupi untuk membuktikan Umno mahu menerima usaha-usaha lebih konkrit untuk membela kepentingan Islam kecuali apabila bertepatan kepentingan politiknya untuk mempengaruhi undi orang-orang Melayu.

Ditanya mengenai usaha PAS untuk bertemu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama berikutan serbuan Jais ke atas gereja tersebut baru-baru ini, Mahfuz berkata usaha tersebut adalah selaras dan sebahagian dari usaha berdialog dengan pelbagai pihak yang sentiasa ditekankan serta diamalkan oleh PAS sejak lama dahulu.

"Dengan dialog sedemikian, saya yakin banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang dan muhibbah termasuk keselarasan tindakan dengan Perlembagaan Malaysia di mana Perkara 11 (4) perlembagaan tersebut melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam,” katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4812-akta-jenayah-akidah-bukti-umno-tidak-ikhlas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...