Showing posts with label Krisis Perlembagaan 1993. Show all posts
Showing posts with label Krisis Perlembagaan 1993. Show all posts

Sunday, October 30, 2011

SAYA DOAKAN SAUDARA AZIZ BARI SELALU

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 30TH, 2011

Aspan Alias

Prof Aziz Bari telah menerima surat dengan berisi peluru pada pukul 11.45 pagi semalam dan ini merupakan satu lagi usaha untuk menekan masyarakat yang berfikir. Nampaknya sekarang hanya satu sahaja cara untuk kita hidup aman di negara ini; iaitu dengan mendiamkan diri sahaja dan tidak memberikan tentangan tentang pandangan kuning masyarakat kita khususnya mereka yang bersama pihak berkuasa.

Jika ada telinga hanya dengar sahaja dan jika ada mata hanya tengok sahaja. Jangan bercakap benda yang benar. Tugas kita hanya menganggok seperti burung balam sahaja walaupun yang kita dengar itu adalah perkara bodoh dan sumbang untuk negara. Jika kita telah bersekolah tinggi jangan gunakan ilmu itu kerana yang penting kita di minta mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh pihak yang sedang berkuasa.

Yang boleh menyentuh Raja-Raja Melayu hanyalah Umno. Orang lain nak bercakap benar dan tidak pun menderhaka kepada raja akan diambil tindakan seperti Aziz Bari. Dulu Umno kata kita tidak perlu Raja kerana raja-raja ini hanya memeningkan kepala rakyat kononnya. Kita boleh baca semua kenyataan pemimpin Umno semasa krisis perlembagaan 1993 dahulu. Saya dah sebut isu ini puluhan kali dan tidak bercadang untuk mengulanginya lagi.

Apabila terdesak Umno menggunakan raja-raja Melayu untuk berlindung dari pengaruh pembangkang yang kian hari kian bertambah. Umno cuba memisahkan pembangkang dengan raja-raja sedangkan DAP, PAS dan yang lain tidak pernah membuat tekanan terhadap raja-raja. Sekarang Umno sudah menjadi parti yang pengecut; terpaksa berlindung macam kucing di celah ketiak raja-raja Melayu yang pernah mereka hina dahulu.

Apabila kerajaan Selangor ingin meminda perlembagaan negeri untuk memberi kuasa kepada Tuanku Sultan dalam memilih Setiusaha Kerajaan Negeri Umno pula yang menyanggah dan tidak mahu memberikan kuasa itu kepada Sultan Selangor seperti yang di peruntukan kepada Sultan Selangor sebelum krisis perlembagaan 1993 dahulu.

Sekarang pula bila ada seorang professor undang-undang dan pakar dalam isu perlembagaan Umno marah-marah pula dan menggantung tugas professor itu. Hari ini professor itu menerima pula surat berisi peluru yang datangnya dari orang yang tidak gemar dengan tindakan professor itu.

Saya tidak menuduh Umno yang menghantar peluru itu kerana nanti kena saman pula kita. Tetapi yang jelas ianya datang dari pihak yang bermain politik kotor yang tidak bersetuju dengan pandangan yang berbeza. Pihak berkuasa amat takut dengan pengaruh Aziz Bari yang kian bercambah di kalangan rakyat yang sudah pandai berfikir.

Yang menentang pandangan Aziz Bari ini hanyalah mereka yang bermain politik dan tidak tahu pun tentang undang-undang jauh sekali untuk memberikan tafsiran undang-undang dari sudut moral demokrasi yang kita kononnya anuti itu. Dengan isu ini kita telah nampak yang Umno sudah terdesak dan terasak ke dinding. Maka Umno terpaksa menjadi “aggressive” dan melakukan tindakan provokatif pula.

Kepada Prof Aziz Bari saya hanya memohon supaya bersabar dan melalui dugaan ini dengan penuh keimanan. Walaupun beliau seorang professor yang hebat tidak salah jika saya yang tidak mempunyai kepandaian seperti beliau untuk memberikan nasihat dan sokongan moral kepada beliau.

Kita mesti akui yang orang yang bersabar akan akhirnya berjaya dan sesiapa yang melakukan apa-apa tindakan dengan niat serong akan akhirnya gagal juga. Itu adalah hakikat yang benar dan real.

Ratusan ribu malahan jutaan rakyat secara moralnya berada dibelakang Prof Aziz dan sentiasa mendoakan beliau agar berada di dalam sepenuh keredhoan Tuhan Maha Esa. Prof Aziz mesti akui yang berkata benar diakhir zaman ini memang susah. Tetapi niat dan hajat yang baik akhirnya akan di redhoi Tuhan juga.

Biarkan sahaja apa yang akan diperkatakan terhadap saudara tetapi jika saudara tetap dengan niat dan pendirian yang baik saudara akan berjaya akhirnya. Kata alim ulamak yang muktabar, jalan ke syurga itu penuh dengan duri dan onak, tetapi sebaliknya jalan ke neraka itu penuh dengan roti dan keju yang lazat-lazat.

Bagi saya yang tidak dapat berbuat apa-apa ini, hanya meningkatkan doa untuk saudara ketingkat yang lebih tinggi lagi. Orang ramai percaya kata-kata saudara itu merupakan menifestasi rakyat yang inginkan sebuah kerajaan yang berlandaskan “rule of law”, beretika, demokrasi yang luhur, tidak rasuah dan menyalah gunakan kuasa serta pimpinan yang “magnanimous” dan menghormati pandangan rakyat yang setia kepada negara dan bangsanya.

Tindakan saudara membuat lapuran polis di atas surat yang mengandungi peluru itu adalah wajar dan diharapkan pihak yang berwajib akan membuat siasatan yang adil dan bijaksana.

Saya terus mendoakan saudara dan hadapilah isu ini dengan tabah. Insya’Allah saudara akan berjaya melepasi dugaan ini. — aspanaliasnet.blogspot.com

http://www.kl-today.com/2011/10/saya-doakan-saudara-aziz-bari-selalu/

SIKAP TIDAK KONSISTEN PADA INSTITUSI RAJA

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 30TH, 2011

Idzuafi Hadi Kamilan

Penulis kali ini mengambil pendirian yang cukup berhati-hati untuk menulis isu ini setelah apa yang berlaku terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari apabila teguran beliau di dalam Malaysiakini dilihat sebagai mengaibkan dan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.Ini mengenai titah Tuanku berhubung serbuan yang dibuat terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Justeru, penulis memulakan pandangan ini berdasarkan pendekatan historis dan perbandingan di mana merujuk apa yang telah tertulis di dalam Hansard Parlimen supaya tulisan ini berautoriti dan dilihat dan diangkat sebagai pandangan akademik semata-mata berdasarkan rujukan penulis sahaja.

Pelbagai konotasi ditimbulkan khususnya di meja Utusan Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) apabila Aziz Bari menerangkan kenyataannya.

Apa yang ditimbulkan Utusan Malaysia, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seangkatan dengannya menyebabkan penulis merujuk kembali Penyata Rasmi parlimen pada tanggal 18 Januari 1993.

Ketika itu Dr Mahathir membentangkan Pindaan Perlembagaan berhubung kekebalan Raja-raja yang membawa kepada peruntukan pindaan perlembagaan terhadap Perkara 181 (2) di mana immuniti raja-raja ditarik balik dan raja/sultan boleh dibawa dan dibicarakan di Mahkamah Khas sesuai dengan peruntukan baru yang digubal dalam Perkara 183.

Ketika mana bacaan kali kedua dibentangkan ini, Dr Mahathir telah berhujah ketika membentangkan rang pindaan tersebut dengan katanya ‘menegur dan mengkritik Raja kita tidak bermakna ia akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu’.

Media massa serang institusi Raja

Walau pun begitu serangan-serangan terhadap institusi Raja-raja telah pun di palu beberapa bulan sebelum itu dengan media massa memainkan peranan yang penting.

Ketika itu segala-galanya seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk mengkritik Raja-raja Melayu jauh lebih berat tentang apa yang diungkap Aziz Bari ketika ini.

Menyorot kembali lapan tahun (1984) sebelum itu, apabila Karpal Singh cuba membawa isu yang sama dalam dewan Parlimen berhubung salah laku seorang Sultan di Malaysia. Beliau telah dikenakan tatatertib dan tidak dibenarkan hadir ke Parlimen sehingga akhir sesi.

Justeru, diposisi mana kerajaan pemerintah berpihak sebenarnya? Mengangkat dan mempertahankan Raja-raja Melayu atau memalukannya?

Jika dilihat berdasarkan kronologi sejarah, Sultan hanya diangkat dan dipertahankan apabila terdapatnya merit terhadap kerajaan pemerintah.

Aziz Bari tidak perlu diperkenalkan lagi apabila menyebut tentang Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang menulis tesis PhDnya di Birmingham University bertajuk ‘The Development and Role of Constitutional Monarchy’ (1996) dan sudah menulis hampir 200 artikel journal dan kertas kerja berhubung Perlembagaan Malaysia pastinya arif dengan bidang kepakaran beliau.

Namun, kenyataan beliau menjadi kontroversi apabila disanggah beberapa orang yang tidak ‘cerdik’ berhubung komentar beliau mengenai titah Sultan Selangor mengenai serbuan terhadap DUMC.

Kenyataan Aziz Bari

Apa yang diungkap Aziz Bari bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam. Selain itu, beliau dilihat cuba menyatakan tindakan Sultan ini tidak konsisten.

Jarang sekali kita melihat Yang Dipertuan Agong, Raja atau Sultan mengeluarkan kenyataan begitu spesifik berhubung sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Kebiasaannya kenyataan Raja atau Sultan hanya dilihat ketika pembukaan Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di mana kebiasaannya teks itu disediakan kerajaan yang memerintah.

Justeru, bila baginda bertitah terhadap sesuatu isu yang spesifik itu walaupun baginda mempunyai hak namun itu yang dikatakan sesuatu tindakan yang tidak lazim.

Namun persoalannya sama ada kenyataan beliau (Aziz Bari) terhadap titah Sultan boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang boleh dilihat dan dirungkai sepertimana di bawah iaitu:

Kecenderungan menghasut dikatakan apabila Seksyen 3 di dalam Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa seseorang boleh didakwa apabila ada kecenderungan (a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan atau (d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri.

Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ini, maka seharusnya ia juga perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan di mana dakwaan terhadap seseorang itu hanya boleh disabitkan ke atas beliau jika sekiranya ia menganjurkan atau membangkitkan perasaan ke arah penghapusan institusi Raja-raja.

Justeru, ia bermaksud jika warganegara itu cuba menyarankan atau membuat apa-apa tindakan ke arah ingin menghapuskan sistem beraja maka Seksyen 3, Akta Hasutan harus dikena pakai ke atasnya.

Bagi pandangan penulis, tidak salah beliau memberikan komentar sesuai dengan bidang kepakaran beliau. Pada masa yang sama harus kita ingat kita tidak lagi berada di dalam kekuasaan raja yang berkuasa mutlak sepertimana di ungkap oleh Sir Robert Filmer dalam Patriarcha ‘Natural Power of a King’ (1680).

Malahan kita harus menerima kita hidup di dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokratik yang dihujahkan John Locke dalam ‘Two Treatises of Government’ yang juga pengkritik hebat buku Filmer tersebut.

Kuasa Raja

John Locke berhujah dalam keadaan di mana sistem demokratik mengambil alih tanggungjawab kerajaan daripada sebuah sistem pemerintahan feudal maka rakyat juga seolah-olah telah menyerahkan hak untuk memerintah dan diperintah di bawah sistem demokrasi. Oleh itu, kuasa Raja telah dilimitasikan dengan cara sebegitu.

Jika dirujuk kenyataan Aziz Bari itu dengan apa yang dilakukan kerajaan pemerintah ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993 itu lebih teruk namun tiada siapa peduli institusi raja pada ketika itu.

Ini kerana menurut Prof. Mark R. Gillen dalam artikelnya yang bertajuk ’The Malay Rulers’ Loss of Immunity’ menyebut kerajaan pemerintah ketika itu parti yang sedang mendapat sokongan rakyat yang majoritinya Melayu menunjukkan sokongan bertambah dari rakyatnya khususnya apabila berhadapan isu yang melibatkan Sultan dan raja Melayu.Oleh itu, segenap lapisan masyarakat hampir dikatakan menyokong tindakan Barisan Nasional ketika itu. Namun apa yang pasti, berdasarkan pemerhatian Gillen, salah perkiraan pada tahun 1993 akan menghilangkan undi masyarakat Melayu memandangkan institusi Raja dekat dihati rakyat.

Oleh itu apabila fenomena ‘Aziz Bari’ berlaku sekali lagi berkemungkinan mereka mengharapkan sokongan majoriti orang Melayu terhadap apa yang pernah dilakukan mereka walau pun keadaan telah terbalik 360 darjah di mana jika tahun 1993 mereka menghapuskan kekebalan raja-raja, kali ini tahun 2011 mereka bermati-matian menyokong dan melindungi institusi tersebut.

Untunglah Raja-raja kita, kita mempunyai rakyat sedemikian rupa……

*Penulis ialah seorang calon doktor falsafah di Fakulti Undang-Undang UKM dan juga Setiausaha Grup Peguam Abim.

http://www.kl-today.com/2011/10/sikap-tidak-konsisten-pada-institusi-raja/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...