Thursday, January 22, 2009

Pengundi wanita KT tolak BN...




Muda Mohd Noor Jan 22, 09 11:21am



Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Wan Ahmad berkata, beliau merasa bimbang kerana ramai pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, mereka menyatakan perkara itu secara terbuka kepada perayu undi Wanita Umno sewaktu berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu.


Menurutnya, lebih mengejutkan lagi kerana mereka adalah penyokong Umno dan mengundi parti itu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini.

"Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian, tetapi perayu undi ada memberitahu, mereka kecewa dengan apa yang berlaku dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

"Mereka mengadu tidak puas hati dengan pemilihan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Mereka kata, tiada calon BN lainkah, asyik-asyik anak Datuk Wan Salleh...

"Ini kerana dalam pilihanraya umum lalu, abangnya, Datuk Wan Hisham telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Hisham tewas kepada calon PAS, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam pilihanraya umum lalu.

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Tidak dapat sambutan


Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Wan Ramlah juga berkata, ramai pengundi wanita juga mengadu mereka tidak senang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.


Bagaimanapun, beliau tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ramlah mengakui kempen Wanita Umno tidak mendapat sambutan.

"Kami jangka 15 orang hadir tetapi sekadar dua atau tiga orang sahaja.

"Mereka beri alasan masing-masing sibuk dengan tugas harian.

"Saya tidak tahu salah siapa tetapi Wanita Umno bahagian Kuala Terengganu tidak bekerja sebagaimana sepatutnya,"
katanya.

Kempen jentera Wanita Umno untuk pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu diketuai oleh ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz.

http://www1.malaysiakini.com/news/96947

Umno Raub: Guru didakwa terbabit politik wang

Jan 22, 09 2:15pm

Seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.

Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua ahli Umno - Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad, masing-masing RM200 - sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai timbalan ketua Umno bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada jam 8 malam, 13 September 2008, lapor Bernama.

Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah.

Bagaimanapun peguambela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

Serah pasport

Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.

Di Ipoh, Naib Ketua Umno bahagian Beruas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM300 kepada seorang anggota parti itu pada pemilihan Umno bahagian Oktober lepas.

Tertuduh Azman Noh, 42, yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Oktober lepas
di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar dekat Ipoh kira-kira 12 tengah malam.

Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Umno dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua Umno pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Oktober lepas.

Ikat jami RM10,000

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000.

Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.

Peguam berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa oleh kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kepada pihak pendakwaan dan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Penduduk tempatan juga tidak mempunyai bukti tertuduh akan boleh melarikan diri dan semenjak disiasat tidak ada bukti tertuduh cuba mengganggu saksi," katanya.

Peguam turut memberitahu mahkamah, tertuduh mula dipanggil untuk membantu siasatan pada 6 November lepas dan pada Selasa lepas tertuduh sekali lagi dipanggil untuk tujuan yang sama dan sejurus selepas memberi keterangan pada hari tersebut tertuduh ditahan.

Azhaniz Teh juga menetapkan 1, 2 dan 3 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Azman yang mempunyai lima orang anak berusia dua hingga 16 tahun dan seorang isteri yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan itu didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.


http://www1.malaysiakini.com/news/96961

Kontraktor dituduh beri rasuah pemilihan Umno

Jan 22, 09 3:58pm

Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan ketua Umno bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.

Johari Ibrahim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai ketua bahagian berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar, lapor Bernama.

Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


http://www1.malaysiakini.com/news/96976

Khir Toyo dakwa ada bukti terhadap MB S'gor



Jimadie Shah Othman Jan 22, 09 1:00pm


Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

"Kita kesal dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu bahawa lembu dihantar ke kawasan itu (Bandar Tun Razak), dan tidak ada arahan berhubung pembayaran RM110,400 itu.
"Sebenarnya kita ada bukti dokumen yang menyatakan arahan (telah) dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Umno Selangor di Shah Alam, pagi tadi.

Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

‘Arahan bayaran’

Abdul Khalid juga dilaporkan berkata, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).


Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Mohd Khir berkata, surat tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri berhubung pengedaran lembu korban kepada surau, madrasah dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak.

Surat tersebut ditandatangani oleh ketua setiausaha kepada menteri besar dan di alamat kepada pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Surat itu bertarikh 27 November tahun lalu. Catatan bertulis tangan berkenaan arahan supaya bayaran itu dibuat pula bertarikh sehari selepas itu.

Catatan itu, juga diakhiri dengan tandatangan di penjuru kanan bawah surat berkenaan.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga mempunyai salinan invois dan resit pembayaran bagi pembelian lembu-lembu korban tersebut.

Menurut beliau, resit pembayaran pula bertarikh 16 Disember tahun lalu, katanya,

Minta MB kosong jawatan

Beliau turut menunjukkan surat tersebut kepada wartawan. Bagaimanapun tiada salinan diedarkan kepada media.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau menerima dokumen tersebut melalui pos dua hari lalu.

Sehubungan itu, Dr Mohd Khir menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai sebuah "penipuan, pembohongan, dolak-dalik" serta bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat bahawa mereka akan memastikan ketelusan dalam kerajaan di bawah pentadbirannya.

"Saya tak nampak ini ketelusan, ini ketipuan (penipuan)," katanya sambil menambah perkara yang sama berlaku berhubung kos pembelian kereta Toyoto Camry oleh kerajaan negeri bulan lalu.

Dr Mohd Khir, bagaimanapun berkata, Umno Selangor tidak perlu lagi tampil membuat laporan kerana laporan yang dibuat telah cukup, setelah Gerak tampil mengemukakan aduan yang sama kepada SPRM semalam.

Dr Mohd Khir berkata, beliau juga difahamkan suruhanjaya tersebut telah menggeledah pejabat menteri besar dan pejabat PKNS dua hari lalu.

Sehubungan itu, beliau mendesak Abdul Khalid mengosongkan kerusi menteri besar sehingga selesai siasatan.

Bercakap lanjut mengenai ketelusan dalam pentadbiran, beliau turut menempelak kerajaan negeri yang didakwanya masih tidak mengamalkan tender terbuka berhubung projek-projek pihak berkuasa tempatan.

Sebagai bukti, beliau berkata, tiada iklan dibuat dalam akhbar-akhbar arus perdana berhubung perkara itu.


http://www1.malaysiakini.com/news/96956

Razali juga akui Umno kurang mesra rakyat...


Muda Mohd Noor Jan 22, 09 2:54pm

Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Razali Ibrahim mengakui bahawa pemimpin Umno kini kurang mesra dengan rakyat sehingga menimbulkan tanggapan bahawa parti itu tidak mesra rakyat.

Menurutnya, ia berlaku kerana suasana perjuangan dan tuntutan hari ini telah berbeza daripada dahulu.

Oleh itu, katanya, pemimpin Umno perlu kerap mendampingi rakyat, bukan sahaja untuk bertemu muka tetapi menyampaikan maklumat kepada mereka.

“Mereka juga perlu merendah diri, tidak sombong dan ikhlas, dan keikhlasan itu perlu dicerminkan,” katanya.

Razali yang juga calon jawatan naib ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Umno Mac depan, menyifatkan dakwaan bahawa Umno sudah hilang tarikan, sebagai propaganda pihak tertentu sahaja.

Katanya, Umno menyediakan pelbagai keperluan untuk orang muda tetapi mereka mungkin tidak menyedarinya.

“Tetapi kita perlu mencari jalan untuk memastikan mereka tetap bersama Umno,” katanya.

Daya tarikan

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemimpin Umno kurang mesra dengan pengundi.

Manakala, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, parti itu telah hilang daya penarik terutamanya di kalangan orang muda.

Kedua-dua mereka berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu.

Sementara itu, exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron berkata, Umno hilang daya tarikan di kalangan rakyat kerana masih terikat dengan cara lama.

Ini bermakna, katanya, pemimpin Umno perlu berubah mengikut keperluan semasa.

“Umpamanya, untuk membuat sesuatu keputusan, ia perlu mengambil kira pandangan dari semua pihak.

“Kalau hendak memilih calon, mestilah mengambil kira kehendak pengundi di kawasan terbabit,” kata beliau yang juga timbalan menteri pengajian tinggi.

Mengenai pemimpin Umno yang dikatakan kurang mesra, Idris berkata, pemimpin akar umbi perlu lebih mesra dengan masyarakat di kawasannya.

Katanya, jika pemimpin mesra rakyat, mereka sekaligus melihat Umno sebagai parti yang mesra rakyat.

http://www1.malaysiakini.com/news/96971

MB S'gor akan beri kerjasama


Jan 21, 09 7:52pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tentang pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji diperingkat kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bagi 46 surau dan masjid di kawasan tersebut.

Kenyataan pejabat menteri besar hari ini berkata, kerajaan negeri sentiasa berpegah teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawaban secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

Oleh itu, katanya, menteri besar peka kepada tuduhan yang dilempar oleh sesetengah pihak berhubung pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji tersebut.

Pagi, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Sehubungan itu, kenyataan itu berkata:"Menteri besar ingin menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban untuk Bandar Tun Razak," kata kenyataan itu lagi.

"Sebaliknya, lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)," kata kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, adalah difahamkan syarikat-syarikat berkenaan telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi Bandar Tun Razak atas dasar tanggungjawab sosial korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri.

"Malah, menteri besar juga tidak tahu menahu syarikat mana yang terlibat. Perlu ditegaskan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat Selangor.

"Dalam pada itu kerajaan negeri berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang adil dan tidak pengaruhi oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda politik yang tersembunyi.

"Menteri Besar akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," tambahnya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96938

Laporan rasuah terhadap MB S'gor


Rahmah Ghazali Jan 21, 09 1:09pm

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid telah menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam aduannya, Mohd Nazree mendakwa Abdul Khalid telah membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak itu juga mendakwa, mereka menerima dokumen minggu lagi dari seorang individu yang bekerja dengan agensi kerajaan negeri terbabit - Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd.

Aduannya diterima oleh Pengerusi SPRM SElangor, Mohd Shamsuddin Yusof di Plaza Masalam, Shah Alam pada jam 10.45 pagi.

Sementara itu, Abdul Khalid menafikan dakwaan Gerak tersebut.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, Abdul Khalid menjelaskan bahawa lembu tersebut sebenarnya disumbangkan oleh sebuah syarikat milik agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

Katanya, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).


http://www1.malaysiakini.com/news/96885

S'gor tubuh j/kuasa tangani pemberhentian pekerja


Jan 22, 09 11:09am

Kerajaan Selangor bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menangani masalah pemberhentian pekerja akibat kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Persetujuan untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut diputuskan dalam mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri Selangor semalam.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dianggotai semua ahli exco kerajaan negeri.

Ia juga akan turut dianggotai ahli lembaga Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), pengarah sumber manusia dan pengarah kebajikan di Selangor.

Manakala Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) akan bertindak sebagai sekretariatnya.

"Kerajaan negeri juga akan menjemput ahli-ahli tertentu dalam Majlis Perniagaan Selangor untuk menganggotai jawatankuasa ini," kata kenyataan pejabat menteri besar Selangor semalam.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan mengadakan perjumpaan setiap minggu mulai 30 Januari ini bagi membincangkan cara-cara mengatasi masalah pemberhentian pekerja di Selangor.

"Skop utama perbincangan termasuklah kajian terperinci situasi pemberhentian pekerja di Selangor, merangka langkah-langkah bantuan bagi setiap pekerja di Selangor serta mendapatkan penyelesaian, termasuk bantuan latihan, bantuan kewangan dan peluang-peluang perniagaan di Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor berharap, dengan adanya jawatankuasa ini, akan dapat sedikit sebanyak membantu setiap pekerja di Selangor yang telah diberhentikan bagi mencari alternaif baru dalam meneruskan kehidupan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96946

Pengecualian enam bulan kepada majikan bayar levi

Jan 22, 09 12:03pm

Para majikan dalam industri tekstil and elektrik akan dikecualikan dari membayar levi pembangunan sumber manusia bagi tempoh enam bulan ke atas sektor itu berkuat kuasa 1 Februari.

Langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan masing-masing memandangkan krisis ekonomi global sekarang ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan pelaksanaan langkah kerajaan itu, para majikan dijangka dapat menjimatkan antara RM30 juta dan RM40 juta," katanya, lapor Bernama.

Bagi tempoh enam bulan, katanya jumlah levi pembangunan sumber manusia yang akan diecualikan bagi indfustri tekstil ialah RM2.68 juta dan RM30.57 juta bagi industri elektronik dan elektrik.

Beliau berkata pengecualian itu membabitkan 1,234 majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di bawah kementerian itu, yang terdiri

daripada 325 majikan di dalam industri tekstil dan 909 majikan di dalam industri elektronik dan elektrik.

"Ini merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu para majikan pada masa sukar ini," katanya.

Pengecualian itu diberikan berikutan kemerosotan berterusan permintaan yang memberi kesan buruk ke atas kedua-dua industri itu, katanya.

"Walau pun levi itu dikecualikan mulai Februari 2009 hingga Julai 2009, para majikan di kedua-dua industri itu digalakkan terus menghantar para pekerja masing-masing bagi mengikuti latihan dan menggunakan levi masing-masing di dalam akaun masing-masing," katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan sebelum ini mengecualikan sepenuhnya atau sebahagian pembayaran levi dalam tiga keadaan ialah krisis kewangan Asia 1998 (levi dikecualikan antara enam bulan hingga 18 bulan); kelembapan ekonomi pada 2001 (levi dikecualikan bagi kesemua sektor); dan Perang Iraq dan wabak SARS pada 2003 (bagi agensi hotel dan pengembaraan bagi tempoh enam bulan).

Katanya kerajaan akan terus memantau pertumbuhan kedua-dua industri berasaskan Indeks Pengeluaran Perindustrian bulanan dan menyemak semula keadaan pada akhir tempoh enam bulan itu.

"Jika keadaan berterusan, pengecualian seterusnya akan dipertimbangkan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96953

Zahidi: Rakyat muak dengan Umno...


Muda Mohd Noor Jan 21, 09 5:10pm

Rakyat, khususnya orang Melayu, kini muak dengan Umno kerana parti itu gagal menyelesaikan masalah dalamannya sehingga gagal memainkan peranan membantu orang Melayu, kata .
Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abdin.

Katanya, keadaan itu mendorong orang Melayu mengalihkan sokongan kepada pembangkang, terutama PAS dan PKR.

"Orang ramai kini melihat Umno sedang menghadapi pelbagai masalah,bukan sahaja di peringkat bahagian, tetapi juga di peringkat badan perhubungan.

"Berbanding dengan parti pembangkang, mereka bertindak menyelesaikan masalah mereka dengan segera.

"Oleh kerana itu, mereka lebih percaya kepada pembangkang sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu Sabtu lalu," katanya.

Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tidak yakin Umno

Wan Ahmad Farid kalah kepada calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Ketika mengulas kekalahan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin Umno kurang mesra rakyat.

Manakala Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, Umno sudah kehilangan daya penarik khususnya kepada pengundi muda.

Mengulasnya, Zahidi yang juga ketua Umno bahagian Padang Besar, Perlis berkata, apa yang berlaku sekarang ialah rakyat telah kurang keyakinan kepada Umno untuk menyelesaikan masalah mereka.

Tarik sokongan Melayu

"Bukan kerana pemimpin tidak mesra. Tetapi masalah dalaman ini tidak pernah selesai... bayangkan masalah semasa pilihanraya umum lalu belum selesai, begitu juga dengan masalah yang berlaku dalam mesyuarat perwakilan bahagian November lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus berkata, Umno perlu memikirkan bagaimana untuk menarik semula sokongan orang Melayu dalam pilihanraya umum akan datang.

Kini, katanya, orang Melayu tertanya-tanya adakah Umno telah melakukan yang terbaik untuk mereka.

"Jika kita tidak melakukan apa-apa untuk menarik sokongan Melayu, tidak mustahil kita akan kalah lebih teruk dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

Syukur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Selangor berkata, ahli Umno perlu mengukur diri adakah mereka benar-benar melakukan yang terbaik untuk parti.

Katanya, kalau mereka gagal menyakinkan orang Melayu, bagaimana mereka hendak menyokong Umno.


http://www1.malaysiakini.com/news/96930

Peguam Sirul pohon kenyataan beramaran

Jan 21, 09 7:22pm

Peguam yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini agar diberikan akses kepada kenyataan beramaran yang direkodkan DSP Musa Safri.

Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar semasa mengemukakan permohonan itu berkata kenyataan beramaran yang direkodkan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah itu penting bagi pasukan pembelaan untuk menyediakan pembelaan.

Beliau berkata Musa merupakan saksi penting untuk menyangkal afidavit Abdul Razak Abdullah Baginda dan keterangan penyangkalan itu hanya boleh dibuat oleh Musa tetapi pihak pendakwaan tidak memanggilnya untuk memberikan keterangan sebagai saksi, lapor Bernama.

"Pihak pendakwa akan berhujah yang kami boleh menemubual DSP Musa tetapi sekadar menemubual adalah tidak bernilai jika kami tidak tahu apa yang dia telah kata kepada polis. Dengan itu, pasukan pembelaan tidak mempunyai keterangan yang menyeluruh," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup membantah permohonan Kamarul Hisham.

Kenyataan beramaran merupakan dokumen dilindungi, katanya.

"Kami telah menawarkan saksi dan beliau bebas untuk ditemu bual. Pihak pembelaan berhujah yang mereka tidak mendapat keterangan menyeluruh kerana mereka tidak mempunyai dokumen itu tetapi mereka sebenarnya boleh bertanya kepada saksi sama ada dia ada membuat kenyataan yang serupa kepada polis.

Mahkamah putus esok

"Sehingga kini kami tidak tahu apakah pentingnya kenyataan itu kepada tertuduh.

"Kenyataan itu adalah berkaitan dengan tertuduh ketiga (Razak). Tertuduh kedua tidak mungkin disebut dalam afidavit itu selain tertuduh ketiga menyatakan dia tidak kenal tertuduh kedua," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata mahkamah akan memutuskan esok sama ada akan memerintahkan pihak pendakwaan membekalkan salinan kenyataan beramaran itu kepada pihak pembelaan.

Kamarul Hisham sebelum itu itu berkata dokumen itu bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan kenyataan Sirul Azhar yang akan diberikan dari kandang saksi.

Mengenai permohonan Kamarul Hisham bagi rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diperoleh pihak pendakwaan semasa penyiasatan tetapi tidak dikemukakan di mahkamah, Manoj berkata:

"Bagi pihak kami, kami telah membekalkannya. Apa yang kami ada ialah berkaitan log. Kami juga telah menyerahkan rekod SMS berkaitan Rohaniza, Sirul, Azilah, DSP Musa dan mangsa."

Selepas mendengar keterangan itu, Kamarul Hisham menggugurkan permohonannya.

Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Sirul Azhar, 36, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja antara 10 malam, 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya.

Pada 31 Oktober tahun lepas, mahkamah membebaskan dan melepaskan Abdul Razak, 48, daripada pertuduhan bersubahat dengan mereka di Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi 18 Oktober 2006 dan jam 9.45 malam hari berikutnya tanpa memanggilnya membela diri.


http://www1.malaysiakini.com/news/96936

Ahamad Kuris hadapi tuduhan rasuah


Jan 21, 09 1:00pm

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih di Selangor, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM30,000.

Beliau juga dituduh meminta rasuah wang tunai RM170,000 dari seorang kontraktor, dua tahun yang lalu.

Ahamad Kuris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang untuk tiga pertuduhan pertama dan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Bagi pertuduhan pertama, Ahamad Kuris, 52, didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh satu suapan wang tunai sebanyak RM170,000 dari Azlan Ahmad Marshid iaitu pemilik syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja pembinaan jalan keluar-masuk 30meter Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd di No 10A, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, pada jam 11.53 pagi 26 Feb 2007.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM20,000 dari individu yang sama, dengan tujuan yang sama, di Pejabat Umno bahagian Ulu Langat, Tingkat 2, Bangunan Umno, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima rasuah RM5,000 dari individu yang sama dengan tujuan yang sama, pada 12.30 tengahari 17 Ogos 2007.

Untuk kesemua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tuduhan alternatif

Bagi pertuduhan alternatif untuk tuduhan kedua, beliau didakwa dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM20,000 milik Umno bahagian Hulu Langat, di Pejabat Umno Bahagian Ulu Langat Tingkat 2, Bangunan Umno Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, pada jam 12.30 tengahari 11 Mei 2007.

Bagi pertuduhan alternatif bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menyalahgunakan wang tunai RM5,000 milik Umno Bahagian Ulu Langat, di tempat yang sama, pada 12.30 tengahari, 17 Ogos 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, beliau turut mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada individu yang sama dalam membuat bayaran kad kreditnya dengan tujuan yang sama, di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, 100 Jalan Tun Perak, pada 27 Februari 2007.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuamn penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rosbiahanin Arifin membenarkan Ahamad Kuris diikat jamin dengan jumlah yang sama seperti ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Nuradidah Ahmad, iaitu RM35,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah untuk membenarkan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibicarakan bersama-sama dengan kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

Bagaimanapun, peguambela Akbardin Abdul Kadir tidak membantah.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula bagi kesemua kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

http://www1.malaysiakini.com/news/96883

BN tidak selamat walaupun di kerusi sendiri...


Muda Mohd Noor Jan 21, 09 3:15pm

Analisa Kekalahan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu lalu menunjukkan kedudukan BN tidak lagi selamat walaupun di kerusi sendiri.

Ia juga menunjukkan, calon yang memegang jawatan timbalan menteri dan ketua Umno bahagian sekalipun, tidak semestinya menang dalam pilihanraya.

Wan Ahmad Farid kalah kepada Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 30,252 undi manakala lawannya itu mendapat 32,883 undi.

Manakala calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam hanya mendapat 193 undi dan sekaligus hilang wang pertaruhan.

Namun kekalahan tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejak awal lagi beliau bukanlah pilihan terbaik untuk bertanding kerusi parlimen tersebut.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti 628 undi ke atas calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas.

Pemilihan Wan Ahmad Farid dikatakan atas kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana beliau pernah menjadi setiausaha politiknya.

Ditolak pengundi muda


Ada pemimpin Umno bahagian sendiri sejak awal-awal lagi menyerang peribadinya sehingga menjadi isu utama pembangkang dalam kempen pilihanraya tersebut.

Faktor calon ini telah menjadi faktor utama kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Di sana sini para pengundi bercakap mengenai sikapnya sehingga dikatakan telah mempengaruhi pengundi untuk menolaknya.

Tetapi kekalahan BN bukan sahaja disebabkan oleh faktor calon, tetapi terdapat banyak faktor lagi.

Strategi politik pembangunan yang dicanangkan sepanjang kempen pilihanraya kecil tersebut juga tidak menjadi, malah ditolak oleh pengundi muda.

Projek pembangunan besar-besaran yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak nampaknya tidak berkesan kepada lebih 80,000 pengundi di Kuala Terengganu.

Mungkin mereka sudah muak dengan pembangunan segera yang hanya tiba ketika musim pilihanraya. Golongan muda dan cerdik pandai dikatakan tidak boleh menerima sogokan sedemikian rupa.

Golongan muda mahu pembangunan jangka panjang secara tersusun termasuk peluang pekerjaan untuk mereka.

Ezam turut berkempen

Ramai golongan muda di Kuala Terengganu, termasuk lulusan pengajian tinggi, mengeluh mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Agak menghairankan ceramah pemimpin BN termasuk Najib sendiri, kurang mendapat sambutan berbanding ceramah pemimpin pembangkang, khususnya ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kehadiran pemimpin lain BN seperti Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, juga tidak memberi kesan langsung kepada BN.

Khairy sendiri umpamanya tidak segarang ketika berkempen dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.

Barangkali orang yang paling menonjol menyerang pembangkang tidak lain tidak bukan ialah bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor.

Beliau datang menyerang Anwar sebagaimana di Permatang Pauh, tetapi kali ini beliau mendedahkan sepucuk surat yang didakwanya surat damai Anwar kepada mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ezam mendedahkan surat tersebut kononnya untuk menunjukkan sikap hipokrit Anwar iaitu memuji Dr Mahathir pada waktu siang tetapi memaki hamun pada malam hari.

Isu digemari pengundi

Ceramah-ceramah terbuka oleh pemimpin BN hanya dihadiri 100 hingga 200 orang sahaja. Malah sebahagiannya adalah petugas parti yang datang dari luar Terengganu.

Berbeza dengan ceramah pembangkang, khususnya cearmah Anwar, yang dihadiri oleh ribuan orang, khususnya golongan muda.

Anwar juga berjaya membawa isu yang digemari pengundi iaitu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, pembelian kapal selam dan Eurocopter.

Isu-isu tersebut sedikit sebanyak berjaya menarik pengundi untuk mendekati PAS dan menjadikan ceramah-ceramah BN hambar dan sunyi.

PAS pula berulangkali memainkan isu pembaziran kerajaan negeri melalui projek Piala Monsun, Taman Tamadun Islam dan sebagainya.

Isu royalti minyak juga ditengahkan oleh pembangkang, khsususnya PAS, menarik minat sebahagian pengundi Kuala Terengganu.

Majoriti 2,631 undi yang diperolehi Abdul Wahid menunjukkan bahawa BN tidak lagi selamat di tempatnya sendiri.

Jika sesuatu tidak dilakukan segera, ada kemungkinan banyak lagi kawasan lain akan jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam pilihanraya umum lalu, lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan pembangkang.

http://www1.malaysiakini.com/news/96901

Najib: BN kalah di KT kerana kurang mesra rakyat...

Jan 20, 09 6:02pm

Imej negatif Umno dan sikap sesetengah pemimpinnya yang kurang mesra di mata rakyat, merupakan antara punca kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu minggu lalu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno perlu mengubah budaya dan imejnya agar disenangi oleh rakyat, lapor Bernama.

"Pemimpin Umno di semua peringkat Umno mesti menunjukkan imej positif dan mesra rakyat," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan dokumen perjanjian bagi penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya.

Semalam Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno memerlukan faktor "wow" untuk memikat semula hati rakyat berikutan kekalahan calonnya dalam pilihanraya kecil itu.

Najib berkata rakyat menilai Umno berdasarkan hubungan mereka dengan pemimpin Umno di semua peringkat.


http://www1.malaysiakini.com/news/96851

Analisis P036: Perkukuh agama jadi isu terpenting


Hudud hanya mampu pengaruhi minat satu setengah dari jumlah responden pengundi Cina

20 Jan 2009 4:30PM
Oleh Faisal Mustaffa


DARIPADA pelbagai isu yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN), komitmen dalam perkukuhan Islam menjadi isu penting dalam menentukan undi.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh sebuah badan bebas, Merdeka Centre, 26% daripada responden merasakan isu perkukuhan Islam menjadi keutamaan. Selain itu, responden yang terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu merasakan pengawalan inflasi (21%) dan membawa pembangunan berterusan (16%) memberi sedikit sebanyak mempengaruhi pengundian mereka.

Penyelidikan yang dijalankan di antara 7-11 Januari 2009 berpendapat 53% pengundi cina mahukan kerajaan baru member layanan yang lebih adil kepada kaum lain dan 18% daripada mereka merasakan membendung rasuah juga perkara yang mustahak.

Namun, penyelidikan tersebut mendapati peratusan berbelah-bahagi (50%) dalam mendapatkan pendapat mengenai kerajaan Negeri Terengganu sekarang yang menuju ke arah landasan yang betul.

Motivasi Undi

Dalam mengorek pendapat pengundi mengenai faktor-faktor yang memberi refleksi pengundian mereka, majoriti (77%) berpendapat kualiti calon menjadi perkara pokok. Motivasi lain mempengaruhi pengundi ialah isu semasa (55%) dan kebolehan parti yang bertanding (67%).

Daripada jumlah isu semasa, pengundi cina lebih cenderung kepada faktor layanan adil kepada kaum bukan Bumiputera. Mereka yakin dan bersetuju (75%) bahawa dengan mengundi calon selain daripada BN member isyarat kepada BN yang memegang pemerintahan sekarang.

Dalam soalan lain, pengundi Cina (56%) dan Melayu (46%) bersetju bahawa dengan mengundi pihak alternative boleh memperbetulkan sikap BN selama ini.

Mengenai pelaksanaan hukum Hudud, perkara tersebut hanya mampu mempengaruhi minat satu setengah daripada jumlah responden pengundi Cina. Daripada jumlah tersebut, hanya 18% daripada mereka yang ditemuduga merasakan pelaksanaan Hukum Islam itu mustahak manakala 32% yang lainnya merasaka ianya ‘agak penting’.

Bagi pengundi Melayu pula, perkara yang berhubung dengan kuasa politik Melayu tidak menjadi perkara pokok. Hanya 17% daripada pengundi Melayu merasakan “kuasa politik Melayu dilemahkan oleh desakan kaum bukan-Melayu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu” malah 74% pengundi Melayu merasakan kuasa politik Melayu dilemahkan oleh sikap pemimpin yang makan rasuah dan mementingkan diri sendiri.

Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan bebas mengadakan penyelidikan menerusi temuduga melalui telefon terhadap 527 responden yang merupakan lengundi berdaftar di Parlimen P036 Kuala Terengganu. Responden terdiri daripada 408 Melayu dan 119 Cina.

Pemilihan dibuat secara rawak berdasarkan kepada sifat rawak terpilih yang mana faktor bangsa, jantina dan kawasan mengundi.

http://www.klpos.com/news/2009/01/20/1.html

Politik wang Umno: Naib Ketua Beruas, guru antara 3 didakwa




Khamis Januari 22, 2009


KETUA Umno cawangan Kampung Panchor, Johari Ibrahim (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah pada 1 Nov lepas. Johari, 46, dituduh mengikut Seksyen 10 (b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. -fotoBERNAMA




PENOLONG Kanan sekolah rendah di Raub Pahang, Junaidi Abdul Hamid (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan UMNO Bahagian Raub. -fotoBERNAMA




AZMAN NOH (tengah) berbual dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pekarangan Mahkamah Sesyen Ipoh pagi tadi. -foto The Star oleh SAIFUL BAHRI





PETALING JAYA: Tiga orang termasuk Naib Ketua Umno Beruas, Perak dan seorang kontraktor berusia 46 tahun didakwa pagi ini berhubung politik wang ketika pemilihan Umno Bahagian tahun lalu.


Di KUALA LUMPUR, seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di ibu negara hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.


Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua anggota Umno, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad masingmasing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub.


Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan keduadua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada pukul 8 malam, 13 Sept 2008.


Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.


Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk keduadua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah.


Bagaimanapun peguam bela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.


Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.


Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.


Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.


Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.


KETUA UMNO BERUAS


Di IPOH, Naib Ketua Umno Bahagian Beruas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM300 kepada seorang anggota parti itu pada pemilihan Umno bahagian Oktober lepas.


Tertuduh Azman Noh, 42, yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Oktober lepas di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar dekat sini kira-kira 12 tengah malam.


Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Umno dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua Umno pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Okt lepas.


Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000.


Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.


Peguam berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa oleh kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kepada pihak pendakwaan dan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.


"Penduduk tempatan juga tidak mempunyai bukti tertuduh akan boleh melarikan diri dan semenjak disiasat tidak ada bukti tertuduh cuba mengganggu saksi," katanya.


Peguam turut memberitahu mahkamah, tertuduh mula dipanggil untuk membantu siasatan pada 6 November lepas dan pada Selasa lepas tertuduh sekali lagi dipanggil untuk tujuan yang sama dan sejurus selepas memberi keterangan pada hari tersebut tertuduh ditahan.


Azhaniz Teh juga menetapkan 1, 2 dan 3 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.


Azman yang mempunyai lima orang anak berusia dua hingga 16 tahun dan seorang isteri yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan itu didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.


Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.


KONTRAKTOR


Di MELAKA, seorang kontraktor juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang wanita semasa pemilihan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah pada 1 November lepas.


Johari Ibrahim, 46, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal. Alor Gajah, dituduh memberi suapan itu kepada Nadiah Roslan sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Abdul Kadir Daud sebagai Ketua Bahagian berkenaan.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 tengah hari di perkarangan dewan Institut Latihan Perindustrian, Selandar.


Johari, yang juga Ketua Umno cawangan Kampung Panchor dan bekas pegawai seranta Perbadanan Ayer Melaka (PAM), dituduh mengikut Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16, Akta yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 14 hari atau tidak lebih 20 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau sehingga RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.


Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menetapkan empat hari bermula 18 Mei depan sebagai untuk perbicaraan dan membenarkan Johari dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Tertuduh diwakili peguam bela Shamsul Iskandar Mohd Akin manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke, dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090122110322&sec=mstar_berita

Penjara Teluk Guantanamo ditutup dalam setahun



Khamis Januari 22, 2009

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dijangka menandatangani satu perintah eksekutif hari ini untuk menutup penjara Teluk Guantanamo dalam masa setahun.


Draf perintah itu yang diedarkan pada Rabu juga meminta untuk memberhentikan perbicaraan dalam penjara, di mana suspek pengganas ditahan untuk beberapa tahun tanpa perbicaraan.


Dua rakyat Malaysia kini ditahan di penjara Teluk Guantanamo yang dakwa terbabit dengan Jemaah Islamiah (JI) dan Al Qaeda, Mohd Farik Amin atau Zaid ( Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie). Mereka ditangkap pada 2003.


Pentadbiran Bush mendakwa mereka perancang "ombak kedua" operasi untuk Al Qaeda bagi menyerang sasaran di Los Angeles.


"Kemudahan penahanan di Guantanamo untuk individu di bawah perintah ini hendaklah ditutup secepat mungkin, dan tidak melebihi setahun dari tarikh perintah ini," draf yang dikeluarkan pentadbiran Obama menurut Reuters.


Ia menyatakan sesiapa yang masih ditahan apabila penjara itu ditutup "hendaklah pulang ke tanah air mereka, dibebaskan, dipindahkan ke negara ketiga atau dipindahkan ke kemudahan tahanan lain di Amerika Syarikat."


Obama mengulangi janjinya untuk menutup penjara Teluk Guantanamo, di mana kira-kira 250 penghuni yang didakwa ada hubungan dengan pengganas masih kekal sementara 21 kes belum dibicarakan.


Persoalan ialah di mana mereka akan dituduh untuk menjalani perbicaraan dan di mana mereka yang telah dibebaskan boleh dihantar dengan selamatnya.


Pada Rabu, hakim-hakim menggantung beberapa perbicaraan ketenteraan bagi suspek pengganas di Guantanamo atas permintaan Obama.


Presiden Obama dijangka mengeluarkan perintah berasingan untuk mengharamkan soal siasat berlebihan seperti mencurahkan air ke muka tahanan banyak kali satu bentuk soal siasat yang digunakan Agensi Risikan Pusat (CIA), dan memerintahkan satu kajian semula dasar tahanan Amerika Syarikat, menurut jurucakap White House. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090122160957&sec=mstar_berita

Ubaidullah, pemimpin veteran MIC meninggal dunia


Khamis Januari 22, 2009


PETALING JAYA: Pemimpin veteran MIC, Tan Sri S.O.K. Ubaidulla Kadir Basha meninggal dunia pagi ini.


Allahyarham Ubaidulla, berusia dalam lingkungan 90-an, juga merupakan bekas pengerusi Ubaidi Foundation dan ahli perniagaan terkemuka dengan memiliki syarikat perkhidmatan penerbangan di ibu negara.


Allahyarham adalah antara mereka yang berusaha menubuhkan MIC pada 1946 dan telah menyertai politik sejak 1932.


Tokoh Maal Hijrah itu pernah memegang jawatan Naib Presiden MIC dan kemudiannya telah dilantik sebagai Pengerusi Tetap MIC meninggal dunia di rumahnya pukul 10.30 pagi ini.


Jenazah beliau akan dikebumikan petang ini.


Alamat rumah beliau ialah 10, Lorong Bukit Pantai 6, Bangsar, Kuala Lumpur.



http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090122130700&sec=mstar_berita

Guan Eng nafi Intel tutup kilang Pulau Pinang



Khamis Januari 22, 2009


PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan bahawa pengeluar cip Amerika Syarikat (As), Intel Corporation akan menutup kilang dan 2,000 pekerjanya akan kehilangan pekerjaan masing-masing disebabkan penutupan itu.


Beliau menjelaskan bahawa syarikat itu sedang memindahkan kedua-dua kilang itu, PG6 dan PG7, ke Taman Teknologi Tinggi Kulim tetapi mengakui syarikat itu akan menawarkan Skim Perpisahan Sukarela (VSs) kepada kakitangannya.


Bagaimanapun, kerajaan masih belum menerima sebarang surat rasmi mengenai pemindahan itu dari Intel, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Intel Corporation, di dalam satu kenyataan dari Santa Clara di California semalam berkata, ia merancang untuk menutup dua kemudahan ujian pemasangan sedia ada di Pulau Pinang dan di Cavita di Filipina.


Langkah itu, kata syarikat itu, merupakan sebahagian daripada rancangan untuk menstruktur semula sesetengah operasi pemasarannya dan menjajarkan kapasiti pengeluarannya kepada keadaan pasaran semasa.


Lim berkata: "Tidak berlaku sebarang kehilangan pekerjaan bagi mereka yang bekerja di Intel Pulau Pinang kerana syarikat pelbagai negara itu hanya menyatukan cawangan mereka dengan para kakitangannya berpindah ke Kulim."


Lim mengakui Intel kemungkinan menawarkan VSS kepada para kakitangannya tetapi enggan mengulas lanjut sehingga mendapat sebarang kenyataan rasmi dari Intel.


Operasi Intel Pulau Pinang kini mengambil bekerja kira-kira 6,000 pekerja manakala cawangannya di Kulim, Kedah mengambil kerja sekitar 4,000 pekerja.


Sementara itu, Lim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk mewujudkan Pusat Bantuan dan Latihan Kerjaya (CAT) bagi membantu mereka yang menganggur di negeri itu semasa kemelesetan ekonomi global sekarang.


Beliau berkata, pusat tersebut akan diwujudkan dalam tempoh tiga bulan lagi bagi menyediakan program latihan, mencari dan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.


"InvestPenang telah diberi peranan sebagai Agensi Pelaksana bagi tujuan ini. Ia akan turut mendapat bantuan daripada persatuan perkilangan seperti Persekutuan Pengeluar-Pengeluar Malaysia dan Persatuan Syarikat-Syarikat Zon Perdagangan Bebas Pulau Pinang.


"Agensi seperti Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang akan turut membantu untuk mewujudkan pekerjaan sementara dan menyediakan peluang latihan bagi mereka yang menganggur," katanya.


Lim berkata, talian bergerak telah diwujudkan untuk orang ramai mendapat maklumat daripada CAT di talian 0184659384; 0184652043; 0184656410 atau 0184651635.


Beliau menasihati para pekerja supaya bersedia menerima potongan gaji daripada hilang langsung pekerjaan mereka.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090122142959&sec=mstar_berita

Politik wang pemilihan Umno: Bekas setiausaha politik menteri disiasat




Khamis Januari 22, 2009

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Sehari selepas mengumumkan bahawa tiga orang akan dihadapkan di mahkamah hari ini berhubung politik wang pemilihan Umno bahagian baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan operasinya dengan dipercayai menahan 12 yang lain.


Antara yang ditahan adalah seorang bekas setiausaha politik menteri kerana dipercayai memberi rasuah bagi memastikan pemilihannya dalam pemilihan Umno Mac ini.


SPRM menahan mereka, yang berasal dari Pahang kerana menerima wang daripada pemimpin kanan Umno itu untuk mempengaruhi undi ketika pemilihan.


Difahamkan mereka ditahan semalam dan kelmarin dipercayai menerima rasuah antara RM300 sehingga RM500 seorang.


Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdullah berkata, 12 individu tersebut ditahan sejak petang kelmarin di sekitar daerah Maran dan Temerloh.


"Bagaimanapun, 11 daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini (semalam), manakala seorang lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut," kata beliau dipetik Bernama.


Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada tangkapan masih dilakukan bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.


Kelmarin SPRM memaklumkan tiga orang termasuk seorang Naib Ketua Umno akan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan memberi wang rasuah ketika pemilihan Umno Bahagian Oktober dan November lalu.


Mereka melibatkan ahli Umno di Perak, Pahang dan Melaka.


Pemilihan Umno berlangsung selama sebulan antara awal Oktober dan November lalu.


Dalam kes pertama, jelas SPRM, seorang Naib Ketua Bahagian Umno di Perak dijangka didakwa atas dakwaan memberi wang rasuah RM300 kepada seseorang dalam pemilihan bahagian.


Sementara itu, seorang lagi ejen dijangka akan didakwa kerana memberi rasuah RM200 kepada seseorang bagi mengundi calon dalam pemilihan Ketua Bahagian Umno di Pahang.


Di Melaka, seorang lagi ejen juga dijangka didakwa atas dakwaan memberi RM200.


Ketiga-tiga mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2008.


Ia merupakan kes pertama melibatkan SPRM beroperasi sejak 1 Januari lalu.


Akhir bulan lalu, SPRM yang dulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkata, akan memfailkan pendakwaan terhadap sekurang-kurangnya tiga ahli politik berhubung kesalahan rasuah, politik wang dan salah guna kuasa dalam masa terdekat.


Selain itu, beberapa kes berkaitan isu sama yang selesai disiasat dihantar semula ke Bahagian Siasatan BPR untuk dikemas kini bagi menghasilkan kertas siasatan lebih kukuh, malah ada yang diserahkan kembali kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan dalaman parti berkenaan.


Bagaimanapun ahli politik yang akan didakwa itu bukan calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno pada pemilihan parti itu, Mac depan.


Persetujuan untuk meneruskan proses pendakwaan terhadap tiga kes itu diberikan selepas meneliti secara terperinci kertas siasatan yang diserahkan Bahagian Siasatan BPR.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090121232932&sec=mstar_berita

Zahid tidak hormati hak rakyat - MB Perak



Khamis Januari 22, 2009

IPOH: Kerajaan Perak menyifatkan arahan seorang menteri agar ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di Perak tidak menghadiri sebarang mesyuarat kerajaan negeri sebagai tidak menghormati semangat federalisme dan hak rakyat.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata arahan oleh Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu bertentangan dengan dasar kerajaan negeri yang mahu menjalin hubungan baik dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat.


"Kerajaan negeri mahu menjalin hubungan baik dengan persekutuan tetapi jika sikap seorang menteri yang mahu menghentikan dan memutuskan hubungan antara pegawai persekutuan dan kerajaan negeri, saya rasa ini satu yang malang khususnya kepada rakyat Perak yang memberi mandat kepada beliau sebagai menteri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini semalam.


Ahmad Zahid dilaporkan mengarah semua ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di Perak supaya tidak menghadiri sebarang mesyuarat yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.


Bagaimanapun, larangan itu tidak meliputi ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan yang mempunyai tugas guna sama dengan kerajaan negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan polis.


Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sentiasa memberi kerjasama kepada persekutuan, dan sejak mentadbir Perak 10 bulan lepas, tidak ada permohonan kerajaan persekutuan bagi mendapatkan tanah negeri untuk projek kegunaan awam yang ditolak. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090121200227&sec=mstar_berita

Obama akan berusaha selesai konflik Israel-Palestin


Khamis Januari 22, 2009


WANITA Indonesia membaca akhbar terbitan hari ini yang muka depannya membawa tajuk "Dunia sudah berubah, kita kena berubah" - memetik ucapan Barack Obama selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru semalam. _ AP

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS), di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama akan mengambil pelbagai langkah dan berusaha menyelesaikan isu Israel-Palestin yang telah lama berlanjutan untuk mewujudkan suasana aman yang berpanjangan di kawasan Timur Tengah yang penuh konflik itu.


Duta Besar AS ke Malaysia, James R.Keith berkata berdasarkan mesej yang disampaikan Obama pada upacara mengangkat sumpah sebagai presiden ke-44 semalam dan kenyataannya sebelum ini berhubung isu itu, Washington tidak akan membuang masa bagi menyelesaikan isu itu.


"Saya berpendapat anda akan dapati lebih awal pada... mungkin seawal minggu ini...(pentadbiran) akan umumkan mengenai dasar dan pegawai yang akan ditempatkan bagi menangani masalah di Timur Tengah," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai apa yang boleh diharapkan oleh masyarakat antarabangsa daripada pentadbiran baru berhubung isu Israel-Palestin itu.


Terdahulu, Keith menghadiri "Hari Mengangkat Sumpah: Jangkaan Bagi Sebuah Pentadbiran Baru AS" di sini semalam.


Beliau berkata, AS mengalu-alu gencatan senjata baru-baru ini berikutan serangan Israel ke atas Gaza yang didakwa Tel Aviv bertujuan bagi mempertahan negara mereka dari serangan roket Hamas.


"Harapan kami adalah untuk mewujudkan bukan hanya (keamanan) sementara tetapi kemanan yang kekal dan berpanjangan di Timur Tengah," katanya.


Washington di bawah bekas Presiden George W. Bush menerima kritikan daripada masyarakat antarabangsa kerana dasarnya yang berat sebelah dalam menangani krisis Gaza dan juga isu Israel-Palestin.


"Saya berpendapat anda perlu ragu dengan kami (pentadbiran baru As) bagi menyumbang kepada keamanan Israel-Palestin dan kami akan bekerja kuat (berhubung isu itu)," katanya.


Keith berkata, isu Israel-Palestin telah berlanjutan sejak beberapa dekad dan oleh itu ia memerlukan kesabaran bagi mencari penyelesaian yang kekal berpanjangan.


Katanya, Amerika bukan sahaja mahu menyelesaikan konflik Israel-Palestin tetapi juga isu berkaitan seperti mewujudkan keamanan di antara Israel dan Syria memandangkan usaha membawa kemanan ke rantau itu juga membabitkan pihak lain selain Palestin dan Israel.


"Kami berharap penyelesaian bagi dua buah negara dengan keselamatan dan maruah yang sama bagi Palestin dan Israel," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/22/mstar_berita/20090121163258&sec=mstar_berita

Calon MT beri wang


Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Seorang calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Umno, berdepan tindakan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas dipercayai terbabit dalam politik wang bagi membantunya memenangi jawatan itu pada pemilihan parti Mac ini.

Sumber SPRM berkata, ahli politik berusia 40-an yang juga Ketua Umno bahagian itu dipercayai terbabit dalam kegiatan itu selepas penahanan 12 ahli Umno termasuk seorang wanita dalam serbuan di beberapa lokasi di Maran dan Temerloh, Pahang, malam kelmarin.

“Ahli politik itu dipercayai memberi wang kepada mereka antara RM300 hingga RM500 setiap seorang bagi membantunya memenangi jawatan itu.

“12 ahli Umno yang ditahan itu dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno Mac depan,” katanya.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lokasi serbuan itu dilakukan.

Sumber itu berkata, ahli politik itu akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Semua yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan semalam, kecuali seorang lelaki yang masih ditahan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Beliau juga enggan mengulas mengenai bila ahli politik berkenaan ditahan membantu siasatan.

Akhbar semalam melaporkan seorang Naib Ketua bahagian Umno di Perak dan dua ejen calon Ketua Umno Bahagian, masing-masing di Pahang dan Melaka menjadi kumpulan pertama didakwa bersabit kes rasuah politik sejak SPRM beroperasi 1 Januari lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa hari ini mengikut Seksyen 10 (b) Akta SPRM 2008 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Shukri sebelum ini dilaporkan berkata SPRM sudah menyelesaikan beberapa lagi kes dan sedang dipertimbangkan tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122083912/Article/index_html

Perhebat perangi rasuah


Oleh Mohamad Sofee Razak

ISLAM mengutuk sesiapa saja terbabit dalam aktiviti rasuah. Ini kerana amalan rasuah dalam apa jua keadaan adalah jenayah dan kian menjadi barah dalam masyarakat yang perlu diubati segera. Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188).

Amalan rasuah juga umpama serangan anai-anai yang boleh meruntuhkan sebuah bangunan dan begitulah juga rasuah boleh menjahanamkan sesebuah negara jika usaha menanganinya tidak diperkemaskan.

Nabi Muhammad s.a.w. secara tegas menyatakan: “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka.” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Manakala dalam hadis lain pula, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: “Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Melihat kepada bahaya rasuah dan akibat perbuatan itu, undang-undang baru digubal bagi membolehkan saudara mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran ‘saudara’ dalam Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hukuman itu selaras tuntutan al-Quran dan hadis yang menjadi sandaran utama perundangan Islam.

Berdasarkan undang-undang yang diluluskan di Parlimen itu, tafsiran bagi ‘saudara’ diperluaskan merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang; adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu; bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Justeru, sesiapa terbabit dan bersubahat dengan penerima rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Penerima rasuah kini semakin bijak, cermat serta mahir dengan pelbagai tipu helah untuk menerima pemberian rasuah.

Ada di kalangan pengamal rasuah sanggup menggunakan akaun bank saudara-mara untuk menerima dan mendepositkan wang rasuah yang diberi pemberi rasuah.

Mereka tidak lagi menggunakan akaun peribadi atau menerima bayaran tunai jika membabitkan pemberian wang bagi mengelak perbuatan mereka dikesan pihak bertanggungjawab.

Bagi penerima rasuah yang menerima selain wang seperti pemberian tanah, kenderaan dan lain-lain, mereka akan segera menukar hak milik kepada saudara-mara terdekat bagi mengabui pihak berkuasa.

Mereka seolah-olah lupa dengan hukum Tuhan dan sistem perundangan yang ada hingga tergamak melakukan rasuah.

Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Ma’idah: 42).

Saudara-mara penerima rasuah perlu lebih berhati-hati kerana mereka juga boleh didakwa di mahkamah.

Penalti bagi kesalahan rasuah mengikut fasal SPRM ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Ini belum lagi hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak. Untuk itu, umat Islam perlu membebaskan diri dan segala aktiviti harian daripada budaya rasuah.

Saudara-mara terdekat penerima rasuah sepatutnya perlu menasihati orang tersayang agar tidak terbabit dengan amalan rasuah dan segera menjauhinya.

Adalah tidak wajar terjerumus dan bersubahat dengan penerima rasuah hanya kerana untuk mendapat sedikit habuan yang tidak halal di sisi agama.

Sebagaimana penegasan Allah dalam al-Quran: “Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik.” (Surah al-Fussilat: 34).

Mereka sepatutnya bertindak melarang, menghalang atau melaporkan aktiviti rasuah kepada pihak berkuasa jika melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penerima rasuah di kalangan saudara-mara terdekat hidup senang-lenang tanpa bekerja kuat.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim: 6).

Oleh itu, saudara-mara penerima rasuah perlu mengelak daripada bersubahat dengan mereka atau menasihati mereka supaya balik ke pangkal jalan agar tidak dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun, perlu ditegaskan bahawa tidak semua penerima rasuah hanya terdiri daripada kalangan mereka bergaji kecil serta berpangkat rendah. Ia turut membabitkan ahli politik dan ahli perniagaan.

Jumlah rasuah pula lebih lumayan serta modus operandinya kadang-kala kompleks dan sukar dihidu.

Walaupun pelbagai taktik digunakan untuk mengelak daripada tindakan, pihak berkuasa sebenarnya boleh bertindak bila-bila masa bagi memastikan misi sifar rasuah dapat direalisasikan di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122090254/Article/index_html

Bantuan terhalang


KAHERAH: Usaha Pertubuhan Al-Amal yang cuba menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin di Rafah terbantut apabila pihak berkuasa Mesir yang membuat sekatan jalan raya menghalang segala usaha pihak luar memasuki daerah berkenaan.

Difahamkan pasukan bantuan NGO berkenaan yang sudah sampai ke Arisyh terkandas dan terpaksa berpatah semula ke Kaherah selepas dihalang pasukan keselamatan Mesir untuk meneruskan misi ke Rafah.

Perkara ini dinyatakan Ketua Bahagian Kewangan Kedutaan Malaysia di Mesir, Mohd Sharbini Zaini yang dukacita dengan masalah yang berlaku.

Menurutnya, pihak kedutaan cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan dokumentasi kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan bantuan ke Gaza.

Antara badan NGO yang dikenal pasti aktif cuba membantu adalah Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid), Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Pertubuhan Al Amal.

“Kami sedaya upaya berusaha menyediakan dokumen sokongan selain meminta kebenaran bertulis daripada kerajaan Mesir bagi memastikan operasi bantuan yang dihantar tidak mengalami kesulitan,” katanya.

Terbaru lima lori penuh muatan ubat-ubatan yang cuba disalurkan Mercy dihantar dengan bantuan kakitangan kedutaan Malaysia sehingga ke kawasan Rafah lebih 400 kilometer, Ahad lalu.

Ubat-ubatan bernilai lebih RM100,000 berkenaan cuba diserahkan kepada mangsa serangan Israel di Gaza yang kini mencecah angka puluhan ribu orang.

“Bagaimanapun, usaha untuk menghantar bantuan seterusnya oleh Pertubuhan Al Amal kelmarin, terkandas berikutan pihak berkuasa Mesir menutup beberapa laluan utama ke Rafah yang menjadi pintu masuk ke Tebing Barat.

“Terlalu banyak sekatan dibuat pihak berkuasa yang menyukarkan tugas penghantaran ini,”
katanya ketika ditemu bual wartawan, petang semalam.

Tambahnya, keadaan di sempadan Mesir dan Tebing Barat masih tidak menentu dan ada kalanya bantuan yang cuba disalurkan tidak sampai berikutan halangan dan pemeriksaan ketat.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 100 anggota pelbagai NG0 kini dikenal pasti berkumpul di Mesir dalam usaha memberikan bantuan makanan dan perubatan kecemasan kepada penduduk Gaza.

Bagaimanapun, usaha murni berkenaan sedikit terbantut berikutan surat dan pas dikeluarkan Kedutaan Malaysia di sini dan Kementerian Penerangan Mesir seolah-olah ‘tidak laku’ sebaik anggota NGO ini cuba memasuki Rafah yang menempatkan ribuan mangsa perang Gaza.

“Akibatnya ada antara NGO terpaksa berpatah balik dan menunggu peluang seterusnya untuk sampai ke Rafah,” katanya

Menurutnya, walaupun gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa kini, namun perang fasa kedua boleh berlaku bila-bila masa dan dibimbangi boleh mengancam nyawa petugas media dan NGO yang memasuki Gaza.

Hamas terkenal dengan sikap degil dan satu tembakan peluru sahaja sudah cukup untuk membuat bala tentera Yahudi ini berpatah balik ke Gaza.

“Bagaimanapun kami berharap gencatan senjata ini akan kekal untuk tempoh masa lama bagi membolehkan bantuan perubatan, makanan dan pakaian dari rakyat Malaysia disalurkan kepada 15 juta penduduk Gaza,”
katanya,

Ditanya berhubung reaksi rakyat Kaherah berhubung perang Gaza, beliau berkata, rata-rata penduduk Arab Mesir simpati dengan apa yang berlaku, namun tidak dapat berbuat apa-apa berikutan isu politik yang tidak dapat dijelaskan secara terperinci.

“Mereka (rakyat Mesir) cukup marah dan sedih, namun polisi dan dasar berkecuali kerajaan menyebabkan mereka hanya dapat meluahkan kekecewaan melalui demonstrasi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091034/Article/index_html

‘Mak meluru masuk bilik ikat mulut saya’


KUALA LUMPUR: “Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu saya sedang melakukan kerja sekolah subjek Matematik. Tiba-tiba mak (ibu tiri) terus saja menerpa ke dalam bilik tidur dan mengikat mulut saya dengan kain lampin,” kata remaja perempuan berusia 15 tahun yang mendakwa didera ibu tirinya.

Mangsa, yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) penghujung tahun ini berkata, dia yang masih terpinga-pinga terkejut apabila ibu tiri menekap seterika yang masih panas di bahagian kanan paha serta betis kirinya.

Menurutnya, dia hanya berupaya menangis tersedu-sedu dan merayu ibu tirinya supaya menghentikan perbuatan kejamnya itu.

Dia mendakwa, beberapa minggu sebelum kejadian 15 Januari lalu itu, ibu tirinya turut membelasah dengan batang pancing milik ayahnya.

“Tubuh saya memang sudah biasa dipukul, tapi saya tidak menyangka mak sanggup bertindak kejam dengan menekup seterika panas.

“Sejurus kemudian saya ke rumah rakan berdekatan mengadu nasib sebelum keluarga rakan melaporkan kejadian kepada pihak polis,”
kata pelajar sebuah sekolah menengah di Jalan Ipoh itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091055/Article/index_html

Geng klon terjerat


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


RAMPAS...Ahmad Amir melihat sebahagian kereta 'klon'
yang dirampas.


KUALA LUMPUR: Selepas enam bulan bermaharajalela, sindiket curi dan lupus kenderaan yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang lumpuh apabila lima lelaki ditahan polis dalam beberapa serbuan, baru-baru ini.

Difahamkan, sindiket itu memulakan kegiatan haram mereka dengan membeli kereta rosak di beberapa bengkel kenderaan dan mendakwa kononnya hanya mahu mengambil kepingan besi atau alat ganti.

Mereka seterusnya mencuri kenderaan sama seperti kereta rosak terbabit sebelum mengikis atau memadamkan nombor casis dan ‘menampalnya’ umpama keadaan asal.

Sejurus kerja ubah suai selesai, kenderaan ‘klon’ berkenaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebelum dibenarkan bergerak di jalan raya.

Sindiket itu turut menggunakan ‘orang dalam’ syarikat insurans untuk mendapatkan kad pendaftaran dengan kadar bayaran tertentu sekali gus memudahkan kereta terbabit dijual sama ada kepada individu atau kedai kenderaan terpakai.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila kelima-lima mereka berusia 30 hingga 43 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata serbuan itu hasil penemuan sebuah Perodua Kelisa yang nombor casis dan enjinnya sudah diubah suai sindiket berkenaan.

“Melalui maklumat dan risikan diperoleh pada hari sama, kami (polis) menahan seorang lelaki dipercayai ahli sindiket itu di sekitar Kajang, Selangor.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan empat lagi rakan suspek termasuk pemilik bengkel di daerah sama dan Nilai, Negeri Sembilan,”
katanya pada sidang media di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091319/Article/index_html

Jerat ‘Datuk’ kasanova



Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Penangan ‘Datuk’ berstatus jutawan menjerat wanita berjawatan tinggi bukan saja menyebabkan mangsa nekad melakukan pengguguran haram, malah ada suami mangsa cuba membunuh diri selepas tidak dapat menerima hakikat isteri tersayang dinodai lelaki lain.

Datuk kasanova berusia 40-an terbabit memiliki cita rasa pelik iaitu hanya memerangkap wanita sudah berkahwin dan memiliki kedudukan dalam syarikat, terutama bertaraf antarabangsa bagi mendapatkan habuan seks tanpa mengira bangsa.

Dia licik memerangkap mangsa dengan menawarkan pelbagai hadiah bernilai tinggi selain percutian di beberapa pulau peranginan terkenal di luar negara.

Untuk menjerat mangsa, lelaki terbabit berpura-pura berbincang perniagaan dengan wanita sasarannya.

Selepas umpannya mengena, tajuk perbincangan kemudian beralih kepada cerita pelancaran produk perniagaan, diikuti majlis makan malam dan tari-menari menyebabkan hubungan mereka semakin intim tanpa pengetahuan suami mangsa.

Keintiman itu menyebabkan lelaki itu yang ada ketikanya berlagak alim, mengambil kesempatan menceritakan kisah sedih palsu kepada mangsa bagi menagih simpati.

Apabila hati wanita terbabit sudah dikuasai, lelaki terbabit bertukar nombor telefon bimbit dan bermulalah episod ngeri bagi wanita berkenaan.

SMS berbaur godaan kemudian dihantar kepada mangsa yang antara lain meluahkan rasa rindu seperti “Saya benar-benar rindukan U’ atau “Saya sentiasa teringatkan U’.

Kasanova terbabit dipercayai menggunakan talian prabayar menggunakan nama individu lain beralamat di Alor Star, Kedah, bagi mengelak kegiatannya terbongkar sehingga boleh ditahan pihak berkuasa.

Jerat dipasangnya dikira mengena apabila wanita terbabit bersedia menerima hadiah ratusan ribu ringgit termasuk barangan kemas dan jam berjenama terkenal.

Wanita berkenaan sanggup menipu suami dan anak kononnya perlu menghadiri mesyuarat sama ada di hotel terkenal dalam atau luar negara bagi bertemu kekasih sulitnya itu sebelum sanggup menyerahkan tubuh bukan sekali, bahkan berulang kali.

Kisah tidak bermaruah Datuk yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Menurutnya, lebih 60 wanita berkerjaya dan memiliki kedudukan dalam syarikat korporat menjadi mangsa lelaki itu yang menggunakan nama samaran, Datuk Azlan.

“Lelaki terbabit menggunakan kekayaan dimilikinya untuk memerangkap wanita berjawatan tinggi berusia 30 hingga 40 tahun yang mempunyai suami berpengaruh dalam masyarakat.

“Dia menjadikan wanita terbabit sebagai sasaran kerana yakin mangsa tidak akan berani tampil membuat laporan polis kerana bimbang maruah diri dan suami terjejas,”
katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Malah, beliau berkata, agak mengejutkan apabila sembilan wanita yang menjadi mangsa Datuk terbabit terpaksa menggugurkan kandungan tanpa pengetahuan suami.

Bagaimanapun, kata George, penangan Datuk itu menyebabkan ada suami mangsa cuba membunuh diri kerana tidak dapat menerima perbuatan isteri selain nama mereka tercemar.

Selain itu, ada suami tidak mampu menghadapi tekanan itu sanggup mencederakan diri sendiri, memakan kaca dan menjadikan anak sebagai sasaran bagi melepaskan kemarahan.

“Kegiatan lelaki itu perlu dihentikan segera sebelum lebih ramai wanita menjadi mangsa. Saya yakin lelaki terbabit boleh dikesan jika wanita yang menjadi mangsa tidak malu membuat laporan polis,” katanya.

George berkata, beliau membuat laporan berhubung kegiatan Datuk kasanova terbabit di Balai Polis Bukit Jelutong, penghujung tahun lalu.

Menurutnya, peruntukan undang-undang yang boleh dikaitkan dengan kegiatan lelaki terbabit iaitu Seksyen 498, Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

“Mengikut seksyen itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Thursday/BeritaUtama/20090122085111/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...