Showing posts with label Merdeka Day. Show all posts
Showing posts with label Merdeka Day. Show all posts

Saturday, October 8, 2011

CELUPAR MAT SABU, BALU TENTERA UNTUNG

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 8TH, 2011

Setelah mendengar Bajet 2012, akibat keceluparan mulut Mat Sabu, para bekas anggota tentera sama ada balu, duda dan sebagainya akan mendapat ‘durian runtuh’ sebanyak RM3,000 setiap keluarga secara one-off.“Itulah jasa Mat Sabu kepada bekas-bekas pejuang yang kalau tak ditimbulkan isu ni, aku confirm depa-depa ni tak merasa duit pampasan ni.“Dan mereka ini PATUT BERTERIMA KASIH kepada Mat Sabu (gambar)kerana mengutarakan isu Bukit Kepong dan secara tak langsung nasib mereka terbela,” tulis seorang yang menghantar komen di dalam Tranungkite online yang ditulis perkataan penuh Harakahdaily.

Seorang lagi menulis, Kanang Anak Langkau pun dapat pingat kali kedua baru-baru ini atas jasa sebagai perwira negara, mungkin kebetulan kot atau ada agenda di sebaliknya.

“Bajet kununnya menghargai pejuang…dah 54 tahun baru nak ingat bagi…berapa orang yang dapat…berapa orang yang tak sempat dapat?” satu lagi pandangan yang dilontarkan.

Najib mengumumkan petang semalam bahawa kerajaan akan memberi sumbangan RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota pasukan keselamatan serta duda dan balu mereka, kesemuanya hampir 62,000 orang untuk membantu meringankan kos sara hidup.

“Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat.

“Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout,” kata Najib.

Komen yang disiarkan melalui Malaysiakini pula, ada pandangan yang mengatakan kerana marahkan Mat Sabu, akhirnya bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat mendapat faedah.

“Di sinilah pentingnya Malaysia mempunyai pembangkang yang kuat. So, sebelum marah Mat Sabu, perlu fikir sejenak,” tulisnya.

Pandangan lain pula: Yg tu baru Pakatan sound melalui Mat sabu, kerajaan dah bagi insentif pd bekas anggota pasukan keselamatan. Blom pun kerajaan Pakatan memerintah lagi. Klau betul2 nak terbela nasibnya, undilah Pakatan! Insyaallah x ada siapa yg akan tercicir, semuanya terbela, termasuk bekas anggota pasukan keselamatan…

Antara komen lagi:

“Di sini mat sabu adalah hero. Tanpa dia jangan mimpi la depa nak pandang kat hampa. tu pun jangan, ada lagi yg dok marah kat dia.

“Kepada bekas tentera, balu, duda tu ingat sikit……terima kasih kat Mat Sabu…kalau tak tak merasalah duit tu…”

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.

“Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

“Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini,”jelasnya.

Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki,” sambungnya lagi.

Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.

“Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang,” kata Dr Dzulkifly lagi.

http://www.kl-today.com/2011/10/celupar-mat-sabu-balu-tentera-untung/

Friday, October 7, 2011

PROF. KHOO PERTAHAN MALAYSIA DINAUNGI

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 6TH, 2011

Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (gambar) tetap mempertahankan pendirian bahawa Malaysia tidak pernah dijajah sambil menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam seperti “orang kebanyakan yang tidak faham undang-undang.”Kata beliau, hanya negeri-negeri Selat yang pernah menjadi tanah jajahan British sementara negeri-negeri Melayu yang lain telah berada di bawah naungan British.

“Saya sebut dari segi undang-undang yang mana negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) pernah dijajah, negeri-negeri Selat ini dipanggil Tanah Jajahan Mahkota British dan sesiapa yang lahir di negeri-negeri ini akan menjadi rakyat Britain dan kerajaan negeri-negeri Melayu dipanggil negeri-negeri Melayu naungan British dan sesiapa yang lahir di negeri-negeri naungan British ini tidak akan menjadi rakyat Britain.

“Dari segi undang-undang nampak perbezaan, malah wakil British di negeri-negeri Selat dipanggil gabenor dan orang yang sama kedudukan rasminya di kerajaan negeri-negeri Melayu ialah pesuruhjaya tinggi. Jadi lihat dalam undang-undang, banyak perbezaan dan yang paling penting mereka yang lahir di negeri-negeri Selat termasuk orang Melayu akan jadi rakyat Britain dan orang bukan Melayu di kerajaan negeri-negeri Melayu sebelum 1948 akan menjadi rakyat tanpa negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Mengenai kenyataan Muhyiddin semalam, Khoo berkata Timbalan Presiden Umno itu bercakap mengikut bahasa orang kebanyakan dan bukan undang-undang.

“Beliau (Muhyiddin) bercakap sebagai seorang biasa dan bukan lihat dari segi undang-undang, dalam undang-undang memang ada bahasa khas undang-undang atau bahasa teknikal tapi bahasa orang kebanyakan biasanya kelam-kabut, tidak teratur dan tidak tepat.

“Beliau guna bahasa orang kebanyakan yang tidak faham undang-undang dan bukan bahasa teknikal undang-undang. Kalau ikut undang-undang, kerajaan negeri-negeri Melayu bukan tanah jajahan British dan tak pernah dipanggil tapi bila British cuba kuat kuasakan Malayan Union dan kalau British berjaya memang, kerajaan negeri-negeri Melayu akan jadi tanah jajahan British,” katanya.

Tambah Khoo: “Tentang Malayan Union, kalau orang Melayu ketika itu tidak menentang sudah pasti kerajaan negeri-negeri Melayu dah jadi tanah jajahan British, tapi bila orang Melayu bangkit menentang, British terpaksa batalkan rancangan itu.”

Dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat semalam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengakui bahawa Malaysia pernah dijajah — bertentangan dengan penegasan beberapa profesor termasuk Khoo bulan lalu bahawa negara hanya menjadi naungan British.

Muhyiddin menyatakan pendirian tersebut sekali gus menafikan pandangan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

“Sama ada negara kita dijajah atau tidak, jawapannya, ya.

“Saya mengambil pendirian begitu walaupun ada beberapa pihak yang memberikan pandangan bahawa kita tidak dijajah,” katanya.

Menurut Khoo, sekiranya British serius mahu menjajah negara sudah tentu negeri-negeri Melayu akan dipaksa menjadi tanah jajahan kuasa asing itu.

Beliau menambah terdapat banyak bukti bahawa negara tidak pernah dijajah.

“Saya boleh buktikan, pertama macam mana dua tempat mempunyai nama yang tidak sama? Satu Tanah Jajahan Mahkota British dan satu lagi negeri-negeri Melayu naungan British… kalau British dah jajah Tanah Melayu, mengapa British tidak menyatukan negeri-negeri Melayu bersekutu dengan negeri-negeri Melayu tidak bersekutu?

“British mahu negeri-negeri Melayu tidak bersekutu menjadi sebahagian daripada negeri-negeri Melayu bersekutu tapi raja di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu tak setuju dan British tak boleh bergerak… kalau British nak jajah, dia boleh paksa tapi dia cuma nak pujuk,” katanya.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Budaya, Majlis Profesor Negara Profesor Datuk Dr Zainal Kling hari ini juga menjelaskan bahawa negara kita lebih banyak menerima kesan penjajahan meskipun negeri-negeri Melayu mempunyai status negeri naungan.“Saya tidak kata negara kita tak pernah jadi negeri koloni atau negeri jajahan. Ciri-ciri kemelayuan dikekalkan di negeri naungan. Kesan penjajahan tetap berlaku kerana pengaruh British yang meluas,” kata Dr Zainal (gambar).

Menurutnya, negeri naungan merujuk kepada negeri yang mempunyai sistem residen dan penasihat dan beliau mengakui bahawa kenyataan asal beliau bahawa Malaya tidak pernah dijajah dilaporkan tanpa mengikut konteks sebenar.

http://www.kl-today.com/2011/10/prof-khoo-pertahan-malaysia-dinaungi/

ZAINAL PERTAHAN NEGARA BUKAN DIJAJAH

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 6TH, 2011

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Budaya, Majlis Profesor Negara Profesor Datuk Dr Zainal Kling hari ini menjelaskan bahawa negara kita lebih banyak menerima kesan penjajahan meskipun negeri-negeri Melayu mempunyai status negeri naungan.“Saya tidak kata negara kita tak pernah jadi negeri koloni atau negeri jajahan. Ciri-ciri kemelayuan dikekalkan di negeri naungan. Kesan penjajahan tetap berlaku kerana pengaruh British yang meluas,” kata Dr Zainal (gambar).

Menurutnya, negeri naungan merujuk kepada negeri yang mempunyai sistem residen dan penasihat dan beliau mengakui bahawa kenyataan asal beliau bahawa Malaya tidak pernah dijajah dilaporkan tanpa mengikut konteks sebenar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan negara ini pernah dijajah British dalam sidang Dewan Rakyat ketika menjawab soalan ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali semalam.

Penjelasan Dr Zainal adalah berikutan status negeri–negeri Melayu sebagai negeri naungan kerajaan British dan bukannya negeri jajahan.

Pada 9 September, Dr Zainal dilaporkan sebagai berkata bahawa negara ini tidak pernah dijajah kerana negeri–negeri Melayu masih diketuai sultan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran kontroversi serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang ditimbulkan oleh Timbalan

Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ucapannya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Mohamad atau Mat Sabu pada bulan lepas bersungguh-sungguh mempertahankan status Mat Indera sebagai nasionalis meskipun mengetuai serangan komunis.

Sejarahwan Datuk Ramlah Adam dan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim turut menegaskan bahawa negeri–negeri di Tanah Melayu adalah negeri naungan manakala Negeri- negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura adalah negeri jajahan takluk British.

http://www.kl-today.com/2011/10/zainal-kling-pertahan-negara-bukan-dijajah/

Saturday, September 17, 2011

Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

Lim Hong Siang | Sep 15, 2011 03:13:30 pm

Serangan kerajaan terhadap "komunis" baru-baru ini, semata-mata untuk menyanggah kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, semakin dipertikai. Pengamat politik, Lee Ban Chen berkata kerajaan pada hakikatnya telah mempunyai pendirian, bahawa sumbangan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan "tidak dipertikai dan tidak dinafikan", ketika menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada tahun 1989.

Beliau memetik dari buku Setiausaha Agung PKM, "Chin Peng: My Side of history", bahawa kerajaan melalui wakil polis, Rahim Noor pada ketika itu telah menyatakan pendirian tersebut. "Kalau kerajaan Malaysia sudah membuat perjanjian dengan CPM (PKM), dan mengaku mereka sudah ada sumbangan untuk mempercepatkan pencapaian kemerdekaan negara kita... Jika itulah pendirian kerajaan, bermakna apa yang dikatakan Mat Sabu itu memang sesuatu yang tepat, dan sesuatu yang telah disetujui oleh kerajaan Malaysia. Jika itulah halnya, maka sekarang mengapa buat heboh?"

Malah, Lee Ban Chen (gambar kanan) mengambil contoh karikutur yang disiarkan dalam Utusan Malaysiapada 13 September 2011, mempertikaikan kerajaan bahawa mengapa tuduhan yang "sukar dibuktikan" ini dibenarkan selepas lebih 20 tahun perjanjian damai ditandatangani?

Maka soalan seterusnya adalah, "Adakah perjanjian Haadyai itu, kerajaan masih mengakui? Adakah kerajaan masih mematuhi apa yang telah ditandatangani? Kerana selama 20 tahun ini, pihak komunis tak ada buat apa-apa. Mereka cari makan, mereka buat kerja mereka, mereka pun jarang mengambil bahagian dalam arena politik."

Lee Ban Chen berasa hairan, "mengapa keadaan boleh menjadi begini?" Disebabkan komentar daripada Mat Sabu, komunis Malaya "yang tidak berbuat apa-apa (untuk 20 tahun ini)", diserang sebegitu, sehingga mencungkil luka bekas tentara dan bekas polis, seolah-olah ada serangan diadakan dari pihak komunis.

Beliau seterusnya mempersoalkan logik Perdana Menteri Najib Razak, bahawa Malaysia kini bekerjasama dengan Komunis China, kononnya "Komunis China sekarang komunis yang baik". "Saya tak tahulah, kerajaan kita nak berbaik dengan komunis China, tapi nak serang ideologi komunis, tak tahu itu logik apa? Kalau you kata komunis itu memang kejam, komunis China kejamlah! Tapi you tak kata begini..."

Lee Ban Chen berkata sedemikian dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Turut hadir sebagai panelis adalah Sasterawan Negara A.Samad Said, dan Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM, Arumugam. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum yang dihadiri kira-kira 50 orang ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

"Perlembagaan Rakyat pada masa itu adalah Buku Jingga sekarang!"

Selain itu, Lee Ban Chen (gambar bawah) turut mengisahkan sejarah bagaimana golongan agamawan, nasionalis dan sayap kiri boleh mencapai muafakat untuk merangka Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, dan bersetuju dalam 10 perkara, termasuk "Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat".

"Ini sesuatu yang cukup istimewa pada masa itu. Sesuatu yang mendapat kerjasama semua bangsa dan berlatarbelakangkan ideologi yang berlainan. Ini suatu contoh bagaimana kita hendak merangka satu politik atau perlembagaan yang menyeluruh, kita harus berkompromi antara kaum... Dan mencapai sesuatu yang dapat diterima semua pihak. Ini sesuatu kejayaan yang besar gerakan rakyat masa itu. Tapi malangnya kerajaan British tidak terima..."

Malah Lee Ban Chen menganggap "Perlembagaan Rakyat" oleh AMCJA-Putera pada ketika itu, boleh diibaratkan bagai "Buku Jingga" oleh Pakatan Rakyat sekarang, memperlihatkan kematangan parti politik untuk bersepakat dengan kerangka tertentu pada peringkat itu untuk menentang penjajahan, katanya.

Ketika mengulas "Perlembagaan Rakyat" pada tahun 1947, Arumugam (gambar kanan) berkata wujudnya dua golongan gandingan politik ketika itu, iaitu golongan progresif dari bawah, yang menjaga "kepentingan rakyat"; sementera satu lagi kombinasi politik dari atas, yang berasaskan perkauman, misalnya UMNO, MCA dan MIC. British memilih untuk berunding dengan golongan UMNO, MCA dan MIC, untuk mengetepikan golongan progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Baca: A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).


http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12256

A.Samad: Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan

Lim Hong Siang | Sep 15, 2011 03:16:10 am

"Saya tidak fikir Tunku Abdul Rahman ini pejuang, sebab sebelum itu kita dengar Mat Kilau, Mat Indera, (Ahmad) Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan sebagainya. Ini memang orang-orang yang berjuang. Dan inilah orang-orangnya yang kita namakan pejuang. Sedang bagi saya, Tunku Abdul Rahman bukan orang berjuang. Dia menyambut. Dia adalah orang yang disetujui oleh Inggeris untuk menyambut kemerdekaan."

"...Dan penyambut kemerdekaannya, orang yang dirasakan oleh British, orang yang boleh jaga kepentingan yang ditinggalkannya."

Demikianlah kata-kata Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam satu forum berjudul "Milik siapakah kemerdekaan ini?" di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, semalam. Beliau yang pernah bekerja dengan Ahmad Boestamam, mengisahkan pengalamannya kepada kira-kira 50 orang hadirin, bagaimana Ahmad Boestamam dipanggil untuk berunding dengan Burhanuddin Al-Helmy dan Tunku Abdul Rahman, berhubung "bagaimana kemerdekaan itu harus disambut".

A.Samad Said (gambar kanan), atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, pernah bekerja di akhbarFikiran Rakyat, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam. Beliau pernah mengikut Ahmad Boestamam ke bangunan di mana perbincangan tersebut berlangsung, dan beliau dimaklumkan bahawa "British bersedia menyerahkan kemerdekaan ini, tapi perlulah diberikan kepada orang yang munasabah."

"Waktu itu, tentulah, orang yang munasabah, Tunku Abdul Rahman," katanya, yang mendakwa bahawa Tunku bekerja dengan British. Menurut beliau, British tidak berunding dengan "kelompok Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Burhanuddin" kerana dirasakan tidak akan menjaga kepentingan British, meskipun badan yang dipimpini tokoh-tokoh tersebut ditubuhkan lebih awal daripada UMNO.

"Kita bermula dengan orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British," simpulnya di akhir ucapan beliau. Malah, ketika wartawan cuba mengesahkan kenyataannya itu selepas forum berlangsung, beliau mengulangi bahawa "Tunku bukan pejuang, tetapi penyambut kemerdekaan"; bahkan beliau sempat berseloroh dengan wartawan, bahawa istilah "kemerdekaan" pada gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang diberikan kepada Tunku mungkin perlu digugurkan, kerana menurut Dr.Zainal Kling, negara kita tidak pernah dijajah.

Kuasa diwarisi oleh golongan bangsawan

"Dan sejak itu, berterus-terusan kita sebenarnya dijajah, atau (guna istilah) diperintahlah, agar lebih manis (didengar), diperintah oleh kelompok yang menyambut kemerdekaan. Dan kelompok ini datangnya daripada golongan bangsawan, selama 54 tahun."

Pak Samad menganggap kesemua Perdana Menteri Malaysia adalah daripada golongan bangsawan, termasuk Mahathir Mohamad yang mendapat gelaran "Tun" kemudiannya.

"Negara ini tidak pernah diperintah oleh orang yang berjuang untuk kemerdekaan," tegasnya. Untuk beliau, golongan bangsawan tidak dapat merasakan apa yang dirasakan oleh rakyat biasa, kerana "orang-orang ini mendapat kemewahan daripada awal, mendapat pendidikan percuma daripada awal, mendapat kedudukan daripada awal, mendapat keistimewaan daripada awal..."

"Saya dapat faham kalau orang Cina merasakan, dan saya juga dapat faham kalau orang India merasakan... Tapi akhirnya saya juga merasakan, bahawasanya betul orang Melayu mempunyai keistimewaan, tetapi keistimewaan kelompok atas saja. Rakyat lain...hampir sama saja," katanya.

Pak Samad berkata, keadaan sedemikian menimbulkan rasa ketidaksenangan, maka adalah mudah untuk mereka yang berada di atas untuk memainkan perasaan perkauman, agar tempat mereka dikekalkan. Beliau pernah diajukan soalan sama ada dirinya berasa terancam sebagai Melayu di negara ini, dan jawapannya tidak, kerana sejak merdeka, jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kebanyakan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri disandang oleh Melayu. Seandainya Melayu merasakan dirinya terancam, maka ia bererti pemimpin kita gagal, jelasnya.

Lee Ban Chen: UMNO mewarisi penjajahan

Sementara itu, penganalisa politik Lee Ban Chen menyifatkan kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 sebagai "kemerdekaan tiga suku", dan bukan "kemerdekaan yang tulen". Ini kerana British telah menolak perlembagaan rakyat ketika itu, sebaliknya memilih UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 untuk kerjasama.

Bagaimanapun, UMNO dalam Perikatan ataupun Barisan Nasional kemudiannya tidak mengisi nama dan bentuk kemerdekaan, sebaliknya mewarisi penggunaan akta-akta zalim dalam zaman penjajahan, misalnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang merintangi proses reformasi dan pendemokrasian negara kita, kata Lee Ban Chen (gambar kiri).

Pak Samad turut bersetuju bahawa "kita sebenarnya masih dalam pemerintahan penjajahan", kerana undang-undang zalim yang digubal ketika zaman British masih kekal sehingga kini. Malah, Menteri Dalam Negeri siang-siang mengingatkan tentang ISA ketika menangani isu BERSIH 2.0.

Dengan nada menyindir, Pak Samad berkata "yang menjadi wira sentiasanya UMNO", sementara "orang awal yang berjuang semuanya tenggelam". "Dan paling mudah untuk mengatakan bahawasanya mereka semua ini kelompok komunis yang jahat, dan komunis yang ingin mencengkam...",dan pada waktu yang sama pula kita berbaik-baik dengan komunis (China) yang ada - antara beberapa "keanehan" yang sedang berlaku di negara dewasa ini, katanya.

Seorang lagi panelis dalam forum ini adalah Arumugam, selaku Penasihat Tamil Foudation dan Pengerusi SUARAM. John Brian, iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Dayak dan blogger Dayak baru yang dibariskan sebagai panelis sebelum ini, gagal menghadirkan diri kerana masalah tertentu. Forum ini dipengerusikan oleh Adam Adli Bin Abd Halim, iaitu Pengerusi Legasi Mahasiswa Progresif UPSI.

Baca: Lee Ban Chen: Kenyataan Mat Sabu sesuatu yang pernah disetujui kerajaan

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

**Forum "Milik siapakah kemerdekaan ini?" ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masyarakat Madani Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Free Public Forum, Solidarity Mahasiswa Malaysia, Bahagian Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL& Selangor dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI).


http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12253

Komunisme, nasionalisme bertentangan dengan Islam

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan bahawa bukan sahaja ideologi komunis bahkan nasionalisme juga turut bertentangan dengan Islam.

“Perjuangan yang sebenar ialah perjuangan Islam yang berlainan sama sekali dengan perjuangan komunis dan juga berlainan sama sekali dengan perjuangan nasionalisme yang juga turut tidak selari dengan Islam,” kata beliau.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tentang histeria politik tanah air sekarang yang seolah-olah menggambarkan hanya komunis yang bertentangan dengan Islam tetapi lupa bahawa ideologi nasionalisme juga turut bercanggah dengan Islam.

Ini sepertimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w tentang larangan berjuang di atas nama asobiyyah yang menyeru ke arah memperkukuhkan kezaliman di atas muka bumi.

“Dalam sunan Abi Daud, Nabi kita Rasulullah s.a.w. menegaskan secara tersangat jelas tentang bahana bahaya dan haramnya asobiyah iaitu semangat nasionalisme yang membantu golongan yang zalim yang menganiaya mereka yang tidak bersalah dengan meninggalkan ajaran Islam,” ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir Terengganu.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada satu hadis di dalam sunan Abi Daud yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, bukan daripada kalangan kami mereka yang menyeru kepada asobiyyah, dan bukan di kalangan kami mereka yang berjuang di atas asobiyyah dan bukan di kalangan kami mereka yang mati di atas perjuangan asobiyyah.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5425-komunisme-nasionalisme-bertentangan-dengan-islam?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&utm_campaign=harakahdaily

Naluri manusia mahu hidup merdeka

Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Kenyataan Sempena Hari Pembentukan Malaysia

Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan. Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

13 September 2011



http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/5391-naluri-manusia-mahu-hidup-merdeka

Saya lihat kehadiran British sebagai penjajahan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: “Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.

Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.

Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.

Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.

Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).

Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).

“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.

Berikut tulisan penuh beliau.

YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.

Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.

Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.

Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:

"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."

Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.

Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.

Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.

Profesor Datuk Dr Zainal Kling.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5448-saya-lihat-kehadiran-british-sebagai-penjajahan

Kerajaan akui ISA zalim - GMI

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula sedar kebangkitan rakyat yang mahukan kebebasan dalam demokrasi yang merupakan mesej yang dibawa oleh GMI sendiri.

"Ini sebagai pembuktian berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini.

"Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka dan dinamik demokrasinya," kata beliau pada sidang media tergempar GMI bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, hari ini.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai kejayaan GMI, beliau juga berkata, pengumuman itu membuktikan ISA digunakan ke atas individu yang berbeza ideologi politik dengan kerajaan.

"Beliau (Najib) memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

"Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA," katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dan isterinya yang juga aktivis GMI, Norlaila Othman dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nuridah Salleh.

Masih ragu-ragu

Pengumuman itu yang dibacakan Najib dalam pengumuman khas malam tadi sempena hari Malaysia itu bagaimanapun masih diragui GMI.

Antara persoalan yang timbul mengenai segala peruntukan dalam ISA khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan kuasa yang digunakan polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal?

"Kelihatannya perintah mahkamah dikecualikan untuk undang-undang berkenaan," katanya.

GMI juga mahu kerajaan menyatakan dengan jelas bila ISA akan betul-betul dimansuhkan dan semua tahanan akan dibebaskan.

"Berapa lamakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Jika memakan masa sehingga dua tahun sebagaimana tempoh pertama kali PM sebutkan tentang keji semula ISA sehingga sekarang, maka jangan salahkan rakyat jika menganggap pengumuman ini sebagai umpan dan sandir\wara pilihan raua ke 13 serta survival politik BN," katanya.

Selain itu tegasnya, kerajaan harus menutup Kem Kamunting serta merta selepas membebaskan tahanan di dalamnya.

"Apa akan jadi dengan Kem Kamunting? Kem ini mesti ditutup dan dijadikan warisa dunia seperti Robben Island di Afrika Selatan sebagai pengajaran kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di bawah ISA," tegasnya.

Najib juga katanya harus membentangkan usul pemansuhan ISA pada sesi Parlimen akan datang.

Perkara tersebut turut disokong Nuridah yang meminta Najib membuktikan keikhlasannya untuk memasuhkan akta zalim itu.

"Kita minta kerajaan melihat gesaan -gesaan GMI ini dan membentangkan usul pemansuhan ISA ini ke Parlimen pada sesi terdekat ini kalau betul-betul ikhlas nak mansuhkan ISA," katanya.

Minta pampasan

Sementara itu, GMI turut menuntut kerajaan memohon maaf dan membayar papmpasan setara kepada tahanan ISA setimpal dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang dilalui tahanan dan keluarga mereka.

Selain itu, GMI mahu mereka yang terlibat dalam meyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan.

"Kerajaan, menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.

Norlaila yang turut meminta kerajaan membayar pampasan kepada mangsa pula berkata, ianya perlu kerana banyak kes penceraian berlaku akibat suami ditahan ISA.

"Saya tuntut pampasan daripada kerajaan kerana adakah kerajaan sedar ada isteri meminta cerai apabila suami ditahan ISA dan tahanan yang keluar hilang pekerjaan dan sukar untuk mendapat pekerjaan baru serta masih dianggap pengganas," katanya yang aktif berjuang dalam GMI selama tujuh tahun suaminya ditahan di Kem Kamunting.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5445-kerajaan-akui-isa-zalim-gmi

Najib "tunduk" tuntutan Buku Jingga

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Biarpun pengumuman perdana menteri malam ini dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah menciplak janji Pakatan Rakyat seperti dimuatkan dalam Buku Jingga, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, tawaran perubahan Pakatan Rakyat lebih luas berbanding beberapa perubahan yang telah diumum Datuk Seri Najib malam ini.

"Perjuangan kita menentang akta zalim ini sudah lama dahulu, cuma Umno BN ni lambat faham.

"Apa yang saya boleh kata, akhirnya BN tunduk dengan tuntutan kita dalam Buku Jingga," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri malam ini yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan BN sangat terdesak untuk menarik sokongan rakyat berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Apatah lagi ujarnya, ucapan Najib tersebut tidak memberi fokus kepada kemerdekaan negara, malah lebih kepada janji perubahan politik mendepani pilihan raya.

"Realitinya Najib dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dalam PRU-13 sehingga beliau berani merombak apa yang sebelum ini dipertahankan sungguh-sungguh," kata Tuan Ibrahim lagi.

Jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik katanya lagi, perdana menteri itu perlu juga memastikan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki termasuk lapan perkara yang terkandung dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sementara itu, beliau juga turut membidas sikap Najib dan Umno BN yang sehingga kini masih berdiam diri dalam menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Prefesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, namun hanya dinaungi British.

"Rakyat masih menunggi pendirian rasmi kerajaan berhubung perkara itu," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5439-najib-qtundukq-tuntutan-buku-jingga

Akhirnya Najib akui demokrasi negara pincang

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhirnya "mengakui demokrasi negara selama ini tidak berfugsi", kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respon awal terhadap pengumuman yang dibuat Najib dalam Perutusan khas Hari Malaysia yang disiar secara langsung oleh RTM malam ini.

"Selepas 5 desawarsa, Najib akhirnya mengiktiraf demokrasi di negara ini tidak berfugsi," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam prutusan khas perdana menteri, Najib turut mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurut Najib, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Jangan terlalu selesa

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor menganggap pengumuman tersebut juga sebagai kejayaan rakyat, NGO, aktivis demokrasi serta parti pembangkang yang selama ini telah lama mendesak perkara itu dimansuhkan.

Malah ujarnya, pengumuman itu hanya sebahagian kecil daripada perubahan yang dituntut rakyat untun menjadikan demokrasi negara benar-benar berfungsi.

Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat agar jangan terlalu selesa dengan pengumuman itu kerana apa yang diumumkan perdana menteri malam ini hanya dalam bentuk "janji lisan".

"Kita yakin ini hanya janji dan slogan saat-saat akhir bagi meraih sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Apa yang lebih penting, rakyat mahu melihat dalam praktik dan amalannya," katanya yang juga pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tambahnya lagi, apa yang diumumkan Najib itu juga adalah apa yang telah diumumkan Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu prubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari menguasai Putrajaya.

"Ini yang kita maksudkan reformasi politik sebelum datang transformasi ekonomi yang Pakatan Rakyat komited untuk lakukannya.

"Kita tak kisak mereka tiru pendekatan kita dalam Buku Jingga. Janji ianya untuk kebaikan rakyat keseluruhan," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5438-akhirnya-najib-akui-demokrasi-negara-pincang

Unit Amal sertai perarakan merdeka dibatal

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 15 Sept: Unit Amal Temerloh kecewa apabila penyertaan mereka dalam perarakan sambutan merdeka di bandar ini esok dibatalkan pada saat akhir walaupun sebelum ini diundang secara rasmi.

Ketuanya, Meor Darul Zakbar Endut, berkata cara pembatalan penyertaan mereka yang hanya disampaikan melalui lisan dan terburu-buru juga dianggap seolah-olah tidak menghormati pihak lain.

“Kami Pemuda Unit Amal sudah biasa menyertai perarakan, jadi apabila PAS kawasan dijemput secara rasmi oleh penganjur sambutan kemerdekaan ke-54 dan mewakilkan kami untuk perarakan itu, kami gembira.

“Semasa rehearsal hari semalam kami masih boleh berarak dengan lain-lain kontinjen. Tetapi pagi ini apabila 30 orang Unit Amal mahu menyertai rehearsal kedua, pegawai polis selaku penyelaras sambutan telah melarang kami untuk berarak dan memita kami tidak lagi terlibat untuk perarakan sebenar besok,” katanya ketika menemui Harakahdaily.

Tambahnya, beliau kesal tidak diberikan sebab mengapa penyertaan Unit Amal dibatalkan sedangkan sebelum ini dijemput.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kawasan Temerloh Ahmad Zubir Omar, mengesahkan PAS telah dipelawa menyertai perarakan kemerdekaan tersebut melalui surat rasmi yang ditujukan kepadanya.

Bagaimanapun setelah mendapat maklumat Unit Amal PAS dihalang, beliau telah menelefon seorang pegawai polis.

“Pegawai berkenaan hanya memaklumkan mereka menerima arahan dari pihak atasan,” katanya.

Pasukan Unit Amal kawasan pernah mendapat tempat ketiga pada perarakan kemerdekaan pada 2009.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5436-unit-amal-sertai-perarakan-merdeka-dibatal

Nik Aziz: ISA dimansuh kerana terdesak

Posted by admin on September 16th, 2011

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebagai langkah di saat-saat terdesak.“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.“Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.

“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.

Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.

Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.

“Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

“Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus,” kata Najib.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

“Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,” tambah beliau.

Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.

Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.

“Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar ‘Membangun Bersama Islam’ iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.


http://www.kl-today.com/2011/09/nik-aziz-isa-dimansuh-kerana-terdesak/

Zainal Kling tukar pendirian?

Posted by admin on September 16th, 2011

Prof Dr Zainal Kling (gambar) dari Majlis Profesor Negara, yang sejak minggu lalu berhadapan dengan kritikan ekoran pendiriannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, hari ini menjelaskan pendiriannya — beliau juga melihat kemunculan kuasa Eropah itu sebagai satu “penjajahan.”“. . . ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata beliau dalam e-mel penjelasan kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, kata beliau, terdapat sedikit perbezaan antara penjajahan berbentuk koloni seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang serta di Kanada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk “protectorate” dalam Negeri-negeri Bersekutu dan Negeri-negeri Tidak Bersekutu.

Katanya, Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah koloni, maka institusi raja tersebut terhapus begitu sahaja.

“Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah ‘protectorate’ maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini.

“Perbezaan ‘tipis’ (seperti kata Pakar Perlembagaan Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang,” kata Zainal lagi.

Selain Zainal, pendirian yang seiring juga dilontarkan oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Kenyataan mereka mengundang kontroversi baru ketika polemik mengenai kenyataan berkaitan tragedi Bukit Kepong pula belum reda.

Malah awal minggu ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.

Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”

“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.

“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.

Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Bagaimanapun Aziz dan Pengerusi Yayasan 1 Malaysia Dr Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan pendirian mereka sambil menegaskan negara ini pada hakikatnya telah dijajah oleh kuasa asing termasuk British.

Dalam penjelasannya, Zainal juga berkata, Negeri-negeri Bersekutu atau Negeri-negeri Tidak Bersekutu tidak pernah menjadi koloni atau tanah jajahan British.

“Tanah Melayu tidak pernah terjajah kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk ‘penjajahan’.

“Penilaian pengkaji sejarah kolonialisme British terhadap perilaku ‘penjajahan’ British itu disifatkan sebagai ‘breach of trust’ dan ‘indirect rule’. . . mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih,” katanya.

Kata beliau, pada realitinya ketika zaman British ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Terengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara koloni dan ‘protectorate’ berbeza tetapi kesan dari pentadbiran ‘protectorate’ adalah juga penjajahan.

“Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai pecah amanah. Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai pemerintahan tak langsung. Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai ‘penjajahan’ juga,” tambah beliau.

Pemuda PAS pula hari ini membuat laporan polis terhadap Dr Zainal berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil.


http://www.kl-today.com/2011/09/zainal-kling-tukar-pendirian/


Tuesday, September 13, 2011

Zainal dan Ghani cuba tukar sejarah

Zulkifli Sulong

Kenyataan Profesor Zainal Kling bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British telah menimbulkan pelbagai polemik baru.

Kenyataan Zainal setaraf sahaja dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tiba-tiba menukar kenyataannya kepada Mat Indera adalah komunis.

Sedangkan, melalui buku 'Pengukir Nama Johor' yang diterbitkan pada tahun 2004 oleh Yayasan Warisan Johor, Mat Indera dinobatkan sebagai salah seorang hero Johor.

Buku itu merekodkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis.

Namun kerana Umno sudah berpendirian Mat Indera adalah komunis dan bukannya pejuang kemerdekaan, Abdul Ghani terpaksa menukar kenyataan kepada Mat Indera adalah komunis.

Semuanya mahu mengesahkan bahawa Umno sentiasa tidak salah walaupun Ghani terpaksa menukar balik kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya sebelum ini.

Namun nampaknya pegangan Mat Indera adalah komunis tidaklah sekejap mana, mungkin kerana ia banyak bertentangan dengan fakta sejarah.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia (gambar) di muka depannya mencatatkan Mat Indera bukan lagi komunis tetapi "lelaki tempatan yang bersekongkol dengan komunis."

Kes Zainal Kling pun sama sahaja.

Mohamad Sabu mendakwa hero sebenar peristiwa Bukit Kepong adalah Mat Indera bukannya polis yang bertugas di rumah pasong Bukit Kepong itu.

Ini kerana, kata Mat Sabu, Mat Indera menyerang rumah pasong British kerana polis ketika itu (tahun 1950) adalah polis British yang sedang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu.

Jadi untuk membetulkan versi Umno bahawa polis ketika itu adalah bertugas untuk tanah air, negara dan bangsa, datanglah Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara berkata, negara tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penaung sahaja bukan penjajah.

Jika tanah Melayu ketika itu tidak dijajah oleh British maka betullah kata Umno bahawa Mat Sabu telah menghina polis yang berpejuang mempertahankan negara.

Inilah cerita yang cuba hendak diberikan kepada rakyat negara ini.

Komen Husam

Saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam.

Bagi Husam, kerajaan khasnya Menteri Pelajaran perlu menarik balik semua buku sejarah di sekolah-sekolah di negara ini jika benar kenyataan yang dibuat oleh Profesor Zainal Kling, negara ini tidak pernah dijajah.

"Saya mahu Umno termasuk perdana menteri, timbalan dan khasnya Menteri Pelajaran membuat pendirian, apakah sikap mereka terhadap kenyataan itu.

"Jika benar kenyataan itu, semua buku teks sekolah perlu ditulis semula," kata Husam kepada wartawan Harakahdaily. (Lihat video di sini).

Beliau mengulas kenyataan Zainal Kling yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi sahaja.

Bagi Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu kerana dia ahli Umno.

Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara.

"Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa.

"Prof Zainal kena bertaubat dan jangan melampau dengan memutar belitkan fakta sejarah," kata Husam.


Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka.

Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah.

Bagi Husam, jika kita menganggap orang puteh adalah rakan kita yang sama-sama mentadbir negara ini, ia satu usaha untuk merombak dokumen sejarah.

Ini kerana, bagi orang puteh, Tanah Melayu adalah sebahagian dari negara koloni mereka.


Jika kita bersetuju dengan kenyataan itu, kata Husam, kita juga kena berkata bahawa JWW Birch, residen British yang dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak adalah rakan kita juga bukannya penjajah.

"Orang puteh ini pandai, mereka tidak buang raja tetapi mengaut semua harta negara kita. Kalau mereka buang raja, sudah tentu rakyat negara ini memberontak dan menghalau mereka," kata Husam.

Inilah kisahnya dan lihatlah dari perspektif yang betul agar kita tidak tertipu oleh sejarah kerana ada yang berkata "yang menang menulis sejarah, yang kalah menulis pusi".


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakahdaily/5380-zainal-dan-ghani-cuba-tukar-sejarah

Mat Sabu lawan Zainal Kling

Ahmad Lutfi Othman


Sejarah memang memerihalkan perkara yang sudah berlalu, namun ia bukan benda mati, malah pentafsirannya cukup dinamik, hidup dan sentiasa berkembang, sehingga boleh merumuskan pelbagai persepsi. Fakta sejarah sukar dibohongi tetapi "pihak yang menang" mempunyai pengaruh tersendiri untuk "memesongkannya".

Begitulah menariknya polemik sejarah kemerdekaan negara, yang tiba-tiba saja menarik perhatian semua lapisan masyarakat mengikutinya daripada dekat, apabila ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan Utusan Malaysia dan hingga kini, selepas lebih dua minggu, masih menjadi tajuk utama akhbar dan berita TV.

Mat Sabu mungkin tidak mempunyai disiplin ilmu sejarah yang baik, seperti beberapa orang anggota Majlis Profesor Negara (MPN), misalnya Prof Zainal Kling dan Prof Ramlah Adam, namun beliau berupaya untuk memaksa "tafsiran baru" dibuat terhadap sejarah perjuangan menghalau penjajah.

Bagi saya, beliau berjaya -- melalui gaya tersendiri -- "menganjurkan" satu perdebatan yang sihat dan diharap membuahkan hasil yang positif dan adil kepada sejarah negara. Terjahan awal Zainal Kling yang mendakwa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, pastinya tidak terhenti di situ sahaja.

Dan tidak mustahil tafsiran Mat Sabu terhadap sejarah kemerdekaan negara akhirnya akan lebih diyakini khalayak berbanding dua profesor yang dikenali sebagai cukup rapat dan dekat dengan Umno itu. (Pengalaman saya membaca buku-buku Ramlah Adam dapat mengesan "kecurigaan" dan "buruk sangka" yang ketara kepada tokoh-tokoh golongan kiri, seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain).

"Kalau bukan disebabkan media secara berlebihan memainkan isu ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong, saya pasti ramai di kalangan kita tidak pernah kenal apa itu pertubuhan politik seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malayu) atau API (Angkatan Pemuda Insaf)," kata seorang rakan, pensyarah kanan sains politik.

"Dan mungkin ada yang beranggapan lokasi Bukit Kepong itu berada di sekitar Kepong atau Jinjang," tambahnya, sambil ketawa. "Di sinilah hebatnya Mat Sabu. Sejarah yang mungkin dianggap sudah mati itu kembali segar-bugar. Kepada saya, biarlah orang berdebat siapa Mat Indera, dan pula siapa petualang dan pejuang kepada negara."

Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN dalam sidang media di Putrajaya mendakwa, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun. Beliau juga menafikan gerakan kiri sebagai golongan memperjuangkan kemerdekaan.

Kenyataan Zainal sebenarnya tidaklah mengejutkan. Ia dilihat mewakili aspirasi perjuangan Umno, yang lebih bertindak sebagai "perunding" dalam fasa-fasa akhir menuntut kemerdekaan. Ya, di sinilah menariknya perbahasan yang dicetuskan Mat Sabu itu, yang bakal menyerlahkan perbedaan besar di antara peranan Umno dengan parti-parti terdahulu yang diharamkan penjajah British.

Saya tidak pasti di manakah kedudukan penentang-penentang British, yang mempertaruhkan nyawa demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah seperti Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Maharajalela, Tok Janggut dan Rosli Dhobi, pada kacamata Zainal dan orang-orang seumpamanya?

Saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya tokoh-tokoh awal, seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam, yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk menentang British.

Bukan mengenangkan kepayahan mereka diburu penjajah, dengan kelengkapan yang cukup minimum, tetapi kesukaran untuk meyakinkan anak bangsa sendiri -- terutama yang merasa selesa di bawah dagu orang putih -- bahawa mereka perlu bangun daripada lena yang panjang, selain menimbulkan kesedaran awal pemikiran politik.

Sebelum menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938, Ibrahim Yaakub memimpin gerakan pelajar, Ikatan Pemuda Pelajar pada 1929, seterusnya pada 1930, Ikatan Semenanjung Borneo, yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, sehinggalah British menghancurkan gerakan itu pada 1932.

Sekiranya nasionalis Umno hanya baru sedar untuk membebaskan diri daripada penjajahan selepas konsep Malayan Union diperkenalkan pada 1946, anak-anak Melayu yang terdidik di Timut Tengah, terutama di Universiti Al-Azhar sudah menjiwai roh kemerdekaan sejak awal 1900-an lagi, dipengaruhi mujaddid agung Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

Tidak hairanlah apabila majalah al-Imam, yang dikeluarkan pada 22 Julai 1906 di Singapura oleh tokoh-tokoh pembaharu Islam, Kaum Muda, mengungkapkan dengan jelas tujuan penerbitannya: "Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan."

Dari segi organisasi yang lebih teratur, perjuangan ini diteruskan dengan kelahiran Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak, pada 14 Mac 1948, di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Dalam kenyataannya pada 26 April 1948, Dato Onn Jaafar mengingatkan satu lagi "bahaya dari gunung" dan menyifatkan "Parti Islam itu Merah". Onn berjaya menghasut British bahawa Hizbul Muslimin prokomunis.

Melalui Akta Darurat 1948, pada 29 Julai tahun sama, semua pemimpin Hizbul Muslimin, termasuk Abu Bakar, ditangkap dan dipenjarakan sehinggakan tiada yang tinggal untuk memimpin. Parti itu turut diharamkan. Ramai pengkaji menyifatkan penubuhan PAS pada November 1951 adalah kesinambungan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah itu.

Saya tidak bermaksud mahu bermain dengan fakta sejarah. Saya percaya perdebatan status Tanah Melayu, sama ada sebagai negara jajahan ataupun naungan British akan menarik pembabitan lebih ramai sejarahwan yang jujur dengan ilmunya untuk berkongsi pandangan.

Implikasi perbahasan itu juga menjangkaui skop yang jauh lebih besar, termasuk memberi kesan besar terhadap situasi politik terkini. Ia bukan lagi berlegar di sekitar kontroversi Mat Indera dan Bukit Kepong semata-mata. Dan inilah yang saya jangkakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Isu ini mulanya dicetuskan oleh Utusan Malaysia bagi menjerat Mat Sabu dan PAS itu sendiri, iaitu sebuah parti yang dilihat bakal memberi saingan paling sengit buat Umno, khususnya untuk merebut simpati dan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13. Ia juga diharapkan BN bagi menenggelamkan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti kenaikan harga barangan dan pelbagai skandal kewangan, serta yang terbaru caj perkhidmatan enam peratus telefon prabayar.

Menjadi kelaziman kepada strategis Umno untuk meneropong kegiatan dan kenyataan pemimpin pembangkang dengan sehalus-halusnya, untuk dimanipulasi dan diputarbelitkan, bagi menggambarkan kepada rakyat kelemahan Pakatan Rakyat.

Saya boleh bersetuju dengan pandangan seorang rakan yang mengingatkan bahawa dalam PRU13 nanti kemenangan bukan ditentukan oleh kehebatan parti atau calon yang bertanding, tetapi difaktorkan oleh "kesilapan paling minimum" yang dilakukan parti atau calon berkenaan.

Maknanya, mereka yang melakukan kesilapan lebih banyak akan mudah untuk ditumpaskan.

Di peringkat awal, nampak kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera itu (dan bukannya tentang sejarah kemerdekaan negara) seperti mudah dieksploit Umno, terutama kepada bekas anggota keselamatan dan orang-orang tua di kampung-kampung, tetapi apabila skop perbincangannya menjadi lebih meluas, saya yakin kedudukannya menjadi lebih seimbang.

"Saya rasa kesungguhan luar biasa media Umno menimbulkan isu Mat Sabu, Mat Indera dan sejarah kemerdekaan negara ini boleh menikam balik dirinya," rumus seorang penganalisis politik.

"Apa pun, saya ingatkan kepada pemimpin pembangkang, berhati-hatilah daripada terjebak dengan perangkap Umno menjelang pembubaran Parlimen. Banyak isu yang sedia memihak Pakatan Rakyat, selain menampilkan gabungan mantap yang diyakini rakyat untuk mengambil alih Putrajaya," tambahnya.

Sekurang-kurangnya kini terpampang dengan lebih jelas wajah Umno yang propenjajah, di mana pemimpinnya sejak sebelum merdeka sehinggalah hari ini, lebih memikirkan soal kepentingan dan kesenangan diri. Dengan kata lain, Umno dan British saling perlu-memerlukan.

Dalam buku Perniagaan British di Malaysia Pascapenjajah 1957-70 (terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010), Nicholas J White mengungkapkan: "Pada masa bunga tahun 1959, usaha diambil pada peringkat menteri untuk mendekati pelbagai pemimpin perniagaan British bagi mendapatkan dana bagi membantu Perikatan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Diharapkan M$500,000 dapat dikumpulkan daripada perniagaan Eropah. Oleh sebab wakil ekspatriat memang dijangka kehilangan tempat mereka dalam badan perundangan Malaysia pada akhirnya, maka Tan Siew Sin, Menteri Perdagangan dan Industri, menjelaskan bahawa firma British 'pasti menyumbang untuk menyokong kerajaan

yang memegang tampuk kuasa, dan kerana (mereka) tidak mungkin mengharapkan layanan lebih baik daripada mana-mana parti yang lain berbanding dengan layanan oleh Perikatan, sudah tentu dasar yang baik bagi mereka adalah untuk berusaha sedaya upaya demi memastikan Perikatan terus memegang kuasa dengan besar'."


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/5362-mat-sabu-lawan-zainal-kling

Pendirian PAS dalam kontroversi isu sejarah

Tuan Ibrahim Tuan Man

1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu.

Ini pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno. Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu.

Kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat.

Dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini. Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media.
Firman Allah berkata:

"Sesungguhnya Tuhan kamu akan menjelaskan di hari akhirat apa yang kamu perselisihkan.”

Sehubungan itu, semua pihak harus kembali kepada akhlak Islam dan gesaan Rasulullah agar tidak memberi gelaran yang buruk kepada yang telah meninggal dunia.
Kita juga harus bersangka baik ketika menilai status Mat Indera, sedangkan kita tidak mengetahui sejauhmana tuduhan itu betul dan pada masa yang sama beliau tidak dapat membela dirinya.

Mungkin di saat kehidupannya, beliau ada melakukan kesilapan sebagai manusia biasa, namun kita dituntut baik sangka kepada beliau, mungkin dalam tempoh tahanan beliau telah bertaubat dan memohon keampunan dari Allah, apatah lagi beberapa maklumat penjaga kubur memberikan gambaran baik terhadap beliau.

Fakta yang ada saling bertentangan antara satu sama lain. Di satu pihak, beliau tidak pernah menganut fahaman komunisme, seorang penghafal Quran, berakhlak baik sebagaimana yang ditulis dalam buku Pengukir Nama Johor.

Belah satu lagi pula membuat pelbagai tuduhan negatif yang menyatakan beliau adalah sebaliknya.

Yang ada hanyalah warisnya yang membuat penafian semua tudahan liar itu. Apakah ada yang lebih hampir selain waris bagi kita berbaik sangka kepada beliau?

Dalam isu ini, PAS telah membuat pendirian yang jelas. Namun, kami percaya sebagaimana jelas pun pendirian kami, media perdana milik Umno tetap akan memutar kenyataan untuk menutup segala isu-isu rakyat yang lebih meruncing seperti kenaikan harga barang, isu penyelewengan daftar pilihanraya, isu memberikan kerakyatan untuk mendapatkan undi, isu rasuah, isu pembaziran Kementerian Pertahanan, isu penjualan saham Esso dan MAS, isu cincin RM24 juta, isu Bersih 2.0 dan terbaru isu cukai topup 6 peratus.

PAS juga meminta semua ahli dan seluruh umat islam mengadakan solat hajat dan tahlil arwah sempena Hari Malaysia 16 September kepada seluruh pejuang kemerdekaan dalam menentang penjajahan Inggeris, termasuklah kepada roh Mat Indera, Dr Burhanudin Helmy, Dr Zulkifli Mohamad dan selainnya. Majlis ini juga diharap akan membangkitkan semangat jihad bagi menegakkan keadilan dan kemenangan dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Diharapkan juga agar seluruh kawasan mengadakan ceramah khas erti kemerdekaan dari perspektif Islam. Semoga dengan majlis ini akan memperkukuhkan ingatan kita kepada perjuangan generasi awal dalam memerdekakan negara dari penjajahan asing.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
9 September 2011


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-penerangan/5310-pendirian-pas-dalam-kontroversi-isu-sejarah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...