Showing posts with label Duit Kutu. Show all posts
Showing posts with label Duit Kutu. Show all posts

Friday, October 29, 2010

'Saya difitnah'

KUALA LUMPUR: “Saya difitnah, individu yang mendakwa duit mereka lebur selepas bermain ‘kutu’ anjuran saya tidak benar, kerana mereka tidak pernah melabur pun, sebaliknya meminjam wang daripada saya,” kata Hajar Bee Bee Tajuddin, 48.

Dia tampil bagi membersihkan namanya yang didakwa kakitangan hotel di Chow Kit dikenali sebagai Siti Khadijah, 46, yang mendakwa duit pelaburan dan barang kemasnya bersama 10 kakitangan hotel lain lebur selepas melabur dengannya.


Menurutnya, dia menjadi mangsa fitnah individu yang berniat memburukkan namanya atas sebab tertentu terutama mengelakkan diri daripada membayar hutang dengan dirinya yang melebihi RM10, 000.


“Siti Khadijah ini, diperkenalkan kepada saya oleh rakan ketika dia mengalami masalah kewangan dan memerlukan duit menebus barang kemas yang dipajaknya “Tempoh menebus barang kemas itu hampir tamat dan dia minta saya tolong tebus dan membenarkan saya melaburkannya untuk tujuan perniagaan,” katanya.

Hajar Bee berkata, individu yang menuduhnya itu beranggapan barang kemasnya pelaburan dan inginkan imbuhan daripadanya, tetapi mereka tidak sedar tentang duit yang mereka pinjam untuk menebus barang kemas berkenaan.


“Kalau betul mereka mahukan barang kemas mereka semula, bayar dulu hutang yang dipinjam daripada saya sebelum saya memulangkannya.

“Dakwaan ini ditimbulkan mungkin kerana mereka tidak mahu membayar hutang saya dan pada masa sama memburukkan nama saya serta keluarga,” katanya.


Menurutnya, dia berharap individu berkenaan menghentikan perbuatan memfitnah dan memburukkan namanya kerana dia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.


Harian Metro semalam melaporkan 11 kakitangan hotel rugi puluhan ribu ringgit kerana terpengaruh dengan janji manis seorang wanita.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayadifitnah/Article/index_html

Thursday, October 28, 2010

Duit ‘kutu’ lebur

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dikesan menganjurkan permainan kutu dengan mensasarkan pekerja berpendapatan rendah sebagai mangsa sebelum menghilangkan diri bersama wang yang dilaburkan itu.

Bagi meyakinkan mangsa, wanita berusia 48 tahun itu menjanjikan pulangan 100 peratus dalam tempoh seminggu selepas wang mangsa dilaburkan.


Yang menghairankan, wanita itu membayar keuntungan dijanjikan kepada pelabur untuk tempoh tertentu sebelum pelabur sama melaburkan semula wang dengan jumlah lebih banyak dan ketika itu mangsa menghilangkan diri.


Malah, wanita itu juga hanya berurusan dari dalam kereta. Alasannya bagi mengelak dicekup polis.

Setakat ini, 11 kakitangan sebuah hotel di Chow Kit mengadu diperdaya wanita berkenaan hingga mengakibatkan kerugian puluhan ringgit dan barangan kemas sejak mereka bermain kutu anjuran wanita terbabit tiga bulan lalu.


Wanita itu menggunakan alasan mahu menolong mereka berpendapatan rendah menyebabkan ramai kakitangan tertarik menyertainya. Bukan itu saja, dia juga memberi pilihan kepada kakitangan berkenaan melabur dalam bentuk emas sekiranya tiada wang.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Khadijah, 46, berkata dia tidak menyangka janji manis wanita itu hanya bertahan tiga minggu sebelum semua wang pelaburannya lesap begitu saja.


Katanya, wanita itu diperkenalkan rakan sekerjanya di sebuah hotel menyebabkan dia bersama 11 rakan lain turut menyertainya.


“Pada mulanya pelaburan yang dibuat nampak mudah dan meyakinkan apabila diberitahu pulangan diperoleh genap seminggu bergantung kepada jumlah pelaburan yang dilakukan.


“Dia juga memberi jaminan pelaburan dilakukan membawa pulangan sehingga 100 peratus dan keuntungan itu halal kerana wang pelaburan berkenaan digunakan bagi membiayai perniagaan mereka yang daif dan miskin,” katanya.


Katanya, tertarik dengan keuntungan dijanjikan memberi barangan kemas miliknya bernilai RM5,000 dan wang RM1 000 kepada wanita terbabit Julai lalu.


“Saya tidak menerima resit rasmi bagi menunjukkan bayaran yang dibuat tetapi nama saya direkodkan dalam buku nota yang sering dibawa wanita itu bersama-sama beberapa nama pelabur lain di dalamnya,” katanya.


Katanya, wanita itu dikenali sebagai Hajar Bee Bee Tajudin, 48, berasal dari Perak dan dipercayai berkahwin dengan warga asing.


Susulan kejadian itu, menurutnya, dia dan rakan lain membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi minggu lalu kerana wanita itu gagal membayar keuntungan seperti dijanjikan.


Berikutan itu, polis sedang mengesan wanita berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Duit__8216_kutu__8217_lebur/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...