Tuesday, July 14, 2009

Mafia betina

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,”
katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.


“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

H1N1: 60 siswa UiTM Lendu diasingkan

Jul 13, 09 3:21pm

Buat pertama kali dalam rekod penularan wabak influenza A (H1N1), kes tempatan mengatasi kes import - masing-masing 34 dan 28 kes - menjadikan jumlah keseluruhannya 772 kes.

Susulan penularan meluas gejala wabak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka yang dikesan mulai Sabtu lepas, 60 pelajar kini diasingkan.

Empat pelajar telah disahkan positif virus A (H1N1).

Dengan pertambahan 62 kes baru itu, 237 kes melibatkan penularan tempatan dan 535 kes lagi import (lihat carta jumlah kes mingguan).

"Tiada kematian dilaporkan. Daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 menerima rawatan pesakit luar, sementara 10 lagi telah dimasukkan ke wad," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan pesakit influenza A (H1N1) yang disahkan, sejumlah 685 atau 89 peratus telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk
mereka yang menerima rawatan pesakit luar,"
katanya lagi.

Dalam kenyataan hariannya, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklum bahawa terdapat satu kumpulan kes influenza dikesan di kalangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada Sabtu lepas.

"Seramai 60 pelajar dengan gejala influenza telah diletakkan bawah pengasingan di kolej berkenaan.

"Ujian makmal telah dijalankan secara rawak pada 11 Julai melibatkan lima pelajar. Hasilnya, empat pelajar disahkan positif jangkitan influenza A(H1N1),"
tambahnya.

"Sehingga kini, dua orang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala tiga pelajar lagi diletakkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

"Semua dalam keadaan stabil."


Kerjasama antara pengurusan tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Melaka telah diadakan bagi membincangkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, kata Dr Mohd Ismail.

Langkah-langkah itu termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta proses pembasmian kuman (dekontaminasi) ke atas semua blok penginapan dan pengasingan, dewan kuliah dan bangunan-bangunan lain yang digunakan pelajar.

Dalam kenyataannya semalam, kementerian memaklumkan Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup sehingga Rabu ini yang melibatkan 1,456 pelajar, guru dan kakitangan susulan dua pelajarnya dijangkiti virus wabak tersebut.

Selain itu, semua pelajar Tingkatan 4 Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur telah dikenakan tindakan kuarantin di rumah masing-masing - berkuatkuasa sehingga Rabu ini.

Khamis lalu, wujud gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Seramai 12 orang disahkan diserang wabak antara 4 hingga 8 Julai, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.

"Punca kejadian kemungkinan berlaku di syarikat berkenaan berdasarkan siasatan mendapati syarikat berkenaan sentiasa menerima pelawat-pelawat dari luar negara," kata kementerian.

Rabu lalu pula, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif.

"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan,"
kenyataan kementerian dipetik.

Susulan merebaknya wabak tersebut di syarikat swasta itu dan ALAM, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, "ini memberi petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti."

Dua penuntut UiTM dimasukkan ke hospital, tiga kuarantin rumah

Isnin Julai 13, 2009

KUALA LUMPUR: Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka dimasukkan ke Hospital Melaka manakala tiga lagi diletakkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing kerana dijangkiti Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tiga yang menjalani kuarantin di rumah itu membabitkan dua di Selangor dan seorang di Kuala Lumpur.

"Semua mereka berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Melaka telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan wabak itu.

Antaranya, mengadakan aktiviti saringan terhadap penuntut lain yang terdedah serta dekontaminasi terhadap semua blok penginapan dan isolasi, dewan kuliah dan lain-lain bangunan yang digunakan penuntut, katanya.

Mengenai perkembangan semasa H1N1 dalam negara, Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 8 pagi ini, terdapat 62 kes baru Influenza A (H1N1) iaitu 28 kes import dan 34 jangkitan tempatan.

Beliau berkata daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 menerima rawatan pesakit luar manakala 10 lagi dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata daripada jumlah keseluruhan 772 kes yang dilaporkan dalam negara, 535 adalah kes import dan 237 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Sejumlah 685 (89 peratus) telah sembuh dan telah discaj dari hospital. Baki pesakit yang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk mereka yang menerima rawatan pesakit luar," katanya.

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) yang dilapor sehingga pukul 8 pagi ini ialah 106,888 kes dengan 470 kematian daripada 143 negara, iaitu pertambahan 285 kes.

Negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi ialah Korea (150), Hong Kong (87), Malaysia (39) dan Brunei Darussalam (9). BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_berita/20090713171039&sec=mstar_berita

Jerebu: Kualiti udara pagi tadi merosot sedikit

Isnin Julai 13, 2009


PETALING JAYA: Kualiti udara di kebanyakan kawasan sedikit merosot dengan bilangan lokasi yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik berkurangan berbanding petang semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman webnya memaklumkan bahawa sehingga pukul 11 pagi tadi, 70 peratus atau 36 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU baik manakala 29 peratus lagi (15 kawasan) mencatat indeks udara sederhana.

Semalam, catatan IPU menunjukkan 42 kawasan (87 peratus) mencatatkan udara baik manakala 6 kawasan (12 peratus) lagi mencatat indeks udara sederhana.

Kawasan yang merekodkan catatan IPU baik sehingga pukul 11 pagi ini ialah Larkin Lama (47), Sungai Petani (36), Langkawi (43), Alor Setar (47), Bukit Rambai (46), Seremban (48), Kuantan (35), Jerantut (36), Ipoh (35), Tanjung Malim (35), Taiping (34), Jalan Tasek, Ipoh (33), Seri Manjung (28) dan Kangar (31).

Selain itu ialah Seberang Jaya 2, Perai (42), USM (25), Perai (35), Kota Kinabalu (35), Sandakan (31), Tawau (48), Keningau (50), Sibu (46), Sarikei (37), Sri Aman (39), Limbang (33), Kuching (35), Miri (35), Shah Alam (49), Petaling Jaya (44), Kuala Selangor (41), Kemaman (40), Paka (41), Kuala Lumpur (45), Wilayah Persekutuan Labuan (50), Cheras (47) dan Putrajaya (47).

Kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Muar (82), Pasir Gudang (60), Kota Tinggi (53), Kota Bharu (57), Pengkalan Chepa (52), Bandaraya Melaka (54), Port Dickson (51), Nilai (54), Kuantan (54), Bintulu (57), Kapit (52), Samarahan (51), Kajang (52), Pelabuhan Kelang (87) dan Kuala Terengganu (62).

Klasifikasi bacaan IPU ialah seperti berikut: 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_berita/20090713124903&sec=mstar_berita

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...