Showing posts with label Perlis. Show all posts
Showing posts with label Perlis. Show all posts

Wednesday, October 12, 2011

EMPANGAN PERLIS BAKAL PECAH?

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 11TH, 2011

Mohamad Faisol Abdul Rahman

Ternyata apa yang diwar-warkan oleh sebelum ini – bahawa kerajaan Perlis akan memulakan projek ‘Saliran Khusus Empangan Timah Tasoh’ seawal tahun 2012 setelah proses pengambilan tanah selesai – tidak benar.Ini kerana dalam pembentangan Bajet 2012 oleh perdana menteri merangkap menteri kewangan Jumaat lepas menyebut dengan jelas bahawa peruntukan hanya melibatkan kerja menaik taraf Empangan Timah Tasoh dan mendalamkan Sungai Arau sahaja.

Justeru, kestabilan rakyat Perlis, khususnya penduduk sekitar kawasan yang pernah dilanda banjir masih dirundung gelisah.

Persoalannya apakah sekadar mendalamkan sungai yang sedia ada mampu mengatasi limpahan air Empangan Timah Tasoh yang akan dinaik taraf? Sudahkah kajian terperinci dibuat ataupun hanya sekadar mahu menunaikan janji?

Persoalan yang selama ini menghantui penduduk Perlis mengenai tahap keselamatan Empangan Timah Tasoh masih belum terjawab.

Banjir besar yang melanda Bangkok sehingga mengorbankan ratusan nyawa berpunca daripada saliran sungai sedia ada tidak mampu menampung pembuangan air empangan akibat hujan lebat.

Natijahnya hampir seluruh kota itu ditenggelami air, sekali gus melumpuhkan aktiviti penduduk. Kejadian yang menimpa Bangkok ini wajar diambil iktibar oleh semua.

Empangan Timah Tasoh yang terletak lebih kurang 20km dari bandar Kangar dan Arau kini dianggap sebagai “bom masa”.

Mungkin ada yang menganggap hal ini lucu dan tidak masuk akal. Namun siapa sangka gempa bumi di Jepun baru-baru ini menyebabkan kerosakan reaktor nuklear hingga menimbulkan keresahan masyarakatnya.

Walaupun Malaysia di luar lingkaran gempa, namun negara ini tidak terkecuali merasakan gegaran gempa di negara jiran seperti Indonesia dan Burma.

Sesungguhnya warga Perlis amat bimbang seandainya Empangan Timah Tasoh retak, pecah dan runtuh akibat faktor luar jangka seperti gegaran gempa bumi. Dan apakah kerajaan negeri sudah bersiap sedia dengan rancangan kecemasan sekiranya hal ini terjadi?

Malaysia juga berpotensi menghadapi masalah tanah gelungsur akibat peningkatan projek dan aliran air dalam tanah yang tidak diurus dengan sempurna.

Kenyataan tentang projek menaik taraf Empangan Timah Tasoh yang kapasiti simpanan air semasa 33.3 juta meter padu kepada 87 juta meter padu sudah pasti akan menambahkan lagi ancaman keselamatan kepada lokasi popular banjir seperti Beseri, Kampung Syed Omar, Bintong, Kampung Jarak, Kangar, Repoh, Santan, dan Arau.

Dijangkakan sekiranya empangan ini pecah akibat faktor luar jangka, ia hanya memerlukan lebih kurang setengah jam untuk menenggelamkan seluruh Kangar dan Arau. Ia bukan sahaja membawa air tetapi segala benda yang ada.

Sehubungan dengan itu kami ingin mendesak kerajaan mengotakan janji untuk mempersiapkan saliran khusus ke laut dari empangan ini demi keselamatan dan ketenteraman seluruh warga Perlis.Kami ingin hidup selesa dan tidak mahu diganggu lagi dengan igauan buruk setelah beberapa kali mengalami banjir besar yang mengakibatkan kerosakan harta benda dan korban nyawa.Maka kami akan terus mendesak kerajaan negeri supaya memikirkan sedalam-dalamnya dan mengambil langkah berani dengan melaksanakan segera saliran khusus untuk tujuan aliran stok limpahan air dari Empangan Timah Tasoh.

Penulis adalah pengerusi jawatankuasa bertindak rakyat Perlis atasi masalah banjir.

http://www.kl-today.com/2011/10/empangan-perlis-bakal-pecah/

Tuesday, September 13, 2011

Mangsa banjir di Perlis naik kepada 300 orang

Sep 12, 11 7:31am

Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada lebih 300 orang daripada lebih 90 buah keluarga berbanding 100 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata, mereka ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir iaitu lima di kawasan Padang Besar, tiga di Kangar dan dua di Arau.

Sementara itu, dua buah sekolah ditutup hari ini akibat banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Melangit dan Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah.

azlanPengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Nishad Mohamed berkata, hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir sejak semalam.

Beliau berkata, masalah banjir di Perlis yang kerap berlaku boleh dikawal jika infrastruktur Empangan Timah Tasoh ditingkatkan selain mewujudkan lencongan Barat dan Timur bagi mengalirkan air ke laut.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pula dijadualkan meninjau kawasan yang dilandar banjir hari ini serta bertemu mangsa-mangsa yang berada di pusat-pusat pemindahan.

Semalam, lebih 100 penduduk di beberapa kawasan rendah di Chuping, Titi Tinggi, Beseri dan Bintong telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir Perlis, mereka adalah daripada 47 buah keluarga yang ditempatkan di tujuh buah pusat pemindahan yang dibuka setakat jam 9 malam tadi.

NONEPusat-pusat pemindahan itu ialah di Dewan Titi Tinggi Hilir, Dewan Panggas Besar, Dewan Guar Medang Gatal, Dewan Kampung Melayu Batu 15, Dewan Kampung Syed Omar, Surau Kampung Syed Omar dan Surau Panggas Kecil.

Paras air di Empangan Timah Tasoh sehingga pukul 6 petang semalam ialah 29.26m iaitu masih di bawah paras bahaya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, berkata sehingga kini enam pintu air telah dibuka bagi memastikan paras air di empangan itu sentiasa terkawal.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu turut melawat kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175497

Penduduk berkumpul bantah kerja sukat tanah

Sep 10, 11 4:39pm

Sekumpulan penduduk Kampung Baru Batu 18 dekat Padang Besar membantah kerja-kerja menyukat tanah di kawasan itu yang dikaitkan dengan pengeluaran geran tanah untuk individu tertentu.

Kira-kira 80 penduduk berkumpul secara aman bagi menghalang kerja-kerja menyukat itu, namun mereka akhirnya bersurai selepas kehadiran polis.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Che Mid Man berkata penduduk kecewa kerana permohonan mendapatkan geran tanah sejak awal tahun 60-an tidak berhasil.

Bagaimanapun, beliau berkata baru-baru ini, penduduk mendapat tahu beberapa individu dari luar memperoleh geran tanah di kawasan yang mereka duduki.

Che Mid mendakwa selepas geran tanah dikeluarkan, ada pihak datang untuk menyukat tanah bagi kawasan yang ditawarkan hak milik itu.

Beliau berkata, perkara itu akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Che Mid juga berharap ADUN Titi Tinggi Yip Sun Onn yang hadir di perhimpunan aman itu, membantu mereka menyelesaikan
masalah tersebut.

Seorang penduduk, Azmi Che Pi, 37, berkata tanah yang didudukinya adalah warisan keluarga dan permohonan mendapatkan geran tanah dibuat sejak puluhan tahun lalu, namun tidak berhasil.

Beliau berharap penduduk kampung itu diberi keutamaan mendapatkan geran kerana mereka telah lama mengusahakan tanah di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Penguatkuasaan Perlis Datuk Mat Rawi Kassim, ketika dihubungi berkata beliau akan menyiasat perkara tersebut dari pelbagai sudut

Beliau bercadang bertemu penduduk terbabit Isnin ini bagi mendapatkan gambaran jelas serta maklumat berkaitan perkara itu.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/175396

Friday, July 8, 2011

PAS Perlis kutuk vandalisme biadap

Bashir Ishak

KANGAR, 7 Julai: PAS Perlis mengutuk keras tindakan provokasi dan kelakuan biadap bersifat vandalisme yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab sekitar bandar Kangar termasuk di hadapan Kompleks PAS Perlis.

Malam tadi, di hadapan pintu masuk ke Kompleks PAS Perlis berlakunya perbuatan vandalisme dengan menyemburkan cat di atas jalan dengan perkataan 'Bersih Haram' dan 'PAS Bodoh'.

Perkataan “PAS Bodo” juga turut disembur pada papan tanda yang terdapat di pagar Kompleks PAS Perlis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin menyifatkan kerja itu dilakukan tangan-tangan nakal yang mempunyai unsur-unsur politik di belakangnya.

"PAS dan Pakatan Rakyat Perlis berasa kesal dan dukacita dengan perbuatan seperti ini dan meminta ianya dihentikan. Tidak sepatutnya ada campurtangan politik dalam hal ini khususnya untuk memburukkan imej Bersih.

“Saya memberi jaminan bahawa pihak kami tidak membuat kerja-kerja seperti ini. Kami berharap agar semua pihak mengambil pendirian dan pemikiran yang rasional dalam hal ini tanpa dipengaruhi emosi," katanya.

Menurutnya lagi, perbuatan vandalisme sebegini turut di lakukan di merata lokasi di sekitar bandar Kangar termasuk di dinding bangunan, pagar sekolah dan lain-lain.

Justeru katanya, PAS Perlis mengutuk keras perbuatan yang tidak bertamadun ini yang jelas cuba membangkitkan rasa kebencian dan ketegangan di kalangan penduduk di negeri ini khususnya.

"Kami berkeyakinan bahawa rakyat Perlis tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur seperti ini. Pimpinan Bersih sendiri telah mengadap Yang di-Pertuan Agong, jadi semua pihak perlu menghormati pendirian Tuanku.

"Pihak kerajaan juga harus menghentikan tekanan-tekanan yang dibuat terhadap Bersih termasuk menahan orang-orang yang berpakaian kuning berlogokan Bersih supaya kita akan memperolehi suatu penyelesaian yang baik.

"Sekali lagi kami tegaskan, perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan adalah himpunan aman dengan tujuan yang murni untuk menuntut sebuah sistem pilihanraya yang Bersih dan Adil," katanya lagi.

Sidang media diadakan hari ini di Kompleks PAS Perlis dengan turut dihadiri pimpinan PAS, PKR dan DAP negeri.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4235-pas-perlis-kutuk-vandalisme-biadap

Thursday, June 16, 2011

Protes: 20 pemandu teksi, bas, peniaga enggan pindah

Jun 13, 11 3:34pm

Kira-kira 20 pemandu teksi, bas dan pengusaha kedai makan di Stesen Bas Ekspress Bukit Lagi, di Kangar, mengadakan bantahan terhadap Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang mendesak agar mereka berpindah ke stesen bas sementara di Kuala Perlis, bulan depan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Bukit Lagi, Rosman Ishak, 59, berkata, pihaknya enggan berpindah ke stesen bas sementara itu kerana MPK tidak turun padang dan berbincang dengan mereka terlebih dahulu berhubung perpindahan ke stesen bas sementara itu.

"Pihak MPK harus memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk berpindah malah sebarang surat rasmi juga tidak diberi kepada kami berhubung perpindahan tersebut," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mungkin berdepan dengan masalah "gulung tikar" jika berpindah ke stesen bas sementara itu kerana terdapat pengusaha teksi lain di kawasan tersebut.

"Kami sudah 20 tahun beroperasi di stesen bas ini dan sepatutnya pihak MPK harus berbincang dengan kami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berpindah ke stesen bas sementara itu lagi pun berita perpindahan ini kami hanya tahu melalui akhbar sahaja pada Mei lalu," katanya mendakwa mempunyai 60 anggota persatuan itu.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan MPK untuk memindahkan mereka ke stesen bas baru di Seriab, dekat Kangar pada masa terdekat ini tetapi tidak setuju berpindah ke stesen bas sementara di Kuala Perlis.

Sementara itu, pemandu bas Transnasional, Mazlan Mahmud, 53, berkata, pihaknya juga tidak bersetuju dengan tindakan MPK memindahkan mereka ke stesen bas sementara itu kerana stesen bas berkenaan kecil dan sukar untuk bas keluar masuk ke stesen bas itu untuk menurunkan penumpang.

"Kemudahan di stesen bas di Kuala Perlis itu juga tidak mencukupi terutama kemudahan kaunter-kaunter tiket berbanding di stesen bas yang sedia ada," katanya.

Katanya, kesesakkan akan berlaku jika terlalu banyak bas keluar masuk ke stesen bas itu terutama pada musim perayaan.

Menurutnya, pendapatan mereka juga mungkin akan terjejas jika MPK tetap memindahkan mereka ke stesen bas sementara itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/166761

Sunday, April 3, 2011

Pelajar dipukul hampir dua jam

Pelajar dipukul hampir dua jam

Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my

  PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.


Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.


http://www.hmetro.com.my/articles/Pelajardipukulhampirduajam/Article/artikelMA

Monday, March 7, 2011

Buat baik dapat sakit

Buat baik dapat sakit

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

SAKIT...Muhammad Shahfaly yang terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri selepas dibelasah sekumpulan pelajar.
SAKIT...Muhammad Shahfaly yang terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri selepas dibelasah sekumpulan pelajar.
CEDERA...Anoar menunjukkan kecederaan dialami Muhammad Shahfaly.
CEDERA...Anoar menunjukkan kecederaan dialami Muhammad Shahfaly.

KANGAR: Sekumpulan 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi di sini, dikatakan bertindak ala gengster apabila dengan selamba menarik keluar seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sekolah berkenaan dari kelas sebelum membelasahnya walaupun ketika itu guru sedang mengajar.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, Muhamad Shahfaly Anoar, 15, mendakwa terkehel bahu kiri dan patah lengan kiri serta cedera di kening kiri akibat dibelasah teruk tiga daripada 10 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima itu.

Difahamkan, sebaik menarik keluar Muhamad Shahfaly dari kelasnya di tingkat satu, dia dibawa ke tingkat bawah bangunan sekolah sebelum dibelasah.

Muhamad Shahfaly berkata, seorang daripada pelajar terbabit memasuki kelasnya di tingkat satu ketika guru sedang mengajar lalu mengheretnya keluar dengan memegang tengkuk dan dibawa turun ke tingkat bawah.

“Di sana, saya lihat tidak kurang 10 pelajar sedang menunggu dan tiga daripada mereka, termasuk suspek yang memasuki kelas, memukul hingga pitam.

Bagaimanapun, mereka melarikan diri selepas mendengar jeritan seorang guru yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Beberapa pelajar lain kemudian memapah saya masuk ke kelas dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Bagaimanapun, guru lelaki yang sedang mengajar subjek Kemahiran Hidup ketika itu tidak menanyakan keadaan saya.

“Guru yang menyuraikan kejadian itu juga langsung tidak menjenguk saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat di sini, semalam.

Muhamad Shahfaly yang juga ketua kelas tidak menolak kemungkinan serangan itu bermotif dendam kerana dia pernah mencatatkan kesalahan dilakukan pelajar terbabit yang sering tidak memasuki kelas ketika sesi pembelajaran.

Bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, berkata, dia terkejut apabila melihat Muhamad Shahfaly dipapah beberapa rakannya keluar dari perkarangan sekolah ketika datang menjemputnya kira-kira jam 12.15 tengah hari, Jumaat lalu.

“Saya geram apabila melihat kesan tapak kasut di belakang baju anak sulung saya itu dipercayai akibat ditendang pelajar yang membelasahnya.

“Lebih memilukan, semua guru seperti tidak peduli kejadian anak saya dibelasah dan seolah-olah terkejut apabila dimaklumkan perkara itu,” katanya.

Anoar mendakwa guru sekolah berkenaan gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya walaupun dia dipaksa keluar oleh suspek dari dalam kelas ketika guru sedang mengajar.

“Saya membawa Muhamad Shahfaly ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) di sini, untuk rawatan dan doktor mengesahkan tulang bahunya terkehel, lengan kiri patah serta terpaksa menerima jahitan di kening kiri,” katanya.

Berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat di sini, kira-kira jam 7.30 malam Jumaat lalu.

Menurutnya, Muhammad Shahfaly diberi cuti sakit 11 hari dan dibenarkan keluar dari HTF petang kelmarin, dan kemungkinan besar akan dipindahkan ke sekolah lain demi keselamatan serta mengelak terus dipukul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sudah menahan empat pelajar sekolah berkenaan di rumah masing-masing, malam kelmarin.

“Keempat-empat pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan empat pelajar ditahan di Balai Polis Kangar untuk menunggu perintah reman.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis (JPP) ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu selain menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, dua pegawai JPP sudah melawat Muhamad Shahfaly di HTF dan akan berjumpa dengan pemangku pengetua SMK Syed Safi hari ini berhubung kejadian itu.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat tidak dapat dihubungi kerana menghadiri mesyuarat di luar negeri ini.


http://www.hmetro.com.my/articles/Buatbaikdapatsakit/Article

Saturday, February 26, 2011

Tujuh siswa iblis

KANGAR: Dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, diburu polis manakala lima rakan mereka ditahan kerana disyaki merogol seorang penuntut perempuan yang juga rakan sekuliah dua daripada suspek, baru-baru ini.

Tujuh suspek berusia 19 tahun itu didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Mawar, Arau dekat sini, 15 Februari lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Nashir Ya berkata, dua siswa diburu itu dikenali sebagai Muhammad Naim Mohd Kamaruzzaman, 19, dan Ahmad Amirul Amin Rosley, 19, yang kini menghilangkan diri.

Menurutnya, dua suspek yang diburu itu bersama lima lagi rakan mereka disyaki merogol mangsa yang juga penuntut IPTA secara bergilir-gilir di rumah disewa seorang daripada suspek di Taman Seri Mawar.


“Kami sudah menahan lima suspek dari IPTA di sini dalam operasi khas dilancarkan selepas menerima aduan daripada penuntut perempuan berkenaan. Bagaimanapun, Muhamad Naim dan Ahmad Amirul melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di sini, semalam.


Beliau berkata, alamat terakhir Ahmad Amirul Amin ialah Jalan Raja Dewa Hilir, Kota Bharu, Kelantan manakala Muhammad Naim pula berasal dari Kampung Bonggol Kemian, Paloh Rawa, Machang, Kelantan.

“Mangsa dalam keadaan trauma akibat kejadian itu,” katanya sambil memaklumkan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.


Nashir meminta kedua-dua suspek menyerah diri dan orang ramai yang ada maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Arau, Asisten Superintendan Jamalulail Ibrahim di talian 012-520 3977 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Polis turut mengedar gambar kedua-dua suspek untuk siaran media.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kes mencuri dan menyeludup kenderaan ke negara jiran serta kes menyebabkan kecederaan parah.


Katanya, dua daripada tiga lelaki berkenaan ialah Mohd Saidi Man, 44, dari Kampung Tersusun Padang Besar dan rakannya, Mariswandy Mohamad, 32, dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Chuping, disyaki aktif menjalankan kegiatan mencuri dan melupuskan kenderaan ke negara jiran.


“Kedua-dua suspek disyaki sudah menyeludup beberapa kenderaan mewah jenis Toyota dan Honda ke negara jiran selepas mencurinya di sini. Seorang daripada suspek adalah anggota penguat kuasa sukarela di sini,” katanya.


Beliau berkata, turut diburu seorang lelaki, Lim Yew Thong, 47 dari Pekan Sayur, Padang Besar yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang awam di pekan itu, Januari lalu.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tujuhsiswaiblis/Article/index_html

Wednesday, January 19, 2011

Penyokong Md Isa cabar penyokong Shahidan berdebat

Muhayat Jasmin

PADANG BESAR, 19 Jan: Konflik yang melibatkan Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh dengan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Besar, Ali Ismail terus berlanjutan dengan perkembangan terbaru timbulnya desakan supaya diadakan perdebatan antara kedua-dua pihak berhubung isu 'mentalkinkan Umno Perlis' yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Menurut sumber dalaman Umno negeri itu kepada Harakahdaily, cabaran supaya Hashim yang dilihat menyebelahi bekas menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim menerima pelawaan Ali sebagai penyokong Menteri Besar, Datuk Seri Isa Sabu untuk berdebat, telah diusulkan dalam mesyuarat Umno Bahagian yang diadakan pada minggu lalu.

Cabaran itu dikatakan bertujuan merungkai segala permasalahan yang timbul dan isu yang melibatkan Umno Negeri Perlis.

Isu 'mentalkinkan Umno Perlis' dikatakan tercetus dalam satu majlis melibatkan sebahagian pemimpin vateran Umno Perlis yang kecewa dengan tindakan Umno pusat yang masih lagi mengekalkan Md Isa sebagai Pengerusi Umno negeri.

Keadaan dikatakan lebih parah apabila Shahidan yang dilihat tidak sehaluan dengan Md Isa dilantik pula sebagai timbalan pengerusi mengantikan tempat Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Shahidan sendiri seperti dilaporkan media pernah mendakwa keputusan mengekalkan Md Isa sebagai pengerusi mempunyai kaitan dengan campur tangan pihak tertentu.

Malah beliau turut mempersoalkan sejauh mana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dijadikan penanda aras oleh pucuk kepimpinan Umno terhadap pencapaian seseorang pemimpin, terutama di negeri itu.

Shahidan juga secara terbuka mengakui sukar untuk bekerjasama dengan Md Isa yang disifatkan merampas jawatannya sebelum ini.

"Jika tanya pasal gandingan, bagi saya itu suatu yang mustahil terutama untuk bekerjasama dengan individu yang saya lihat sebagai 'menyamun' jawatan saya sebelum ini," kata Shahidan lapor sebuah akhbar arus perdana.

Sementara itu perlantikan Shahidan pula mendapat tentangan penyokong Zahidi yang mahu beliau terus dikekalkan sebagai timbalan pengerusi.

Sehubungan itu pemarhati meramalkan konflik antara 'team' Shahidan dan 'team' yang menyokong Md Isa akan tidak akan berhenti dalam masa terdekat, malah dipercayai kedua-duanya akan lebih agresif menjelang pemilihan pimpinan peringkat cawangan-cawangan yang akan bermula Mac nanti.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30433:penyokong-md-isa-cabar-penyokong-shahidan-berdebat&catid=57:negeri-perlis-indera-kayangan&Itemid=102

Tuesday, December 28, 2010

Kicap bangkai

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Lapan beranak di Taman Merpati, di sini, hampir termuntah apabila menemui bangkai cicak terjulur keluar dari botol kicap digunakan bagi menambah perisa nasi goreng untuk hidangan makan malam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangkai cicak sepanjang dua sentimeter itu terkeluar daripada botol kicap soya pekat ketika seorang guru, Norazura Arip, 32, menuangnya di atas senduk bagi menggoreng nasi.


Norazura berkata, kicap itu sudah hampir habis digunakan bagi menambah perisa pelbagai masakan di rumahnya sejak dibeli dari sebuah kedai runcit di Pasar Borong, dekat sini, sebulan lalu.

Menurutnya, keluarganya sudah menggunakan kicap berharga RM4.80 sebotol mengandungi bangkai cicak sejak sebulan lalu dan sudah banyak masakan menggunakan kicap itu dengan yang terakhir ketika menggoreng nasi untuk hidangan makan malam.


“Saya terkejut dan menjerit apabila bangkai cicak terjulur keluar daripada botol kicap hingga mengejutkan tujuh ahli keluarga termasuk suami, anak dan adik yang menunggu nasi goreng.


“Sebelum itu, saya menyiapkan satu balang rojak menggunakan kicap sama dan makanan berkenaan sudah habis dimakan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia yakin cicak yang cukup sifat sudah menjadi hitam dan keras sejak bahan itu dibotolkan pengusahanya.


“Sebaik menyedari bangkai cicak itu, ahli keluarga mula loya dan hampir termuntah kerana menyedari sudah menggunakan bahan perisa itu agak lama, malah satu belanga nasi goreng untuk hidangan malam terpaksa dibuang,” katanya.

Norazura yang juga penolong kanan sebuah sekolah rendah di sini berkata, tidak mungkin cicak itu masuk ke dalam botol kerana dia sentiasa menutup botol dan menyimpan dalam peti sejuk selepas digunakan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kicapbangkai/Article/index_html

Wednesday, December 15, 2010

Shahidan dakwa pengurusan banjir di Perlis gagal

Bashir Ishak

KANGAR, 14 Dis: Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis (Dun) hari ini menyaksikan mantan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan pengurusan bencana banjir di Perlis, baru-baru ini gagal.

Beliau yang juga Adun Tambun Tulang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menipu ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakannya.

Pada sesi soalan lisan pagi tadi, Md Isa menjawab serentak enam soalan yang dikemukakan oleh Shahidan dan empat orang lagi ahli dewan berkaitan banjir yang melanda Perlis baru-baru ini.

Soalan panjang yang dikemukakan Shahidan memohon jawapan dari pihak kerajaan nama pengelola di 25 pusat pemindahan banjir.

Shahidan yang bangun membuat soalan tambahan berkata, jawapan Menteri Besar ada yang benar dan ada yang bohong.

"Mengapa ada nama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung yang tidak disebutkan namanya. Pengurusan banjir pada kali ini totally failed, banjir dah berlaku beberapa hari tapi mengapa pada 3 November baru dapat bantuan, sebelum itu siapa yang keluarkan bantuan?" soalnya.

Md Isa kemudiannya menjelaskan bahawa jawapan yang diberikannya tadi adalah berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya.

Ustaz Hashim Jasin (PAS-Sanglang) kemudiannya turut memberikan pandangan dengan menyatakan jawapan yang sepatutnya diberikan oleh Menteri Besar perlu juga menyebut pihak-pihak tertentu yang turut membantu mangsa banjir seperti Yayasan Pok dan Kassim (milik Shaidan) dan parti-parti politik.

Md Isa menjelaskan bahawa, semua yang memainkan peranan semasa banjir tempohari telah dirangkumi dalam jawapannya di bawah kategori 'sukarelawan'.

Selepas dewan berehat sesi pagi, Md Isa membentangkan bajet kerajaan negeri Perlis bagi tahun 2011.

Keseluruhan bajet yang dicadangkan ialah sebanyak RM262 juta yang merangkumi RM 174 juta perbelanjaan mengurus dan RM88 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Bajet 2011 ini meningkat berbanding tahun lalu di mana perbelanjaan mengurus dan pembangunannya masing-masing sebanyak RM143 juta dan RM55 juta.

Hasil yang dianggarkan bagi negeri Perlis pada tahun 2011 ialah sebanyak RM89 juta, meningkat sebanyak RM21.9 juta berbanding RM67 juta pada tahun ini.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan terus mengalami defisit sebanyak RM85 juta, meningkat sebanyak 12 peratus berbanding 76 juta pada tahun 2010.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29840:shahidan-dakwa-pengurusan-banjir-di-perlis-gagal&catid=1:utama&Itemid=50

Tuesday, November 23, 2010

Patung bogel dijual secara terbuka di Perlis


PATUNG separuh bogel yang dijual secara bebas kepada pengunjung Pasar Sehari Wang Kelian di Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR - Mungkin hanya untuk tarikan, namun seorang peniaga tidak mempedulikan sensitiviti apabila dia dikesan menjual patung wanita separuh bogel secara terbuka di Pasar Sehari Wang Kelian di sini kelmarin.

Patung yang menampakkan buah dada wanita itu akan bergerak-gerak selepas dihidupkan dengan hanya menggunakan tenaga solar apabila coli patung itu ditanggalkan.

Menurut peniaga tersebut yang enggan dikenali, patung itu dijual pada harga RM10 sahaja dan permainan tersebut sesuai diletakkan di papan pemuka kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.

"Pelanggan yang berkunjung suka melihat patung ini apabila buah dadanya bergerak-gerak selepas colinya ditanggalkan.

"Dalam sehari lebih lima buah akan terjual. Patung ini sesuai diletakkan di dalam kereta dan kebanyakan pembeli adalah orang muda," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Thursday, November 18, 2010

NGO Kelantan bantu mangsa banjir di Perlis

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 16 Nov: Kesusahan mangsa banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini turut mendapat simpati Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Kelantan (Ikram) apabila tampil menghulurkan bantuan.

NGO itu berjaya mengutip barangan dan peralatan yang diperlukan mangsa-mangsa banjir bernilai RM7,000 yang dikumpul dalam masa dua minggu.

Ketua Misi Bantuan Bencana Ikram, Hamdan Ariffin, 42 berkata, seramai 26 sukarelawan Ikram bertolak ke Arau, Perlis 11 November lalu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

”Sepanjang berada di sana kami dibantu Ikram Perlis dalam menjalankan misi Cakna Rakyat. Kami menjalankan gotong royong membersihkan rumah-rumah penduduk yang ditenggelami bah,” katanya di sini.

Bantuan yang dibawa Ikram termasuk pelbagai jenis pakaian, lampin pakai buang, makanan serta peralatan pembersihan rumah.

Ikram pertama kali terbabit bagi membantu mangsa-mangsa banjir semenjak pertubuhan itu didaftar Julai lalu.

Hamdan berkata, Ikram amat memahami perasaan mangsa banjir di Perlis dan Kedah kerana situasi serupa pernah dialami rakyat di Kelantan.

Oleh itu beliau berharap mana-mana pihak tampil memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas kenyataan pemimpin tertentu yang memperlihatkan seolah-olah kerajaan Kedah tidak membantu mangsa banjir.

“Media seharusnya memainkan peranan yang adil dalam menyebarkan maklumat dan bukan dipolitik. Banjir tidak hanya terkena kepada penyokong parti politik tertentu sahaja,” katanya.

Hamdan turut mengucap terima kasih di atas sokongan beberapa badan korporat dan ahli perniagaan yang memberi bantuan barangan untuk membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan. Mereka boleh menghubunginya talian 019-5729092.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29493:ngo-kelantan-bantu-mangsa-banjir-di-perlis&catid=1:utama&Itemid=50

Sunday, November 14, 2010

Kowamas hulur RM30,000

ALOR SETAR: Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis termasuk Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas) yang menyumbang RM30,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)-Media Prima, semalam.

Pengurus Wilayah Utaranya, Faizul Mohamed Zawawi, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu mangsa banjir kerana prihatin terhadap kesusahan dialami rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.


“Sumbangan ini diharap dapat meringankan bebanan ditanggung mereka,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, di sini, kelmarin.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima atau dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.


Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KowamashulurRM30_000/Article/index_html

JPJ bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengecualikan bayaran bagi mendapatkan salinan lesen belajar memandu, lesen percubaan dan Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Vokasional, Lesen Kenderaan Motor dan Perakuan Pendaftaran Kenderaan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pengecualian itu diberikan untuk membantu meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan dokumen berkaitan kenderaan dan lesen memandu.


“Dianggarkan 4,200 keluarga dari Kedah dan 4,500 keluarga dari Perlis yang terbabit dalam tragedi itu dan dianggarkan 50 peratus daripada mangsa dari setiap negeri kehilangan dokumen,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, jumlah pengecualian bayaran itu dianggarkan RM600,000.


“Sehubungan itu, JPJ membuka kaunter sementara di pusat penempatan sementara mangsa banjir untuk memberi khidmat nasihat, mengedar serta memproses borang permohonan supaya mangsa dapat mendapatkan salinan dokumen yang diperlukan,” katanya.


Kong berkata, JPJ juga turut menerima permohonan daripada kaunter sementara JPJ dan memproses pengeluaran salinan di pejabat JPJ berdekatan dalam tempoh seberapa segera.

“Bagi mengesahkan kesahihan permohonan, pemunya berdaftar hendaklah hadir atau membawa surat wakil kuasa jika syarikat, dengan membawa dokumen asal yang rosak atau laporan polis untuk gantian perakuan pendaftaran jika dokumen hilang,” katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JPJbantumangsabanjir/Article/index_html

Thursday, November 11, 2010

Giant sumbang RM140,000

SHAH ALAM: Atas dasar keprihatinan terhadap mangsa banjir di utara Semenanjung, pasar raya Giant menyalurkan barangan keperluan dan sumbangan makanan bernilai RM140,000.

Pengurus Komunikasi Korporat GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Zamri Maulan, berkata sebanyak RM120,000 dalam bentuk seperti minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin, air minuman coklat, kopi, teh, gula dan barangan keperluan lain disampaikan kepada mangsa banjir menggunakan khidmat empat buah lori, baru-baru ini.


Menurutnya, pengedaran barangan sumbangan daripada Giant diselaraskan melalui Yayasan Pendidikan dan Prihatin Kedah (YPKPK) iaitu organisasi sukarela yang meliputi daerah yang dilanda banjir dan pusat bantuan di Pusat Penempatan Anak Bukit, Pusat Penempatan Daerah Jerlun, Pusat Penempatan Daerah Pendang, Pusat Penempatan Daerah Padang Terap, Kawasan Alor Janggus dan Pusat Penempatan Kubang Rotan.

Katanya, sumbangan tambahan bernilai RM20,000 diserahkan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GiantsumbangRM140_000/Article/index_html

131 sukarelawan NSTP berlepas

KUALA LUMPUR: Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa melepaskan 131 sukarelawan terdiri daripada kakitangan NSTP, Media Prima Berhad dan Mydin Mohamed Holdings Bhd dalam menyertai Misi Bantuan Banjir ke Kedah dan Perlis di Balai Berita NSTP, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.

Sukarelawan akan berkampung selama dua hari di Kedah dan Perlis bagi menjalankan kerja pembersihan dan mengedarkan 1,000 kotak barangan keperluan bernilai RM100,000 dari Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan RM10,000 sumbangan pasaraya Mydin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/131sukarelawanNSTPberlepas/Article/index_html

Kowaja derma RM50,000 untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin terhadap mangsa banjir di Kedah dan Perlis, Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) menyumbang RM50,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.

Setiausaha Kehormat Kowaja, Mohd Faizal Abdullah, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat membantu mangsa banjir sekali gus dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.


Menurutnya, memandangkan banjir yang melanda di dua negeri terbabit agak teruk berbanding sebelumnya menimbulkan rasa tanggungjawab Kowaja untuk menyalurkan sumbangan yang termampu kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya sudah menjadi tradisi Kowaja memberikan bantuan kepada orang ramai terutama apabila berlakunya bencana alam, malah kami turut memiliki tabung koperasi bagi sumbangan amal,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Ketua Komunikasi Korporat & Pengurusan Acara NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, di Balai Berita, di sini, semalam.


Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pengurus Hal Ehwal Urusetia Kowaja, Sikandar Shariff dan Mark Ambrose.


Mohd Faizal berkata, Kowaja mengharapkan melalui sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan kegembiraan kepada mangsa-mangsa banjir yang ternyata memerlukan belas ihsan daripada orang ramai.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima atau dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur. Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KowajadermaRM50_000untukmangsabanjir/Article/index_html

Tuesday, November 9, 2010

Kongsi derita

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Aniza Zainudin

KUALA LUMPUR: Nasib malang menimpa mangsa banjir di Kedah dan Perlis terus mendapat perhatian syarikat korporat apabila Superaya Corporation Sdn Bhd (Superaya Corporation) dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) masing-masing menyumbang RM20,000 serta RM15,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.

Turut menyerahkan sumbangan ialah Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) yang menyalurkan bantuan berbentuk barangan keperluan makanan bernilai RM30,000.


Eksekutif Perhubungan Awam dan Promosi Adabi, Norol Liza Zainal Abidin, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir sejak 1 November lalu.

“Sememangnya sudah menjadi tradisi Adabi memberikan bantuan kepada orang ramai terutama apabila berlakunya bencana alam, malah kita turut memiliki tabung syarikat bagi sumbangan amal,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, di Balai Berita, di sini, semalam.


Sementara itu, sumbangan daripada pihak Superaya Corporation dan Takaful Ikhlas disampaikan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Shahid. Hadir sama, timbalannya, Mahfar Ali.


Ketua Pegawai Eksekutif Superaya Corporation, Datuk Dr Jason Goh, berkata menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menderma bagi meringankan penderitaan mangsa banjir, apatah lagi bencana berkenaan menyebabkan pelbagai kerosakan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Perancangan Korporat Takaful Ikhlas, Yushida Husin, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sejajar hasrat membantu masyarakat yang kesusahan.


Katanya syarikat itu turut menubuhkan pasukan sukarelawan khas untuk membantu mangsa bencana alam itu.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.


Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kongsiderita/Article/index_html

Abim rayu dana RM250,000

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melancarkan kempen rayuan dana sebanyak RM250,000 yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan.

Presiden Abim, Dr Muhamad Razak Idris berkata, misi kemanusiaan itu digerakkan melalui Skuad Prihatin Abim yang juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terawal membantu mangsa banjir di negeri terbabit.


Menurutnya, misi kemanusiaan fasa pertama bermula pada 4 hingga 7 November diketuai Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Kesihatan Abim), Dr Mohd Saifullah Al Hany dan 30 sukarelawan Abim dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah serta Perlis.

“Bantuan fasa pertama yang disalurkan seperti air mineral, beras dan makanan kering berjumlah RM15,000,” katanya.


“Selain itu, pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diberikan kepada mangsa banjir di beberapa daerah di Perlis,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung perkembangan mutakhir banjir dan pelancaran kempen rayuan dana untuk membantu mangsa banjir di Bilik Operasi Skuad Prihatin ABIM.


Hadir sama, Penolong Setiausaha Agung Abim, Maria Kamel; Penolong Pengurus Jabatan Antarabangsa Kemanusiaan dan Alam Sekitar Abim, Mohd Shakir Fahmi Fakrulrazi; Eksekutif Unit Media dan Teknologi Maklumat Abim, Mohd Firdaus Md Hamsin; Ketua Misi Kemanusiaan Kedah, Syamsulmuddin Ahmad Shah dan sukarelawan Skuad Prihatin Abim.

Dr Mohd Saifullah berkata, pihaknya akan menghantar bantuan seterusnya pada 12 hingga 14 November ini diketuai Setiausaha Biro Kesihatan Abim, Dr Shahrizal Azwan Shamsudin dan Dr Zafri Ismail.


Sehubungan itu, orang ramai, NGO, badan korporat dan agensi terbabit diharap bermurah hati menyalurkan dana membantu meringankan beban 60,000 mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Selain itu, masjid di seluruh Malaysia diharap sudi bekerjasama memperuntukkan sebahagian kutipan solat Jumaat pada bulan ini bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.


Sumbangan boleh dibuat ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad No. 14023010027432 atau melalui cek atas nama Angkatan Belia Islam Malaysia.


Pertanyaan lanjut hubungi Mohd Syakir di talian 013-3877722 atau Noraliza Effendy, 013-2128466/ 03-41084500.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AbimrayudanaRM250_000/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...