Wednesday, October 5, 2011

MTUC gesa pembekuan kemasukan pekerja asing

MTUC gesa pembekuan kemasukan pekerja asing

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar membekukan kemasukan pekerja asing ke negara ini secara serta-merta bagi menyelesaikan isu 1.3 juta pekerja asing tanpa izin sedia ada.

Naib Presidennya, A Balasubramaniam, berkata kerajaan harus melihat perkara itu secara serius kerana isu berkenaan membawa kesan besar kepada rakyat tempatan.

"Kita takut memandangkan begitu ramai buruh asing yang murah, orang tempatan akan diketepikan kerana majikan memilih mereka," katanya di Petaling Jaya hari ini.

azlanBeliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam bahawa terdapat 1.3 juta pekerja asing tanpa izin yang berkerja dalam sektor tidak dibenarkan mendaftar dalam Program 6P yang membabitkan pendaftaran dan pemutihan pendatang asing di negara ini.

Hishammuddin turut dilapor berkata kebanyakan warga asing terbabit bekerja di bengkel kenderaan, restoran makanan segera, restoran dan juga gerai makanan.

Balasubramaniam mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia mengadakan perbincangan tiga pihak bagi mendapatkan bantuan dan idea daripada pihak berkepentingan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau juga meminta kerajaan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengesan golongan pekerja asing tanpa izin yang bekerja dalam sektor tidak dibenarkan.

- Bernama

1.3 juta PATI dibenar bekerja di lima sektor

1.3 juta PATI dibenar bekerja di lima sektor

Lima sektor pekerjaan kini dibenarkan mengambil seramai 1.3 juta pekerja asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Menangani Pekerja Asing Tanpa Izin (Program 6P) bagi mengisi kekosongan dalam sektor berkenaan.

perkasa visit kdn on isa 290911 hishamuddinMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lima sektor berkenaan yang dibenarkan dalam dasar semasa kerajaan ialah perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan.

"Saya yakin 1.3 juta PATI ini yang tidak mempunyai majikan sebelum ini dapat disalurkan kepada lima sektor ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Imigresen Negeri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, beliau dimaklumkan keperluan tenaga pekerja asing dalam lima sektor tersebut kini melebihi 1.3 juta pekerja.

Menurutnya 1.3 juta PATI itu adalah sebahagian dari jumlah keseluruhan 2.3 juta pendatang asing yang berdaftar dalam Program 6P lalu.

Hishammuddin berkata tindakan susulan untuk menawarkan dan membahagikan pekerjaan kepada mereka terletak di bawah tanggungjawab kementerian yang relevan dengan lima sektor berkenaan.

azlanDalam pada itu, Hishammuddin berkata "post-mortem" fasa kedua Program 6P iaitu pemutihan akan dibuat hari ini dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Muhyiddin Yassin serta dianggotai oleh 14 kementerian dan agensi.

Antara perkata penting yang akan dibincangkan sama ada proses pemutihan itu akan mengguna pakai Dasar Penggajian Pekerja Asing Semasa atau dasar khas khusus untuk proses pemutihan, katanya.

Hishammuddin juga berkata pihak berkuasa akan memberi perlindungan keselamatan sepanjang masa kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, AKM Atiqur Rahman berikutan ugutan yang diterimanya dari pihak tertentu.

Ugutan itu dipercayai berikutan keputusan Pesuruhjaya Tinggi itu tidak membenarkan ejen untuk mendaftar warga Bangladesh di bawah program 6P.

azlan"Dengan adanya Pesuruhjaya Bangladesh bekerjasama rapat dengan kita, kita dapat mendaftarkan seramai 400,000 warga Bangladesh sama ada yang masuk secara sah atau tidak dalam negara ini," katanya.

Terdahulu, dalam perjumpaan itu, Hishammuddin meminta Jabatan Imigresen mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan bagi mengesan dan menahan PATI dan majikan yang gagal berdaftar melalui Program 6P tersebut.

- Bernama

Dr Asri: Pantang larang semarakkan filem hantu

Dr Asri: Pantang larang semarakkan filem hantu


Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fenomena filem hantu bukan sahaja disebabkan kecenderungan penonton tetapi juga kerana ruang berkarya yang sempit.

Katanya, pantang larang berasaskan aliran pemikiran yang sempit menyebabkan banyak karya yang baik bertemakan perkara lain akhirnya gagal mendapat kelulusan.

NONE"Banyak karya yang baik tetapi tidak boleh mendapat kelulusan di media kita disebabkan 'pantang larang' pihak penapisan yang bukan atas asas moral atau agama, tetapi (berdasarkan) aliran pemikiran yang sempit," kata Dr Asri (kanan).

Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, karya berkaitan isu agama dan politik kadang kala dinilai dengan cara yang begitu sempit.

"Umpamanya 'satira politik' mungkin sukar diluluskan jika ia mengkritik parti pemerintah. Satira politik (sebaliknya) boleh mendapat tempat sepatutnya.

"Ia boleh membangunkan kesedaran tentang kenegaraan. Satira politik merangkumi (kritikan pada) pembangkang dan kerajaan," katanya lagi.

Polemik

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini hari ini, Dr Asri mengakui, lambakan filem hantu memang fonomena yang buruk, merosakkan minda dan kadang kala akidah umat Islam.

Isu kesan negatif filem hantu dan seram muncul semula selepas kontroversi Hantu Bonceng karya Ahmad Idham yang didakwa Pemuda PAS sebagai menghina Islam dan mempermainkah kalimah syahadah.

NONESelepas polemik itu dianggap selesai, media semalam melaporkan penggiat dan pengarah filem tema itu menafikan karya mereka menjadi punca suburnya kepercayaan tahyul dan merosakkan akidah.

Sehari sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) dilaporkan berkata, lambakan cerita hantu menggalakkan kepercayaan karut dan tidak membantu membina masyarakat berproduktif, termasuk menyelesaikan masalah melalui pendekatan saintifik.

Bekas perdana menteri berkata, cerita mitos pula banyak menyumbang kepada serangan histeria di kalangan pelajar perempuan Melayu.

Senada dengan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mahu kerajaan memperincikan kawalan terhadap penerbitan filem jenis itu.

'Keburukan lebih banyak'

Sementara itu, seorang editor buku-buku agama Zahiruddin Zabidi (bawah) berkata, walaupun bukan semua filem hantu membawa keburukan, hakikatnya "keburukan itu lebih banyak daripada kebaikan" dan wajar diatasi segera.

islamic book editor zahiruddin zabidi"Tidak cukupkah lagi bukti yang ada di sekeliling kita mengenai kesan segala tahyul mahyul cerita hantu ini?" katanya yang menyokong penuh kenyataan Dr Mahathir.

Menurut graduan pengajian usuludin itu lagi, menjadi keutamaan kepada pendakwah pelbagai NGO dan agensi kerajaan menyatakan sokongan padu kepada teguran Dr Mahathir.

"Semoga dengan teguran bernas daripada tokoh berpengaruh tanah air ini, para karyawan akan sedar dan tidak hanya terus memikirkan keuntungan wang ringgit sahaja sehingga sanggup melihat anak bangsa terus punah dengan hasutan-hasutan dan pemikiran tahyul dalam filem-filem mereka," kata Zahiruddin.

Dalam masa yang sama, tambahnya, masyarakat tetap mengharapkan pekerja seni terus berkreatif dan menghasilkan filem yang membawa nilai positif kepada agama, bangsa dan negara.

Bagaimanapun, kumpulan ini memerlukan panduan dan petunjuk seperti tergambar dalam pertemuan Pemuda PAS dengan produksiHantu Bonceng sebelum ini, kata Zahiruddin lagi.

HANYA 3000 GUNA EMAIL 1MALAYSIA

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 5TH, 2011

Sistem pembayaran dalam talian dan perkhidmatan Myemail – yang membabitkan kos RM50 juta – telah mengumpulkan 3,000 pelanggan sejak dilancarkan pada 14 September lalu, kata penyedia perkhidmatan tersebut – Tricubes Berhad.Dalam taklimat media di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tricubes, Khairun Zainal Mokhtar berkata, angka itu jauh daripada sasaran 5.4 juta pelanggan yang ditetapkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).
“Kami mensasarkan seramai mungkin pelanggan, dan kami yakin dengan sasaran kami itu walaupun PEMANDU telah menetapkan sasaran 5.4 juta pelanggan menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Apabila ditekan lanjut, Khairun berkata, ramalan dalaman telah disemak semula kepada 2 juta pelanggan pada tahun 2012.

Sebelum ini dikenali sebagai perkhidmatan ‘e-mel 1 Malaysia’, Myemail dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 April, dan terus menjadi sasaran kritikan orang ramai.

Terdapat kebimbangan mengenai aspek privasi dan sama ada jumlah wang yang dibelanjakan itu wajar, memandangkan kebanyakan perkhidmatan emel, adalah percuma. Terdapat juga persoalan mengenai status GN3 Tricubes.

Sebelum ini adanya satu gesaan supaya rakyat negara ini tidak mengguna atau melanggan khidmat Emel 1Malaysia kerana ia tidak menjamin keselamatan dan maklumat peribadi diceroboh pihak berkuasa. Sebuah blog menyatakan, rakyat Malaysia perlu menolak perkhidmatan emel berkenaan meski ia diberi secara percuma oleh kerajaan.

“Ia tidak menjamin keselamatan dan hak keperibadian anda. Rakyat mempunyai ruang untuk memilih penggunaan email percuma seperti Yahoo, Hotmail dan Gmail. Kenapa diri anda perlu menanggung risiko yang tinggi akibat penggunaan email 1Malaysia?,” soal penulis blog tersebut, Pian Kia Liao.

Beliau memberi sebab bahawa kemungkinan maklumat menerusi emel yang dihantar akan mudah diakses Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tricubes Berhad mengaku khidmat e-mel 1 Malaysia yang bakal disediakannya adalah hayat kewangan bagi syarikat itu, yang sebelum ini berhadapan dengan risiko dibatalkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Sasaran Tricubes adalah mendapatkan purata 900,000 pengguna setiap bulan dan mendapatkan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun menyertainya menjelang tahun 2015.

Perkhidmatan myemail.my dipercayai akan mengancam perkhidmatan Pos Malaysia Berhad yang digunakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

KWSP mempunyai 12.72 juta anggota sehingga 31 Disember 2010 tetapi ahli yang aktif dianggarkan 6.04 juta.

KL-Today.com


http://www.kl-today.com/2011/10/hanya-3000-guna-email-1malaysia/

FORUM AWAM BAJET 2012 PR MALAM INI

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 5TH, 2011

Pakatan Rakyat akan mendakan forum mengenai Bajet yang mereka bentangkan semalam untuk difahami oleh khalayak umum. Forum ini akan diadakan di Hotel Quality, Shah Alam bermula jam 8 malam ini (5 Oktober).Ahli penal forum yang bakal dipengerusikan oleh Nurul Izzah Anwar (anggota parlimen Lembah Pantai) adalah Dr Dzulkefly Ahmad (anggota parlimen Kuala Selangor – PAS), Liew Chin Tong (anggota parlimen Bukit Bendera – DAP) dan Rafizi Ramli (Pengarah Startegik PKR).

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan cadangan belanjawan Pakatan Rakyat 2012 di bangunan Parlimen.

Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema “Kesejahteraan Untuk Semua”, belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Ekoran belanjawan itu, pelbagai komen diberikan oleh pihak BN terhadapnya termasuk dari bekas PM, Tun Dr Mahathir.

“(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja,” kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kelapan 2011 hari ini.

“Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya),” katanya.

“Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah,” kata Dr Mahathir yang pernah menjadi Menteri Kewangan.

Antara janji Pakatan dalam belanjawan itu adalah Perdana Menteri tidak lagi akan menjadi Menteri Kewangan.

Turut dijanjikan adalah akan memberikan lesen dan permit teksi terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi sebagaimana yang diamalkan sekarang.

Kerajaan Pakatan juga akan mengesyorkan gaji minima RM1,100.

Di samping itu, elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan akan diberikan sebagaimana yang dijanjikan dalam Buku Jingga sebelum ini.

Ekoran janji dan teguran itu, forum malam ini dijangka akan merungkai segala persoalan itu.

http://www.kl-today.com/2011/10/forum-awam-bajet-2012-pr-malam-ini/

Anwar: Bajet alternatif bantu rakyat tersepit

Salhan K Ahmad
3:41PM Okt 4

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bajet alternatif Pakatan Rakyat yang dibentangkannya hari ini bertujuan membantu rakyat "mengharungi suasana ekonomi yang semakin menghimpit."

NONEKatanya, bajet berkenaan juga akan menumpukan usaha untuk mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus berbanding kadar 6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.

Anwar (tiga dari kanan) berkata, Pakatan memperuntukkan RM220 bilion kepada sasaran berkenaan yang melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM4 bilion dari kadar yang dibelanjakan BN.

"(Namun) kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan BN selama ini," katanya.

Antara lain, bajet berkenaan turut menyasarkan untuk mengurangkan kuasa perdana menteri, kata Anwar lagi ketika mendedahkan bajet berkenaan hari ini.

azlan"Pakatan dengan itu bercadang untuk memotong belanjawan perdana menteri sebanyak RM10 bilion," katanya.

Selain itu, Pakatan juga akan memperkenalkan dasar untuk menghentikan kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam membuat keputusan kerajaan.

RM4.4 bilion baiki sistem pendidikan

Tindakan berkenaan bertujuan mengembalikan peruntukan berkenaan kepada kementerian berkaitan dan mengurangkan kecenderungan perbelanjaan berlebihan oleh perdana menteri, katanya lagi.

Selain itu, bajet berkenaan menggariskan bantuan "untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat", antaranya dengan:

  1. Mengekalkan subsidi RM22 bilion dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga bahan api.
  2. Menghapus subsidi korporat seperti kepada pemilik penjana tenaga bebas, monopoli beras oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan.
  3. Bayaran bonus kepada warga emas dijangka menelan balanja RM1.7 bilion setahun.
  4. Bayaran kepada suri rumah sebanyak RM1,000, membabitkan peruntukan RM2 bilion.
  5. Bayaran tambahan kepada keluarga kategori miskin tegar supaya dapat memastikan pendapatan sekurang-kurangnya sebanyak RM550 sebulan.
  6. Menyelaras bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM550 sebulan.

Selain itu, bajet berkenaan juga menggariskan RM4.4 bilion untuk memperbaiki sistem pendidikan, termasuk elaun khas guru (RM500 sebulan) dan juga gaji minimum untuk kakitangan awam sebanyak RM1,100.

Beliau mendedahkan sebahagian daripada intipati bajet bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" itu kepada petugas media dan ahli parlimen pembangkang di bangunan parlimen hari ini.

PAKAR: HUDUD BUKAN ISU PILIHAN POLITIK

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 5TH, 2011

Bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim (gambar) berharap isu hukum hudud tidak lagi dilihat sebagai isu politik kepartian kerana khuatir ia akan membesarkan jurang kesalahfahaman dan taksub di kalangan pengikut parti politik orang Melayu-Islam.“Saya amat ingin melihat dan mendengar bahawa isu-isu mengenai perundangan Islam atau sivil, bukan hanya merupakan soalan dan isu perkauman atau partisan.

“Isu hudud juga janganlah hanya menjadi isu politik kepartian dan taksub ahli politik parti-parti yang tertentu seperti yang berlaku sekarang ini,” kata Ismail yang juga bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ismail menambah, “kalau isu ini hanya dipandang dari sudut politik kepartian, maka akan bertambah besar jurang kesalahfahaman dan taksub di antara ahli-ahli parti politik, terutamanya PAS dan Umno kerana kedua-duanya merupakan parti yang dianggotai oleh orang Melayu dan Islam dan kedua-dua para pengikutnya amat taksub dengan parti dan dasar masing-masing.”

Malah menurut beliau, orang yang bukan ahli taksub parti politik, orang awam yang berkecuali, orang Islam yang tidak kisah tentang parti yang memerintah dan mencari undi, malah orang-orang bukan Melayu ingin tahu apakah sebenarnya undang-undang Islam yang dikatakan hudud.

Ismail yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, selama ini banyak pihak mengambil mudah bahawa undang-undang ini telah difahami oleh semua orang, terutamanya orang Islam.

“Sebab itulah apabila disebutkan undang-undang hudud, maka orang akan terbayang hukuman potong tangan bagi yang mencuri, rejam atau sebat bagi yang berzina dan sebagainya sedangkan isu-isu yang berkaitan dengannya seperti isu berhubung dengan pendakwaan, kesaksian, hikmah dan budi bicara hakim serta kesaksian utama atau pengakuan pihak tertuduh dalam kes-kes ini tidak difahami dengan baik.

“Oleh itu, apabila disebut hudud, maka perasaan dan pemikiran yang timbul dalam kepala orang ramai ialah takut dan gerun, ngeri malah kadang-kadang membawa kepada kejam dan sebagainya yang dilabelkan dalam hukuman hudud ini,” kata Ismail lagi.

Sehubungan itu kata Ismail, beliau berpandangan bahawa isu hudud “janganlah menjadi isu monopoli antara golongan politik kepartian.”

Katanya, isu tawar-menawar untuk mendapatkan simpati politik dan pengundi, isu tohmah dan kacau bilau antara orang Islam sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak berminat, hanya melihat dan menonton telatah ganas dan mulut celupar orang-orang Islam, terutama para ulama yang tidak akan berhenti, malah akan terus-menerus dengan silat dan langkah sepak terajangnya menjadi hero dan wira.

“Kita perlu penjelasan yang rasional, pandangan dan perdebatan yang ilmiah, dialog yang berterus-terang antara semua kalangan orang Islam, yang pakar dalam undang-undang Islam dan undang-undang sivil, yang melibatkan organisasi Islam, agensi agama negara, pejabat peguam negara, ahli akademik dan para alim ulama yang berkecuali, tidak taksub dan terlalu keras mempertahankan ideologi sempit partinya,” tambah beliau.

Justeru katanya, sudah sampai masa bagi para ilmuan Islam mengambil langkah bijak supaya isu hudud ditanya para ulama, maksudnya dibincangkan dengan ikhlas dan jauh dari motif politik kepartian, malah dibincangkan dalam suasana ilmiah dan realiti masyarakat yang diiktiraf Islam sendiri, dalam gagasan “maqasid syariah.”

“Malah istilah ini sendiri haruslah dihalusi apakah maksudnya yang sebenar supaya semua orang akan terus-menerus berada dalam kebingungan dan berada dalam kegelapan, tidak faham hujung pangkalnya, apakah yang diperdebatkan oleh parti-parti politik Melayu dan bukan Melayu itu, apakah yang hendak dilaksanakan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam, dan yang paling teruknya apakah yang hendak dilaksanakan di sesetengah negeri dan tidak dilaksanakan di dalam negeri-negeri lain sedangkan Islam adalah merupakan agama bagi semua orang Islam, tanpa mengira latar belakang geografi dan sosial mereka dalam negara kita yang kecil ini?

“Apakah Islam itu satu atau banyak?” kata beliau lagi.

http://www.kl-today.com/2011/10/pakar-hudud-bukan-isu-pilihan-politik/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...