Showing posts with label Raja Raja Melayu. Show all posts
Showing posts with label Raja Raja Melayu. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

SEBUTIR PELURU ATAS NAMA SULTAN?

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 31ST, 2011

Viktor Wong

Baru-baru ini pensyarah kanan undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah menerima sepucuk sampul yang mengandungi sebutir peluru dengan disertakan dengan sekeping nota yang memberikan amaran kepada beliau agar tidak lagi “menderhakai” sultan.Dr Aziz sebelum ini telah memberikan beberapa pendapat beliau berdasar kepakaran undang-undang dan perlembagaannya mengenai soal-soal kedudukan perlembagaan di dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang pemimpin politik serta beberapa titah baginda sultan yang berkait dengan kepentingan umum.

Adakah kesemua pendapat beliau ini didapati mengancam kedudukan baginda sultan-sultan dan adakah Dr Aziz menunjukkan sebarang niat untuk mengancam atau menggulingkan sistem raja berpelembagaan di negara kita ini?

Sudah tentunya tidak. Dan jika diteliti dengan lebih mendalam kesemua pendapat dan kenyataan yang diberikan oleh Dr Aziz, kesemuanya adalah berbentuk maklumat yang disampaikan oleh seorang pakar akademik yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang yang sedang diamalkan oleh beliau.

Selain daripada itu, kesemua pendapat dan maklumat yang diberikan oleh Dr Aziz tersebut adalah juga bertujuan mendidik dan memperluaskan pengetahuan umum semata-mata dan ianya langsung tidak mempraktikkan sebarang tujuan politik.

Tidak bermoral nama sultan digunapakai

Adalah tidak bermoral sama sekali jika sekiranya ada pihak-pihak yang tertentu yang sanggup mempergunakan atau memperlekehkan nama sultan-sultan di dalam mencapai tujuan dan agenda politik mereka sewenang-wenangnya.

Setakat ini kita hanya telah mendengar dan melihat sebutir peluru dihantar kepada seseorang atas nama sultan kononnya kerana ingin “mempertahankan” baginda. Sebenarnya perbuatan tersebut hanya akan mencemarkan lagi nama-nama baginda sultan.

Apatah lagi jika sekiranya sebutir bom akan dihantar kepada seseorang mangsa atas nama sultan pada suatu hari nanti. Maka akan terjejaslah lagi nama institusi raja-raja di negara ini.

Kesemua perbuatan ini jelas adalah taktik politik yang tidak bermoral dan bertujuan untuk mencetuskan keganasan.

Raja-raja patut bersuara

Rakyat jelata kian berdukacita apabila tidak ada seorang pun di kalangan institusi raja-raja yang dapat tampil ke hadapan untuk mengutuk perbuatan yang sungguh keji dan tidak bermoral ini.

Oleh kerana perbuatan ini adalah berunsurkan jenayah dan ganas, kenapa tidak seorang pun baginda sultan yang tampil untuk memperbetulkan keadaan yang amat mengelirukan sekarang?

Kenapa hanya seorang putera diraja sahaja yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan apakah itu hak rakyat, demokrasi, dan perlunya institusi tersebut untuk turut menerima sebarang pendapat membina daripada rakyat jelata?

Kenyataan putera diraja dari Negri Sembilan itu patut diteladani dan disanjungi oleh kerana baginda adalah satu-satunya ahli kerabat diraja yang sanggup keluar daripada ambang konservatif yang kuno dan tidak praktik untuk bersama dengan rakyat jelata untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi.

Siapa yang menDemokrasikan institusi raja?

Sejak daripada 2008 lagi, kita telah banyak memerhati keadaan politik yang bergolak dan ianya bergolak dan bertambah goyah kerana institusi raja sering diheret masuk ke dalam kancah permasalahan politik dalam negara ini semata-matanya kerana ia perlu digunakan untuk mempertahankan satu parti politik elit yang sedang menghadapi kemerosotan sokongan.

Oleh kerana itulah, parti tersebut sering bersembunyi di belakang institusi raja apabila timbulnya persoalan mengenai kesahihan perlaksanaan atau tindakan parti tersebut dengan mengguna pakai istilah “menderhaka” bagi mengancam mereka-mereka yang tampil menyoal tindakan parti tersebut.

Jadi, adalah perlu kita kembali kepada kejadian asalnya iaitu siapakah yang telah menDemokrasikan institusi raja sebelum ini? Ya, semua pun tahu, bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan perdana menteri pada masa itu yang juga presiden Umno di waktu itu telah menggerakkan usaha yang agresif bagi membendung kelebihan kuasa raja-raja dan menDemokrasikan institusi tersebut bagi membolehkan rakyat jelata memantau segala tindakan dan kegiatan baginda-baginda sultan demi kepentingan umum.

Malah yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Bab XV bagi membolehkan raja-raja disaman oleh rakyat jika perlu, adalah juga atas hasil usaha Umno dan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Ianya berlaku pada Januari 1993 dan sejak dari tahun itulah, istilah “derhaka” itu telahpun hilang taringnya akibat usaha Umno.

Oleh yang demikian, para “pendukung” raja yang fanatik perlu mengingati, memahami dan akur menerima hakikat bahawa demokrasi yang kian subur pada institusi raja pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigih Umno dan jika sekiranya ada mana-mana rakyat yang tampil untuk mengkritik atau memantau apa jua perbuatan atau tindakan para baginda sultan, ianya adalah berlandaskan Bab XV Perlembagaan Persekutuan yang telah diperkukuhkan pada Januari 1993.

Fahamilah kemanusiaan yang sejagat

Kepada mereka-mereka yang masih tidak faham atau enggan menerima hakikat yang sebenarnya dengan menghantar peluru (atau berkemungkinan besar bahan letupan di suatu hari nanti), perhatikanlah kesemua kejadian dan permasalahan ini dari sudut kemanusiaan dengan lebih mendalam.

Raja-raja, sultan-sultan ataupun mereka yang bergelar maharaja semuanya adalah insan manusia sama seperti kita semua, yang boleh melakukan kesilapan dan kebaikan. Apabila berlakunya sebarang kesilapan, perlulah wujudnya keinsafan, pemahaman dan kesedaran yang boleh membawanya ke suatu era yang dapat memajukan dirinya lagi.

Jika sekiranya seseorang itu enggan menerima hakikat kesilapan yang dilakukannya itu, maka akan timbul keburukan demi keburukan yang bakal menimpa dirinya ataupun seluruh keluarganya dan jika ianya terjadi kepada sesebuah negara, maka rakyat akan berasa tidak puashati, lantas daripada itu pemberontakan bagi menegakkan keadilan akan tercetus bagi mempertahankan rakyat jelata daripada penindasan tersebut.

Oleh yang demikian, semua insan manusia tidak mengira kedudukan perlu menerima hakikat bahawa hidup di bawah pengasingan dan enggan menerima kritikan serta pendapat yang membina akan memudaratkan lagi keadaan seseorang.

Janganlah mengukir nama sultan di atas peluru lagi!

Ampun Tuanku, berhati terbukalah kepada rakyat jelata!

http://www.kl-today.com/2011/10/sebutir-peluru-atas-nama-sultan/

Sunday, October 30, 2011

SIKAP TIDAK KONSISTEN PADA INSTITUSI RAJA

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 30TH, 2011

Idzuafi Hadi Kamilan

Penulis kali ini mengambil pendirian yang cukup berhati-hati untuk menulis isu ini setelah apa yang berlaku terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari apabila teguran beliau di dalam Malaysiakini dilihat sebagai mengaibkan dan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.Ini mengenai titah Tuanku berhubung serbuan yang dibuat terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Justeru, penulis memulakan pandangan ini berdasarkan pendekatan historis dan perbandingan di mana merujuk apa yang telah tertulis di dalam Hansard Parlimen supaya tulisan ini berautoriti dan dilihat dan diangkat sebagai pandangan akademik semata-mata berdasarkan rujukan penulis sahaja.

Pelbagai konotasi ditimbulkan khususnya di meja Utusan Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) apabila Aziz Bari menerangkan kenyataannya.

Apa yang ditimbulkan Utusan Malaysia, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seangkatan dengannya menyebabkan penulis merujuk kembali Penyata Rasmi parlimen pada tanggal 18 Januari 1993.

Ketika itu Dr Mahathir membentangkan Pindaan Perlembagaan berhubung kekebalan Raja-raja yang membawa kepada peruntukan pindaan perlembagaan terhadap Perkara 181 (2) di mana immuniti raja-raja ditarik balik dan raja/sultan boleh dibawa dan dibicarakan di Mahkamah Khas sesuai dengan peruntukan baru yang digubal dalam Perkara 183.

Ketika mana bacaan kali kedua dibentangkan ini, Dr Mahathir telah berhujah ketika membentangkan rang pindaan tersebut dengan katanya ‘menegur dan mengkritik Raja kita tidak bermakna ia akan menghapuskan kedaulatan Raja-raja Melayu’.

Media massa serang institusi Raja

Walau pun begitu serangan-serangan terhadap institusi Raja-raja telah pun di palu beberapa bulan sebelum itu dengan media massa memainkan peranan yang penting.

Ketika itu segala-galanya seolah-olah ‘dihalalkan’ oleh kerajaan untuk mengkritik Raja-raja Melayu jauh lebih berat tentang apa yang diungkap Aziz Bari ketika ini.

Menyorot kembali lapan tahun (1984) sebelum itu, apabila Karpal Singh cuba membawa isu yang sama dalam dewan Parlimen berhubung salah laku seorang Sultan di Malaysia. Beliau telah dikenakan tatatertib dan tidak dibenarkan hadir ke Parlimen sehingga akhir sesi.

Justeru, diposisi mana kerajaan pemerintah berpihak sebenarnya? Mengangkat dan mempertahankan Raja-raja Melayu atau memalukannya?

Jika dilihat berdasarkan kronologi sejarah, Sultan hanya diangkat dan dipertahankan apabila terdapatnya merit terhadap kerajaan pemerintah.

Aziz Bari tidak perlu diperkenalkan lagi apabila menyebut tentang Perlembagaan Persekutuan. Beliau yang menulis tesis PhDnya di Birmingham University bertajuk ‘The Development and Role of Constitutional Monarchy’ (1996) dan sudah menulis hampir 200 artikel journal dan kertas kerja berhubung Perlembagaan Malaysia pastinya arif dengan bidang kepakaran beliau.

Namun, kenyataan beliau menjadi kontroversi apabila disanggah beberapa orang yang tidak ‘cerdik’ berhubung komentar beliau mengenai titah Sultan Selangor mengenai serbuan terhadap DUMC.

Kenyataan Aziz Bari

Apa yang diungkap Aziz Bari bahawa tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja tersebut bukan sesuatu tindakan yang lazim.

Sebagai ketua agama Islam negeri itu baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam. Selain itu, beliau dilihat cuba menyatakan tindakan Sultan ini tidak konsisten.

Jarang sekali kita melihat Yang Dipertuan Agong, Raja atau Sultan mengeluarkan kenyataan begitu spesifik berhubung sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Kebiasaannya kenyataan Raja atau Sultan hanya dilihat ketika pembukaan Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di mana kebiasaannya teks itu disediakan kerajaan yang memerintah.

Justeru, bila baginda bertitah terhadap sesuatu isu yang spesifik itu walaupun baginda mempunyai hak namun itu yang dikatakan sesuatu tindakan yang tidak lazim.

Namun persoalannya sama ada kenyataan beliau (Aziz Bari) terhadap titah Sultan boleh didakwa di bawah peruntukan undang-undang boleh dilihat dan dirungkai sepertimana di bawah iaitu:

Kecenderungan menghasut dikatakan apabila Seksyen 3 di dalam Akta Hasutan 1948 menyatakan bahawa seseorang boleh didakwa apabila ada kecenderungan (a) bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan atau (d) bagi menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat Raja mana-mana Negeri atau di kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana Negeri.

Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada ini, maka seharusnya ia juga perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara 63 (5) Perlembagaan Persekutuan di mana dakwaan terhadap seseorang itu hanya boleh disabitkan ke atas beliau jika sekiranya ia menganjurkan atau membangkitkan perasaan ke arah penghapusan institusi Raja-raja.

Justeru, ia bermaksud jika warganegara itu cuba menyarankan atau membuat apa-apa tindakan ke arah ingin menghapuskan sistem beraja maka Seksyen 3, Akta Hasutan harus dikena pakai ke atasnya.

Bagi pandangan penulis, tidak salah beliau memberikan komentar sesuai dengan bidang kepakaran beliau. Pada masa yang sama harus kita ingat kita tidak lagi berada di dalam kekuasaan raja yang berkuasa mutlak sepertimana di ungkap oleh Sir Robert Filmer dalam Patriarcha ‘Natural Power of a King’ (1680).

Malahan kita harus menerima kita hidup di dalam sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem demokratik yang dihujahkan John Locke dalam ‘Two Treatises of Government’ yang juga pengkritik hebat buku Filmer tersebut.

Kuasa Raja

John Locke berhujah dalam keadaan di mana sistem demokratik mengambil alih tanggungjawab kerajaan daripada sebuah sistem pemerintahan feudal maka rakyat juga seolah-olah telah menyerahkan hak untuk memerintah dan diperintah di bawah sistem demokrasi. Oleh itu, kuasa Raja telah dilimitasikan dengan cara sebegitu.

Jika dirujuk kenyataan Aziz Bari itu dengan apa yang dilakukan kerajaan pemerintah ketika krisis Perlembagaan pada tahun 1993 itu lebih teruk namun tiada siapa peduli institusi raja pada ketika itu.

Ini kerana menurut Prof. Mark R. Gillen dalam artikelnya yang bertajuk ’The Malay Rulers’ Loss of Immunity’ menyebut kerajaan pemerintah ketika itu parti yang sedang mendapat sokongan rakyat yang majoritinya Melayu menunjukkan sokongan bertambah dari rakyatnya khususnya apabila berhadapan isu yang melibatkan Sultan dan raja Melayu.Oleh itu, segenap lapisan masyarakat hampir dikatakan menyokong tindakan Barisan Nasional ketika itu. Namun apa yang pasti, berdasarkan pemerhatian Gillen, salah perkiraan pada tahun 1993 akan menghilangkan undi masyarakat Melayu memandangkan institusi Raja dekat dihati rakyat.

Oleh itu apabila fenomena ‘Aziz Bari’ berlaku sekali lagi berkemungkinan mereka mengharapkan sokongan majoriti orang Melayu terhadap apa yang pernah dilakukan mereka walau pun keadaan telah terbalik 360 darjah di mana jika tahun 1993 mereka menghapuskan kekebalan raja-raja, kali ini tahun 2011 mereka bermati-matian menyokong dan melindungi institusi tersebut.

Untunglah Raja-raja kita, kita mempunyai rakyat sedemikian rupa……

*Penulis ialah seorang calon doktor falsafah di Fakulti Undang-Undang UKM dan juga Setiausaha Grup Peguam Abim.

http://www.kl-today.com/2011/10/sikap-tidak-konsisten-pada-institusi-raja/

Friday, October 21, 2011

REKTOR PANGGIL SIDANG MEDIA TERGEMPAR

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 21ST, 2011

Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) telah mengadakan sidang media tergempar berikutan isu pensyarah Fakulti Undang-undangya, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang dikenakan surat tunjuk sebab ekoran tindakannya mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

Sidang media tersebut telah diadakan di pejabat Rektornya dan dipengerusikan oleh Datuk Prof Dr Zaleha Kamaruddin (gambar) di kampus induk UIAM di Gombak pada pukul 12.30 tengah hari Jumaat tadi.

Penggantungan khidmat Pensyarah Undang-Undang itu bukan sebagai satu hukuman namun sebaliknya sekadar tempoh untuk beliau memberi tunjuk sebab berhubung kenyataannya mengenai titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Rektor UIA, Dr Zaleha berkata, penggantungan khidmat Abdul Aziz selama tujuh hari berkuat kuasa pada 19 sehingga 25 Oktober ini adalah penggantungan bergaji penuh.

“Kami membuat penggantungan itu dengan alasan untuk melicin dan mempercepatkan siasatan tanpa sebarang gangguan untuk mendapatkan penjelasan daripada beliau berhubung kenyataan yang dikeluarkan itu,”katanya pada sidang media di UIA di sini, Jumaat.

Isu penggantungan tugas Abdul Aziz mula timbul selepas beliau dikenakan surat tunjuk sebab atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Difahamkan surat berkenaan telah dikeluarkan oleh unit undang-undang UIAM Rabu lalu dan Abdul Aziz diberi tempoh sehingga 25 Oktober ini untuk menjawab surat berkenaan.

Sementara itu, peguam pakar perlembagaan itu, Dr Dzukarnain Lukman pula mendakwa, Abdul Aziz bukan sahaja dikenakan surat tunjuk sebab malah beliau turut digantung tugas.

Sepanjang tempoh tersebut beliau tidak dibenarkan berada di UIAM, berhubung dengan mana-mana kakitangan atau pihak yang ada kepentingan dengan universiti berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Aziz sebagai berkata, tindakan Sultan Selangor untuk campur tangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ini perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran tindakannya itu, beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya dan bekas Ketua Pemuda PKR, Senator Ezam Mohd Nor turut menggesa supaya Abdul Aziz disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pada Rabu, pensyarah kanan UIAM itu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pergi ke pejabat Abdul Aziz Isnin lalu untuk merekodkan kenyataan berhubung isu yang sama.

http://www.kl-today.com/2011/10/rektor-panggil-sidang-media-tergempar/

SAIFUDDIN KESAL TINDAKAN UIAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau “terganggu dan sedih” mendengar isu pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengambil tindakan ke atas pensyarah undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari – diberi surat tunjuk sebab dan digantung perkhidmatan.Aziz juga ditegah memasuki kampus UIA sehingga siasatan ke atas beliau selesai.“Saya terganggu dan sedih mendengar kes ini. Saya tidak semestinya setuju dengan smua pendapat Aziz Bari. Kalau benar dia bersalah, wajar dihukum,” kata beliau dalam satu kenyataan SMS lewat petang ini.

Kata beliau, oleh kerana kes ini masih dalam siasatan, “tindakan UIA menggantungnya saya dapati timbulkan persoalan.”

“Saya telah minta laporan bertulis, ia belum saya terima,” katanya.

Saifuddin (gambar) yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau juga menerima maklumat bahawa ada pihak termasuk mahasiswa yang ingin menyatakan pembelaan terhadap Aziz.

“Itu hak mereka,” katanya merujuk kepada tindakan perhimpunan protes di kampus induk UIA di Gombak esok.

Dalam pada itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA menggantung tugas Aziz Bari. Katanya, tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’.

“Oleh yang sedemikian, SMM menyatakan pendirian sekeras-kerasnya mengecam tindakan tersebut. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIA seharusnya mempertahankan Prof Dr Abdul Aziz Bari atas dasar kebebasan akademik dan kebebasan berpendapat.

“Justeru, SMM akan melakukan mobilasi mahasiswa secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk mengadakan demonstrasi di Masjid Universiti Islam Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, SMM menjangkakan hampir 1,500 orang mahasiswa dan anak muda akan hadir untuk turut serta.

Sebelum ini, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai “satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.”

“Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.

“Ternyata perlantikan ‘kepimpinan baru di UIA’ itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

http://www.kl-today.com/2011/10/saifuddin-kesal-tindakan-uiam/

AZIZ BARI: TINDAKAN UIAM TERUS DIKECAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung pakar perlembagaan terkemuka, Prof Dr Abdul Aziz Bari amat mendukacitakan.Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong berkata, UIA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea.Malangnya, kata beliau universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila diserang oleh ahli politik dan media Umno, tetapi sebaliknya menggantung beliau pada hari ini.

“Dengan mengambil tindakan ini, UIA terbukti mementingkan agenda politik Umno. Transformasi yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda masyarakat sejagat.

Beliau yang Adun Bukit Lanjan berkata, jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidangnya, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan disunyikan.

Tambahnya, tindakan menggantung Dr Aziz merupakan bukti jelas mengapa tahap kecermelangan institusi pengajian tinggi di Malaysia tetap merudum.

“Saya menggesa UIA untuk menarik balik penggantungan ini dengan serta-merta. Hak kebebasan akademik mesti dipertahankan,” ujarnya.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, “Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza.

“Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.

”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” kata Dr Muhammad Fadzli lagi.

Beliau yang juga bekas pensyarah di UIA meluahkan terkejut di atas tindakan tersebut, sepatutnya ia tidak berlaku dalam masa begitu pantas.

Semalam Dr Abdul Aziz dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada UIA berkaitan pandangannya sebagai seorang ahli akademik terhadap titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ahli akademik yang agak lantang itu juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran laporan polis dibuat pemimpin Umno termasuk Senator Ezam Mohd Noor.

Difahamkan juga Dr Abdul Aziz digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Selain itu menurut laporan Malaysiakini beliau juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak.

Prof Dr Abdul Aziz berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tindakan dilakukan UIA itu merupakan satu langkah yang tidak bertamadun.

“Ini jauh sekali daripada merelaikan setiap masalah yang timbul. Sepatutnya hujah akademik dibalas dengan pandangan yang sama bagi menggambarkan kewibawaan ilmu seseorang,” ujarnya.

Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, apa yang dilakukan UIA terhadap Dr Abdul Aziz sebagai strategi dan proses ke arah ‘melenyapkan’ golongan intelektual yang berani menyatakan kebenaran.

Menurutnya tindakan agresif tanpa siasatan rapi itu menjelaskan kepada rakyat, Umno dan BN sekarang mahu kemandulan intelektual terus berlaku di negara ini.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua pula berkata, SKMM dan polis juga dengan segera perlu menarik balik tindakan mereka mahu menakut-nakutnya pensyarah itu hanya kerana memberikan pandangan mengenai undang-undang.

“Pada masa yang sama, UIA seharusnya menarik balik surat tunjuk sebab yang mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah untuk menekan pandangan-pandangan yang berbeza,” kata beliau.

Kata Pua, pihaknya tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan dikemukakan oleh Aziz sepanjang masa, tetapi setiap orang khususnya mereka yang ada pengkhususan dalam bidang masing-masing sewajarnya diberi kebebasan untuk melahirkan pandangan dan pendapat masing-masing.

“Kami percaya bahawa setiap orang, apa lagi ahli-ahli akademik dalam bidang pengajian yang relevan, harus ada suara untuk memberi pandangan mengenai kesemua perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan. Apatah lagi, Malaysia merupakan negara yang bersandarkan undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mengecam keras tindakan pentadbiran UIA yang bertindak menggantung perkhidmatan Aziz.

“Penggantungan ini, susulan daripada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan semalam ke atas Dr Aziz, ternyata sesuatu yang memelikkan dalam keadaan Dr Aziz belum lagi memberikan sebarang jawapan balas kepada surat tunjuk sebab berkenaan yang meletakkan tarikh 25 Oktober sebagai tarikh akhir untuk beliau menjawabnya,” kata beliau.

Beliau berkata, isu yang dipolemikkan secara berlebihan oleh Utusan Malaysia dan beberapa aktivis politik picisan melibatkan kenyataan terdahulu Aziz sehingga beliau disiasat oleh SKMM dan polis, nyata sekali bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan bertujuan untuk membangkitkan sentimen rakyat ke atas sesuatu isu yang sememangnya jelas justifikasinya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan Malaysia.

“AMK melihat, penggantungan ini, jelas mencalarkan imej UIA selaku ‘taman ilmu dan budi’, apabila dalam keadaan budaya ilmu melalui penghujahan fakta yang autoritatif dalam lingkungan kepakaran seseorang pensyarah ditekan dengan tindakan seumpama ini,” kata beliau.

http://www.kl-today.com/2011/10/aziz-bari-tindakan-uiam-terus-dikecam/

AZIZ BARI SAH DIGANTUNG KERJA OLEH UIAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sehingga siasatan ke atas beliau diselesaikan, berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor minggu lalu.Perkara itu terkandung dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beliau petang semalam.Aziz ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan perkara itu.

“Saya serahkan kepada peguam saya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peguamnya Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan bahawa selain digantung tugas, Aziz juga dilarang berada di UIA dan berhubung dengan mana-mana kakitangan dan mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan universiti itu.

“Berdasarkan surat tunjuk sebab, syarat-syarat ini dikenakan sehingga inkuiri selesai dijalankan,” kata beliau sambil menambah Aziz dikenakan tuduhan mengeluarkan satu kenyataan, yang dibawa oleh portal MalaysiaKini, didakwa telah memudaratkan nama baik dasar UIA.

Tuduhan itu dikenakan di bawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti.

“Saya difahamkan ini kali ketiga Prof Aziz Bari diberikan surat tunjuk sebab,” kata Dzulkarnain lagi.

Pensyarah paling kanan di fakulti undang-undang itu digantung bergaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun difahamkan ini kali pertama beliau dilarang menjejaki kaki di kampus UIA.

Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).

Aziz berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.

“Dua surat sebelum ini, Prof Aziz Bari sendiri yang jawab, jadi saya tidak pasti sama ada digantung tugas atas tidak,” kata peguam itu yang semalam mengiringi pakar perlembagaan itu ketika disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan di Shah Alam.

Menurut Dzulkarnain, pensyarah itu diberi tempoh sehingga pukul 4 petang 25 Oktober ini untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan semalam.

“Prof Aziz akan menjawab surat tunjuk sebab dalam waktu terdekat,” kata beliau lagi.

Semalam, polis memulakan siasatan ke atas Aziz mengikut Akta Hasutan berikutan laporan pemimpin Umno Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat Aziz.

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Aziz sebelum ini dipetik berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja terbabit pada 3 Ogos lalu bukan tindakan lazim.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan Selangor sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jais tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Ditanya sama ada syarat-syarat yang dikenakan ke atas Aziz terlalu keras, Dzulkarnain berkata, “ya, saya rasa syarat-syarat seperti ini tidak perlu. Beliau tidak mengganggu sesiapa.. ini bukan kes gangguan seksual.”

“Lagi pun beliau ada pelajar-pelajar yang hendak diselia, ada kuliah, ada kelas untuk disampaikan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin mengajak alumni universiti itu mengadakan protes di Masjid UIA di Gombak selepas solat Jumaat esok bagi menyatakan sokongan kepada Aziz.

Shamsul antara lulusan universiti itu dalam bidang undang-undang.


http://www.kl-today.com/2011/10/aziz-bari-sah-digantung-kerja-oleh-uiam/

Fenomena Aziz Bari: Di mana silapnya?

Fenomena Aziz Bari: Di mana silapnya?

Tidak sukar untuk kita memahami amalan demokrasi di negara ini. Dosa besar dalam amalan demokrasi di Malaysia ialah berkata benar kepada pemimpin. Arak, judi, zina, bukan lagi ‘dosa’.

Budaya ini mengimbau kembali kepercayaan melayu kuno terhadap sultan iaitu sebagai jelmaan tuhan di bumi. Ini jahil dan amalan jahiliyah ini perlu dihapuskan.

Kenyataan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang disiarkan di laman berita Malaysiakini telah mencetuskan kemarahan mereka yang jahil tentang peranan sultan sebagai ketua agama Islam berikutan kenyataan Sultan Selangor mengenai pemeriksaan ke atas gereja yang dilakukan oleh JAIS baru baru ini.

Mereka ingin dilihat sebagai Melayu sejati yang mebela ketuanan Melayu walhal tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai tindakan ‘bodoh’ atau ‘kurang cerdik’ dalam bahasa yang lebih sopan.

Menyamakan titah sultan sebagai titah Tuhan adalah syirik.

Sultan bukan nabi atau malaikat. Mereka ialah manusia biasa yg diciptakan dari setitis air mani sama seperti manusia lain, mempunyai sifat sifat yang dimiliki oleh manusia lain seperti bodoh, pemalas, pelupa, rajin dan sebagainya.

Isu sebenar yang dibangkitkan oleh beliau adalah bagaimana peranan sultan dalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Tidak ada apa apa yang salah di sisi undang-undang. Bahkan beliau sendiri ialah seorang pakar dalam undang undang perlembagaan. Justeru beliau mempunyai hak untuk bercakap dalam konteks perlembagaan.

Tindakan menggantung beliau sebagai pensyarah adalah permulaan kepada kesilapan. Modus operandi ini sama digunakan oleh British ketika menentang kebangkitan golongan anti penjajah dengan menggantung mayat Tok Janggut dan diusung di sekitar Kota Bharu bagi meberi amaran kepada mereka yang cuba menetang British.

Kini Aziz Bari menjadi simbol amaran kepada ahli akademik yang cuba mendedahkan kebenaran kepada masyarakat maka mereka akan dihukum.

Malangnya situasi ini harus dihentikan secepat mungkin kerana dikhuatiri kesan daripada isu ini boleh meledakkan kemarahan rakyat khususnya di kalangan anak muda kerana penafsiran mereka terhadap institusi diraja sangat kritikal. Risau-risau nanti ada pula gerakan menentang institusi monarki.

Oleh kerana itu, ‘hujah mesti dibalas dengan hujah’. Amalan biasa yang dilakukan di Malaysia adalah ‘hujah dibalas dengan kezaliman’ dan amalan ini harus dihentikan.

Oleh kerana kami berpendidikan, kami benci bila kami diperbodohkan.

Penulis adalah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Mobilisasi besar untuk demo sokong Aziz Bari esok

Mobilisasi besar untuk demo sokong Aziz Bari esok

Kumpulan mahasiswa akan menggerakkan golongan itu secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk berdemonstrasi terhadap Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

NONEPengerusi NGO Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500 mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi "mempertahankan kebebasan akademik".

"Solidariti Mahasiswa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'," kata Syukri (kiri).

Perhimpunan itu dijadual berlangsung di masjid kampus di Gombak selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIA seharusnya mempertahankan Aziz atas dasar kebebasan akademik dan kebebasan berpendapat.

Alumni UIA diseru protes

Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

opposition demo on lingam tape 280907 shamsul iskandarSementara itu, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) turut menggesa seluruh alumni universiti itu turut serta mengadakan protes di UIA pada masa yang sama.

Menyifatkan penggantungan tugas itu sebagai tindakan "unilateral" itu, Shamsul mengingatkan kumpulan itu tidak menjadi "alat politik".

"Keberadaan Prof Aziz Bari di universiti mesti dipertahankan," katanya yang juga graduan undang-undang daripada universiti itu dalam pesanan Twitter beliau.

Tindakan terhadap Aziz dipercayai ekoran reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Penyokong lancar FB sokong profesor undang-undang

Penyokong lancar FB sokong profesor undang-undang
Pengguna Internet bangkit menyatakan sokongan kepada Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas sebagai pensyarah, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Petaling Jaya.

Melancarkan laman (page) "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" di laman sosial Facebook, mereka turut menyindir kebebasan akademik di negara ini.

NONE"Kebebasan akademik ala-Malaysia," tulis pentadbir laman itu apabila memuatkan semula pautan berita tentang penggantungan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja dilancarkan, laman Facebook itu disukai (dengan menekan butang like) oleh 3,114 pelayar (setakat 7.07 petang).

Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang paling kanan universiti itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Belum ada reaksi UIA

Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan Datuk Prof Zaleha Kamaruddin daripada pejabat rektor mengesahkan surat itu dikeluarkan semalam.

Sementara itu, sebuah lagi laman "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" juga diluncurkan.

Setakat berita ini dikemaskini, ia sudah digemari 4,115 pelajar.
Pencipta kedua-dua laman ini tidak dapat dipastikan setakat ini.

NONEAziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan berhubung pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Aziz (kiri) sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SKMM dan pihak polis juga menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.

Dr Asri: Gantung Aziz tindakan mengampu

Dr Asri: Gantung Aziz tindakan mengampu

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengkritik keras tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan menyifatkannya sebagai "tindakan mengampu".

NONE"Tindakan kepada Prof Aziz Bari merupakan sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.

"Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad.

"Tindakan ini adalah tindakan mengampu," kata fellow pelawat di Universiti Oxford itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Dr Asri (kanan) menyifatkannya sebagai "tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik".

Beliau bahkan sinis terhadap apa yang dirujuknya sebagai "kepimpinan baru di UIA" yang tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik.

"Kepimpinan UIA sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik," katanya.

Kakitangan UM: Tanam ketakutan

Katanya, setahu beliau rektor UIA sekarang merupakan ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), justeru beliau bimbang berlaku konflik kepentingan dalam tindakan mengambil tindakan terhadap Aziz.

azlan"Sebagai lepasan UIA, saya rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di UIA hari ini.

"UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran," katanya.

Tindakan terhadap Aziz, termasuk disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berpunca daripada komennya terhadap Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - bawah MAIS - terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.

Dr Asri mengibaratkan tindakan UIA itu seperti "mencampak diri ke zaman kegelapan Katholik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy(menyeleweng) kepada agama".

Sementara itu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) hari ini turut menentang tindakan pelbagai pihak terhadap Aziz - termasuk oleh polis dan UIA - kerana ia didakwa mencabul kebebasan akademik dan berekspresi.

"Tindakan oleh kerajaan dan UIA ini akan menanam ketakutan dalam masyarakat akademik," kata presidennya Azmi Sharom.

Sehubungan itu, persatuan itu menggesa siasatan polis bawah akta hasutan dihentikan dan pengantungan terhadapnya ditamatkan serta merta.

Aziz Bari terima surat tunjuk sebab dari UIA

Aziz Bari terima surat tunjuk sebab dari UIA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undangnya Profesor Abdul Aziz Bari, yang baru-baru ini mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi.

NONETidak jelas mengenai kandungan surat itu kerana pakar perlembagaan itu tidak dapat dihubungi.

Malaysiakini juga belum dapat mengesahkan perkara itu dengan pihak universiti kerana ketika berita ini ditulis, waktu pejabat telah berakhir.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Sementara itu, Malaysiakini terus dikunjungi oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan Abdul Aziz yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

Malaysiakini terus disiasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyoal siasat wartawan Malaysiakini pada Isnin lalu, sekali lagi datang dengan dua pegawai yang sama bagi mendapatkan butiran lanjut daripada kakitangan lain.

police investigating malaysiakini on aziz bari statementEditor berita, Wee Yu Meng disoal selama sejam dan diminta mengesahkan bahawa Abdul Aziz mengirimkan emelnya kepada portal berita berkenaan dan sejauh mana ketepatan berita yang disiarkan.

Selain SKMM,Malaysiakini hari ini juga disiasat oleh pihak polis berhubung isu yang sama.

Pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam, ASP Effandi Main merakamkan kenyataan daripada Wee selama satu jam setengah.

Beliau disoal sejauh mana dirinya mengenali Abdul Aziz dan berhubung kredibiliti pensyarah kanan undang-undang itu.

Pihak polis juga meminta dibekalkan salinan emel kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tetapi Wee berkata salinan yang dimilikinya telah dipadamkan setelah berita itu dimuat-naik.

azlanAbdul Aziz dipercayai disiasat mengikut Akta Hasutan.

Beliau pada 11 Oktober lalu berkata tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim.

Selaras ajaran Islam

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Abdul Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

NONETidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis NGO tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

http://www.malaysiakini.com/news/179127

Thursday, October 13, 2011

TIDAK SALAH KRITIK RAJA-RAJA MELAYU

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 13TH, 2011

Akta Hasutan 1948 memperuntukan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi seseorang mengkritik Raja-raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi raja itu, kata pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).Sehubungan itu, katanya dakwaan bahawa beliau memburuk-burukkan institusi raja ketika mengulas kenyataan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama Ogos lalu, tidak timbul.
“Seperkara, sultan melaksanakan kuasa perlembagaannya dan rakyat – iaitu pembayar cukai – mempunyai hak untuk menilai prestasinya.

“Dari sudut pandangan Islam, seseorang akan mendapati peraturan yang lebih ketat apabila seorang lelaki bangkit dan mengingatkan Khalifah Umar al-Khattab bahawa beliau akan membetulkan pemimpin itu melalui pedangnya,” kata Aziz.

Menurut beliau seperti prestasi institusi awam yang lain, institusi raja-raja juga terpaksa berdepan dengan kritikan dan semakan sepanjang masa.

Justeru, bagi mengelakkan perkara itu, Aziz yang telah menghasilkan tesis, buku dan artikel mengenai peranan monarki dalam Islam dan demokrasi, berkata pihak istana mesti mendapatkan pandangan yang lebih luas dan bukan hanya terikat dengan kelompok kawan yang kecil.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan beberapa artikel membidas Aziz dan Malaysiakini kerana didakwa memburuk-burukkan institusi raja.

Langgar garisan

Antara mereka, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwandin Hamzah yang mendakwa Aziz tidak faham dan tidak menghormati kuasa yang ada pada Sultan.

Aziz menghasilkan tesisnya yang bertajuk ‘The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia’ di University of Birmingham pada 1996 dan pernah menerbit sebuah buku berjudul Majlis Raja-Raja: Kedudukannya dalam Perlembagaan (DBP, 2002).

Katanya lagi dalam kenyataannya, beliau mengambil pendirian yang kritikal semasa krisis politik di Perak pada Februari 2009.

“Saya mesti katakan, pendirian saya tetap sama. Pandangan saya terhadap raja-raja tetap tidak berubah.

“Saya cuma berpendapat bahawa sesetengah raja-raja telah melanggar garisan mereka dan membelakangkan perlembagaan.

“Walaupun ada yang mendakwa mereka hanya melakukan apa yang dibenarkan oleh perlembagaan, saya cuma kata mereka tidak patut membaca peruntukan itu secara literal atau di luar konteks,” kata Aziz.

Menurutnya lagi, pandangannya mudah, monarki mesti tidak terbabit dengan kancah politik.

http://www.kl-today.com/2011/10/tidak-salah-kritik-raja-raja-melayu/

Wednesday, October 12, 2011

MAJLIS GEREJA AKUR TITAH SULTAN SELANGOR

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 11TH, 2011

Majlis Gereja Malaysia pada Isnin menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya tidak ada pihak akan didakwa dalam isu pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Ogos lalu.Setiausaha Agungnya, Dr Hermen Shastri (gambar) berkata majlis berkenaan mengambil pendirian titah Tuanku telah menyelesaikan konflik dalam isu kontroversi berkenaan.

“Kami menerima dengan hati terbuka titah Sultan sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam isu pemeriksaan ke atas DUMC,” katanya kepada The Star pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemeriksaan yang dijalankan oleh Jais pada Majlis ‘Thanksgiving’ yang diadakan di DUMC pada 3 Ogos lalu.

“Atas semangat perpaduan, kami berharap agar tiada pihak yang cuba membuat spekulasi atau mengeruhkan keadaan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Jais dalam usaha memantau cubaan memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam di negeri itu.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh tokoh perundangan dan pakar agama serta pegawai kanan kerajaan dan nama-nama mereka yang dipilih akan diumumkan kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Khalid Samad menyifatkan titah Tuanku yang tidak mahu mana-mana individu Muslim yang menghadiri majlis makan malam di DUMC didakwa merupakan jalan terbaik untuk memulihkan kepercayaan kepada agama Islam.

“Memgambil tindakan undang-undang dan menggunakan kekerasan tidak akan dapat mengubah minda masyarakat terutamanya dalam isu keagamaan.

“Kekerasan tidak boleh digunakan untuk menilai akidah seseorang individu. Ia harus dikendalikan dengan pendekatan yang paling lembut,” katanya.

Jelasnya, titah baginda supaya 12 individu Islam tersebut menjalani sesi kaunseling adalah jalan terbaik untuk memulihkan akidah mereka.

Dalam pada itu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata mereka akan menggunakan teknologi terkini bagi membuktikan kes mereka di mahkamah.

“Saya akan pastikan sistem pengurusan berprestasi tinggi dengan kelengkapan canggih digunakan bagi menguatkan dakwaan setiap kes yang dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata titah Sultan pada Isnin jelas menunjukkan baginda mahu Jais dan Majlis Agama Islam bertindak professional dalam setiap tugas yang dijalankan.

http://www.kl-today.com/2011/10/majlis-gereja-akur-titah-sultan-selangor/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...