Showing posts with label Guinness World Records. Show all posts
Showing posts with label Guinness World Records. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

Sudah 249 hari Belgium tiada kerajaan

BRUSSELS - Rakyat Belgium meraikan hari ke-249 tanpa kerajaan semalam dan menggangapnya sebagai satu rekod dunia.

"Akhirnya, kita (Belgium) ialah juara dunia" kata tajuk utama sebuah akhbar tempatan, De Standaardsemalam.

Keadaan itu berlaku selepas keputusan pilihan raya parlimen pada 13 Jun 2010 menunjukkan tiada parti yang memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Parti-parti politik utama enggan bertolak ansur bagi membentuk sebuah kerajaan campuran.

Rundingan untuk memecah kebuntuan tersebut masih berjalan manakala pentadbiran negara kini dilaksanakan sebuah kerajaan sementara diketuai oleh Menteri Kewangan, Didier Reynders yang dilantik oleh pemerintah Belgium, Raja Albert. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Monday, February 14, 2011

Kanak-kanak miliki 26 jari



LAI YADI MIN mempunyai tujuh jari pada setiap kakinya dan 12 jari tangan.


BEIJING - Seorang kanak-kanak berketurunan Cina berusia setahun yang tinggal di Okkalarpa Selatan di Yangon, Myanmar, Lei Yadi Min mempunyai 12 jari tangan dan 14 jari kaki, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kanak-kanak itu kini menunggu pengesahan rasmi daripada Guinness of World Records bagi kategori bilangan jari tangan dan kaki yang paling banyak.

Dia memiliki tujuh jari pada setiap kaki dan enam jari tangan.

Secara keseluruhannya, Min mempunyai 26 jari.

Dia bersaing dengan dua rakyat India masing-masing berusia lima tahun dan 15 tahun yang memiliki 12 jari tangan dan 13 jari kaki dengan jumlah keseluruhan 25 jari. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Friday, December 17, 2010

Pokok Krismas bernilai RM35 juta





ABU DHABI - Perayaan Hari Natal yang akan menjelang tidak lama lagi disambut dengan gaya yang lebih mewah oleh hotel Emirates Palace di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan memaparkan pokok Krismas yang dihiasi barang kemas bernilai lebih daripada AS$11 juta (RM35 juta), kelmarin.

Pengurus Besar hotel itu, Hans Olbertz berkata, pokok Krismas yang berketinggian 13 meter itu adalah antara yang paling mahal di dunia setakat ini.

"Ia turut dihiasi dengan barang kemas seperti rantai, anting-anting dan 181 batu berharga seperti berlian, mutiara, zamrud dan batu-batu yang bernilai tinggi dalam pasaran," kata Khalifa Khouri, pemilik Style Gallery yang membekalkan batu-batu berharga tersebut.

Olbertz berkata lagi, pokok Krismas itu sudah bernilai AS$10,000 (RM31,000) dan nilai keseluruhan pokok itu berjumlah lebih AS$11 juta (RM35 juta).

Hiasan dengan gaya penuh kemewahan itu mungkin akan disenaraikan di dalam Guinness book of World Records dan pihak hotel Emirates Palace bercadang untuk mempamerkan pokok Krismas itu sehingga akhir tahun ini.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8528157.asp

Friday, October 29, 2010

Ular paling panjang di zoo mati


GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan ular sawa sepanjang 7.3 meter di Zoo Columbus, Ohio.


COLUMBUS, Ohio - Seekor ular sawa yang paling panjang di Zoo Columbus di sini ditemui mati pada pagi kelmarin kerana menghidap tumor.

Haiwan sepanjang 7.3 meter yang diberi nama Fluffy dan seberat 136 kilogram itu disenaraikan dalam Guinness World of Records sebagai ular paling panjang pernah tinggal dalam zoo.

Ular berusia 18 tahun itu berjaya menarik minat kehadiran ramai pengunjung di zoo tersebut sejak ia dipamerkan pada 2007.

Ular sawa paling panjang yang pernah direkodkan ialah sepanjang 9.9 meter yang mati dibunuh pada 1912 di Indonesia. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Thursday, October 21, 2010

Ikan piranha gergasi berjaya ditangkap



BENTUK ikan piranha gergasi.


LONDON - Seorang pemancing, Jeremy Wade berumur 52 tahun menangkap seekor ikan mirip piranha sepanjang 1.52 meter dan berat 45.39 kilogram di Sungai Congo, Afrika, lapor sebuah akhbar semalam.

Ikan itu mempunyai 32 batang gigi yang saiznya sama dengan ikan jerung putih. Ia ditangkap dengan joran 90.7 kilogram dan menggunakan umpan seekor ikan air tawar, baru-baru ini.

Ikan itu merupakan spesies ikan harimau Afrika yang terkenal kerana menyerang manusia dan buaya.

Pemancing itu yang merupakan hos program River Monsters di stesen televisyen ITV berkata, dia mengambil masa lapan hari sebelum berjaya menangkap ikan itu.

"Ia merupakan seekor ikan yang amat berbahaya untuk dikendalikan. Jika anda tidak berhati-hati, ikan itu dengan mudah akan memutuskan jari anda," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Stewie kucing terpanjang di dunia



GAMBAR menunjukkan Stewie yang sepanjang 1.23 meter.


LAS VEGAS - Seekor kucing yang berusia lima tahun telah memecahkan rekod dunia Guinness sebagai kucing domestik paling panjang di dunia. Kucing tersebut yang diberi nama Stewie diukur dari hujung hidungnya ke hujung ekor sepanjang 1.23 meter.

Rekod kucing terpanjang sebelum ini adalah 1.21 meter.

Pemilik Stewie, Robin Hendrickson dan Erik Brandsness dari Reno, Nevada, memberitahu, ramai orang terpegun dengan kepanjangan kucing itu. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Friday, September 17, 2010

Lembu terkecil di dunia


GAMBAR yang disiarkan Guinness World Records menunjukkan lembu
terkecil dunia, Swallow (kanan) bersama dengan seekor lembu jantan.


LONDON - Seekor lembu kerdil yang meminati muzik kontemporari dinamakan sebagai lembu terkecil di dunia oleh Guinness World Records, lapor sebuah akhbar semalam.

Pihak pengurusan Guinness menyatakan, lembu sebesar seekor biri-biri itu berasal dari kawasan Yorkshire Barat, utara England dan berukuran 84 sentimeter panjang.

Lembu tersebut berusia 11 tahun dan dinamakan Swallow.

Pemiliknya, Caroline Ryder berkata, Swallow kerap menghabiskan masa dengan memakan rumput atau mendengar radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) di bangsalnya.

Swallow berasal dari baka lembu Dexter yang terkenal kerana saiznya yang kerdil tetapi haiwan tersebut jauh lebih kecil berbanding kebanyakan lembu Dexter lain. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Saturday, July 10, 2010

Manusia tertua di dunia





TBILISI - Pihak berkuasa negara Georgia semalam mendakwa terdapat seorang wanita yang menetap di sebuah kampung terpencil yang kini berusia 130 tahun.

Seorang jurucakap pejabat pendaftaran kebangsaan berkata, wanita itu dikenali sebagai Antisa Khvichava (gambar) dari bahagian barat Georgia dilahirkan pada 8 Julai 1880.

Menurutnya, umur itu menjadikan dia sebagai manusia tertua di dunia yang masih lagi hidup.

Kakitangan-kakitangan pejabat pendaftaran itu mengunjungi Khvichava di kampung Sachire dan mereka ditunjukkan dengan dua dokumen era Soviet yang menyatakan tarikh lahir Antisa.

Wanita tersebut mendakwa bersara sebagai pengutip daun teh dan jagung pada 1965 ketika berusia 85 tahun.

Kumpulan Penyelidik Gerontologi di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa rasmi bagi membuat pengesahan manusia tertua dunia untuk Guinness World Records masih menyenaraikan individu tertua yang masih hidup setakat ini ialah Eugenie Blanchard dari Perancis berusia 114 tahun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0709&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Wednesday, March 24, 2010

Lelaki paling bijak dunia tolak hadiah AS$1 juta





ST PETERSBURG - Walaupun memenangi hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM3.3 juta) kerana menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu, hadiah itu ditolak bulat-bulat oleh pakar matematik Rusia, Dr Grigory Perelman (gambar).

Bukan sahaja hadiah, lelaki berkenaan turut menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts iaitu sebuah institut berprestij dari Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Dia yang berusia 44 tahun, diberikan hadiah itu kerana berjaya menyelesaikan masalah geometri sukar yang dinamakan Poincaré conjecture.

Empat tahun lalu, setelah dia menghantar jawapan bagi masalah matematik itu di Internet, Perelman tidak hadir untuk menerima anugerah penghargaan daripada Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) di Madrid.

Pakar matematik itu yang tidak lagi bekerja dengan institut Steklov kini tinggal berseorangan di sebuah flat kecil di sini yang kotor dan dipenuhi lipas.

"Saya tidak berminat dengan wang atau pun nama," kata lelaki itu.

Seorang jirannya, Vera Petrovna berkata, dia terkejut melihat keadaan daif di flat Perelman.

"Lelaki itu cuma memiliki sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor,".

"Kami cuba menghapuskan lipas di blok kami tetapi semua serangga itu bersembunyi di flatnya," kata wanita tersebut.

Perelman mula menghantar jawapan untuk masalah matematik itu semasa bekerja sebagai penyelidik di Institut Matematik Steklov, di sini pada 2003. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Tentera India guna senjata cili


SEORANG petani menunjukkan cili bhut jolokia di India.


GAUHATI, India - Tentera India kini memiliki senjata baru bagi menentang pengganas iaitu cili paling pedas di dunia.

Beberapa pegawai pertahanan semalam berkata, pihak tentera akan menggunakan cili yang dinamakan bhut jolokia atau cili hantu itu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan suspek.

"Grenad bhut jolokia akan menjadi senjata tanpa toksik yang berkesan kerana bau pedasnya membuatkan pengganas tercekik sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian," kata Pengarah Jabatan Sains Hayat Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO), R. B. Srivastava.

Cili itu disenaraikan Guinness World Records pada 2007 sebagai cili paling pedas di dunia yang dimakan untuk merawat masalah perut dan cuaca panas.

Ia yang ditanam di timur laut India jauh lebih pedas berbanding sos Tabasco atau lada jalapeno. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Wednesday, May 13, 2009

Pemegang rekod payu dara terbesar enggan dibedah



STITZ


ATLANTA -  Pemegang rekod payu dara terbesar dunia, Norma Stitz mendedahkan dia enggan membuat pendedahan bagi mengecilkannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita itu berkata, ramai orang yang mengemukakan pertanyaan kepadanya bagi meminta penjelasan kenapa dia tidak membuat pembedahan untuk mengecilkan payu dara.

"Saya sayang payu dara saya dan ia memberikan saya satu kehidupan yang indah," kata Stitz.

Menurutnya, dia menerima banyak tawaran yang mengundangnya untuk muncul dalam program stesen televisyen di seluruh dunia.

Wanita itu turut mendedahkan ketika dia menemui lelaki, dia berharap mereka menaruh minat terhadap dirinya bukan payu daranya.

"Bagaimanapun, kebanyakan lelaki tidak bersembang dengan rancak. Mereka hanya merenung saya," katanya.

Wanita itu diiktiraf memiliki payu dara paling besar dengan berat hampir 18.14 kilogram oleh Guinness World Records. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Tuesday, April 7, 2009

Wanita China miliki rambut 2.5 meter

Wanita China miliki rambut 2.5 meter



SHIQUIN tidak pernah memotong rambutnya sejak 16 tahun lalu.


CHONGQING - Seorang warga China, Chenq Shiquin memiliki rambut sepanjang 2.5 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Shiquin yang memiliki sebuah salun kecantikan di sini tidak pernah memotong rambut sejak 16 tahun lalu.

Shiquin mengambil masa dua jam hanya untuk mencuci rambutnya dan sejam lagi untuk menyikatnya.

Walaupun rambut wanita itu tergolong dalam kategori ekstrem, Shiquin bukan pemegang rekod rambut terpanjang di dunia kerana ia menjadi milik Xie Qiuping dari wilayah Guangxi.

Qiuping memiliki rambut berukuran lebih lima meter panjang pada 2004 dan dia menyimpannya sejak berumur 13 tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0404&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Sunday, February 15, 2009

Lelaki terkecil dunia gembira


PINGPING berdiri di hadapan patung lelaki tertinggi dunia
di muzium Guinness World Records di Tokyo semalam.


TOKYO - Lelaki terkecil dunia, He Pingping dari Inner Mongolia berasa gembira walaupun ketinggiannya hanya 74.1 sentimeter dan berat tujuh kilogram.

Pingping yang diiktiraf oleh Guinness World Records pada tahun lalu menyatakan saiznya yang kecil memudahkan dia melalui ruang sempit termasuk memakan makanan dalam jumlah yang amat kecil.

Dia yang merupakan rakyat China dilahirkan dengan penyakit pertumbuhan tulang terbantut.

Pingping menjelaskan, satu nugget ayam mencukupi untuk mengisi perutnya selama satu hari walaupun dia mampu makan semangkuk mi sup apabila berasa terlalu lapar.

Walaupun kecil, dia yang tinggal bersama saudara perempuannya menghisap sebungkus rokok setiap hari tetapi dia cuba untuk mengurangnya kerana sedar kesan buruk terhadap kesihatan.

"Mimpi saya adalah untuk terus memegang rekod sebagai lelaki terkecil dunia," katanya di Tokyo semalam.

Lelaki tertinggi dunia, Bao Xishun turut berasal dari Inner Mongolia dengan ketinggian 2.36 meter dan berkahwin pada 2007. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...