Showing posts with label MP PAS. Show all posts
Showing posts with label MP PAS. Show all posts

Friday, July 29, 2011

Legasi srikandi gerakan Islam di tengah kota


Ahmad Lutfi Othman

Saya menerima berita kematian Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, pada malam pertama saya di wad surgeri 5E, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, 17 Julai lalu. Saya diminta mengikuti rawatan lanjutan termasuk menjalani angiogram saraf tunjang tulang belakang dan pelbagai ujian lain semasa empat hari di sana.

Sebelah siangnya, saya dihujani pelbagai pertanyaan: "Betulkah Dr Lo'Lo' meninggal?" Tidak mudah menjawab SMS seumpama itu memandangkan tahap kesihatannya begitu kritikal dalam tempoh yang agak lama. Derita kanser lebih dua tahun lalu sudah merebak, namun srikandi berjiwa kental ini tidak pernah patah semangat, malah mampu mendorong orang lain -- termasuk saya -- untuk lebih waja berdepan penyakit.

(Ziarah terakhir di Wad Sutera, HUKM, 23 Jun lalu.)

"Lutfi, jangan berhenti berubat, kuatkan semangat, terus berjalan," nasihatnya, meminta saya rajin bersenam dan mengikuti sesi fisioterapi apabila mengetahui saya mengalami stroke kecil dan masalah saraf tunjang selepas pembedahan pintasan jantung.

Saya dan rombongan Harakah, sempat menjenguknya di Wad Sutera, HUKM, pada 23 Jun, tidak sampai sebulan sebelum beliau dipanggil menghadap Ilahi. Biarpun nampak cukup uzur dan terlantar di katil, Dr Lo'Lo' yang ditemani suaminya, Prof Madya Dr Aminudin Abd Hamid Karim, seperti lazimnya ceria melayan kami. Gurauannya begitu menyenangkan. Beliau masih sempat berjenaka tentang mukanya yang nampak tembam. Di penjuru bilik, Dr Amin menjelaskan tahap kesihatan isterinya yang semakin kritikal.

(Di wad yang sama, lebih setahun lalu, sehari sebelum saya menjalani bypass surgery (CABG), Dr Lo'Lo' dan Dr Amin merupakan tetamu terakhir pada petang Ahad itu -- selain anggota keluarga saya -- datang menyuntik keyakinan dan menitipkan nasihat bermanfaat. Sungguh, watak keibuannya cukup menyerlah, begitu prihatin dan nampak jelas ketulusannya.)

Dari atas katil, Dr Lo'Lo' meminta bantuan isteri saya, Siti Hawa mengenakan tudung yang lebih sesuai (dan lebih labuh) apabila diminta bergambar kenangan. (Kelahiran dua anak kami sebenarnya dibidani Dr Lo'Lo). Mulanya Dr Amin agak keberatan untuk bergambar bersama kami. "Inilah orang yang bersama saya di saat senang dan sukar ...," kata Dr Lo'Lo' tersenyum.

Segera saya teringat ketika saya dan isteri berkunjung ke rumah Dr Lo'Lo' di Keramat pada awal tahun ini. Ya, meskipun beliau kelihatan sukar bergerak, hatta payah untuk bangun menyambut kedatangan kami, dan bau ubat memenuhi ruang tamu, Dr Lo'Lo' ghairah bercerita tentang "perjuangan".

Temanya tidak lari daripada membedah secara terbuka rantaian masalah yang masih menyerkup aktivis parti. Dan itulah keunikan dan keistimewaan Dr Lo'Lo' ... berbicara langsung dari hati, kadang-kadang seolah-olah "tanpa berlapik", dan mungkin bagi sesetengah orang perwatakannya dianggap sebagai "sering membebel dan terlalu cerewet".

"Saya perhatikan ramai ahli-ahli kita seolah-olah tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab selepas menang. Rasa rendah diri tidak bertempat. Tidak berani ke depan untuk memimpin masyarakat, malah di banyak kawasan, orang Umno yang sudah kalah itu seolah-olah masih menjadi ketua dalam komuniti," kritiknya, sambil meminta saya menggunakan Harakah untuk memperbaiki keadaan tersebut.

(Menghadiri majlis Aidilfitri 2009 anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, di Ampang Hilir.)

Dalam satu majlis makan malam anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya pimpin pada tahun 2001, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, di Hotel Vistana, Dr Lo'Lo' kebetulan melewati meja yang diduduki saudara-saudara terdekat saya. Apabila diminta memperkenalkan diri, seorang daripadanya berkata: "Saya ... anak saudara Lutfi."

Segera Dr Lo'Lo' memintas: "Saya tak suka kita mengaitkan diri dengan orang lain. Setiap orang ada kekuatan tersendiri." Memang beliau amat menekankan keperluan membina keyakinan diri yang tinggi pada setiap individu, terutama di kalangan petugas jemaah.

Dr Lo'Lo' yang juga ahli jemaah pengarah Harakah sering melahirkan rasa tidak puas hati dengan kualiti dan persembahan lidah rasmi PAS itu. "Banyak lagi yang boleh dilakukan Harakah," tegurnya langsung kepada saya. Mungkin disebabkan "serangan tanpa selindungnya" itu, maka editor-editor Harakah agak "kecut perut" jika menerima panggilan daripadanya!

Malah, apabila diminta pemberita menghubungi Dr Lo'Lo' untuk mendapatkan komen atau mengikuti programnya, saya perhatikan ramai yang cuba mengelak. Apa pun, selepas kehilangannya, saya yakin mereka -- dan saya sendiri -- pasti merindui suara teguran dan nasihat ikhlas daripada seorang ibu yang sentiasa terbuka dan penyayang.


Saya juga masih terbayang bagaimana mesra dan intimnya hubungan Dr Lo'Lo' dengan anak-anak muda Titiwangsa, bagaikan hubungan anak dengan ibu, seperti ditunjukkan semasa majlis Aidilfitri 2009 yang dianjurkannya di Taman Ampang Hilir. Rupanya beliau hanya sempat menabur bakti, dalam keadaan sihat, kepada masyarakat ibukota hanya sekitar dua tahun sebelum keuzuran.

Yang pasti, Almarhumah meninggalkan legasinya yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah sebagai seorang srikandi gerakan Islam di tengah jantung Kuala Lumpur.

Seorang rakan saya, yang kerap menghantar SMS -- sebahagiannya sarat dengan kritikan -- kepada pimpinan PAS merakamkan: "Dr Lo'Lo' antara pejuang PAS yang tak pernah abaikan SMS saya. Dia tetap membalas, kadang-kadang sampai berdebat. Debat membina. Terasa benar kehilangan kakak srikandi muslimah sejati."

Takziah buat Dr Amin dan keluarga. Dr Lo'Lo' tetap di hati kami. Dan secara peribadi saya merasakan obor semangatnya tidak pernah padam, termasuk membekalkan kekuatan buat saya berdepan sekelumit rintangan ...


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/4528-legasi-srikandi-gerakan-islam-di-tengah-kota-

Sunday, July 24, 2011

Perjalanan terakhir Dr Lo' Lo'

Mohd Rashidi Hassan

"IBU berpesan kepada kami adik-beradik, jangan sesekali dia dilupakan selepas ibu kembali ke rahmatullah.

"Ibu suruh ingat dia, kenang dia, terlalu banyak saat-saat bahagia kami bersama ibu, namun sekarang semua sudah tiada," kata Fawwaz, anak kedua Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang meninggalkan kita semua 10.13 malam 17 Julai 2011, selepas bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama dua tahun.

Dr Lo'Lo' pergi menghadap Allah Rabbul Jalil, meninggalkan suami Dr Aminuddin Hamid Karim dan empat anak. Dua lelaki dua perempuan.

Anak sulung, Mawaddah, 30, Fawwaz, 28, Sakinah, 26 dan yang bongsu Farhan, 25.

"Semalam ayah agak terkesan selepas ibu pergi, tetapi alhamdulillah, pagi ini sudah boleh terima," Fawwaz meneruskan ceritanya kepada penulis sewaktu bertemu dengannya di Masjid al-Akram, Kampung Datuk Keramat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Di sebalik kesedihan, Fawwaz meneruskan ceritanya. Sesekali beliau mengetab bibir. kelihatan air mata bergenang di kelopak mata, namun beliau cuba menahan kesedihan.

Menurutnya, sebagai ibu, Dr Lo'Lo' banyak berhabis untuk anak-anak. Habis semua wang gajinya digunakan untuk membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi seorang yang unggul dari sudut akhlak dan peribadi.

"Hidup kami padat dengan tarbiyah, belajar, kem motivasi dan sebagainya," katanya sambil tersenyum terkenangkan kisah silam sewaktu di bangku sekolah.

Namun semua kebahagian itu sudah tiada. Ibunya pergi selepas terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

"Kali terakhir kami bercakap dengan ibu pada Khamis lepas (14 Julai), selepas itu ibu tidak sedarkan diri," kata Fawwaz.

Sebelum dirujuk ke Hospital Selayang, Dr Lo'Lo' dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama 10 hari. Kemudian dibawa pulang beberapa hari ke rumah.

Namun menurut Fawwaz, keadaan ibunya tidak berapa stabil sewaktu berada di rumah.

"Ibu kelihatan terlalu sakit, lalu kami bawa ke Hospital Selayang kerana beliau perlu diberikan sedatif (untuk mengurangkan kesakitan," katanya.

Katanya, Dr Lo'Lo' dikesan mengalami kanser sejak 2009.

"Pada waktu itu, mula-mula ibu batuk berdarah, kami sangkakan beliau jadi begitu kerana terlalu kuat bekerja. Ibu tidak pernah rehat sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

"Namun selepas dibawa menjalani pemeriksaan, beliau disahkan mengidap kanser paru-paru pada stage tiga," ceritanya.

Selepas disahkan mengalami kanser, lalu dibuat pembedahan segera membuang kanser tersebut.

"Selepas itu ibu menjalani kimoterapi, saya dapat rasakan ibu begitu sakit ketika menjalani kimoterapi. Kemudian kami dimaklumkan oleh para doktor bahawa, selepas menjalani beberapa ujian, ibu sudah bebas daripada kanser.

"Kami berasa lega dan ibu terus kembali aktif dalam kerja-kerja politik. Namun kegembiraan kami tidak lama. Keadaan ibu kembali tidak stabil pada penghujung 2010. Selepas dibuat pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa kanser sudah merebak," ujarnya sugul.

Namun, Dr Lo'Lo' tidak pernah mengenal penat lelah. Beliau tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen, mahupun keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan.

Dr Lo'Lo' terpaksa berehat di rumah. Beliau terus bertarung dengan kanser. Namun bukan simpati yang ditagihnya daripada rakan taulan, sahabat handai dan anggota keluarga yang datang mengunjung.

Dr Lo'Lo' menyedari hayatnya tidak lama. Namun beliau tidak mahu dirundung dengan kesedihan dan ketakutan.

"Pada sesiapa sahaja yang datang, terutamanya pada pemimpin PAS, ibu akan terus beri nasihat dan bercakap mengenai masa depan Islam dan politik.

"Saya masih ingat, ibu selalu pesan kepada mereka supaya jaga anak-anak muda, dekati anak-anak muda, banyak turun padang mendekati pengundi. Beliau paling risau anak-anak muda sekarang tidak solat dan terbabit dalam gejala sosial," kata Fawwaz.

Tidak hairanlah sebaik sahaja berita Dr Lo'Lo' kembali kerahmatullah berbondong-bondong umat datang mengunjungi Allahyarhamah di Masjid al-Akram.

Ramainya umat yang menunaikan solat jenazah, menyamai umat Islam yang menunaikan solat Jumaat.

Dr Lo'Lo' adalah sebutir permata, srikandi muslimah yang gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam menerusi PAS. Beliau begitu istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Moga rohnya aman di alam barzakh. Moga beliau ditempatkan bersama pada syuhada dan solihin. Al-Fatihah.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/4454-perjalanan-terakhir-dr-lo-lo

Dr Lo' Lo': Perjuanganmu akan diteruskan

Nasrudin Hassan

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalung al Faatihah buat al Marhumah YB Dr Lo' Lo' Dato' Hj Ghazali yang telah kembali ke rahmatillah. Semoga ruhnya tergolong dari kalangan hamba Allah yang solehah. Jua takziah buat keluarga al Marhumah, mudah - mudahan tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Sungguh, bukan hanya keluarga terdekat merasai kehilangan tetapi ia turut dirasai oleh ahli jamaah [PAS], rakan - rakan seperjuangan dari Pakatan Rakyat malah pemergiannya jua merupakan satu kehilangan besar bagi Parlimen Malaysia dan seluruh rakyat, khasnya yang diwakili beliau dari kawasan parlimen Titiwangsa.

2. Dr. Lo' Lo' adalah antara nama besar dipersada politik tanahair. Mewakili PAS membawa risalah perjuangan Islam guna membebaskan ummah dari belenggu kezaliman dan penindasan regim sang penguasa yang rakus di takhta. Lantang, berani dan tegas antara sifat beliau sepanjang beliau menggalas amanah perjuangan ini. Namun uniknya, sifat keibuan terus terserlah, membuatkan kehadhiran beliau ke tengah medan perjuangan ini sangat dirasai dan kini pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar dan sukar dicari ganti.

3. Saya mempunyai rekod peribadi yang sangat menarik sepanjang saya mengenali beliau di pentas perjuangan ini. Kesimpulan yang boleh saya rumuskan di sini ialah beliau seorang pejuang yang sungguh berdisiplin dan gigih serta tegas dengan prinsip perjuangan. Perjuangannya mesti diteruskan dan ia menjadi teladan istemewa buat generasi muda menongkah arus jahiliah moden hari ini.

4. Isu Kampung Baru yang gigih dan teguh diperjuangkan oleh beliau antara isu yang melonjak nama beliau ke peringkat nasional dan mula dihormati oleh masyarakat meskipun dari luar parti. Kesungguhan beliau bagaikan tiada tara dan sempadan. Bahkan saat bergelut dengan penyakit yang mengancam nyawanya, beliau tega menyembunyikan resah dan derita diri sendiri untuk terus menampilkan wajah ceria, berani dan serius memperjuangkan hak rakyat agar bebas dari belenggu penderitaan dan kesengsaraan akibat kerakusan sang tirani.

5. Biarpun berkerusi roda, biarpun beliau mengetahui perkelanaan beliau di bumi fana ini telah berada di perhentian akhir, beliau terus tabah dan menggagah diri untuk hadhir ke Muktamar PAS ke 57 baru - baru ini yang berlangsung di Dewan Hj Fadzil Mohd Noor, KUIZM Taman Melewar. Ia melambangkan peribadi beliau sebagai seorang pejuang, seorang serikandi yang sukar untuk mengalah sekalipun berdepan dengan situasi yang sedemikian.

6. Perjuangan beliau mesti diteruskan. Kesungguhan beliau mesti diteladani. Kelantangan beliau mesti dicontohi. Keberanian beliau mesti diwarisi oleh anak - anak muda hari ini untuk mendepani cabaran dan halangan sebuah perjuangan. Al Faatihah buat al marhumah.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/4442-dr-lo-lo-perjuanganmu-akan-diteruskan

Tuesday, July 19, 2011

DR LO’ LO’ SEKADAR YANG SAYA KENALI

Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)

Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:

“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut

“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam. Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.

Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama. Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:

“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.

Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO

Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:

“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.

Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:

“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.

Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:

“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.

Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR

Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘Ulama atau professional Jadi Pemimpin’ . Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:

“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.

Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;

“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.

Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau‘pendakwah’. Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan. Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya.

http://drmaza.com/home/?p=1478

Monday, July 18, 2011

MP PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo' meninggal dunia'

Jul 17, 11 2:31pm

Ahli parlimen PAS Titiwangsa, Dr Lo Lo' Mohd Ghazali meninggal dunia pada jam 10.13 malam ini di Hospital Selayang Hospital di Kuala Lumpur. Allahyarhamah berusia 54 tahun.

dr lo' lo' ghazaliBerita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Siang tadi Dr Lo' Lo' berada dalam keadaan kritikal daripada penyakit barah yang dialaminya.

Dr Lo' Lo' adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah.

Beliau sangat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008, banyak menumpukan perhatiannya kepasda parlimen Tititwangsa, yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana tempoh parlimen sudah melepasi tiga tahun.

Kerusi Titiwangsa hanya akan diisi apabila pilihan raya umum diadakan.

sementara itu, Harakahdaily melaporkan, anak Allahyarhamah, Muhd Fawwaz, memberitahu jenazah ibunya diuruskan di Masjid al-Akram, Datuk Keramat pagi esok.



http://malaysiakini.com/news/170184

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...