Showing posts with label Piket MTUC. Show all posts
Showing posts with label Piket MTUC. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

PIKET MTUC ADALAH HAK DAN DIADAKAN AMAN

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 1ST, 2011

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menegaskan tidak timbul soal “haram atau tidak haram” sebaliknya tindakan berpiket Khamis ini adalah hak pihaknya sebagai sebuah badan induk demi mempertahankan para pekerja daripada implikasi buruk pindaan Akta Kerja 1955.Badan induk kesatuan sekerja itu memutuskan untuk mengadakan piket yang kedua, kali ini peringkat nasional.Justeru, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata, Kementerian Sumber Manusia khususnya Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam perlu membezakan antara pertikaian perhubungan perusahaan dan perhimpunan aman menuntut kepentingan pekerja dipelihara.

Katanya, MTUC sedar bahawa piket minggu ini bukan satu pertikaian perhubungan perusahaan, sebaliknya protes pergerakan kesatuan sekerja membantah tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia mengambil keputusan yang dilihat akan merugikan kaum pekerja dalam jangka panjang.

“Menjadi hak menteri, apa yang mahu diperkatakan. Apa yang kami putuskan adalah hak kami. Kita berhak untuk mengambil tindakan jika tindakan atau keputusan kerajaan nampak mengetepikan hak pekerja,” kata beliau dengan menekankan bahawa “tidak timbul soal haram atau tidak haram.”

“Saya mendapati kenyataan menteri juga mengatakan jika hendak mengadakan perhimpunan aman, boleh diadakan.

“Jadi, betul apa dikatakan oleh menteri, kami hanya mengadakan perhimpunan aman… terima kasih kepada menteri kerana faham, cuma kami panggil sebagai piket, di mana bagi MTUC piket juga satu bentuk perhimpunan aman,” kata Khalid lagi.

Katanya, MTUC juga telah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara dan ketua-ketus polis negeri mengenai hasrat mahu mengadakan piket di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

“Kami telah memaklumkan bahawa MTUC hendak mengadakan piket secara aman dan minta kerjasama pihak polis,” katanya. Surat makluman telah dihantar minggu lalu.

Dalam satu ucapan di ibu negara malam tadi, Dr Subramaniam berkata MTUC tidak ada hak untuk mengadakan piket berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja 1955 kerana ia bukan satu pertikaian perhubungan perusahaan.

“Dari segi undang-undang, mereka tidak boleh mengadakan piket berhubung isu ini. Mereka hanya boleh berpiket berkaitan dengan pertikaian perhubungan perusahaan, membabitkan antara majikan dan pekerja.

“Ini adalah isu dasar kerajaan. Jika mereka berpiket, mereka bertindak bertentangan dengan undang-undang,” kata beliau,

MTUC memutuskan piket nasional pada mesyuarat majlis am pada 10 Oktober lalu. Piket pertama berkaitaan rang undang-undang itu telah diadakan pada 3 Oktober lalu di kawasan bangunan Parlimen.

Selepas tiada sebarang reaksi positif daripada kerajaan termasuk pertemuan dengan menteri itu minggu lalu, MTUC mahu meneruskan piket kebangsaan bagi memberi penjelasan kepada orang ramai khususnya kaum pekerja mengenai kesan pindaan Akta Kerja.

MTUC juga meletakkan harapan pada anggota Dewan Negara untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu.

Piket 3 Oktober lalu diadakan bagi mendesak Kementerian Sumber Manusia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011) di Parlimen tetapi desakan dan rayuan MTUC tidak dilayan pihak kerajaan.

MTUC mendakwa ia tidak membantah keseluruhan pindaan Rang Undang-undang Kerja sebaliknya hanya beberapa peruntukan baru termasuk sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Subramaniam berulang kali mempertahankan tindakan itu sebagai salah satu cara melindungi pekerja negara ini.

Mengulas lanjut, kata Khalid, MTUC merupakan badan gabungan yang terdiri daripada kesatuan-kesatuan sekerja yang ada hak untuk membantah apa sahaja dasar dan keputusan majikan dan kerajaan, yang memberi kesan dan impak negatif.

“Kami merupakan badan induk yang mewakili pekerja negara ini, yang jumlahnya kira-kira enam juta orang, kami berhak untuk membuat bantahan,” katanya lagi.

http://www.kl-today.com/2011/11/piket-mtuc-adalah-hak-dan-diadakan-aman/

Sunday, October 30, 2011

PIKET MTUC SAH PADA 3 NOVEMBER

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 29TH, 2011

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)sah akan menganjurkan piket di 16 lokasi seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, piket itu akan diadakan di enam lokasi di Selangor serta setiap satu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah.

“MTUC sendiri ada 800,000 ahli dan ada 5.7 juta pekerja seluruh Malaysia, kita harap pekerja seluruh Malaysia sertai kita dan dapat ‘good crowd’ hari itu,” katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.

Pada 6 Oktober lepas, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.

Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Abdul Halim berkata, piket itu akan berlangsung antara pukul 5 petang dan 6.30 petang dan sebanyak 100,000 risalah akan diedarkan serta 41 buah kain rentang akan dibawa sepanjang piket itu berlangsung di seluruh negara.

Katanya, MTUC akan menyerahkan surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan dan lokasi piket itu diadakan sambil menegaskan piket itu akan berlangsung secara aman.

“Kita sudah serah surat kepada Perdana Menteri minggu lepas supaya akta itu dapat ditarik balik dan dibincangkan semula dengan pekerja,” katanya.

Beliau berkata isu terbesar mengenai piNdaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja di mana ini membolehkan majikan ‘mengupah’ kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan itu.

Katanya, sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan dan ini akan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bila seorang pekerja ditimpa kemalangan ketika bekerja bagaimana dengan pampasannya, ini amat merumitkan kerana pekerja tidak bekerja dengan majikan tetapi buat kerja untuk majikan itu,” katanya.

Abdul Halim berkata selain itu, pindaan terhadap pekerja separuh masa, cara menetapkan masa kerja pekerja wanita, masa pembayaran berbeza antara gaji dan elaun serta prosedur pengurusan kes gangguan seksual turut “merisaukan” MTUC.

“Jika dilihat pindaan ini boleh memudahkan pekerja ditindas dan dianiaya terutamanya oleh kontraktor tenaga kerja, kita mahu menyelesaikan isu ini secara domestik terlebih dahulu, kita tidak mahu bawa ini ke peringkat antarabangsa buat masa ini,” katanya.

http://www.kl-today.com/2011/10/piket-mtuc-sah-pada-3-november/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...