Sunday, November 16, 2008

Pendam perasaan kerana takut


Oleh ISMAIL MUHAMAD
am@hmetro.com.my



KOTA BHARU: Perasaan takut serta kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai undang-undang menyebabkan ramai wanita yang didera suami secara mental dan fizikal tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa.

Peguam syarie, Che Rosmah Mohd Zain, berkata ramai wanita yang didera suami juga tidak mengetahui saluran yang ada untuk merujuk masalah mereka dan lebih rela memendam perasaan.

Menurutnya, kekurangan maklumat dan pengetahuan mengenai undang-undang juga menyebabkan golongan itu tidak mengetengahkan masalah mereka.

“Bagaimanapun, dengan sesi penerangan berkaitan prosedur dan undang-undang yang diadakan, wanita kini mula memahami dan mengetahui hak mereka bagi menangani masalah dihadapi kepada pihak berkuasa,” katanya pada Seminar Rumah Tangga Berkat di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.


Pada seminar itu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mas kahwin dan Implikasinya Dalam Perkahwinan’.

Ahli panel lain terdiri daripada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Mohd Azhar Abdullah dan Kadi Jajahan Kota Bharu, Suratemi Mat Yusoff.

Seminar itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan negeri bagi memberi penjelasan mengenai konsep sebenar rumah tangga berkat bermula daripada proses memilih jodoh hingga berlangsung perkahwinan.

Ia juga bertujuan melahirkan masyarakat yang faham berkaitan amalan perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan.

Beliau berkata, pasangan yang menghadapi masalah perlu segera merujuk masalah mereka kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan.

“Melalui cara itu, pihak berkuasa dapat memanggil pasangan suami isteri untuk diberi kaunseling bagi mengelak masalah menjadi lebih serius terutama dalam kes dera yang begitu kurang dilaporkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115174134/Article/index_html

‘Port’ remaja diserbu


Oleh OMAR OSMAN
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Tilam, longgokan kain baju, lilin dan kertas akhbar yang dijadikan pengalas tidur adalah antara barangan yang ditemui ketika polis menahan lapan remaja lelaki dan empat perempuan dalam sebuah premis kosong yang menjadi ‘port’ atau tempat lepak mereka.

Mereka ditahan kira-kira jam 9 pagi semalam ketika sedang tidur di premis itu yang terletak dalam satu unit bangunan tidak diduduki berhampiran sebuah kompleks beli belah terkenal, di sini.

Sumber polis berkata, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral kerana sebelum ini sering dilihat berpeleseran di sekitar bandar berkenaan.

“Namun, mereka agak licik kerana sebelum ini beberapa usaha polis dan jabatan agama untuk menahan mereka gagal kerana mereka bijak meloloskan diri,” katanya.


Menurutnya, penahanan kumpulan remaja terbabit bermula apabila polis yang membuat rondaan di tingkat lima bangunan kosong itu terserempak dengan sepasang remaja dalam keadaan mencurigakan.


“Selepas disoal siasat, pasangan remaja itu membawa polis ke sebuah premis kosong di aras yang sama. Di situ polis menemui 10 remaja lagi membabitkan tujuh lelaki dan tiga perempuan yang sedang tidur bergelimpangan di atas sekeping tilam dan kertas akhbar.

“Beberapa helai kain baju dan lilin turut ditemui di premis itu yang tidak ada bekalan elektrik. Keadaan premis itu bersepah, namun polis percaya premis itulah yang menjadi tempat tidur remaja terbabit setiap malam selepas mereka berpeleseran di sekitar bandar ini hingga lewat malam,”
katanya.

Menurutnya, sebelum ini remaja terbabit dipercayai sering menjadikan stesen bas dan belakang bangunan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) sebagai ‘port’ mereka sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada orang ramai.

“Tetapi apabila polis dan pejabat agama membuat pemeriksaan berterusan, mereka menghilangkan diri sehinggalah kami menemui mereka di ‘port’ baru hari ini (semalam),” katanya.

Sumber itu berkata, sebahagian besar remaja yang ditahan itu berasal dari bandar ini dan kawasan sekitarnya namun ada juga yang berasal dari Perlis, Selangor dan Johor.

Menurutnya, mereka yang ditahan kemudiannya diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115181805/Article/index_html

‘Awak siasat sendiri...’

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my


AZIZ...beri nasihat kepada keluarga Nor Radhiah.


KUALA LUMPUR: “Terlalu banyak rahsia (selepas perkahwinan) yang saya tahu sedikit demi sedikit. Saya ambil kesimpulan memang saya selama ini menilai sesuatu daripada ‘kulit’ sedangkan benda (hal yang sebenar) itu saya tidak tahu,” kata pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M Osman, 46, yang berdepan kontroversi selepas tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya, ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, gara-gara meragui status perkahwinannya.

Dalam pertemuan dengan Metro Ahad, Aziz yang selama ini enggan mengulas lanjut mengenai kemelut rumah tangga akhirnya ‘membuka mulut’ untuk bercerita situasi yang sebenar.

Antara yang diperkatakannya, sebelum berkahwin, Aziz mengetahui status Nor Radhiah dan dia turut mengetahui isterinya itu pernah ‘kahwin lari’ dengan bekas suaminya selepas hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Ikuti temubual ASMIZAN MOHD SAMIRAN (mizan@hmetro.com.my) bersama Aziz, semalam.


Soalan (S): Ramai yang mengatakan anda seperti kelam-kabut hendak mengahwini Nor Radhiah.

Jawapan (J): Yang pertama sekali, apa yang saya buat, saya kahwin dengan cara yang betul. Saya merisik dan saya mendapat restu. Soal kelam-kabut hendak kahwin tidak timbul. Untuk tetapkan tarikh perkahwinan pun direstui kedua belah pihak. Pihak dia dan saya.



S: Apa yang anda tahu mengenai Nor Radhiah sebelum mengahwininya.

J: Benda ini yang saya diberitahu sudah diselesaikan (perkahwinan Nor Radhiah terdahulu). Berdasarkan kepada proses yang saya lalui sejak berjumpa, berkenalan dan berjumpa keluarga dia. Saya tahu dia pernah kahwin lari. Cuma saya beritahu saya tidak boleh terbabit selagi pihak keluarga perempuan merasa ada kesangsian pada perkahwinan pertama. Saya kata rujuklah kepada mahkamah dan mahkamah kata perkahwinan itu tidak sah. Dan saya buat perancangan untuk berkahwin. Kemudian, saya dapat ‘lampu hijau’ dari semua pihak termasuk daripada Nor Radhiah yang kata hendak kahwin dengan saya.



S: Adakah timbul soal anda tertipu?

J: Soal tertipu itu terlalu rumit hendak diperkatakan kerana terlalu banyak rahsia (selepas perkahwinan) yang saya tahu sedikit demi sedikit. Saya ambil kesimpulan memang saya selama ini menilai sesuatu daripada ‘kulit’ sedangkan benda (hal yang sebenar) itu saya tidak tahu. Saya ingin merubah hidup saya kepada yang lebih ‘simple’ dengan mendapatkan seorang gadis dari luar kelompok saya (dunia artis) dan tiba-tiba benda ini ada masalah, tapi masalah dia lain pula. Kesimpulannya janganlah mengatakan bahawa dunia artis ini penuh dengan hitam, gelap, kelabu.... kerana apabila saya meneroka dunia orang lain sama juga. Kalau dinamakan manusia, ada kelemahan juga. Ini sesuatu yang mengejutkan juga. Pendedahan yang mengatakan dia kahwin lari dan pendedahan itu bukan daripada saya.



S: Anda mengetahui status isteri anda, tetapi mengapa selepas berkahwin timbul masalah sehingga anda mengambil keputusan untuk tidak tinggal sebumbung?

J: Ada pihak yang tidak dapat saya sebutkan di sini meminta saya supaya pergi rujuk benda ini (status perkahwinan) kepada pakar. Dan apabila saya merujuk kepada peguam saya dan peguam saya merujuk kepada yang lebih arif, memang mengatakan perkahwinan saya disangsikan. Jadi, saya cuma menjalani proses untuk memastikan kedudukan perkahwinan saya dengan Nor Radhiah. Itu saja yang saya lakukan. Saya tidak sangka benda ini berpanjangan sehingga satu ketika saya beri nasihat kepada keluarga Nor Radhiah, jangan terlalu melatah dengan keadaan sekeliling, tetapi apabila mereka membalasnya (memberi kenyataan) mereka sendiri yang mendedahkan semuanya. Bukan daripada saya.



S: Selepas kemelut rumah tangga anda didedahkan media, anda seolah-olah cuba menutup mulut.

J: Bagi saya, ini soal hak undang-undang. Selagi kita tidak dapat penentuan kita tidak dapat memberikan keputusan atau jawapan. Lainlah apabila mahkamah sudah tetapkan kedudukan saya, barulah saya boleh buat kenyataan. Ini berdasarkan pengalaman yang lepas. Kadang-kadang benda ini apabila kita bercakap, merapu, bertekak, kesudahannya bila keputusan dibuat maka terserlah siapa yang melalut dan siapa yang kalut. Dia akan kena balik pada batang hidung sendiri. Saya mendiamkan diri bukan atas dasar tidak bertanggung jawab. Saya mendiamkan diri atas dasar saya tidak tahu apa yang berlaku. Apabila kita tidak tahu, kita duduk diam.



S: Anda masih berhubung dengan Nor Radhiah?

J: Ya. Melalui Internet... khidmat pesanan ringkas (SMS). Itu yang saya tanya dia kenapa nak buat kenyataan...kerana Nor Radhiah ini bukan seperti apa yang difikirkan masyarakat kerana Nor Radhiah ini lurus, masih mentah dan mudah terpengaruh, panik dengan situasi yang dia tidak biasa. Sedangkan, saya ini sudah matang dan tidak mudah melatah. Kalau kita berani kerana benar tidak apa, tetapi kalau kita nak bela diri kita sedangkan latar belakang itu semua agak kabur, kita perlu berhati-hati ketika membuat kenyataan.



S: Siapa sebenarnya yang mendorong anda merujuk status perkahwinan anda semula. Adakah Nor Radhiah sendiri membuat pengakuan tertentu kepada anda atau ada pihak ketiga yang campur tangan?

J: Saya tidak mahu komen. Bukannya apa, benda ini akan babitkan ramai orang. Bagi saya tidak perlu babitkan ramai orang. Benda ini cuma kesnya kepada saya. Soal cinta Romeo dan Juliet yang tidak mendapat restu ibu bapa tidak timbul. Sekarang ini fokusnya adalah kepada perkahwinan Aziz M Osman. Saya cuma fokus perkahwinan saya sah atau tidak.



S:Seandainya perkahwinan anda diputuskan sah oleh Mahkamah?

J:Kita tunggu episod seterusnya.



S:Betul 23 November ini naik mahkamah?

J:Awak siasat sendiri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115181440/Article/index_html

Ratu pondan




Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, ASMIZAN MOHD SAMIRAN DAN SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Ketika isu pengkid hangat diperkatakan, golongan mak nyah atau pondan di negara ini bagaikan diberi layanan istimewa apabila ada pihak yang ‘bermurah hati’ menyediakan pertandingan khas untuk memilih ratu cantik di kalangan mereka.

Menerusi penyertaan dalam pertandingan ‘ratu cantik pondan’ itu, golongan terbabit dikatakan berada di puncak impian apabila berpeluang merubah diri menjadi wanita yang tampil dengan gaya anggun dan menawan selain meraih pelbagai gelaran seperti Queen of the Year (Ratu Tahun Ini) dan All Star (Bintang-bintang).

Berdasarkan maklumat diterima daripada sumber, wartawan Metro Ahad berjaya menyusup masuk ke sebuah kelab di ibu kota yang kini ‘ligat’ memulakan misi mencari bakat baru pondan untuk dimahkotakan sebagai ratu cantik.

Bagaikan ‘kebal’ daripada penguatkuasaan undang-undang, iklan mengenai pertandingan itu ditampal di papan kenyataan di luar kelab berkenaan sehingga mengundang perhatian orang ramai yang lalu lalang.

Berdasarkan iklan berkenaan, peserta hanya dikenakan wang pendaftaran serendah RM30 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM2,000 untuk tempat pertama, RM500 (kedua) dan RM300 (ketiga).


Foto wajah finalis dan ratu pondan bagi pertandingan tahun lalu diabadikan di satu sudut khas di dalam kelab itu termasuk barisan ratu pondan yang menyertai pertandingan satu kategori khas pada Jun lalu.

Seorang pengunjung yang ditemui berkata, pertandingan dijangka lewat dimulakan kerana masih menunggu penyertaan daripada golongan terbabit, paling awal pertandingan dijangka bermula pada jam 12.30 tengah malam.

Begitupun, seawal jam 10 malam, kelihatan beberapa pengunjung mula memasuki kelab berkenaan untuk berhibur terlebih dulu sebelum melihat pertandingan berkenaan.

Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Didi, 23, itu berkata kelab berkenaan adalah kelab yang cukup terkenal di kalangan golongan homoseksual gay.

“Kelab ini sudah lama beroperasi dan tidak keterlaluan dikatakan ia kelab gay paling lama bertahan di ibu kota. Setiap tahun memang ada pertandingan ratu cantik pondan di kelab ini,” katanya.

Seperti diberitahu Didi, wartawan Metro Ahad memasuki kelab berkenaan pada jam 12.30 malam tetapi pertandingan belum dimulakan.

Begitupun, suasana kelab tetap meriah apabila pengunjung yang semuanya lelaki berhibur mengikut alunan rentak disko bersama ‘pasangan’ masing-masing.

Bukan saja warga tempatan, tetapi warga asing termasuk Mat Salih dan warga Afrika turut mengunjungi kelab berkenaan. Malah, ada yang berpasangan dengan warga tempatan tanpa segan silu bercengkerama seperti pasangan kekasih.

Di sudut tertentu yang lebih gelap dan menempatkan kerusi dalam kelab itu, kelihatan beberapa pasangan gay asyik bercumbu rayu tanpa dipedulikan pengunjung lain.

Kelibat peserta yang hadir bersama jurumekap dan beg besar berisi pakaian dan aksesori mula kelihatan sekitar jam 1 pagi.

Pada jam 2 pagi, disaksikan kira-kira 100 penonton, pertandingan yang dinamakan Extreme II Faces, bermula dan peserta diperkenalkan pengacara majlis. Memandangkan pertandingan diadakan untuk peringkat pertama, hanya tiga peserta mengambil bahagian.

Seorang daripada tiga peserta berkenaan adalah pelajar kolej, manakala dua lagi tidak diberitahu pekerjaan mereka.

Untuk sesi pengenalan, ketiga-ketiga peserta tampil dengan berpakaian ‘gaun malam’ sambil berjalan dengan gaya ‘catwalk’ persis model.

Peserta kemudian dikehendaki menyanyi secara ‘miming’ mengikut rentak lagu yang disampaikan. Dua daripada peserta memilih lagu Datuk Siti Nurhaliza dan seorang lagi membawa lagu Erra Fazira.

Bagi sesi kedua iaitu penampilan gaya lelaki, seorang ‘ratu cantik pondan senior’ yang memakai gaun yang amat seksi membuat penampilan khas dengan nyanyian ‘miming’ lagu Inggeris dan tarian mengghairahkan.

Sebaik persembahan yang mendapat tepukan dan jeritan penonton itu berakhir kira-kira lima minit kemudian, ketiga-tiga ‘jantan jambu’ peserta Extreme II Faces muncul semula dengan pakaian lelaki yang penuh segak dan bergaya.

Persembahan itu mengakhiri saringan peringkat pertama pertandingan berkenaan dengan keseluruhan sesi hanya mengambil masa setengah jam.

Dua juri terdiri daripada golongan mak nyah mengadili pertandingan dan markah untuk hari berkenaan akan menjadi sandaran kepada ketiga-tiga peserta terbabit untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.

Pengacara majlis mengumumkan bahawa pertandingan akan diteruskan untuk tempoh beberapa minggu. Peringkat akhir pertandingan belum dapat ditetapkan kerana ia bergantung kepada penyertaan peserta.

Sementara itu, bekas peserta ratu pondan pada 2003, 2004 dan 2005 yang mahu dikenali sebagai Gee, 29, berkata pertandingan ratu cantik pondan seperti itu perlu dibongkar kerana ia sudah lama diadakan di kelab berkenaan.

“Dibandingkan dengan pendedahan ratu pondan di Kelantan sebelum ini, di kelab ini lagi teruk kerana ia turut menganjurkan ratu pondan antarabangsa, terutama dari negara jiran Thailand.

“Ketika ini, ramai di kalangan pondan muda yang terjebak dengan pertandingan ini kerana ingin mendapatkan wang dan ada juga sekadar suka-suka dan mencari kenalan.

“Di situ juga boleh jumpa ‘mak ayam’ yang popular di kalangan pondan. Sebab itu ramai yang ingin menyertai pertandingan itu. Ada antara mereka pelajar universiti dan juga pekerja profesional,”
katanya.

Bagi bekas peserta ratu pondan 2005 yang mahu dikenali sebagai Mimi, 25, dia dan rakan menyertai ratu pondan kerana golongan seperti mereka susah untuk ‘drag’ (memakai pakaian wanita) dan takut diketahui keluarga sebab masih tinggal dengan keluarga.

“Peluang menyertai ratu pondan ini bukan saja beri memberi kepuasan, tetapi dapat ‘lepas geram’ kerana sudah lama memendam hasrat untuk berpakaian dan melaram sama dengan perempuan.

“Sebelum itu, saya hanya memakai pakaian perempuan dan menjadi pondan ketika di rumah kawan kerana takut berbuat demikian di luar rumah, bimbang risau diketahui keluarga.


http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20081115184757/Article

Pengganti minyak hitam?

HANYA minyak masak berasaskan kelapa sawit sahaja boleh digunakan sebagai minyak hitam. – Gambar hiasan



HANYA minyak masak berasaskan kelapa sawit sahaja boleh digunakan sebagai minyak hitam. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

PERCAYAKAH anda bahawa minyak masak berasaskan minyak kelapa sawit boleh digunakan sebagai minyak pelincir untuk kenderaan anda?

Malahan sudah terdapat segelintir penduduk di Negeri Sembilan menggunakan minyak masak sebagai minyak pelincir atau minyak hitam untuk kereta mereka tanpa menghadapi sebarang masalah.

Pengurus Pemasaran Sekolah Golf Michael Ismail, Nik Safian Afzani Omar berkata, beliau telah menggunakan minyak masak yang dibeli pada harga RM2.50 sepaket untuk enjin kereta Kancilnya.

"Kancil saya menggunakan tiga liter minyak hitam. Jadi, saya tuang dua paket setengah minyak masak untuk menyamai kuantiti itu. Dahulu, kalau servis minyak hitam, saya berhabis sehingga RM130, tetapi sekarang kurang RM10," katanya.

Jika dahulu beliau menggunakan minyak hitam semi sentitik jenama Castrol, kini Nik Safian Afzani menggunakan 'minyak hitam' yang dibelinya dari sebuah pasar raya.

Menurutnya, selepas menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam, suhu enjinnya sangat rendah dan meter suhu tidak pernah lebih dari satu takuk.

Nik Safian berkata, ketika menghantar kereta ke sebuah bengkel kenderaan untuk ditukar penapis minyak, pekerja bengkel tersebut terkejut apabila mendapati keretanya menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam tetapi mengakui ini merupakan alternatif terbaik sebab harga minyak pelincir pada hari ini sudah naik.

Sementara itu, pencipta alat penjimat minyak kereta berasaskan gas hidrogen dan air, Hisham Abdullah, 43, turut menggunakan minyak masak sebagai minyak hitam untuk kereta Proton Iswaranya.

Beliau sudah menggunakan bahan itu setahun yang lepas dan mendapati tidak ada kesan negatif menimpa keretanya.

Bekas jurutera sebuah syarikat Jepun serta graduan dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan dari Universiti Arkansas, Amerika Syarikat itu berkata: "Minyak kelapa sawit merupakan minyak paling sentitik, tetapi kita tidak tahu mengenainya."

Mekanik kereta, Mohd Tajuddin Jalil pula, mula mengetahui mengenai rahsia minyak masak sebagai ganti minyak hitam kira-kira dua tahun lalu selepas bertemu dengan seorang pakar minyak dari luar negara.

Sejak itu, beliau menggunakan minyak masak berasaskan kelapa sawit sebagai minyak hitam keretanya, malahan beliau mengenali 67 pengguna kereta di Negeri Sembilan yang menggunakan minyak masak sebagai pelincir enjin kereta mereka.

"Hanya minyak masak berasaskan kelapa sawit sahaja boleh digunakan sebagai minyak hitam. Jangan pakai minyak masak berasaskan jagung, sayuran atau kacang kerana minyak ini pada suhu sejuk akan menjadi beku," katanya.

Katanya, harga minyak hitam keluaran pelbagai syarikat kini meningkat dengan sebotol empat liter minyak hitam semi sentitik kini berharga RM160 dan minyak sentitik sepenuhnya, mencecah RM200.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya menukar gasket kereta mereka kepada jenama yang lebih baik sebelum menggunakan minyak masak sebagai pelincir enjin kereta.

Kepada mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia minyak masak boleh melayari http://ilmurahsia. name.my.

Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.nordicgroup.us/oil.htm# The300 Mile Facts untuk maklumat yang sama. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Cemas skandal melamin


SKANDAL susu formula bayi yang dicemari melamin amat memalukan China.



PEMERIKSAAN produk makanan bayi terpaksa dilakukan di pasar raya seluruh dunia termasuk di Jogyakarta, Indonesia gara-gara skandal melamin.

--------------------------------------------------------------------------------

SEORANG ibu dari Hong Kong, Shirley Lo, masih menyimpan susu soya dan coklat import di dalam peti sejuk untuk anak lelakinya selepas penemuan melamin di dalam formula bayi dan produk tenusu di China tersebar.

Tetapi apabila telur-telur dari China turut menunjukkan positif kandungan melamin, Lo mengangkat tangannya berputus asa dan berkata:

"Ia menakutkan apabila mula memasuki rantai makanan kita. Anak saya cuba menenangkan saya dengan berkata, badannya masih kuat meskipun telah dimasuki bahan itu dan dia masih sihat."

Penemuan melamin dalam telur, formula bayi, produk tenusu, biskut, coklat dan bahan makanan lain yang berasaskan susu mengesahkan apa yang telah lama disyaki oleh pakar iaitu bahan kimia itu terkandung dalam rangkaian makanan manusia.

Ia bukan hanya melamin, malah besi berat seperti plumbum dan merkuri yang boleh menyebabkan kerosakan otak, serta kadmium, sejenis kompaun yang digunakan dalam bateri, pestisid dan antibiotik juga hadir dalam rangkaian makanan manusia.

China adalah pelanggan terbesar bahan kimia karsinogen yang biasa digunakan sebagai agen pewarna makanan atau bahan awet, kata pakar.

"Keselamatan makanan tidak ditekankan di China sehinggakan bahan berbahaya ditambah ke dalam makanan sekali gus mencetuskan masalah pencemaran," kata Peter Yu, seorang profesor bidang teknologi biologi dan kimia di Universiti Politeknik Hong Kong.

"Kami juga mengalami pencemaran persekitaran yang berpunca daripada pestisid dan formaldehid (untuk membunuh bakteria) ," ujar Yu sambil memetik penggunaan malakit hijau, sebentuk agen karsinogen pada tahun 2006 ditemui dalam ikan dari China.

Bahan itu telah ditambah untuk membasmi penyakit fungus yang menyerang ikan.

Pengilang makanan terkemuka kerap menguji ramuan-ramuan yang digunakan dan produk terakhir untuk mengesan kebanyakan bahan pencemar ini, tetapi pakar-pakar berkata, mustahil untuk mengesan kesemua kompaun asing yang berada di meja makan, khasnya di China yang mana pengawalan adalah longgar dan sukar dikuatkuasakan.

Ekoran skandal melamin yang melanda, China sedang melihat semula draf undang-undang keselamatan makanan yang lebih ketat berikutan kritikan yang diterimanya daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana lambat menangani skandal susu tersebut.


MAKANAN ternakan yang dicemari melamin menyebabkan telur-telur yang dihasilkan turut tercemar.

--------------------------------------------------------------------------------

Saga melamin itu telah mengejutkan banyak pihak, malah sesetengah pengeluar makanan berkata, mereka sukar memantau perkembangan terbaru mengenai makanan pelik yang ditambah ke dalam produk makanan di China.

Misalnya, melamin telah ditambah ke dalam formula bayi untuk menipu ujian aras protein.

"Bagaimana kita boleh dapat mengesan kadmium atau logam berat lain? Hanya kerana kita tahu, ia boleh membunuh maka kita akan mengujinya.

"Tetapi kita tidak tahu melamin boleh berada dalam makanan,"
kata seorang pengurus yang bekerja untuk sebuah syarikat asing pengeluar makanan utama yang mempunyai kilang di China.

Tambah lelaki yang enggan dikenali ini: "Kita tidak pernah mempunyai melamin dalam spesifikasi (bahan pencemar yang harus dikesan). Sekiranya, hari ini ia adalah melamin, mungkin ia akan menjadi suatu benda lain pada hari esok.

"Kami tidak mungkin dapat menguji kesemua toksin yang ada di dunia."

Ribuan kanak-kanak di China telah jatuh sakit dengan masalah buah pinggang sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak telah menemui ajal, selepas diberikan formula bayi yang didapati mengandungi melamin.

Ujian seterusnya menemui kandungan melamin di dalam pelbagai produk buatan China, daripada susu dan bar coklat sehinggalah yogurt dan produk lain yang dieksport ke seluruh dunia.

Akibatnya, pelbagai produk terlibat telah ditarik jualannya di pasaran.

Tetapi penemuan melamin di dalam telur yang disebabkan oleh bahan makanan tercemar diberikan kepada ayam-ayam ternakan, bahan kimia itu kelihatan lebih kukuh berada dalam rantai makanan manusia daripada apa yang dianggap sebelum ini.

Melamin digunakan secara meluas dalam makanan haiwan dan pestisid di China tetapi tidak siapa tahu betapa berbahaya ia kepada manusia selepas terdedah dalam jangka masa yang lama.

Hong Kong telah mengenakan syarat penggunaan melamin pada September lalu iaitu tidak lebih daripada 2.5 miligram untuk setiap kilogram.

Di Hong Kong, ibu bapa berpusu-pusu mengunjungi klinik awam untuk menguji kandungan melamin yang berada di dalam badan anak-anak mereka oleh makmal-makmal yang menganalisis sampel air kencing dengan spektrometer yang canggih.

"Melamin bukan bahan yang larut. Tetapi sekiranya ia amat pekat seperti yang dilihat dalam kes-kes kanak-kanak di China (di mana diet mereka kebanyakannya datang daripada formula), ia akan membentuk kristal," kata Allen Chan, seorang profesor madya dalam bidang patologi kimia di Chinese University.

Kerosakan hati yang kekal boleh berlaku apabila kristal tersebut membentuk tiub-tiub kecil yang banyak di dalam ginjal kanak-kanak yang meminum susu yang dicemari melamin.


SKANDAL susu formula bayi yang dicemari melamin amat memalukan China.

--------------------------------------------------------------------------------

Ini menyebabkan kegagalan buah pinggang yang kronik dan memerlukan rawatan dialisis, selain pemindahan buah pinggang perlu dilakukan kelak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang untuk membuat penilaian terperinci terhadap risiko pengambilan melamin jangka panjang. Ia telah meminta China membekalkan maklumat-maklumat untuk sebuah mesyuarat pakar yang akan diadakan pada Disember ini.

Anthony Hazzard, Penasihat Rantau untuk Keselamatan Makanan WHO, berkata, pakar-pakar memerlukan maklumat mengenai aras melamin yang dikesan di dalam kanak-kanak terlibat, jangka masa pendedahan, rawatan yang diberikan dan kumpulan usia kanak-kanak yang paling teruk sakit. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Angkasawan kena minum air kencing


RUANG terhad di ISS bakal dibesarkan untuk keselesaan petugas menjalankan penyelidikan.

--------------------------------------------------------------------------------

HOUSTON, Texas - Sekumpulan angkasawan yang berlepas dengan pesawat ulang-alik Endevour di sini semalam merancang menambah baik fasiliti Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Antaranya ialah kemudahan air minuman kitar semula yang membolehkan petugas ISS menikmati kopi kelmarin semula pada keesokan hari termasuk daripada air kencing mereka sendiri.

Ia ekoran pembesaran had muatan ISS kepada enam krew sekali gus dilengkapi sistem penjanaan air buangan hasil pelaburan kerajaan Amerika Syarikat bernilai AS$250 juta (RM898.4 juta).

"Sistem ini mampu merawat air terpakai kembali segar untuk diminum sejajar dengan langkah memelihara alam sekitar di angkasa," kata pegawai NASA, Don Pettit. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Cuaca panas halang zaman ais kembali


PELEPASAN gas karbon dioksida menyebabkan proses semula jadi planet untuk kembali sejuk seperti keadaan zaman purba tidak berjaya.

--------------------------------------------------------------------------------

EDINBURGH - Perubahan iklim bumi yang kian panas akhir-akhir ini akibat pembebasan gas karbon dioksida tidak menyebabkan planet itu kembali kepada zaman air batu.

Penemuan menarik itu dilaporkan jurnal Nature sekali gus menafikan kajian model geologi terdahulu yang menggambarkan bumi menjadi ais menjelang 10,000 tahun lagi.

Prof. Thomas Crowley yang memajukan model terbaru cuaca itu di Universiti Edinburgh mendedahkan, pelepasan CO2 global bertambah 1.5 bahagian dalam sejuta sejak 100,000 tahun lalu.

"Namun proses semula jadi 100,000 kali perlahan daripada sepatutnya dan menyaksikan harapan bumi untuk sejuk semula seperti zaman ais purba adalah mustahil," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

China hadapi dilema lupus susu beracun

BEIJING - Selepas menyaksikan empat bayi mati dan beribu-ribu lagi jatuh sakit akibat meminum susu tercemar, kerajaan China kini berhadapan masalah untuk melupuskan makanan beracun itu.

Terdapat sejumlah susu dibakar, ditanam dan dicampur dengan arang namun ada syarikat pelupusan sampah yang mengambil jalan pintas dengan membuang susu tersebut ke dalam sungai sehingga mengakibatkan air bertukar putih.

Beribu-ribu tan susu yang tercemar dengan melamin terpaksa ditarik balik daripada pasaran dan gudang sejak September lalu.

Skandal susu itu berpunca daripada sikap tamak pembekal susu yang mencampurkan melamin iaitu bahan kima dalam pembuatan plastik dan baja bagi menipu kualiti setelah ia ditambah air.

Kementerian Kesihatan China tidak mendedahkan jumlah produk tenusu yang ditarik balik atau jumlah yang telah dimusnahkan.

Bagaimanapun, sebanyak 32,000 tan susu tercemar dimusnahkan di wilayah Hebei, lapor agensi berita Xinhua.

Di sebuah kilang di Guangzhou, bertan-tan susu tercemar dibakar dengan suhu 3,000° Celsius .

"Semua bahan sampingan akan ditanam. Saya jamin bahawa proses pelupusan ini memenuhi piawaian antarabangsa dan ia tidak akan mencemarkan alam sekitar," kata pengarah pejabat keselamatan makanan Guangzhou, Wang Fan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

'Ajaran MLM' ganti solat

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID


PENGIKUT diminta menutup mata ketika mengikuti kelas ‘Ajaran MLM’. – Gambar hiasan.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - 'Institusi' ajaran sesat kini nampaknya bukan sekadar dijadikan 'alat' untuk menyelewengkan agama, malah turut dijadikan tempat untuk mengaut keuntungan mudah demi kepentingan peribadi.

Terbaru, Kosmo! Ahad difahamkan sebuah kumpulan ajaran sesat di sini dikatakan turut memanipulasi gerakan itu dengan menarik ahlinya menjalankan perniagaan jualan langsung pelbagai peringkat (MLM).

Konsep ajaran sesat kumpulan itu unik kerana ketua mereka yang dikenali sebagai 'Guru MLM' memperdayakan pengikut-pengikutnya dengan menyatakan perniagaan yang dijalankan mereka mampu menggantikan solat lima waktu.

Perkara itu didedahkan seorang pengikut kumpulan 'Ajaran MLM' itu yang hanya mahu dikenali sebagai Norah dengan menyatakan pengikutnya yang berjaya mencari lebih ramai ahli boleh menggantikan bilangan solat yang dilakukan.

"Ini bermaksud, jika kita dapat cari lebih ramai ahli di bawah kita, ia dapat menggantikan bilangan solat yang perlu dibuat.

"Itu sebab ramai pengikut digalakkan cari ahli sebanyak mungkin dan setiap ahli perlu membayar RM2,000 kepada 'pentilawah' (ketua pengajar) dalam kelas untuk langsaikan solat mereka," dedah Norah sambil memberitahu solat yang tulen hanya diisytiharkan di 'negara jelmaan' mereka di Maahad al-Zaiton di Indonesia.


NORAH menunjukkan nota 'Ajaran MLM' dalam satu pertemuan dengan Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

Jelas Norah, jika ahli tidak mencari ahli baru untuk memantapkan rangkaian, dia dikategorikan sebagai golongan yang berdosa besar dan mendapat bala.

Dakwanya, 'Ajaran MLM' itu yang diikuti sejak beberapa tahun lalu itu saling tidak tumpah dengan Ajaran Pemuda Al-Khafi yang telah difatwakan haram oleh kerajaan.

Norah yang terjerumus ke kancah ajaran sesat itu disebabkan pujuk rayu rakan baiknya menyatakan, ajaran itu sangat taksub dengan wang kerana setiap kelas agama dan apa jua aktiviti yang dianjurkan yang diikuti perlu dibayar sejumlah wang.

"'Pentilawah' tanya saya berapa banyak dosa saya, saya jawab, banyaklah dan setelah dihitung, jumlah wang yang perlu dibayar adalah RM28,800 tapi saya diberi diskaun sehingga RM2,000 saja," ceritanya.

Norah berkata, prinsip yang diamalkan oleh ajaran ini kononnya didorong dengan amalan Nabi yang didakwa memulakan sebarang bicara atau ceramah dengan membayar 'infak' (bayaran pendahuluan) terlebih dulu.

Bayaran sebanyak RM2,000 juga perlu dibuat oleh setiap ahli sekiranya 'pentilawah' meminta mereka memulakan bacaan surah al-Fatihah sebagai pembuka kelas usrah.

"Banyak lagilah sebenarnya... kelas Irsyad, kelas Aqabah semuanya kena bayar, nak pergi tunaikan solat tulen di Maahad Al-Zaiton yang entah bila itu pun perlu bayar RM3,600.

"Bayangkan penganut hampir puluhan ribu orang di seluruh negara, 'Guru MLM' boleh kaut keuntungan atas angin daripada ahli setiap kali perjumpaan,"
ujar Norah.


--------------------------------------------------------------------------------


Tambahnya, tiada istilah pertubuhan itu berkubur kerana ia masih bergerak aktif dengan taktik yang begitu sukar untuk dihidu oleh pihak berkuasa.

Katanya, setiap kelas yang diikuti hanya terdapat seorang pelajar dan mempunyai seorang 'pentilawah' di samping 'pendamping' yang akan mencatatkan butiran ceramah untuk pelajarnya.

"Mereka bersepah dan nomad. Setiap kawasan yang dipanggil 'DP' ada 'pentilawah' sendiri dan dipercayai mempunyai ratusan DP termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Norah turut mendedahkan, ajaran itu menyimpan cita-cita yang sangat besar iaitu membina sebuah kerajaan Islam yang sahih yang dikenali sebagai Mahad Al-Zaiton di Indonesia yang disasarkan siap pada tahun 2015.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

'Nadia lawa' makin ligat


Oleh TURMADZI MADUN



IMEJ dipercayai Nadia seperti yang dirakam sebuah kamera tertutup (CCTV) di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - 'Nadia lawa' pakar pukau mengganas lagi!
Kali ini seorang pelajar wanita kerugian RM3,000 apabila barang kemas seperti cincin, rantai, gelang, wang dan beberapa dokumen berharga miliknya dilarikan wanita licik tersebut.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang suri rumah kerugian RM5,000 apabila barang kemasnya dilarikan suspek ketika dipaksa menukar pakaian di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju, kali ini seorang pelajar pula menerima nasib serupa.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku apabila mangsa didatangi suspek yang digambar sebagai amat menawan dengan menyamar sebagai wartawan dan membawa sebuah beg yang kononnya mengandungi kamera.

Cuma yang berbeza dalam kejadian terbaru ini ialah modus operandinya yang menyamun ketika mangsa sedang mendapatkan khidmat rawatan muka di sebuah salun di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 23, didatangi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wartawan sebuah majalah milik sebuah syarikat terkenal bernama Nadia di sebuah kedai runcit di Jalan Klang Lama 23 Oktober lalu.

Menurut Siti Hafizah, Nadia terus menariknya dan bertanyakan sama ada mangsa sudah berumah tangga atau belum untuk dijadikan model memperagakan jubah sempena Hari Raya Aidiladha.

Katanya, cara dia diperdaya sama seperti kes yang disiarkan Kosmo! pada 12 November lalu dengan mangsa membawa sebuah beg kononnya berisi kamera.

"Ketika itu saya dalam keadaan ingin cepat dan menyatakan padanya yang saya akan memikirkan perkara itu dan dia terus mengambil nombor telefon saya untuk tindakan susulan.

"Dua hari selepas itu, dia menghubungi saya dan memberitahu majikannya bersetuju untuk mengambil saya sebagai model tanpa sebarang kontrak dan akan dibayar sebanyak RM3,800,"
katanya ketika ditemui di sini semalam.



SITI menunjukkan salinan laporan polis setelah ditipu 'Nadia lawa' pada pertemuan dengan Kosmo! Ahad di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

Tambahnya, selepas berbincang dengan rakan serumah dan rakan sekerja, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan Nadia di sebuah pusat beli-belah di Seksyen 14, Petaling Jaya pukul 5 petang, 25 Oktober lalu.

Menurut Siti, di situ, suspek telah mengajaknya untuk menukar baju tetapi beralih untuk memaksa mangsa membuat rawatan muka selepas mendapati di situ tidak terdapat butik pakaian yang sesuai.

"Saya rasa seperti dipukau apabila menurut sahaja kehendaknya tanpa membantah walaupun saya kadangkala berasa pelik dengan alasan yang diberi.

"Ketika saya sedang mendapatkan rawatan muka, Nadia bertindak licik dengan memaksa saya menanggalkan barang kemas dan menyerahkan beg tangan kepadanya dengan alasan ia akan hilang jika diletakkan merata tempat ketika rawatan,"
katanya.

Ujar Siti, Nadia kemudiannya memberitahu hendak ke tandas dan ketika itulah dia bagaikan tersedar yang dia sedang diperdaya dan cuba mengejar suspek.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1116&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

15 negara EU alami kemelesetan


GAMBAR fail papan tanda mata wang euro yang dirakam di hadapan bangunan Bank Pusat Eropah.

--------------------------------------------------------------------------------

BRUSSELS - Sejumlah 15 negara di Eropah yang menggunakan mata wang euro kini secara rasmi berada dalam kemelesetan ekonomi, kata Kesatuan Eropah (EU) semalam.

Keadaan ekonomi di beberapa negara EU menguncup untuk dua suku tahun berturut-turut akibat krisis kewangan dunia dan kurangnya permintaan.

Statistik yang disiarkan semalam menunjukkan ekonomi zon euro itu menguncup sebanyak 0.2 peratus pada suku tahun ketiga dan suku tahun kedua berbanding suku tahun sebelum ini.

Kadar pertumbuhan negatif untuk dua suku tahun berturut-turut itu biasanya dianggap sebagai satu kemelesetan ekonomi teknikal.

Setahun yang lalu, zon euro berkembang sebanyak 0.8 peratus pada suku tahun ketiga dan sebanyak 1.4 peratus untuk suku tahun kedua.

Menurut statistik itu, Jerman dan Itali yang merupakan dua ekonomi terbesar di EU berada dalam kemelesetan manakala Perancis berjaya menyelamatkan diri dengan perkembangan hanya 0.1 peratus pada suku tahun ketiga.

Jerman yang merupakan ekonomi terbesar di EU menguncup sebanyak 0.5 peratus pada suku tahun ketiga selepas sumber utama pertubuhannya iaitu barangan eksport jatuh mendadak.

Ireland juga berada dalam kemelesetan selepas pertubuhan ekonominya menguncup diikuti oleh Sepanyol yang belum secara rasmi terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.

Dua negara EU yang tidak menggunakan euro, Estonia dan Latvia juga terjerumus dalam kemelesetan walaupun sebelum ini termasuk dalam kawasan ledakan ekonomi Balkan.

Kadar pengangguran di Britain dijangka meningkat selepas sebuah syarikat telekomunikasi, BT kelmarin mengumumkan untuk mengurangkan sejumlah 10,000

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Dilema wanita 'dua suami'


SHANUM ditemani Syarif (kiri) menunjukkan dua salinan surat rujuk pertama dan kedua kepada wartawan ketika ditemui di rumahnya di Baling semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

BALING - "Untuk kembali semula kepada suami pertama jauh sekali, untuk bersama suami kedua, mahkamah pula larang, saya celaru dan sangat-sangat tertekan," kata Shanum Shaari, 35, wanita yang mempunyai dua suami dan diperintah oleh mahkamah dua hari lepas berpisah dengan suami keduanya.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Rawa, Sedim di sini, suri rumah itu menceritakan apa yang sebenar berlaku sebelum Hakim Syarie Mohd. Roze Abdul Wahab memerintahkan beliau berpisah dengan Syarif Jasin, 48, bagi mengelak mereka melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah menerima permohonan rayuan suami pertama Shanum, Amir Affandy Zakaria, 39, agar mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau memisahkan Shanum dengan Syarif yang bernikah di Yala, Thailand, pada tahun 2005.

Shanum memberitahu, beliau berharap kisah hidupnya akan menjadi teladan kepada semua wanita di negara ini.

Cerita Shanum, beliau memulakan alam perkahwinan seawal usia 19 tahun dengan Amir Affandy dan setelah mereka dikurniakan enam orang anak, mereka bercerai dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 1997.

Bagaimanapun, selepas perceraian kedua mereka, Amir Affandy menganggap beliau telah merujuk kembali dengan Shanum berdasarkan surat rujuk bertarikh 27 Oktober 1997 yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Baling.

Namun begitu, Shanum enggan menerima semula Amir Affandy, suaminya mengambil kesemua anak mereka.


KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

Shanum berkata, sejak itu beliau telah berkali-kali berulang alik ke Pejabat Agama Daerah Baling untuk mendapatkan surat cerai.

Akhirnya seorang pegawai di situ memberitahunya surat cerainya mungkin telah hilang akibat banjir. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...