Friday, October 24, 2008

Pelajar dakwa diaib dalam internet


MANGSA, Shant, menunjukkan gambarnya dalam laman sosial Friendster dan laporan polis yang dibuatnya kepada Datuk Michael Chong, di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kejururawatan mendakwa tertekan kerana terpaksa menanggung malu apabila identitinya disalahgunakan di laman rangkaian sosial di internet oleh individu tidak bertanggungjawab.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Shant, 27, dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara berkata, identiti dirinya telah digunakan di laman rangkaian sosial popular iaitu Friendster sejak pertengahan bulan lalu tanpa pengetahuannya.

Menurut Shant, dia yang turut mempunyai laman sosial tersebut sebelum ini hanya mengetahui kewujudan satu lagi laman rangkaian sosial yang menggunakan idenditinya itu pada 15 Oktober lalu selepas dimaklumkan seorang rakannya.

"Dalam laman sosial tersebut nama, beberapa keping gambar, nombor telefon dan latar belakang diri saya telah digunakan.

"Lebih teruk lagi ayat-ayat di dalamnya berbaur lucah selain kapsyen gambar tertulis saya baru melakukan hubungan seks," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di Jalan Ampang semalam.

Tambahnya, dia tidak menolak laman sosial terbaru itu dilakukan oleh seorang rakan lelaki yang dikenalinya yang pernah berhasrat menjalinkan percintaan dengannya sebelum ini.

"Saya mengenali dia (suspek) kerana kami pernah belajar di kelas yang sama di sekolah menengah dulu sebelum hubungan kami terputus selepas saya tukar sekolah.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Rombak Kabinet kerana MCA


BEIJING - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan dalam MCA.

Perdana Menteri berkata, beliau akan menemui Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Ong Tee Keat untuk meneliti cadangan yang dikemukakan parti itu.

"Jika beliau ingin melakukan perubahan, beliau perlu memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Apabila saya kembali ke tanah air, beliau boleh menemui saya,'' katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan pejabat perwakilan Khazanah Nasional Beijing, pada Khamis.

Abdullah berada di ibu negara China untuk menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ketujuh yang bermula hari ini. Beliau dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada pemilihan MCA hujung minggu lepas, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang meletak jawatan selepas klip video skandal seksnya tersebar, memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Dr. Chua tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac lepas.

Dua lagi Timbalan Menteri dari MCA yang tewas dalam pemilihan parti kali ini adalah Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/24102008

Pengkid difatwa haram

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my



KECENDERUNGAN pasangan kekasih kaum sejenis membimbangkan sehingga terpaksa diharamkan. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Kecenderungan segelintir wanita mengamalkan budaya pengkid, istilah yang menggambarkan penampilan dan kelakuan umpama lelaki mendorong Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan ia sebagai haram.

Namun, pengharaman itu lebih menjurus kepada kelakuan melampau bagi pasangan sejenis memandangkan aspek pakaian bukan lagi satu isu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, ketetapan itu berdasarkan kepada kecenderungan wanita untuk berkelakuan seperti lelaki semasa bergaul dengan pasangan mereka yang juga kaum sejenis.

"Ia bukan sekadar (merangkumi) pakaian sahaja. Etika pakaian dah jelas halal dan haram.

"Tapi yang kita tekankan ialah yang kelakuan menyerupai lelaki dan menjadikan pasangan wanitanya sebagai teman seksual,'' kata beliau ketika dihubungi di Kota Bharu selepas menghadiri muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan semalam.

Ia reaksi segera beliau terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin semalam mengenai keputusan mengharamkan perbuatan wanita yang cenderung kepada kegiatan seksual sebagai lelaki sedangkan mereka adalah wanita sejati.

Majlis turut membuat ketetapan untuk membolehkan seseorang cucu mewarisi harta pusaka datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Nasib 50,000 pekerja kontrak jadi persoalan

KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada kira-kira 50,000 kakitangan awam yang sedang berkhidmat secara kontrak mungkin terpaksa ditamatkan perkhidmatan menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman.

Mereka adalah kakitangan yang kontraknya disambungkan dari setahun ke setahun, yang berkhidmat di semua jabatan dan kementerian di seluruh negara, tidak menikmati kemudahan seperti yang diterima kakitangan awam tetap, tetapi melakukan tugas yang sama.

Omar memberitahu Bernama, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan untuk menamatkan perkhidmatan mereka, kerana kerajaan dilihat masih mampu mengekalkan perkhidmatan golongan ini.

Cuepacs, katanya telah menghantar rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan kakitangan ini, yang kebanyakannya telah berkhidmat sehingga lebih 20 tahun.

"Cuepacs telah mencadangkan sama ada JPA mengambil semula pekerja ini atau menyerap mereka ke dalam kedudukan tetap," kata Omar.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Tanda-Tanda Sakit..


Dilulus terbit pada Thursday, October 23 @ 07:00:00 MYT oleh TokBatin


Oleh arieef007




"
TANDA-TANDA SAKIT Risalah ini bagus untuk anda semua.
Tanda-tanda sakit yang selalu kita rasakan berhubung kait dengan fungsi badan yang lain. Bacalah untuk menilai sejauh mana kesihatan diri anda :-

1.MATA (Bertindak balas dengan keadaan hati).
i) Mata menjadi merah : Hati mengandungi paras toksin yang tinggi.
Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan toksin.
ii) Mata menjadi kabur : Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan proses penyeimbangan hati sedang berlaku.
iii) Keluar tahi mata : Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang berlaku. Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.
iv) Keluar air mata : Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau bebanan kerja
v) Ketegangan mata dan kelopak : Tekanan perasaan kerana tidak puas hati atau bebanan yang berat.

2.HIDUNG
Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.
i) Selesema : Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong. Badan mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).
ii) Hidung sumbat : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.
Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.
iii) Bersin
a. Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

3.BATUK
a. Batuk keluar kahak : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Batuk tanpa kahak : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan. Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG..
c. Batuk dan berasa gatal di kerongkong : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.


4.KERONGKONG
i) Kerongkong kering. Proses membuang toksin sedang berlaku
di seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak air untuk membuang toksin.
ii) Sakit kerongkong. Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.

5.BIBIR (Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman)
i) Bibir pucat
a. Sistem penghadaman yang lemah.
b. Perut mengandungi angin.
c. Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.
ii) Bibir kering dan pecah. Perut mengandungi banyak bahan toksin.

6.MULUT DAN LIDAH : Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem pengedaran darah.
i) Lidah atau gusi bengkak, sakit : Menunjukkan jantung mempunyai masalah, seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran koronari tersumbat dan lain-lain lagi.
ii) Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser). Menandakan darah mengandungi asid berlebihan.
iii) Mulut berbau busuk . Proses penyeimbangan fungsi perut untuk pembuangan toksin.

7.TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.
i) Telinga terasa tersumbat : Buah pinggang mengandungi toksin berlebihan.
ii) Telinga berdengung : Sedang merawat buah pinggang yang lemah.Biasanya tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah berjalan-jalan.

8.KULIT Berpeluh :
a) Peluh masin : Badan mengandungi lebihan asid urik.
b) Peluh berbau : Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.

9.RUAM DAN BISUL : Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.

10.KULIT GATAL DENGAN RUAM : Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.

11.KULIT PECAH DAN BERAIR : Proses pembuangan toksin yang larut dalam air.Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.

12.RAMBUT GUGUR : Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

13.SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI
a. Sakit Sendi
i) Rasa panas. Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan tanda- tanda penyakit pirai (gout).
ii) Tidak rasa panas Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism) .
iii) Sakit di bahagian bahu. Menandakan saluran darah telah menjadi keras dan fungsi metabolisme tidak seimbang.
b) KEBAS TANGAN : Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.
c) KEBAS TANGAN KIRI DAN LENGAN : Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jika rasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana, ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.
d) KEBAS KAKI : Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.
e) SAKIT TAPAK KAKI : Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
f) SAKIT TUMIT KAKI : Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.
g) RASA PANAS DI TAPAK KAKI : Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.
h) GATAL DI CELAH-CELAH JARI KAKI : Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).

14. TANDA-TANDA DALAMAN
A. KEPALA.
Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.
B. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN DEPAN KEPALA
Menandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.
C. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG KEPALA
i) Bahagian atas . Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.
ii) Bahagian bawah (tengkuk). Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi atau tekanan darah.
D. SAKIT KEPALA DAN RASA GAS KELUAR DARI TELINGA :Menandakan penyakit migrain.
E. BISUL TERJADI DI KEPALA
Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.
F. RASA PENING YANG MEMUSING
Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.

15. MULUT/KERONGKONG/ LIDAH
a. LOYA/MUNTAH . Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.
b. MUNTAH DARAH
i) Darah merah : Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong dan
ii) Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut; misalnya penyakit ulser.

16. LIDAH RASA TEGANG DAN PENDEK : Tanda sakit jantung.

17. KELUAR AIR LIUR YANG PEKAT . Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibat jangkitan kuman

18. KENCING
a) KERAP KENCING
Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran
b) AIR KENCING BERKAPUR Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.
c) AIR KENCING BERMINYAK : Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran berlemak.
d) AIR KENCING PEKAT BERWARNA COKLAT : Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.
e) AIR KENCING BERDARAH : Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.

19. BUANG AIR BESAR
a) CIRIT-BIRIT/ KERAP BUANG AIR BESAR : Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.
b) SEMBELIT: Membersihkan toksin dari usus kecil.
c) NAJIS BERDARAH
i) Darah merah : Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.
ii) Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.
d) NAJIS BERWARNA HITAM : Menunjukkan proses pembuangan toksin di bahagian usus sedang berlaku.

20. BADAN
a) RASA SAKIT : Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran darah.
i) Sakit menyucuk : Proses menyeimbangkan urat saraf.
ii) Sakit sengal: Menandakan luka di dalam badan.
iii) Sakit menyentap: Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan dengan organ-organ badan.
iv) Sakit menegang : Proses melancarkan pengaliran darah.
b) BADAN TERASA BERAT/ MALAS/ LENGUH . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan
c) BADAN TERASA PANAS . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.
d) BADAN TERASA RINGAN :
Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.

21. RASA TAKUT MENGEJUT : Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.

22. CEPAT NAIK DARAH/MARAH : Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.

23. RASA BIMBANG DAN TAKUT : Sistem paru-paru yang lemah.

24. RASA SERONOK ATAU BIMBANG TANPA SEBAB :
i) Sistem jantung yang lemah.
ii) Sistem saraf otak yang lemah.
iii) Masalah pengaliran darah.

25. SUKA BERFIKIR DAN BERKHAYAL : Sistem penghadaman yang lemah.

"

http://www.tranungkite.net/

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan




Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah


20 Oct 2008 10:25AM



Oleh Faizal Riduan

TAHNIAH Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran ‘Datuk’ akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra, Datuk Preeti Zinta dan banyak lagi penerima.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran ‘Datuk’ turut diberikan antaranya kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksklutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Universiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Univeriti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamed Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Mohamed Ashaaree Mahmood, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco; dan, SAC I Mazlan Mansor, Ketua Polis Melaka.

Tidak kurang hebat penerima sebelumnya antaranya ialah Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Sureth Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR); Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti; Prof Dr Hassan Mohd Said, Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi; Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Zaini Md Nor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah; SAC I Ayub Yaakob, Ketua Polis Melaka; Abidin Borhan, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena); Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno. Dalam senarai panjang yang ‘bukan calang-calang orang’ itu, adakah mereka berbangga segelaran dengan Shah Rukh Khan atau Shah Rukh Khan berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran Datuk kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah Datuk diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden Umno. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri Umno akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan beberapa hari lagi Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Besar Mydin!


* Penulis merupakan seorang Perunding Pembangunan Sumber Manusia - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/20/1.html

"Apa hak dia?" Abdullah




20 Oct 2008 11:03AM

KK: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin membidas mantan perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain yang mahu beliau mempercepat langkah meletak jawatan.

Dalam satu sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu Sabtu lalu, Datuk Seri Abdullah menuduh Dr Mahathir cuba 'mencetus pergolakan, kemarahan dan kebencian' dalam Umno, lapor agensi berita Bernama.

Menurutnya Dr Mahathir berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan 'siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan'.

'Siapa dia Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

'Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu, orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?' tanya Datuk Seri Abdullah.

Beliau berkata begitu semasa mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mahu perwakilan Umno 'mengusir orang-orang Abdullah' dalam pemilihan parti itu Mac depan.

'Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. .

'Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno,' kata beliau.

Datuk Seri Abdullah juga membidas Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang mahu peletakan jawatan beliau dipercepatkan sebelum Mac tahun depan.

'Yang jelas sudah ada persetujuan. Mengapa diungkit lagi? Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itu pun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,' kata beliau. / AP, Bernama

http://www.klpos.com/news/2008/10/20/5.html

Thursday, October 23, 2008

"Dah ada rancangan untuk sekat Najib" Mahathir


Tun Dr. Mahathir Mohamad

17 Oct 2008 4:37PM

KL: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata sudah ada usaha pihak tertentu untuk memburukkan imej Datuk Seri Mohd. Najib Razak, seolah-olah mahu menggagalkan langkah Timbalan Presiden Umno itu untuk mengisi jawatan Presiden.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang dihadapi Najib sekarang sama dengan pengalaman beliau sendiri yang dilempar dengan pelbagai tuduhan setelah bersara Oktober 2003 untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadapnya.

Kata Dr. Mahathir, tindakan membuat bermacam-macam tohmahan yang tidak dapat dibuktikan terhadap Najib itu tidak menghairankan beliau kerana memang itulah pendakatan yang digunakan pihak tertentu untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

"Saya pun menghadapi perkara yang sama. Saya dilabelkan dengan macam-macam nama dan banyak tohmahan dan tuduhan dilemparkan terhadap saya, sehingga ke peringkat menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi mencari kesalahan saya, tetapi tidak satu pun yang dapat dibuktikan.

"Akhbar juga digunakan untuk memburuk-burukkan saya.

"Saya tahu akhbar diberi arahan oleh pihak tertentu untuk buat begitu," kata beliau kepada mStar Online di pejabatnya di sini, hari ini.

Najib setakat ini telah mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan presiden parti daripada kesemua 30 bahagian Umno yang telah pun bermesyuarat.

Dua minggu lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Ditanya sama ada beliau kini rasa "terbela" kerana tidak lagi disisihkan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan pemimpin kerajaan seperti yang terbukti dengan kehadiran ramai pemimpin Umno dan anggota Kabinet pada satu majlis rumah terbuka di mana beliau adalah tetamu kehormat tiga hari lalu, Dr. Mahathir berkata, perkara seperti itu tidak sepatutnya menjadi satu isu besar.

Katanya, ia menjadi satu isu apabila arahan dikeluarkan oleh pihak tertentu menghalang pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet daripada menghadiri program di mana beliau sendiri akan hadir.

"Mereka diarah jangan dekat dan berjumpa dengan saya.

"Saya juga tidak diberikan platform untuk memberikan pendapat. Media pun disekat. Ini tidak sepatutnya berlaku.

"Ia tidak pernah berlaku pada pemimpin-pemimpin sebelum saya," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, "apabila (Allahyarham) Tunku Abdul Rahman bersara, beliau terus bebas untuk berjumpa dan bertemu dengan pemimpin-pemimpin Umno dan anggota-anggota Kabinet ketika itu."

"Beliau malah mempunyai satu ruangan khas di akhbar. Begitu juga dengan pemimpin lain yang telah bersara, mereka tidak pernah dihalang berjumpa dengan sesiapa," tambah Dr. Mahathir yang Mei lalu keluar daripada Umno.

Beliau telah menyatakan kesediaan untuk ke pangkuan Umno bulan lalu.

Dr. Mahathir berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri beliau sentiasa bersikap terbuka terutama apabila berhadapan dengan media dengan tidak melarikan diri atau enggan menjawab sebarang soalan yang dikemukakan.

Katanya, sikap yang sama juga beliau amalkan selepas bersara walaupun tidak disenangi sesetengah pihak.

"Mereka cuba sekat platform saya untuk bercakap. Tetapi kalau saya nampak sesuatu tidak betul, takkan saya hendak diam," katanya.

Dr. Mahathir mendakwa, langkah menyekat beliau daripada bertemu pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan serta campurtangan dalam urusan media itu adalah sebahagian daripada usaha orang-orang di sekeliling Abdullah yang mahu menonjolkan beliau sebagai seorang Perdana Menteri yang lebih baik.

"Mereka bukan mementingkan pentadbiran negara, tetapi mahu menunjukkan bahawa beliau (Abdullah) adalah seorang Perdana Menteri yang lebih baik daripada saya.

"Mereka bukan sahaja mahu pastikan Abdullah akan meninggalkan legasinya sendiri, tetapi juga mahu memusnahkan apa yang saya telah buat selama menjadi perdana menteri," tambahnya.

Dr. Mahathir bagaimanapun tidak mahu apa yang beliau terpaksa lalui apabila disisih oleh pemimpin-pemimpin Umno dan kerajaan sebaik bersara turut menimpa Abdullah apabila beliau bersara kelak.

"Ia tidak patut berlaku kerana perbuatan seperti itu tidak bagus," katanya. / Mstar


http://www.klpos.com/news/2008/10/17/6.html

Kit Siang desak Gani letak jawatan serta merta


Lim Kit Siang

16 Oct 2008 11:34AM

KL: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, mendakwa di Dewan Rakyat semalam bahawa siasatan peringkat tertinggi 'mengesahkan' Peguam Negara (AG) Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, menyalah guna kuasanya dengan mereka bukti dalam perbicaraan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 10 tahun lalu, lapor laman berita Malaysiakini semalam

Menurutnya, semasa bahas bajet 2009 semalam, Lim, sambil memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan, memberitahu dewan beliau difahamkan Ketua Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun, telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu Julai lalu.

Lim berkata beliau mendapat tahu Datuk Idrus telah membuat kesimpulan bahawa peguam negara itu memang menyalah guna kuasanya untuk mereka bukti terhadap Datuk Seri Anwar.

Oleh itu, Lim mendesak Tan Sri Abdul Gani supaya meletak jawatan serta-merta.

'Bagaimana kita hendak benarkan seorang penjenayah (berkhidmat) sebagai AG? Apa yang sedang berlaku kepada Malaysia?' katanya.

Lim memberitahu pemberita di lobi Parlimen kemudiannya bahawa siasatan itu dijalankan selepas Datuk Seri Anwar membuat laporan polis berhubung perkara itu Julai lalu.

Dakwaan bahawa Tan Sri Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mereka bukti dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar muncul semula dalam satu dokumen mahkamah seorang pegawai polis bersara.

Mat Zain Ibrahim, yang mengetuai siasatan terhadap insiden 'mata lebam' Datuk Seri Anwar pada 1998, membayangkan dalam dokumen itu bahawa Tan Sri Abdul Gani melengahkan proses siasatan dan menyembunyikan fakta-fakta penting kes itu daripada pengetahuan AG ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Ketika itu Tan Sri Abdul Gani menjadi timbalan kanan pendakwa raya.

Datuk Seri Anwar membuat dakwaan yang sama terhadap Tan Sri Abdul Gani dan Tan Sri Musa dalam laporan polisnya Julai lalu, tetapi kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut.

Tan Sri Musa telah memfail saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar. Tan Sri Abdul Gani turut menyuarakan hasrat menyaman Datuk Seri Anwar. / BHS, Malaysiakini

http://www.klpos.com/news/2008/10/16/2.html

"Tidur disiang hari" Anwar


'Mereka bukan saja bermimpi, malah tidur di siang hari,' kata Anwar

14 Oct 2008 10:26AM

KL: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggunakan peluang berucap dalam sesi pembahasan selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat dengan meminta kerajaan membentangkan Belanjawan 2009 baru.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, berkata pemimpin kerajaan kini 'tidur di siang hari' sedang sistem kewangan sejagat mengalami keruntuhan.

Menurut beliau, bajet yang dibentang sebelum ini tidak mengikut keadaan semasa.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan Malaysia masih mendakwa bahawa ekonomi negara itu masih kukuh, sedangkan Singapura, yang mempunyai ekonomi lebih rancak, kini mengalami kemelesetan teknikal.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan akan berdepan dengan kesukaran meraih dana untuk menampung belanjawan yang dibentangkan sebelum ini.

'Mereka bukan saja bermimpi, malah tidur di siang hari,' kata Datuk Seri Anwar.

'Jika Menteri Kewangan yang baru (Datuk Seri Najib Tun Razak) benar-benar bertanggungjawab, beliau mesti membentangkan bajet baru,' jelas beliau.

Datuk Seri Anwar menambah bahawa pembangkang mampu membentangkan belanjawan yang lebih baik dengan menarik pelaburan asing.

Pada 18 September lalu, beliau mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang Parlimen tergempar bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Malaysia itu.

Semalam, Datuk Seri Anwar, bagaimanapun, berkata pembangkang akan 'menghentikan' sementara usul undi tidak percaya itu bagi memberi tumpuan kepada perbahasan Belanjawan 2009.

Sementara itu, Datuk Seri Abdullah menganggap tarikh 8 Disember yang ditetapkan oleh Datuk Seri Anwar untuk membentuk kerajaan baru sebagai 'karut' dan 'membuang masa'.

Menurut beliau, tidak ada sebarang sebab untuk anggota Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu dan menyertai Pakatan Rakyat.

'Barisan Nasional ialah pemenang dalam pilihan raya umum lepas dan kami ada kerja yang perlu dibuat.

'Mungkin ada perbezaan pendapat di antara kami dan sesetengahnya bukan mudah diselesaikan tetapi hakikatnya ialah kami telah diberi amanah oleh rakyat,' kata Datuk Seri Abdullah. / Agensi

http://www.klpos.com/news/2008/10/14/1.html

Tak sampai 20 orang MP BN yang dengar hujah Anwar semalam


Kebanyakannya berada di luar di cafeteria berbual-bual kosong dan minum

14 Oct 2008 10:45AM
Oleh Mohd Sayuti Omar

SUASANA Parlimen hari ini tidak sesesak semasa Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2009, 29 Ogos lalu. Keadaan dan pemerhati sidang Parlimen hari ini biasa saja, walaupun umum sudah tahu Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan membentangkan perbahasan Bajet berkenaan. Seolah pembentangan perbahasan oleh bekas Menteri Kewangan itu tidak penting.

Suasana Parlimen lenggang dan banyak ruang yang boleh dimuat. Kawalan keselamatan juga biasa saja tidak ada kawalan tambahan.

Namun apa yang berlaku di dalam Dewan ternyata lebih menarik dan panas daripada ketika Abdullah Ahmad Badawi membentang Bajet tempoh hari.

Ternyata Anwar dapat melakukan kejutan, menghidupkan Parlimen menjadi hangat dan membuat ahli Parlimen BN ternganga mendengar hujah-hujah konkrit yang disampaikan kadang-kadang serius dan kadang penuh jenaka dan simpatis.

Apa yang menariknya, beliau telah meminta Menteri Kewangan membentang Bajet baru kerana Bajet yang dibentang sebelum ini sudah tidak relevan lagi atau lapok ekoran perkembangan ekonomi semasa.

Unjuran pendapatan dan perbelanjaan, angka-angka yang dibentangkan dalam Bajet tempoh hari sudah tidak boleh dipakai.

Alasannya, kata beliau unjuran dibuat menerusi Bajet itu dulu berdasarkan harga minyak semasa yang jauh lebih mahal berbanding sekarang ini.

Ketika Bajet itu dibuat harga minyak melebihi UD125, kini harga minyak turun hingga USD75. Kedudukan harga minyak menyumbang kira-kira 40 peratus kepada pendapatan negara.

Justeru itu beliau mencadangkan supaya angka itu dipindah ataupun diadakan sebagai menyesuaikan keperluan dengan perbelanjaan dan pendapatan.

Pandangan atau cadangan beliau mendapat sokongan ahli Parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang yang bangun beberapa kali meminta agar Bajet dibentang semula ataupun dilakukan pindaan.

Keseluruhan Parlimen hari ini selepas sessi soal jawab dikuasai oleh Pembangkang sepenuhnya baik perbahasan dan juga ruang Parlimen.

Kerusi di blok A kerajaan dan BN banyak yang kosong. Menteri Kewangan baru, Mohd Najib Razak dan menteri-menteri atau timbalan menteri, kecuali Shahrir Abdul Samad yang sepatutnya mendengar perbahasan itu juga tidak ada atau enggan masuk ke dalam dewan bagi mengikut perbahasan Anwar.


Jumlah wakil BN berada dalam Dewan semasa Anwar membentang perbahasan tidak sampai 20 orang. Kebanyakannya berada di luar di cafeteria berbual-bual kosong dan minum.
Hanya dua orang saja ahli Parlimen yang memberanikan diri mencelah minta penjelasan wakil Batu Pahat, Puad Zarkashi dan Kinabatangan, Bung Mokhtar Raden di mana mereka juga secara tidak langsung menjadi punching beg untuk ditumbuk bertubi-tubi oleh pembangkang.

Ketiadaan ahli Parlimen BN menimbulkan kekecewaan Anwar dan menjadi bahan sindiran pedasnya yang menyifatkan ahli BN itu penakut dan menjadi hamba abdi kepada pemimpin dan tidak sanggup duduk mendengar hujah dan perbahasannya demi rakyat dan negara.

Sehubungan itu beliau mengkritik Abdullah yang hendak melakukan reformasi agar melakukan reformasi ke atas ahli-ahli Parlimen BN yang penakut dan tidak bertanggungjawab!

Bagaimana pun apa yang diperlakukan Anwar hari ini cukup menarik bagi wartawan dan media massa yang selamanya sukakan isu sensasi, berita panas dan hujah yang bernas dan bernilai.

Bagi mereka kemunculan Anwar pertama kali membahas belanjawan selepas 10 tahun meninggalkan Parlimen sesuatu yang ditunggu-tunggu dan tidak sia-sia.

Sebaik sahaja Anwar melangkah keluar Dewan sewaktu berhenti rihat jam 1:00 tengah hari puluhan wartawan dan jurugambar dalam dan luar negeri mengerumuni untuk mendapat komen dan pandangan beliau.

Ketika pembangkang keluar, pintu A laluan keluar menteri dan ahli Parlimen BN langsung tidak menjadi tumpuan wartawan.

Disebelah petang tadi ketika menyambung perbahasan Anwar terus mengemukakan kritikan ke atas beberapa langkah dan tindakan Kerajaan yang diambil menerusi Bajet itu dikira merugikan negara.

Antara yang ditimbul ialah soal kelulusan segera oleh Menteri Pertahanan sebelum bertukar jawatan berhubunng pembelian helikopter dan penjualan saham yang tidak munasabah dan sebagainya.


* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/14/4.html

Bila Najib jadi PM


Apakah untung yang akan diraih oleh pihak lain dengan tindakan Abdullah itu?




10 Oct 2008 10:05AM



BAGI mereka yang meletakkan keadaan negara yang sebam hari ini seratus peratus atas bahu Abdullah Ahmad Badawi, lega kerana Perdana Menteri itu akan berundur kira-kira lima bulan lagi. Selepas lima bulan lagi perubahan akan berlaku dengan pesatnya!

Semalam Abdullah dalam senyuman menjadam telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan sekaligus akan menyerahkan Umno kepada timbalannya, Mohd Najib Razak.

Abdullah boleh istirehat dengan tenang tanpa memikirkan apa-apa lagi tentang negara. Rumah perihatan di Australia yang dibeli oleh anaknya Kamaluddin sedang menanti Abdullah.

Pastinya Abdullah tidak akan jadi seperti bekas PM, bernama Mahathir Mohamad yang terus berperanan dan menganggu urusan pentadbiran Abdullah meskipun sudah mengaku bersara namun terus pecah liur untuk mengkritik dan menegur Umno dan kerajaan pimpinan Abdullah.

Jauh kalau hendak dibandingkan perwatakan, sahsiah dan pendekatan antara Abdullah dengan Mahathir ia sangat berbeza.

Abdullah yang dikaitkan sebagai keturunan ulama amat sedarhaan dalam tindak tanduknya yang kadang kala kesedarhanaan itu menyebabkan orang melihat beliau lembek dan tidak berkeupayaan.

Mungkin juga kerana Abdullah tidak ada agenda lain selepas bersara maka beliau tidak perlu meniru perangai Mahathir. Berlainan dengan Mahathir.

Beliau ada agenda peribadinya selepas bersara iaitu mahu menempatkan anak jantannya, Mukhriz dalam Umno sebagai menyambung perjuangannya yang belum selesai.

Saya tidak mengira selepas bersara kelak Abdullah akan mencampuri urusan parti ataupun mengajar menantunya Khairy Jamaluddin melakukan tindakan-tindakan kontras seperti mana ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir lakukan.

Biarlah. Soalnya apakah keuntungan bagi mereka yang mengecam Abdullah selama ini? Bagi Mohd Najib Razak dan kuncu-kuncu pengampunya ada untung bila Abdullah kecewa lalu melepaskan jawatan itu pada Mac depan.

Mereka, para pengampu dan pembuat kertas kerja untuk menjatuhkan Abdullah akan mendapat habuan masing-masing.

Yang menjadi ahli Parlimen akan dilantik menjadi menteri manakala yang duduk dalam bidang perdagangan akan diberi kontrek mega bernilai berbillion ringgit.

Sudah pasti menteri seperti Hishamuddin Hussein, Shafei Afdal bersama Jamaluddin Jarjis, Rafidah Aziz akan dinaikan pangkat.

Kemungkinan juga Jamaluddin Jarjis yang dikatakan mastermind belakang tabir menjatuhkan Abdullah akan dibawa masuk semula ke dalam Kabinet.

Begitu juga dengan Tengku Adnan Mansor yang dikenali sebagai pembela Najib tidak akan disia-siakan pasti mendapadat baksis.

Tetapi apakah untung yang akan diraih oleh pihak lain dengan tindakan Abdullah itu. Apakah yang diperolehi Pas yang mengambil sikap menentang dan memperlecehkan Abdullah dari awal Abdullah menjawab jawatan itu hingga ke saat-saat nazaknya.

Apakah perhitungan salah seorang pemimpin Pas yang mengira parti itu akan lebih cemerlang jika Umno dipimpin Najib akan menjadi realiti?

Ada pemimpin Pas bereksprimen begitu dan berusaha keras agar Abdullah cepat turun. Kerana itu ura-ura untuk berunding dengan Abdullah bagi menyatu dan memperkuatkan Melayu dianggap sia-sia dan tidak memberi bekas.

Apakah Umno di bawah Najib akan terbuka sehinggakan Pas dapat mempamerkan dirinya kepada rakyat? Atau Najib akan kembali kepada Islam syumul seperti Pas?

Jika dilihat kepada latar belakang dan juga pengetahuan Islam Najib ianya jauh panggang dari api. Najib bukan seorang berlatar belakangkan agama Islam yang kukuh.

Pemikiran Najib adalah pemikir Barat dan sekular. Najib lebih mesra dan hampir dengan London atau Washington berbanding dengan Makkah dan Madinah.

Apa yang disebut pemisahan agama dan politik dalam Umno akan hebat dilakukan Najib. Jadi apakah rasionalnya bagi Pas yang sukakan Najib dan dingin kepada Abdullah?

Pada perkiraan saya dengan sifat dan latar belakang itu Najib akan menjadi lebih keras dan kritis kepada Islam dan parti Pas sendiri.

Kecualilah Pas dapat mengubah dirinya menjadi iras-iras Umno, moderate. Apa lagi kalau Najib memerintah menggunakan kepala Mahathir dan berbicara meminjam lidah Mahathir.

Ibarat kata Umno akan kembali ke zaman babarian iaitu menggunakan kuasa, wang dan kekejaman bagi mengekalkan kekuasaan!

Pada hemat saya juga Najib akan mengambuskan momentum baik ketika ini yang dicipta pembangkang di zaman Abdullah.

Abdullah sebenarnya memberi ruang besar kepada Pas dan pembangkang untuk bergerak dalam sistem demokrasi.

Banyak kelonggaran yang diberikan Abdullah dan menguntungkan pembangkang berbanding di zaman 22 tahun sebelumnya. Antara boleh disebut kebebasan media massa dengan meluluskan berbagai permit untuk penerbitan.

Usahanya untuk mereformasikan sistem kehakiman dan membebaskan BPR juga antara keberanian dan keterbukaan yang dikira memberi keuntungan kepada pembangkang.

Tetapi disebabkan kelonggaran itu terhasil kerana perjuangan lama pembangkang maka ia tidak nampak ianya dianugerahkan atas keterbukaan Abdullah.

Jika Najib menjadi pemimpin Kerajaan (Perdana Menteri) beliau akan tutup ruang itu. Langkah pertama yang akan diambil ialah dengan memenjarakan semula pemimpin rakyat dan pencetus pembaharuan Malaysia, Anwar Ibrahim. Pasti sekali penasihat politiknya atau berhala politiknya akan menasihat Najib melakukan itu.

Mahathir akan membalas apa yang dianggap dilakukan Abdullah membebaskan Anwar dengan meminta Najib memenjarakan penasihat PKR itu semula.

Sudah pasti jika Anwar dihantar semula ke Sungai Buluh momentum hari ini akan terhenti. Suasana akan kembali dingin semula.

Semangat rakyat untuk mengubah kerajaan akan terbantut kerana mereka merasakan tidak ada orang yang akan mengepalainya.

Apakah orang-orang seperti Kamaruddin Jaaffar, Dr Mohd Hatta Ramli, Syed Azman Syed Mohamad, Khalid Samad atau Husam Musa mampu menjadi Ahmad Al Fateh atau Sallehuddin al-Ayubi untuk memimpin kebangkitan rakyat? Mereka adalah pemimpin harapan masa depan.

Namun pengalaman dan bekalan yang ada kepada mereka belum mencukupi. Panah atau pedang mereka mereka belum berbisa dan kuda politik mereka belum gagah dan pantas.

Sebenarnya mereka harus belajar banyak lagi kerenah dan tektik perjuangan untuk menjadi wira takyat berbilang kaum.

Jadi, pengunduran Abdullah Ahmad Badawi yang dilakukan kerana desakan Umno dan pembangkang itu akan memberi kesan negatif kepada pembangkang.

Pembangkang sedikit terkhilaf dalam hal ini kerana tidak mengambil kira kesan negatif berkenaan. Pasti antara tugas besar Najib ialah merampas balik lima buah negeri yang dimenangi pembangkang dalam pilihan raya lalu.

Kemungkinan ini tidak mustahil apa lagi kalau beliau memenjarakan Anwar sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen.

Sekiranya ini berlaku bermakna pembangkang harus memulakan pelarian di garis awal semula. Justeru untuk mengelakkan ini pembangkang harus mengambil bahagian dalam menyingkirkan Mohd Najib dari menjadi presiden Umno pada Mac depan.

Walaupun Tengku Razaleigh Hamzah adalah sekuturunan dengan Mohd Najib penganut sekular dan bangsawan, namun Razaleigh dilihat lebih lunak berbanding dengan Najib apa lagi Razaleigh tentu tidak bersedia menggunakan acuan made in Mahathir untuk mentadbir negara kerana beliau ada visi dan wawasan sendiri!

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/10/1.html

50,000 pekerja kontrak k'jaan mungkin diberhenti

Muda Mohd Noor Oct 23, 08 3:42pm

Kira-kira 50,000 kakitangan awam yang berkhidmat secara kontrak menghadapi kemungkinan besar ditamatkan perkhidmatan akhir tahun ini, kata Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Beliau berkata, pihaknya telah maklumkan oleh ramai kakitangan terbabit bahawa kontrak mereka tidak disambung.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Omar berkata, penamatan kontrak mereka ditamatkan atas alasan prestasi dan produktiviti pekerja.

Ditanya sama ada ianya kerana kerajaan menghadapi kekangan kewangan, beliau berkata, ia mungkin disebabkan tiada lagi peruntukan gaji untuk kakitangan awam kontrak.

Bagaimanapun, katanya, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan, kerana yakin kerajaan masih mampu mengekalkan perkhidmatan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pihak Cuepacs akan menemui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, tambah Omar, pihak akan menemui JPA selepas mengadakan kongres khas Cuepacs di Kota Kinabalu pada 14 hingga 16 November depan.

Golongan ini merupakan kakitangan yang kontrak perkhidmatan mereka disambungkan dari setahun ke setahun.

"Cuepacs juga akan mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kontrak di Kelantan pada 6 November depan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya," katanya.

Ditukar status

Selepas itu, kata Omar, perjumpaan yang sama akan diadakan dengan pekerja awam kontrak di negeri-negeri lain.

Sebelum itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan JPA untuk menyerapkan kakitangan awam kontrak menjadi kakitangan tetap.

Tetapi, kata Omar, ia perlu kebenaran dan kelulusan dari jabatan tempat mereka bekerja sekarang.

Cuepacs juga, katanya, telah mendapat tahu bahawa kakitangan kontrak yang belum menerima surat ditamat perkhidmatan, telah ditukar status kepada pekerja awam sambilan.

"Cuepacs merasakan ia adalah satu tindakan bagi memudahkan pihak jabatan menamatkan perkhidmatan mereka kemudiannya," katanya.

Pekerja kontrak yang diberhentikan itu, tambahnya, masing-masing telah lama berkhidmat antara lima hingga 15 tahun.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Omar menegakan, Cuepacs mencadangkan supaya mereka dikekalkan sebagai sebagai kontrak untuk selama-lamanya dan tidak diserapkan sebagai kakitangan tetap.

"Atau kerajaan mencari kaedah lain supaya pekerja-pekerja ini dapat dikekalkan di jabatan masing-masing," kata Omar.


http://www1.malaysiakini.com/news/91822

BN tak habis-habis canang perkara remeh...

Oct 23, 08 12:20pm

Pemerhati politik berpendapat parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tak habis-habis mencanangkan isu remeh daripada perkara lebih penting seperti menangani politik wang, memilih pemimpin yang betul dan bekerja keras untuk meraih semula sokongan yang hilang terhadap gabungan itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Menurut laporan Bernama, para penganalisis beranggapan adalah tidak penting, pada ketika ini, cadangan untuk menjadikan gabungan itu sebagai satu parti pelbagai kaum atau malahan menjalani penstrukturan semula.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata penstrukturan semula jawatan tertinggi dalam Dewan Tertinggi BN tidak akan membawa sebarang kesan signifikan dalam gabungan itu atau kepada rakyat amnya.

"Bagi saya ini semua perkara remeh. Saya faham mereka mahu mendapatkan kembali sokongan daripada kaum mereka sendiri tetapi saya tidak fikir ini akan memberi faedah kepada rakyat secara amnya.

"Lagipun, semua jawatan tinggi dalam BN hanya pada nama sahaja kerana semua keputusan dibuat berdasarkan persetujuan bersama tanpa mengira jawatan mereka dalam Dewan Tertinggi," kata pensyarah di Fakulti Pentadbiran Awam dan Undang-undang universiti itu.


Beliau berkata BN ditubuhkan berdasarkan persefahaman tanpa terikat dengan perlembagaan secara sah.

"Tidak penting siapa yang duduk di situ kerana kedudukan mereka dalam Dewan Tertinggi sebenarnya sama sahaja. Umno diberikan jawatan pengerusi dan timbalannya atas dasar persefahaman bahawa ia parti terbesar dan keadaan itu kekal sehingga hari ini," katanya.

Dr Ahmad Atory berkata pemimpin BN sepatutnya menumpukan pada isu lebih penting iaitu memenangi semula keyakinan rakyat.

Timbalan pengerusi BN

"Mereka sebenarnya perlu melihat kepada keadaan sebelum ini dan mengkaji situasi itu secara menyeluruh dan mencari punca kepada masalah itu, kemudian merumuskan idea yang bernas yang benar-benar membantu gabungan menarik semua pengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Anda boleh mendapatkan semula sokongan anggota parti anda sendiri, tetapi yang pentingnya ialah rakyat," katanya.

Kenyataan Dr Ahmad Atory itu merujuk kepada kegagalan BN untuk menawan semula Kelantan dan kekalahan di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada pembangkang dalam pilihan raya umum 8 Mac.

Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merujuk kepada permintaan MCA agar diwujudkan jawatan kedua bagi timbalan pengerusi BN untuk dipegang oleh parti itu, dan berkata melayani permintaan itu akan membuka pintu kepada parti komponen lain untuk membuat tuntutan yang sama.

"Di samping itu, saya berpendapat ada perkara lain yang lebih mendesak yang perlu ditangani oleh pemimpin BN, pembaharuan yang lebih penting seperti menangani politik wang, misalnya," katanya.

Beliau juga berkata pemimpin BN telah menyimpang daripada masalah sebenar.

"Setiap parti komponen, sama ada Umno, MCA, MIC atau malahan Gerakan, mempunyai masalah kepimpinan. Saya fikir mereka mesti selesaikan ini dulu sebelum bercakap mengenai membaharui struktur gabungan," kata pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu.
Pendapat Dr Ahmad Nizamuddin turut dikongsi Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dari Universiti Tun Abdul Razak yang berkata apa yang patut diutamakan oleh parti komponen BN ialah memilih "pemimpin yang betul".

Pengetahuan luas

"Saya berpendapat apa yang paling penting sekarang ialah untuk semua parti komponen memilih pemimpin yang betul. Kemudiannya, selepas itu mereka boleh membincangkan idea bagi pembaharuan," kata bekas Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan universiti itu.

Katanya adalah amat kritikal untuk memilih pemimpin yang mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta mempunyai rangkaian yang luas sama ada di dalam dan luar negara.

"Kita mempunyai banyak pemimpin cemerlang seperti dalam dunia korporat, dalam sektor perkhidmatan awam dan pendidikan. Oleh itu, pada pandangan saya, pemimpin politik juga perlu terdiri daripada kalangan yang terbaik," katanya.

Berdasarkan keadaan semasa, daripada segi politik atau ekonomi, Dr Ibrahim mempunyai sebab kenapa amat penting untuk memilih pemimpin yang betul kerana pemimpin berkenaan perlu mencari jalan bukan sahaja untuk memperkukuhkan parti mereka tetapi juga BN serta mengemudi negara dalam menghadapi krisis ekonomi global sekarang.

Pada masa yang sama, mereka perlu memulihkan semula keyakinan pengundi jika BN mahu kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, Dr Ibrahim berkata adalah amat penting bagi pemimpin BN untuk mengenal pasti punca masalah itu yang telah menyebabkan gabungan itu berada dalam "kepanasan" sebelum ini.

Katanya setiap cadangan bagi perubahan perlu dikaji dengan mendalam berdasarkan prinsip setiap parti komponen dan yang paling penting ialah mereka perlu menumpukan kepada kepentingan rakyat dan dalam masa yang sama memastikan negara kekal stabil.

"Pembaharuan mesti berdasarkan beberapa faktor, luaran dan dalaman. Ada yang sukakan perubahan secara radikal tetapi bagi saya usaha ini perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91795

Aktivis siswa nafi tumbuk pegawai UPM




Oct 23, 08 4:35pm



Seorang aktivis pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat laporan polis hari ini terhadap blog yang mendakwa beliau telah menumbuk pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar sewaktu dua mahasiswi berpindah kolej minggu lepas.


Mohd Lukman Al-Hakim Low Abdullah memberitahu Malaysiakini, laporannya di balai polis Serdang pagi ini berkaitan artikel 'Pegawai HEP Dipukul Mahasiswa Propembangkang' pada 16 Oktober yang didakwa "palsu" dan "menjatuhkankan maruahnya".

Dalam blog Angin Perubahan, aktivis itu didakwa memukul pegawai berkenaan Fahmi Azar Mistar sewaktu mereka hadir menyaksikan perpindahan keluar dua mahasiswi Nor Farhana Farzieana Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali dari Kolej Tun Perak sehari sebelumnya.

Blog itu mendakwa aktivis pelajar bertelingkah dengan Fahmi Azar "sebelum bertindak ganas memukul pegawai terbabit" pada 12.15 tengah hari 15 Oktober lepas.

Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis dengan nombor Serdang/006582/08, lapor blog itu lagi.

"Mangsa menegur Norfarhana dan rakan-rakannya agar menjelaskan hutang kepada kolej sebelum berpindah kerana menduduki kolej secara haram.

"Kemudian tiba-tiba mangsa dipukul sekuat hati oleh Lokman," coretan di blog itu dipetik.

Dalam laporannya, Mohd Lukman Al-Hakim yang juga jurucakap kumpulan pelajar 'promahasiswa' itu turut menyebut Fahmi Azar mempunyai kaitan dengan blog tersebut berdasarkan gambar yang dimuatkan dalam blog itu.



"Pada masa itu, ada seorang pekerja ambil gambar menggunakan telefon bimbit,” katanya. “Macam mana gambar itu boleh ada (termuat) dalam blog itu?"

Pada masa kejadian, tambahnya, beliau tidak nampak orang lain mengambil gambar.

Jelasnya, pada waktu kejadian, beliau hanya menepis tangan pegawai tersebut kerana tidak puas hati dengan kata-kata yang dianggapnya "menghina Islam".

Laporan ini dibuat selepas beliau menemani presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Mohd Safwan Ab Ghani mengadu kenyataan Fahmi Azar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya.

Nur Shafiqa, exco persatuan itu, dan Nor Farhana Farzieana, bekas exco Majlis Perwakilan Pelajar UPM, dibenarkan kembali ke kolej kediaman itu mulai semalam sepanjang minggu peperiksaan sekarang.

Sewaktu dihubungi Malaysiakini hari ini, Fahmi Azar enggan mengulas isu beliau didakwa ditumbuk dan mengeluarkan kenyataan tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/91834

Pelajar ke Jakim isu pegawai UPM

Jimadie Shah Othman Oct 23, 08 11:23am

Sewaktu mulai reda isu dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) dibuang asrama, universiti itu kini berdepan satu lagi isu panas yang dibangkitkan oleh pelajarnya.

Seorang pegawainya Fahmi Azar Mistar dituduh menyentuh sensitiviti agama apabila didakwa berkata "tidak guna solat kalau tidak bayar yuran" kepada seorang aktivis pelajar sewaktu dua mahasiswi tersebut diarahkan keluar asrama minggu lepas.

Nor Farhana Farzieana Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali mulai semalam dibenarkan kembali menginap di Kolej Tun Perak sepanjang minggu peperiksaan yang sedang berlangsung.

Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) membuat aduan tersebut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya hari ini berhubung kenyataan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) itu yang disifatkan boleh menimbulkan kekeliruan.

"Kami harap pihak Jakim dapat merujuk perkara ini dengan universiti dan beliau (pegawai terbabit) harus minta maaf," kata presidennya Mohd Safwan Ab Ghani, yang membuat aduan tersebut, kepada Malaysiakini.

Mohd Safwan, yang baru sebulan memegang jawatan presiden persatuan berpengaruh itu berkata, dua pelajar termasuk aktivis itu Mohd Lukman Al-Hakim Low Abdullah yang menjadi saksi kejadian turut hadir.

Lima lagi pelajar mengiringi mereka bertiga.

Ketika pindah barang

Mereka turut menamakan Fahmi Azar dalam aduan kepada jabatan Islam itu.

Menurut Mohd Safwan, aduan tersebut diserahkan kepada bahagian perhubungan awam Jakim.

Pada 15 Oktober lepas, Fahmi Azar didakwa pernah berkata kepada Mohd Lukman Al-Hakim sewaktu sekumpulan pelajar hadir untuk melihat Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa memindah keluar barang-barang dari kolej tersebut.

Kedua-dua pelajar wanita itu dibuang dari Kolej Tun Perak atas alasan "tinggal secara tidak sah".

Pegawai HEP berkenaan enggan mengulas sewaktu dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, satu blog Angin Perubahan mendakwa Mohd Lukman Al-Hakim pernah menumbuk Fahmi Azar susulan kenyataan pegawai itu.

Menurut blog itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut.

Bagaimanapun aktivis pelajar itu menafikan dan membuat satu lagi laporan polis pagi dengan mendakwa coretan blog itu "palsu" dan "menjatuhkan maruahnya."

http://www1.malaysiakini.com/news/91790

Kebebasan media M'sia merudum lagi

Jimadie Shah Othman Oct 22, 08 9:23pm

Kebebasan media di Malaysia jatuh merudum di mata antarabangsa apabila kedudukannya dalam Indeks Kebebasan Akhbar merosot lagi lapan anak tangga.

Daripada 173 negara yang ditinjau, Malaysia berada di tangga ke 132 berbanding 124 pada tahun lepas, demikian menurut organisasi pemantau kebebasan media, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris hari ini.

Kedudukan baru ini meletakkan Malaysia lebih teruk berbanding tahap kebebasan di beberapa negara Afrika seperti Nigeria (di tangga 131) dan Cameroon (129) dan hanya baik sedikit berbanding Chad (133), Sudan (135) dan Bangladesh (136).

Tahun lalu, Malaysia merosot mendadak sebanyak 32 anak tangga berbanding kedudukan ke-92 pada 2006.

Menurut laporan RSF, kerajaan Malaysia menerima "kritikan menggunung" bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akibat mengenakan tindakan keras terhadap media, termasuk penulis blog.

Media utama selalunya terpaksa mengecilkan liputan atau mengabaikan banyak program parti pembangkang dan NGO, misalnya demonstrasi Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) tahun lepas dan mengarahkan media menghentikan perbahasan tentang status negara Islam Malaysia.

Kes-kes lain termasuklah pengharaman akhbar Tamil Makkal Osai, pengharaman nama Allah di mingguan Kristian The Herald dan penamatan kolum penulis berwibawa Zainah Anwar dan Amir Muhammad di New Straits Times.

Penulis blog juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman saman dan tangkapan polis, lapor RSF.

Petugas media beberapa akhbar seperti Malaysia Nanban dan Guangming Daily turut diserang oleh penyokong parti kerajaan.

Laporan itu juga mendakwa, media-media arus perdana didapati dikawal kerajaan dan mengamalkan swa-saringan.

Negara-negara jiran menikmati kebebasan akhbar yang lebih baik - dengan Indonesia di tangga ke-111 dan Thailand (124).

Bagaimanapun indeks kebebasan Singapura lebih buruk daripada Malaysia di kedudukan 144.

RSF merupakan organisasi terkenal yang memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985.

http://www1.malaysiakini.com/news/91785

MMA mahu arahan jelas doktor layak periksa kes liwat

Oct 22, 08 7:31pm

Majlis Perubatan Malaysia (MMC) perlu mengeluarkan arahan jelas mengenai doktor yang layak dan diberi kuasa menjalankan pemeriksaan kes-kes liwat demi mengelak kekeliruan dan melindungi profesion perubatan, kata Persatuan Doktor Perubatan Malaysia (MMA) hari ini.

"Terdapat kekeliruan di hospital di kalangan doktor bila orang-orang yang dikatakan mangsa liwat dibawa masuk ke bilik kemalangan dan kecemasan," kata presiden MMA Datuk Dr Khoo Kah Lin.

Pada 2006 sejumlah 180 kes liwat dilaporkan kepada polis, bagaimanapun, tidak terdapat data tentang berapa banyak diperiksa oleh pakar dan kaedah yang digunakan bila ujian DNA tidak terdapat dengan mudah.

Dalam tulisannya di ruangan Presiden dalam surat berita terbaru MMA, Dr Khoo menggesa orang ramai jangan mempolitikkan perubatan kerana ia menjejas pengadu dan profesion berkenaan.

Bila perubatan dicampuradukkan dengan politik, keadaan menjadi kelam dan samar, kata beliau dalam laporan Bernama.

"Inilah yang benar-benar berlaku baru-baru ini bila liwat, DNA, pemeriksaan tidak layak, laporan perubatan menjadi 'istilah' bisikan," kata Dr Khoo.

Beliau merujuk kepada kes liwat berprofil tinggi melibatkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mana nota doktor berkenaan mengenai pengadu dibocorkan kepada orang awam dan menjadi pokok perdebatan.

Berikutan itu, tidak saja media, malah orang biasa juga memberikan pendapat mengenai isu itu dan menjadi pakar dalam pelbagai aspek prosedur perubatan, liwat dan undang-undang.

http://www1.malaysiakini.com/news/91780

UPM: Farhana, Shafiqa boleh tinggal semula di kolej


Jimadie Shah Othman Oct 22, 08 3:35pm


kemaskini 6:51pm Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibuang kolej atas alasan "tinggal secara tidak sah" kini boleh kembali ke kolej itu setelah isu itu dihebohkan ke luar kampus.

Naib canselornya Profesor Datuk Nik Mustapha Raja Abdullah membenarkan mereka terus tinggal di Kolej Tun Perak sehingga tamat minggu peperiksaan akhir "atas dasar prihatin".

"Pelajar juga boleh memohon untuk tinggal di kolej kediaman lain tertakluk kepada kekosongan penginapan dan peraturan kolej berkenaan," jelas ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM Abdullah Arshad.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini petang ini [kenyataan lengkap di bawah], Abdullah berkata bagaimanapun kedua-duanya masih dianggap bersalah kerana melanggar peraturan kolej kediaman.

Difahamkan keputusan terbaru itu - selepas seminggu pelajar-pelajar wanita itu menumpang di rumah rakan mereka di luar kampus - dicapai oleh UPM pagi ini.

Bagaimanapun, pada semester depan, Nor Farhana Farzieana Azmi (foto kiri) dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali dikehendaki membuat permohonan semula untuk menginap di asrama.

Dihubungi selepas keputusan rasmi itu, Nur Shafiqa berkata mereka belum membuat keputusan untuk kembali ke kolej.

"Barang-barang pun sudah dipindahkan, mungkin balik sekejap-sekejap," katanya.

Beliau masih tidak berpuashati dengan keputusan itu dengan alasan ia dibuat "seolah-olah hendak menutup kes ini."

"Surat (rasmi kebenaran tinggal semula) pun belum dikeluarkan, dan sebab pun tidak diberitahu," katanya, sambil menambah UPM telah memaklumkan keputusan itu kira-kira jam 4 petang tadi.


Nor Farhana Farzieana dan Nur Shafiqa (foto kanan), yang diarah keluar 15 Oktober lepas, mendedahkan nasib mereka di bangunan Parlimen hari ini dengan ditemani wakil rakyat PKR Zuraida Kamaruddin.


Di sidang media tengah hari tadi, mereka mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

Manakala Persatuan Mahasiswa Islam UPM mendakwa, dengan penyingkiran dua mahasiswi ini, seolah-olah wujud usaha sistematik sejak tiga tahun lepas tidak membenarkan pemimpin dan ahli persatuan itu tinggal di asrama

Dua pelajar itu mencapai keputusan CGPA lebih 3.5 mata turut bergiat aktif dalam kegiatan berpersatuan tetapi tetap didakwa "tidak cukup merit" untuk layak mendapat kemudahan asrama.

Mereka yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang universiti itu, kini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

Dalam surat arahannya 14 Oktober lepas, UPM menyatakan kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, Malaysiakini difahamkan, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat dua minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah dikunci oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu sekarang menumpang di rumah seorang rakan di Seri Serdang, taman perumahan bersebelahan kampus tersebut.


Kenyataan media UPM: Kes dua pelajar dibuang kolej



Universiti Putra Malaysia (UPM) ingin merujuk kes dua pelajar yang dibuang oleh pihak pengurusan Kolej Tun Perak sepertimana dilaporkan oleh Malaysiakini pada 16 Oktober 2008.

UPM ingin memaklumkan bahawa dua pelajar berkenaan iaitu Nor Farhana Azmi dan Nur Shafiqa Mohd Ali didapati menginap secara tidak sah di kolej berkenaan setelah merujuk kepada Sistem Maklumat Pelajar.

Kedua-dua pelajar ini tidak memenuhi kriteria untuk terus menginap pada sesi kemasukan 2008/2009 seperti yang ditetapkan oleh pihak kolej dan universiti.
Pelajar berkenaan sedia maklum akan peraturan berkenaan memandangkan setiap pelajar dibekalkan buku merit.

Berikutan itu, pelajar berkenaan telah disenaraikan sebagai pelajar yang tidak berjaya menginap di Kolej Tun Perak pada 23 April 2008 (cuti akhir semester bermula 28 April – 6 Julai 2008).

Bagaimanapun, pelajar berkenaan telah melanggar peraturan kolej dan terus tinggal di kolej berkenaan secara tidak sah setelah pemeriksaan dilakukan oleh pihak pengurusan kolej pada 25 September 2008.

Peringatan kepada pelajar telah dimaklumkan tetapi pelajar berkenaan masih degil dan terus menginap sehingga pihak kolej mengambil tindakan pada 15 Oktober 2008.

Secara asasnya, kes ini menunjukkan pelajar tetap bersalah kerana tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Pada awal semester, pihak kolej telah memberi peluang dan menasihatkan pelajar berkenaan untuk membuat permohonan semula untuk tinggal di kolej berkenaan serta pada masa yang sama, pihak kolej telah mendapatkan tempat untuk dua pelajar berkenaan di kolej kediaman lain yang lebih besar kapasitinya memandangkan Kolej Tun Perak memberi keutamaan kepada kemasukan Kor SUKSIS dan pengambilan kedua universiti.

Pada asalnya, pelajar tersebut telah bersetuju setelah pihak kolej menggunakan budi bicara yang memberi masa tiga hingga empat hari untuk pelajar berkenaan memindahkan barang-barang ke kediaman baru.

Sebaliknya, dua pelajar berkenaan hanya memindahkan barang-barang mereka daripada stor simpanan ke bilik lain yang tidak diketahui dan menurut ahli blok, mereka juga jarang berada di blok kerana takut dikesan oleh pihak pengurusan.

Ini menunjukkan pelajar tersebut tidak merasa bersalah walaupun terdapat keputusan yang dipersetujui bersama dengan pihak kolej berkenaan.

Pada pandangan UPM, pelajar berkenaan telah melanggar peraturan kolej kediaman.

Bagaimanapun berdasarkan laporan kes, Naib Canselor UPM telah menimbang situasi pelajar berkenaan dan atas dasar prihatin yang mengambil kira minggu peperiksaan akhir, Naib Canselor UPM bersetuju membenarkan pelajar terbabit untuk terus tinggal di Kolej Tun Perak sehingga tamat minggu peperiksaan akhir.

Pelajar juga boleh memohon untuk tinggal di kolej kediaman lain tertakluk kepada kekosongan penginapan dan peraturan kolej berkenaan.

Dengan keputusan ini, Naib Canselor UPM berharap pelajar berkenaan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peperiksaan akhir bagi semester pertama sesi 2008/2009.


Abdullah Arshad
Ketua, Bahagian Komunikasi Korporat
Universiti Putra Malaysia

http://www1.malaysiakini.com/news/91747

'Ramai jadi mangsa, tapi membisu'


Jimadie Shah Othman Oct 22, 08 2:22pm


kemaskini 7:24pm Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dibuang kolej mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

"Kes yang berlaku pada saya hanyalah sebahagian kezaliman yang berlaku terhadap mahasiswa. Bukan sahaja di UPM tetapi di kampus-kampus lain pun, saya percaya perkara ini berlaku," kata Nor Farhana Farzieana Azmi.

"Sebagai mahasiswa, kami hadir di sini bukan untuk meraih simpati tetapi kami hadir supaya suara mahasiswa boleh didengar oleh seluruh masyarakat di seluruh negara."

Nor Farhana Farzieana, exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM sesi lepas, dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali, exco Persatuan Mahasiswa Islam, muncul di lobi Parlimen hari ini, seminggu selepas dikenakan tindakan tersebut.

Mereka ditemani ahli parlimen Ampang dan juga ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Nur Shafiqa mendakwa terdapat berbelas-belas lagi pelajar yang disenaraikan perlu membuat rayuan untuk tinggal di asrama tetapi mereka ini tidak diminta keluar seperti kedua-duanya.

"Ada nama-nama lain (disenaraikan), tetapi nama-nama lain sengaja diletakkan untuk bagi tidak nampak macam untuk cover (menutup persoalan itu)," katanya.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang diperolehinya daripada seorang pegawai pengurusan asramanya Kolej Tun Perak, tiada penyingkiran pelajar pada semester ini kerana kemasukan ke kolej kediaman berkurangan.

"Beliau cakap, memang semester ini tidak akan ada (pelajar) yang dibuang. Tetapi oleh sebab kami diberi arahan untuk dibuang, maka diletakkan nama-nama lain untuk mengaburi," tambah Nur Shafiqa.

Nor Farhana Farzieana pula berkata mereka muncul untuk mendedahkan isu itu "tanpa tekanan dan campur tangan pihak lain."

"Inisiatif yang diambil ini adalah kesedaran diri kami bahawa mahasiswa bukan anak kecil yang boleh ditindas," katanya.

Mereka berharap ahli-ahli parlimen sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat agar tampil menyuarakan isu yang sama.

UPM petang ini membenarkan mereka kembali tinggal di asrama berkenaan sehingga tamat minggu peperiksaan "atas dasar prihatin."

Sementara Zuraida berkata, beliau berjanji memastikan kedua-dua pelajar itu dapat mengikuti peperiksaan dan memastikan keputusan mereka tidak dianiaya.

"Saya akan ambil tindakan susulan, bercakap dengan pengurusan (kolej) profesor madya Dr Jasni (Sabri) untuk tanya pendapatnya, untuk berlaku adil," katanya.

Zuraida juga mengesyaki penyingkiran pelajar itu berkaitan dengan pilihanraya kampus - yang dijangka diadakan awal tahun depan - kerana bergiat aktif bersama persatuan yang tidak pro-Aspirasi, kumpulan pelajar yang menyokong kerajaan.

http://www1.malaysiakini.com/news/91739

Usaha sistematik singkir pemimpin PMIUPM dari kolej?





Oct 22, 08 11:23am


kemaskini 7:28pm Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) mendakwa barisan pemimpin dan ahlinya seolah-olah menjadi mangsa penyingkiran sistematik universiti itu dari kolej kediaman.

Presidennya Mohd Safwan Ab Ghani berkata, sejak tiga tahun lepas, mereka "dibuang kolej beramai-ramai tanpa sebab yang munasabah bahkan sampai ada yang dipermainkan dengan begitu hina oleh pihak pengurusan kolej."

"Kami bimbang perkara yang sama akan terus berulang dari satu generasi (pelajar) ke satu generasi yang lain sehingga ia menjadi satu permainan yang yang cukup menyeronokkan bagi sesetengah pihak," katanya, mengulas dua pelajar cemerlang UPM, seorang daripadanya exco PMIUPM, yang dibuang dari Kolej Tun Perak minggu lepas.

"Kami tertanya-tanya apakah salah kami sehingga kami dilayan sebegini buruk. Apakah dosa kami sehingga kami dinafikan hak dan didiskriminasikan oleh pihak pengurusan kolej dan universiti."

Nur Shafiqa Mohd Ali (kanan) dan Nor Farhana Farzieana Azmi (kiri), yang dibuang kolej kediaman pada 15 Oktober, mendedahkan nasib yang mereka alami di bangunan Parlimen hari ini.

Di sidang media tengah hari tadi, mereka mendakwa banyak lagi mahasiswa yang mengalami nasib seumpama mereka tetapi tidak berani menyuarakannya.

"Kes yang berlaku pada saya hanyalah sebahagian kezaliman yang berlaku terhadap mahasiswa. Bukan sahaja di UPM tetapi di kampus-kampus lain pun, saya percaya perkara ini berlaku," kata Nor Farhana Farzieana.


Beliau, exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM sesi lepas, dan rakan senasibnya Nur Shafiqa Mohd Ali, exco PMIUPM, muncul di depan ramai seminggu selepas dikenakan tindakan tersebut.

Kedua-duanya yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang universiti itu, kini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

UPM petang ini membenarkan mereka kembali tinggal di asrama berkenaan sehingga tamat minggu peperiksaan "atas dasar prihatin."

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Safwan menyebut beberapa kes pembuangan kolej yang melibatkan anggota dan pemimpin PMIUPM.

Pada sesi semester 2006-2007, tiga exco wanita persatuan itu didakwa dikenakan tindakan "tanpa alasan yang kukuh."

Sesi berikutnya, kata Mohd Safwan, seorang exco persatuannya Nor Fathiah Daud "dibuang kolej pada hari pendaftaran kemasukannya di Kolej Mohamad Rashid padahal segala urusan pembayaran yuran dan pemberian kunci bilik telah selesai."

"Sebelum itu, beliau dibuang dari Kolej Pendeta Zaaba tanpa alasan yang kukuh," katanya.

Presiden PMIUPM sesi lepas Mohd Shukri Fahmi Shukor dan seorang exconya Mohd Sulhi Waqiyuddin "dibuang kolej sebaik sahaja memenangi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar UPM dengan alasan 'setelah maklumat pelajar dikemaskini, nama anda didapati tidak tersenarai untuk tinggal di kolej ini'."

"Kes-kes ini hanyalah secebis daripada episod sedih yang menimpa ahli PMIUPM. Banyak lagi kes-kes yang kami tidak sebut di sini," kata Mohd Safwan.

"Melihat kepada kes ini yang saya sifatkan sebagai menjadi-jadi dan semakin melampau, saya sebagai presiden baru PMIUPM, ingin membuat satu dimensi baru dengan mengambil keputusan nekad untuk mendedahkan kes ini ke pengetahuan umum dengan harapan nasib kami dapat dibela.

"Inilah realiti sebenar yang terpaksa kami hadapi sebagai mahasiswa."
Mohd Safwan menyeru ahli politik dan NGO memberikan "pembelaan" berhubung nasib yang mereka alami.

"Kehadiran kami di kampus hijau ini bukanlah untuk dianaktirikan, tetapi mengharapkan tunjuk ajar bagi kami memimpin masyarakat pada suatu hari nanti," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91730

Rais: Kawal rasuah Umno atau buka tender

Oct 21, 08 8:37pm
Jika Umno tidak mengawal amalan rasuah dalam pemilihan barisan pemimpinnya, lebih baik parti itu membuka tender dan sesiapa yang lebih tinggi bidaan akan menjadi ketuanya, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Saya kira mereka yang menyumbang (politik wang), kalau begini lebih baik Umno itu adakan sistem tender, siapa yang lebih tinggi dia jadi ketua.

"Kalau begitu Umno ambil duitnya, siapa yang banyak duit buat bidaan, kan jadi bahan ketawa, tetapi hal macam ni kena dibincang," katanya seperti dilaporkan Bernama.

"Politik wang atau korupsi politik tidak selesai sebab ia sudah menjadi
budaya di dalam Umno sekian lama. Cuma tak ramai yang mahu mengaku perkara ini berjalan.

"Lebih baik kita mengaku dan rakyat menghukum kita bersama-sama supaya orang ramai dapat melihat parti politik ini bersih dari amalan rasuah ataupun tumbuk rusuk dan penggunaan wang secara berleluasa."

Dr Rais, yang juga menteri luar, berkata antara kekangan utama dalam membanteras gejala itu ialah ketiadaan bukti kerana pihak yang terlibat cukup licik dan licin memainkan peranan mereka.

"Masalahnya ialah bukti. Bukti orang memberi cukup sukar sebab pihak-pihak ini memainkan peranan licik dan licin.

"Dalam masa tempoh orang tidur, masa tempoh orang tak sedar tidak dapat diambil gambar, tidak dapat diambil tindakan sebab buktinya tidak ada tapi dalam undang-undang baru Akta Pencegahan Rasuah, saya dapati hal ini dapat diatasi sekiranya laporan daripada pihak-pihak berkenaan ada," katanya.

Umno, kata Dr Rais lagi, tidak cukup berupaya untuk memantau dengan rapi amalan politik wang, justeru lebih wajar jika ia
diserapkan bawah bidang kuasa undang-undang negara, lapor agensi berita itu lagi.

Semalam anggota Majlis Tertinggi Umno itu dilaporkan berkata beliau diminta memberikan wang untuk mendapatkan undi bagi pencalonan jawatan naib presiden yang menjadi sasarannya dalam pemilihan, Mac tahun depan.

Beliau berkata "majoriti" ahli parti itu lebih berminat mengejar wang ketika kempen berlangsung sekarang daripada memilihan pemimpin yang benar-benar layak, lapor sebuah agensi berita.

"Kami didekati dengan berselindung sebalik bantuan dan sumbangan. (Tetapi) saya tidak bersedia (berbuat demikian), jadi anda lihat undi (pencalonan) saya tidak begitu banyak.

"Jika ada ingin turut serta (dalam perebutan jawatan), anda mesti mengiyakannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Dr Rais hanya memperolehi enam pencalonan daripada bahagian-bahagian yang bermesyuarat setakat ini, sejak 9 Oktober.

Beliau memerlukan 14 lagi sokongan untuk layak pertandingan.

http://www1.malaysiakini.com/news/91721

Dua pelajar UPM dedah isu di Parlimen

Abdul Rahim Sabri Oct 21, 08 7:03pm

Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dibuang kolej kediaman menjelang minggu peperiksaan, akan mendedahkan nasib yang mereka alami di bangunan Parlimen esok.

Nur Shafiqa Mohd Ali dan Nor Farhana Farzieana Ali mengesahkan, mereka akan menyertai satu sidang media bersama wakil rakyat Ampang, Zuraida Kamaruddin jam 12.30 tengah hari.

Nur Shafiqa, yang juga exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM, memberitahu Malaysiakini hari ini, wakil persatuan itu dijangka turut hadir.

Kedua-duanya mencapai keputusan lebih CGPA 3.5 mata, diarahkan meninggalkan Kolej Tun Perak mulai 15 Oktober, sehari selepas notis rasmi dikeluarkan.

Selain kecemerlangan akademik, Nor Farhana Farzieana juga aktif dalam Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM sesi lepas yang berakhir awal bulan ini.

Mereka yang menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan eksklusif pelajar cemerlang universiti itu, kini sedang menghadapi peperiksaan akhir semester.

Dalam surat arahannya, UPM menyatakan kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Malaysiakini difahamkan universiti itu dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan petang esok.

Menurut siaran media pejabat Zuraida, yang juga ketua Wanita PKR, dua mahasiswa itu hadir "bagi mendedahkan hal sebenar" yang berlaku terhadap mereka.

"Mereka juga mahu masyarakat sedar dan mengambil perhatian terhadap isu institusi pendidikan tinggi khususnya di bahagian pentadbiran yang secara langsung merupakan akibat utama terhadap kejatuhan kualiti dan taraf institusi pengajian tinggi awam," kenyataan pejabat ahli parlimen Ampang dipetik.

Kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, Malaysiakini difahamkan, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat dua minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah dikunci oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu sekarang menumpang di rumah seorang rakan di Seri Serdang, taman perumahan bersebelahan kampus tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/91717
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...