Thursday, February 19, 2009

Geng ganas 'Jack' kecundang


MAYAT anggota Geng Jack yang tumpas bersama barang-barang rampasan diperiksa oleh Anggota Forensik di Seksyen 22 USJ Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Polis menggempur kumpulan samun kereta mewah ganas yang digelar 'Jack' dengan menembak mati dua anggota kumpulan itu di sebuah kawasan perumahan di Jalan USJ 22/1 di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, dua lelaki yang diburu sejak setahun lalu tersilap memilih hari untuk melakukan jenayah apabila terserempak dengan sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat D9 Selangor.

Ketika diserbu, mereka sedang merancang untuk menyamun sebuah kereta mewah di situ.

Sebelum itu, dua penjenayah tersebut yang menaiki sebuah kereta Toyota Vios hitam curi telah diekori sebelum polis memintas mereka dan mengarahkan mereka untuk berhenti.

Bagaimanapun, bukan sahaja arahan itu tidak dipatuhi sebaliknya pemandu kereta itu, Rizlan Ahmad Tajuddin, 35, atau 'Jack' dan rakannya, Mohamed Fadzil Mohamed Idris, 34, bertindak melepaskan dua das tembakan dan melanggar kereta polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II, Hasnan Hassan berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan balas selepas diancam oleh suspek.

"Jack mati di tempat kejadian manakala Mohamed Fadzil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Serdang.

"Siasatan kita mendapati mereka merupakan kumpulan samun kereta mewah yang ganas dan berbahaya serta tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa sekiranya ingkar arahan,'' katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Perogol menyamar pemandu teksi ditahan


FOTOFIT suspek ditunjukkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Sabtu Osman bulan lalu.


KUALA LUMPUR - Selepas hampir sebulan diburu polis, seorang perogol yang menyamar sebagai pemandu teksi akhirnya ditahan pihak berkuasa pada hari Rabu lalu.

Suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan ketika dia mahu mendapatkan rawatan di sebuah hospital di ibu negara akibat melecur di beberapa bahagian badan.

Difahamkan, suspek berketurunan India yang fotofitnya disebarkan bulan lalu itu ditemui terbakar bersama teksi tersebut di Cheras sebelum mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek kini ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan terhadap beberapa kes jenayah yang dilakukan termasuk dua kes rogol.

"Siasatan awal polis mendapati, teksi yang digunakan suspek merupakan kenderaan curi dan digunakan untuk merogol sebelum menyamun penumpangnya.

"Selain itu, suspek aktif melakukan jenayah sekitar Selangor itu turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang akhbar semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Hui Ming kini di Pusat Tahanan Yangon

Hui Ming kini di Pusat Tahanan Yangon




KUALA LUMPUR - Gadis yang hilang pada akhir tahun lalu yang disyaki dilarikan seorang lelaki Myanmar, Tan Hui Ming, 14, (gambar) kini ditahan di Pusat Tahanan Yangon di negara tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak Kedutaan Myanmar kepada nenek remaja terbabit, Lai Kam Yap, 59, ketika mengunjungi pejabat kedutaan itu di Jalan Ampang semalam.

Menurut Kam Yap, cucu sulung daripada tiga beradik itu ditahan pihak berkuasa negara terbabit sejak seminggu lalu kerana tidak memiliki sebarang dokumen.

"Melalui pihak kedutaan, saya diberitahu dia (Hui Ming) sekarang berada di pusat tahanan di Myanmar kerana dia tidak mempunyai dokumen perjalanan," katanya ketika ditemui di Wisma MCA semalam.

Pada 30 Disember lalu, Hui Ming dilaporkan hilang didakwa dilarikan seorang lelaki Myanmar yang dikenali sebagai Kamble yang bekerja sebagai penoreh getah di Kampung Cong, Sik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Kanser bedak talkum

GEORGE TOWN - Membersihkan anak terutama bayi dan memakaikan mereka bedak wangi agar kelihatan segar dan harum bukanlah perkara baru.

Namun bagi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), bedak itu yang mengandungi magnesium silicate hydoxide atau talc ialah produk beracun kerana zarah-zarahnya boleh menyebabkan berlaku ketumbuhan dalam ovari dan paru-paru.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris pada sidang akhbarnya semalam mendakwa ia turut membabitkan beberapa jenama bedak talkum wangi yang popular.

Katanya, ada juga kajian yang membuktikan zarah talc ditemui dalam ovari wanita kerana amalan menyapu bedak di tempat sulit.

"Penemuan dari Amerika Syarikat menunjukkan di kalangan wanita yang memakai bedak talkum, kira-kira 40 peratus berisiko menghidap kanser ovari,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Aksi romen suami isteri


TIONG LAI membaca laporan Kosmo! mengenai perlakuan seks dalam bilik X-ray sebuah hospital selepas satu majlis di Pokok Sena, Kedah semalam.



KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Pasangan yang terbabit dalam perlakuan seks di bilik X-ray sebuah hospital di ibu negara seperti yang didedahkan Kosmo!semalam dikatakan suami isteri.

Menurut sumber, wanita itu merupakan bekas kakitangan hospital berkenaan dan semasa perlakuan memalukan itu dirakamkan, dia berkhidmat dengan sebuah jabatan kerajaan.

Ketika aksi seks itu dirakamkan, lelaki berusia lingkungan 30-an dalam video itu datang ke tempat kerja isterinya yang berusia 26 tahun pada waktu malam.

Lelaki itu bekerja sebagai Mat Dispatch (penghantar surat).

Wanita itu dipercayai isteri kedua kepada lelaki tersebut. Difahamkan masa untuk mereka bersama begitu terhad dan kesempatan yang ada di bilik X-ray hospital digunakan sebaik mungkin untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri.

"Video tersebut telah tersebar sejak November tahun lalu apabila rakaman itu jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkannya di sebuah laman web.

"Ia dipercayai disebarkan selepas telefon bimbit wanita itu hilang. Wanita itu telah membuat laporan mengenai kehilangan gajet tersebut di Balai Polis Jinjang sekitar Oktober atau November tahun lalu,'' kata sumber itu di sini semalam.

Dalam laporan tersebut, wanita itu mendakwa dia bimbang koleksi gambar peribadinya yang terdapat dalam telefon bimbit itu akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

'Tiga tahun saya diterajang'


ISWATUN HASANAH



KERATAN Kosmo! 10 februari 2009.


SEPANG - "Hampir tiga tahun saya berdiam diri, saya disepak terajang, sampai parang pernah singgah di leher saya, saya diamkan, tapi bila dia jual saya, saya sudah anggap lelaki itu bukan bapa saya lagi."

Demikian tuduhan Iswatun Hasanah Musbahuddin, 17, atau Wawa, remaja yang mendakwa dirinya dibawa secara haram ke Surabaya oleh bapa kandungnya ketika ditemui selepas dia tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini malam tadi.

Dia yang ditemani Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kelihatan sihat dan gembira kerana dapat kembali ke negara ini setelah lebih sebulan merempat di Indonesia.

"Walaupun saya dah balik, saya nak merayu, saya tak mahu pulang ke rumah ayah lagi. Saya sanggup tidur di balai polis ataupun tinggal di rumah kebajikan," katanya sebak.

Wawa dihantar pulang dari Surabaya dengan penerbangan AirAsia QZ7615 dan tiba di LCCT pada pukul 6.50 petang semalam.

Bagaimanapun, ketibaan gadis itu tidak disambut bapanya yang didakwa tidak tahu mengenai kepulangannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Polis sudah ambil keterangan ADUN

PETALING JAYA - Polis semalam mengambil keterangan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berhubung kes penyebaran gambar separuh bogel membabitkannya yang kini tersebar di Internet.

Ahli politik berusia 37 tahun itu memberi keterangan selama satu jam kepada seorang pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di pejabat peguamnya di sini pada pukul 3 petang.

Selain Elizabeth, empat wartawan termasuk dua daripada akhbarMalay Mail dan dua daripada akhbar The Sun juga dipanggil memberi keterangan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, seorang daripada wartawan Malay Mail telah menyerahkan sekeping cakera padat yang mengandungi dua keping gambar Elizabeth.

"Polis memberi jaminan akan menyiasat kes ini secara menyeluruh,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Cepat tersebar kerana Internet


ANTARA laman web dan blog yang memaparkan isu penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong.


KUALA LUMPUR - Berita mengenai penyebaran gambar separuh bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong sebenarnya boleh didapati dengan mudah di laman web dan blog.

Meskipun gambar-gambar itu tidak disiarkan media cetak atau elektronik arus perdana tetapi ia dapat diakses dengan senang tanpa ada sebarang sekatan.

Kewujudan media alternatif seperti laman web serta blog yang berperanan menyebarkan maklumat atau berita terbaru sememangnya diakui memberi impak kepada politik.

Pemantauan Kosmo! mendapati terdapat banyak laman web dan blog yang memaparkan artikel serta gambar separuh bogel ahli politik itu selain perbincangan mengenainya dibuat secara meluas dalam Internet.

Antaranya ialah laman forum t**x.com, xb***d** b**, d***.com,**t**a*se***p.blog, b***l****t.blog dan juga ****s**log.com.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Eli sedia letak jawatan


ELIZABETH mengesat mata kerana kesedihan pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan setelah gambar separuh bogelnya tersiar dalam Internet.

Beliau akan membincangkan soal penyerahan tugasnya itu dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Khalid pula dalam satu kenyataan berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapatkan nasihat baginda berhubung tawaran wakil rakyat itu untuk meletak jawatan.

Elizabeth, 37, atau lebih dikenali sebagai Eli di kalangan teman rapat merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.

Elizabeth berkata, terdapat pihak tertentu yang mahu mencemarkan nama baiknya.

Katanya, beliau tidak melanggar sebarang undang-undang.

"Saya tak berasa malu hanya kerana saya tidak berkahwin," katanya. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Pokok celaka jarakkan kehamilan


BUNGA pokok celaka ada yang berwarna putih.


KUALA TERENGGANU - Namanya agak pelik - pokok celaka. 

Tetapi ramai yang tidak tahu ia ialah sejenis tumbuhan liar yang dipercayai boleh dijadikan ubat untuk wanita menjarakkan kehamilan.

Rahsia mengenai pokok yang banyak tumbuh di hutan Terengganu terutama di daerah Kemaman itu didedahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam.

Menurutnya, walaupun nama pokok itu 'celaka' namun menurut orang tua ia amat mujarab dan diakui oleh ramai wanita mampu menjarakkan kelahiran anak.

"Oleh itu, para penyelidik dan saintis dari institusi pengajian tinggi awam di negeri ini diminta menjalankan penyelidikan bagi memastikan khasiat sebenarnya.

"Kerajaan negeri sedia membiayai kos penyelidikan kerana pokok ini jika terbukti mujarab bakal mengubah wajah negeri Terengganu sebagai sebuah pusat pengeluar ubatan tradisional utama," katanya di sini semalam.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Budak perempuan ditinggalkan bawah flat


Budak perempuan yang ditinggalkan di bawah rumah pangsa tanpa pengenalan diri di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Siapa ibu bapa kanak-kanak ini?

Itulah persoalan yang timbul apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan tiga tahun ditemui di bawah Blok 50, Flat Taman Ungku Tun Aminah, di sini dalam keadaan menangis tengah malam semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, kanak-kanak itu ditemui kira-kira pukul 12 tengah malam oleh seorang lelaki yang kemudian menyerahkannya kepada polis.

Katanya, turut dijumpai semasa kanak-kanak itu ditinggalkan adalah satu beg plastik yang mengandungi beberapa helai pakaian.

"Kita pun tak tahu siapa nama kanak-kanak ini kerana apabila ditanya, dia akan menangis.

"Kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

3 lagi mati akibat denggi


KUALA LUMPUR - Tiga lagi kematian akibat wabak denggi dicatatkan pada minggu kelima sehingga 7 Februari lalu menjadikan jumlah terkumpul kematian bagi tahun ini meningkat kepada 18 kes berbanding tujuh kes pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, 1,232 kes denggi dilaporkan dalam minggu tersebut, meningkat sebanyak 219 kes berbanding 1,013 kes pada minggu sebelumnya dengan 50 peratus kes dilaporkan di Selangor.

"Sebanyak lapan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Kelantan (162 peratus), Johor (40 peratus), Selangor (33 peratus), Perak (18 peratus), Sabah (13 peratus), Melaka (10 peratus), Pahang (lapan peratus) dan Sarawak (dua peratus),'' katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, bagi jumlah kes penyakit Chikungkunya pula, sebanyak 109 kes dilaporkan sepanjang minggu kelima, meningkat 15 kes berbanding 94 kes pada minggu sebelumnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Penyamun terculik kanak-kanak

SHAH ALAM - Seorang penyamun tidak menyangka 'terculik' seorang kanak-kanak lelaki yang nyenyak tidur dalam sebuah kereta Proton Wira Aeroback yang dilarikannya ketika kejadian samun di Taman Berkeley, Klang awal pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Foo Koo Ping berusia enam tahun berada di tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, episod 'gelap' itu berakhir apabila polis menemui semula kanak-kanak tersebut kira-kira dua jam kemudian yang ditinggalkan dalam kereta sama di kawasan perumahan Sungei Way, Petaling Jaya dekat sini.

Suspek sebelum itu menyamun bapa mangsa, Foo Teck Hock, 43, di hadapan rumahnya ketika membuka pintu pagar setelah pulang dari menghantar isterinya bekerja di Pasar Borong Meru dengan kereta terbabit.

Suspek dikatakan menghampiri bapa mangsa dan memukulnya lantas merampas seutas rantai emas sebelum melarikan Proton Wira itu bersama kanak-kanak tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pistol mainan kini pilihan penjenayah


SEORANG pegawai polis menunjukkan hasil rampasan senjata mainan kepada media pada sidang akhbar di Balai Polis Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Tahu atau tidak, pistol mainan yang dijual di kebanyakan kedai kini menjadi pilihan beberapa kumpulan penjenayah untuk melakukan samun dan rompakan bersenjata.

Sehubungan itu, semua barangan mainan berkaitan senjata api kini diklasifikasikan oleh pihak polis sebagai barangan 'berbahaya'.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah kedai menjual senjata mainan di Kelana Jaya dekat sini pukul 4 petang kelmarin.

"Selepas pemeriksaan dibuat di kedai terbabit, kita merampas dua pucuk pistol mainan jenama Airsoft Gun, 57 pucuk B.B Gun dan 60 pucuk P.P Gun,'' katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam.

Kata Arjunaidi, serbuan dilakukan di kedai menjual barangan plastik itu berikutan polis bimbang ada penjenayah membeli senjata tiruan untuk melakukan jenayah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Manusia 'dilelong' RM1,000 satu kepala dipindah


PETALING JAYA - Agensi pekerjaan yang gagal menyediakan kerja kepada lebih seratus warga Bangladesh di sini telah 'menunaikan janjinya' dengan memindahkan sebahagian daripada mereka ke lokasi lain mulai malam semalam.

Menurut sumber, seramai 15 orang daripadanya telah dipindahkan ke Kota Bharu, 13 orang ke Pulau Pinang, 10 orang dihantar ke Johor Bahru sementara bakinya ditempatkan di premis yang menjadi lambakan mereka sebelum ini.

Kosmo! difahamkan, agensi pekerjaan itu bertindak memindahkan sebahagian daripada mereka jauh dari Kuala Lumpur bagi mengelak media terus memburu 'anak buahnya'.

Majikan itu turut dikatakan seperti cacing kepanasan gara-gara berita mengenai aktiviti mereka mendapat liputan meluas termasuk daripada agensi media asing yang membuat liputan terbaru kes itu tengah hari semalam.

"Ejen juga telah 'campak' dua tiga warga Bangladesh yang pandai cakap Melayu ke Utara Semenanjung bagi mengelak mereka terus 'bocorkan' banyak rahsia," kata seorang sumber kepada Kosmo!. Ini disahkan oleh beberapa warga Bangladesh yang ditemui semalam.

Kosmo! dalam laporannya baru-baru ini membongkar nasib lebih 140 orang warga Bangladesh yang dikurung berhimpit-himpit dalam sebuah rumah kedai di Bandar Sri Damansara di sini apabila ejen pekerjaan gagal menyediakan kerja buat mereka.

Mereka kemudian 'dilelong' RM1,000 satu kepala kepada majikan lain yang berminat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Orang luar jadi raja kopitiam


ANTARA pekerja warga asing yang bekerja di sebuah kopitiam di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Kopitiam sepatutnya dijadikan sebahagian daripada warisan budaya pelbagai kaum rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, gambaran sedemikian seperti yang dapat dilihat sejak berdekad-dekad lalu kini sudah tiada lagi.

Kopitiam atau kedai kopi pada masa ini tidak lagi dilihat kaya dengan ciri-ciri tempatan sebaliknya dipenuhi dengan wajah-wajah asing.

Orang asinglah yang jadi tukang masak, tukang buat minuman, tukang cuci pinggan mangkuk serta pelayan. Lebih mengejutkan ada orang asing yang jadi juruwang mahupun pengurus.

Itulah fenomena yang berlaku di rata-rata kopitiam di seluruh negara yang 'didominasi' oleh warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Filipina.

Malah sebahagian daripada mereka diletakkan di barisan hadapan sedangkan ia terang-terang menyalahi Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Demi keuntungan, pengusaha kopitiam sanggup mengetepikan undang-undang.

Siasatan Kosmo! mendapati kalangan pekerja asing yang ditemu bual mengakui mereka dibawa bekerja di kopitiam sedangkan tertera dalam pasport sepatutnya mereka diletakkan di bawah sektor lain seperti perladangan.

Gejala menggaji pekerja asing bekerja di kopitiam kini semakin menjadi-jadi apatah lagi kesan daripada kelembapan ekonomi dunia yang mendesak ramai pekerja asing diberhentikan kerja terutama dalam sektor perkilangan.

Sumber Kosmo! memberitahu, warga asing kini mula beralih dengan bekerja di kopitiam. Malah urusan 'perpindahan' pekerja di situ ada yang diuruskan sendiri oleh ejen yang membawa mereka masuk ke negara ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

'Maruah saya dicabul' - YB Elizabeth


Elizabeth WONG pada satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - "Saya tidak mengetahui langsung penyebaran gambar itu."

Itulah kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menerusi satu kenyataan bagi menjelaskan gambar dirinya tidur separuh bogel dalam posisi intim yang kini tersebar dalam Internet.

Menurut wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, beliau hanya mengetahui perkara itu melalui wartawan sebuah akhbar pada 13 Februari baru-baru ini. Wartawan itu mahu menyiarkan berita tersebut.

"Saya dimaklumkan bahawa ada orang cuba menyebarkan gambar atau video saya itu,'' katanya dalam satu kenyataan semalam.

Difahamkan, gambar Elizabeth itu dirakamkan menerusi kamera telefon bimbit.

Gambar daripada pelbagai sudut itu dirakam ketika ahli politik berusia 37 tahun itu sedang tidur di bilik tidur rumahnya di Petaling Jaya. Gambar itu telah disahkan oleh beliau sendiri.

Menurut laporan sebuah akhbar, wakil rakyat yang masih bujang itu tidak menyedari gambar tersebut dirakamkan.

Elizabeth menyifatkan penyebaran gambar itu sebagai perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang berniat jahat terhadapnya.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Seks di bilik X-ray


SEPASANG kekasih membuka seluar dan kain masing-masing sebelum melakukan hubungan seks di bilik X-raysebuah hospital.


KUALA LUMPUR - Akibat kemaruk seks, sepasang kekasih sanggup menjadikan sebuah bilik X-ray yang dipercayai terletak di sebuah hospital di ibu negara sebagai tempat untuk memuaskan nafsu.

Lebih mengejutkan semua aksi lucah dan 'lakonan asmara' mereka turut dirakam menggunakan kamera video kononnya sebagai kenangan cinta mereka.

Bagaimanapun, rakaman tersebut kini tersebar dan menjadi tatapan umum bukan sahaja menerusi Internet malah dimuat turun ke telefon bimbit.

Sebanyak tujuh siri rakaman klip video lucah tersebut telah disebarkan dan semuanya dilakukan oleh individu yang sama.

Dalam video selama enam minit itu, turut kelihatan wanita tersebut lengkap berpakaian baju kebaya dan bertudung sempat beraksi manja sebelum melucutkan kain yang dipakainya.


WANITA ini ceria ketika mengangkat kainnya sebelum melakukan hubungan seks dengan pasangannya di bilik X-ray sebuah hospital di Kuala Lumpur.


Tidak lama selepas itu muncul seorang lelaki berbadan gempal dengan baju berwarna merah hati dan berseluar hitam mula melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit.

Lebih mengejutkan selepas lakonan 'panas' tersebut berakhir, wanita itu sengaja memegang sekeping filem X-ray menunjukkan rakaman itu dibuat di dalam sebuah bilik X-ray.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...