Sunday, May 10, 2009

Penemuan

MANDI peluntur dan morning sickness ada kebaikannya? Ikuti ruangan Penemuan hari ini untuk jawapannya.

Mandi peluntur pulihkan ekzema

PELUNTUR pakaian yang dicairkan pada paras tertentu menjadi kaedah rawatan paling mudah, murah dan selamat bagi penyakit ekzema di kalangan kanak-kanak.




Sepasukan penyelidik penyakit kulit dari Sekolah Perubatan Universiti Northwestern, Chicago, membuktikan penggunaan setengah penutup peluntur yang dicampur ke dalam tab mandi standard mampu memulihkan penyakit tersebut sebanyak lima kali ganda berbanding rawatan biasa dengan pemantauan doktor.

EKSTRA: Menurut kajian Dr. Raynard Kington dari Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), perubahan dalam gen memberi impak yang cukup besar dalam perkembangan autisme pada diri seseorang, termasuk sel otak.

Kod bar DNA halang jangkitan

KETUA penyelidik dari Universiti Ghana, Profesor Daniel Boakye mendedahkan terdapatnya jalinan DNA yang bertindak sebagai cap jari untuk mengenal pasti dan seterusnya menghalang penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti lymphatic filariasis atau untut.




EKSTRA: Saintis mendakwa berjaya mencipta cip mikro bagi mengesan penyakit malaria dalam tempoh beberapa minit dengan meletakkan sampel darah di atas cip mikro tersebut.

Bahaya pembersih pengilat kuku

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mendapati sesetengah pembersih pengilat kuku boleh menyebabkan ruapan kimia dan kini ditarik semula dari pasaran. Produk kecantikan ini yang tidak menepati piawaian kesihatan mengundang bahaya pada jari seperti kelecuran.




EKTRA: Ubatan Procrit dan Aranesp bagi merawat pesakit kanser serta melawan kepenatan akibat anemia dikatakan boleh mengakibatkan darah beku yang serius serta kematian.

Morning sickness jadikan bayi lebih pintar

BAYI yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami alahan pagi atau morning sickness berkembang menjadi kanak-kanak lebih pintar berbanding ibu yang tidak mengalami muntah atau loya.




Kajian Pengarah Program Ibu Berisiko di Hospital bagi Kanak-Kanak Sakit, Toronto, Dr. Gideon Koren mendapati pencapaian dan perkembangan bayi yang ibunya tidak mengalami morning sickness adalah lebih perlahan.

EKSTRA: Menurut Journal of Pediatrics, loya dan muntah ketika hamil merupakan petanda kandungan yang sihat serta mengurangkan risiko keguguran.

Kulit bersisik tidak berjangkit

Satu kes dalam 300,000 kelahiran menjadikan penyakit ini unik.


IRSHAD menghidap penyakit kulit bersisik sejak berusia enam bulan.



DR. CHOY YEW SING






PESAKIT kulit bersisik menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.


"DIPEGANG salah, didukung salah. Yang dia mahu ialah badannya sentiasa sejuk dan digaru selalu," luah Azizan Mohd. Yusof, 50, dari Kampung Siput, Baling, Kedah, mengenai anaknya, Irshad, dua tahun, yang menghidap sejenis penyakit kulit kronik sejak berumur enam bulan.

Malah setiap kali anaknya itu menangis kerana pedih akibat peluh, hati Azizan dan isteri diruntun pilu. Apatah lagi melihat anggota badan permata hati mereka itu penuh dengan kepingan kulit yang mengelupas.

Bukannya sedikit, bahkan setiap inci tubuh anaknya itu, dari hujung kepala ke hujung kaki, mengelupas hingga menegangkan struktur permukaan kulitnya.

Menurut Pakar Runding Genetik Kanak-kanak, Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Choy Yew Sing, penyakit kulit bersisik yang berpunca daripada faktor genetik itu amat jarang berlaku.

"Ichthyosis terjadi dalam satu daripada 300,000 kelahiran. Ia melibatkan gen pesakit yang bermutasi," kata doktor pakar yang merawat Irshad ini.

Yew Sing berkata, perubahan genetik yang berlaku secara spontan atau menerusi salasilah keluarga merupakan antara punca penyakit ini.

Beliau menambah, penyakit berkaitan genetik amat kompleks. Simptomnya juga mungkin atau tidak muncul langsung sewaktu dilahirkan.

"Secara mudahnya, ada sesetengah Ichthyosisdilahirkan bersama-sama pesakit seperti kes Irshad ini," katanya. Beliau, bagaimanapun, berkata, penyakit ini tiada kaitan dengan bangsa, jantina atau umur seseorang.

Keadaan pesakit akan bertambah parah seandainya mereka mempunyai alergi terhadap sesuatu seperti makanan atau persekitaran.

Namun, Pakar Runding Dermatologi, Dr. Koh Chuan Keng menjelaskan, kaedah rawatan yang sistematik dapat mengurangkan kesan penyakit itu.

"Ia adalah penyakit yang perlu ditanggung seumur hidup. Maksudnya, tiada rawatan yang dapat menyembuhkannya. Namun dengan penggunaan krim dan pendedahan kepada cahaya matahari secara berperingkat, pengelupasan kulit tersebut dapat dikurangkan," katanya.

Tambah Chuan Keng, disebabkan gen yang mengawal pengelupasan kulit ini bermutasi, permukaan kulit menjadi kering dan mengelupas pada kadar abnormal.

Secara normalnya, kulit manusia adalah hidup dan diperbaharui dengan 'gugur' secara semula jadi dalam kitaran proses selama 14 hari.

Bagi pesakit Ichthyosis, proses itu tidak mengikut kitaran tersebut. Ia terbentuk dengan lebih pantas dan banyak berbanding keupayaannya untuk 'gugur'.

"Justeru, kulit mengelupas, seolah-olah bersisik serta kering menjadi lumrah pada pesakit Ichthyosis ini," katanya.

Jelas Chuan Keng lagi, salah satu fungsi kulit adalah mengawal suhu dalaman. Namun begitu, bagi pesakit Ichthyosis, mereka menjadi lebih sensitif terhadap perubahan suhu sejuk dan panas.

Secara tidak langsung, suhu panas yang melampau merupakan masalah utama mereka. Malah keadaan boleh menjadi lebih serius apabila pesakit ini terlibat atau berada di dalam keadaan yang membuatkan mereka berpeluh walaupun sedikit.

"Dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang tidak menentu, keadaan kulit pesakit akan menjadi lebih parah tanpa penggunaan krim pelembap seperti emolien," katanya yang turut menegaskanIchtyosis bukan penyakit berjangkit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Dendam pada 'manusia iblis'

Peragut bukan hanya mahu wang malah nyawa mangsa.




KETIKA kanak-kanak seusia dengannya ingin sentiasa dibelai dan perlukan perhatian, masih makan bersuap dan lena di dalam pelukan insan yang bergelar ibu, Siti Najwa Mat Zani, 2, mungkin terpaksa melupakan semua ‘nikmat’ itu.

Dia kehilangan orang paling istimewa apabila ibunya, Saripah Mohd. Noor, 34, maut selepas beliau terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya sebelum dirempuh sebuah kenderaan.

Saripah terjatuh akibat diragut oleh dua ‘manusia iblis’ di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, Rabu lalu.

Ditanya ke mana ibunya pergi, dia yang tidak mengerti apa-apa memberitahu: “Mama tidur, mama penat.”

Barangkali usianya masih mentah untuk memahami kepahitan yang ditanggung ayah, abang serta kakaknya, jauh sekali untuknya mengerti soal ajal maut.

Pada pagi Rabu lalu, ketika Siti Najwa dan kakaknya, Nurul Akmal Alisa, 6, masih lena, arwah Saripah keluar dari rumah ibunya di Kampung Kok Bedullah, Tumpat seawal 8.30 pagi dan menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Jel, Repek, Bachok.


SEDIH mengenang ibu. Dari kiri, Nor Idayu, 13, Siti Najwa, 2, Nurul Akmal Alisa, 6, dan Mohd. Syawal Nabil, 8, ketika bersama nenek mereka, Hashimah di Tumpat, Kelantan.





Saripah yang mengandung tiga bulan anak keenam sudah dua minggu tidak menjenguk suaminya, Mat Zani Awang, 39, dan tiga lagi anak mereka, Nor Idayu, 13, Mohd. Saifullah, 11, dan Syawal Nabil, 8, kerana pulang berehat di rumah ibunya.

Berbekalkan wang RM5 yang dipinjam daripada adik iparnya, Saripah mengisi minyak motosikal RM3 dan bakinya ingin digunakan untuk membeli sedikit makanan.

Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian apabila tiba di tempat kejadian, beg tangan lusuh yang berisi wang RM2 direntap oleh dua peragut bermotosikal menyebabkan beliau terjatuh.

Tragedi yang berlaku dalam sekelip mata itu telah mengubah nasib lima beradik yang masih terkapar-kapar menagih kasih sayang seorang ibu.

Bagi anak sulung arwah, Nor Idayu, beliau reda dengan segala ketentuan Ilahi walaupun masih terkejut dan bersedih.

Menurutnya, malam sebelum kejadian, ibunya ada menelefonnya tetapi mereka tidak bercakap lama.

“Mama beritahu esok dia nak balik, lepas itu dia pesan supaya saya rajin-rajin pergi sekolah dan mengulang kaji pelajaran,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Tumpat, Khamis lalu.

Tambahnya, beliau mungkin akan tinggal bersama ayahnya di rumah mereka di Bachok bersama dua adiknya sementara dua lagi adiknya, Siti Najwa dan Nurul Akmal Alisa akan ditinggalkan bersama neneknya, Hashimah Hussin buat sementara waktu.

Beliau yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kandis, Bachok berjanji akan menjaga semua adiknya sebaik mungkin.

“Sama ada suka atau tidak saya kena pikul tanggungjawab ini. Mereka adik-adik saya. Sebagai kakak sulung saya kena tolong ayah jaga mereka semua.

“Setiap hari saya akan memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Saya sudah biasa dengan semua itu kerana sebelum ini saya selalu tolong mama,” ujarnya.

Jelasnya, Saifullah dan Syawal Nabil sudah memahami apa yang berlaku manakala Nurul Akmal Alisa baru hendak memahaminya.

“Adakalanya Nurul menangis kerana rindukan mama,” celah Nor Idayu.

Siti Najwa yang tidak memahami apa-apa kadangkala menangis mencari ibunya dan terpaksa dipujuk dengan memberitahu ibunya itu keluar bekerja.

“Satu hari nanti dia (Siti Najwa) akan tahu sendiri. Buat masa ini biarlah dia tidak mengetahuinya,” jelas Nor Idayu yang bercita-cita menjadi guru.

Ditanya sama ada beliau menyimpan dendam terhadap ‘pembunuh’ ibunya, Nor Idayu memberitahu: “Mereka (peragut) kejam. Mereka hancurkan harapan kami semua, mereka rampas kasih sayang ibu kami.

“Saya geram dan dendam tapi saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Saya hanya boleh berdoa semoga Allah membalasnya.”

Benci tengok lokasi tragedi

Kejadian ragut pada 12 Ramadan bersamaan 25 September 2007 tidak mungkin dapat dilupakan ahli keluarga Ramlah Mohamad. Pada tarikh itulah mereka kehilangan ibu buat selama-lamanya.

Allahyarham yang ketika itu berusia 51 tahun maut selepas motosikalnya terbabas ketika bergelut dengan peragut yang cuba merampas beg tangannya di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu.

Dalam kejadian 10.50 pagi, mangsa yang ketika itu menunggang bersendirian menemui ajal hanya kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas parah terhantuk pada tiang elektrik.

Bagi anak sulung mangsa, Syuzana Ismail, 34, kejadian itu bukan sahaja merenggut keseronokan Aidilfitri tahun tersebut malah menyebabkan kehidupan beliau dan lapan orang adiknya berubah.

“Emak seorang yang periang dan banyak bercakap. Kehilangannya amat dirasai. Rumah kami sekarang amat sunyi,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Malah, katanya, sambutan Aidilfitri dan majlis lain selepas tragedi itu juga dirasakan tidak semeriah dulu.


SYUKRI Ismail menunjukkan tiang tempat ibunya (gambar kecil), Allahyarham Ramlah Mohamad, jatuh akibat perbuatan peragut di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu.





Bagi anak ketiga mangsa, Syukri, 30, setiap kali melalui lokasi tragedi, beliau teringat kembali kejadian tersebut kerana hanya beliau yang sempat membantu arwah pada hari kejadian.

Kata Syukri, beliau masih ingat dengan jelas keadaan ibunya yang terbaring lemah berdekatan tiang elektrik di situ semasa beliau memangku arwah dan meminta bantuan orang ramai.

“Sehingga kini saya masih benci melihat tempat itu. Tetapi saya lebih benci pada orang yang bertanggungjawab menyebabkan insiden itu,” katanya.

Jelasnya, dia tidak nampak kesan luka selain telinga kanan ibunya yang hampir terputus akibat kemalangan itu. Beliau tidak menyangka ibunya akan menemui ajal ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Seberang Takir.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan barulah dia diberitahu bahawa tiga tulang rusuk ibunya patah mungkin akibat terjatuh selepas ditolak peragut itu.

“Namun sehingga kini saya rasa ralat kerana tidak faham apa yang arwah katakan pada saya ketika dia sedang tenat kerana butir bicaranya sudah tidak jelas lagi,” katanya.

Menurut Syukri, beliau dan adik-beradiknya yang lain ingin melihat wajah individu yang terlibat itu biarpun hanya sekali untuk bertanya kenapa tergamak memperlakukan ibu mereka sedemikian rupa.

“Kalau diberi peluang, saya ingin sekali menghukum penjenayah terbabit,” katanya yang kecewa kerana pembunuh ibunya masih bebas.

Nurul Fatimah koma 20 hari

“Kak, hati-hati, jalan baik-baik.”

Nasihat itu diberikan mangsa ragut, Nurul Fatimah Ali, 19, kepada penulis semasa mahu keluar meninggalkan rumahnya di Kampung Pulau Ketam, Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Gadis yang baru bangkit dari katil hospital selepas koma kira-kira 20 hari itu jelas masih terbayang tragedi pada 29 Mac lalu.

Menurut Nurul Fatimah, pada hari kejadian, beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Ketika itu sudah pukul 5.30 petang.

Namun sewaktu sampai di hadapan sebuah stesen minyak di Jambatan Sultan Mahmud, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki meragut beg tangan yang diletakkan Nurul Fatimah di dalam raga motosikalnya.







Beg tangan berwarna putih itu berisi wang sebanyak RM950 yang baru dipinjam Nurul Fatimah daripada majikannya.

Kerana geram, beliau mengejar motosikal dua peragut itu dengan melawan arus di atas jambatan tersebut. Malangnya beliau terlanggar dua buah kereta dari arah hadapan menyebabkannya cedera parah. Dua lelaki itu berjaya melarikan diri dan masih belum ditangkap sehingga hari ini.

Sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Nurul Fatimah umpama berada di persimpangan antara hidup dan mati.

Ujarnya, pada hari kedua, beliau terpaksa diberi ubat tahan sakit dan ubat tidur kerana tidak mampu menahan kesakitan.

Kaki dan tangannya juga terpaksa diikat kerana dia banyak meronta-ronta akibat sakit kesan luka kemalangan.

“Saya pernah dengar mak tanya kenapa jadi begini? Saya sakit ke?,” ceritanya sebak.

Bagaimanapun anak bongsu daripada tujuh beradik ini mengakui beliau tidak mampu menjawab biarpun ketika itu beliau ingin benar menenteramkan ibunya.

“Kasihan mak, saya tahu dia sedih melihat keadaan saya,” katanya yang mengakui masih dapat melihat pelawat yang silih berganti tetapi beliau tidak mampu berkata-kata.

Nurul Fatimah bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu. Biarpun mengakui dirinya kini sudah sihat, namun pergerakannya masih terbatas dengan kesan-kesan parut akibat kemalangan itu.

Badannya susut dan beratnya kini cuma 36 kilogram. Menurut ahli keluarganya, kadangkala beliau terlupa apa yang berlaku.

Kerana trauma dengan kes ragut itu beliau kini sudah tidak berani lagi menunggang motosikal.

'Saya jadi bingung' - Shukery

Kanser pankreas kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain.




“BILA doktor beritahu saya kena kanser, rasa macam ada batu besar hempap kepala saya. Macam-macam perasaan bercampur aduk dalam fikiran saya – risau, takut, sakit.

“Semua bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila doktor menjelaskan kanser tersebut sudah di tahap serius.

“Sebelum ini, saya cuma dengar cerita orang kena kanser, bila terkena pada diri saya sendiri, saya jadi bingung,” ujar pelakon Shukery Hashim yang disahkan mengidap kanser pankreas tahap keempat lewat bulan lalu.

Berusia 55 tahun, Shukery pada awalnya tidak ambil pusing rasa senak yang menyerangnya dan menganggap ia mungkin angin biasa.

Namun, apabila rasa senak sering berulang, ditambah pula dengan pedih, panas dan tidak selesa di bahagian atas abdomen dan belakang, atas nasihat rakan-rakan, dia membuat pemeriksaan di klinik swasta dan doktor mengesyaki dia menghidap batu karang.

“Mula-mula buat pemeriksaan di klinik, doktor kata mungkin batu karang, tetapi doktor suruh saya rujuk kepada doktor pakar di Hospital Selayang.

“Di klinik pakar, saya menjalani pemeriksaan yang lebih khusus dan apabila doktor buat CT scan, doktor memberitahu pankreas saya sudah hitam dan membengkak.

“Saya ditahan di wad dan selepas menjalani beberapa kali pemeriksaan, doktor memberitahu saya mengidap kanser pankreas,” katanya ketika dihubungi Jurnal minggu ini.

Menurut Shukery, semasa dirawat di hospital, satu pembedahan telah dilakukan ke atasnya namun doktor tidak mampu berbuat apa-apa kerana sel kanser sudah merebak ke organ dalaman lain.

“Doktor hanya buka dan tutup saja. Mereka tidak boleh buat apa-apa sebab sel kanser dah merebak ke hempedu dan hati,” katanya.


SEL kanser pankreas sangat mudah merebak ke organ lain seperti hempedu dan hati.



DR. SHAHROL AZMI





Ketika diasak pertanyaan bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Shukery sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu.

“Doktor pun belum dapat mengenal pasti punca, mungkin faktor pemakanan tetapi ia belum dapat dipastikan lagi,” katanya.

Akibat kanser itu juga, beliau kurang selera makan dan berat badannya turun mendadak sejak dua bulan lalu.

“Saya hilang 14 kilogram dalam masa dua bulan. Doktor nasihatkan saya supaya banyak berehat dan kembalikan selera makan supaya ada tenaga untuk lawan penyakit ini, katanya.

Dia yang sebelum ini pernah mengalami masalah jantung tetap mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam apabila berkelapangan dan tidak merokok.

Shukery yang kini sedang berehat di rumahnya memberitahu beliau akan memulakan rawatan kemoterapi pada minggu hadapan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Buat masa ini saya masih berbincang dengan doktor mengenai rawatan susulan di PPUKM. Saya juga tidak menolak rawatan alternatif untuk berubat. Asal ada peluang dan jalan untuk menyembuhkan penyakit ini, insya-Allah saya akan cuba,” katanya.

Mengakhiri perbualan bersama Jurnal pagi itu, Shukery sempat merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan sokongan daripada keluarga dan semua kenalannya.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan. Saya juga tidak putus berdoa agar saya terus diberi kekuatan dan kecekalan untuk menghadapi kesukaran dan boleh sihat seperti dulu,” ujarnya.

Membunuh secara senyap

Menurut Pakar Bedah Am, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Shahrol Azmi Mohd. Yasin, Shukery Hashim menghidap kanser pankreas yang tipikal di mana setiap penghidap mengalami situasi yang sama dari segi simptom dan lewat dikenal pasti.

Kanser pankreas merupakan ‘pembunuh senyap’ yang mana ia tidak menimbulkan simptom atau tanda yang jelas pada peringkat awal.

“Disebabkan itu, penyakit ini kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain,” katanya.

Menurut Dr. Shahrol, kebanyakan punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi faktor-faktor seperti merokok, diabetes, anemia dan pankreatitis kronik mempunyai kaitan rapat yang boleh mengundang risiko kanser ini.

Tambahnya lagi, kekeliruan terhadap simptom pada peringkat awal juga melewatkan proses pengesanan kanser dan mengakibatkan ia tidak dapat dirawat dan dibuang pada peringkat awal.

Sekiranya pesakit mendapat jaundis, ia adalah petanda yang membolehkan kanser dirawat pada tahap awal. Mungkin sel kanser masih kecil dan belum merebak.

Jelas beliau lagi, kanser jenis ini merupakan salah satu kanser yang agresif dan insiden kanser ini semakin bertambah di kebanyakan negara. Bagaimanapun di Malaysia, belum ada statistik yang lengkap mengenai penyakit ini.

Kanser pankreas juga sangat jarang berlaku. Dalam setahun, mungkin ada satu dua kes, itu pun kes yang sudah kritikal.

Kanser ini kebiasaannya menyerang lelaki dan disebabkan ia hanya boleh dikenal pasti pada peringkat serius.

“Ia kerap terjadi pada pesakit lelaki berusia 45 tahun ke atas. Manakala lebih 80 peratus kes berlaku melibatkan pesakit dalam lingkungan umur 60 hingga 80 tahun,” katanya.

Tidak dapat dibuang dengan pembedahan

Menurut Dr. Shahrol, pengesanan peringkat awal amat membantu pesakit kerana ketumbuhan yang kebiasaannya hadir di bahagian kepala pankreas masih boleh dibuang.

Namun, apabila ketumbuhan itu menutup saluran hempedu masalah lain pula yang akan timbul sama ada pesakit akan mendapat kekuningan yang tidak menyakitkan ataupun ketumbuhan itu membentuk sel kanser.

“Sekiranya sel kanser masih kecil dan belum merebak ke organ lain, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang sel tersebut.

“Tetapi bagi kes Shukery, pembedahan yang dilakukan tidak dapat membuang sel kanser kerana ia sudah merebak di hempedu dan hati.

“Apa yang boleh dilakukan dalam pembedahan itu hanyalah untuk merencatkan sel kanser supaya ia tidak terus merebak ke bahagian lain.

“Disebabkan lewat didiagnosis, kebanyakan pesakit hanya mendapat rawatan untuk mengurangkan simptom sahaja,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...