Sunday, May 10, 2009

Pelajar hilang ditemui mati dipercayai dibunuh





TEMERLOH - Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Kerayong, Bera- yang hilang sejak minggu lepas ditemui mati dipercayai dibunuh di kawasan perindustrian Mentakab, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, T. Narenasagaran berkata, Chua Li Yen, 17 (gambar), dipercayai mati dibunuh sejak beberapa hari lepas, dan mayatnya ditemui hampir reput di tepi longkang sebuah kedai kosong oleh orang awam pada kira-kira pukul 3.30 pagi ini.

"Mayat sudah dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat, siasatan juga dijalankan bagi melihat sekiranya kejadian ini membabitkan kes rogol," katanya di sini, semalam.

Narenasagaran berkata, menurut laporan polis sebelum ini, Li Yen dilaporkan hilang pada 1 Mei lepas.

"Beliau dipercayai keluar rumah selepas bapanya Chua Yun Jiang, 43, bersama ibu dan empat adiknya pergi bercuti di Port Dickson pada 30 April lepas," katanya.

Narenasagaran berkata, selepas pulang bercuti pada malam 1 Mei, bapa Li Yen mendapati anaknya itu sudah tiada di rumah dan tidak menjawab telefon bimbitnya ketika dihubungi.

- Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Pil tiroid punca kerosakan hati

PENGGUNAAN pil bagi merawat tiroid pada kanak-kanak boleh menyebabkan kegagalan hati untuk berfungsi. Menurut Donald R. Mattison dari Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia Kebangsaan AS, kebanyakan doktor menggunakan propylthiouracil atau methimazole bagi merawat kanak-kanak yang menghidap penyakit Graves di samping pembedahan serta iodin radioaktif.

EKSTRA: Kajian Archives of Pediatrics and Adolescent Medicine mendapati ada hubung kait antara pengawalan diri dan kenaikan berat badan di kalangan kanak-kanak.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

Penemuan

TAHUKAH anda mengenai kebaikan avortemin, penemuan terbaru dalam bidang imbasan ultra bunyi? Bagaimana pula dengan risiko oral seks serta bahaya tempiasan alkohol? Ikuti ruangan Penemuan pada minggu ini untuk jawapannya.

Avortemin hilangkan parut

PENYELIDIKAN dibuat terhadap sejenis ubatan khas untuk menghilangkan kesan parut yang kini terbukti berkesan, menurut penyelidik di United Kingdom.




Ubat tersebut, Avotermin, akan disuntik ke bahagian parut yang akan bertindak mengurangkan kesannya tanpa meninggalkan tanda merah dan kesan jelas.

EKSTRA: Kekurangan pengambilan vitamin A dan C mampu mengundang risiko asma menurut satu kajian yang dijalankan selama 30 tahun. Menurut penyelidik dari Universiti Nottingham, terdapat peningkatan sebanyak 12 peratus berlakunya risiko asma ke atas mereka yang kekurangan dua jenis vitamin tersebut.

Imbas strok kanak-kanak

SATU pengimbas ultra bunyi yang membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit berkaitan darah, sickle, juga didapati mampu mengesan kehadiran strok.

Menurut Dr. Heather J. Fullerton dari Universiti California, semenjak mesin pengimbas ultrabunyi Transcranial Doppler (TCD) itu digunakan, kejayaan mengurangkan kejadian strok pada kanak-kanak mencapai hampir 80 peratus.

EKSTRA: Satu kajian di Perancis yang dikeluarkan dalam jurnal perubatan Lancet Neurology mendapati penggunaan acetaminophen pada suhu tubuh normal mampu mengurangkan risiko serangan strok pada peringkat pertama.

Ubat tersebut turut digunakan bersama Crestor, Lipitor dan Zocor dalam mengurangkan kandungan statin kolesterol.

Seks oral punca kanser tekak

PARA penyelidik memberi amaran bahawa sejenis virus dapat menyebabkan kanser tekak bagi mereka yang gemar melakukan seks oral. Menurut jurnal perubatan New England, risiko virus ini merebak adalah sembilan kali lebih tinggi bagi mereka yang melakukan seks oral dengan enam pasangan atau lebih.




EKSTRA: Wanita yang melahirkan anak ketika usia remaja berisiko menjadi gemuk berbanding rakan mereka yang tidak mengandung dalam usia yang sama. Dr. Erica P. Gunderson dari Kaiser Permanente di Oakland, California, AS berkata, keadaan ini berlaku kerana perkembangan remaja itu ketika melahirkan anak adalah tinggi dan sekali gus mempercepatkan proses kegemukan yang sepatutnya lambat berlaku.

Tempiasan alkohol sebabkan kanser

MENURUT hasil penyelidikan Institut Kebangsaan mengenai Alkohol dan Penyalahgunaan Alkohol Amerika Syarikat, tempiasan alkohol pada muka peminumnya mampu mengundang kanser gullet.




Enzim yang terdapat pada kulit menjadi kemerahan serta kesan ruam serius apabila ia bertindak balas dengan alkohol.

EKSTRA: Kaedah akupuntur yang digunakan bagi menghilangkan rasa panas yang dikaitkan dengan menopaus sebenarnya tidak membantu mengurangkannya, menurut ketua penyelidik dari Institut Perubatan Oriental Korea, Dr. Myeong Soo Lee.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Jangan jauhi matahari

Kekurangan vitamin D punca jisim tulang warga kota menyusut dengan pantas.


MENDEDAHKAN kulit selama 10 minit kepada sinaran matahari pagi dapat menghasilkan vitamin D yang mencukupi.


“KITA mungkin menitikberatkan pengambilan kalsium namun seringkali kita terlupa akan kepentingan vitamin D dalam penjagaan kesihatan harian,” ulas Pakar Nutrisi dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU), Prof. Madya Dr. Winnie Chee.

Ujarnya, tanpa vitamin D, penyerapan kalsium dalam tubuh sukar dilakukan. Malah, dalam kes-kes ekstrem, ia akan mempercepatkan berlakunya penyusutan jisim dalam tulang atau dikenali sebagai osteoporosis.

Berdasarkan penyelidikan Winnie, tubuh rakyat Malaysia lazimnya tidak menghasilkan vitamin D yang mencukupi kerana mereka gemar menjauhkan diri daripada sinaran matahari.

“Saya akui ramai antara kita terutama wanita suka berjoging dan bersenam. Namun faktor pemilihan tempat dan masa membuatkan mereka tidak sihat secara total,” katanya.

Menurut Winnie, bersenam pada awal pagi iaitu sebelum matahari naik serta lebih selesa dilakukan di dalam gimnasium tertutup membuatkan penghasilan vitamin D secara semula jadi sukar berlaku.

Jelasnya lagi, vitamin D3 yang penting untuk kulit terhasil apabila 7-dehydrocholestrol bertindak balas dengan ultra-violet dalam kiraan gelombang antara 270-300 nanometer (nm).


DR. WINNIE CHEE


“Walaupun kehadiran gelombang ini hanya selama 10 hingga 15 minit semasa matahari terbit, pendedahan terhadapnya amat penting untuk pembentukan vitamin D,” ungkapnya.

Winnie turut mendedahkan bahawa wanita di bandar, terutama di Kuala Lumpur, bukan sahaja mengalami penyusutan jisim tulang malah vitamin D.

Tanpa pendedahan yang secukupnya terhadap matahari, kandungan vitamin D dalam tubuh akan berkurangan dengan pantas.

Faktor ini, secara tidak langsung membuktikan terdapat kaitan antara kehilangan kalsium dalam tubuh dan vitamin D. Tanpa kombinasi antara kedua-duanya, kesihatan tulang mudah terjejas.

“Meskipun terdapat suplemen vitamin D di pasaran, namun mendapatnya secara semula jadi amat penting. Justeru, jangan takut untuk terkena pancaran matahari, terutama pada awal pagi, tegasnya.

Lebih daripada itu, vitamin D juga didapati mampu menjadi agen pelindung kepada mereka yang menghidap kanser khususnya kanser kolon, prostat, dan payu dara.

Walaupun kajian masih dilakukan, namun keputusan awal menunjukkan terdapat kesan positif dalam membantu melindungi orang ramai daripada risiko kanser.

Dalam pada itu, pengambilan vitamin secara berlebihan juga memberi impak tersendiri pada kesihatan seseorang seperti muntah, pening, lemah anggota badan dan kehilangan berat badan.

“Lebih membimbangkan, dos berlebihan ini akan meningkatkan tahap kalsium dalam darah pesakit termasuk mengakibatkan ritma jantung yang abnormal dan kekeliruan.

“Jadi, amat mustahak vitamin D diambil mengikut dos yang betul dan diawasi serta dinasihati oleh pakar kesihatan,” katanya.

SHANIKA ABDULLATIB

Sumber vitamin D

MAKANAN:

Daging, ikan

- Salmon, tuna, mackerel
- Minyak ikan adalah sumber terbaik vitamin D iaitu sebanyak 1,360 IU dalam setiap hidangan
- Telur (20IU)
- Keju (12IU)
- Susu tanpa lemak (98IU)
- Bijirin segera (40IU)

Pendedahan pada matahari

Sinaran lembayung (UV) radiasi B dengan gelombang antara 290 hingga 315nm mampu membenam ke dalam kulit lalu menukarkan 7-dehydrocholesterol kepada pravitamin D3 yang akhirnya akan menjadi vitamin D3.

Radiasi UVB tidak dapat melalui cermin. Jadi pendedahan matahari di dalam bilik melalui tingkap tidak akan menghasilkan vitamin D.

* IU - Unit Antarabangsa

Sumber: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Gagal rancang beri tekanan kepada warga tua


KESIHATAN fizikal dan mental mesti dijaga seiring dengan peningkatan usia.



DR. ANG KIM TENG





TIDAK dinafikan, kesedaran terhadap kesihatan fizikal semakin meningkat di kalangan warga emas. Malah, di mana-mana saja, warga emas dilihat semakin menitikberatkan aspek pemakanan serta melakukan senaman secara konsisten bagi menghindari penyakit seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Namun tidak begitu apabila bercakap tentang kesihatan mental.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr. Ang Kim Teng, kegagalan menyiapkan benteng pertahanan mental sebelum bersara adalah antara faktor utama warga emas kerapkali mengalami tekanan dan terdedah kepada kemurungan.

“Kesilapan utama ialah selepas bersara baru hendak merancang. Malah menerusi pemerhatian dan kajian saya, ramai yang hanya mengambil berat mengenai kesihatan fizikal berbanding mental,” katanya.

Ujar Kim Teng, sudah tiba masanya kesihatan mental bagi mereka yang menuju ke usia emas ini dititikberatkan. Jelasnya, perkara ini bukan sukar untuk dilakukan walaupun sudah mencecah umur 70 tahun.

Jelasnya lagi, kesihatan mental yang tidak dijaga akan membawa kepada gangguan emosi yang parah berikutan usia mereka yang semakin lanjut.

“Dengan menanam pemikiran positif, secara tidak langsung, warga emas ini menguatkan sistem imunisasi, menjadi lebih gembira dan kuat dalam menghadapi hari tua,” ujarnya pada pelancaran program Golden Third Age (G3A).

Bukan sekadar itu, kurang kesedaran mengenai kekuatan kuasa emosi turut menjadi punca mengapa ramai warga emas di Malaysia mudah menghadapi tekanan serta berasa kesunyian.

Kim Teng juga menambah, jangan terkejut sekiranya idea membunuh diri juga wujud dalam pemikiran warga emas akibat gangguan emosi yang tidak dirawat dari awal.

“Dengan jumlah warga emas yang mencecah dua juta orang, jelas sekali Malaysia sedang menuju ke arah penuaan penduduk yang dijangka melebihi 10 peratus menjelang tahun 2025.

“Justeru, tanpa kekuatan emosi dan fizikal, nescaya kita tidak dapat mengharungi usia emas dengan sempurna,” tegasnya yang berpendapat tiada kerja yang khusus, anak-anak yang telah besar serta berpindah ke persekitaran baru juga menjadi sebahagian faktor kepada kemurungan dan gangguan emosi lain yang dihadapi oleh golongan ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0419&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Penemuan

KETAHUI mengenai bahaya rawatan ulser yang mengandungi garam, kebaikan kacang walnut, penemuan vaksin JE dan kesan buruk akibat kurang tidur dalam ruangan penemuan minggu ini.

Ubat ulser undang sindrom Reye

RAWATAN yang mengandungi garam untuk ulser mulut dan kesakitan ketika tumbuh gigi bagi kanak-kanak berumur di bawah 16 tahun didapati mengundang risiko sindrom Reye.

Menurut Agensi Pengeluar Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) di United Kingdom, garam salicylate mempunyai kesan yang sama seperti aspirin.

Sindrom Reye sangat jarang berlaku namun ia penyakit itu sangat serius kerana boleh menjejaskan otak dan hati.

EKSTRA: Menurut American Journal of Clinical Nutrition, susu ibu yang mengandungi kurang protein berbanding susu formula memberi jawapan mengapa bayi yang menyusu menggunakan botol lebih cenderung mengalami obesiti.

Kacang walnut halang kanser

RISIKO barah payu dara dapat dikurangkan dengan memakan kacang walnut. Menurut Dr. Elaine Hardman dari Sekolah Perubatan Universiti Marshall, AS, kacang walnut mengandungi omega-3, asid lemak, antioksida dan phytosterols yang mampu mengurangkan risiko kanser tersebut.




EKSTRA: Satu kajian oleh Universiti Washington mendapati penggunaan ubat penahan sakit seperti ibuprofen tidak mampu menghalang penyakit Alzheimer.

Vaksin JE ditemui

VAKSIN Ixiaro yang digunakan untuk mengubati Japanese encephalitis (JE) yang berpunca daripada virus pembawaan nyamuk kini telah terbukti berkesan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat

Walaupun begitu, suntikan dua dos vaksin ini masih meninggalkan kesan sampingan seperti sakit kepala dan otot, bengkak serta keperitan pada bahagian yang disuntik.




EKSTRA: Ketua penyelidik Universiti Minnesota, Kristin Anderson, berkata, mereka yang sering memakan daging merah yang dipanggang berpotensi sehingga 60 peratus untuk menghidap kanser pankreas.

Gemuk kerana kurang tidur

MEREKA yang mendapat tidur yang cukup pada waktu malam dapat menghalang penyakit diabetes sehingga lima kali ganda.

Ujar seorang profesor di Universiti Buffalo, New York, Lisa Rafalson, kajian itu membuktikan terdapat hubungan jelas antara penyakit dan kekurangan tidur terutama di kalangan mereka yang telah berusia.




EKSTRA: Lelaki yang mengambil banyak daging berproses dan tenusu tinggi lemak berpotensi mempunyai sperma tidak berkualiti.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Sakit bila menelan

"Kesukaran menelan mendedahkan pesakit kepada risiko kanser esofagus.







KEBELAKANGAN ini Hasan, 56, seperti fobia mahu makan. Bukan kerana paras gula, kolestrol atau tekanan darahnya naik mendadak tetapi dia tidak sanggup berdepan dengan cabaran besar menelan makanan.

Setiap kali menjamu selera, Hasan pasti akan berasa makanannya tersangkut di belakang dada hingga menyebabkan rasa ngilu dan sakit.

Senario yang berlaku pada Hasan merupakan kes yang seringkali dihadapi oleh golongan lanjut usia dan kanak-kanak yang gemar menelan benda asing seperti duit syiling, pin, alat permainan atau objek kecil yang boleh menyekat kerongkong mereka.

Dikenali sebagai disfagia, pesakit akan berdepan dengan kesukaran menelan makanan.

Menurut Profesor Surgeri dan Pakar Pembedahan yang juga Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kemasukan Minima, Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Jasmi Ali Yaakub, gejala disfagia ini boleh mengundang rasa sakit dan dalam beberapa kes, pesakit tidak boleh menelan langsung.

“Kebanyakan kes disfagia atau kesukaran menelan tidak begitu membimbangkan. Ia boleh terjadi apabila anda makan terlalu cepat atau tidak mengunyah makanan dengan sempurna.

“Bagaimanapun, jika ia dibiarkan berlanjutan dan kesukaran menelan menjadi semakin serius, ia mungkin menandakan ada sesuatu yang tak kena.

“Bagi golongan lanjut usia, kanser esofagus adalah penyebab utama disfagia,” katanya.

Terang Dr. Jasmi, disfagia terjadi apabila terdapat masalah dengan mana-mana bahagian proses menelan makanan.

“Apabila menelan, lidah menolak makanan ke bahagian belakang kerongkong dan otot-otot akan mengecut dengan cepat.

“Makanan kemudiannya dialihkan melalui farinks iaitu kawasan yang bersambung dari bahagian belakang kerongkong ke bahagian atas esofagus anda.

“Makanan kemudiannya akan bergerak masuk ke dalam esofagus iaitu tiub yang menyambungkan kerongkong ke perut anda.

“Lingkaran otot-otot sfinkter di bahagian atas dan bawah esofagus akan terbuka setiap kali anda menelan makanan untuk membiarkan makanan berlalu dan akan cepat-cepat tertutup.

“Bahagian bawah sfinkter pula akan membenarkan makanan memasuki perut anda dan menyimpan asid perut serta menghalangnya daripada naik semula ke dalam esofagus. Otot-otot di dinding esofagus akan membantu menolak makanan ke arah perut anda,” jelasnya.

Punca

Terdapat pelbagai punca yang boleh mendatangkan kesukaran untuk menelan sama ada di peringkat pangkal kerongkong atau dada.

Antara punca yang dominan ialah proses penuaan, penyakit achalasia iaitu kerosakan sfinkter bawah esofagus dan tumor esofagus.

Bahan asing seperti makanan atau alat permainan juga boleh menyebabkan disfagia, contohnya sebiji gula-gula keras, seketul daging yang besar atau objek-objek lain yang tidak sepatutnya dimasukkan ke mulut.

Bagi orang dewasa yang memakai gigi palsu, mereka terdedah kepada risiko sukar mengunyah makanan dengan betul dan ini bakal memberi risiko berlakunya penyekatan di kerongkong atau esofagus anda. atau objek-objek kecil yang boleh tersekat di kerongkong mereka.

Simptom

Bagi mengenal pasti sama ada anda memiliki penyakit kesukaran menelan ataupun tidak, anda boleh merasainya apabila rasa sakit ketika menelan, langsung tidak boleh menelan, tercekik atau tersedak sewaktu makan.

Perhatikan juga situasi makanan rasa tersekat di kerongkong, dada atau belakang dada dan tekanan atau rasa sakit pada bahagian dada.

Selain itu, simptom disfagia yang lain ialah pesakit muntah atau mengeluarkan semula makanan, sering rasa pedih ulu hati, sering mengeluarkan bunyi gogokan di kerongkong dan kehilangan berat badan luar biasa.


DISFAGIA terjadi apabila terdapat masalah pada mana-mana bahagian proses menelan makanan.


Risiko

Menurut Dr. Jasmi, kes disfagia banyak dilaporkan berlaku di Malaysia namun sekiranya penyakit itu dikenal pasti, ia boleh dirawat.

Bagi penyakit achalasia dan kanser esofagus, kaedah yang biasa digunakan ialah pembedahan.

“Apabila mendapat disfagia, anda tidak dapat mengambil makanan dan minuman yang secukupnya untuk kekal sihat dan kesannya pesakit berisiko untuk mengalami malnutrisi dan dehidrasi.

“Jika makanan atau cecair memasuki rongga udara sewaktu anda cuba untuk menelan, masalah respiratori atau jangkitan akan berlaku seperti pneumonia atau infeksi respiratori,” katanya.

Tambah beliau, jika wujud sesuatu halangan untuk pesakit menelan sehingga mengganggu kelancaran pernafasan, pesakit perlu diberi pertolongan cemas.

“Kesukaran menelan makanan yang sedikit atau jarang berlaku mungkin tidak perlu dirisaukan tetapi jika kesukaran menelan berlanjutan khususnya bagi warga emas ia menandakan masalah yang serius dan boleh membawa kepada kanser esofagus.

“Sekiranya anda mendapati orang sekeliling terutamanya warga emas dan kanak-kanak bermasalah sewaktu menelan, segera bawa mereka berjumpa dengan doktor.

“Ujian khusus dapat mengenal pasti jenis dan sebab disfagia dan merawatnya sebelum lebih melarat,” saran beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...