Wednesday, June 3, 2009

Membunuh dalam tidur

Somnambulisme adalah antara sindrom gangguan tidur yang pelik. Dalam mod lena, penderita boleh bercakap, berjalan-jalan, memandu kenderaan ataupun mencederakan orang lain tanpa disedarinya.


DALAM keadaan separuh sedar ketika tidur, macam-macam boleh berlaku. - Gambar hiasan





APAKAH agaknya reaksi sekalian yang hadir di mahkamah jika seorang yang dituduh membunuh akhirnya dibebaskan dengan alasan bahawa perbuatan itu dilakukan ketika tertuduh sedang tidur?

Tentu sekali menggemparkan! Masakan tidak, keputusan itu seperti tidak masuk akal.

Namun, itulah yang pernah berlaku di Manchester, England pada tahun 2005 apabila Jules Lowe terlepas daripada hukuman membunuh bapanya sendiri.

Lelaki itu terselamat selepas hakim dan jemaah juri mendengar penerangan daripada seorang saksi pakar yang mengesahkan bahawa tindakan Lowe adalah di bawah pengaruh salah satu gangguan tidur atau parasomnia yang di luar kawalan dan kesedarannya.

“Di Malaysia, pembelaan seperti itu boleh diguna pakai. Namun, pakar tersebut perlu meyakinkan mahkamah melalui keterangan, laporan dan bukti kukuh bagi membuktikan bahawa orang yang dibela itu membunuh tanpa niat,” ulas seorang pengamal undang-undang, Zamri Idrus ketika dihubungi Jurnal.

Katanya, perkembangan dalam bidang kajian saintifik dan teknologi perubatan semakin banyak membantu menyelesaikan sesi perbicaraan kes-kes rumit.

Menurut Konsultan Psikiatrik di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd Salleh, gangguan jenis ini memang boleh mengakibatkan seseorang penderita melakukan perkara berisiko tinggi.

“Sebelum mencedera atau menyebabkan kematian orang lain, gangguan ini pada awalnya menyebabkan perbuatan pelik seperti bangun berjalan, bercakap, mengendali peralatan dan memandu kenderaan dalam keadaan tidur.

“Lebih tepat, ia dipanggil somnambulisme,” kata Nor Hamidah.







Ketika dalam fasa tidur, saraf dan otot manusia sepatutnya turut dalam keadaan rehat walaupun otak masih terus berfungsi.

Kes gangguan tidur yang teruk seperti ini selalunya disebabkan oleh proses aktif sistem saraf dan juga otot yang bertindak balas seiring dengan proses yang bermain dalam otak.

Stres

Somnambulisme berpunca daripada beberapa kemungkinan seperti kehilangan waktu tidur, sedang mengambil ubat-ubatan yang berkaitan dengan saraf, pengambilan alkohol berlebihan, sedang menderita sesuatu penyakit ataupun mengalami gangguan jiwa.

“Gangguan ini turut didorong stres yang tercetus daripada kejadian menakutkan. Ia boleh juga terjadi kepada seseorang yang telah mengalami trauma seperti kehilangan orang yang dikasihi, kemalangan, peperangan mahupun bencana alam,” terangnya.

Kalau mengenang pementasan Shakespeare juga, pasti penonton mengingati babak Lady Macbeth yang berjalan dalam tidur disebabkan kerunsingannya kerana terlibat dalam pembunuhan bapa mertuanya.

Biarpun seseorang penderita somnambulisme sudah terlibat dalam perbuatan yang lazimnya hanya dapat dibuat ketika seseorang sedang berjaga, mereka tidak dapat mengingat kembali apa yang telah dialami atau dilakukannya.

“Pada peringkat kanak-kanak, berjalan sambil tidur berkait rapat dengan faktor keletihan melampau, kurang tidur atau kerana perubahan yang terjadi di persekitaran tempat tinggal mahupun sekolah,” kata Nor Hamidah yang tidak menolak kemungkinan masalah somnambulisme boleh diwarisi dalam keturunan seseorang.




Kebiasaan yang berlaku pada peringkat ini jika tidak diberi perhatian akan melarat sehingga ke peringkat dewasa.

Pendekatan medikal yang selalu dipraktikkan adalah sesi kaunseling yang disertai pemberian ubat-ubatan yang menenangkan sistem saraf.

Dirasuk

Soalan dirasuk turut Jurnal ajukan kepada pakar rawatan tradisional yang mendakwa dirinya sangat arif dalam hal-hal pelik.

Ketika pakar perubatan menjelaskan secara terperinci dari sudut biologi, medikal, punca dan kaedah rawatan, bomoh itu pula menjawab: “Dia mungkin dirasuk sesuatu yang berminat untuk mendampinginya.

“Jangan tunggu lama, dia perlu dibawa ke sini untuk diubati. Kita perlu singkirkan kuasa itu dari dalam tubuhnya. Jangan fikir dulu tentang bayaran, itu kita bincang kemudian.”

Antara kedua-duanya, kepada siapakah agaknya masalah ini akan dirujuk oleh majoriti masyarakat kita hari ini?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0531&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Dilema 'orang ketiga' Dilema


WAHEEDA


KEHADIRAN orang ketiga sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga selebriti. Kemunculan pelakon Memey Suhaiza menyebabkan Norman Hakim dan Abby Abadi bercerai.

Pelakon Fasha Sandha pula dicop pengacau rumah tangga Nora Danish dan Rizal hingga akhirnya mereka bercerai. Terbaru, penyanyi Waheeda pula dilibatkan dalam pergolakan rumah tangga Akhil Hayy dan Maizawati Zainal.

Bagaimanapun, menuding jari kepada seseorang memanglah mudah, namun menjadi orang yang dituduh menyebabkan rumah tangga orang lain runtuh adalah satu pengalaman yang menyakitkan.

“Sewaktu saya mengalami keadaan ini, macam-macam perasaan yang saya rasa.

“Orang luar pula sibuk memberi pandangan malah tohmahan. Saya pernah berada dalam keadaan itu dan saya faham perasaan mereka yang digelar orang ketiga,” luah Memey kepada Jurnal.

Menurut Memey, apa yang beliau lakukan ketika itu ialah berdiam diri kerana terlalu banyak memberi kenyataan akhbar akan merumitkan lagi keadaan.

“Masalah timbul apabila kita tidak berhadapan dengan pihak yang berkenaan tetapi hanya mendapat tahu melalui media.

“Orang ramai pula membuat pelbagai spekulasi dan mereka hanya nampak salah orang ketiga,” katanya yang mengaku sudah puas menangis akibat tekanan perasaan. Pada masa itu, kata Memey, beliau sekadar mendekatkan diri dengan keluarga sebab mereka yang paling penting dalam hidupnya.

Bagi Waheeda, beliau tetap menganggap dirinya bukan penyebab kekecohan rumah tangga Akhil dan Maizawati.

“Terpulang orang hendak kata apa pada saya. Saya tak kisah jika dikatakan perampas atau menjadi punca perceraian mereka. Lagipun saya sudah lali dengan tohmahan orang,” komen pelantun lagu Wassini ini.

Beliau menambah: “Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya reda.”

Walaupun tidak menuduh Waheeda, Maizawati mengakui kehadiran pihak ketiga menjadi salah satu faktor kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga.

“Ya, sedikit sebanyak faktor orang ketiga menyebabkan keruntuhan rumah tangga seseorang.

“Saya tidak berani untuk memberi pandangan lanjut, tetapi saya percaya bahawa dia (orang ketiga) memainkan peranan dalam kemusnahan rumah tangga,” katanya.




Teman sosial

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman mengakui kehadiran orang ketiga seringkali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.

“Namun orang ketiga bukan punca utama perceraian. Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada tahun 2004, cuma 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.

“Sebaliknya, tiada persefahaman antara pasangan, iaitu sebanyak 42 peratus, merupakan punca utama perceraian,” jelas Aminah.


FASHA SANDHA paling hangat dikaitkan sebagai punca pergolakan rumah tangga orang lain.


Tambah beliau, isu main kayu tiga atau curang semakin mudah berlaku apabila pasangan mengambil kesempatan atas kemudahan teknologi telekomunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), mesej bergambar (MMS) dan laman jaringan sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster untuk menambah kenalan.

“Mereka mungkin teman profesional yang akhirnya menjadi teman sosial, rakan sekerja atau orang yang baru dikenali tetapi mempunyai keserasian semasa bersama.

“Apabila wujud keadaan seseorang tertarik atau ditarik seseorang, konflik mula timbul di antara pasangan suami isteri walaupun berpunca daripada perkara remeh.

“Pada tahap ini, suami atau isteri mula mencipta alasan untuk mereka mencari pasangan hidup yang lebih sempurna,” kata Aminah.

Penceramah agama yang juga bekas peguam, Abdul Hakim Othman berpendapat majoriti perceraian berlaku disebabkan oleh pihak suami atau isteri tidak memahami pasangan masing-masing.

“Kadang-kadang wanita memohon cerai disebabkan emosi dan tidak sanggup berkongsi kasih dengan madu. Namun pada pihak suami mungkin ada kaedah lain seperti berpoligami.

“Poligami sering dipandang negatif kerana pelakunya yang tidak bertanggungjawab, bukan disebabkan konsep poligami itu sendiri,” ujarnya yang menafikan pernah menjadi peguam kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.

Dalang boleh dipenjara 6 bulan

TIMBALAN Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mendedahkan terdapat peruntukan dalam undang-undang syariah bahawa dalang yang menyebabkan perceraian boleh disabit kesalahan di Mahkamah Syariah.

“Enakmen jenayah ini termaktub di setiap negeri. Malah keluarga sendiri mahupun mertua juga boleh didakwa kalau ada cukup bukti.

“Jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh didenda RM1,000 atau penjara selama enam bulan ataupun kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Bagaimanapun, Musa memberitahu, enakmen jenayah itu hanya boleh diguna pakai selepas berlaku perceraian.

“Mungkin sebab itulah ramai yang tidak ambil kisah kerana perceraian telah pun berlaku. Jadi apa lagi nak dikecohkan.

“Bahkan saya yakin sepanjang enakmen ini dikuatkuasakan, belum ada kes seperti itu dibicarakan,” katanya yang mendedahkan 60 peratus kes perceraian dan permohonan cerai yang diterima beliau disebabkan penglibatan pihak ketiga.

“Namun harus diingat pihak ketiga ini bukan sahaja individu lain seperti kekasih suami mahupun isteri tetapi juga keluarga mertua sendiri.

“Ini berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes melibatkan permohonan cerai dan perceraian pasangan beragama Islam,” katanya yang berpengalaman selama lebih 10 mengendalikan kes-kes Mahkamah Syariah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAMLI

Gelatin miliki multifungsi

Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan dan ia menjadi pelengkap kepada sesuatu dalam pelbagai industri.




IA dihasilkan melalui proses hidrolisis daripada kulit, tulang dan usus haiwan mamalia seperti babi, lembu atau kerbau. Justeru, gelatin merupakan protein tulen yang dianggap sebagai bahan paling ajaib di dunia.

Ini kerana boleh dikatakan, tanpa gelatin kehidupan kita tidak akan lengkap kerana bahan ini mempunyai pelbagai fungsi yang sukar dinafikan kehebatannya.


KAPSUL gel lembut dalam produk farmaseutikal menggunakan gelatin untuk dihasilkan.


Menurut Timbalan Dekan Fakulti Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Jamilah Bakar, keunikan fungsi gelatin menyebabkan ia tidak dapat ditandingi oleh mana-mana bahan lain di dunia.

"Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan dan ia menjadi pelengkap kepada sesuatu dalam pelbagai industri.

"Contohnya dalam industri makanan, gelatin digunakan untuk berfungsi sebagai penebal, pelekat, pengemulsi, egen pembuih, penahan lembapan, pembaik tekstur dan egen pengikat yang menjadikan sesuatu makanan kelihatan dan dilihat lebih baik.

"Oleh itu, tanpa gelatin sesetengah produk mungkin tidak dapat dihasilkan," kata Jamilah mengenai kehebatan gelatin ketika ditemuiKosmo! di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.


PROSES keluar dan masuk aiskrim dari peti sejuk tidak menjejaskan rasa dan kehalusan tekstur jika aiskrim mempunyai gelatin.


Beliau telah menjalankan kajian ke atas gelatin yang diekstrak daripada sisik ikan patin sejak sembilan tahun lalu dan masih meneruskannya sehingga hari ini.

Berdasarkan sejarah, gelatin telah digunakan oleh manusia sejak beratus-ratus tahun lalu dalam aspek pemakanan di negara-negara Eropah.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, kegunaan gelatin juga telah diperluaskan ke dalam industri tertentu seperti farmaseutikal, kosmetik, produk kesihatan dan sebagainya.

"Ini kerana gelatin merupakan bahan semula jadi yang tidak terjejas dengan apa juga suhu. Sama ada dalam suhu yang paling sejuk di bawah paras negatif darjah celsius hinggalah pada suhu paling panas, ia langsung tidak terkesan.

"Sebab itulah, jika sesuatu bahan dicampurkan gelatin, ia akan sentiasa kekal seperti sewaktu dibeli. Contoh paling mudah ialah aiskrim. Jika tiada gelatin, aiskrim tersebut akan mudah cair dan teksturnya bertukar menjadi kasar apabila melalui proses dikeluar dan dimasukkan ke dalam peti sejuk berulang kali.

"Dengan penggunaan gelatin di dalam aiskrim, ia akan menjadi agen pembaik tekstur dengan memekatkan aiskrim agar lebih tahan lama dan sedap dimakan," ujar Jamilah sambil menambah gelatin mudah dihadam, rendah kalori dan tidak mengandungi kolesterol walaupun diambil dalam jumlah yang banyak.


CARTA menunjukkan kira-kira 500,000 ribu ekor haiwan bovine diperlukan bagi tempoh setahun untuk menghasilkan 1,500 tan metrik gelatin.


Selain daripada aiskrim, barang makanan yang biasa menggunakan campuran gelatin adalah jeli, coklat, gula-gula lembut, marshmallow,toffee, gula-gula getah, yogurt, keju, mentega dan produk daging.

Bagi industri farmaseutikal, gelatin digunakan dalam pembuatan kapsul keras, kapsul lembut, tablet, serum gantian dan suntikan manakala dalam industri kosmetik pula, ia termasuklah produk penjagaan kulit, alat solek, pengilat kuku dan krim muka.

Tidak ketinggalan, industri fotografi turut menggunakan gelatin dalam menghasilkan filem gambar, kertas cetak, filem x-ray dan sebagainya. Sementara itu, penggunaan gelatin juga melibatkan industri teknikal dan sukan seperti pengeluaran kertas, pembuatan kotak, mancis dan paintball.


BUKAN sahaja krim wajah atau gel lembut malah mancis juga memerlukan gelatin sebagai pelengkap produk.






GELATIN bertindak sebagai agen pengikat dalam tablet ubat-ubatan.



AISKRIM yang tidak mengandungi gelatin mudah cair dan mempunyai tekstur yang kasar. - Gambar hiasan



GULA-GULA marshmallow termasuk antara produk makanan yang mempunyai gelatin.


Dalam pada itu, Prof. Abd. Karim Alias, Timbalan Dekan Bahagian Penyelidikan dan Pengajian Siswazah dari Fakulti Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) pula berkata, terdapat dua jenis gelatin yang dihasilkan di seluruh dunia iaitu jenis A dan B.

"Gelatin jenis A biasanya terdiri daripada sumber haiwanporsine atau tidak halal iaitu babi. Gelatin jenis ini diproses menggunakan asid dan ia boleh menghasilkan kuantiti gelatin yang banyak dan berkualiti.

"Untuk gelatin jenis B pula, ia diproses menggunakan alkali atau air kapur dan menggunakan sumber tulang serta kulit-kulit haiwan bovineseperti lembu, kambing dan kerbau.

"Bagaimanapun, gelatin yang dihasilkan daripada haiwan-haiwan ini agak sedikit kuantitinya berbanding dengan babi. Justeru, masalah yang timbul dalam kalangan umat Islam adalah bagaimana mengetahui produk gelatin yang digunakan itu halal atau tidak?

"Ini merupakan persoalan penting yang harus diteliti kerana kebanyakan daripada kita tidak menyedari bahawa adakah gelatin yang digunakan itu disahkan halal atau sebaliknya memandangkan kita kurang mengambil berat mengenai masalah tersebut," jelas Abd. Karim.

Tambahnya, sehingga kini Malaysia masih belum dapat menghasilkan gelatin sendiri. Semua gelatin yang ada merupakan produk yang diimport dari luar negara.

Justeru, dengan peningkatan populasi umat Islam hari ini, permintaan terhadap gelatin halal juga perlu diutamakan.

"Harus diingat, jika sumber gelatin diambil daripada haiwan halal seperti lembu, kerbau atau kambing, tetapi cara penyembelihan haiwan tersebut tidak menepati syariat Islam, ia tetap daripada sumber yang haram," jelas Abd. Karim yang banyak menjalankan kajian menghasilkan gelatin dari sumber lain seperti ikan dan tumbuh-tumbuhan.

Apa yang membuatkan gelatin begitu istimewa ialah ia mengandungi 84 hingga 90 peratus protein tulen, lebih kurang dua peratus garam mineral dan selebihnya adalah air.

Disebabkan kandungannya itulah, maka gelatin tidak mempunyai kolesterol dan bahan pengawet atau aditif berbanding dengan agar-agar, gam Arab dan gam locus yang mengandungi karbohidrat.

Antara nama gelatin yang biasa digunakan pada label sesuatu produk adalah gelatin, gelatin halal, bovin gelatin, gum base, pengemulsi, penstabil dan E441.

Proses untuk menghasilkan gelatin mengambil tempoh yang agak lama. Terdapat tujuh langkah yang perlu dilakukan sebelum gelatin berjaya dihasilkan iaitu proses pra-rawatan, direndam dalam asid atau alkali, diekstrak, pembersihan, kawalan kualiti, pensterilan dan pengeringan.

Kesemua langkah itu mengambil masa 60 hingga 80 hari untuk menghasilkan satu lot gelatin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Gelatin halal Halagel

Halagel mengimport gelatin halal dari negara Pakistan yang seratus peratus dihasilkan oleh orang Islam.


SYARIKAT Halagel (M) Sdn. Bhd., mempunyai visi untuk menyediakan produk halal untuk umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.


BAGI umat Islam, mencari yang halal merupakan tuntutan Fardu Ain yang wajib dilakukan tidak kira dalam apa jua aspek kehidupan.

Pemakanan, contohnya menjadi antara faktor utama yang perlu dititikberatkan dalam membina dan melahirkan sebuah keluarga bahagia selaras dengan keperluan syarak.

Ini kerana melalui pengambilan makanan yang tidak diketahui sumbernya sama ada halal atau haram, ia boleh menyebabkan berlakunya kepincangan dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan juga masyarakat.

Di samping itu, masyarakat juga harus peka dengan setiap kandungan atau bahan yang digunakan dalam setiap makanan yang dimakan bagi memastikan ia datang daripada sumber yang baik.

Menyedari hakikat itu, maka wujudlah Halagel (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mempunyai visi untuk menyediakan produk halal untuk umat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia.

Ditubuhkan sejak tahun 1997, Halagel merupakan pengimport tunggal, pengeluar dan pengedar makanan halal dan gelatin gred farmaseutikal, kapsul gelatin halal dan gel lembut gelatin halal bagi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara.

Syarikat itu juga membekalkan pelbagai produk pengguna seperti ubat gigi herba, garam batu boleh dimakan, kopi pracampuran dan gula-gula getah perasa buah.

Selain itu, mereka turut menawarkan produk-produk kesihatan seperti vitamin C tambahan dan produk nutraseutikal termasuk minyak kelapa dara, minyak habbatus sauda dan minyak ikan Omega-3.

Pengurus Besar Pemasaran Halagel (M) Sdn. Bhd., Muhammad Azhar Abdullah berkata, penubuhan Halagel bertitik tolak daripada memenuhi tuntutan Fardu Kifayah bagi menyediakan produk alternatif halal untuk masyarakat Islam.

"Alhamdulillah, usaha kami untuk menyediakan produk alternatif halal bagi kegunaan pengguna Muslim khususnya dan masyarakat Malaysia amnya berjaya dilaksanakan.


MUHAMMAD AZHAR


"Ini termasuklah memperkenalkan gelatin halal yang diimport dari Pakistan dan telah mendapat pengiktirafan sijil halal daripada tiga buah agensi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Ulama Indonesia dan The Islamic Central Committee of Thailand (ICCT).

"Di Pakistan, semua pekerja di kilang yang mengeluarkan gelatin tersebut terdiri daripada orang Islam. Selain itu, gelatin yang dihasilkan itu pula menggunakan sumber tulang haiwan-haiwan halal seperti lembu, kerbau dan kambing.

"Paling penting, kesemua haiwan tersebut telah disembelih mengikut hukum syarak yang ditetapkan dalam Islam," jelas Azhar ketika ditemui Kosmo! di pejabat Halagel cawangan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya lagi, penentu status halal gelatin bergantung pada beberapa faktor. Antaranya termasuklah proses pengeluaran tidak bercampur dengan sumber atau gelatin daripada haiwan tidak halal, di samping kebersihan keseluruhan di kilang tersebut.

Beliau menjelaskan, memang ada kebanyakan kilang yang menghasilkan gelatin tidak menepati syarat yang ditetapkan untuk memproses gelatin halal.

Namun, disebabkan orang ramai tidak peka mengenai hal tersebut, maka tidak mustahil jika sebenarnya ada dalam kalangan pengguna Muslim telah termakan bahan yang diperbuat daripada gelatin yang tidak pasti sumbernya.

"Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan masyarakat kerana mereka tidak memahami dan menyedari perkara itu. Bagaimanapun, sebagai penganut agama Islam, kesedaran untuk memastikan makanan atau produk yang digunakan adalah halal harus ada dalam diri setiap individu," ujarnya lagi.


PALING penting haiwan halal yang digunakan untuk membuat gelatin disembelih mengikut hukum syarak yang telah ditetapkan oleh Islam. - Gambar hiasan


Dalam pada itu, di sebalik penghasilan gelatin, terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh pengeluar. Contohnya, ia mengambil masa di antara 60 hingga 80 hari untuk melengkapkan kesemua proses penghasilan gelatin.

"Tempoh waktu yang lama membuatkan pengeluaran gelatin halal agak terhad. Selain itu, adalah mustahil untuk mengasingkan gelatin halal dan tidak halal di kilang yang sama. Ini biasanya berlaku dalam kalangan pengeluar gelatin dari negara-negara Barat.

"Paling utama, sumber tulang atau kulit haiwan yang diperoleh datangnya dari banyak pusat sembelihan yang mempunyai cara sembelihan tersendiri. Masalah inilah yang menyebabkan gelatin yang mungkin digunakan datang daripada sumber yang tidak halal," jelas Azhar sambil berharap umat Islam lebih berhati-hati dalam hal ini.

Halagel kini telah pun mempunyai kilang memproses kapsul gelatin halal dan kilang kapsul lembut (softgel) untuk penggunaan dalam industri farmaseutikal.

Untuk maklumat lanjut mengenai Halagel, layari laman webwww.halagel.com atau hubungi talian 03-7845 3175/7845 4175. -KHADIJAH MOHAMAD NOR

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0602&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...