Wednesday, July 15, 2009

Amal jariah cepat kaya

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

ALOR STAR: ‘derma’ RM30, ‘pahala’ sehingga RM600,000!

Itulah janji manis skim cepat kaya baru yang dikesan aktif di negeri ini dengan cuba menutup muslihatnya di sebalik agama, kononnya berkonsep amal jariah sesama Islam dan sumbangan ummah.

Risalah mengenai skim tanpa nama dan siapa atau syarikat penciptanya itu kini diedarkan di tempat ibadah seperti di surau dan masjid, selain taman perumahan yang diketahui didiami ramai keluarga Islam terutama di luar bandar.

Pada lampiran pertama daripada lima muka surat yang tertera ‘Sudut Motivasi’ pengendali skim mendakwa program itu amalan tanpa wujud syak wasangka dan jika dijalankan secara ikhlas dengan menderma RM30 sekali seumur hidup akan menyebabkan saudara seagama ‘senang’.

Pengendali yang hanya menggelar dirinya ‘Motivator’ juga mendakwa program itu ‘perkongsian bijak’ yang sukar dibayangkan hasilnya dengan pelabur hanya perlu membuat salinan risalah berkenaan sebanyak mungkin dan mengedar di tempat strategik terutama di masjid dan surau.

Konsep skim itu juga cukup mudah dengan pada lampiran akhir risalah itu dilakarkan empat kotak dalam bentuk empat segi dengan kotak di atas kanan tertera ‘peserta terdahulu’ dan kiri pula ‘peserta giliran satu’.

Pada dua kotak di bawah pula tertera ‘peserta giliran dua’ di sebelah kiri dengan semua ketiga-tiga kotak berkenaan mempunyai ruangan untuk menulis nama, nama bank, jenis akaun dan nombor akaun individu tertentu.

Pada kotak terakhir bawah sebelah kanan pula dicatatkan penerangan mengenai kaedah skim itu berjalan, iaitu orang ramai yang berminat melabur perlu memasukkan RM30 ke nombor akaun peserta giliran satu.

Selepas itu pelabur diminta menganjakkan maklumat dalam kotak peserta giliran satu ke peserta terdahulu manakala maklumat sedia ada dalam kotak peserta terdahulu sebelum ini dikeluarkan.

Maklumat di kotak peserta giliran dua pula diisi maklumat pelabur terbaru dan mengikut perancangan skim berkenaan, mereka akan mula menerima habuan jika ada dua pelabur selepas mereka.


Risalah itu juga memaparkan pengakuan daripada beberapa individu termasuk kononnya mereka yang bergelar haji mendapati akaun banknya melonjak tanpa diketahui daripada mana sumbernya sebanyak RM600,000 hanya selepas membuat pelaburan RM30 setahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail, berkata skim cepat kaya kini menggunakan pelbagai ‘wajah’ untuk menipu orang ramai.

Menurutnya, jika skim untuk membantu sesama ummah itu benar, mengapa mereka harus berselindung dan tidak mendaftar perniagaan sehingga tergamak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara.

“Sudah diketahui menjadi kesalahan jika mengutip dana kewangan daripada orang ramai tanpa kebenaran dan lesen Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mungkin RM30 dilihat jumlah terlalu kecil, namun jika sejuta orang terpengaruh dengan skim ini, bukankah jumlahnya RM30 juta.


Lagipun kita tidak tahu siapa sebenarnya peserta giliran satu dan dua ini. Adakah benar mereka pelabur baru atau hanya anggota sindiket ini,” katanya.

Yusoff berkata, Cake menerima banyak aduan mengenai skim cepat kaya walaupun kerajaan menjalankan pelbagai usaha menyedarkan rakyat mengenai penipuan skim seumpama itu.

“Yang terbaru kami menerima aduan daripada seorang individu yang melabur RM100 untuk mendapat keuntungan RM300 dalam masa seminggu, tetapi akhirnya tertipu,” katanya.

Alzheimer bukan hanya orang tua

Pesakit Alzheimer masih dapat mengingati perkara yang berlaku 30 tahun lampau dengan baik namun gagal mengingati perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.


PERUBAHAN personaliti yang ketara merupakan simptom awal penyakit ini.


APABILA memperkatakan mengenai Alzheimer atau nyanyuk, masyarakat seringkali mengaitkan penyakit ini dengan faktor umur.

Malah punca yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah otak pesakit mengecut dan wujudnya abnormal protein dalam otak yang dipanggil amiloid.

Keadaan itu menyebabkan saraf-saraf dalam otak menjadi tidak normal dan keseluruhan saiz otak semakin mengecil yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami masalah lupa yang serius.

Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit yang lazimnya dihadapi oleh mereka yang berumur melebihi 60 tahun ke atas, juga boleh dialami golongan lebih muda.

Pakar Runding Geriatrik Hospital Pakar Cheras, Dr. Rajbans Singh, berkata meskipun jarang berlaku, kebarangkalian ia dihidapi oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 50-an, tetap ada.

"Simptomnya masih samar namun kecenderungan untuk terlupa adalah sama. Walaupun begitu, antara keterlupaan golongan ini dan Alzheimer adalah jangka waktu memori yang diingati," ujarnya.


PERBEZAAN keadaan otak pesakit Alzhaimer (kanan) yang mengecut berbanding otak normal.


Jelas Rajbans, bagi pesakit Alzheimer, mereka masih dapat mengingati perkara lampau yang berlaku 20 hingga 30 tahun lalu dengan baik namun gagal mengingati satu perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.

Bermula dengan keterlupaan jangka pendek, penyakit ini akan berlanjutan hingga membuatkan pesakitnya kehilangan memori secara total.

Tambahnya lagi, keadaan pesakit bertambah serius apabila mereka mula berhalusinasi dan pada tahap ini, potensi mencederakan diri mereka amat tinggi sekiranya tidak dirawat serta diawasi.

"Bertepatan dengan nama lain bagi penyakit ini iaitu The Long Goodbye, penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih 10 hingga 20 tahun. Jadi, tidak mustahil keadaan mereka akan bertambah buruk," jelasnya.

Antara simptom tingkah laku atau psikologi pesakit Alzheimer termasuklah gemar menjerit, agresif dari segi fizikal, gangguan personaliti, banyak bertanya, kemurungan, kadangkala tidak mahu dibantu, salah sangka dan tidak tidur pada waktu malam.

Rawatan

Menyentuh mengenai jenis rawatan, jelas Rajbans, tiada satu kaedah khusus untuk menyembuhkannya namun apa yang boleh dilakukan ialah melengahkan simptom.

Dalam beberapa kes tertentu, pemberian ubatan untuk meningkatkan kembali sel dan hormon dilakukan dalam bentuk tablet.

"Masalah utama pengambilan ubatan dalam bentuk tablet ialah pesakit kerap terlupa untuk mengambilnya seperti yang diarahkan. Jadi, satu inovasi dilakukan iaitu pesakit dilekat satu tampalan seumpama plaster di lengan.

"Dengan itu, pesakit tidak lagi mempunyai masalah dengan rutin mengambil ubat," jelasnya yang turut menjelaskan antara penyebab utama penyakit ini ialah virus, toksin, kekurangan hormon dan vitamin serta pelbagai lagi.




Tambahnya, penyakit ini bukan sahaja melibatkan pesakit malah seluruh ahli keluarga terdekat yang terpaksa menjaga, merawat dan memantau pesakit.

"Pengetahuan asas mengenai simptom, penjagaan harian serta keperluan pesakit amat penting bagi ahli keluarga. Secara tidak langsung, ia akan membantu ahli keluarga menangani salah faham antara mereka," nasihat Rajbans.

Jangka hayat yang semakin bertambah di Malaysia memberi petunjuk bahawa masyarakat perlu memandang serius penyakit ini.

Ujarnya, ia merupakan fenomena normal di mana-mana negara di dunia apabila taraf hidup semakin meningkat dan keperluan kendiri seperti perubatan mencapai tahap terbaik.

"Sebagai contoh, Jepun. Apabila populasi warga emasnya meningkat mendadak pada 15 tahun lalu, satu pendekatan dilakukan oleh kerajaan mereka agar golongan ini aktif dari aspek minda dan fizikal," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Burger Khadijah popular di Johor


Samsuria menunjukkan burger berjenama Khadijah di kilangnya di Kajang, Selangor semalam.


KAJANG - Bukan mudah bagi Juara Rasa Maju Sdn. Bhd. (Juara Rasa), syarikat pengeluar daging burger berjenama Khadijah memasarkan produknya di pasaran tempatan kerana persaingan sengit yang dihadapinya daripada syarikat pengeluar burger berjenama utama di negara ini.

Meskipun situasi itu pahit untuk dihadapi tetapi Pengarah Urusannya, Samsuria Wahab tidak menjadikan ia sebagai satu halangan tetapi terus mengatur strategi untuk turut berjaya dalam bidang berkenaan.

Maka tumpuan sepenuhnya ketika itu ialah di Johor yang dianggapnya satu pasaran berpotensi buat syarikat.

Nyata ideanya itu berjaya dan produk burgernya mendapat sambutan yang menggalakkan di sana dengan catatan perolehan jualan sebanyak RM70,000 hingga RM80,000 sebulan di samping memiliki 13 stokis.

"Selepas berjaya di Johor, kami akan beralih ke negeri lain yang mana terdapatnya permintaan yang baik, seperti di kawasan Pantai Timur khususnya di Kelantan,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Pasangan bunuh pelajar KUIAM digantung


Noralina dan Khairul Anuar ditempatkan di Penjara Kajang sementara menunggu hukuman gantung dilaksanakan terhadap mereka.



Noralina


KUALA LUMPUR - " Mama, Ina tak bunuh, Ina tak salah!"
Begitulah raungan sayu seorang gadis berbaju kurung dari kandang tertuduh yang menyentap perasaan galeri awam Mahkamah Tinggi di sini semalam sejurus dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIAM), Juliana Md. Fuzi dua tahun lalu.

Noralina Ahmad Dasuki, 22, yang bertubuh gempal dan berkulit sawo matang tidak mampu mengawal emosi dan hanya mampu menangis selepas Hakim Mohamad Zabidin Mohd. Diah membacakan keputusan.

Ibunya cuba menenangkan Noralina yang kelihatan lesu dan tidak keruan sambil menasihatkan supaya dia menerimanya sebagai takdir serta berulang kali menyatakan sayang kepada Noralina.


Inilah Apartmen Sunrise, Wisma Indah di Jalan Tun Razak tempat Juliana dibunuh dua tahun lalu.


Walaupun cuba dibawa keluar oleh polis mahkamah, bekas pelajar kolej itu enggan berganjak dari kandang tertuduh dan merayu kepada ibunya supaya menolong membebaskannya.

Noralina juga enggan menerima bekalan makanan yang dibawa keluarganya.

Turut menerima nasib serupa ialah teman lelakinya, Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 27, jurujual di sebuah stesen televisyen satelit berbayar.

Suasana pilu berterusan apabila Khairul Anuar yang memakai baju penjara warna hijau menangis teresak-esak sambil mendekati isteri dan sempat memeluk anak lelaki mereka berusia tiga tahun.

Hakim Mohamad Zabidin menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan kekasih itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie.

Tuesday, July 14, 2009

Mafia betina

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tiga pelajar perempuan tingkatan satu layak digelar ‘mafia betina’ ketika membelasah dan mendera dua rakan sebaya, baru-baru ini.

Ini kerana mangsa bukan setakat ditampar dan diterajang, malah dipaksa bergusti sesama sendiri. Lebih mengejutkan, penderaan itu dilakukan di dalam surau di luar sekolah!

Tidak cukup dengan itu, aksi kejam kira-kira 30 minit itu dirakam dan diedarkan di kalangan rakan sebelum dimuat turun ke dalam Internet melalui laman You Tube menyebabkan kedua-dua mangsa kini malu dan trauma untuk berhadapan dengan pelajar lain di sekolah.

Difahamkan, kejadian bermotifkan dendam kira-kira jam 2.30 petang itu bermula apabila seorang mangsa, Azani Jusharmiela Mohd Jaafar, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Dungun, dijemput tiga pelajar terbabit dari rumahnya sebelum membonceng motosikal ke sebuah surau kira-kira empat kilometer dari situ.

Sejurus tiba, dia melihat seorang lagi rakannya yang juga pelajar sebuah sekolah di Kerteh berada di situ.

“Sebaik memasuki surau, saya dan rakan ditampar dan dihentak ke pintu menyebabkan kepala saya benjol.

Katanya, selepas ketiga-tiga pelajar perempuan samseng itu puas membelasah, dia dipaksa bergusti dengan rakannya sambil aksi mereka dirakam menggunakan telefon bimbit.

Bimbang terus dibelasah, kedua-dua mangsa terpaksa mengikut ‘skrip’ arahan tiga ‘mafia betina’ terbabit.

“Kami terpaksa bergusti sesama sendiri dan mengikut semua arahan mereka bagi mengelak terus dibelasah. Mereka juga mengugut kami supaya tidak beritahu guru dan ibu bapa.

“Selepas tiga hari kejadian, saya bertemu tiga pelajar samseng terbabit di sekolah dan hanya mendiamkan diri apabila bersua muka.

“Sebelum itu, kami tak tahu rakaman itu disebarkan dalam You Tube sehinggalah saya melihatnya sendiri sebaik mendapat maklumat daripada seorang rakan,”
katanya di sini, semalam.

Azani Jusharmiela berkata, dia yang trauma beberapa minggu selepas kejadian, kemudian mengadu kepada seorang kakaknya kerana tidak tahan dengan sikap tiga mafia betina terbabit yang berbangga dengan perbuatan mereka.

Kakaknya, Azani Juhaiza Mohd Jaafar, 23, yang bekerja di ibu negara berkata, dia terperanjat dan marah dengan tindakan tiga pelajar perempuan terbabit yang mengaibkan adiknya di Internet.

Katanya, dia hanya mengetahui perbuatan itu ketika pulang ke rumahnya di Kampung Felda Kerteh untuk bercuti dan naik darah sebaik diceritakan adiknya.

“Sesiapa pun pasti berang dengan perbuatan kurang ajar itu dan tindakan pihak sekolah saja tidak cukup untuk menghukum mereka.

“Mereka baru berusia 13 tahun tapi berani melakukan jenayah seperti ini. Jika besar nanti saya tak tahulah macam mana kejamnya lagi mereka.


“Jika saya sendiri membalas perbuatan mereka, kes ini akan mungkin jadi lebih panjang, oleh itu biarlah pihak polis saja menyelesaikannya,” katanya selepas membuat laporan kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 pagi semalam.

Menurutnya, adiknya kini malu bersemuka dengan rakan selepas tersebar rakaman itu di Internet dan menjadi pendiam serta jarang keluar rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan akan dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun untuk siasatan lanjut.

H1N1: 60 siswa UiTM Lendu diasingkan

Jul 13, 09 3:21pm

Buat pertama kali dalam rekod penularan wabak influenza A (H1N1), kes tempatan mengatasi kes import - masing-masing 34 dan 28 kes - menjadikan jumlah keseluruhannya 772 kes.

Susulan penularan meluas gejala wabak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka yang dikesan mulai Sabtu lepas, 60 pelajar kini diasingkan.

Empat pelajar telah disahkan positif virus A (H1N1).

Dengan pertambahan 62 kes baru itu, 237 kes melibatkan penularan tempatan dan 535 kes lagi import (lihat carta jumlah kes mingguan).

"Tiada kematian dilaporkan. Daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 menerima rawatan pesakit luar, sementara 10 lagi telah dimasukkan ke wad," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Daripada jumlah keseluruhan pesakit influenza A (H1N1) yang disahkan, sejumlah 685 atau 89 peratus telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Baki pesakit yang sedang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk
mereka yang menerima rawatan pesakit luar,"
katanya lagi.

Dalam kenyataan hariannya, Kementerian Kesihatan juga ingin memaklum bahawa terdapat satu kumpulan kes influenza dikesan di kalangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka pada Sabtu lepas.

"Seramai 60 pelajar dengan gejala influenza telah diletakkan bawah pengasingan di kolej berkenaan.

"Ujian makmal telah dijalankan secara rawak pada 11 Julai melibatkan lima pelajar. Hasilnya, empat pelajar disahkan positif jangkitan influenza A(H1N1),"
tambahnya.

"Sehingga kini, dua orang pelajar telah dimasukkan ke Hospital Melaka, manakala tiga pelajar lagi diletakkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing, iaitu dua di Selangor dan satu di Kuala Lumpur.

"Semua dalam keadaan stabil."


Kerjasama antara pengurusan tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Melaka telah diadakan bagi membincangkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan wabak tersebut, kata Dr Mohd Ismail.

Langkah-langkah itu termasuk aktiviti saringan ke atas pelajar lain yang terdedah serta proses pembasmian kuman (dekontaminasi) ke atas semua blok penginapan dan pengasingan, dewan kuliah dan bangunan-bangunan lain yang digunakan pelajar.

Dalam kenyataannya semalam, kementerian memaklumkan Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup sehingga Rabu ini yang melibatkan 1,456 pelajar, guru dan kakitangan susulan dua pelajarnya dijangkiti virus wabak tersebut.

Selain itu, semua pelajar Tingkatan 4 Jaya, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur telah dikenakan tindakan kuarantin di rumah masing-masing - berkuatkuasa sehingga Rabu ini.

Khamis lalu, wujud gejala penularan tempatan yang tidak lagi dapat dikesan puncanya, termasuk di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya.

Seramai 12 orang disahkan diserang wabak antara 4 hingga 8 Julai, sementara 200 lagi kakitangan di aras yang sama sedang diawasi di pejabat.

"Punca kejadian kemungkinan berlaku di syarikat berkenaan berdasarkan siasatan mendapati syarikat berkenaan sentiasa menerima pelawat-pelawat dari luar negara," kata kementerian.

Rabu lalu pula, kementerian mendedahkan perkembangan gejala seakan-akan influenza di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka yang melibatkan 50 orang pelatih dan enam disahkan positif.

"Kesemua 50 pelatih yang yang menunjukkan gejala telah ditempatkan di blok pengasingan dalam kompleks ALAM dan telah diberikan rawatan antivirus, dan kesemuanya dalam keadaan stabil.

"Kesemua pelatih dan anggota ALAM yang tiada gejala telah diletakkan di bawah pengawasan,"
kenyataan kementerian dipetik.

Susulan merebaknya wabak tersebut di syarikat swasta itu dan ALAM, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, "ini memberi petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti."

Dua penuntut UiTM dimasukkan ke hospital, tiga kuarantin rumah

Isnin Julai 13, 2009

KUALA LUMPUR: Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah, Melaka dimasukkan ke Hospital Melaka manakala tiga lagi diletakkan di bawah pemantauan di rumah masing-masing kerana dijangkiti Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tiga yang menjalani kuarantin di rumah itu membabitkan dua di Selangor dan seorang di Kuala Lumpur.

"Semua mereka berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan tertinggi UiTM dan Jabatan Kesihatan Melaka telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan wabak itu.

Antaranya, mengadakan aktiviti saringan terhadap penuntut lain yang terdedah serta dekontaminasi terhadap semua blok penginapan dan isolasi, dewan kuliah dan lain-lain bangunan yang digunakan penuntut, katanya.

Mengenai perkembangan semasa H1N1 dalam negara, Dr Mohd Ismail berkata sehingga pukul 8 pagi ini, terdapat 62 kes baru Influenza A (H1N1) iaitu 28 kes import dan 34 jangkitan tempatan.

Beliau berkata daripada 34 kes jangkitan tempatan, 24 menerima rawatan pesakit luar manakala 10 lagi dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata daripada jumlah keseluruhan 772 kes yang dilaporkan dalam negara, 535 adalah kes import dan 237 kes jangkitan tempatan.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Sejumlah 685 (89 peratus) telah sembuh dan telah discaj dari hospital. Baki pesakit yang dirawat berjumlah 87 orang, termasuk mereka yang menerima rawatan pesakit luar," katanya.

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan jumlah terkumpul kes Influenza A (H1N1) yang dilapor sehingga pukul 8 pagi ini ialah 106,888 kes dengan 470 kematian daripada 143 negara, iaitu pertambahan 285 kes.

Negara yang melaporkan pertambahan kes paling tinggi ialah Korea (150), Hong Kong (87), Malaysia (39) dan Brunei Darussalam (9). BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_berita/20090713171039&sec=mstar_berita

Jerebu: Kualiti udara pagi tadi merosot sedikit

Isnin Julai 13, 2009


PETALING JAYA: Kualiti udara di kebanyakan kawasan sedikit merosot dengan bilangan lokasi yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik berkurangan berbanding petang semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi laman webnya memaklumkan bahawa sehingga pukul 11 pagi tadi, 70 peratus atau 36 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU baik manakala 29 peratus lagi (15 kawasan) mencatat indeks udara sederhana.

Semalam, catatan IPU menunjukkan 42 kawasan (87 peratus) mencatatkan udara baik manakala 6 kawasan (12 peratus) lagi mencatat indeks udara sederhana.

Kawasan yang merekodkan catatan IPU baik sehingga pukul 11 pagi ini ialah Larkin Lama (47), Sungai Petani (36), Langkawi (43), Alor Setar (47), Bukit Rambai (46), Seremban (48), Kuantan (35), Jerantut (36), Ipoh (35), Tanjung Malim (35), Taiping (34), Jalan Tasek, Ipoh (33), Seri Manjung (28) dan Kangar (31).

Selain itu ialah Seberang Jaya 2, Perai (42), USM (25), Perai (35), Kota Kinabalu (35), Sandakan (31), Tawau (48), Keningau (50), Sibu (46), Sarikei (37), Sri Aman (39), Limbang (33), Kuching (35), Miri (35), Shah Alam (49), Petaling Jaya (44), Kuala Selangor (41), Kemaman (40), Paka (41), Kuala Lumpur (45), Wilayah Persekutuan Labuan (50), Cheras (47) dan Putrajaya (47).

Kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Muar (82), Pasir Gudang (60), Kota Tinggi (53), Kota Bharu (57), Pengkalan Chepa (52), Bandaraya Melaka (54), Port Dickson (51), Nilai (54), Kuantan (54), Bintulu (57), Kapit (52), Samarahan (51), Kajang (52), Pelabuhan Kelang (87) dan Kuala Terengganu (62).

Klasifikasi bacaan IPU ialah seperti berikut: 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/7/13/mstar_berita/20090713124903&sec=mstar_berita

Sunday, July 12, 2009

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.




PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.


TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.








NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...