Thursday, April 8, 2010

'Tengku’ kaki belit

Oleh Hadzlihady Hassan dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my
2010/04/08

KUALA LUMPUR: Mengaku cucu sultan, seorang lelaki bijak menggunakan kata-kata menipu rakan dikenalinya melalui laman sembang Facebook menginap di hotel mewah dan mengadakan parti hinggakan semua mangsa kini menjadi buruan hotel bertaraf lima bintang berkenaan kerana gagal membayar bil.

Bagaimanapun, ‘Cucu Sultan’ putar belit berusia awal 20-an itu akhirnya tumpas apabila dia yang menjadi buruan polis kerana kesalahan menipu dipercayai membabitkan wang lebih RM300,000 ditahan di sebuah kedai makan di Shah Alam, baru-baru ini.


Lelaki terbabit dipercayai menggunakan taktik di menjadikan rakan dikenalinya dalam laman sembang Facebook sebagai mangsa penipuan.


Menurut seorang mangsa dikenali sebagai Zul, 28, dia pada mulanya mengenali lelaki berkenaan dalam laman Facebook dan lelaki terbabit mendakwa kerabat diraja dan sejak itu mereka menjadi rakan.


“Secara kebetulan, saya dan 13 lagi rakan menganjurkan satu percutian di Kota Kinabalu, Sabah Oktober tahun lalu dan lelaki berkenaan yang mengetahui rancangan kami mahu turut serta,” katanya.


Menurutnya, pada mulanya dia hanya menganggap lelaki digelar ‘Tengku’ itu bergurau, namun terkejut apabila dia keesokannya menghubungi memberitahu turut berada di Sabah.

“Saya menerima panggilan Tengku yang mengatakan berada di Sabah dan menginap di sebuah hotel mewah.


“Selain itu, dia turut menjemput saya dan 13 rakan lain ke parti sempena menyambut ulang tahun kelahiran saya kebetulan jatuh pada hari sama,”
katanya.


Katanya, ketika tiba di hotel itu, mereka terkejut kerana parti dianjurkan itu sangat meriah dan mewah, menambahkan keyakinan mereka kepada lelaki berkenaan.


“Kami dilayan seperti orang kenamaan dan ‘Tengku’ mengatakan dia akan menanggung segala kos selain meminta kami tidak perlu bimbang.


“Tidak cukup dengan itu, dia minta kami berpindah dari hotel lama ke hotel terbabit dan mendakwa segala kos ditanggungnya,”
katanya. Menurutnya, kerana terpengaruh dengan kata-kata itu, dia dan rakan mengikut kehendak lelaki terbabit kerana menyangkakan dia benar-benar ikhlas.

“Ketika menginap di hotel berkenaan, kami diberikan layanan yang cukup istimewa, lebih-lebih lagi lelaki terbabit diberikan penghormatan kakitangan di situ.


“Semua berjalan lancar dan kami pulang semula ke sini dan saya langsung tidak mencurigai lelaki berkenaan sebenarnya kaki penipu,”
katanya.


Bagaimanapun, beberapa hari, selepas pulang, Tengku menghantar SMS dan semua rakannya memaklumkan yang dia (suspek) kini berada di London bagi pembedahan serta memerlukan RM500 daripada setiap seorang.


Tengku memberikan nombor akaun banknya kepada mangsa dan 13 lagi rakannya untuk memasukkan wang.


Mangsa berkata, dia berasa curiga tindakan lelaki terbabit sebelum menyoal lanjut mengenai pembedahan berkenaan, namun suspek dikatakan ‘tertangkap’ apabila gagal memberitahu waktu sebenar di London.


“Selepas mengetahui hal itu, saya terus menghantar SMS kepada semua rakan memaklumkan penipuan lelaki berkenaan, namun seorang rakan saya sudah memasukkan RM500 seperti diminta.


“Saya terus menyiasat lelaki berkenaan melalui akaun bank diberinya sebelum mengetahui nama sebenar suspek dan dia bukan cucu sultan seperti didakwa,”
katanya. Mangsa juga terkejut dihubungi pengurus hotel mewah, tempat dia dan rakannya dipelawa suspek menginap di Kota Kinabalu.


Menurutnya, dia hampir pengsan selepas mengetahui bil sewa bilik dan parti dianjurkan kira-kira RM35,000 belum dijelaskan dan nama mereka sudah disenarai hitam.


Mangsa dan rakannya membuat laporan polis.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tengku__8217_kakibelit/Article

Patah jari tangan kanan dipukul 10 pelajar senior

2010/04/08

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar sekolah agama swasta terpaksa meneruskan kehidupan dalam trauma apabila dihidangkan ‘sarapan luar biasa’ pada awal pagi Jumaat lalu oleh sekumpulan pelajar senior yang membelasahnya gara-gara tidak puas hati mangsa terlepas tindakan disiplin kerana merokok di kawasan sekolah.

Sekurang-kurangnya 10 pelajar senior mengerumuni dan memukul mangsa selama 15 minit di asrama sekolah agama yang terletak di Muar itu sehingga menyebabkan Muhammad Anwar Ibrahim, 14, patah jari hantu tangan kanannya.


Menurut mangsa, kejadian berlaku pada jam kira-kira 2 pagi apabila kumpulan pelajar senior berkenaan tiba-tiba mengejutnya daripada tidur dan dibawa ke sebuah bilik ahli jawatankuasa asrama.


“Saya yang masih dalam keadaan separuh sedar ketika itu bingung apabila mereka hanya memberi masa tidak lebih lima saat bagi menjawab soalan sama ada saya merokok di kawasan sekolah.


“Panik apabila dikepung, saya tergamam sebelum mereka menendang dan memukul anggota badan saya hingga mengakibatkan hidung berdarah,”
katanya yang ditemani bapanya, Ibrahim Ja’afar, 38, ketika datang ke pejabat Harian Metro, semalam.


Sementara itu, Ibrahim berkata, laporan X-Ray di Hospital Sultan Ismail (HSI) menunjukkan jari hantu tangan kanan anaknya patah dan terpaksa disimen selain diberi cuti sakit hingga 15 April depan.

“Saya kesal kejadian seperti itu berlaku dan meminta pihak pentadbiran sekolah mengambil tindakan wajar supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram pada 3 April lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patahjaritangankanandipukul10pelajarsenior/Article

Ameng dakwa ada pistol

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
2010/04/08

KUALA LUMPUR: “Saya tak sangka pesanan supaya menghentikan ‘SMS berlagak’ menyebabkan dia naik berang dan mengugut mahu mencederakan saya serta suami,” kata penerbit dan pengarah drama, A Aida berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng.

Aida atau nama sebenarnya, Zuraidah Awang, 39, berkata bekas suaminya itu kerap menghantar SMS mendakwa kononnya dia bakal menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk dan mempunyai wang jutaan ringgit serta sanggup memberikan sebahagian wang itu kepadanya.


Bagaimanapun, Aida yang tidak tahan dengan gangguan SMS itu membalas pesanan teks itu kepada Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 41, dengan meminta penyanyi itu tidak mengganggunya lagi. “Saya minta dia jangan ganggu saya dan segera berhenti menghantar SMS sebab saya sudah meluat.


“Suami saya juga turut menghubungi dia (Ameng) meminta dia tidak berterusan mengganggu, namun sebaliknya dia berang dan mula memaki-hamun suami saya dengan kata-kata kesat,”
katanya yang dihubungi di sini, semalam.


Aida berkata, bekas suaminya itu turut mengancam keselamatan dirinya dan suami dengan mendakwa kononnya dia mempunyai sepucuk pistol. “Pada mulanya dia bercakap lembut dengan suami saya, malah menceritakan keburukan saya. Dia turut mendakwa saya sering menghantar SMS kepadanya tapi suami tidak mempercayainya dan menasihatkan dia menghentikan tindakan membuang masa itu,” katanya. Aida bagaimanapun menafikan laporan polis yang dibuat itu mempunyai kaitan dengan hak penjagaan anak, sebaliknya lebih kepada ugutan diterima.


“Tiada kaitan langsung dengan hak penjagaan anak kerana bekas suami memang tidak ada hak ke atas mereka selepas berlaku kes dera, malah pihak mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memutuskan hak itu kepada saya,” katanya.

Mengenai keadaan Ameng yang didapati positif dadah selepas ditahan polis, Aida enggan memberikan sebarang komen.


“Saya serah perkara itu kepada polis dan tak mahu ambil tahu berhubung penahanan dia. Sekarang saya rasa lebih selamat dan tenang,” katanya.


Harian Metro semalam melaporkan seorang vokalis kumpulan rock terkemuka tanah air yang popular pada era 90-an ditahan kerana disyaki mengugut bekas isteri, selain didapati positif dadah Penyanyi `rock kapak’ yang sebelum ini pernah ditahan kerana kes dadah, diberkas polis kira-kira jam 5 petang kelmarin ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan berhubung kes ugutan terhadap bekas isterinya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amengdakwaadapistol/Article

Geng Kapak belasah pelajar


JEMILAH menunjukkan kesan lebam pada leher Norizan akibat dipukul Geng Kapak di rumahnya di Kampung Pulau Serai semalam.


PEKAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga trauma apabila dibelasah sekumpulan empat pelajar lelaki bergelar Geng Kapak selepas berang dengan tindakan mangsa melaporkan kejadian peras ugut kepada pengetua kelmarin.

Kejadian pukul 1 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mahmud Mat, Tanah Putih, di sini itu berlaku apabila Norizan Janal Abidi, 15, enggan memberi wang kepada suspek sebelum ditumbuk di tangan, muka dan bahu selain punggungnya dilibas dengan kerusi.

Modus operandi empat sekawan yang juga merupakan rakan sekelas Norizan itu ialah akan mengugut dan memukul pelajar-pelajar lain jika enggan memberi wang di antara RM1 dan RM5 sejak Februari lalu ketika guru tiada di dalam kelas.

Selain itu, mereka juga didakwa sanggup meraba buah dada dan poket baju sekolah pelajar perempuan untuk mencari wang.

Mengimbau semula kejadian itu, Norizan memberitahu, ia berpunca apabila dia enggan memberikan wang seperti yang diminta selain melaporkan kegiatan peras ugut dilakukan pelajar terbabit kepada guru.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Temui ajal ditumbuk menantu

SHAH ALAM - Bukan calang-calang peniaga rojak apabila dia ibarat mempunyai penumbuk maut selepas menumbuk bapa mertuanya sehingga lelaki itu menemui ajalnya dalam satu kejadian di USJ 20 Subang Jaya dekat sini Isnin lalu.

Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan seorang pekerja kilang, Mohd. Nordin Abdullah, 54, menemui ajalnya selepas diserang penyakit jantung sebaik ditumbuk sehingga pengsan oleh suspek.

Sebelum kejadian itu, mangsa dan beberapa ahli keluarganya tiba di rumah yang didiami anak perempuannya bersama suami dan bapa mertuanya di situ dari Pulau Pinang dengan hasrat hendak melepaskan rindu dengan menziarahi wanita berkenaan yang hampir setahun tidak ditemui.

Bagaimanapun, hasratnya itu dihalang oleh menantunya sebelum menumbuk Mohd. Nordin ketika mangsa cuba menarik tangan anak perempuannya berusia lingkungan 20-an untuk masuk ke dalam van miliknya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Pelajar saman kolej RM5 juta


BAPA kepada mangsa rogol, Adnan Yusof menunjukkan notis saman terhadap sebuah kolej di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang pelajar sebuah kolej kejururawatan di sini menfailkan tuntutan saman lebih RM5 juta terhadap pihak pengurusan kolej Kejururawatan Masterskill kerana mendakwa cuai dan gagal dalam menjaga keselamatan dirinya semalam.

Tindakan itu dilakukan berikutan pelajar yang berusia 24 tahun itu mendakwa telah dirogol seorang lelaki yang menceroboh masuk asrama kolej berkenaan pada pukul 8.15 pagi 9 Februari lalu.

Plaintif menfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguamnya, Mohd. Rafizi Abdullah dan Mohd. Zubairi Salleh dari Rafizi Zubairi & Co.

Dakwanya, sebelum kejadian, mangsa dan lima rakan sebiliknya telah didatangi seorang lelaki yang bertanyakan mengenai seorang wanita sebelum keluar selepas gagal menemuinya.

Bagaimanapun selepas itu, plaintif mendakwa dia telah dirogol oleh lelaki yang sama dan bersenjatakan pisau itu ketika dia pergi ke bilik air untuk mandi.

Mangsa kini trauma serta mengalami tekanan perasaan sehingga terpaksa menangguhkan pengajian di kolej tersebut akibat malu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Wednesday, April 7, 2010

Ketagihan laman sosial maya




FENOMENA Facebook menyerap dengan pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Sejak enam tahun lalu, pelbagai peringkat lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas, ahli-ahli politik dan selebriti tidak ketinggalan mengikuti arus kemajuan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini.

Individu yang tidak mengikuti perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Justeru, ramai yang menyertai Facebook semata-mata tidak mahu dikatakan kolot.

Kebaikan Facebook diakui sebagai medium untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi alam maya. Individu-individu yang terpisah dapat dipertemukan kembali hanya menggunakan Facebook. Pemimpin dapat berkomunikasi secara terus dengan rakyat menerusi Facebook.

Namun, seiring perkembangan positif, laman interaktif sosial Facebook turut menyumbang kepada pelbagai gejala negatif. Di Amerika Syarikat (AS), seorang wanita mati dibunuh kekasihnya kerana menukar status berkahwin kepada bujang.

Seorang pekerja wanita di London pula dipecat selepas mendedahkan keluhannya di Facebook berhubung suasana di tempat kerjanya dengan mengatakan dia membenci tugasnya.

Selain itu, seorang guru sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam Facebook.


KETAGIHAN Facebook boleh mengakibatkan perubahan tingkah laku seseorang tanpa disedari.


Kebimbangan pengaruh negatif Facebook menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak wajar.

"Alangkah baiknya kalau dapat berfacebook hari-hari...tapi kalau tak dapat pun tak apa."

Pemikiran sebegini mungkin dapat membantu individu yang tidak dapat berpisah dengan Facebook walau sehari, kata Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.

Menurut Mohamed Fadzil, individu yang ketagihan Facebook tidak menyedari masalah yang dihadapinya. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab individu terdekat membantunya merawat ketagihan itu selepas melihat perubahan sikap, tabiat dan tingkah laku individu berkenaan.

Ketagihan Facebook

"Ketagihan boleh dikenal pasti apabila terbentuknya satu jadual atau proses pelaziman seseorang itu tidak dapat berpisah dengan sesuatu tabiat yang wujud akibat pengaruh atau pancingan.

"Manusia mudah dipengaruhi oleh faktor psikososial iaitu mengikut arus yang berlaku dan mereka percaya sekiranya mereka tidak terbabit, mereka dianggap kumpulan yang ketinggalan dan membosankan," jelasnya yang mengganggap sistem itu sebagai tidak rasional.


FAIZAL mengaku beliau teruja apabila menerima komen daripada para peminatnya dalam Facebook.


Tambahnya, penyelesaian ketagihan Facebook boleh dilakukan menggunakan pendekatan ekstrem, kompromi mahupun psikologi.

"Ada pihak kata haramkan penggunaan Facebook. Ini kaedah ekstrem, manakala pendekatan kompromi memberi peluang kepada individu berkenaan untuk menggunakan Facebook tetapi mereka dididik supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalah gunakan laman sosial itu.

"Kaedah psikologi perlu bagi mengurangkan ketagihan individu yang mempunyai pemikiran tidak rasional akibat pengaruh Facebook. Di sini perlunya sokongan individu terdekat seperti keluarga, pasangan dan teman rapat," katanya.

Kaunseling, bimbingan dan nasihat mampu membantu menyedarkan individu yang ketagihan Facebook supaya mereka tidak berterusan gagal menguruskan masa dan kehilangan kemahiran sosial akibat terikat dengan komunikasi alam maya.

Selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, 32, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan pos-pos terbaru yang ingin diletakkan di dinding Facebooknya. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya.

"Facebook membuatkan saya leka dan melekat di depan komputer selama berjam-jam tanpa sedar. Tetapi, saya menggunakan alternatif lain iaitu iPhone supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa membazirkan masa di depan komputer.

"Bagi saya, Facebook dapat meningkatkan komunikasi secara efisien dan tidak patut diharamkan. Tindakan mengharamkan Facebook ibarat menafikan perkembangan teknologi maklumat dan kita akan ketinggalan dalam pelbagai sudut," katanya.

Tambah Faizal, apa yang wajar dilakukan ialah pemantauan daripada kerajaan supaya menyekat laman-laman Facebook yang mengajak masyarakat menghina atau membangkitkan isu-isu yang boleh mengakibatkan pepecahan.


MOHAMED FADZIL percaya pendekatan psikologi dapat membantu mereka yang mengalami masalah ketagihan Facebook.


Pembaca berita RTM, Norhaslina Ibrahim berpendapat, masyarakat hari ini memanfaatkan Facebook atas dasar kesibukan dan melaluinya banyak maklumat terkini diperoleh daripada teman-teman serta mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

"Facebook penting bagi saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan teman-teman rapat dan mengetahui perkembangan diri mereka. Melalui Facebook saya dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah," katanya.

Pelakon dan hos, Julie Woon mengatakan dia tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang berlaku disebabkan Facebook kerana menganggap ia tindakan individu yang mempunyai agenda tertentu.

"Saya sentiasa mengemaskini laman Facebook kerana bidang kerja yang memerlukan saya berhubung dengan teman-teman dan para peminat. Selain itu, banyak ejen mencari saya di Facebook untuk tujuan kerja kerana tidak mempunyai nombor telefon saya," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Nostalgia kelahiran Najib Tun Razak




ADA apa dengan Daerah Lipis? Namun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tatkala beliau menjejakkan kaki di halaman sebuah rumah di atas sebuah bukit di Kuala Lipis, wajahnya kelihatan sayu dan hampir menitiskan air mata.

Kepulangan Najib selama kira-kira 30 minit ke rumah banglo dua tingkat di Bukit Bius pada 20 Mac lalu menggamit kenangan silam apabila mengenangkan beliau dibesarkan di tempat bersejarah itu oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah dengan penuh kasih sayang.

Najib diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Rahah tiba di rumah berkenaan sekitar pukul 1.25 petang. Mereka meluangkan masa menatap gambar-gambar di dinding yang menggamit nostalgia semasa Najib dibesarkan di situ kira-kira 57 tahun lalu.

Najib kemudiannya diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin mengenai rumah berkenaan yang akan dijadikan Muzium Tun Razak.

Abu Jamal menjelaskan, perbelanjaan menaik taraf rumah berkenaan menelan belanja RM1 juta. Kerja-kerja konservasi bermula sejak 13 November 2007 dan siap pada 12 Mei 2008 di bawah program Tapak Warisan Negara. Kini rumah tersebut menjadi salah satu produk pelancongan di Lipis.

Kata Abu Jamal, Majlis Daerah Lipis (MDL) memerlukan peruntukan sebanyak RM480,000 lagi untuk menjalankan kajian, pengumpulan artifak kostum dan kerja-kerja membina galeri bagi muzium berkenaan.

Dalam lawatan itu, Rahah juga sempat menceritakan kenangan beliau dan suaminya yang juga Perdana Menteri Kedua mendiami rumah tersebut di antara tahun 1950 sehingga tahun 1953.

Rumah banglo kayu yang pernah menjadi tempat Najib bertatih kini adalah lokasi bersejarah kepada 91,000 penduduk Lipis. Ia menjadi saksi kepada sejarah kelahiran wira negara.

Halaman rumah itu juga menyaksikan zaman kanak-kanak yang dilalui oleh Najib bersama bapanya. Bahkan rumah tersebut memahat satu kenangan yang cukup berharga dalam jiwa Perdana Menteri.

Hari ini, rumah tersebut menjadi salah satu daripada bangunan bersejarah dalam senarai Tapak Warisan Negara untuk tatapan rakyat Malaysia.


PENDUDUK Kuala Lipis bangga dengan kemajuan dan perubahan daerah tersebut pada hari ini.


Khazanah negara

Bukit Bius yang menempatkan rumah kelahiran Najib pula pernah terkenal sebagai kawasan perumahan pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk kediaman Menteri Besar Pahang ketika itu. Ia sememangnya sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku merangkap Ketua UMNO Lipis , Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata, keluarga Tun Razak pernah tinggal di rumah tersebut ketika bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1950-an.

Menurut sejarah, selepas Tun Razak berkahwin dengan Rahah keluarga pemimpin itu tinggal di rumah tersebut sehingga Najib dan adiknya Ahmad Johari dilahirkan.

"Nilai sejarah di rumah itu sangat penting untuk tatapan generasi akan datang kerana ia menyaksikan bekas Perdana Menteri Kedua tinggal di situ dan kelahiran Perdana Menteri Keenam di rumah yang sama.

"Bagi memelihara nilai sejarahnya, Kerajaan Negeri Pahang menjaga dan membaik pulih rumah itu pada setahun lalu untuk dijadikan sebagai salah satu daripada 14 Bangunan Warisan Negara di Lipis," jelasnya ketika dihubungi.

Mengimbas sejarah Lipis yang menyimpan pelbagai khazanah negara dan pernah terkenal sebagai kawasan lombong emas, daerah itu membariskan ramai pemimpin ulung masyarakat Melayu termasuk episod perjuangan Mat Kilau dan Datuk Bahaman menentang tentera Inggeris pada 1892.

Malah sebuah Sekolah Agama Madrasatul Firdaus di Kuala Lipis yang pertama dan tertua di Pahang dibina sekitar tahun 1800-an juga telah melahirkan ramai tokoh serta pemimpin agama tempatan.

Kesinambungan kepimpinan yang bertapak di Lipis diteruskan dengan legasi Tun Razak yang dianugerahkan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar Ke-10 oleh Sultan Pahang pada 1 November 1950.

Tun Razak kemudian bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berpusat di Lipis sebelum menjadi Perdana Menteri Kedua. Malah, Lipis juga menyaksikan kelahiran legasi daripada keluarga Tun Razak iaitu Najib yang menerajui kerajaan pada hari ini.


KEDIAMAN Residen British Pahang, Hugh Clifford yang dibina pada tahun 1922 kini menjadi rumah persinggahan pelawat di Bukit Residen, Bandar Kuala Lipis.


Bandar diraja

Bandar yang mempertemukan di antara Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang menghimpunkan 11 mukim itu sebenarnya menyimpan banyak khazanah berharga dalam mewarnai sejarah negara termasuk pernah menjadi ibu negeri pertama bagi negeri Pahang di antara tahun 1898 hingga tahun 1955 sebelum berpindah ke Kuantan.

Kuala Lipis juga pernah menjadi bandar diraja Kesultanan Pahang sebelum berpindah ke Pekan selain menempatkan ibu pejabat Residen British, Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British di Tanah Melayu.

Kesan peninggalan penjajahan British juga masih boleh dilihat di Kuala Lipis terutama lapan bangunan kolonial yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi merdeka.

Antara bangunan bersejarah lain yang terdapat di Kuala Lipis ialah kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos Kolonial (1910), Asrama Jururawat Kolonial (1926) dan Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis era kolonial (1919) serta batu bertanda '0' yang menjadi titik pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan-bangunan bersejarah yang dikomersial sebagai destinasi pelancongan memberi impak positif terhadap penduduk tempatan serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat sama dalam agenda pembangunan di daerah Lipis.

Pembangunan Lipis

Faedah itu juga memberi kesan kepada setiap kelompok masyarakat termasuk penduduk Orang Asli di sekitar Lipis yang terlibat secara langsung dalam kegiatan pelancongan.

Tok Batin Pos Betau, Ahmad Selalu, 47, berkata, kesan sejarah dan pembangunan moden yang rancak di bandar Lipis membolehkan masyarakat Orang Asli terlibat sama dalam menjana ekonomi keluarga masing-masing.

"Kami juga mengambil peluang menjual hasil kraftangan dan hasil hutan kepada pelancong yang hadir ke Lipis. Ia juga secara langsung membantu kami meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu peneroka Felda Sungai Koyan 1, Kholid Hussain, 63, pula berkata, pembangunan di daerah itu berkembang selaras dengan pembangunan negara demi keselesaan penduduk.

"Jika dua dekad lalu, hidup peneroka boleh dikatakan hanya cukup-cukup makan, tetapi sekarang semua sudah berubah hasil daripada pembangunan negara.

"Ia juga disebabkan langkah kerajaan membangunkan Lipis melalui pelbagai peluang ekonomi. Kini, peneroka di Lipis sudah mampu hidup senang," kata beliau.


NAJIB TUN RAZAK mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak ketika bertemu rakan sepermainan beliau Ngah@Karim Kassim (kanan) ketika melawat rumah kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang.


Sementara itu, Pengerusi Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad, 60, berkata, pelbagai program galakan yang diberikan kerajaan di sekitar Lipis juga mampu bertindak sebagai input kepada golongan wanita untuk berkecimpung dalam kegiatan perniagaan.

"Ini termasuklah menyediakan tempat berniaga yang sempurna bagi kemudahan peniaga yang menjadikan daerah Lipis sebagai lubuk rezeki.

"Kemudahan-kemudahan yang disediakan itu menaikkan lagi imej daerah ini sebagai kawasan bersejarah yang terpelihara dan berkembang seiring dengan pembangunan," katanya.

Ujar beliau, Lipis kini berubah maju dengan memperlihatkan banyak kemudahan disediakan bagi keselesaan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar.

"Kalau dibandingkan dengan lima dekad lalu, penduduk di Lipis menjadikan sungai sebagai laluan utama untuk ke daerah lain. Tapi sekarang, Lipis sudah berubah dengan kemudahan jalan raya dan sebagainya.

"Kehidupan penduduk di Lipis juga sudah semakin senang kalau dibanding dengan dahulu. Lipis bukan sahaja berkembang maju, tapi nilai sejarahnya yang kekal terpelihara," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Friday, April 2, 2010

Amah kebas RM200,000

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/04/02

KUALA LUMPUR: Kerana terlalu percaya kepada pembantu rumahnya, seorang ahli perniagaan berputih mata apabila wanita terbabit melarikan pelbagai barang berharga termasuk harta pusaka yang semuanya bernilai hampir RM200,000.

DICARI... Sayani dicari majikan selepas didakwa melarikan pelbagai barang kemas bernilai  RM200,000.
DICARI... Sayani dicari majikan selepas didakwa melarikan pelbagai barang kemas bernilai RM200,000.
Pembantu rumah terbabit yang berusia 27 tahun selama ini menjadi kepercayaan majikannya itu sejak diambil bekerja enam bulan lalu.


Namun, dalam kejadian awal bulan lalu di Seksyen 11, Shah Alam, dia melarikan diri bersama seorang lelaki yang juga rakan senegara bersama pelbagai barang kemas milik majikannya itu.


Ahli perniagaan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ali dari Kashmir, India berkata ketika kejadian, isterinya keluar ke pasar raya untuk membeli barang keperluan ditemani seorang lagi pembantu rumah, kira-kira jam 9.30 pagi pada hari kejadian.


“Namun, sejurus pulang, isteri saya mendapati wanita terbabit tiada di rumah dan dia cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah, namun gagal.


“Selepas membuat pemeriksaan, isteri saya terkejut apabila mendapati beberapa barang kemas miliknya hilang dipercayai dilarikan pembantu rumah terbabit,”
katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia memang mempercayai pembantu rumahnya itu yang bekerja dengannya hampir enam bulan lalu.


“Namun, saya tidak sangka dia akan melarikan diri dan mengambil semua barang berharga dan ada antaranya harta pusaka yang bagi saya tidak ternilai harganya,” katanya.


Menurutnya, pembantu rumah terbabit yang dikenali sebagai Sayani itu sudah berkahwin dan juga mempunyai dua anak, namun semua mereka berada di Indonesia.


“Saya benar-benar berharap dia dapat pulangkan semula barang kemas berkenaan kerana itu harta pusaka yang memang tidak ternilai buat kami sekeluarga.


“Jika dia pulangkan kembali semua barang itu, saya akan maafkan wanita berkenaan dan tidak akan mengenakan tindakan kepadanya,”
katanya.

Beliau yang sudah 16 tahun menetap di negara ini juga tidak menolak kemungkinan pembantu rumahnya itu sudah melarikan diri dengan seorang lelaki berikutan mereka berkawan rapat.


“Saya cuba menghubungi mereka, namun gagal,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam dan sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan wanita itu diminta menghubungi Ali di talian 03-29383588.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AmahkebasRM200_000/Article

Wednesday, March 24, 2010

Lelaki paling bijak dunia tolak hadiah AS$1 juta





ST PETERSBURG - Walaupun memenangi hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM3.3 juta) kerana menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu, hadiah itu ditolak bulat-bulat oleh pakar matematik Rusia, Dr Grigory Perelman (gambar).

Bukan sahaja hadiah, lelaki berkenaan turut menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts iaitu sebuah institut berprestij dari Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Dia yang berusia 44 tahun, diberikan hadiah itu kerana berjaya menyelesaikan masalah geometri sukar yang dinamakan Poincaré conjecture.

Empat tahun lalu, setelah dia menghantar jawapan bagi masalah matematik itu di Internet, Perelman tidak hadir untuk menerima anugerah penghargaan daripada Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) di Madrid.

Pakar matematik itu yang tidak lagi bekerja dengan institut Steklov kini tinggal berseorangan di sebuah flat kecil di sini yang kotor dan dipenuhi lipas.

"Saya tidak berminat dengan wang atau pun nama," kata lelaki itu.

Seorang jirannya, Vera Petrovna berkata, dia terkejut melihat keadaan daif di flat Perelman.

"Lelaki itu cuma memiliki sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor,".

"Kami cuba menghapuskan lipas di blok kami tetapi semua serangga itu bersembunyi di flatnya," kata wanita tersebut.

Perelman mula menghantar jawapan untuk masalah matematik itu semasa bekerja sebagai penyelidik di Institut Matematik Steklov, di sini pada 2003. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Rupa bumi Marikh


GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan imej rupa bumi planet Marikh.


WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menyiarkan imej beberapa bentuk bumi bergunung-ganang di planet Marikh.

Gambar-gambar itu dihasilkan berdasarkan rakaman kamera Resolusi Tinggi Pengimejan Eksperimen Sains (HiRISE) pada sebuah kapal angkasa penjelajah Marikh miliknya.

Ia turut menunjukkan permukaan Kawah Mojave di bahagian yang dikenali sebagai Xanthe Terra, di tenggara planet itu.

Kawah berkenaan mempunyai keluasan 60 kilometer dan merupakan antara kawah paling baru di Marikh. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Tentera India guna senjata cili


SEORANG petani menunjukkan cili bhut jolokia di India.


GAUHATI, India - Tentera India kini memiliki senjata baru bagi menentang pengganas iaitu cili paling pedas di dunia.

Beberapa pegawai pertahanan semalam berkata, pihak tentera akan menggunakan cili yang dinamakan bhut jolokia atau cili hantu itu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan suspek.

"Grenad bhut jolokia akan menjadi senjata tanpa toksik yang berkesan kerana bau pedasnya membuatkan pengganas tercekik sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian," kata Pengarah Jabatan Sains Hayat Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO), R. B. Srivastava.

Cili itu disenaraikan Guinness World Records pada 2007 sebagai cili paling pedas di dunia yang dimakan untuk merawat masalah perut dan cuaca panas.

Ia yang ditanam di timur laut India jauh lebih pedas berbanding sos Tabasco atau lada jalapeno. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...