Monday, April 26, 2010

Gempita tsunami udara

Letusan gunung berapi yang dilitupi ais di Iceland telah menyebabkan negara-negara Eropah diselubungi debu hitam minggu ini.




“IA sangat aneh, hanya satu kejadian gunung berapi seluruh Eropah terjejas,” kata Claire Maertens, 49, seorang pelancong Belgium yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand kerana penerbangan ke kampung halamannya di barat laut Eropah dibatalkan ekoran fenomena letusan gunung berapi di bawah glasier di Iceland.

Hakikatnya memang begitu. Kepulan debu hitam daripada letusan Gunung Berapi Eyjafjallakokull, Iceland minggu lalu itu telah meliputi seluruh langit Eropah.

Ia menyebabkan 100,000 penerbangan yang merentasi ruang angkasa benua itu dibatalkan dan syarikat penerbangan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) iaitu yang terburuk dalam sejarah.

Seramai 1.2 juta penumpang terkandas setiap hari telah mencorakkan pelbagai ragam dan huru-hara. Tidak kurang yang naik angin apabila bercerita terlepas urusan perniagaan, temu janji dan majlis perkahwinan.

Anak Malaysia yang menetap di Dublin, Ireland, Hazman Abdul Hamid, 37, merasa tempiasnya akibat letusan itu.


KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.


Tertangguh

Sebagai Pengurus Sumber di sebuah syarikat rekaan dalaman, Brian S. Nolan resah kerana barang yang ditempah masih belum tiba biarpun pesanan dibuat sebelum beliau bercuti Spring Week lagi.

“Saya masih menunggu ketibaan barang-barang yang telah dipesan dari United Kingdom, Eropah dan beberapa bahagian dunia yang lain.


KIRA-KIRA 700 penduduk di sekitar Eyjafjallakokull diarah meninggalkan kediaman masing-masing.


“Sepatutnya semua barang itu tiba sebaik saya pulang daripada bercuti tetapi nampaknya kerja terpaksa ditangguhkan dan saya perlu terus menunggu sehingga laluan udara dibuka dan kesemua barang yang dipesan tiba,” kata Hazman.

Ketika dunia sedang panik berdepan dengan kesan letusan gunung berapi itu, chef tersohor negara dan diiktiraf dunia, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 52, sedang terkandas di London.

“Saya sedang bingung sekarang. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terkandas di sini.

“Dua, tiga malam sejak kebelakangan ini memang saya tidak nyenyak tidur kerana saya sepatutnya sudah terbang pulang ke Malaysia pada 19 April lalu untuk memenuhi beberapa undangan,” ujarnya ketika dihubungi Rabu lalu.


TERKANDAS di lapangan terbang ialah antara kesan yang jelas kelihatan susulan dari musibah letusan Eyjafjallakokull.


Sepatutnya, jika merujuk jadual yang telah diatur, Chef Wan sedang berucap dalam sebuah seminar di Petronas Melaka pada hari itu.

Pada 25 April pula, beliau bertanggungjawab membuat demonstrasi pada Pesta Makanan Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Terbang langsung ke London dari Pulau Mauritius lima hari sebelum itu, Chef Wan berada London bagi membuat rakaman televisyen sebagai tetamu siri The Market Kitchen untuk saluran UK Food Network.

“Pada masa yang sama saya memenuhi undangan untuk membuat persembahan masakan di World Gourmand Cookbook Celebrity Chef Performance Theater sempena Pesta Buku London,” kongsinya.

Pemandangan kelam-kabut di kaunter tiket kereta api dan feri di mana kesemua tiket untuk dua minggu habis ditempah juga tidak membantu mententeramkan perasaannya. Sedangkan cuaca di London pada ketika itu, kata Chef Wan, masih cerah.

“Orang ramai sudah mula bimbang kalau-kalau letusan gunung berapi itu bertambah serius. Kalau ia terjadi, bencana alam besar menanti.

“Terfikir juga, kalau ditakdirkan saya meninggal dunia kerana bencana itu, biarlah di tanah air sendiri, bukan di negara orang,” luahnya yang mendapat berita tentang letusan itu melalui jurukamera ketika membuat rakaman. Melihat paparan klip rakaman letusan itu di televisyen juga sudah menakutkannya.

“Suasana di sini menjadi kelam-kabut. Saya menjadi takut ketika melihat laporan berita bahawa orang ramai sehinggakan bertumbuk di lapangan terbang kerana hilang sabar berebut hendak menuju ke destinasi masing-masing.

“Dalam fikiran saya tanda-tanda kecil kiamat sudah bermula kerana mengenangkan ceramah ulama yang sempat saya dengar, manusia digambarkan menunjukkan perangai buruk mereka dalam keadaan seperti ini ketika menghampiri kiamat,” luah Chef Wan.

Rancang Chef Wan, beliau mahu cuba menaiki feri ke Perancis pada keesokan harinya.

Jalan pulang

“Mana tahu ada feri tambahan ke Perancis. Sampai di Perancis saya akan cuba dapatkan feri ke Sepanyol dan selepas itu ke Casablanca, Maghribi. Dari sana, saya akan naik kapal terbang ke Dubai dan balik ke Malaysia,” cerita bapa kepada aktres Serena Redzuawan itu.

Berita baiknya, Chef Wan dilaporkan berjaya pulang pada Jumaat lalu melalui penerbangan langsung dari London ke Malaysia.

Berbalik kepada kejadian gunung berapi di Iceland, panggilan telefon daripada seorang pegawai perlindungan sivil pada pukul 2 pagi 15 April 2010 menjadi amaran pertama buat penduduk ladang Thorvaldseyri bahawa gunung berapi yang dilitupi ais, Eyjafjallajokull, yang berada berdekatan kediaman mereka akan meletus dalam 20 minit.

Jika mereka terus tinggal di ladang tenusu itu mereka mungkin akan dihanyutkan cairan salji akibat pembebasan tenaga yang sudah bermula di dalam gunung berapi yang terletak enam kilometer dari situ.

Itulah letusan besar-besaran kali pertama gunung berapi itu sejak tahun 1821. Selama ini ia diam sahaja dan tidak dikenali dunia.

Namun, pada hari itu, nama gunung berapi yang sukar untuk disebut itu mengisi muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa setelah menjadi penyebab ruang udara barat Eropah dan Scandinavia diselubungi debu.




Kira-kira 700 penduduk diarah meninggalkan kawasan itu. Sedangkan, lembu tenusu dan kesemua harta mereka masih di ladang itu.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, berdasarkan abu hitam yang meletus keluar daripada gunung berapi itu, maka boleh disifatkan satu letupan yang amat dalam di dalam perut bumi telah berlaku.

Terburuk

“Ia memang suatu bencana yang dahsyat. Bahkan, ada pihak yang menyifatkan ia sebagai bencana terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Ia seperti mencetuskan tsunami di udara.

“Debu kehitaman yang keluar menandakan telah berlaku letupan atau perlanggaran plat yang begitu dalam iaitu di teras bumi. Abu hitam mengandungi kandungan teras bumi seperti nikel dan besi.

“Berbanding gunung berapi yang biasa di Asia Tenggara mengeluarkan abu yang berwarna putih kerana letupan berlaku di kawasan kerak bumi,” katanya.


HASIL ternakan dan tanaman terpaksa ditinggalkan semasa kecemasan akibat bencana itu.


Jelas Mohamad Ali, keadaan gunung di Iceland yang dilitupi glasier (ais kekal) memungkinkan letusan yang datang jauh lebih dalam kerana apabila tekanan yang melibatkan permukaan berais akan menyebabkan kesan yang lebih kuat.

Letusan yang lebih kuat dan dalam menyebabkan abu naik menjulang tinggi ke langit berbanding letusan yang kurang kuat yang mengeluarkan lahar yang lebih banyak.

Mohamad Ali berkata, saintis kini percaya berdasarkan kajian dan sejarah bahawa satu lagi letusan gunung berapi akan berlaku pada kembar Eyjafjallakokull iaitu Katla dan ia 10 kali ganda lebih besar.


RISIKO pesawat yang terbang dalam kepulan asap letusan gunung berapi ialah kerosakan enjin yang membolehkannya terhempas.


Bukan itu sahaja, tidak mustahil bencana gunung berapi akan berlaku di benua-benua yang lain kerana perlanggaran plat telah berlaku. Debu hitam yang berterbangan ditiup angin juga boleh menuju ke atmosfera benua lain.

“Waktu berlaku letusan gunung berapi sukar untuk diramal. Kemungkinan juga terdapat implikasi-implikasi lain daripada letusan seperti kesihatan, perubahan iklim dan pemakanan dunia. Kalau masalah jerebu di negara kita, ia mungkin boleh terpadam dengan hujan.

“Tapi di kawasan benua yang kurang menerima hujan, ia mungkin lebih sukar untuk hilang. Saintis perlu melakukan sesuatu misalnya pembenihan hujan,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Cicak berkepala dua ditemui


GAMBAR menunjukkan seekor cicak yang berkepala dua di Henley Brook, Australia.


PERTH - Seekor cicak berkepala dua ditemui di Coogee, New South Wales, Australia oleh beberapa pekerja taman reptilia, lapor sebuah akhbar semalam.

Reptilia dari spesies yang dikenali sebagai Shingleback itu kini ditempatkan di sebuah taman reptilia di Henley Brook, di sini.

Cicak itu bukan sahaja mempunyai dua kepala tetapi juga mempunyai dua pasang kaki depan di sisi setiap kepalanya.

Pergerakan cicak itu tidak lincah kerana ia mempunyai dua kepala dan kedua-dua mulutnya boleh memakan makanan.

Salah satu kepala itu didapati lebih besar.

Keadaan itu menyebabkan cicak yang mempunyai kepala lebih besar suka menyerang kepala 'kembarnya' yang lebih kecil. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Sekolah tahfiz 'sejukkan' selekoh maut

Laluan berliku ke Sungai Congkak dan Sungai Gabai di Hulu Langat, Selangor terselit insiden aneh.


LALUAN di Kampung Sungai Perdek dikatakan pernah mencatat kejadian pelik.


"BIAR dengar, jangan jumpa," ungkap Norehan Kudrat, 45, memulakan bicara mengenai entiti paranormal yang acapkali ditemui melintas di beberapa kawasan sepanjang Jalan Hulu Langat, khususnya dari Batu 14 hingga Kampung Pansoon dekat Empangan Sungai Langat, Selangor.

Tidak sukar untuk Norehan memulakan cerita kerana dia sendiri pernah mengalami 'lintasan makhluk halus' seperti yang kerap diceritakan oleh penduduk setempat.

Jalan yang bengkang-bengkok dan merentasi tanah perkuburan, bukit, anak sungai dan hutan itu merupakan laluan utama penduduk dan didakwa 'meriah' dengan peristiwa yang sukar dijelaskan menerusi sains moden.




"Fenomena yang selalu berlaku ialah hujan panas terutama di beberapa kawasan selekoh.

"Peliknya, hujan itu cuma turun di permulaan selekoh namun jalan di hujung selekoh kering dan tidak hujan, begitu juga sebaliknya.

"Biasanya, kalau ada orang yang melalui selekoh itu semasa hujan panas tersebut, pasti mereka terlihat atau mengalami sesuatu," cerita Norehan.

Ujarnya lagi, kebanyakan penduduk tempatan pernah mengalami kejadian yang mampu menaikkan bulu roma itu sekurang-kurangnya sekali dan lokasinya ialah di selekoh tersebut.

"Kejadian yang paling popular ialah ada penduduk yang menemui beberapa ekor kuda hitam setinggi manusia berjalan di kawasan selekoh. Apabila hendak ditengok semula melalui cermin sisi kereta, kuda tersebut hilang begitu saja.

"Padahal kebanyakan kejadian terjumpa kuda itu berlaku pada waktu siang," kata Norehan yang merupakan anak jati Kampung Lubuk Kelubi, Batu 19 itu.

Bukan sekadar orang biasa, imam masjid turut disakat oleh makhluk halus itu.

"Pernah dulu, salah seorang imam di sini terjumpa pocong selepas menunaikan solat Subuh. Memang kecohlah sekejap tapi benda itu tidak mengganggu. Ia sekadar menampakkan dirinya," jelas Norehan.

Dalam pada itu, bekas Ketua Kampung Lubuk Kelubi, Kudrat Mohd. Rashid, 80, menyifatkan segala kejadian aneh di kawasan tersebut terutama di selekoh berbukit itu sebagai perkara biasa.

Malah, pengalaman seorang anaknya yang tergilis ekor ular sawa ketika memandu bersamanya tidak dapat dilupakan sehingga kini.

"Daripada cermin pandang belakang kereta, kami nampak ular sawa sebesar batang kelapa itu berdiri tegak sebaik saja kami melepasinya.

"Beberapa saat kemudian ular sawa itu terus hilang," ungkap Kudrat yang berketurunan Minang.

Mengikut logik, hanya ular tedung selar yang mampu berdiri begitu namun apabila melihat sendiri ular sawa tersebut, memang sukar untuk dijelaskan.


KEMALANGAN secara tiba-tiba melibatkan motosikal sering berlaku di selekoh berbukit di sepanjang jalan menuju ke Kampung Pansoon.


Tambahnya, kawasan yang agak 'keras' ialah di selekoh Bukit Alai kerana pada zaman dahulu banyak kejadian pelik dan menyeramkan berlaku di situ.

Bukan sahaja entiti paranormal malah insiden berjumpa dengan kelibat beruk besar atau khinzir turut menjadi sebahagian kisah jalan tersebut.

Cumanya, terang Kudrat, kejadian gangguan tersebut semakin berkurangan semenjak sebuah sekolah tahfiz dibina di situ beberapa tahun lepas.

"Mungkin tempat itu dah 'sejuk' dengan bacaan al-Quran oleh pelajar tahfiz itu. Kisah kemalangan pelik juga sudah jarang berlaku," katanya.

Bagi Kudrat, semenjak menjadi sebahagian keluarga peneroka terawal kawasan tersebut iaitu sekitar 1930-an, pengalaman berjumpa, terlihat atau merasai gangguan ketika melalui selekoh-selekoh di situ diumpamakan sebagai rezeki.

"Bukan untuk menakutkan tetapi lebih kepada peringatan agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana selekoh di situ agak bahaya," katanya yang menjadi penghulu di kampung tersebut dari tahun 1968 hingga 1980.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm

Tewas dicumbu abang kandung

Selain dara Lydia diragut abang sendiri, dia turut dibaham 10 lelaki dalam satu malam.




“SAYA tidak sangka sepupu yang selama ini (saya anggap) kekasih sebenarnya abang kandung sendiri. Lebih malang lagi, saya sering melakukan hubungan seks dengannya.”

Itu pengakuan jujur seorang remaja berusia 13 tahun, Lydia (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal di sebuah pusat pemulihan di Selangor baru-baru ini.

Sejak kecil hidup Lydia diselubungi rahsia. Dia dipelihara datuknya sejak berusia tiga bulan.

Status Lydia hanya terbongkar selepas dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya tahun lalu.

Menurut cerita Lydia, datuknya mendakwa ibu bapa kandungnya ialah mak cik dan pak ciknya iaitu ibu bapa kepada sepupunya.

Tidak beragama

Lydia selesa untuk bercinta dengan sepupu sendiri (abang kandungnya), Rashid (bukan nama sebenar) walaupun dia ketika itu baru berusia 10 tahun.

Hakikatnya, remaja itu bukan sahaja ditipu oleh datuk dan keluarganya, malah Lydia dibiarkan terkapai-kapai tanpa didikan agama.

“Saya tidak pernah mengenal erti solat dan menunaikan amalan wajib yang ditetapkan agama Islam sehingga pada usia saya sekarang. Itupun saya belajar di pusat pemulihan.

“Malah, saya tidak beragama walaupun keluarga saya beragama Islam kerana mereka tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Agama Islam hanya sekadar warisan semata-mata,” katanya sedih.

Keadaan itu menyebabkan Lydia bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya termasuk menjadi minah rempit, menghidu gam dan merokok.

Hakikatnya, antara sebab dia bercinta dengan Rashid adalah kerana mereka berkongsi minat yang sama.

“Rashid juga seorang mat rempit walaupun bersekolah agama. Jarak sekolahnya hampir dengan rumah datuk menyebabkan dia sering bermalam.

“Kami sering minum (di restoran) dan menonton wayang bersama-sama. Rashid sering memberikan hadiah seperti jam tangan, rantai, cincin dan telefon bimbit kepada saya. Setelah sekian lama bercinta kami akhirnya melakukan hubungan seks.


LYDIA rela tubuhnya dijamah kerana cinta dan terpedaya pujuk rayu.


Rumah datuk lokasi seks

“Lokasi perbuatan terkutuk itu tentulah di rumah datuk, terutama ketika dia tiada di rumah. Kami melakukan aktiviti itu selepas menghidu gam.

“Jiran-jiran pula tidak mengesyaki apa-apa kerana hubungan persaudaraan kami,” katanya.

Lydia bernasib baik kerana tidak mengandung kerana dia mengambil pil perancang kehamilan.

Cinta Rashid sebenarnya palsu malah dia mempunyai agenda tersendiri untuk memusnahkan hidup Lydia.

Rashid tidak mencintai Lydia, sebaliknya dia berhasrat untuk menjadikan remaja itu sebagai objek taruhan merempit.

“Saya tidak menyedari perkara itu pada awalnya tetapi rahsia itu terbongkar setelah dia kalah dalam perlumbaan.

“Rashid meminta saya mengikut sekumpulan mat rempit. Saya kemudian dibawa ke sebuah rumah dan di sana saya dipaksa melakukan hubungan seks dengan 10 lelaki dalam satu malam.

“Sakit rasanya, tetapi kerana cinta pada Rashid saya pendam sahaja. Keesokannya saya dihantar pulang.

Abang pandai pujuk

“Saya geram dengan sikap Rashid tetapi akhirnya cair kerana Rashid memang seorang yang pandai memujuk,” ujar Lydia.

Selepas itu, dia terus menjadi umpan taruhan Rashid apabila lelaki itu merempit. Lydia akhirnya rela menjadi pemuas nafsu mat rempit.

“Saya tidak kisah (terhadap) pandangan masyarakat. Mereka kata, saya bohsia, pelacur dan sebagainya (tetapi) saya tidak kisah kerana realitinya (saya) memang begitu.


SEKUMPULAN remaja bermotosikal beraksi di sebatang jalan di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan


“Saya juga sering melawan cakap datuk malah sanggup memakinya dengan kata-kata kesat jika kehendak saya tidak dipenuhi,” katanya.

Pecah tembelang

Namun, peristiwa kemalangan jalan raya pada tahun lalu mengubah perjalanan hidup Lydia kerana kejadian itu mendedahkan tembelang Rashid.

“Peristiwa (kemalangan) itu berlaku di Puchong semasa saya bersiar-siar bersama seorang kakak angkat. Saya dilanggar oleh sebuah kereta semasa ingin memasuki simpang di satu selekoh.

“Saya kemudiannya dimasukkan ke sebuah hospital dan koma selama seminggu.

“Sebaik sedar, datuk memberitahu saya sebenarnya bercinta dengan abang sendiri. Datuk mengatakan individu yang selama ini saya anggap sebagai bapa dan ibu saudara sebenarnya ibu dan ayah kandung saya sendiri,” ujarnya.

Lydia tidak dapat menerima hakikat itu pada mulanya kerana dia menganggap hubungan seks dengan abang sendiri merupakan perkara paling jijik pernah dilakukannya.

“Selepas sembuh, saya menjadi tidak keruan dan berkurung dalam bilik. Saya pernah cuba membunuh diri.Saya bernasib baik kerana keluarga menghantar saya ke pusat pemulihan untuk menjalani rawatan.

“Rashid juga menghilangkan diri. Syukur kini saya telah kenal erti solat dan bertaubat. Saya berharap Allah dapat ampunkan dosa saya,” ujarnya pilu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Jangan denda lari keliling padang


AKTIVITI larian dianggap kurang sesuai untuk murid-murid sekolah rendah. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) mahu hukuman berlari mengelilingi padang yang dikenakan ke atas murid sekolah rendah kerana kesalahan tertentu ditukar kepada hukuman lain kerana hukuman itu dibimbangi boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan dalaman.

Presidennya, Dr. Balwant Singh Bains berkata, kanak-kanak tidak digalakkan untuk berlari anak kerana kira-kira 80 peratus daripada tubuh badan mereka mudah terdedah kepada kecederaan.

"Tidak semua orang dilahirkan mampu berlari pada jarak jauh dan berlari tanpa pemeriksaan betul boleh menimbulkan masalah pada otot, ligamen dan tendon.

"Untuk hukuman di sekolah- sekolah, kita lihat pelajar-pelajar diminta untuk berlari mengelilingi padang dua atau tiga pusingan, jadi saya berharap Kementerian Pelajaran khususnya para guru patut mencari hukuman yang lain," kata Balwant.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Sukar ramal koma


KOMA yang disebabkan oleh kecederaan otak boleh membawa kesan besar terhadap pesakit kerana ia membabitkan bahagian yang mengawal fungsi tubuh. - Gambar hiasan


HATI mana yang tidak rawan apabila melihat anak yang selama ini membawa keceriaan kini hanya mampu terlantar di atas katil. Sesekali apabila teringat keletahnya yang selama ini lincah dan menghiburkan seisi keluarga, air mata mula membasahi pipi.

“Ibu bapa mana pun tidak akan sampai hati untuk melihat keadaan anak yang terlantar begini. Dia masih muda untuk melalui semua kesakitan ini.

“Namun, saya bersyukur. Nyawanya masih panjang walaupun sudah lebih setahun dia koma.

“Semangatnya yang kuat memberi kami harapan untuk melihatnya sembuh seperti biasa,” ujar Othman Awang, 54.

Bapa kepada Noorizzati, 10, sudah puas menangis mengenangkan nasib anak keempat daripada lima beradik itu. Noorizzati dimasukkan ke hospital 29 Mac 2009 selepas pengsan di rumah.

“Pagi itu Izzati bangun seperti biasa untuk ke sekolah. Masa (dia melangkah) mahu ke bilik air, dia kata sakit tengkuk. Saya pun fikir itu cuma lenguh biasa. Saya capai botol minyak angin lalu mengurut belakang lehernya.

“Tak lama kemudian, anak saya muntah-muntah dan terus pitam. Kami bawa dia ke Hospital Sungai Petani sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,” kata Othman ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Menurut Othman, anaknya yang terlantar di hospital itu koma disebabkan masalah saraf. Selepas 13 bulan tidak sedarkan diri, anaknya kini hanya mampu menggerakkan jari tangan dan kaki.

“Memang tak sangka kejadian ini boleh menimpa Izzati. Sebelum ini dia tidak ada masalah kesihatan dan sentiasa ceria. Malah sehari sebelum kejadian itu, dia masih rancak bermain dengan kawan-kawannya.

Otak bengkak

“Sekarang isteri saya, Rokiah Yusof, 45, menunggunya di hospital.

“Dua minggu sekali, saya akan menaiki bas dari Baling ke Alor Setar untuk menjaga Izzati sementara isteri pulang dan berehat di rumah,” cerita Othman yang meraih pendapatan sebagai penebang pokok.

Lebih memilukan, dia terpaksa meninggalkan anak bongsunya yang berumur dua tahun untuk dijaga saudara-mara atau jiran setiap kali keluar bekerja.


KEMALANGAN jalan raya merupakan punca utama koma.


Menurut Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur, Dr. Mohammed Saffari Mohammed Haspani, koma adalah suatu situasi kecemasan menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri dan tidak boleh memberi tindak balas walaupun diberi rangsangan yang menyakitkan.

Bukan sekadar itu, koma juga akan menyebabkan tahap kepekaan pesakit terhadap keadaan sekeliling menjadi amat rendah.




“Koma boleh terjadi atas pelbagai sebab termasuk kecederaan otak, penyakit kritikal seperti kencing manis, buah pinggang, sawan, strok, ketumbuhan dalam otak dan jangkitan kuman yang telah merebak ke dalam otak dan selaput luarnya.

“Bagaimanapun, kemalangan jalan raya adalah punca utama koma, malah setiap hari ada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerananya,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Jelas Saffari, koma yang disebabkan oleh kecederaan otak boleh membawa kesan besar terhadap pesakit kerana ia membabitkan bahagian yang mengawal fungsi tubuh.

Pesakit yang datang dengan kecederaan parah pada bahagian kepala dan tulang belakang turut berisiko mengalami masalah otak membengkak dan lebam selain kecederaan pada tisu otak serta retak tempurung kepala.

Selain itu, pesakit yang mengalami kerosakan pada pangkal otak juga boleh mengalami koma kerana kecederaan itu boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, anak matanya mengecil dan berdepan dengan masalah-masalah lain.

Pengsan

Menurut Saffari, keadaan pesakit ketika dibawa ke hospital bakal menentukan keputusan akhir ujian atau pemeriksaan terhadap pesakit koma.

“Pesakit koma perlu dibawa terus berjumpa paramedik untuk didiagnosis.

“Memandangkan pesakit tidak sedarkan diri, maklumat yang diberitahu oleh orang yang menghantar (pesakit) sangat membantu pakar perubatan untuk menetapkan kaedah rawatan terbaik.

“Adakalanya, pesakit yang tenat memerlukan pembedahan segera. Sekiranya terdapat pesakit yang tidak sedarkan diri, jangan ambil mudah (kes itu) dengan menganggapnya hanya pitam.

“Membiarkan pesakit pengsan boleh memburukkan keadaan dan mengakibatkan komplikasi yang lebih teruk. Malah, kelewatan memberi rawatan kepada mereka boleh membawa kepada kematian,” ujarnya.

Saffari yang mempunyai pengalaman 24 tahun dalam bidang kaji saraf menjelaskan beliau sering dihujani persoalan seperti bila dia akan sedar, adakah peluangnya untuk hidup tinggi atau adakah dia perlu bergantung kepada orang lain selepas sedar?

Rasa sakit

“Ia sesuatu yang sukar untuk dijawab. Kita tidak boleh meneka sebaliknya perlu melihat kepada situasi kesihatan pesakit.

“Ada pesakit koma beberapa jam sahaja dan ada yang koma berhari-hari. Saya juga sering berdepan dengan kes koma yang makan masa berbulan-bulan malah ada juga yang tidak sedarkan diri lebih dari setahun.

“Kebiasaannya pesakit kanak-kanak atau orang muda lebih cepat sedar berbanding warga emas.

“Disebabkan itu, cara rawatan yang diberikan juga berbeza. Untuk golongan muda, rawatan yang diberikan adalah lebih agresif,” jelasnya.

Tahap koma pesakit pula boleh ditentukan melalui siri pemeriksaan dan ujian.

Menurut Saffari, pakar perubatan akan memberi sedikit rangsangan kepada pesakit untuk melihat tindak balasnya.

Sekiranya tiada tindak balas, pesakit akan diberi sedikit rangsangan kesakitan. Pada peringkat ini, ada pesakit yang mampu sedar namun kembali koma.


KECEDERAAN serius di kepala dikaitkan secara langsung dengan situasi koma.


Namun, sekiranya pesakit langsung tidak memberi sebarang tindak balas walaupun dirangsang rasa sakit, mereka akan dikelaskan dalam peringkat koma yang paling teruk.

“Doktor akan menilai tahap koma pesakit berdasarkan tindak balas yang diberikan berpandukan Skala Koma Glasgow.

“Dalam penilaian itu, terdapat tiga komponen penting yang memberi petunjuk bahawa pesakit tersebut mampu berinteraksi dengan rangsangan iaitu membuka mata, respons lisan dan respons motor atau pergerakan,” jelas Saffari.

Setiap ujian rangsangan tersebut berperanan dalam menentukan indeks koma pesakit sama ada peringkat jaga, tidak bertenaga, stupor iaitu tidak boleh berfikir atau mendengar dan koma.

“Skala minimum adalah tiga, mewakili koma yang kritikal dan nilai maksimum ialah 15, mewakili keadaan koma yang tidak teruk.

“Bagaimanapun, bacaan pada skala ini boleh berubah. Ada pesakit yang datang dengan bacaan 13 dan beberapa jam berikutnya, skala menurun kepada 10 atau lapan menjadikan kes itu sebagai kritikal.

“Sebanyak 40 peratus daripada kebanyakan kes koma dengan bacaan lapan akan berakhir dengan kematian,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

H1N1: Satu lagi kematian melibatkan lelaki 63 tahun

25/04/2010 6:47pm

KUALA LUMPUR 25 April – Satu lagi kematian berkaitan virus influenza A (H1N1) dilapor, membabitkan seorang lelaki berusia 63 tahun yang menghidap penyakit paru-paru kronik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban pada 22 April lepas dan meninggal dunia keesokan harinya.

Beliau berkata, walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, pakar perubatan yang mengendalikan kes itu mengesahkan kematian disebabkan jangkitan bakteria dalam darah berdasarkan keputusan ujian darah yang dijalankan.

"Oleh itu, jumlah kematian H1N1 seluruh negara masih kekal 80 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr. Mohd. Ismail berkata, sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 39 kes disahkan influenza A (H1N1) atau selesema babi dilaporkan, yang menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini 13,436 kes.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan virus H1N1 orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/300. – Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm

KL catat 52 kematian akibat denggi

25/04/2010 2:50pm

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur mencatat 52 kes kematian akibat demam denggi dari Januari sehingga kini, kata Pengarah Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr. Sallehuddin Abu Bakar.

Beliau berkata, jumlah kes demam denggi yang dilapor pada tahun ini adalah tinggi berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 1,639 kes yang dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April berbanding 1,400 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dr. Sallehuddin berkata, antara lokasi yang dikesan menjadi kawasan nyamuk aedes aktif membiak di sekitar Kuala Lumpur ialah Cheras, Setapak, Kepong, Gombak dan Klang Lama.

Beliau meminta kerjasama masyarakat setempat dan penduduk agar memastikan kawasan dalam rumah dan persekitaran rumah mereka bebas Aedes. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...