Sunday, May 9, 2010

Belgium negara pertama haramkan burqa




AKTIVIS hak asasi manusia, Sara Bokker sebelum ini mempunyai pandangan negatif terhadap agama Islam. Wanita yang berasal dari Selatan Dakota, Amerika Syarikat (AS) itu beranggapan Islam sebuah agama yang menafikan hak wanita, membenarkan poligami dan cenderung kepada keganasan.

Bagaimanapun, peristiwa serangan 11 September 2001 di Washington dan New York telah membuka matanya berhubung prejudis dan sikap berat sebelah Barat terhadap Islam. Selepas itu, dia mula mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.

Pada usia 29 tahun, Sara akhirnya memeluk Islam dan sejak itu penampilan dirinya berubah seperti seorang Muslimah. Malah, dia turut memakai niqab (purdah) atas alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan yang terbaik demi agamanya.

Sayangnya penampilan itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia.

Mereka mengatakan pakaiannya itu merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita. Lebih menyedihkan ia dikatakan sebagai petanda kemunduran dan ketinggalan zaman.

Dilema yang dihadapi oleh Sara sebenarnya turut dirasai oleh sebilangan besar wanita Islam yang menetap di negara-negara Barat.


BELGIUM menjadi negara pertama Eropah yang mengharamkan pemakaian burqa di tempat awam.


Di Belgium, majoriti Ahli Parlimen negara itu menyokong rang undang-undang yang melarang pemakaian burqa di tempat awam. Sebaik sahaja dikuatkuasakan kelak, ia bakal menjadi negara Eropah pertama yang menguatkuasakan undang-undang sedemikian.

Perancis

Senario yang sama turut dilihat di Perancis. Selepas melarang penggunaan sebarang simbol keagamaan seperti pemakaian tudung oleh wanita Islam pada 2004, negara itu kini cuba mengharamkan burqa pula.

Kerajaan negara itu sedang menyusun draf perundangan untuk mengharamkan pemakaiannya selepas satu laporan Parlimen mencadangkan pengharaman memakai burqa di sekolah, hospital, pejabat kerajaan dan di dalam pengangkutan awam.

Presidennya, Nicolas Sarkozy, sebelum ini menyatakan, burqa tidak dialu-alukan dalam pemerintahan sekular Perancis dan beliau menyokong undang-undang yang mengharamkannya.

"Ia bertentangan dengan harga diri wanita, jadi kita perlu mengharamkannya," katanya pada satu perbahasan ahli politik kerajaan dan pembangkang.


KEBANYAKAN wanita yang memakai burqa di Belgium berketurunan Arab.


Ketika ini, dianggarkan kira-kira 1,900 wanita daripada keseluruhan lima juta umat Islam di negara Perancis memakai burqa namun kebanyakannya memakai niqab.

Presiden International Movement for a Just World (JUST), Dr. Chandra Muzaffar berkata, pihak yang menyokong larangan terhadap pakaian itu sebenarnya belum dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai burqa merupakan golongan yang lebih tertindas berbanding orang lain.

Beliau berkata, pemakaian tudung juga tidak melemahkan demokrasi atau nilai moral umum.

"Melarang burqa dan niqab dipakai tidak membebaskan wanita tertindas tetapi mungkin menyebabkan mereka semakin terasing daripada kehidupan masyarakat Eropah.

"Larangan umum terhadap pemakaian seperti itu juga akan dianggap pencabulan hak individu yang tidak wajar," katanya yang bimbang tindakan itu akan menimbulkan kontroversi di kalangan kelompok-kelompok Islam terutamanya daripada puak fanatik.

Chandra berkata, sentimen anti-Islam dilihat semakin meningkat berikutan pelbagai kontroversi yang berlaku di Eropah sejak akhir-akhir ini.

Di Warsaw, ibu negara Poland, terdapat demonstrasi membantah pembinaan sebuah masjid di pinggir kota itu manakala di Switzerland, rakyatnya disaran mengundi mengharamkan pembinaan menara masjid.

"Tindakan yang dilakukan menunjukkan kebencian dan penghinaan berterusan kuasa besar terutama Barat ke atas umat Islam.

"Sebelum ini merekalah yang paling lantang menuding jari dan menyelar negara-negara lain kononnya gagal melaksanakan hak asasi manusia, namun kini sikap yang ditunjukkan adalah sebaliknya," kata Chandra.

Beliau menjelaskan, sentimen anti-Islam masih menebal di Barat khususnya selepas Perang Salib yang berlaku antara kurun ke-11 sehingga ke-13.

Katanya, Perang Balkan di Bosnia sekitar tahun 90-an membuktikan usaha untuk menyingkirkan umat Islam di Eropah masih wujud sehingga kini.

"Faktor itu ditambah dengan kebanjiran ramai penganut Islam khususnya dari rantau Arab dan Afrika Utara, Bangladesh serta Pakistan ke Eropah sejak beberapa dekad lalu yang kini dilihat mula menguasai ekonomi mereka.

"Penonjolan identiti Islam di sana dianggap sebagai satu ancaman apatah lagi bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian," jelasnya.

Sewaktu pemerintahan Taliban di Afghanistan pada pertengahan tahun 90-an dahulu, kaum wanita di negara itu diwajibkan memakai burqa setiap kali keluar rumah. Mereka yang ingkar bakal berdepan tindakan tegas.

Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Fatimah Daud menyifatkan apa yang berlaku merupakan satu bentuk diskriminasi moden.




Menurutnya, berdasarkan teori hubungan etnik, diskriminasi oleh segelintir masyarakat kulit putih di Barat telah lama wujud.

Ia bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam malah turut melibatkan kaum lain seperti Afrika dan Asia termasuk bangsa Eropah yang berasal dari negara-negara bekas komunis.

"Dasar Aparteid di Afrika Selatan merupakan satu cara ortodoks yang menunjukkan kebencian secara terang-terangan melalui perbezaan warna kulit sehingga sanggup membunuh.

Keselamatan

"Bagaimanapun, perkembangan zaman menyebabkan kaedah seperti itu tidak lagi sesuai digunakan, lalu golongan itu beralih pula kepada diskriminasi moden yang dilakukan secara halus, misalnya menguatkuasakan peraturan yang ketat dan cukai yang tinggi ke atas orang luar yang ingin menetap di negara itu," katanya.

Fatimah menjelaskan, bangsa Eropah secara amnya tidak suka bercampur antara satu sama lain. Rakyat di Perancis dan Britain misalnya tidak begitu rapat walaupun mereka berjiran dan mempunyai warna kulit yang sama.

Katanya, kehadiran ramai warga asing termasuk dari negara-negara Islam menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk dan pemerintah tempatan kerana mereka dianggap cuba merampas hak keistimewaan dan ekonomi mereka.

Fatimah berkata, teori hubungan etnik juga menyifatkan apa yang berlaku ke atas umat Islam di Eropah kini merupakan satu proses kesamaran etnik.


TIADA bukti yang menunjukkan wanita yang memakai burqa merupakan golongan tertindas seperti yang didakwa media Barat.


Jelasnya, mengikut teori itu, sempadan yang mendasari setiap etnik perlu dihapuskan, warga asing yang tinggal di negara mereka perlu menyerap budaya tempatan dan tidak menonjolkan budaya masing-masing melalui pakaian, cara hidup, keagamaan dan sebagainya.

"Pemakaian burqa dan niqab dan pembinaan menara masjid dilihat menonjolkan imej Islam di Eropah, lebih-lebih lagi jumlah umat Islam semakin meningkat di sana.

"Melalui undang-undang dan sekatan yang dilakukan, ia akan menghakis imej tersebut dan mengurangkan sempadan etnik. Mereka mahu semua rakyat di negara itu mengamalkan cara hidup Barat," katanya.

Perdebatan tentang pengharaman pemakaian burqa itu turut mendapat reaksi daripada Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

"Jika ia semata-mata atas alasan keselamatan, kebimbangan itu keterlaluan. Adalah tidak adil untuk mengatakan semua wanita memakai pakaian itu menimbulkan ancaman," katanya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, menyifatkan Perancis mencabul hak Muslim apabila tidak membenarkan penganutnya menunaikan tanggungjawab agama termasuk memakai hijab.

Bagi ahli perundangan Syria, Mohammed Habash yang mengetuai Pusat Kajian Islam negara itu, langkah Perancis dan Belgium hanya akan meningkatkan kebencian terhadap Islam.

"Tidak ramai wanita di Perancis memakai niqab. Pakaian itu tidak memberi ancaman keselamatan atau budaya. Langkah seperti ini tidak membantu merapatkan hubungan negara Islam dan Barat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Fiqh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Datuk Mahmood Zuhdi berkata, di dalam al-Quran menyatakan wanita hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka.


WANITA Islam hanya diwajibkan menutup kepala dan tubuh mereka tetapi harus membiarkan wajah dan tapak tangan dibuka. Burqa dianggap pakaian pilihan.


"Islam tidak melihat pemakaian niqab atau burqa sebagai sesuatu yang wajib kepada seseorang wanita kecuali ia menimbulkan pelbagai fitnah kepada dirinya malah sehingga kini masih wujud pertindihan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum pemakaiannya," katanya.

Ujarnya, dalam konteks masyarakat Islam di Eropah yang dianggap golongan minoriti, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

"Adakalanya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam itu sendiri, kita perlu lebih bersederhana dan bertoleransi dan tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh keadaan dan keharmonian yang dicapai.

"Bagaimanapun tindakan itu agak keterlaluan seperti mengharamkan penggunaan masjid, melarang umat Islam berjemaah atau menyekat kebebasan beragama, maka ia wajar ditentang," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Maksiat gadis genius


HANIM kini dibelenggu persoalan sama ada taubatnya diterima Tuhan.


PINTAR akademik nampaknya tidak memadai untuk menjadikan Hanim, 15, individu yang sempurna.

Kerana tidak memahami hukum agama dan tidak diselarikan dengan akidah yang mantap, keputusan cemerlang 5A yang diperoleh dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebaliknya menjadi tiket untuk Hanim berbuat sesuka hatinya.

Aktif dengan aktiviti kokurikulum semasa di sekolah rendah, namun semuanya berubah sebaik sahaja dia melangkah masuk ke sekolah menengah.

Kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR, ibu dan bapa tidak kisah kalau saya keluar malam. Saya bebas melakukan apa sahaja yang diingini kerana mereka percaya saya mampu menilai perkara baik dan buruk.

“Lagipun mereka sibuk dengan perniagaan, jadi mereka tidak ada masa untuk memberi sepenuh perhatian kepada saya,” ujarnya.

Dengan kesempatan itulah, hobinya yang sebelum ini rajin belajar diubah kepada kerap ponteng sekolah. Lokasi melepak semasa dia ponteng ialah di Pasar Seni, KLCC, MidValley dan restoran makanan segera.

Licik melindungi jejaknya, Hanim yang menyalin pakaian sekolah dengan kemeja dan seluar jean ketika ponteng sekolah akan kembali menyarung identiti pelajarnya sebaik mahu pulang ke rumahnya yang terletak di Kepong.

Black Metal

Namun, daripada sekadar ponteng sekolah, Hanim, tanpa dirancang, terjebak dalam kejadian yang paling hitam dalam hidupnya.

“Asalnya saya dan rakan ingin menyambut tahun baru di KLCC tetapi akhirnya saya ditinggalkan sendirian kerana kawan-kawan mempunyai agenda masing-masing di lokasi lain.

“Jadi setelah berpecah dengan rakan-rakan pada malam itu saya dihampiri seorang gadis. Dia mengajak saya berbual-bual se hingga saya tertarik untuk mengikutnya pulang ke rumah,” katanya.

Gadis itu rupa-rupanya anggota sebuah kumpulan Black Metal. Hanim mengikuti gadis itu ke sebuah rumah di Hulu Langat, Selangor. Di situlah Hanim secara rasmi menjadi ahli Black Metal.

Ketika ditanya mengapa dia sanggup menjadi ahli Black Metal, kata Hanim dia sekadar ingin mencuba.

“Pada masa itu, saya berada di sebuah bilik yang gelap. Syarat untuk menjadi ahli ialah saya perlu minum darah kambing yang dicampurkan dengan darah saya. Perbuatan itu juga dilakukan di hadapan kepala kambing hitam.

“Selepas minum darah itu menggunakan sebuah mangkuk kecil, saya terus pening dan pengsan,” katanya.

Seks songsang

Sambung Hanim, sebaik tersedar, dia mendapati dirinya bogel tanpa seurat benang pun di tubuh. Malah, selepas itu dia mendapat tahu dirinya dirogol lima lelaki.

Dia bertanya kepada ketua kumpulan Black Metal itu yang dikenali dengan nama Man mengapa dia diperlakukan sebegitu, Man hanya menjawab seks bebas dan hubungan sejenis adalah perkara biasa bagi kumpulan Black Metal.

Bermula saat itu, Hanim terus terjerumus ke lembah maksiat. Seks bebas, hubungan sejenis dan minum arak menjadi perkara wajib bagi dirinya.

Tiada istilah teman wanita bagi seorang ahli Black Metal. Malah teman wanita boleh dikongsi bersama. Seks beramai-ramai merupakan perkara biasa sehingga saya pernah melakukan seks dengan 13 individu termasuk wanita dalam satu masa.

“Selain itu, kami akan minum arak beramai-ramai dan menari bogel sambil menyanyi. Hidup kami ibarat burung hantu. Waktu siang kami tidur, sebelah malamnya pula kami aktif,” ujarnya.

Sebagai remaja yang belum mencecah 15 tahun, Hanim ternyata jauh berpengalaman dalam hubungan kelamin berbanding mereka yang seusianya.

Namun, permintaan teman lelakinya untuk melakukan seks seperti biasa ditolak Hanim setelah dia mula berasa bosan dengan kehidupan tanpa arah sebegitu.

“Dia (teman lelaki) memberitahu Man tentang reaksi saya itu menyebabkan Man naik marah kerana saya mempertikaikan peraturan yang ditetapkan. Akibatnya saya dipukul hingga tinggal separuh nyawa.

“Nasib baik ada sekumpulan lelaki yang kebetulan berkhemah di situ mendengar jeritan saya dan mereka datang membantu. Man dan ahli kumpulan kami yang lain melarikan diri,” katanya.

Hanim kemudiannya dihantar oleh kumpulan lelaki tadi ke rumah kakak angkatnya di Kajang kerana khuatir Man dan kumpulannya akan mencarinya semula.

Malangnya, kejadian itu masih belum mampu menginsafkan Hanim. Sebaliknya dia menjadi lebih liar. Dia menjadi gadis kelab malam yang merelakan dirinya diratah oleh seberapa ramai lelaki selain menjadi minah rempit.

Gugur kandungan

Hanim juga rela dirinya menjadi objek seks yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh lelaki dengan rakus walaupun upahnya sekadar segelas air berkarbonat.

Lokasi tempat dia melampiaskan nafsu ialah di hotel murah, rumah sewa, tepi pantai dan lorong-lorong gelap di sekitar Lembah Klang.

Dia juga melakukan seks dengan bapa kakak angkatnya dan lebih malang keluarga kenalannya itu menganggap perkara itu biasa dalam kehidupan zaman moden kini.

“Hanyut saya ketika itu. Malah pelbagai jenis dadah seperti ganja, heroin dan pil khayal telah saya cuba. Saya juga pernah menggugurkan kandungan lebih daripada sekali,” katanya lagi.

Namun, Allah masih menyayanginya. Hanim diberi peluang untuk berubah.

Keluarganya berjaya mengesannya selepas hampir dua tahun dia melarikan diri dari rumah.

Keluarganya menghantar Hanim ke pusat pemulihan akhlak Baitul Islah di Bukit Beruntung, Rawang untuk menjalani rawatan.

“Mereka cukup sedih dan tidak menyangka anak sulung harapan mereka telah menjadi ‘gadis syaitan’. Mulanya saya memberontak ingin bebas tetapi semakin lama saya sedar akan lautan dosa saya.

“Terfikir juga sama ada dosa-dosa saya akan diampunkan oleh Allah kelak,” ujarnya pilu.

Nama sumber bukan nama sebenar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm

Cemburu seorang lelaki




PERASAAN cemburu sering dikaitkan dengan mesej kasih sayang. Bagaimanapun perasaan cemburu yang gagal diurus boleh mendatangkan masalah besar dalam satu-satu perhubungan.

Misalnya di Melaka baru-baru ini, seorang jururawat, Hashimah Nong, 40, cedera parah apabila kemaluannya dirodok oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera berusia 40-an.

Menurut Hashimah, suaminya mendengar bisikan suara jin yang memberitahu kononnya dia telah berzina dengan orang lain.

Tindakan suami Hashimah itu dianggap luar biasa malah ada pihak yang mempertikaikan kewarasan lelaki yang disifatkan pendiam dan perahsia itu.

Kisah Hashimah merupakan satu contoh jenayah cemburu di negara ini.

Kerana mahu mengelak kejadian sama berlaku, seorang mangsa lelaki cemburu, Nor Zanariah Zakaria, 27, nekad memutuskan pertunangannya dengan seorang lelaki yang didakwanya cemburu buta.

Patah tangan

Jika dahulu saya memang suka dia cemburu sebab mahukan perhatiannya. Tetapi selepas bertunang, cemburunya semakin menjadi-jadi.

“Malah, saya pernah dipukul hingga patah tangan hanya kerana tidak mengangkat telefon,” ujar Zanariah.

Wanita malang itu sering menjadi mangsa kekasaran tunangnya walaupun atas kesalahan yang kecil.

Tidak hanya dengan pukul, telinganya juga sudah lali dengan ugutan dan maki hamun daripada insan yang pernah melayannya bagai seorang puteri raja.

“Sikapnya mula berubah enam bulan sebelum kami dijadualkan melangsungkan perkahwinan. Dia semakin panas baran dan sikap cemburu butanya sering menjadi punca perang mulut antara kami berdua.

“Saya sendiri tidak faham, apa yang mahu dicemburukan. Alasan yang selalu dipertahankan, dia cemburu kerana tidak mahu kehilangan perhatian saya.

“Saya cuba mencari jalan tengah dengan bersikap terbuka dan memperkenalkan rakan-rakan sepejabat dengannya.

“Namun sifat terbuka saya dijadikan senjata untuk menuduh saya yang bukan-bukan. Setiap hari ada sahaja perkara yang diragukan sampai naik rimas dibuatnya,” kata Zanariah.

Bercerita lebih lanjut sikap tunangnya, Zanariah mendakwa dia pernah dijerkah di depan rakan-rakan sepejabat hanya kerana bekerja syif malam dengan seorang rakan lelaki.


LELAKI yang terlalu cemburu sanggup bertindak di luar pemikiran waras.


“Ia bukan perkara pelik bagi kakitangan beruniform seperti saya bekerja pada waktu malam, tetapi tunang saya tidak boleh menerima keadaan itu, lebih-lebih lagi jika rakan syif malam adalah lelaki,” luah anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Akibat tidak tahan dengan sikap tunangnya yang cemburu buta itu, Zanariah tekad memutuskan tali pertunangan walaupun hari perkahwinan hanya berbaki 45 hari.

“Saya tidak kisah menanggung malu asalkan hidup saya tidak merana selepas itu,” tuturnya.

Mengulas insiden yang dialami Hashimah dan Zanariah, Perunding Kanan Psikiatri Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Md. Zin berkata, terdapat beberapa perkara yang mendorong lelaki bersikap cemburu buta.

Bisikan

“Berdasarkan cerita Hashimah, (saya dapati) ada dua faktor yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

“Bisikan yang didengari oleh si suami yang mendakwa isterinya curang sehingga mendorongnya mencederakan isteri jelas menunjukkan wujud gangguan mental.

“Ini tidak mustahil kerana cemburu yang melampau boleh terjadi disebabkan masalah psikiatri seperti sakit jiwa.

“Bagi lelaki normal, dia akan bertindak agresif tetapi tidak sampai mengakibatkan kecederaan melampau.

“Marah atau pukul mungkin perkara biasa, tetapi tidak jika sampai merodok kemaluan isteri dengan pisau,” katanya.

Selain gangguan mental, Azhar berpendapat, kejadian ganas itu juga mungkin berpunca daripada sifat biologi suami Hashimah yang memang dikuasai perasaan cemburu sejak kecil.

Lelaki cenderung untuk bersikap agresif apabila gagal mengawal cemburu. Malah, kebanyakan kes yang saya kendalikan menunjukkan lelaki boleh mencederakan dan menyusahkan orang lain.

Bagi perempuan pula, mereka lebih suka pendam perasaan dan perasaan itu meletus apabila mereka tidak mampu menangani masalah itu lagi.

“Bagaimanapun, jarang wanita (yang dikuasai perasaan) cemburu sanggup melakukan tindakan agresif melainkan ada gangguan mental,” jelasnya.

Sementara itu, Perunding Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Marhani Midin berkata, individu yang tidak bijak mengawal perasaan cemburu akan menerima tekanan perasaan.

“Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengelak tekanan perasaan yang keterlaluan, tidak kira sama ada marah, cemburu atau sayang.

Emosi


ZANARIAH (kanan) mengalami tekanan hebat akibat sikap bekas tunangnya yang cemburu buta.


“Individu yang pandai mengurus perasaan supaya tidak berlebih-lebihan biasanya boleh berdepan dengan apa sahaja bentuk dugaan.

Cemburu yang membabi buta boleh menjadi satu bentuk tekanan perasaan jika tidak boleh dikawal dan tidak mustahil ia mampu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti jenayah,” katanya.

Jelas beliau, tekanan perasaan boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah, namun ia terpulang bagaimana individu tersebut melihat cemburu sebagai masalah kepada mereka.

“Untuk menyelesaikan masalah cemburu keterlaluan, individu perlu memastikan punca yang mencetuskan rasa cemburu yang meluap-luap dalam dirinya.

“Apabila sudah dapat punca, mereka boleh mengatasi tekanan cemburu itu dengan dua kaedah berbeza iaitu memilih untuk menyelesaikan masalah yang menjadi penyebab cemburu ataupun memilih untuk mengawal emosi daripada menjadi cemburu.

“Contohnya, jika si suami pernah terbaca SMS daripada lelaki di telefon bimbit isterinya, berhenti mengulangi perbuatan tersebut. Proses itu memang mengambil masa kerana dorongan perasaan ingin tahu yang meluap-luap, tetapi ia perlu dikawal.

“Sekiranya timbul keraguan, bincang secara baik dan jangan gunakan kekerasan untuk memaksa pasangan mengakui apa yang dia telah lakukan.

“Jika perbincangan itu ikhlas daripada hati ke hati, ia akan berjalan lancar dan api cemburu boleh dipadamkan secara beransur-ansur,” katanya.

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula memberitahu, tiada bisikan halus yang boleh mendorong seseorang melakukan perkara luar jangkaan.

“Itu bisikan individu itu sendiri iaitu bisikan syaitan yang bertopengkan manusia. Syaitan tidak mampu mempengaruhi manusia jika individu itu dilandasi dengan keimanan.

“Manusia kini macam-macam bila sudah melakukan satu perkara yang teruk, mereka memberi alasan mendengar bisikan, pengaruh orang lain, hasutan dan sebagainya sedangkan mereka diberikan akal untuk berfikir dengan waras,” ujarnya.

Katanya, cemburu merupakan perkara lumrah bagi setiap individu malah sifat ini berlaku sejak zaman Nabi Adam ribuan tahun dahulu.

“Contohilah cemburu dengan jiran yang bahagia misalnya dan contohi mereka bukannya dengan menoreh kemaluan isteri,” katanya tegas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Cicak jadi komoditi eksport Indonesia


SEORANG pekerja memunggah cicak kering yang diproses di sebuah kilang di Jawa Timur.


SURABAYA - Perniagaan cicak di Indonesia kini sudah menjadi bahan komoditi eksport ekoran permintaan tinggi di luar negara, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang pengusaha dikenali sebagai Sugiyanto, 38, di Probolinggo dekat sini memberitahu, haiwan eksotik itu telah lama menembusi pasaran rantau Asia Tenggara terutama Singapura selain Jepun, China dan Taiwan.

"Setiap bulan, kami hanya mampu memproses 3,000 ekor cicak sebelum dijual pada harga 4,000 rupiah (RM1.40) seekor," katanya.

Kelmarin beberapa akhbar Indonesia melaporkan seorang pemuda Malaysia menemui seekor cicak gergasi di kawasan hutan dekat sempadan Kalimantan-Sabah dan dijual pada harga RM64 juta.

Pengusaha cicak ujar Sugiyanti memperoleh bekalan daripada penduduk tempatan pada harga 1,750 rupiah (62 sen) seekor.

Berikutan permintaan tinggi pembeli yang mendakwa cicak memiliki banyak khasiat untuk kesihatan tubuh, ramai penduduk sanggup memburu cicak liar di hutan dan menjadikannya sebagai sumber utama pendapatan keluarga. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Buruh, Konservatif pikat wakil Liberal Demokrat


David Cameron


LONDON - Selepas seharian 'jual mahal', Parti Konservatif pimpinan David Cameron (gambar) yang menang paling banyak kerusi pada pilihan raya umum Britian kelmarin akhirnya mengalah dan berusaha menarik sokongan Liberal Demokrat.

Ia usaha alternatif mencatat majoriti mudah 326 kerusi untuk membentuk kerajaan campuran dan menyekat Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Gordon Brown yang memerintah sejak 12 tahun daripada berkuasa.

Cameron semalam dilaporkan menemui beberapa anggota Parlimen Liberal Demokrat untuk memujuk mereka menyertai kerajaan baru ketika Brown pada masa sama menjanjikan jawatan menteri untuk memikat parti ketiga terbesar itu.

Konservatif secara rasmi memenangi 307 kerusi mengatasi Buruh (258) manakala Liberal Demokrat (57) dan parti-parti kecil lain (28) dijangka menjadi penentu kerajaan baru Britain.

Pemimpin Liberal Demokrat, Nick Clegg setakat ini masih membisu dan mengelak untuk mengulas tawaran dua parti tersebut tetapi cuba membuat pelbagai tuntutan politik.

Dalam pada itu, Brown dilihat terus enggan mengalah dan mendakwa dirinya masih perdana menteri sekali gus mencetuskan spekulasi kemungkinan usul undi tidak percaya perlu dibawa ke Parlimen untuk menyingkirkan beliau. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Mangsa dera anak

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB, RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ dan AZLAN HAFEEDZ

2010/05/09

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan ibu ceria diraikan anak dan keluarga masing-masing sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ada ibu yang merintih serta meratapi nasib malang mereka selepas dianiayai zuriat sendiri.

Besah" height="420" width="500" border="0">
"Dia (anak) menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali" > Besah

Di Kelantan pula, Zawiah, 56, masih dihantui peristiwa dua tahun lalu apabila tangannya menerima 15 jahitan selepas dikelar anaknya manakala Besah, 63, hampir pengsan apabila kepalanya dihantukkan ke lantai simen oleh anaknya yang ketagih dadah, kira-kira dua tahun lalu. Ikuti kisah mereka selanjutnya:


KES 1:


“BERKALI-KALI saya dibawa berjumpa bomoh yang menuduh saya membela hantu raya hingga menjadi punca keluarga anak saya kerap sakit. Bermacam-macam rawatan mengarut terpaksa saya terima, termasuk diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Selain selalu dimarahi dan dimaki, anak sulung saya yang terlalu percayakan bomoh mengurung saya di bilik bahagian dapur dan selepas enam bulan dikurung dia menghantar saya ke pusat jagaan orang tua,”
kata Aminah kepada Metro Ahad.


Mengimbas lanjut latar belakang hidupnya, Aminah berkata, pada mulanya dia tinggal seorang diri di rumahnya di Ipoh, Perak selepas kematian suami lebih tiga tahun lalu. Bagaimanapun, anak sulungnya mengajaknya tinggal bersama mereka di Selangor.


Katanya, selepas dua tahun duduk bersama anaknya yang berkeluarga dan mempunyai empat anak, dia kerap sakit dan tidak larat bergerak serta perlukan bantuan untuk ke mana-mana.

“Saya selalu pening dan sengal di badan sampai tidak larat bangun. Pelbagai ubat saya makan tapi tak berkesan. Akhirnya menantu menghantar saya mendapatkan khidmat rawatan tradisional ketika anak saya ke luar negara.


“Tindakan itu menambah derita saya apabila bomoh menuduh saya membela hantu raya. Saya mengucap panjang dan menafikan tuduhan itu, tetapi apakan daya kerana menantu lebih percaya cakap bomoh,” katanya.


Berikutan itu Aminah dikurung di dalam bilik dengan alasan khuatir hantu yang dibela mengganggu cucunya hinggalah anak lelakinya pulang dari luar negara.


“Waktu anak saya balik, saya ingat dapatlah mengadu nasib kepadanya tetapi lain pula terjadi. Dia lebih percaya cakap isterinya dan terus mengurung saya di dalam sebuah bilik di dapur. Saya hanya diberi makan sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada malam,” katanya.


Aminah berkata, selama dikurung kira-kira enam bulan, dia berulang kali dibawa berjumpa bomoh dan setiap kali ‘dirawat’ dia semakin terseksa kerana diberi makan benda pelik hingga muntah.


“Bila saya terangkan secara baik kepada anak yang saya tidak pernah membela hantu, saya dimarahi dan dimaki kerana dikatakan cuba menipu dan memberi alasan tidak mahu dipisahkan dengan hantu yang dibela.


“Sudahlah dikurung, saya dibiarkan saja dalam bilik dan tidak dibenarkan bergaul dengan cucu sekalipun. Saya hanya dilayan oleh pembantu rumah,”
katanya.

Kemuncak penganiayaan terhadap Aminah, satu hari anak lelakinya menghantarnya ke sebuah pusat jagaan orang tua selepas berbohong dengan berkata ingin membawanya berubat di tempat lain.


Aminah berkata, walaupun kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya, dia masih tetap menerima mereka jika insaf dan sedar perbuatan mereka.


“Hanya Allah tahu perasaan saya, tetapi saya selalu berdoa semoga mereka diberi petunjuk oleh Allah dan saya sedia memaafkan mereka,” katanya yang tinggal di pusat jagaan itu sejak lebih setahun lalu.


KES 2:


SETIAP kali tiba tarikh sambutan Hari Ibu, Zawiah terkenang sejarah hitam dua tahun lalu apabila menerima 15 jahitan di lengan akibat dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya.


Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Amin turut dipukul dengan kayu besbol ketika cuba menyelamatkan nyawa isterinya.


Mengimbau detik cemas kejadian itu, Zawiah berkata, ia berlaku ketika dia dan suami baru selesai menjamah sarapan pagi di rumah.


Katanya, ketika sibuk mengemas pinggan di dapur, anak lelaki sulungnya berusia 27 tahun dikenali sebagai Zul serta cucu tunggal mereka berusia sembilan tahun tiba di rumah untuk bersarapan.


“Itu menjadi kebiasaan mereka selepas Zul bercerai dengan isterinya. Sebelum itu, apabila bekas menantu bercerita mengenai sikap Zul dan pembabitannya dalam penagihan dadah, saya tidak percaya kerana dia anak yang baik.


“Namun tanggapan saya berubah selepas menjumpai beberapa biji pil dan ‘buku lima’ dalam poket seluar Zul ketika mahu membasuh pakaiannya kira-kira sebulan sebelum kejadian. Apapun, saya dan suami tidak berani bertanya perkara itu berikutan dia baru bercerai.


“Namun, sikap berdiam diri kami membawa padah apabila Zul tiba-tiba ‘mengamuk’ tengah hari itu selepas dipercayai berada dalam pengaruh dadah jenis pil kuda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Kerian, Kelantan.


Menurutnya, Zul menyerangnya secara tiba-tiba dengan sebilah pisau tanpa diketahui punca sebenar.


“Saya menahan serangannya, menyebabkan lengan saya luka teruk akibat dikelar,” katanya yang kini menjaga anak Zul selepas anaknya dipenjarakan di atas kesalahan itu.


Lebih mengecewakan Zawiah, pada malam (kejadian) itu dia dan suami sepatutnya dibawa keluar oleh seorang lagi anaknya untuk makan di sebuah restoran di bandar ini sempena sambutan Hari Ibu.


“Namun segala-galanya berubah sekelip mata apabila kami berdua terlantar seminggu di hospital akibat kejadian itu.


“Sempena Hari Ibu, saya berdoa ke hadrat Ilahi semoga Zul insaf sebaik dibebaskan dan sebagai ibu, saya sentiasa memaafkannya walaupun parut di lengan masih berbekas,” katanya.


KES 3:


“BIAR kau mampus cepat, orang tua!” Itu antara kata-kata anak lelaki tunggalnya yang menghantui fikiran Besah, 63, walaupun peristiwa itu berlaku lebih setahun lalu.


Bagi Besah, kejadian kepalanya dihantukkan ke lantai dapur oleh anak sehingga lebam dan bengkak seluruh muka tidak akan dilupai hingga ke akhir hayat.


“Semuanya akibat dadah. Sejak kecil, saya dan suami menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Malang akibat terlalu sayang, saya tidak menyekat pergerakannya, menyebabkan dia menjadi liar dan ingin kemewahan sedangkan kami keluarga miskin,” katanya.


Besah berkata, dia menyedari anaknya terjebak dengan dadah ketika bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selepas perangainya berubah daripada pendiam kepada seorang yang mudah naik angin.


Katanya, walaupun tahu anaknya menagih dadah, dia dan suami tidak melaporkannya kepada polis kerana tidak mahu anaknya merengkok dalam penjara, selain enggan mengaibkan nama keluarga.


“Kami pernah hantar dia tinggal bersama bapa saudaranya di Rantau Panjang, namun hanya bertahan seminggu apabila dia pulang ‘mengejut’ ke rumah.


“Sejak hari itu perangainya semakin menjadi-jadi dan paling mengejutkan, dia sanggup menjual seekor lembu milik ayahnya kepada seorang penduduk kampung dengan harga RM300 semata-mata untuk membeli dadah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.


Paling kritikal, Besah akhirnya menjadi mangsa ‘dera’ anaknya. Ketika kejadian, dia seorang diri di dapur manakala suami, anak sulung serta dua lagi anaknya keluar bekerja dan bersekolah.


“Dia tiba-tiba muncul dan meminta wang RM100 dengan alasan hendak membeli pakaian. Saya tahu tujuan sebenarnya nak beli dadah, jadi saya membebel dan merayunya berhenti menagih dadah.


“Tanpa disangka dia menerkam saya hingga saya terjatuh. Bagai dirasuk syaitan, dia naik atas belakang saya, pegang rambut saya dan menghantuk muka saya ke lantai berulang kali.


“Saya menjerit kesakitan dan merayu supaya dia berhenti tapi dia tak peduli, malah muka saya terus dihantuk ke lantai hingga hidung berdarah. Syukur, ketika itu suami pulang dan menyelamatkan saya,” katanya.


Besah berkata, anaknya melarikan diri dan hanya pulang ke rumah seminggu selepas kejadian. Kini dia bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur selepas gagal dalam SPM dan hanya pulang sekali ke kampung, Aidilfitri tahun lalu.


KES 4:


“SAYA dibuang macam sampah di perhentian bas,” kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 87, menceritakan punca dia kini menumpang kasih di sebuah pusat jagaan orang tua.


Ibu malang itu berkata, biarpun hanya anak angkat, dia menjaganya dengan penuh kasih sayang sejak masih bayi, justeru tidak terlintas di fikirannya anak perempuannya tergamak berbuat demikian.


“Bila dia tinggalkan saya, saya menjerit memanggil namanya tapi dia tak hiraukan, sebaliknya memecut laju kenderaannya,” katanya.


Halimah berkata, lebih menghairankannya, anak perempuannya berusia 40-an itu berkahwin dengan imam dan tentu suaminya turut mengajarnya ilmu agama.


“Sebab itu saya tidak tahu di mana silapnya sehingga anak saya sanggup membuang saya seperti sampah walaupun tangan ini yang membesar dan menjaganya,” katanya.


Halimah berkata, selain seorang anak angkat perempuan, dia turut mempunyai tiga anak kandung lelaki tapi ketiga-tiga anaknya juga tidak ambil berat mengenai dirinya.


“Sebab itu saya tinggal dengan anak angkat saya tapi akhirnya dia juga membuang saya,” katanya.


Selepas ditinggalkan di perhentian bas, Halimah terpaksa ‘menginap’ empat bulan di hospital kerana tiada siapa tampil untuk menjaganya dan akhirnya dia dihantar ke rumah orang tua.


Ketika ditanya adakah dia akan memaafkan anaknya, Hanijah berkata, dia sudi menerima semula mereka biarpun selepas apa mereka lakukan terhadapnya kerana baginya, mereka itulah hartanya di dunia dan akhirat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mangsaderaanak/myMA/myArticle

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...