Sunday, May 30, 2010

Penghadaman penyebab kematian

KUALA LUMPUR - Masalah penghadaman adalah antara 10 penyakit paling kronik dan penyebab utama kematian di Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata, pada 2006 dan 2007, penyakit berkaitan sistem penghadaman menduduki tangga ketujuh sebagai penyebab utama kematian di hospital kerajaan dan melonjak ke tangga keenam pada tahun 2008.

"Ini tidak memeranjatkan jika dilihat gaya hidup kebanyakan rakyat Malaysia," katanya ketika melancarkan sambutan Hari Penghadaman Sedunia di Ikano Power Centre di sini semalam.

Rosnah berkata, penyakit berkaitan sistem penghadaman yang paling banyak dihidapi rakyat Malaysia ialah refluks gastroesophageal (GERD), ulser peptik, sindrom kerengsaan usus (IBS) dan kanser usus.

"Penyakit kanser gastrointestinal khususnya, meningkat secara mendadak di Malaysia berdasarkan hakikat bahawa penyakit kanser kolorektal dilaporkan paling banyak menyerang lelaki (16.2 peratus) dan kedua terbanyak menyerang wanita (10.6 peratus) di Semenanjung Malaysia pada 2006.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa lebih 940,000 orang di seluruh dunia diserang kanser kolorektal setiap tahun dan daripada jumlah itu, hampir 500,000 meninggal dunia setiap tahun," katanya.

Rosnah berkata, kerajaan telah mengambil langkah bagi memastikan pusat gastroenterologi di hospital kerajaan dilengkapi peralatan dan teknologi terkini.

"Kebanyakan pusat ini dilengkapi kepakaran dan kemudahan paling moden bagi menyediakan perkhidmatan pengesanan bertaraf dunia serta perkhidmatan diagnosis dan terapeutik," katanya.

Rosnah berkata, kementerian berkenaan juga telah menubuhkan Pusat Pendaftaran Pesakit Kanser bagi mengumpul data secara sistematik mengenai semua perkara berkaitan kanser kolorektal di Malaysia termasuk pencegahan, pengurusan dan rawatan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0530&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Suami tipu

Oleh AHMAD RABIUL ZULKIFLI
am@hmetro.com.my
2010/05/30

KUALA TERENGGANU: “Dia tipu, semua kenyataannya di akhbar hanyalah fitnah, perbuatannya itu semata-mata ingin memalukan saya, luluh hati saya apabila membaca dakwaannya itu sedangkan semuanya tidak berlaku, “kata seorang isteri yang mahu dikenali dengan panggilan Mama Yah, 48.

Menurutnya, dakwaan kononnya dia meninggalkan suaminya selepas menukarkan semua harta dan syarikat ke atas namanya tidak benar.


Ini kerana syarikat serta harta yang diusahakannya sejak 1999 itu ialah hasil titik peluhnya sendiri menggunakan wang simpanannya sebagai seorang guru.


“Selepas suami berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah bank, dia membuka kedai perabot terpakai tetapi gulung tikar beberapa tahun selepas itu. Melihatnya tiada pekerjaan saya terus melantiknya sebagai penolong pengurus di syarikat saya.


“Bagaimanapun, selepas menghantarnya ke Melaka untuk menguruskan cawangan syarikat, suami tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga pihak universiti yang menggunakan perkhidmatan kami mengeluarkan surat tidak berpuas hati.

“Sehubungan itu, saya memutuskan untuk menukarkan tempat suami dengan pekerja lain sebelum suami membantu saya di cawangan pantai Timur,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Mama Yah berkata, sikap cemburu suami yang suka menuduhnya bermain kayu tiga bersama lelaki lain, termasuk dengan saudara serta abang kandung sendiri menyebabkan dia tidak tahan dan sering bergaduh.


“Setiap kali bergaduh dia akan memukul saya dengan teruk sehingga berdarah, tetapi kerana memikirkan dia masih suami dan ayah kepada enam anak kami, saya membatalkan hasrat melaporkannya kepada pihak polis.


“Oleh sebab itu, saya membuat keputusan keluar rumah dan ingin bercerai dengannya kerana tidak tahan hidup dengan lelaki yang suka memukul serta membuat tuduhan palsu dan menghebahkan fitnah itu kepada kenalan rapat atau penduduk kampung,”
katanya.


Dia turut terkilan dengan sikap suaminya yang tergamak mendakwa dia merampas semua aset dan hartanya sedangkan dia (Mama Yah) yang meletakkan beberapa lot tanah di atas nama suami yang kemudiannya suami hibahkan ke atas nama kedua ibu bapanya.


“Selain itu, suami juga kini menikmati hasil sewa dua bangunan kedai milik saya yang berjumlah RM13,000 sebulan sehinggakan saya terpaksa berhadapan dengan hutang tunggakan bank kerana suami tidak membayarnya sebaliknya menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadi.


“Tipulah jika dia mendakwa hidupnya melarat dan sehelai sepinggang selepas saya meninggalkannya, malah Mahkamah Rendah Syariah Jajahan Kota Bharu sudah mengarahkannya supaya tidak mengganggu saya melalui surat perintah tegahan di bawah seksyen 107 mengikut enakmen undang-undang keluarga Islam.

“Walaupun begitu, dia masih mengganggu saya, lebih teruk apabila mengintip saya di rumah sewa di Kampung Gong Kapas, sedangkan saya tinggal bersama anak saudara lelaki yang kini berkerja di syarikat dan menemani saya di sini,” katanya.


Paling menyedihkan apabila mengenangkan nasib seorang warga Pakistan yang langsung tiada kaitan dengan masalah ini dan teman rapat kepada anak saudaranya dituduh menjalinkan hubungan dengannya.


“Sikapnya yang ingin menjadikan saya seorang isteri nusyuz dengan membuat dakwaan begitu menyebabkan orang lain yang tidak bersalah terpaksa menanggung akibatnya. Bayangkanlah, dia hanya melihat warga Pakistan itu ke rumah sewa saya untuk menemui anak saudara tetapi dia membuat dakwaan serta melaporkannya kepada Jabatan Agama dan Imigresen kononnya saya bersekedudukan dengan warga asing berkenaan.


“Akhirnya, insan yang tidak bersalah itu ditahan dan dimasukkan ke Pusat Tahanan Sementara Warga Asing di Depoh Hulu Terengganu. Walaupun memiliki pasport dan visa yang masih sah.


“Saya berharap kenyataan saya ini boleh merungkaikan kekeliruan seperti mana yang dilaporkan di akhbar sebelum ini,”
katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah seorang suami yang ditinggalkan isteri yang kemaruk bercinta dengan warga asing yang didakwa pekerjanya sendiri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamitipu/myMA/myArticle/

Sukar bendung

2010/05/30

KUALA LUMPUR: Gejala remaja sekolah terbabit dengan dadah sudah dianggap tidak menghairankan kerana berdasarkan kajian penagihan, biasanya bermula pada usia muda seawal 13 hingga 14 tahun.

“Berdasarkan kajian dibuat baru-baru ini oleh Badan Perhubungan Pengasih Sabah dan Sarawak, tiga jenis dadah paling popular digunakan remaja sekolah di sana ialah syabu, Nospam serta ubat batuk.


Nospam atau ubat selsema mudah diperoleh di farmasi dan berdasarkan temu duga dibuat membabitkan empat remaja sekolah yang sudah insaf, mereka menggunakan antara 20 hingga 30 biji sehari diminum dengan air bergas,” katanya.


Menurut beliau, ini menunjukkan gejala pengambilan pelbagai jenis dadah di kalangan remaja sekolah sukar dibendung jika tiada sebarang tindakan lebih konkrit diambil dari sekarang.


Dadah terbabit pula semakin mudah diperoleh kerana remaja sekolah mempunyai rangkaian atau kumpulan sendiri yang sentiasa bersedia membekalkannya pada bila-bila masa.

“Pengasih melihat kemudahan teknologi maklumat disalahgunakan oleh kumpulan remaja sekolah terbabit. Paling mudah, mereka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan cara lain ialah melalui Facebook.


“Bagi memastikan ketagihan dapat dipenuhi, remaja sekolah perempuan pula sanggup menyerahkan diri masing-masing untuk dijadikan habuan seks atau seks oral sebagai bayaran pakej dadah dipesan, dan ia juga satu daripada penyebab gejala mengandung luar nikah serta buang anak,”
katanya.


Selain itu, kajian Pengasih turut mendapati ada di kalangan anggota sindiket membekalkan dadah kepada remaja sekolah membabitkan remaja lepasan sekolah sama. Golongan terbabit pula dinaungi sindiket lebih besar.


“Ia adalah perniagaan menguntungkan, dan jika tidak dibendung, ia bukan saja bakal memusnahkan masa depan remaja sekolah malah pengedar yang juga terdiri di kalangan remaja sendiri,” katanya.


Menurut Yunus, keluarga juga menjadi punca utama anak remaja mereka terbabit dengan dadah kerana kebiasaannya, keluarga hanya mementingkan intelektual atau akademik anak-anak saja.


Bagaimanapun, keluarga tidak mementingkan aspek emosi anak-anak menyebabkan mereka beralih kepada rakan yang kononnya lebih memahami.


“Memang benar kecemerlangan akademik menjadi tumpuan utama keluarga terhadap anak masing-masing tetapi jika komunikasi dalam hal-hal lain dengan anak kurang, bagaimana mereka mahu merasakan kasih sayang atau keprihatinan keluarga terhadap mereka.

“Jangan pandang remeh perkara itu kerana semuanya bermula dari rumah. Jika remaja mendapat perhatian sewajarnya, sukar untuk mereka terbabit dalam gejala dadah atau sosial lain,” katanya.


Sementara itu, pakar motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali berkata, “Di Barat, perbuatan begini (merelakan tubuh diratah lebih daripada seorang lelaki) bagaikan ‘budaya’ di sana. Kini, ia sudah menular dikalangan masyarakat kita malah agak menyedihkan kebanyakannya terdiri daripada yang beragama Islam. Sekiranya tidak dibendung, tidak mustahil perangai jijik ini akan menjadi racun tanpa penawar buat mereka.”

Izuddin nyata terkejut dan menyelar aktiviti jijik dilakukan remaja belasan tahun itu dan berkata pelbagai faktor boleh menjadi pendorong kepada remaja terbabit mencuba perkara yang dilaknat Allah itu. “Salah satu punca kepada masalah itu datangnya daripada keluarga sendiri. Zaman ini, ibu dan bapa sering sibuk mencari nafkah dan kadangkala langsung tidak meluangkan masa terhadap anak sendiri.


“Dek kurangnya perhatian dan kasih sayang, wujud satu ruang kosong dalam jiwa remaja itu.


“Cara mudah untuk menghalang masalah ini daripada berlarutan adalah daripada keluarga sendiri. Ibu bapa harus peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan disusuli dengan perbincangan, nasihat dan langkah pencegahan. “Bagaimanapun, jika tidak dapat dipulihkan juga, tindakan undang-undang adalah yang terbaik. Namun, jangan salah sangka, ia bukan untuk menghukum remaja itu sebaliknya ia cara sesuai untuk memulihkan akhlak agar tidak mengulangi masalah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarbendung/myMA/myArticle/

Padah ikut kasanova

Oleh MOHD FIRDAUS IBRAHIM
mfirdaus@hmetro.com.my
2010/05/30

KUALA LUMPUR: Akibat terpedaya dengan ‘ayat power’ seorang kasanova baru dikenalinya kurang seminggu, seorang pelajar berusia 15 tahun dirogol bergilir-gilir sekumpulan tiga lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Permaisuri, di sini, Jumaat lalu.



Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila pemilik rumah terbabit menjumpainya dalam keadaan bogel sebelum memberikannya pakaian dan menghantarkannya pulang ke rumah.


Difahamkan, ketiga-tiga suspek adalah penyewa baru di pangsapuri itu yang turut tinggal bersama pemilik rumah itu.


Semuanya bermula kira-kira jam 11 malam, apabila mangsa yang tinggal di Taman Maluri dijemput teman lelaki yang baru dikenalinya itu.

Menurut sumber, mangsa bersetuju untuk keluar bersama kasanova berusia awal 20-an itu untuk menonton wayang lewat malam.



“Mangsa yang langsung tidak menyedari lelaki terbabit mempunyai niat buruk dan pelawaan untuk menonton wayang hanyalah satu perangkap,” katanya.


Ketika dalam perjalanan untuk ke panggung wayang, kasanova terbabit mendakwa terpaksa berpatah balik ke rumahnya di Bandar Tasik Permaisuri kerana tertinggal barang penting.



Sebaik tiba di tempat letak kereta pangsapuri terbabit, suspek mengajak mangsa naik ke rumahnya, namun ditolak pelajar malang itu.


“Mangsa terpaksa mengalah dan mengikutinya kerana suspek mendakwa di kawasan berkenaan banyak penagih dadah. Malah, suspek cuma meminta pelajar terbabit untuk tunggu di hadapan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.


Sumber berkata, sebaik tiba di hadapan rumah berkenaan, suspek menarik tangan mangsa dan membawanya masuk ke dalam bilik.


Berang dengan tindakan itu, pelajar terbabit menampar muka suspek menyebabkan dia dipukul kasanova itu sebelum dirogol.

Nasib malang pelajar itu tidak berakhir di situ apabila rakan dua lagi rakan suspek berusia awal 20-an bergilir-gilir merogolnya.


Selepas ketiga-tiga suspek keluar, pemilik rumah pulang kira-kira jam 1 pagi, sebelum mendapati dia dalam keadaan bogel.


Mangsa menceritakan kejadian buruk yang menimpanya kepada ibu bapanya sebelum dinasihatkan untuk membuat laporan polis.


Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Maluri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu, kes terbabit sudah dirujukkan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahikutkasanova1/myMA/myArticle/

Cuma RM5 satu kepala

Oleh NAZARALI SAERIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN, FIRDAUS SAHAT dan JUNAIDI LADJANA
metahad@hmetro.com.my
2010/05/30

KUALA LUMPUR: Bayar RM5 atau beri syabu. Itu syarat keji tiga remaja panas yang dikesan sanggup membiarkan tubuh dijamah lelaki asalkan apa yang dihajati dapat dipenuhi.


Wartawan Metro Ahad menemui tiga remaja itu menerusi bantuan sumber. Seorang daripada mereka sedang berusaha untuk kembali ke pangkal jalan, namun dua lagi masih belum puas berseronok.


Ikuti pengakuan tiga remaja terbabit, seorang di Johor dan dua lagi di Sabah.


ALIN, 17 (Johor):

HANYA dalam tempoh dua tahun, lebih 30 lelaki pernah menikmati tubuhnya dan dia hanya meminta bayaran RM5 untuk satu kepala, itupun kepada lelaki yang baru dikenali. Bagi yang sudah biasa dengannya, dia memberikan secara percuma saja.

Begitulah pengakuan seorang remaja yang pernah berdepan sejarah hitam dinodai lebih daripada seorang lelaki, termasuk rakan sekolah pada satu-satu masa.

Menurut Alin, aktiviti yang sinonim dengan panggilan ‘kekah’ di kalangan remaja itu mula dilakukannya sejak berusia 16 tahun.

Mulanya saya menyerahkan kehormatan kepada teman lelaki yang sebaya dengan saya, tetapi lama-kelamaan, ramai rakan sekolah tumpang sekaki. Teman lelaki bercerita kepada rakan mengenai keterlanjuran kami dan selepas diketahui ramai saya mula popular.

“Siap ada rakan yang bertindak umpama bapa ayam apabila dia bersusah payah mengumpul rakan sekolah yang mahu turut sama ‘kekah’ saya. Saya kenakan bayaran RM5 untuk satu kepala dan paling ramai saya pernah melayan sehingga enam orang, dapatlah RM30 untuk beli tambah nilai kad prabayar telefon dan kumpul wang beli telefon bimbit baru,”
katanya.

Alin yang menetap di Johor mengakui selepas terbabit dengan aktiviti keji itu, dia berasa ketagih dan kerap melakukannya.

“Kebiasaannya saya melakukan aktiviti berkenaan ketika hari sekolah. Kami ponteng beramai-ramai dan menjadikan rumah seorang rakan untuk melakukannya. Ibu dan ayah tak tahu sebab apabila tiba waktu pulang sekolah sekitar jam 1 petang, saya sudah tunggu di depan sekolah,” katanya.

Dia semakin liar apabila dapat keluar rumah beberapa hari dengan alasan tidur di rumah kawan, walhal ikut lelaki yang baru dikenali.

“Dengan lelaki yang sudah bekerja itu pun saya di ‘kekah’ rakannya,” kata Alin yang terus hanyut dengan dunianya sehingga terpaksa bertukar sekolah.
Sudah tukar sekolah pun dia terlanjur lagi. Pernah satu ketika melakukan hubungan seks dengan rakan sekolah yang baru.

“Apabila berpeluang keluar sekolah ketika cuti, buat pula dengan orang lain. Jika kenalan itu bawa rakan, saya kena ‘kekah’ juga,”
katanya.

Alin berkata, selama dua tahun terbabit dengan aktiviti keji itu, dia sudah melayan lebih daripada 30 lelaki.

“Sepanjang tempoh dua tahun itu, pernah sekali saya mengandung. Saya dapat tahu mengandung selepas sembilan bulan dan dengan bantuan rakan saya gugurkan kandungan itu di sebuah klinik.

“Perasaan serik hanya seketika saja. Selepas itu saya hanya memikirkan untuk berseronok saja,”
katanya.

Alin menyedari risiko tabiat buruknya itu, tetapi dia mengakui tidak terlalu memikirkannya sangat.

Kini, dia cuba membuka lembaran baru dalam hidupnya dengan menjauhi rakan yang hanya tahu merosakkannya. Katanya dia sedar, bukan mudah untuk berbuat demikian tetapi mahu berubah demi ibunya.

“Walaupun bermasalah, saya tetap mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan tidak seberapa, tetapi saya juga mahu merubah kehidupan saya.

“Saya kasihan dengan ibu yang banyak berkorban membesarkan saya. Sudah puas saya melihat dia menangis kerana saya dan saya tidak mahu dia menangis lagi,”
kata Alin yang kini mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran.


NURUL, 16 (Sabah):

NURUL hanya perlu diberikan syabu jika mahu menikmati tubuhnya. Mulanya dia hanya ingin mencuba syabu yang dikatakan membuatkan sesiapa yang mengambilnya menjadi seronok, tetapi percubaan secara ‘suka-suka’ itu membuatkan dia ketagih.

“Saya mula menghisap syabu beberapa tahun lalu, Akibat ketagih, saya mula keluar malam secara senyap untuk berfoya-foya selain mendapatkan bekalan daripada rakan lelaki yang sedia memberi dadah itu dengan syarat mengadakan hubungan seks,” katanya.

Menurutnya, keseronokan berhibur, termasuk mendapat bekalan syabu secara percuma menyebabkan dia rela menyerahkan tubuh sebagai balasan.

“Setiap kali diberi syabu, saya rela ditiduri oleh lelaki,” katanya yang menghisap syabu tiga kali dalam seminggu.

Dia biasa melakukan aktiviti itu di rumah rakannya ketika ibu bapa rakannya itu keluar bekerja.

“Selepas semuanya selesai, saya akan pulang ke rumah sebelum gelap atau malam,” katanya.

Remaja bertudung itu mengaku ketiadaan wang untuk membeli syabu selain ketagihan memaksanya sanggup tidur dengan lelaki yang boleh membekalnya syabu.

“Biasanya, syabu dijual dalam sekitar harga RM30 hingga RM50 bagi satu tiub sepanjang satu sentimeter dan boleh dikongsi sehingga lima orang.

LINA, 16 (Sabah):

DIA mengakui mula mengambil syabu selepas berkawan dengan Nurul. Keseronokan mengambil bahan terlarang itu menyebabkannya kehilangan dara empat bulan lalu.

Kerana syabu saya sanggup menyerahkan tubuh kepada sesiapa saja yang
memberikan saya barang itu.
Apabila bersama rakan, saya sukar menolak ajakan dan pelawaan untuk menghisap syabu kerana mereka tidak lokek berkongsi bekalan.

“Saya juga rela dinodai kerana keseronokan paling utama,”
katanya

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CumaRM5satukepala/myMA/myArticle

Saturday, May 29, 2010

Tanam bayi, dua beradik direman


dua beradik (adik depan) yang direman dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang remaja perempuan bersama kakaknya direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditanam berhampiran Stesen Komuter Padang Jawa di sini Isnin lalu.

Majistret Nor Kamilah Aziz membenarkan permohonan polis untuk menahan reman remaja berumur 17 tahun dan kakaknya berumur 24 tahun itu mulai semalam sehingga 31 Mei ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Nor Kamilah pada pukul 12.30 tengah hari iaitu kira-kira satu jam setengah selepas mereka tiba di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi di sini semalam mengesahkan penahanan reman kedua-dua individu tersebut.

Menurut beliau, sehingga petang semalam, polis masih mengesan bapa kepada bayi tersebut yang dipercayai turut terbabit dalam menanam mayat bayi itu.

"Setakat ini, tiada tangkapan terbaru dibuat termasuk dua lagi individu yang disyaki bersekongkol dengan pasangan itu untuk menanam mayat bayi berusia di antara enam hingga tujuh bulan itu," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Semua pelatih dilindungi insurans

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Perlindungan insurans untuk pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan bermula tiga hari sebelum pendaftaran dan berakhir selepas tujuh hari tamat latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, justeru, ibu bapa boleh membuat tuntutan sekiranya anak mereka terlibat dalam kemalangan dan sebagainya jika kejadian berlaku dalam tempoh berkenaan.


“Sekiranya pelatih terlibat dalam kemalangan atau kematian tiga hari sebelum mendaftar atau tujuh hari selepas menjalani latihan, ibu bapa pelatih boleh membuat tuntutan insurans daripada jabatan,” katanya.


Beliau berkata, dalam kes melibatkan kematian pelatih, ibu bapa atau keluarganya juga diberi wang khairat kematian. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Semuapelatihdilindungiinsurans/Article

Mana RM15,000?

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

2010/05/29

KEMAMAN: Layanan buruk pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tasik Chini, Pahang, terhadap seorang bapa yang ingin menuntut bayaran insurans anaknya kerana patah jari telunjuk tangan kanan pada Januari lalu dianggap tidak wajar serta memalukannya.

Selain itu, Ismail Gumati Omar, 49, dari Kampung Mak Lagam, dekat sini, juga mempertikaikan keputusan pengurusan PLKN itu yang enggan membayar pampasan insurans yang sepatutnya diperoleh anaknya kerana kecederaan itu dikelaskan sebagai kecederaan separuh kekal seperti tercatat dalam kontrak disediakan sebelum mendaftar diri ke pusat berkenaan awal tahun ini.


“Jika dikaji kontrak yang diberikan kepada ahli keluarga itu, anak saya sepatutnya mendapat pampasan RM15,000, tetapi pihak PLKN mendakwa anak saya tidak layak memperolehnya dengan alasan kononnya ia tidak tertakluk dalam tanggungjawab PLKN walaupun kejadian itu berlaku di kem.


“Paling mendukacitakan, pihak berkenaan langsung tidak prihatin dengan kecederaan yang dialami anak, selepas saja mengarahkan anak pulang ke rumah, pihak mereka langsung tidak bertanya khabar, malah ketika saya cuba bertanyakan tuntutan insurans, mereka hanya sekali menjawab panggilan saya dan seakan-akan cuba mengelak apabila dihubungi selepas itu.


“Apa tidaknya, berpuluh-puluh kali saya menghubungi pusat PLKN itu untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai tuntutan insurans, tetapi tidak dilayan, malah mereka enggan memberikan ulasan terperinci mengenai faktor yang menyebabkan anak saya tidak layak menerimanya,” katanya, semalam.


Menceritakan bagaimana kemalangan itu terjadi kepada anaknya, Ismail berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang selepas menjalani latihan, anaknya, Mohammad Zuhaimi, 18, berlatih lompat bintang (PT 10) di dalam asramanya sebelum jari telunjuk tangan kanannya terkena kipas siling.


“Akibat kejadian itu, jari tangan kanannya bengkak sebelum diperiksa kakitangan perubatan di kem dan mendakwa ia hanya luka kecil dan tidak serius, bagaimanapun menjelang malam jari dia semakin membengkak dan kebiruan.


“Cemas melihat jari anak begitu, jurulatih PLKN membawanya ke Hospital Pekan sebelum disahkan patah selepas membuat X-ray. Sehubungan itu, pihak PLKN terus menghubungi saya dan meminta saya mengambilnya untuk dibawa pulang,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ManaRM15_000_/Article

Curi duit masjid

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2010/05/29

TEMERLOH: Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli lampin pakai buang untuk anak yang baru dilahirkan, seorang bapa nekad mencuri wang tabung di Masjid Kampung Mempatih, Lanchang, dekat sini, sebelum diberkas polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, bapa berusia 32 tahun itu yang tinggal di Taman Amalina, Raub, gagal melarikan diri selepas menyedari kehadiran dua anggota polis.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki terbabit sebelum itu mengakui mencuri RM130 milik Masjid Bukit Damar, dekat sini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, lelaki berkenaan yang tidak bekerja menunggang motosikal dari Raub menghala ke rumah saudaranya di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, dekat sini, dengan niat mahu meminjam wang.


Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit kemudian berhenti di sebuah warung di Bukit Damar, dekat sini, untuk minum sebelum meronda di sekitar kawasan perkampungan berkenaan.


Ahmad Fadzillah berkata, siasatan turut mendapati, lelaki terbabit yang bersenjatakan gergaji besi kemudian berhenti di Masjid Bukit Damar sebelum memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang sebanyak RM130.


“Selepas mengambil wang itu, lelaki berkenaan menghala pula ke Masjid Kampung Mempatih dengan mempunyai niat yang sama.


“Di situ, lelaki terbabit cuba memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang namun gagal selepas perbuatannya disedari penduduk kampung yang kemudian bertindak menghubungi polis,”
katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah mendakwa baru berkahwin dengan seorang ibu tunggal serta mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan.


Katanya, lelaki terbabit mendakwa tidak mempunyai wang untuk membeli lampin pakai buang untuk anaknya sebelum nekad mencuri wang masjid.


Ahmad Fadzillah berkata, lelaki itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Harian Metro difahamkan dakwaan lelaki berkenaan adalah benar kerana selepas menjalankan soal siasat, polis mendapati dia baru saja memperoleh cahaya mata dan bayi berkenaan anak ketiganya selepas mereka dikurniakan dua lagi anak sebelum ini.


Isterinya yang berusia lewat 30-an kini masih dalam pantang dan dimaklumkan mengenai penahanan suaminya itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curiduitmasjid/Article

Kantoi di rumah tumpangan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

2010/05/29

GEORGETOWN: Demi cinta, seorang remaja perempuan sanggup menceroboh keluar dari asrama sekolahnya untuk bersama teman lelaki sebelum mereka ditahan di sebuah rumah tumpangan di Seberang Jaya di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 4.40 pagi, semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditemui di bilik air dalam keadaan berkemban.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata pihaknya difahamkan remaja berkenaan dipercayai keluar dari asramanya untuk bersama teman lelaki yang dikenali dua bulan lalu kira-kira jam 6 petang sebelum pasangan itu mengambil keputusan bermalam di rumah tumpangan itu pada jam 10 malam untuk bermadu kasih.


Menurutnya, remaja berkenaan mengaku sering bertemu teman lelakinya untuk melepaskan rindu meskipun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pakaian seragam milik remaja berkenaan disimpan dalam beg dan mereka ditemui dalam sebuah bilik di sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai milik satu keluarga yang mengubahsuainya menjadi rumah tumpangan.


“Siasatan lanjut mendapati, rumah itu mempunyai beberapa bilik lengkap alat penyaman udara, katil dan set televisyen yang disewakan pada harga RM30 hingga RM50 semalam,” katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.


Khairul berkata, rumah tumpangan itu turut menawarkan bilik mengikut kadar jam dan siasatan mendapati kira-kira 60 pelanggan beragama Islam dan bukan Islam menginap dalam masa sebulan.


Katanya, pihaknya juga menemui 10 lagi pasangan lain yang ditahan atas kesalahan berkhalwat di tiga lokasi berasingan iaitu di Bukit Berapit, Seberang Jaya dan Taman Bagan dalam operasi yang dijalankan dari jam 2.30 pagi hingga 8 pagi itu.


Katanya, lima pasangan kekasih yang berkelakuan kurang sopan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Pantai Bersih dan Taman Robina turut ditahan dalam ‘Ops Maksiat’ membabitkan 19 pegawai penguat kuasa agama.


Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 40 tahun dan terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), duda, janda atau ibu tunggal malah ada pasangan sudah mempunyai suami atau isteri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kantoidirumahtumpangan/Article

Kejar kebendaan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Semakin ramai pasangan beragama Islam di negara ini memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian masalah rumah tangga mereka, mengikut statistik terbaru dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merangkumi tempoh lapan sehingga 2008 lalu.

Statistik itu, menunjukkan Selangor mencatat jumlah kes pasangan beragama Islam bercerai tertinggi dengan seramai 3,558 pada 2008.


Wilayah Persekutuan Labuan pula menunjukkan kadar perceraian pasangan Islam paling rendah iaitu 114 orang walaupun ia tetap satu peningkatan berbanding lapan tahun sebelumnya iaitu membabitkan 40 orang saja.


Mengikut statistik itu, semua negeri menunjukkan peningkatan membimbangkan bagi kadar perceraian pasangan Islam apabila jumlah kes semakin meningkat dari 13,536 pada 2000 kepada 22,289 kes pada 2008.


Selain Selangor, negeri yang mencatatkan kadar kes perceraian tertinggi ialah Kedah dengan 2,407 kes, diikuti Johor (2,329), Kelantan (2,266), Perak (1,951), Pahang (1,719), Kuala Lumpur (1,444), Terengganu (1,341), Sarawak (1,076), Negeri Sembilan (1,054), Pulau Pinang (937), Melaka (889), Sabah (746) dan Perlis (458).


Penceramah bebas, Mohd Zawawi Yusoh berkata, kadar perceraian meningkat bagi pasangan Islam menunjukkan perkahwinan berasaskan agama disaran Islam kian terhakis tetapi kini asas bersifat kebendaan.


Beliau berkata, kehidupan berumah tangga pasangan Islam tidak disertakan pengabdian kepada Allah dengan menunaikan perkara wajib seperti solat lima waktu, tiada keberkatan seterusnya menghakis perasaan sayang hingga timbul benci dalam hati masing-masing.


“Dalam hadis dan ayat al-Quran sendiri ada menyebut satu daripada punca perceraian ialah tidak menunaikan solat. Jika kita tidak menjaga hubungan dengan Allah, maka hubungan kita sesama manusia juga akan menemui masalah.


“Sekarang ini, sudah menjadi trend ramai yang berkahwin kerana kebendaan contohnya apabila kahwin minta mas kahwin yang tinggi dan majlis besar-besaran, semuanya atas kebendaan sehingga jiwa mereka ini tidak tahan diuji, lalu ikatan perkahwinan yang dibina seumpama timbunan pasir yang basah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, selain tidak menunaikan solat, sikap curang di kalangan pasangan juga merupakan antara punca utama sistem perkahwinan runtuh kerana tidak menjaga kehidupan berumah tangga yang sangat dititikberatkan Islam seperti disaran hadis nabi yang menyebut “jika kamu menjaga Allah, Allah menjaga kamu.”

Katanya, pemikiran dipengaruhi budaya Barat yang antaranya mengamalkan perkahwinan terbuka iaitu pasangan bebas bercinta dengan orang lain juga dibimbangi mula meresap dalam sanubari masyarakat Islam, selain ramai yang mengikut trend tidak mahu terikat dengan komitmen.


“Lebih teruk, ada pula trend berkahwin semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri yang kononnya lebih mahal berbanding anak dara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejarkebendaan/Article

Sah mati didera

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Apendy Issahak

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Kematian mengejut seorang bayi yang didakwa pengasuh berpunca akibat tersedak susu akhirnya membongkar perkara sebenar apabila mangsa yang berusia tiga bulan disahkan mati akibat dipukul dan didera hingga mati.

Difahamkan pengasuh wanita terbabit cuba untuk menyembunyikan perbuatan dilakukan dengan mencipta alasan rapuh terbabit hanya selepas beberapa bulan dihantar oleh ibu dan bapa bayi lelaki itu untuk dijaga.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi Rabu lalu, mangsa Mohd Hamzah Hafiz Abdullah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui tidak bernafas oleh pengasuhnya di rumah di Jalan Sulaiman 1, di sini.


Difahamkan pengasuh bayi berkenaan yang panik memberitahu apa yang berlaku kepada ibu mangsa yang ketika itu sedang berniaga di bahagian bawah premis dua tingkat berkenaan. “Pengasuh terbabit memberitahu kononnya mangsa tiba-tiba tidak bernafas selepas diberi minum susu olehnya. “Selepas dimaklumkan kejadian itu, ibu mangsa berusia 29 tahun dikatakan terus membawa Mohd Hamzah ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Malangnya bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang kelmarin,” katanya.


Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 20-an, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka anaknya mati akibat didera pengasuh.


“Mulanya saya menyangka ia akibat komplikasi tersedak susu, namun laporan bedah siasat mendapati anak saya itu mati akibat didera dengan kesan lebam di perut dan anggota lain,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat unsur jenayah dalam kes kematian bayi terbabit.


“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita (polis) percaya bayi itu meninggal dunia akibat didera, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian.


“Difahamkan, mangsa mati akibat kecederaan dalaman dan polis akan memanggil pengasuh serta ibu bapa mangsa untuk direkod keterangan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sahmatididera/Article

Teksi dua setan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Seorang abang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan adik perempuannya daripada dicabul seorang individu dalam sebuah teksi selepas dia diugut dengan senjata tajam jika melawan, semalam.

TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dijadikan tebusan hampir sejam kerana gagal membayar wang diminta kedua-dua suspek didalangi pemandu teksi terbabit sebelum diselamatkan sekumpulan anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan.


Kejadian bermula kira-kira jam 9 pagi semalam, apabila kedua-dua beradik terbabit menahan sebuah teksi di ibu kota sebelum memberitahu pemandunya untuk ke sebuah pasar raya berhampiran kawasan berkenaan.


Menurut sumber, sebaik memasuki teksi itu, ‘pemandu teksi setan’ berusia lewat 30-an terbabit mengunci kenderaannya sebelum memecut meninggalkan kawasan berkenaan.


Selepas lebih 10 minit perjalanan, kedua-dua mangsa mempersoalkan tindakan pemandu teksi itu yang membawa mereka bukan ke destinasi diminta.


Sumber berkata, pemandu teksi itu dengan bersahaja mendakwa terpaksa mengambil lagi seorang pelanggannya dan berjanji akan menghantar mereka ke pasar raya berkenaan selepas menjemputnya.


“Pemandu teksi itu melalui lebuh raya menuju Klang, sebelum berhenti di bahu jalan menjemput ‘pelanggannya’,” katanya.


Difahamkan, pelanggan yang dikatakan pemandu teksi terbabit adalah rakannya yang sudah melakukan kerja kotor itu bersama sejak beberapa bulan lalu.


Sumber berkata, lelaki terbabit memasuki kenderaan itu sebelum duduk di belakang bersama kedua-dua beradik berkenaan.


“Sebaik kenderaan bergerak, suspek mengeluarkan senjata tajam sebelum mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang tunai.


“Mangsa meminta pertolongan pemandu teksi itu sebelum lelaki terbabit memberitahu suspek rakannya.

“Selepas menyedari mereka tiada pilihan, mangsa memberikan RM190 kepada suspek sebelum meminta mereka dibebaskan,” katanya.


Disebabkan tidak berpuas hati dengan jumlah wang diperoleh, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan RM5,000.


Difahamkan, suspek mengugut akan merogol dan mencederakan adik perempuan mangsa jika dia gagal berbuat demikian.


Tersentak dengan itu, mangsa mendakwa akan menyerahkan wang terbabit kepada kedua-dua suspek dan meminta untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Sumber berkata, pemandu teksi itu berhenti di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan sebelum mengarahkan abang mangsa mengeluarkan wang.


“Abang mangsa mengeluarkan RM300 sebelum menyerahkan kepada suspek. Dia berulang kali merayu supaya dilepaskan namun kedua-dua suspek tidak mengendahkannya.


“Malah, suspek yang tidak berpuas hati dengan kejam mencabul adik perempuan mangsa di depannya sebaik meninggalkan stesen minyak berkenaan,”
katanya.


Sumber berkata, ketika itu abang mangsa hanya mampu menahan kemarahannya kerana bimbang keselamatan diri dan adiknya terancam.


Bagaimanapun, pasangan adik-beradik itu bernasib baik kerana ketika melalui Tol Batu 3, dekat sini, abang mangsa melihat sebuah kereta peronda sebelum melambaikan tangan meminta pertolongan.


Sekumpulan anggota yang menyaksikan kejadian itu mengejar teksi terbabit sebelum menahan kedua-dua suspek.


Pasangan adik-beradik itu dibawa ke Balai Polis Bukit Jelutong, dekat sini, sebelum mereka berdua membuat laporan kejadian terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Teksiduasetan/Article

Susuk 'power' darah babi

Oleh Idris Musa dan Muhd Izawan Baharin

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Demi nafsu, segolongan wanita dan lelaki sanggup mendapatkan bantuan bomoh untuk memasukkan susuk ‘power’ pada bahagian sulit masing-masing, malah sesetengah daripada mereka membiarkan diri ditusuk puluhan jarum supaya tampil lebih hebat di ranjang.

BUANG...seorang pesakit yang mendapatkan rawatan Perubatan Islam Sinar Zamdurrani.
BUANG...seorang pesakit yang mendapatkan rawatan Perubatan Islam Sinar Zamdurrani.
BISA...antara jenis susuk  yang dikeluarkan daripada anggota badan pemakai.
BISA...antara jenis susuk yang dikeluarkan daripada anggota badan pemakai.
Bagi golongan wanita terbabit, mereka percaya dengan kuasa yang ada pada susuk itu mampu menghasilkan kekuatan ekstra, manakala bagi lelaki pula dapat bertahan lebih lama ketika bersama.


Mendedahkan perkara itu, Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata pemakaian susuk kini bukan hanya untuk tujuan kecantikan, mendapatkan pengaruh di mata umum dan menjadi kebal, malah didorong kepuasan seksual.


Katanya, kebanyakan golongan yang memakai susuk pada anggota sulit membabitkan pelayan pelanggan (GRO), dengan tujuan menambat hati lelaki yang melanggani mereka.


“Bagi lelaki susuk pada anggota sulit supaya tahan lama dan lambat lebam, manakala di kalangan wanita untuk mendapatkan kemutan, malah ada juga wanita yang memasukkan susuk pada bahagian buah dada untuk kelihatan lebih tegang.


“Apabila benda itu dimasukkan pada bahagian sulit, keinginan seksual menjadi kuat, mahu bersama sehingga lima atau enam jam, terutama di kalangan GRO yang ramai memakainya,” katanya, yang pernah mengeluarkan susuk daripada bahagian sulit golongan terbabit.


Menurutnya, beliau juga ada menemui satu kes seorang wanita yang memakai 40 susuk, termasuk tujuh di muka dan tujuh di dada manakala 20 jarum pada anggota sulit.


“Gara-gara memakai susuk pada alat sulit juga saya menemui kes seorang wanita terpaksa bersuami sehingga 70 lelaki kerana tidak mendapat kepuasan nafsunya.


“Wanita terbabit akhirnya bertemu seorang lelaki yang juga memakai susuk pada anggota sulit dan barulah dia dapat hidup sebumbung sampai hari ini,”
katanya.


Beliau menyediakan perkhidmatan membuang susuk dan gangguan makhluk halus di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, sentiasa menerima kehadiran orang ramai dari seluruh negara termasuk Singapura yang mahu mendapatkan bantuan membuang bahan kotor terbabit.


Ketika berdepan dengan pemakai yang ingin membuang susuk, beliau terlebih dulu akan menerangkan kaedah rawatan yang bakal dilakukan seperti tiga kali rawatan bagi susuk emas dan teknik menarik susuk dengan air zamzam.

Sharhan berkata, biasanya susuk yang dimasukkan itu berbentuk jarum emas yang halus dan sebelum dimasukkan kepada si pemakai, ia direndam terlebih dulu, malah ada antaranya direndam dalam darah babi selama 21 hari supaya benar-benar ‘power’.


“Ini semua supaya susuk itu benar-benar mujarab dan jin penunggu melekat pada pemakai. Disebabkan angkara jin ini yang menjadi duta di dalam badan, wajah si pemakai menjadi tegang, lebih cantik dan kuat kemutan, semuanya kerja jin,” katanya.


Pemakai susuk katanya, bukan setakat orang Melayu, bahkan ramai juga di kalangan kaum lain tanpa mengira perbezaan usia dan agama, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), ahli politik dan selebriti untuk pelbagai tujuan.


Beliau berkata, susuk walaupun dari segi luaran mendatang beberapa keistimewaan yang sukar ditandingi kepada pemakainya, sebenarnya ia membawa banyak kesan buruk terutama bagi orang Islam terpesong dari segi akidah kerana mempercayai pada benda terbabit adalah syirik.

“Pemakai susuk ialah mereka yang mahu mengubah kejadian Allah, kerana tidak dapat menerima ketetapan Allah yang mencipta setiap manusia dengan sebaik-baik kejadian.


“Mereka hendak mengubah rupa mengikut citarasa sendiri apabila mengatakan diri hodoh dan mahu lebih cantik lagi.


“Akhirnya dengan susuk itu juga diri merana, kerana apabila sampai usia tua, 70 atau 80 tahun, mulalah badan berasa sakit.


“Mereka yang memakai susuk juga terpaksa alah kepada banyak pantang larang, seperti tidak boleh melalui bawah ampaian, tidak boleh makan sate dan pisang emas,” katanya.


Katanya, masyarakat perlu sedar bukan semua jenis susuk boleh dibuang apabila dimasukkan pada anggota badan.


Susuk diraja katanya, sangat sukar untuk dibuang kerana ia mempunyai kata kunci yang ditetapkan bomoh terbabit.


“Bagi susuk diraja, bomoh menggunakan kata kunci mengikut keinginan masing-masing, malah ada yang menyalahgunakan ayat al-Quran seperti menyatakan sebutan rabbuka sebagai niat buka kunci terbabit,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Susukpowerdarahbabi/Article

Friday, May 28, 2010

Iktiraf Pekerja Asing Penting Dalam Sektor Perladangan

Jumaat Mei 28, 2010

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia (MAPA) menggesa kerajaan mengiktaf pengambilan pekerja asing sebagai satu keperluan di sektor perladangan memandangkan ramai pekerja tempatan mengelak dari bekerja dalam industri berkenaan.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan dalam satu kenyataan hari ini berkata menaikkan levi tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh industri berkenaan oleh kerana pekerja asing menjadi penokok tambah kepada pekerja tempatan di ladang-ladang.

"Mengambil pekerja asing memberi kelebihan ekonomi kepada negara dan memberi sumbangan besar terhadap pembangunan dan pertumbuhan ladang," katanya.

Beliau berkata seorang pekerja asing yang memetik kelapa sawit menyumbang kira-kira RM195,700 setahun.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MAPA Mohamad Audong berkata Malaysia adalah pengeluar kos tertinggi berbanding dengan pengeluar tanaman ladang lain di rantau ini kerana kos buruh terus meningkat.

"Ketika ini, kos purata pengeluaran adalah antara RM1,000 dan RM1,500 setan metrik minyak sawit," katanya.

Oleh itu, Mohamad berkata dengan peningkatan bayaran levi dan bon sekuriti, kos pengeluaran akan terus naik dan ini tidak boleh dikenakan pada pengguna oleh kerana ladang adalah pihak yang terpaksa menanggung harga yang ditetapkan. Beliau berkata beban yang bertambah sama ada menerusi perundangan, levi, bon sekuriti atau gaji minimum wajib akan menghakis lagi daya saing perusahaan ladang dalam persekitaran global.

Pelaburan oleh syarikat tempatan termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Ladang-ladang Felda, Sime Darby, Tabung Haji, Felcra, Risda dan Perbadanan Negeri memerlukan perlindungan bagi menentukan industri berkenaan terus berkembang dan menjana pendapatan eksport.

"Sektor ladang juga menyumbang pendapatan eksport bersih RM60 bilion pada 2008 dan RM58 bilion pada 2009 yang merupakan salah satu tunggak penting ekonomi Malaysia," ujar Mohamad. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/5/28/mstar_berita/20100528094607&sec=mstar_berita

Bomoh cilik dirawat di hospital

Bomoh cilik dirawat di hospital


GAMBAR yang disiarkan oleh akhbar DetikSurabaya semalam menunjukkan Ponari makan ubat yang diberikan oleh ibunya di rumah mereka di Jombang, Jawa Timur.


SURABAYA - Seorang budak 11 tahun yang mendapat liputan meluas kerana menjadi bomoh cilik dan mampu menyembuhkan penyakit dengan batu sakti jatuh sakit dan terpaksa dirawat di sebuah hospital, lapor sebuah akhbar semalam.

Bomoh itu yang terkenal dengan panggilan Ponari dihantar oleh bapanya, Kamsin ke hospital setelah suhu badannya amat panas.

Namun, dia dari Desa Balongsari, Megaluh, Jombang, Jawa Timur dibenarkan pulang selepas sehari dirawat di hospital itu.

"Kami sudah cuba memberi air minuman yang dicelupi batu bertuah itu tetapi suhu badannya terus naik dan akhirnya kami membawa Ponari ke hospital," kata Kamsin kepada wartawan.

Penjelasan keluarga itu menafikan kehebatan Ponari yang pernah menarik perhatian ramai apabila dikunjungi puluhan ribu pesakit yang percaya dia mampu menyembuhkan penyakit dengan menggunakan seketul batu ajaib. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Bala guna Internet cari duit

Bala guna Internet cari duit


TAJULZAIRI yang didapati bersalah menggunakan aplikasi lucah melalui Internet didenda oleh Mahkamah Sesyen Klang semalam.


KLANG - Seorang kerani bank yang merupakan individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah melalui Internet bagi tujuan komersial didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Tajulzairi Tajuddin, 31, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet dengan alamat IP 112.137.162.108 di laman web http://www.wanitamelayu2.com/login dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Dia melakukan kesalahan itu di Aras 1, Jabatan Kawalselia Kandungan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Off Persiaran Multimedia, Cyberjaya, Sepang pada pukul 5 petang, 10 Jun tahun lepas.

Tajulzairi didakwa mengikut Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Tajulzairi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SKMM, Badius Zaman Ahmad bagaimanapun meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam berikutan kes itu telah menyumbang kepada statistik kesalahan jenayah seksual.

Beliau berkata, Tajulzairi yang merupakan individu pertama didakwa mengikut akta itu telah mengaut keuntungan secara haram dengan menyalahgunakan Internet untuk membekalkan perisian lucah bagi tujuan komersial atau dijual.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Tangisan ibu tunggal

Oleh Nazdy Harun

2010/05/28

KUALA TERENGGANU: “Walaupun anak bongsu saya lumpuh sejak 17 tahun lalu akibat deman panas ketika berusia 40 hari, sehingga kini permohonan mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan masih kabur kerana tiada jawapan.

“Saya merayu pihak berkenaan tampil membantu saya yang hidup dalam kesempitan,” kata Meriam Ngah, 49, dari Kampung Tanjung Paya, dekat sini.


Dia yang juga ibu tunggal berkata, selepas berpisah dengan suami tujuh tahun lalu, dia terpaksa menyara lima daripada enam anaknya dengan pendapatan RM400 sebulan.


Katanya, daripada jumlah itu, dia terpaksa membeli kelengkapan buat anaknya, Mohd Fakhruddin Razali, 17, yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).


Katanya, dia kini bekerja sebagai tukang cuci dan menyewa rumah di kampung pada kadar RM180 sebulan.


Meriam berkata, RM250 diperlukan setiap bulan bagi menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu dan makanan bijirin untuk anaknya itu memandangkan dia tidak mampu bergerak.


“Pernah kami sekeluarga hanya menjamah nasi bersama kicap dan telur bagi mengalas perut berikutan tiada wang membeli keperluan dapur. Ini membuatkan saya menangis memikirkan nasib yang menimpa diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Selain itu, katanya, anaknya Nor Najmiah Razali, 23, yang kini menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) turut memerlukan bantuan kewangan untuk kos pembelajaran.


Menurutnya, dia juga mengalami penyakit lelah sejak 25 tahun lalu dan sering menerima rawatan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).


Katanya, beberapa permohonan mendapatkan bantuan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak beberapa tahun lalu dan kali terakhir pada 26 Januari lalu, namun masih tiada maklum balas.


Malah, permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) empat tahun lalu juga tidak dilayan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...