Wednesday, June 23, 2010

Geng kunci pendua

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

2010/06/23

IPOH: Bergerak dalam kumpulan melebihi 10 orang, satu sindiket pecah rumah dan curi kereta dikenali Geng Ah Kau bukan saja tidak meninggalkan sebarang jejak ketika melakukan aktiviti berkenaan, sebaliknya mempunyai kepakaran tersendiri membuat kunci pendua bagi memecah masuk rumah dan kereta mangsanya.

Kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sejak enam bulan lalu membabitkan lebih 10 kes pecah rumah dan curi kereta.


Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi, 20 Jun lalu di sebuah rumah di Bandar Seri Botani, sepasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Simpang Pulai serta Kampung Rapat berjaya menahan ketua kumpulan sindiket itu dikenali sebagai Ah Kau bersama enam lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 32 tahun di rumah berkenaan.


Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya percaya kumpulan itu mempunyai kepakaran tersendiri terutama membuat kunci pendua bagi memudahkan siri rompakan rumah dan curi kereta dilakukan.


Katanya, penemuan alat pembuat kunci pendua serta binokular dan beberapa set walkie talkie ketika serbuan membuktikan kumpulan itu teliti dan licik.


Katanya, puluhan kunci rumah serta kereta yang digunakan untuk memecah masuk kenderaan dan rumah sasaran juga ditemui.


“Antara hasil rampasan ditemui termasuk 21 telefon bimbit, lima senjata tajam termasuk tiga pedang samurai serta peralatan elektrik termasuk dekoder Astro,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Selain itu, polis menemui semula lapan kereta pelbagai jenama iaitu dua Proton Perdana; dua Proton Waja dan masing-masing sebuah Toyota Camry, Proton Wira, Honda Civic dan Honda Jazz membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM500,000.


Katanya, pihaknya percaya kumpulan itu sudah menjual sebahagian daripada kereta curi berkenaan dan lapan kereta dirampas dipercayai diuruskan suspek untuk dijual kepada orang awam.


Katanya, kebanyakan suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah dan curi kereta.


“Kami masih mengesan dua ahli kumpulan dikenali sebagai Specky serta Ah Seng masing-masing berusia 25 dan 24 tahun,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Firdaus di talian 019-5718435 bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gengkuncipendua/Article

Patah 2 gigi

Oleh Amir Abd Hamid

2010/06/23

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar negara ini yang menuntut di University of Sunderland, London, cedera di seluruh badan termasuk patah dua gigi depan akibat dibelasah sekumpulan samseng mabuk di sana yang berang kerana pasukan bola sepak England hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan Piala Dunia menentang Algeria, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Hasfarisi Abu Hassan (gambar), 24, dikatakan sedang berjalan pulang ke kediamannya selepas menunaikan solat Isyak di masjid berdekatan apabila tiba-tiba sekumpulan lima samseng berusia antara 17 dan 20 tahun menyerangnya di SP Marks Road, Sunderland, jam 11.40 malam (waktu United Kingdom).


Khairul Hasfarisi ketika dihubungi Harian Metro semalam, berkata dia tidak menyangka perkara begini boleh berlaku kepadanya.


“Saya memang sudah nampak sekumpulan lelaki mabuk yang bising marah-marah selepas pasukan bola sepak England bermain buruk pada hari itu.


“Tiba-tiba mereka yang mabuk membaling tin arak ke arah kepala saya...tetapi saya sempat mengelak. Tindakan saya mengelak balingan tin arak itu menyebabkan mereka geram lalu mengejar saya,”
kata pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Perangkaian itu.


Menurutnya, dua daripada lima lelaki itu kemudian menariknya hingga terjatuh sebelum memijak kepala dan hampir seluruh badannya.


Dalam keadaan kelam-kabut mempertahankan diri, kata Khairul Hasfarisi, mulutnya ditumbuk bertubi-tubi sehingga menyebabkan dua batang gigi atas bahagian depan patah.


Katanya, dia dibelasah hampir 10 minit sebelum tidak sedarkan diri dan terbaring di tengah jalan.


“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan dalam keadaan sakit serta mulut berdarah saya berjalan ke rumah. Sebaik tiba di rumah saya menghubungi polis sebelum ambulans datang membawa ke hospital berdekatan.


“Ini pengalaman terburuk sepanjang sembilan bulan menuntut ilmu di sini (England). Syukur Alhamdulillah ujian sinar-X mendapati saya tidak mengalami kecederaan dalaman yang teruk,”
katanya yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di United Kingdom, Profesor Madya Dr Rosman Abdullah, berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi media.

Menurutnya, MSD akan menyiasat kejadian terbabit sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Patah2gigi/Article

Minda: Isu gula sampai bila?

2010/06/23

ISU kekurangan gula perlu ditangani dengan berkesan untuk mengelak bebanan kepada pengguna yang memerlukan gula apatah lagi bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan. Tahun ini, kekurangan gula berlaku lebih awal. Tahun lalu menjelang Ramadan, beberapa negeri kekurangan gula termasuk Perlis yang terkenal sebagai pengeluar gula di negara kita.

Tahun ini, belum pun tiba Ramadan, gula sudah kurang dan kita tidak pasti adakah kekurangan ini akan berlaku lagi menjelang Ramadan dan Syawal nanti. Walaupun pelbagai kempen berkaitan gula diuar-uarkan kerajaan untuk mengingatkan rakyat tentang pentingnya menjimat atau mengurangkan gula, tetapi sesiapa saja tetap mahukan gula kerana ia keperluan harian untuk tubuh manusia.


Kita lihat kempen berkaitan gula hanya muncul ketika berlaku kekurangan gula. Mulalah kita mencipta pelbagai slogan termasuk ‘kurangkan gula dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman’ untuk mempengaruhi orang ramai mengurangkan gula. Apabila berlaku kekurangan gula, sesetengah pekedai pula tidak mempamerkan gula yang ada di premis mereka sebaliknya meletakkan di bawah meja dan ada yang menjual kepada pelanggan yang sering membeli di kedai mereka saja.


Satu kes yang berlaku di Negeri Sembilan, pengguna yang ingin mendapatkan gula mesti membeli barangan di kedai tersebut melebihi RM100, jika tidak gula tidak akan dijual. Ini bermakna di kedai berkenaan ada gula, tetapi ada syarat untuk mendapatkannya. Ada pekedai yang hanya membenarkan setiap pengguna membeli sekilogram gula setiap kali pembelian dilakukan. Jika seseorang itu mahukan banyak gula, terpaksalah mereka membawa anak-anak ke kedai untuk mendapatkannya.


Bercakap soal gula, pelbagai penyakit akibat lebihan gula kita gembar-gemburkan supaya orang ramai tahu kesan negatif penggunaan gula berlebihan. Apa yang dipersoalkan, segala macam kempen dan peringatan itu dibuat sebaik saja bekalan gula kurang. Oleh itu, sesetengah syarikat pengeluar minuman botol dan tin pun pening memikirkan kadar jualan syarikat mereka berkurangan kerana minuman mereka banyak gula.

Apabila bekalan gula pulih kempen dan segala macam peringatan itu pun turut senyap sehingga melalaikan orang ramai bahawa kekurangan ini akan berulang lagi. Malah, pelbagai penyakit kronik kesan penggunaan gula berlebihan pun tidak dipedulikan lagi. Syarikat pengeluar minuman dalam tin dan botol yang banyak gula boleh mengukir senyuman semula kerana tidak ada lagi kempen tersebut dan orang sudah lupa kesan negatif mengamalkan minuman yang banyak gula.

Ura-ura kekurangan bekalan gula selalunya disertai dengan pembelian panik pengguna. Mereka membeli dengan kadar banyak, mereka mengumpul gula seolah-olah bekalan gula tidak akan pulih beberapa bulan. Peniaga pula sibuk menyembunyikan gula dengan harapan harganya akan naik dan mereka akan menjualnya selepas pengumuman kenaikan harganya dibuat. Umum gula naik harga jam 12 tengah malam, esok pagi sudah banyak gula di premis perniagaan mereka.

Tangkapan demi tangkapan yang dibuat termasuk denda yang dikenakan tidak pernah meninggalkan kesan kepada peniaga. Tangkap di sana, di sini sembunyi gula, tangkap di sini, di sana pula terbongkar kegiatan menyorok gula.

Pemantauan ke atas bahan penting ini mesti dibuat secara berterusan. Selain kempen mengurangkan penggunaan gula yang mesti dilakukan secara berterusan, pemantauan terhadap penyeludupan gula ke negara jiran mesti dilakukan apatah lagi jika harga gula di negara jiran lebih mahal.

Dalam beberapa kes yang dilaporkan baru-baru ini, gula diseludup ke Thailand kerana harga gula di negara tersebut RM2.50 sekilogram. Orang yang inginkan keuntungan sanggup berbuat apa saja tanpa mengira masalah yang dipikul pengguna di negara sendiri.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sekitar tahun 70-an, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil 17 sudu teh gula sehari, bertambah menjadi 21 sudu sekitar 80-an dan 90-an kemudian menjadi 26 sudu pada masa ini.


Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula hanya menetapkan setiap orang mesti mengambil gula 50 gram atau 10 sudu teh sehari sedangkan kebanyakan kita mengambil lebih banyak daripada had yang ditetapkan itu.


Oleh yang demikian, kesedaran individu mengenai keburukan pengambilan gula berlebihan mesti ada untuk membantu menangani masalah kekurangan gula. Yang jelas, pelbagai penyakit boleh hinggap pada diri kita jika terlebih gula. Malah, tidak hairanlah orang telah melabelkan kebanyakan kita mati kerana terlebih makan, sedangkan di negara lain orang mati kerana tidak cukup makanan.


Sejak penduduk di negara kita bertambah, termasuk kepandaian kita membuat pelbagai jenis kuih, mencipta pelbagai resipi baru, sama ada makanan dan minuman yang melibatkan gula, penggunaan gula kian bertambah dari semasa ke semasa. Oleh itu gula sering mendapat permintaan tinggi terutama pengusaha makanan. Menjelang musim perayaan, peniaga termasuk mereka yang terlibat dengan penjualan di bazar, segala macam kuih dan biskut memerlukan gula.

Kempen antisorok yang dilancarkan pada 1974 mesti diperkemas dan diaktifkan serta kerjasama orang ramai diperlukan untuk membendung masalah penindasan peniaga terhadap pengguna. Iklan mengenai gula dan masalahnya mesti kerap diadakan menerusi media massa dengan harapan dapat mengingatkan orang ramai tentang masalah ini.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mesti menambah jumlah anggota untuk memantau barang keperluan terutama gula supaya pengguna tidak memikul beban. Serbuan dan tangkapan mesti dilakukan selepas membuat intipan atau setelah menerima aduan daripada pengguna supaya masalah ini dapat dikurangkan.


Kementerian juga mesti mengawasi pelbagai jenis barang keperluan lain seperti minyak masak dan tepung yang sering berkurangan di pasaran pada waktu tertentu terutama menjelang musim perayaan. Jika kekurangan gula ada kaitan dengan kekurangan pengeluaran gula berbanding permintaan, kawasan tanaman tebu mesti diperluas atau dipertingkat hasilnya. Penting juga, kadar pengambilan dan penggunaan gula mesti dikawal setiap orang supaya penyakit berkaitan gula tidak hinggap di tubuh badan kita.

Penulis ialah seorang guru dan penulis bebas.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Isugulasampaibila_/Article

PDRM minta bantuan Interpol, Aseanpol

2010/06/23

MIRI: Melarikan diri dan bersembunyi di luar negara tidak bermakna tujuh bookie bola sepak Piala Dunia 2010 termasuk seorang bergelar Datuk terselamat daripada terus menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia.

Malah, polis akan terus memburu penjenayah terbabit dengan bantuan pihak berkuasa di luar negara khususnya Interpol dan Aseanpol.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan segala kepakaran Unit Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Cawangan Khas (SB) untuk mengesan suspek.


“Mereka lari ke luar negara tidak bermakna mereka boleh sembunyi buat selama-lamanya, kerana hubungan pihak berkuasa dengan negara jiran dan pihak polis antarabangsa melalui risikan dan sebagainya adalah cukup baik.


“Mereka boleh lari, tapi tidak mungkin akan dapat bersembunyi selama-lamanya,”
katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Miri, di sini, semalam.


Menurut Hishammuddin, usaha mengesan individu terbabit perlu kerana kemungkinan mereka turut terbabit dalam kegiatan jenayah lain yang mendedahkan negara ini kepada pelbagai ancaman lain seperti keganasan, pemerdagangan manusia dan pemalsuan wang haram.


“Penjenayah ini boleh mengeksploit sepenuhnya kemudahan dunia tanpa sempadan menerusi wang yang mereka peroleh daripada kegiatan berkenaan,” katanya.


Katanya, jumlah pertaruhan judi bola di setiap negara di Asia mencecah A$10 bilion. Semalam polis mendedahkan pertaruhan judi bola di Malaysia sejak 11 Jun lalu membabitkan nilai RM300 juta.


Melalui Ops Soga di seluruh negara, polis sudah melakukan 156 serbuan dan menahan 120 anggota sindiket pertaruhan haram termasuk bookie serta kaki judi berusia 15 hingga 73 tahun.


Terdahulu, Hishammuddin berada di Sarawak sempena dalam rangka lawatan meninjau keperluan asas untuk pasukan keselamatan di Sarawak yang dijanjikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10). Antara yang diberi keutamaan bagi polis kontinjen Sarawak termasuk kebajikan, jenayah dan sosial.


Berhubung permohonan MyKad di Sarawak, Hishammuddin berkata, banyak permohonan sudah diterima dan proses kelulusan kini berjalan lancar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PDRMmintabantuanInterpol_Aseanpol/Article

Mansuh lesen runcit 3 barang

2010/06/23

BERKUAT kuasa 15 Julai depan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memutuskan untuk memansuhkan lesen runcit bagi tiga barangan iaitu ayam, besi (bar bulat keluli lembut) dan simen.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengecualian lesen runcit bagi ketiga-tiga barangan itu dibuat berikutan ia bukan lagi di bawah kawalan harga sebaliknya ditentukan (harga) oleh pasaran semasa.


“Pada 2008, kementerian mengambil langkah proaktif dengan memansuhkan kawalan harga terhadap ayam, besi dan simen. Selain itu, bekalan ayam dalam negara juga semakin stabil sejak kawalan harga dikeluarkan.


“Setakat ini, jumlah lesen runcit ayam dikeluarkan 2,676, 3,000 simen dan 2,356 lesen bagi besi,”
katanya dalam sidang media di Parlimen di sini, semalam.


Ismail Sabri berkata, bagaimanapun pihaknya memberi fokus kepada tiga barangan keperluan asas iaitu gula, tepung gandum dan minyak masak kerana ia masih bawah kawalan kerajaan.


Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian sedang menyediakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946.


“Akta itu dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, minggu depan dan sekiranya ia diluluskan, maka lesen di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan dimansuhkan.


“Ini bermakna lesen skim itu tidak akan dikenakan ke atas peruncit musim perayaan akan datang,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mansuhlesenruncit3barang/Article

Saya tak curang: Joe

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

2010/06/23

PETALING JAYA: Keengganan bercerai dengan isterinya iaitu dramatis popular Aida Radzwil menyebabkan penyanyi Joe Radzwil memfailkan penyata pembelaan dan tuntutan balas serta perintah kembali taat terhadap permohonan pembubaran perkahwinan atau fasakh yang difailkan pelakon itu, April lalu.

Joe atau nama sebenarnya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill, 39, diwakili peguam Roslizam Rahim memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.


Joe (defendan) dalam penyata pembelaannya menafikan bahawa dia pernah curang terhadap Aida (plaintif) dan pernyataan plaintif itu adalah fitnah untuk memburuk-burukkan defendan semata-mata, sebaliknya mempunyai kesedaran akan tanggungjawabnya sebagai suami dan tidak pernah mengabaikan rumah tangga seperti yang didakwa plaintif.


Penyanyi itu memohon mahkamah memerintahkan plaintif kembali taat kepadanya selaku defendan sebagai suami yang sah mengikut hukum syarak dalam masa 14 hari dan sekiranya plaintif ingkar, defendan memohon mahkamah dan/atau membuat deklarasi bahawa plaintif nusyuz. Dia turut memohon mahkamah mengenepikan tuntutan fasakh Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad, 52, yang difailkan berdasarkan Seksyen 53 1(b)(h)(i)(ii)(l) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Aida memakai jubah kuning dan Joe yang memakai kemeja kelabu hadir secara berasingan ke mahkamah ditemani beberapa rakan masing-masing. Dalam tuntutan balasnya, Joe turut menegaskan bahawa plaintif seorang isteri yang nusyuz mengikut hukum syarak apabila gagal dan/atau cuai menjalankan kewajipan sebagai isteri terhadap defendan dan mendakwa plaintif sering pulang lewat ke rumah sehingga jam 2 hingga 3 pagi. Defendan juga menyatakan bahawa disebabkan kesibukan itu plaintif bersikap dingin dalam hubungan kelamin terhadap defendan sejak empat tahun lalu dan sering mengelakkan diri daripada tidur bersama defendan tanpa alasan yang munasabah.


Di samping itu, plaintif cuai/atau gagal menjaga defendan sebagai suaminya kerana defendan pernah dimasukkan ke hospital selama dua hari, tapi plaintif tidak pernah melawat atau menjenguk defendan sepanjang tempoh itu dengan alasan sibuk berlakon. Selanjutnya, defendan menegaskan bahawa plaintif seorang isteri yang tidak jujur dalam perkahwinan kerana pernah memberitahu defendan bahawa plaintif berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan kerja sebaliknya pada masa yang sama defendan mempunyai pengetahuan mengenai kereta plaintif berada di The Curve, Damansara dan di Bangsar Village, dekat sini, pada masa itu.


Defendan juga menyatakan bahawa sehingga kini plaintif sering melakukan perbuatan dan tindakan berunsur provokasi seperti mengejutkan defendan dari tidur jam 3 atau 4 pagi untuk berbincang mengenai rumah tangga dengan niat untuk mendatangkan kemarahan defendan.


Manakala dalam penyata pembelaannya pula, Joe menafikan semua dakwaan Aida dalam pernyataan tuntutannya dan meletakkan beban pembuktian yang kukuh dan/atau ketat terhadap plaintif.


Peguam Nahar Alias yang mewakili Aida bagaimanapun memohon mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi pihaknya menjawab tuntutan balas terhadap plaintif. Roslizam turut menyatakan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah pada prosiding lalu kerana hanya menerima notis saman pada hari yang sama dengan tarikh prosiding iaitu 11 Mei lalu.


Menurutnya, pihak plaintif sepatutnya menghantar notis berkenaan sekurang-kurangnya tujuh hari awal daripada tarikh prosiding mahkamah.


Hakim Mohamad Yusri Kassim kemudian menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes. Ketika ditemui di luar mahkamah, Joe mengakui bukan senang untuk dia melepaskan Aida selepas mereka berkahwin hampir lapan tahun.


Aida memfailkan permohonan fasakh itu pada 27 April 2010 selepas lapan tahun berkahwin dengan penyanyi berkenaan.

Aida menyatakan beberapa alasan iaitu mendakwa suaminya gagal memberi nafkah lebih dari tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.


Selain itu, defendan didakwa berperangai keji kerana tidak mengikut hukum syarak serta wujud perbalahan berpanjangan antara mereka berdua.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayatakcurang_Joe/Article

30 buruh kilang kayu kebuluran

Oleh Abdullah Wahab

2010/06/23

KLANG: Sekumpulan 30 warga Bangladesh mendakwa terpaksa mengikat perut selain terpaksa meneguk air paip bagi meneruskan hidup kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan berikutan tidak dibayar gaji.

Mereka yang bekerja di sebuah kilang kayu di Meru, dekat sini, mendakwa dikerah bekerja dengan teruk namun gaji tidak dibayar dan setiap kali menuntut gaji, mereka dilayan dengan kasar oleh majikan.


Berikutan tidak tahan dengan layanan tidak berperikemanusiaan itu, mereka merayu campur tangan pihak berkuasa untuk dihantar pulang ke negara asal.


Wakil pekerja terbabit, Abdul Malak Elahibox, 28, mendakwa majikan juga tidak mahu menyerahkan pasport apabila mereka meminta dihantar pulang menyebabkan mereka sepakat membuat laporan polis.


“Kami dianiaya. Mana kami nak dapat wang untuk beli makan selepas tidak dibayar gaji.


“Kami bekerja tanpa dibayar gaji sejak dua setengah bulan lalu. Nak pulang pun tak dapat kerana tiada wang manakala pasport kami dipegang,”
katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Meru, di sini, petang semalam.


Jakaria Samsul Haque, 23, berkata oleh kerana tidak mendapat gaji tetap, dia terpaksa meminta belas kasihan daripada rakan senegara yang bekerja di tempat lain untuk meminjam duit.


“Dua tiga hari ini, kami semua terpaksa berlapar dan bergantung kepada air paip kerana tak ada wang untuk beli makanan.


“Saya sedih dengan apa yang terjadi dan berharap dapat pulang ke negara asal secepat mungkin,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusop ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pengadu dan majikan untuk menyelesaikan masalah itu secara baik selepas menerima laporan. “Kami akan merujuk kepada kedutaan Bangladesh dan Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.


“Kita dapati kes ini tiada unsur jenayah tetapi lebih kepada masalah kontrak tetapi saya ingin menasihati majikan yang menggaji pekerja asing supaya tidak mengambil kesempatan dengan menganiaya dan tidak membayar gaji pekerja mereka,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/30buruhkilangkayukebuluran/Article

Noda anak enam tahun

Oleh Riadz Radzi dan Omar Osman

2010/06/23

SUNGAI PETANI: “Perbuatan kamu ini umpama haruan makan anak dan ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Rusita Md Lazim ketika menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 49 tahun yang didapati bersalah merogol anak kandungnya pada 2002 hingga 2008.

BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
BERSALAH...tertuduh diiring di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, semalam.
Tertuduh, bekas pengawal keselamatan didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kupang, Baling, mulai 2002 hingga 2008.

Tertuduh berusia 42 tahun manakala anak perempuannya berusia tujuh tahun ketika kejadian pertama berlaku ditahan pada 7 Mei 2008 selepas mangsa yang pada masa itu berusia 13 tahun membuat laporan di Balai Polis Kupang bersama keluarganya.

Rusita berkata, pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mendapati tertuduh bersalah kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap anaknya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadilah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Rusita berkata, hukuman itu setimpal dengan perbuatan tertuduh yang kejam dan tidak berperikemanusiaan terutama mangsa yang masih terlalu kecil ketika kejadian.

“Kamu sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, tetapi melakukan perbuatan keji dan kejam terhadap mereka, malah kamu tidak menghiraukan sedikit pun jeritan kesakitan anak kecil ketika melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan sumbang mahram terhadap seorang lagi anak perempuannya pada 2008 di rumah sama.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.

Kes itu akan disebut semula pada 23 Ogos ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nodaanakenamtahun/Article/index_html

Monday, June 21, 2010

SAHABAT THALASSAEMIA MALAYSIA: MAKAN MENGIKUT JENIS DARAH

MAKAN MENGIKUT JENIS DARAH

Friday, February 26, 2010 at 11:06pm

MENGAMALKAN pemakanan berjadual mengikut jenis diet tertentu kini menjadi trend di kalangan masyarakat. Ada yang mengamalkannya secara melulu, sebahagian lagi menjadikan internet sebagai rujukan.

Antara jenis diet yang menjadi amalan dan didakwa mampu membantu mengekalkan kesihatan badan selain tujuan menguruskan badan adalah diet mengikut jenis darah atau Blood Type Diet (BTD) diperkenalkan Dr Peter D‘Adamo melalui buku tulisannya, Eat Right 4 Your Type dan Lectins: The Diet Connection buat pertama kalinya pada 1997.

Bagaimanapun pakar pemakanan menolak dakwaan D‘Adamo kerana menurut mereka BTD tidak diiktiraf secara saintifik. Mengapa berlaku percanggahan ini.

Teori diet D'Adamo tidak diiktiraf

DIET mengikut jenis darah atau Blood Type Diet (BTD) diperkenalkan Dr Peter D‘Adamo melalui buku tulisannya, Eat Right 4 Your Type dan Lectins: The Diet Connection buat pertama kalinya pada 1997.

TAN menunjukkan amalan pemakanan seimbang berdasarkan piramid makanan.

Ia adalah diet asas dengan kepercayaan jenis darah adalah faktor terpenting menentukan diet yang sihat. Bagaimanapun ia dikritik hebat oleh pakar pemakanan, nutrisi dan doktor kerana teori itu tidak dibuat berasaskan kajian saintifik.

Evolusi teori kumpulan darah yang digunakan D‘Adamo adalah berasaskan kajian oleh William C Boyd seorang antropologi darah yang membuat kajian mengenai kumpulan darah. Dalam buku tulisan Boyd, Genetics and the races of man: An introduction of blood groups, physical anthropology diterbitkan pada 1950, Byod menerangkan bagaimana analisis genetik terhadap kumpulan darah dan bangsa seseorang itu boleh membezakan genetik. Daripada pemahaman inilah, Boyd mengagihkan populasi dunia kepada 13 bangsa.

Kemudian, D‘Adamo mengagihkan pula 13 perbezaan itu bersama-sama dengan jenis darah dengan setiap jenis darah dalam 13 kumpulan itu memerlukan diet yang berbeza.

Bagaimanapun BTD yang dirumuskan berdasarkan teori D‘Adamo tidak diiktiraf secara saintifik kerana ia diandaikan mengikut teori tindak balas kimia lectin iaitu sejenis protein dalam makanan yang mana jenis darah diprogramkan secara genetik untuk menerima atau menolak.

Teori itu mengandaikan, sebarang ketidakserasian antara lectin dan jenis darah akan mengakibatkan rumpuan sel yang dipanggil percantuman pada bahagian sel berkenaan yang akan mengganggu pencernaan, metabolisme, masalah berat badan dan juga mengakibatkan sistem keimunan tidak berfungsi dengan berkesan.

Namun, itu hanyalah teori tanpa asas saintifik. Persoalannya, mengapa ia menjadi ikutan? Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Pantai, Tan Shy Pyng berkata, untuk kurus dan kekal langsing membuatkan manusia sanggup berbuat apa saja. Malah, pelbagai formula kurus dicipta dan disebarkan secara meluas melalui media terutama internet membuatkan ramai berani mencuba.

Ada banyak jenis diet antaranya Diet Atkin, BTD dan banyak lagi namun ia sebenarnya tidak baik untuk kesihatan. Mereka yang mengamalkan pemakanan bersukat cenderung mengalami masalah ketidakseimbangan nutrisi di dalam badan, mungkin disebabkan memilih makanan.

Mereka percaya jenis kumpulan makanan tertentu perlu diambil dalam jumlah tertentu sedangkan ia tidak benar. Misalnya BTD tidak menggalakkan individu berdarah O mengambil makanan tinggi karbohidrat dan perlu meningkatkan pengambilan protein.

Tapi, menurut pandangan pakar pemakanan dan perubatan, cara itu boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah krisis tenaga disebabkan kekurangan karbohidrat. Mungkin yang mengamalkan BTD akan kurus dalam tempoh tertentu tapi proses yang terjadi tidak normal dan memudaratkan,¡¨ katanya.

Pengambilan protein berlebihan boleh menyebabkan ia berkumpul menjadi urea dan creatinine (bahan kumuh). Jumlah pengambilan protein yang banyak akan membebankan buah pinggang dan lama-kelamaan akan menjejaskan fungsi organ itu.

Biasanya masalah berkenaan hanya akan dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun,¨ katanya.

BTD juga diperkenalkan bukan hanya untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan tapi ia turut disyorkan pada pesakit kanser. Secara asasnya, pesakit kanser sememangnya memerlukan protein dan kalori tapi jumlah kalori yang banyak akan menyebabkan sistem imun hilang.

Sebagai penyelesaian, jika seseorang ingin mengurangkan berat badan, cara yang paling betul adalah mengamalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat. Perhatikan apakah punca masalah kegemukan? Faktor utama adalah makanan segera dan kurang senaman.

Kanak-kanak juga ramai yang mengalami masalah obesiti. Ia disebabkan tabiat mereka yang berubah, tidak aktif, malas bersenam dan memakan makanan segera,¨ katanya.

Tan berkata, bersenam tidak akan memberikan hasil segera seperti mengamalkan diet atau mengambil pil kurus tapi ia memerlukan tempoh dan kesungguhan. Sebagai permulaan, seseorang yang berbadan besar boleh memulakan senaman seperti jalan kaki atau joging.

Kami juga menggalakkan pesakit yang datang berjumpa pakar pemakanan menukar gaya hidup mereka yang kuat makan atau makan makanan tidak sihat, kurang bersenam atau masalah genetik.

Mereka yang aktif tapi masih gemuk biasanya disarankan mengurangkan pengambilan karbohidrat supaya apabila bersenam, tenaga yang bertukar menjadi lemak akan terbakar.

Selain itu, mereka juga perlu tukar cara pemakanan. Cara masakan dan kuantiti mempengaruhi. Jika sebelum ini suka masakan bersantan, selepas ini amalkan makanan sup atau tanpa santan,¨ katanya.

Kata Tan, jika sebelum ini mereka yang mengalami masalah kegemukan sering putus asa untuk menjalani rawatan menguruskan badan, tapi Tan memberi jaminan bahawa genetik dan tahap metabolisme boleh bertukar.

Amalkan gaya hidup aktif kerana lemak yang degil lama kelamaan jika sentiasa dibakar akan menjadi tenaga dan secara perlahan-lahan akan menukar tahap metabolisme badan,¨ katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata, orang ramai yang ingin mencuba MTD sepatutnya membuat penyelidikan lebih lanjut dan tahu mengapa diet ini perlu diambil.

Katanya, dalam amalan pengambilan nutrisi, tidak ada bentuk pemakanan yang diambil berasaskan kumpulan darah. Diet boleh dibuat mengikut jantina, usia dan aktiviti harian tetapi bukan mengikut kumpulan darah.

Untuk mendapatkan pemakanan seimbang dan penjagaan kesihatan, pengambilan makanan haruslah berpandukan nutrisi pemakanan yang diperlukan. Panduan jenis pemakanan boleh dibuat mengikut saranan Kementerian Kesihatan dan Panduan Pemakanan Malaysia,¨ katanya.

Dr Tee berkata, mengamalkan diet mengikut jenis darah hanya akan membuatkan seseorang itu tertumpu pada jenis makanan tertentu saja. Ia boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapat nutrisi secukupnya dan kekurangan zat tertentu.

Keadaan ini boleh mendedahkan seseorang itu kepada masalah kesihatan lebih kronik. Misalnya kekurangan asid folat, vitamin B6 atau B12 yang boleh meningkatkan tahap homocysteine (kompaun yang terhasil apabila protein makanan dipecahkan dan diproses) dalam darah.

Ada teori yang mengatakan jika tahap homocysteine meningkatkan, risiko terhadap masalah jantung juga tinggi.

Fakta: BTD

Kebaikan

Bagus jika anda tidak suka mencuba makanan baru dan hanya makan menu tertentu.

Anda tahu jumlah makanan yang anda makan dan banyak mana anda makan.

Walau apa jenis diet yang anda amalkan, anda masih perlu bersenam.

Mengehadkan jumlah makanan boleh menyebabkan kekurangan berat badan.

Pengambilan makanan yang siap diproses tidak digalakkan.

Keburukan

Tidak ada penyelidikan saintifik yang menunjukkan kaitan antara jenis darah, jenis makanan dan berat badan.

Tidak realistik kerana bukan semua ahli keluarga memiliki jenis darah yang sama.

Diet berasaskan jenis darah sangat kompleks malah kerap kali dipertikaikan.

Mengehadkan pemakanan menyebabkan anda mengalami kekurangan nutrisi.

Memerlukan pengambilan makanan tambahan untuk menambah kekurangan nutrisi.

Fakta

Diet untuk darah jenis A

Dr Peter J D‘Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit. Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut.

Katanya, mereka yang mempunyai darah jenis A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain. Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan.

Sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti terbatas. Individu jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang sudah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas), kekacang dan bijirin dan susu kacang soya. Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.

Diet untuk darah jenis B

Individu darah jenis B lebih fleksibel. Teori Dr Peter J D‘Adamo menyarankan mereka menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.

Diet golongan darah jenis AB

Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan jenis A dan B. Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan. Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk.

Diet untuk darah jenis O

Dr Peter J D‘Adamo menyarankan pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum.

Beliau juga menyarankan mereka mengehadkan pengambilan buah-buahan.

Diolah oleh : Berita Harian

ZA - FB

Manisha kahwin rakan Facebook


MANISHA dan suaminya Samrat selepas disahkan sebagai suami isteri di Kathmandu semalam.


KATHMANDU - Aktres terkenal Bollywood kelahiran Nepal, Manisha Koirala, 39, selepas dua kali putus cinta akhirnya mengahwini seorang ahli perniagaan negara itu, Samrat Dahal yang dikenali menerusi laman sosial popular Facebook.

Upacara perkahwinan berlangsung di kuil Hindu di sebuah resort hutan mewah di Sridhar Pokharel semalam manakala majlis resepsi dijadualkan pada hari ini dengan dihadiri semua ahli keluarga dan rakan-rakan rapat kedua-dua belah pihak.

Manisha yang juga duta muhibah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak dilantik pada 1999, pernah bercinta dengan Duta Australia di Nepal, Crispin Conroy dan kemudian penulis buku warga Amerika Syarikat, Christopher Dorris.

Bintang itu memulakan karier lakonan pada 1989 sebelum menjadi popular menerusi banyak filem termasuk Dil Se bersama dengan aktor Shah Rukh Khan selain dinobatkan lima kali sebagai pelakon wanita terbaik.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Saturday, June 19, 2010

Isu cagaran wanita Indonesia


TIMOTHY BIRD (kanan) bersama isteri, Ni Nengah Suartini dan anak lelaki William Timothy di kediaman mereka di Jimbaran, Bali selepas mereka berkahwin dua tahun lalu.


KINI bukan bunyi lunak loceng perkahwinan yang bergema di seluruh Indonesia, sebaliknya bunyi penggera keselamatan. Perlambangan itu merujuk kepada cadangan bayaran wang jaminan keselamatan setinggi AS$55,000 (RM180,593) daripada lelaki asing yang mahu mengahwini wanita Indonesia.

Sesetengah bakal pengantin wanita pula mengugut mahu lari ke luar negara dan mengahwini pasangan mereka di sana sekiranya rancangan itu diluluskan kerajaan. Cadangan yang menimbulkan kontroversi itu adalah sebahagian daripada pembaharuan undang-undang perkahwinan yang mahu diperluaskan oleh golongan konservatif.

Pada masa yang sama, lelaki asing mula mempertikaikan sebab mereka menjadi sasaran, walhal berita mengenai golongan itu dieksploitasi wanita mata duitan yang banyak dilaporkan di negara Asia Tenggara ini.

Cadangan itu menuntut lelaki asing yang mahu mengahwini wanita beragama Islam Indonesia agar meletakkan wang cagaran sebanyak 500 juta rupiah (RM178,063). Namun, ia tidak melibatkan wanita penganut agama lain seperti Kristian, Buddha atau Hindu.

Harta sepencarian

Sekiranya berlaku perceraian, isteri akan mendapat wang tersebut namun jika rumah tangga bertahan sekurang-kurangnya selama sedekad, ia boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Menurut dokumen usul tersebut, peruntukan itu bertujuan melindungi hak wanita dan anak jika suami mengabaikan mereka, gagal memberi nafkah, meninggalkan Indonesia secara rahsia, bercerai atau melakukan sesuatu yang memberi kesan buruk kepada status perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, pasangan yang hangat dilamun cinta menentang keras cadangan itu. "Sangat mengarut. Kerajaan mahu menjual saya," keluh Roslina, 36, seorang pengurus acara yang merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan teman lelakinya dari Jerman, Christopher September ini.

"Bakal suami saya sanggup membayarnya, namun itu bukan isunya. Kami akan berkahwin di luar negara jika usul ini menjadi undang-undang," ujarnya.

Seorang model berusia 24 tahun yang enggan dikenali pula menyatakan dia dan pasangannya yang berasal dari Jerman dilayan secara tidak adil.

"Nampaknya kerajaan tidak menghormati kaum wanita Indonesia. Adakah perkara gila ini hanya menghukum lelaki asing? Kenapa tidak menghukum lelaki tempatan yang berkahwin tiga atau empat walaupun tidak mampu?" tegasnya.

Teman lelakinya yang berusia 39 tahun yang enggan dikenali juga menyifatkan cadangan kerajaan itu seolah-olah rakyat adalah milik mereka yang dijual di pasar menjual daging.

"Mungkin selepas ini kita akan melihat katalog perempuan yang akan dipasarkan. Mungkin saya boleh membuka pejabat di luar negara dan mula memasarkan wanita Indonesia," katanya secara sinis.

Seorang gadis bernama Masyita yang bersetuju dengan keluhan mengenai usul itu memberitahu, jika jatuh hati dengan wanita Indonesia, jangan risau kerana ia cuma 500 juta rupiah, tetapi betapa murahnya harga diri kami.

Pegawai kementerian tersebut, Nasaruddin Umar memberitahu, cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama akan dibentangkan ke Parlimen untuk diluluskan pada penghujung tahun ini.

"Wang jaminan tersebut diwujudkan untuk menghalang warga asing melakukan perkahwinan palsu semata-mata bagi menubuhkan perniagaan atau membeli hartanah atas nama isteri, selain memastikan wanita mendapat jaminan kewangan sekiranya diceraikan.




Menyokong usul

"Apabila wanita itu dianggap tidak lagi berguna, mereka biasanya ditinggalkan begitu saja," katanya tanpa meletakkan sebarang angka atau kajian untuk menyokong kenyataannya.

Tambahnya, perkahwinan adalah suci dan murni, ia tidak boleh dicemari dengan nafsu dan keinginan peribadi. Tujuan mereka hanya mahu melindungi wanita negara tersebut.

Golongan ulama, kumpulan hak wanita dan penggubal undang-undang turut menyatakan pandangan.

Kebanyakan ulama di negara majoriti beragama Islam itu menyokong usul itu manakala pengkritik menyifatkan ia akan menggalakkan orang hidup bergelumang dosa dengan hubungan luar nikah dan meningkatkan risiko kepada wanita.

"Saya bersetuju dengan usul ini, banyak kes lelaki asing berkahwin dengan wanita tempatan kemudian ditinggalkan dengan anak-anak begitu saja," kata Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Amidhan.

Namun seorang peguam, Iskan Qolba Lubis mempunyai pandangan berbeza.

"Orang mahu berkahwin kerana dilamun cinta jadi kenapa kita menyukarkan keadaan? Ia adalah satu diskriminasi. Kita tidak akan berasa gembira jika negara lain melakukan perkara yang sama kepada kita," ulasnya.

Nia Schumacher dari Melati Worldwide iaitu kumpulan yang melobi idea perkahwinan campur menyifatkan usul itu hanya akan membawa kepada isu baru iaitu kahwin lari.

"Mereka mungkin tidak akan mendaftar perkahwinan atau tidak mahu berkahwin dan kemudian bersekedudukan. Inikah yang dimahukan kerajaan?" tambahnya.

Beberapa aktivis wanita turut merasakan usul itu meletakkan wanita sebagai komoditi dan diskriminasi bagi lelaki luar negara.

"Kami sangat menentang usul ini. Ia merendahkan maruah wanita dan tidak semua lelaki warga asing mempunyai wang yang banyak.

"Jika asas usul itu untuk melindungi wanita, ia perlu diaplikasikan kepada lelaki tempatan juga. Banyak kes lelaki tempatan mempunyai ramai isteri dan meninggalkan mereka sehelai sepinggang," tegas Pengerusi Bersama Pertubuhan Perkahwinan Multinasional Wanita Indonesia (Srikandi), Emmylia Hannig.

Roslina turut menyifatkan usul itu sebagai menghancurkan kasih sayang kerana lelaki asing terpaksa memungkiri janji mereka.

"Kawan saya kehilangan calon suami. Dia dan teman lelaki Perancisnya telah empat tahun bersama dan merancang untuk berkahwin. Namun berita terbaru yang saya dengar, mereka terpaksa menangguhkan hasrat itu.

"Teman lelakinya berasa bimbang untuk berkahwin kerana merasakan adalah tidak adil jika dia perlu membayar wang itu," katanya kesal. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Siswazah Jepun berputih mata


RAMAI generasi muda Jepun kini sanggup bertukar-tukar pekerjaan picisan hanya kerana kecewa pada syarikat besar yang tidak menerima mereka. - Gambar hiasan


PELAJAR kolej dari Jepun, Hiroki yang baru sahaja menamatkan pengajian bulan lalu dan tidak sabar untuk memulakan kehidupan dengan bekerja sepenuh masa.

Walau bagaimanapun, tidak satu pun permohonan kerja daripada 40 buah syarikat teknologi maklumat (IT) dan media, memberikannya khabar gembira.

Jadi, Hiroki telah mengambil keputusan untuk mengikuti trend pelajar lain iaitu terus tinggal di universiti sambil mencari peluang yang lain.

Golongan pelajar seperti Hiroki ini seboleh-boleh tidak mahu dikategorikan sebagai Generasi Buntu. Ia adalah label masyarakat umum yang merujuk kepada hidup anak muda yang tidak stabil ataupun mereka yang bekerja separuh masa dengan gaji rendah.

"Sekiranya anda tidak ada pekerjaan maka kehidupan itu tidak selamat," beritahu Hiroki, 23, yang keberatan memberikan nama penuhnya. Dia merujuk kepada belia yang melompat dari satu kerja separuh masa ke satu kerja separuh masa yang lain selepas menamatkan pengajian.

Sementara itu, Jepun telah mengalami kekurangan peluang pekerjaan sehingga golongan muda di negara itu terpaksa menerima pekerjaan separuh masa yang begitu tidak selamat.

Pekerjaan kontrak terpaksa diterima apabila mereka yang berkelulusan tinggi tidak menerima tawaran kerja tetap sekitar tahun 1994 hingga 2004.

Jepun sudah pun mempunyai Generasi Buntu yang lebih awal, iaitu kumpulan lulusan universiti yang tidak mendapat kerja tetap atau bergaji memuaskan ketika negara itu menghadapi tempoh getir sepanjang tahun 1994 hingga 2004.

Para pemimpin negara itu bimbang terhadap iklim ekonomi yang merudum kali ini bakal menambah beban pembaziran sumber tenaga manusia. Lebih malang, Jepun disifatkan sebagai negara yang memiliki populasi yang semakin tua dan mengecil.

Sementara pakar ekonomi cuba berkongsi masalah itu, ramai juga yang mengkritik tindakan Perdana Menteri, Yukio Hatoyama dalam mengatasi krisis tersebut.

"Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengembalikan jaminan dan keselamatan masa depan pekerja tetap, memudahkan urusan pertukaran kerja, memperbaiki sistem pencen, dan merapatkan jurang perbezaan antara pekerja.

"Sekiranya anda melakukan langkah yang bertentangan, ia hanya akan mengurangkan semangat pekerja," jelas Ketua Ekonomi Macquarie Securities (Japan) Limited, Richard Jerram.

Walaupun ekonomi merudum dan dilihat sebagai lambat untuk melonjak semula, kadar pengangguran di Jepun adalah pada catatan 4.9 peratus, dan statistik itu dicemburui banyak negara lain.

Walaupun trend pengambilan kerja di Jepun berkurangan dengan drastik, sebanyak 90 peratus lepasan universiti masih berjaya mendapatkan pekerjaan.

Peluang kehidupan

Banyak syarikat yang mengambil pekerja secara besar-besaran setiap April tetapi tawarannya dibuat setahun sebelum pengambilan. Maka, jika pelajar itu tidak lulus pengajian tepat pada tempoh kritikal itu, peluang akan lenyap begitu sahaja.

"Ramai yang terpaksa memilih pekerjaan separuh masa. Ia satu-satunya peluang seumur hidup," jelas Naib Presiden Universiti Tokyo Aoyama Gakuin Shin Hasegawa.

Sistem tersebut dipraktikkan ketika pertumbuhan ekonomi Jepun sangat ketara selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu penyerapan sumber tenaga sepanjang hayat diguna pakai dalam banyak syarikat dengan para pekerjanya diberi latihan dan gaji yang meningkat setiap tahun.


TARAF hidup yang tinggi di Negara Matahari Terbit memberi tekanan kepada golongan yang mempunyai pendapatan tidak tetap. - Gambar hiasan


Apabila sistem pengambilan kerja sepanjang hayat tidak lagi relevan ketika ekonomi Jepun melalui tahap yang tidak memberangsangkan, ciri lain masih serupa.

Masalah hanya dihadapi oleh para lulusan baru dan bukan pekerja biasa yang tidak dapat diserap dalam kuota pengambilan kerja baru. Golongan ini membentuk sepertiga daripada tenaga kerja Jepun.

"Bagi menjaga bayaran gaji yang tinggi kepada pekerja berpengalaman, mereka perlu mengorbankan peluang para siswazah baru. Ini semua polisi syarikat sedia ada," terang pakar ekonomi International Christian University (ICU) di Tokyo, Naohiro Yashiro.

Pihak pemerintah cuba menangani masalah itu dengan menawarkan kaunseling kerjaya, latihan pekerjaan dan meminta syarikat menambah lebih banyak pekerja sepenuh masa.

"Sekiranya pelajar tidak ditawarkan pekerjaan sebelum mereka tamat pengajian, mereka selalunya akan bekerja sendiri terlebih dahulu atau menerima sahaja apa jua kerja dengan gaji rendah.

"Kami mahu berusaha membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik," beritahu salah seorang pekerja di pejabat Kerajaan Tokyo Metropolitan, Masayo Murayama, yang turut memberi kaunseling kepada graduan universiti.

Kabinet Hatoyama telah meluluskan undang-undang bagi melarang firma-firma pekerjaan menghantar pekerja sementara jangka pendek untuk syarikat-syarikat. Undang-undang itu berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun.

Pasaran buruh

Langkah kerajaan parti demokratik yang berkuasa pada tahun lalu itu mengambil langkah tersebut bagi melindungi golongan pekerja, berbanding Parti Liberal Demokratik yang disifatkan lebuih menyebelahi pihak syarikat dan bisnes.

Pakar kaunseling berkata, latihan kerjaya mungkin membantu sebahagian para pelajar meluaskan carian pekerjaan agar tidak terikat dengan pilihan kerjaya tertentu.

Namun, para pengkritik menyifatkan bahawa halangan pengambilan pekerja sementara hanya akan memburukkan keadaan kerana syarikat-syarikat itu akan meninggalkan Jepun dan membuka firma mereka di negara yang menawarkan tenaga buruh yang lebih murah dan fleksibel.

"Pasaran buruh perlu lebih fleksibel dengan menerima pekerja termasuk pekerja sementara," ujar Yashiro yang sedang cuba mengubah sistem pengambilan kerja yang hanya memihak kepada pekerja senior. Dia juga memperjuangkan hak gaji yang sama rata mengikut produktiviti.

Perubahan itu walau bagaimanapun, amat sukar untuk dijayakan Parti Demokratik sepenuhnya. Parti yang menekankan kepentingan kesatuan sekerja itu akan terus bereksperimen dengan pelbagai langkah untuk memastikan isu tersebut dalam perhatian mereka.

Namun, ia menguji kemampuan Hatoyama untuk membuat keputusan dan mencipta polisi yang tepat.

"Susah untuk kerajaan melaksanakan penyelarasan pasaran buruh. Mereka memegang amanah dan wang pekerja yang banyak," terang Jerram.

Pada masa yang sama, pelajar seperti Hiroki yang jenuh menunggu jawapan penerimaan daripada 10 permohonan baru, berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu.

"Tahun ini, syarikat yang mengambil pekerja semakin berkurangan. Saya tidak tahu apa peluang saya," keluh Hiroki.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...