Saturday, November 27, 2010

Tentera Israel roboh masjid di Nablus

Harakahdaily

NABLUS, 26 Nov: Agensi Berita Palestin, Ma’an, semalam (25 November) melaporkan jentolak (bulldozer) Israel telah meratakan sebuah masjid di persekitaran Yazra di bahagian timur pusat bandar Tebing Barat Tuba.

Tentera Israel mendakwa bahawa masjid itu dibina tanpa mendapat keizinan pihak berkuasa, lapor laman web Haluan Palestin.

Tuba adalah sebuah bandar kecil Palestin di Tebing Barat timur laut, terletak hanya 21 kilometer (13 batu) timur laut Nablus, beberapa kilometer barat Sungai Jordan.

Ahmad As’ad, seorang pegawai Palestin, menyatakan bahawa tentera Israel menyerang kawasan yang dianggap sebagai lapangan latihan ketenteraan, dan mereka menyatakan bahawa kawasan ditutup kerana ianya kini zon tentera.

Kemudian mereka telah menghancurkan satu-satunya masjid yang ada di kawasan itu.

Masjid tersebut dibina pada tahun 1967 dan warga penduduk telah memperbesarkan kawasan masjid itu dengan dua bilik tambahan.

As’ad menambah bahawa warga penduduk memiliki surat-surat rasmi yang membuktikan kebenaran untuk pembangunan masjid di kawasan tersebut pada tahun 1967, dan kedua-dua bilik itu ditambah kerana peningkatan jumlah penduduk yang hadir ke masjid tersebut.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29598:tentera-israel-roboh-masjid-di-nablus&catid=1:utama&Itemid=50

Cheng Ho tak kaut harta, dia hanya berniaga

Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 26 Nov: Misi Pelayaran Laksamana Cheng Ho, bukan sahaja untuk berdagang, dalam masa sama kesempatan itu diguna menyebar risalah Islam.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Cheng Ho, yang diberi tugas oleh Maharaja China, juga telah berjaya membuktikan bahawa Islam bukan sahaja milik Melayu, tapi semua bangsa di dunia.

"Kelantan dengan dasar Membangun Bersama Islam, melangkah kehadapan, melangkaui sempadan bangsa, yang ditiup pihak tertentu, berjaya menganjurkan Ekspo Cheng Ho yang julung kali diadakan di rantau ini.

"Alhamdulillah, di tengah seruan perkauman yang hebat, ditiup politik bangsa yang melampau, kita bangkit menerobos sempadan dengan mengenengahkan Islam sebgai dasar berpolitik," katanya.

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Cheng Ho 2010 di Kelantan Trade Centre, di sini semalam.

Menurutnya, dengan penganjuran itu juga, rakyat di negara ini diharap bijak memilih pemimpin dan tidak memilik mereka yang berjuang atas dasar bangsa.

Perjuangan atas nama bangsa katanya, hanya menyubur semangat permusuhan yang tidak akan berkesudahan.

"Kalau memilih tempat mandi, yang pertama teluk, kedua pantai.

"Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai,” katanya berpantun disambut tepukan hadirin.

Beliau juga turut mengkagumi sikap Cheng Ho yang hanya menjalankan perniagaan dan tidak menjajah kawasan yang dikunjunginya.

"Cheng Ho, dia tak jajah negara yang dia pergi, dia tak kaut harta, dia tak kacau orang, dia hanya berniaga.

"Ini mungkin sebab kefahaman Islam yang ada pada dia," katanya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29587:cheng-ho-tak-kaut-harta-dia-hanya-berniaga&catid=1:utama&Itemid=50

MB kesal tiada liputan Ekspo Cheng Ho

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 26 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa terkilan di atas tindakan beberapa media arus perdana tidak membuat liputan berhubung perjalanan program Ekspo Cheng Ho 2010.

Menurutnya, tindakan berkenaan tidak menggambarkan sikap ‘journalist’ walaupun program berkenaan cukup baik dan pertama kali ianya diadakan di negara ini, apa lagi di peringkat negeri.

“Namun kerana ianya dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan, mereka menyembunyikan program berkenaan dalam akhbar mereka kecuali hanya beberapa buah media lain termasuk akhbar berbahasa Cina sahaja.

“Atau mungkin mereka ada sebab lain, saya sendiri tak tahulah, tak mahulah komen lebih-lebih,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu tidak menjadi halangan kepada kerajaan negeri memandangkan ianya tetap berjalan dengan lancar, bahkan berjaya melebihi apa yang dijangkakan.

“Cuaca dengan izin Allah bukan sahaja tidak hujan, sebaliknya redup dan agak tidak panas, jadi ianya memberi keselesaan pada pengunjung untuk mengikuti program ini termasuk menyaksikan persembahan,” ujarnya lagi.

Tuan Guru berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis penutup Ekspo Cheng Ho 2010 di Kelantan Trade Cantre, di sini semalam.

Tambahnya, dengan kemudahaan internet juga masyarakat seluruh dunia dapat menyaksikan program ini melalui facebook, laman-laman web dan portal untuk mendapatkan ganjaran jelas berhubung dengannya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau mengingatkan generasi muda hari ini mengambil semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh Laksamana Cheng Ho.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29588:mb-kesal-tiada-liputan-ekspo-cheng-ho&catid=1:utama&Itemid=50

Ekspo Cheng Ho satukan bangsa muslim

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersyukur Ekspo Cheng Ho 2010, telah berjaya menyatukan dua bangsa muslim dari dunia berbeza, iaitu Malaysia, China, serta beberapa buah negara lain.

Katanya, kejayaan itu juga telah berjaya memecahkan fahaman golongan tertentu selama ini yang berpandangan negative terhadap bangsa terbabit, khususnya dari benua lain.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pameran ekspo serta mengikuti persembahan istimewa dari Khairat Aziz, Adili dan persembahan kebudayaan dari Khazastan termasuk Shao Lin, semalam.

Menurutnya, program ini telah berjaya merapatkan hubungan bangsa China muslim dan Melayu muslim khususnya, sedangkan Islam adalah agama suci sedunia.

“Saya sentiasa terfikir bagaimana cara untuk menyatukan semua bangsa di dunia ini khususnya sesama Islam biarpun dari negara serta benua yang lain agar ianya dapat berkenalan di antara satu sama lain,” ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun kerajaan secular negara ini telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk membangunkan negara, bagaimanapun rasa curiga di antara satu sama lain masih wujud.

“ Kita hanya diperangkap oleh orang Eropah yang tidak mahu melihat Islam bersatu, terutama yang Yahudi agar manusia di dunia ini hanya memandang mereka dan bukannya Islam.

“Konsep hiburan juga telah disalah ertikan sehingga mereka memahami berhibur mesti ada perempuan, namun kita telah ketengahkan sesuatu yang lebih baik,” ujarnya lagi.

Katanya, kerajaan Kelantan telah mengenengahkan hiburan tanpa menggunakan perempuan, sebaliknya hanya kecerdikan dan kepakaran manusia bagi menggambarkan masyarakat berkenaan yang hebat.

Pada masa yang sama beliau mengakui begitu terhibur dengan persembahan berkenaan begitu mengagumkan.

“Seronok sungguh saya, terhibur inilah antara hiburan yang tidak bercanggah dengan Islam apa lagi tidak membabitkan golongan wanita,” ujarnya gembira.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29569:ekspo-cheng-ho-satukan-bangsa-muslim&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

Kelantan tandatangani MoU dengan syarikat gergasi China

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 23 Nov: Enam syarikat gergasi dari China, Kazahstan, hari ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Kelantan.

Perjanjian persefahaman yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa bagi pihak kerajaan Kelantan meliputi beberapa bidang khususnya pendidikan.

Selain itu, ianya juga menyentuh soal pelancongan, kesihatan (perubatan tradisional), perdagangan, kebudayaan, sains dan teknologi termasuk kesukanan.

Enam syarikat atau pendidikan terbabit diwakili Universiti Antarabangsa Qinghai, yang diwakili Qi Fumin, Liu Chang Jiang mewakili Government of Zhangjiangchuan Muslim Autonomous Country Gansu Province.

Selain itu Presiden Association Dungan of Kazahstan, Zhu Yan yang mewakili China Council For The Promotion of Internantional Trade Qinghaiu Provincial Committee.

Turut menjayakan perjanjian persefahaman, Ishaq Ma, Setiausaha Agung Persatuan China Muslim dan Presiden Counselor of Public Association Donggang, Junusov Abduljalil Majitovich.

Hasil perjanjian usahawama itu, rakyat Kelantan yang terpilih akan mengikuti pengajian dan kebudayaan China secara percuma di Taiwan.

Ekoran perjanjian itu juga, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai hubungan terus dengan beberapa wilayah di negara China dan Asia Tengah.

Untuk itu, Kerajaan Kelantan akan meningkatkan prestasi dalam bidang ekonomi, kebudayaan Islam, pelancongan dan lain-lain lagi demi untuk kepentingan rakyatnya.

Husam pada sidang medianya juga seterusnya memberitahu, tahun hadapan kerajaan negeri akan menghantar pelajar yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian berkenaan dalam masa antara tiga minggu hingga tiga bulan.

Menurutnya lagi, Ekspo Cheng Ho yang berlangsung tidak hanya akan berakhir di situ sahaja, sebaliknya akan dilanjutkan kerjasama dalam bidang-bidang yang telah ditentukan demi untuk kepentingan rakyat Kelantan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29548:kelantan-tandatangani-mou-dengan-syarikat-gergasi-china&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

Pegawai kanan Yayasan Selangor direman 7 hari

Harakahdaily

SHAH ALAM, 23 Nov: Seorang pengurus kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Sebelum ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu diarahkan bercuti selamka sebulan dengan gaji serta merta oleh Menteri Besar Selangor bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap penglibatan beliau dalam program itu.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29546:pegawai-kanan-yayasan-selangor-direman-7-hari&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

Friday, November 26, 2010

Bertudung Tapi Hanya Hipokrit?

Thursday, 21 October 2010

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.
Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).
Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...
- Diera -

JAWAPAN
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-
1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.
Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.
Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.
Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!
Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.
Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.
Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum
Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.
Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.
Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.
Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.
Sabda Nabi :-
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.
Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.
Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.
Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.
Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
9 Muharram 1431
26 Disember 2009

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...