Friday, December 17, 2010

Nik Aziz tidak berhasrat ambil tindakan

Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan sebaliknya berharap pihak yang membuat dakwaan kononnya terlibat dengan amalan rasuah insaf dan menyesal.

"Biarlah, saya cuma hendak minta supaya mereka berkenaan insaf dan sedar dengan perbuatan itu. Saya tidak bercadang untuk ambil apa-apa tindakan. Islam bergerak antara hukum dan rukun. Maka setiap perbuatan kita mesti kembali kepada Allah.

"Islam sememangnya melarang keras terhadap sesuatu tuduhan tanpa bukti ataupun tidak berasas. Jadi, sekali lagi saya minta mereka terbabit sedar dan insaf," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, dakwaan rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci selain berunsur provokatif dan khianat pihak tertentu terhadapnya yang terus memperjuangkan dasar Islam dalam sistem pentadbirannya.

Semalam SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu.

Dalam perkembangan yang sama juga SPRM turut menutup kes yang melibatkan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, dalam sidang akhbar semalam dilaporkan berkata, tiada kes untuk pertuduhan membabitkannya (Nik Abdul Aziz dan Ariffahmi).

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29889:nik-aziz-tidak-berhasrat-ambil-tindakan&catid=1:utama&Itemid=50

S'gor kekal destinasi pelaburan utama

S'gor kekal destinasi pelaburan utama
Dis 15, 10 6:23pm

Prestasi pelaburan negeri Selangor dari Januari hingga September lalu, sangat baik dan memberangsangkan dengan jumlah pelaburan yang diluluskan berjumlah RM6.533 billion.

Jumlah pelaburan sepanjang tempoh tersebut, melebihi nilai pelaburan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2009, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

azlanMenurutnya, sebanyak RM2.757 billion atau 42 peratus merupakan pelaburan tempatan manakala 58 peratus atau RM3.775 billion adalah pelaburan asing.

Jumlah pelaburan tersebut melibatkan 245 projek yang telah diluluskan, yang mewujudkan 16,966 peluang pekerjaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 38 peratus atau 154 projek adalah projek baru dengan nilai pelaburan melebihi RM2.519 bilion.

Manakala 91 projek atau 62 peratus merupakan projek pembesaran dan pelbagaian dengan nilai pelaburan melebihi RM4.013 bilion.

"Dengan jumlah pelaburan ini, Selangor mendahului negeri lain di Malaysia dan telah menyumbang sebanyak 31 peratus jumlah keseluruhan pelaburan negara diikuti Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Pelabur Jepun penyumbang terbesar dengan pelaburan melebihi RM1.884 bilion, diikuti Cayman Islands dengan RM531.6 juta dan Singapura melebihi RM393.664 juta.

Bagaimanapun, tegas menteri besar, dari segi bilangan projek, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 projek.

Pada 2009, katanya, Selangor berjaya memperoleh 138 projek dengan pelaburan RM2.718 bilion dan menyediakan 11,059 peluang pekerjaan.

Peningkatan jumlah pelaburan ini membuktikan keyakinan pelaburan terhadap Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia, jelas Abdul Khalid.

"Kerajaan negeri akan terus mengambil langkah pro-aktif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada.

"Anak syarikat kerajaan negeri, SSIC Berhad (Selangor State Investment Centre ) juga sering mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para pelabur bagi berbincang secara terus berhubung isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelabur untuk diselesaikan segera.

"Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan lagi usaha mempromosi selangor sebagai negeri perindustrian dan pelaburan dalam memastikan sektor ini terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ekonomi negeri seterusnya berjaya mencapai prestasi pelaburan yang disasarkan," tambahnya.

http://malaysiakini.com/news/150906

Dr Rafick: Penubuhan PPHTM ditekan kerajaan

Dr Rafick: Penubuhan PPHTM ditekan kerajaan
Fadzly Esa
Dis 15, 10
5:32pm

NGO mewakili pemilik unit rumah terbengkalai dengan nama Abandoned Property Owners Malaysia (Victims) hari ini menjelaskan bahawa NGO berkenaan sebenarnya mengemukakan pendaftaran menggunakan nama Persatuan Pemilik Hartanah Terbengkalai Malaysia (PPHTM).

Pengerusinya, Dr Mohd Rafick Khan Abd Rahman berkata permohonan itu dibuat sejak lapan bulan dengan nama PPHTM dan nama Victims tidak tercatat dalam borang permohonan.

abandoned property owners malaysia victims housing project protest, dr rafik"Sehubungan itu, isu dinyatakan ROS (mengenai permohonan) menggunakan (nama) Victims tidak timbul sama sekali," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Jelasnya, kumpulan itu hanya menggunakan nama Victims di kalangan mereka memandangkan nama itu mudah untuk disebut.

PPHTM juga telah mengemukakan rayuan permohonan untuk mendaftarkan nama pertubuhan berkenaan pada 17 September lalu, katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Rafick berkata kenyataan penolong pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pang Chin Fang berhubung penolakan permohonan daftar nama pertubuhan tersebut tidak memberi gambaran sebenar.

'Tekanan KPKT'

Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa permohonan itu ditolak susulan daripada bantahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Bantahan itu dibuat kerana pegawai KPKT bimbang pembeli akan menekan agensi tersebut memandangkan KPKT merupakan agensi yang bertanggungjawab ke atas projek perumahan dan juga pemulihan projek terbengkalai di negara ini," katanya.

perpaduan heights abandoned housing project kuala pilah 291008Dr Mohd Rafick berkata, KPKT juga sepatutnya menyokong permohonan berkenaan memandangkan ia merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai.

"Ada perkara yang kerajaan tidak boleh jalankan tetapi NGO boleh buat. Dengan bergabung tenaga, kita boleh menjadikannya win-win situation kepada semua," tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Rafick turut mengulas kenyataan Pang semalam mengenai keputusan ahli jawatankuasa ROS yang mendapati nama persatuan itu "mengelirukan" dan mempunyai nama dan peranan yang serupa dengan satu pertubuhan didaftarkan sebelum ini.

Beliau mendakwa, perkara itu telah dijelaskan kepada ROS dalam rayuannya.

"Berdasarkan penjelasan lisan dari pengawai JPPM Putrajaya, kami diberitahu bahawa fungsi pertubuhan itu sama dengan Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (NHBA).

house low cost housing 200307 type 03"Rekod akan menunjukkan bahawa ketika kami menyediakan permohonan untuk menubuhkan PPHTM, ia dibuat dengan rundingan bersama NHBA.

"Kami telah menunjukkan perbezaan signifikan di antara pertubuhan kami dengan NHBA berasaskan nama, objektif dan kriteria keahlian (dalam rayuan)," katanya lagi.

Pang ketika dihubungi petang ini bagaimanapun enggan mengulas ketika diminta menjelaskan kekeliruan yang timbul berkenaan status sebenar pendaftaran PPHTM dan Victims.

http://malaysiakini.com/news/150896

Dewan Rakyat lulus rang undang-undang JPJ

Dis 16, 10 10:45am

Dewan Rakyatmeluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAN).

Bagaimanapun, rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagian pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 menyokong, manakala 40 lagi menentang.

Ini kerana majoriti anggota Parlimen, terutama pembangkang mendesak supaya rang undang-undang itu ditarik balik kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelaksanaan AES.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan sistem AES tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.

Menjawab desakan beberapa anggota Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.

Isu itu dibangkitkan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) ketika sesi perbahasan yang menggesa timbalan menteri berkenaan mendedahkan hasil bakal diperoleh syarikat pelaksana sistem AES.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut membangkitkan persoalan yang serupa kerana menyifatkan perkara itu penting diketahui rakyat.

"Apa yang Wangsa Maju (Wee) kata itu saya juga mahu tanya...rakyat bayar, potongan yang diberi kepada syarikat ini, rakyat yang diperas, syarikat ini esok makan darah rakyat, dia kembung perut tetapi rakyat menderita," katanya.

Asakan Wee dan Mohamad itu menyebabkan Abdul Rahim agak beremosi dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana syarikat pengendali AES.

"Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat-syarikat ini...kepentingan saya ialah kepentingan negara dan rakyat," katanya.

Abdul Rahim turut menjelaskan bahawa AES hanya akan ditempatkan di lokasi hitam yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Beliau berkata kewujudan AES akan melindungi pemandu berhemah dan patuh kepada undang-undang jalan raya selain mengenal pasti pesalah tegar yang sering melanggar peraturan.


"Kita juga berharap untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya...kini ada 300,000 kanak-kanak yang menjadi yatim piatu gara-gara kemalangan jalan raya ini," katanya yang menambah sistem penguatkuasaan yang dilaksanakan pada masa ini tidak lagi sesuai kerana membuka banyak ruang untuk perlakuan rasuah.

Beliau berkata sistem AES telahpun dilaksanakan di beberapa negar termasuk Vietnam, Kemboja, Thailand dan Singapura.

Selain rang undang-undang JPJ, persidangan Dewan Rakyat semalam turut meluluskan Rang Undang-Undang Bank Simpanan Nasional (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia) (Pengesahan) 2010, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa 2010, Rang Undang-Undang Agensi Inovasi Malaysia 2010 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2010.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150944

Mahfuz rayu Dewan Negara tolak akta JPJ

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akan menghantar surat kepada Dewan Negara meminta untuk tidak meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, ini kerana rang undang-undang itu hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan sistem berkenaan manakala rakyat yang terpaksa menanggung bebannya.

"Kita kecewa apabila tidak diberitahu model kewangan yang disebut itu. Sepatutnya diberitahu kepada awam apabila dia membabitkan syarikat yang akan mendapat habuan ataupun peratus daripada saman yang dikenakan kepada pemilik kenderaan.

"Jadi saya harap Dewan Negara menolak rang undang-undang ini dan saya akan menghantar surat kepada ahli Dewan Negara," katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAN).

Bagaimanapun, rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagian pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 ahli Parlimen menyokong, manakala 40 lagi menentang.

Ini kerana majoriti ahli Parlimen, terutama Pakatan Rakyat mendesak supaya rang undang-undang itu ditarik balik kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelaksanaan AES.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan sistem AES tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.

Menjawab desakan beberapa ahli Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.

Menurut Mahfuz, apabila undang-undang itu dilaksanakan, syarikat yang terlibat akan memastikan jumlah saman yang dikeluarkan melalui sistemnya dan akan mendapat faedah daripada saman yang dikeluarkan.

"Syarikat akan pastikan seberapa banyak saman akan dikeluarkan melalui sistem ini yang akan mengawal dan yang menjalankan operasinya ialah syarikat. Walaupun disebut ia dikawal oleh JPJ tapi saya percaya pihak JPJ tak ada kepakaran dalam sistem yang dibangunkan itu," katanya.

Tambahnya, pelaksanaan sistem ini juga tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan mendidik pengguna jalan raya.

"Saya sangat kecewa kerana pembantangan undang-undang ini tidak mengatasi masalah kemalangan maut yang besar kerana tak ada hukuman kerana pemandu yang membawa kenderaan secara bahaya tapi yang ada hanyalah kesalahan nombor pendaftaran kenderaan sehingga menyebabkan hukuman penjara," katanya lagi.

Isu itu dibangkitkan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) ketika sesi perbahasan yang menggesa timbalan menteri berkenaan mendedahkan hasil bakal diperoleh syarikat pelaksana sistem AES.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut membangkitkan persoalan yang serupa kerana menyifatkan perkara itu penting diketahui rakyat.

"Apa yang Wangsa Maju (Wee) kata itu saya juga mahu tanya...rakyat bayar, potongan yang diberi kepada syarikat ini, rakyat yang diperas, syarikat ini esok makan darah rakyat, dia kembung perut tetapi rakyat menderita," katanya.

Asakan Wee dan Mohamad itu menyebabkan Abdul Rahim agak beremosi dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana syarikat pengendali AES.

"Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat-syarikat ini...kepentingan saya ialah kepentingan negara dan rakyat," katanya

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29883:mahfuz-rayu-dewan-negara-tolak-akta-jpj&catid=1:utama&Itemid=50

Nik Aziz sumbang 1/3 simpanan untuk PAS

Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 16 Dis: Menteri Besar yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang untuk menyumbangkan satu pertiga daripada wang simpanannya kepada PAS bagi memantapkan lagi parti dalam memperjuangkan Islam.

"Saya sudah maklum pada setiausaha saya minta semak duit dalam akaun ada berapa, kemudian bahagi tiga. Saya hendak beri kepada parti sebagai sumbangan dalam memantapkan gerakan daulah Islamiyah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediamannya hari ini.

Tindakan itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup kes bersabit tajaan terhadapnya untuk mengerjakan haji melibatkan kos RM65,000 tahun lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, dakwaan berhubung rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci pihak tertentu lantaran kecekalannya memperjuangkan dasar Islam.

"Orang tuduh saya kerana benci dengan saya terus memperjuangkan Islam. Tapi, walau apapun, asal kita ini berada pada landasan yang benar, Allah tetap bantu kita dengan kebenaran.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dengan keputusan itu," katanya.

Semalam, SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29880:nik-aziz-sumbang-13-simpanan-untuk-pas&catid=1:utama&Itemid=50

Insentif: Kafa membisu, pemain gelisah

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 16 Dis: Selepas lebih dua minggu kerajaan mengumumkan memberi insentif RM200,000 kepada pemain Red Warriors di atas kejayaan menjulang Piala Malaysia, namun Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih membisu.

Sedangkan beberapa pemain meluahkan rasa tidak senang hati di atas tindakan Kafa tersebut.

Antaranya bekas pemain Akmal Rizal Rakhli mendedahkan kepada media, Kafa tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia.

Ekoran itu beliau dan beberapa pemain lain mengambil keputusan meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

Anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, sehingga hari ini Kafa belum menghantar sebarang surat jawapan terhadap tawaran insentif kerajaan negeri kepada pemain ekoran kejayaan merangkul Piala Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri telah mengumumkan insentif sebanyak RM200,000 diberi kepada pemain yang berjaya menjulang imej Kelantan apabila menggondol piala tersebut.

”Sehingga ke hari ini surat tawaran dari kerajaan yang dihantar kepada pihak pengurusan Kafa tidak dijawab bagi membolehkan satu majlis diadakan untuk memberi insentif kepada pemain.

”Kita memberi peluang untuk mereka menentukan tarikh yang sesuai dan senarai pemain bagi hadir menerima insentif di Kota Darulnaim.

”Namun malangnya sehingga ke hari ini Kafa tidak menghantar sebarang surat jawapan bagi membolehkan pemain yang berusaha keras sebelum ini menerima sedikit saguhati kerajaan negeri,” katanya di sini.

Pada Ramadan lalu kerajaan negeri juga membelanjakan sebanyak RM237,000 membawa seramai 36 pemain dan pengurusan Kafa mengerjakan umrah.

Malah pada musim lepas kerajaan negeri juga melupuskan hutang Kafa sebanyak RM700,000 daripada cukai hiburan yang dikenakan.

Manakala tahun ini cukai hiburan yang sepatutnya dibayar oleh Kafa kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebanyak RM378,341 juga telah dilupuskan.

Bagaimanapun kata Abdul Fattah kesungguhan kerajaan negeri membantu pemain dan Kafa masih dipandang negetif pihak tertentu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29879:insentif-kafa-membisu-pemain-gelisah&catid=1:utama&Itemid=50

MB bebas rasuah tanda keterbukaan pentadbiran negeri

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 17 Dis: Keterbukaan kerajaan negeri dalam memerangi rasuah telah disalah anggap oleh sesetengah pihak sehingga sanggup mengheret Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ke dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia(SPRM), seolah-olah beliau dan menantunya telah dihukum oleh mereka ini, demikian dijelaskan oleh Ketua Penerangan PAS Kelantan Dr.Muhammad Fadzli Hassan hari ini.


Muhammad Fadzli berkata ketelusan sikap Nik Aziz tersebut terbukti apabila pihak SPRM telah menutup fail keatas kes yang dianggap salah oleh pihak-pihak tertentu terutamanya dari pihak umno-BN.


“Saya mengucapkan syabas kepada SPRM kerana telah mempercepatkan siasatan terhadap Tok Guru (Nik Aziz) dan menantunya dan terbukti mereka tidak melakukan kesalahan”ujar beliau.


Beliau juga berharap pihak SPRM mencari satu mekanisma untuk mengambil tindakan kepada mereka yang sengaja membuka ruang untuk membuat fitnah terutamanya dalam kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa kerana apabila seseorang itu diheret ke SPRM seolah-olah mereka ini telah melakukan kesalahan sehinggakan boleh menjatuhkan imej mereka.


“Kita sedar sepanjang PAS mentadbir Kelantan ini, terlalu banyak pihak di sebelah sana bersedia untuk menyerang pimpinan kerajaan, malah sikap bersih dari rasuah di negeri ini juga telah diakui sendiri oleh pihak SPRM dimana hanya kes yang melibatkan rasuah di kalangan kakitangan kerajaan negeri juga amat kecil” ujar beliau lagi.


Sebelum ini Nik Abdul Aziz telah disiasat atas dorongan untuk menerima tawaran menunaikan fardhu haji tahun lepas dengan melibatkan kos RM65 ribu dan isu pelantikan menantu beliau Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai ketua eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).


Semalam pihak SPRM telah membuat kenyataan bahawa kes dakwaan tersebut telah ditutup.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29885:mb-bebas-rasuah-tanda-keterbukaan-pentadbiran-negeri&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

Pakatan tetap bantah Speaker gantung 4 MP

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR,16 Dis: Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi membantah keras keputusan Speaker meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi ahli Parlimen daripada menghadiri persidangan selama enam bulan.

Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan.

Anwar berkata, bantahan itu ekoran sikap berat sebelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dipengerusikan sendiri oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri.

Tiga lagi ahli Parlimen yang digantung termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

"Kita saksikan tadi cara Speaker mengendalikan sidang. Usul Bukit Gelugor agar speaker berundur kerana percanggahan kedudukan beliau dalam beberapa contoh termasuk pencelaan kepada Bukit Gelugor kerana dibuat secara langsung pertelagahan dalam mesyuarat di antara Bukit Gelugor dan Speaker.

"Tidak wajar Speaker yang buat laporan,dia yang siasat dan dia yang hukum.Dia enggan ambil keputusan yang tegas dalam hal ini maka kita juga enggan teruskan. Bagaimanapun dalam sidang tadi saya bangun untuk meneruskan ucapan tapi dia kata tak ada orang nak berucap.

"Jadi sebenarnya saya nampak dia begitu bias. Jadi kita ambil pendirian keluar membantah proses ini kerana tidak ada keadilan dan cara Umno BN yang begitu ganas dan rakus menjalankan kuasa,memperolokkan proses dan menghina Parlimen," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata, Pakatan Rakyat akan membincangkan langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara itu.

"Ini pendirian kita setakat ini dan kita dalam Pakatan akan bincang langkah seterusnya," katanya.

Karpal Singh pula bertegas akan membawa perkara itu ke mahkamah dengan merujuk Pandikar sendiri.

"Kita tidak mahu beliau terlepas dari perkara ini untuk masa depan. Counter productive to BN," katanya yang juga Pengerusi DAP.

Speaker terima arahan menteri

Sementara itu, Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok), berkata, Pandikar harus berundur dari mempengerusikan dewan kerana sudah hilang kelayakan.

Ini tegasnya jelas terbukti apabila Pandikar menerima arahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk membuat keputusan.

"Jelas sebelum kita keluar tadi kita melihat bagaimana speaker menerima arahan daripada menteri.Kita lihat pertukaran nota berlaku dari meja menteri kepada speaker dan di sini jelas menunjukkan speaker kita bukanlah seorang individu yang bebas membuat keputusan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana undang-undang ataupun peraturan mesyuarat.

"Di sini mengiyakan lagi bahawa apa yang berlaku hari ini ialah speaker gagal untuk melaksanakan tugasnya daripada awal minggu hingga hujung minggu ini kerana arahan yang diterima daripada Barisan Nasional," katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Sehubungan itu tegasnya, integriti Pandikar sebagai Speaker sudah hilang dan beliau harus berundur.

"Beliau sebenarnya tidak layak lagi mempengerusikan mesyuarat dalam Parlimen kerana hilang kayakan dari segi integriti, kebebasan beliau sebagai Speaker," katanya.

Ujarnya juga, Parlimen juga telah menjadi seperti institusi-institusi lain yang dipersoalkan integritinya.

"Sudahlah institusi yang lain menjadi isu,satu lagi institusi yang menjadi tunggak demokrasi dalam negara kita sekali lagi dicengkam oleh pihak pemerintah.Ini menunjukkan negara kita menjunam dari segi amalan demokrasi," katanya.

Sebelum itu, dewan kecoh apabila berlaku pertikaman lidah di antara ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Pandikar yang enggan berganjak daripada keputusannya tidak membenarkan Anwar membela diri.

Kekecohan hampir sejam itu menyebabkan ahli Parlimen Pakatan bertindak keluar dewan beramai-ramai sebagai tanda protes.

Sivarasa dan Azmin digantung kerana didakwa membuat kenyataan di luar dewan berhubung prosiding jawatankuasa berkenaan.

LIHAT VIDEO:
Gantung: Pakatan cadang heret Speaker ke mahkamah

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29875:pakatan-tetap-bantah-speaker-gantung-4-mp&catid=1:utama&Itemid=50

Thursday, December 16, 2010

Planet baru ditemui penyelidik Qatar


LAKARAN artis menunjukkan planet Qatar-1b.


DOHA - Sepasukan ahli astronomi diketuai Qatar bagi mencari planet baru di cakerawala telah menemui sebuah planet yang mengelilingi sebuah bintang yang terletak sejauh 500 tahun cahaya dari Bumi.

Planet tersebut dinamakan Qatar-1b, sempena nama negara Asia Barat itu.

Planet itu sebahagian besarnya terbentuk daripada gas dan 20 peratus lebih besar berbanding Musytari iaitu planet kelima dan terbesar dalam sistem suria.

Yayasan Qatar Bagi Pembangunan Pendidikan, Sains Dan Komuniti semalam memberitahu, penemuan planet baru itu akan dilaporkan dalam jurnal bulanan, Monthly Notices of the Royal Astronomical Society.

"Penemuan planet Qatar-1b merupakan pencapaian yang hebat sekali gus membuktikan komitmen Qatar untuk menjadi pelopor dalam bidang sains inovatif dan penyelidikan," kata ketua bancian sistem planet luar suria yang juga pengarah penyelidikan yayasan berkenaan, Dr Khalid Al Subai.

Seorang lagi ahli astronomi dalam penyelidikan itu, Professor Keith Horne dari Universiti St. Andrews di Scotland berkata, planet Qatar-1b membuat pusingan lengkap mengelilingi bintangnya setiap 1.4 hari bermakna satu tahun di planet itu menyamai 34 jam di Bumi.

Sebahagian planet itu menghadap bintangnya berbeza dengan Bumi yang berputar pada setiap 24 jam yang menyebabkan berlakunya siang dan malam. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Liz Hurley dibenar simpan RM63.74 juta



LIZ HURLEY dan Arun Nayar di New York pada 4 Mei 2009 sebelum mereka berpisah.


MUMBAI - Aktres terkenal Hollywood, Liz Hurley yang berusia 45 tahun dibenarkan untuk menyimpan kekayaannya sebanyak AS$20.31 juta (RM63.74 juta) selepas dia berpisah dengan suaminya yang merupakan seorang jutawan tekstil, Arun Nayar, 45, lapor sebuah akhbar semalam.

Hurley dikatakan pernah melawat keluarga Nayar dua bulan lalu bagi memberitahu bahawa perkahwinan mereka sudah berakhir.

Pasangan yang berkahwin pada Mac 2007 itu tidak menandatangani sebarang perjanjian pembahagian harta sebelum berkahwin.

Namun, pasangan itu mengaku telah membuat satu penyelesaian perpisahan.

Mereka berpisah atas sebab-sebab peribadi yang tidak didedahkan.

Menurut laporan media India, Nayar mahu memelihara statusnya dengan tidak mengambil kesempatan daripada perpisahan tersebut.

Hurley turut memuji Nayar kerana menjadi seorang bapa yang baik untuk seorang anak lelakinya, Damian.

"Ini akan menjadi penyelesaian yang bersifat persahabatan kerana tiada pihak yang membayar wang yang banyak kepada pihak lain. Hurley tidak mahukan wang Nayar dan begitulah sebaliknya," kata seorang ahli keluaga Nayar di rumah keluarga mereka di Mumbai, India.

Hurley mengumumkan perpisahannya itu menerusi laman Twitter. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Peserta realiti bogel diperkenalkan


BARISAN peserta yang menyertai program realiti televisyen, The Nak'd Truth di Land O'Lake, Amerika Syarikat.


LAND O'LAKES - Sebuah program realiti televisyen di Amerika Syarikat (AS) yang menjalani penggambaran di resort bogel Caliente, Pasco, memperkenalkan para peserta siri itu buat kali pertama, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Program itu, The Nak'd Truth menampilkan lapan orang peserta yang akan tinggal sebumbung tanpa memakai pakaian selama sebulan.

Mereka juga akan berkerja di resort itu yang terletak di negeri Florida.

Sebahagian peserta The Nak'd Truth itu yang terdiri daripada warga tempatan berkata, mereka teruja dapat menyertai program realiti tersebut.

Namun, tidak semua peserta memaklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan mengenai penyertaan mereka.

"Sebenarnya, saya pun masih belum memberitahu sesiapa," kata seorang peserta lelaki, Wayd Dionne, 23.

"Cuma ibu saya yang tahu mengenai penglibatan saya dalam siri realiti ini dan dia menyatakan sokongannya kepada saya," tambahnya.

Sementara itu, para penerbit program realiti itu memberitahu, mereka akan mengaburkan bahagian sulit peserta selain menggunakan sudut kreatif kamera bagi mengelak kontroversi sepanjang siri itu ditayangkan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Budak buta dapat lihat semula


IZABELLA duduk dekat ibu dan bapanya.


PULAU HAYLING, Britain - Keajaiban berlaku terhadap seorang budak perempuan berusia empat tahun di Britain, Izabelle Evans kerana dia dapat melihat semula selepas matanya buta sejak dilahirkan, lapor sebuah akhbar semalam.

Izabelle kini dapat melihat objek dalam lingkungan beberapa meter setelah dia menjalani rawatan sel stem di China.

Ibu-bapanya, James Evans dan Hollie McHugh berkata, mereka amat berpuas hati dengan rawatan melibatkan kos £50,000 (RM245,917) itu terutamanya apabila Izabelle merenung ke dalam mata mereka dan memanggil: 'Ayah' dan 'Ibu'.

"Jika anda melintas di hadapannya, dia akan menyapa anda. Rawatan itu menakjubkan kerana sebelum ini, doktor-doktor yang kami temui di sini memberitahu bahawa anak saya buta sepenuhnya," kata Hollie.

Izabelle buta akibat penyakit ganjil Optic Displasia yang menyebabkan dia cuma memiliki beberapa ratus daripada jutaan saraf optik yang diperlukan oleh deria penglihatan.

Namun, dia pulih selepas mendapat suntikan sel stem daripada uri bayi yang digunakan untuk membina semula saraf-sarafnya.

Budak itu mendapat rawatan di Hospital Rakyat Chenyang, Qingdao di China hampir sebulan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Pengguna Facebook kini lebih kreatif


MUKA SURAT artis Perancis, Alexandrea Oudin di laman Facebook kelihatan unik hasil daripada perubahan yang dilakukan oleh pengendali laman berkenaan.


PARIS - Profil bercorak artistik mula muncul di laman jaringan sosial Facebook selepas sejumlah pengguna mendapati reka bentuk baru itu boleh digunakan untuk menghasilkan imej yang bergaya, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang artis Perancis, Alexandre Oudin dipercayai merupakan pengguna pertama Facebook yang memuat naik gambar mukanya supaya ia kelihatan berpecah-pecah dan bertampal-tampal di laman berkenaan.

Facebook menambah baik profilnya pada awal bulan ini dengan menawarkan paparan visual lebih menarik kepada pengguna dengan tumpuan diberikan pada gambar penggunanya dan rakan masing-masing serta imej muzik selain filem kegemaran mereka.

Hasil kerja kreatif Oudin itu seiring dengan peraturan Facebook yang tidak membenarkan laman web berkenaan digodam.

Pengguna yang mahu menggunakan reka bentuk kreatif itu cuma perlu mengubah susun atur gambar mereka di dinding Facebook. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Nenek 103 tahun pengguna paling tua Facebook



LILLIAN LOWE menunjukkan muka surat Facebook miliknya di iPad.


TENBY - Seorang nenek, Lillian Lowe yang berusia 103 tahun dipercayai menjadi pengguna Facebook tertua di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Lillian dari selatan Wales, Britain, Lowe membuka akaun di laman jaringan sosial berkenaan untuk berhubung dengan tujuh cucu dan 13 cicitnya.

Dia melayari Facebook dengan menggunakan komputer iPad milik seorang cucu lelakinya, Steve.

"Saya menyukainya, Facebook amat menarik. Ia cara yang menarik untuk berhubungan dan mendapat maklumat," kata nenek itu.

Menurut Steve, neneknya masih memiliki daya ingatan yang baik dan dia gemar mengambil tahu keadaan cucu dan cicitnya.

Dilahirkan pada tahun 1917, Lowe merampas gelaran pengguna Facebook tertua daripada Ivy Bean yang meninggal dunia semasa tidur pada usia 104 tahun, Julai lepas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Wanita Cedera Ditikam Selepas Enggan Beri Nombor Telefon Bimbit

Khamis Disember 16, 2010

KUANTAN: Seorang wanita cedera dipeha dan lengan kiri selepas ditikam bekas teman lelakinya di simpang jalan kawasan Bandar Jengka, Maran.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Asisten Supritendan (ASP) Noor Asyikin Shamsuri berkata ketika kejadian 9.30 pagi semalam itu,suspek, 28, telah pergi menemui mangsa, 23, di sebuah kedai makan.

"Ketika itu, mangsa, seorang jurujual baru keluar dari kedai makan sebelum bekas teman lelakinya datang dan meminta nombor telefon baru mangsa.

"Mangsa enggan memberi dan terus ke motosikal sebelum beredar dari situ. Lelaki berkenaan kemudiannya mengekori mangsa sebelum tiba di simpang jalan kawasan Bandar Jengka berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata mereka kemudianya terus bertekak sebelum suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menikam mangsa di bahagian peha dan lengan kiri.

Noor Asyikin berkata mangsa kemudiannya meminta suspek membawanya ke hospital.

"Suspek kemudiannya membawa mangsa ke hospital, namun wanita berkenaan menyedari suspek cuba melencong ke tempat lain dan bertindak terjun dari motosikal berkenaan sebelum suspek lari meninggalkan mangsa," katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa orang awam ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, polis masih memburu suspek dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/12/16/mstar_jenayah/20101216134731&sec=mstar_jenayah

Dewan Rakyat Kecoh Pembangkang Pertikai Keputusan Speaker

Khamis Disember 16, 2010

KUALA LUMPUR: Usul kerajaan yang mencadangkan supaya tiga anggota Parlimen pembangkang digantung enam bulan kerana menghina dewan akan dibawa pada pertimbangan Majlis Dewan Rakyat esok, ekoran kekecohan yang ditimbulkan wakil rakyat pembangkang di Dewan Rakyat, Rabu.

Usul yang akan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) digantung enam bulan daripada menghadiri sidang dewan kerana menghina majlis berkenaan.

Selain usul itu, persidangan dewan juga akan membincangkan usul Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang mensyorkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) juga digantung enam bulan atas kenyataannya mengaitkan konsep 1Malaysia dan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide dengan kempen One Israel.

Yang diPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika ditemui pemberita selepas sidang berehat tengah hari tadi, mengesahkan usul penggantungan tiga wakil pembangkang itu boleh dikemukakan esok walaupun notis mengenainya hanya diberikan hari ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27(3).

"Usul penggantungan tiga anggota Parlimen itu menepati Peraturan Mesyuarat 27(3) manakala usul untuk membincangkan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengenai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dibenarkan kerana notis dibuat dua hari sebelum dibahaskan," katanya.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat itu, sekiranya Yang di-Pertua bersetuju, seseorang Menteri boleh mengemukakan sesuatu usul bagi faedah orang ramai dan mustahak dibahaskan, maka memadailah dikeluarkan pemberitahuan satu hari sahaja.

Terdahulu pada hari ini, persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh kira-kira satu jam setengah apabila anggota Parlimen pembangkang mempertikaikan keputusan Pandikar Amin mengenai usul tersebut.

Kekecohan mula tercetus apabila Azmin bangun mempersoalkan mengenai usul itu kerana didakwa tidak pernah diberitahu mengenai usul untuk merujuknya dan dua wakil pembangkang lagi ke jawatankuasa berkenaan.

Tanpa menghiraukan teguran Pandikar Amin, Azmin juga mempersoalkan kredibiliti Speaker yang disifatkan tidak membuat pertimbangan sewajarnya berhubung usul Sivarasa untuk membincangkan pendedahan Wikileaks.

"Gunakanlah peraturan yang betul...apa nak guna kuasa...apa sudah-sudah...sudah dihukum?," tingkahnya yang menyebabkan berlakunya perang mulut antara wakil rakyat pembangkang dan anggota Parlimen kerajaan yang mendakwa Azmin tidak menghormati Speaker.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula mempertikaikan usul itu kerana dakwanya notis sama yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat semalam tidak menyebut mana-mana nama wakil rakyat pembangkang itu.

"Saya bukan mempertikaikan Peraturan Mesyuarat tetapi semalam (usul dengan nama) tidak ada...tetapi hari ini ada dan enam bulan...tanpa mereka dipanggil membela diri," katanya.

Isu itu turut menyaksikan Anwar dan Pandikar Amin saling bertukar 'kenyataan sinis' apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu cuba mempertahankan 'orang-orangnya' dengan meminta Pandikar Amin mempertimbang semula usul itu.

"Tan Sri tidak bolehkah mereka ini diberi peluang untuk memberi penjelasan...kalau saya tidak apa kerana saya sentiasa terima hukuman, itu 'hak' saya Ketua Pembangkang...tetapi janganlah semata-mata menteri bawa usul, semuanya boleh," katanya.

Menjawab persoalan itu, Pandikar Amin berkata,:"Yang Berhormat Permatang Pauh, anda kenal saya...yang duduk di sini ini bukan boleh dipertakut, diugut atas dasar persahabatan. Anda Ketua Pembangkang, anda berhasrat menjadi perdana menteri, anda tahu bagaimana kerajaan bekerja, sekarang anda beritahu saya, tunjuk saya apa yang sepatutnya saya lakukan," katanya.

Kekecohan dan pertikaman lidah itu berterusan dengan pihak pembangkang enggan menerima sebarang penjelasan Pandikar Amin menyebabkan Speaker itu membiarkan anggota dewan saling bertelingkah sehingga dewan berhenti rehat tepat pukul 1 tengah hari tadi.

Sementara itu pada sidang media di lobi Parlimen, Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menggunakan kuasa majoriti mereka untuk menggugat kedudukan Pakatan Pembangkang, lebih-lebih lagi sekiranya usul untuk menggantung empat anggota Parlimen pembangkang itu berjaya esok.

"Kalau esok usul untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga anggota parlimen Pakatan Rakyat (PR) lain diluluskan, ini akan memberi implikasi politik sangat besar kepada kedudukan PR dalam Dewan Rakyat," katanya.

Katanya dengan andaian lapan orang anggota Parlimen Bebas memihak kepada kerajaan, BN akan mendapat kembali majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Komposisi terkini Dewan Rakyat ialah BN (137), pembangkang 77 (DAP (29), PKR (25) dan PAS (24)), dan lapan anggota Parlimen Bebas. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/16/mstar_berita/20101215204443&sec=mstar_berita

Dewan Rakyat Lulus Usul Gantung Anwar, Karpal, Azmin & Sivarasa 6 Bulan

Published: Khamis Disember 16, 2010 MYT 11:40:00 AM
Updated: Khamis Disember 16, 2010 MYT 3:00:01 PM


Sebahagian daripada anggota Parlimen pembangkang berkumpul di luar dewan persidangan sambil menunjukkan sepanduk yang membantah keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantung ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta di Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA



KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi anggota Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.

Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.

Terdahulu persidangan menjadi kecoh sebaik usul menggantung Anwar dikemukakan oleh Mohamed Nazri.

Perang mulut berlaku apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa usul yang dikemukakan itu tidak adil kerana Anwar serta tiga lagi yang menghadapi tindakan sama tidak diberi peluang membela diri.

Wakil pembangkang juga mempamerkan kad manila yang mengandungi pelbagai perkataan antaranya 'BN sokong Apco', 'Selamatkan dewan', 'Hidup Ketua Pembangkang' dan 'Kangaroo'.

Pakatan pembangkang juga menjadikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang membicarakan kes Anwar-Apco 'mangsa serangan' kerana didakwa tidak memainkan peranan dengan adil.

Pandikar Amin yang tenang di kerusi Speaker, membiarkan kekocohan berterusan tetapi sesekali mencelah dengan mengatakan: "Keputusan saya muktamad."

Cubaan barisan pembangkang untuk mengetepikan usul berkenaan bagaimanapun gagal apabila kekecohan yang ditimbulkan itu menyebabkan Pandikar Amin memberi kata dua, iaitu sama ada untuk membahaskan usul penggantungan Anwar atau terusmengundi untuk meluluskannya.

Cadangan itu mencetuskan kemarahan wakil-wakil pembangkang yang melaungkan perkataan 'undur' dan 'zalim' ke arah Speaker itu, manakala Karpal mengugut untuk membawa kes itu ke mahkamah sebelum kesemua barisan pembangkang bertindak keluar dewan.

Usul untuk menggantung Karpal, Sivarasa dan Azmin kemudiannya dibahaskan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Bebas tanpa sebarang gangguan.

Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), selain pencelahan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baru) Abdul Rahman ketika membahaskan usul itu menafikan Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan peluang yang diberi.

Mencelah perbahasan Abdul Rahman, Shamsul Anuar berkata, apa yang dilakukan ialah budaya jalanan yang dibawa oleh pembangkang ke dewan itu sebagai taktik untuk melengah-lengahkan keputusan mengenai kes Anwar itu.

Ibrahim pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan pakatan pembangkang.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana tetapi rakyat harus pertimbangkan dengan cara yang betul. Ketua Pembangkang ini tidak ada pilihan untuk survival politik beliau, jadi dia gunakan cara ini.

"Jadi rakyat harus diberitahu adakah tuduhan 1Malaysia sama dengan Apco itu benar, adakah betul Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, dan apakah usul ini dikemukakan untuk menganiayai Anwar," katanya.

Zulkifli pula membangkitkan pendedahan mengenai Anwar termasuk oleh Karpal sendiri yang mengakui tahu mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang itu dan pernah meminta Anwar bertaubat dan berundur selaku Ketua Pembangkang.

"Selepas tak jadi 16 September, Bukit Gelugor (Karpal) minta Anwar bertaubat. Jadi dengan semua ini boleh tak kita kata DAP atau Karpal dengan pengetahuan (perlakuan liwat) telah mengugut Anwar untuk agenda sempit mereka," katanya ketika mencelah perbahasan Ibrahim.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Ibrahim berkata, pembangkang sememangnya sedia maklum mengenai perlakuan Anwar tetapi berlagak seolah-olah tidak mengetahui perkara itu.

Bung Moktar pula berkata isu penggantungan anggota dewan merupakan perkara biasa malah turut berlaku di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah.

Mohamed Nazri yang sepatutnya menggulung perbahasan usul itu, melangkaui proses berkenaan dan meminta usul menggantung tiga anggota parlimen pembangkang itu diluluskan.

"Tidak perlulah hendak gulung, orang yang nak digulung pun tak ada, nak lipat pun tak boleh. Jadi saya ucapkan terima kasih dan kita teruskan lulus usul ini," katanya yang membacakan usul itu untuk kali ketiga sebelum diluluskan dengan suara majoriti. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/16/mstar_berita/20101216113922&sec=mstar_berita

Anwar Ibrahim digantung 6 bulan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) daripada menghadiri persidangan selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum ini mengemukakan syor supaya penasihat Parti Keadilan Rakyat itu dikenakan tindakan itu kerana didapati membuat kenyataan tidak benar. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/AnwarIbrahimdigantung6bulan/Article

Malaysia Parliament suspends Anwar, 3 top allies

KUALA LUMPUR, Malaysia – Malaysia's ruling coalition won a vote Thursday to ban its archrival Anwar Ibrahim and three of his top allies from Parliament for six months, eroding the opposition's legislative influence to precarious levels.

The suspension reduces the opposition to less than one-third of Malaysia's 222-member Parliament for the first time since 2008 general elections. That could enable Prime Minister Najib Razak's coalition to change the constitution and election district boundaries before the next national polls, which some expect next year.

Anwar was suspended on accusations of making false statements in Parliament last March, when he claimed that the government's program to promote multiracial unity in this Muslim-majority country was inspired by a 1999 Israeli election campaign.

The suspension was the government's "way of mocking the people's voice, preventing us from defending ourselves," the opposition leader said after Thursday's vote. Anwar's three senior colleagues were penalized for leaking details about a parliamentary investigation into his remarks.

Anwar and dozens of other opposition legislators stormed out of Parliament's lower house during the vote, which followed scenes of pandemonium and shouting. Some opposition lawmakers held posters denouncing the lower house as "a kangaroo court" because they claimed Anwar was unfairly targeted.

Anwar and his three colleagues will be barred from parliamentary debates and votes through June, but they can continue other political work, such as addressing rallies. The opposition has already launched efforts to convince the public that the government is abusing its legislative majority.

Khairy Jamaluddin, a prominent government lawmaker, said Anwar "was given every opportunity to defend himself but chose to abuse and stall the process" over the past nine months. Anwar has insisted his comments linking the government's policies to Israel were correct.

Political activity has intensified amid rampant rumors that Najib will call for national polls next year, even though they are not due until mid-2013. Najib might seek to capitalize on internal bickering in Anwar's three-party alliance, which made spectacular gains in 2008 elections but has since lost some of its luster.

Anwar has also been distracted by an ongoing trial on charges that he sodomized a male former aide in 2008. He faces a 20-year prison sentence if convicted of the accusation, which he says was fabricated to stem his political ascent. The government denies any conspiracy.

http://news.yahoo.com/s/ap/20101216/ap_on_re_as/as_malaysia_politics

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...