Tuesday, January 4, 2011

BAM mahu jumpa Misbun

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mahu mendengar penjelasan dari mulut Datuk Misbun Sidek sendiri berhubung peletakan jawatannya sebagai jurulatih perseorangan badminton negara, kata Pengurus Besarnya, Kenny Goh.

Beliau berkata mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat selepas Presiden Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh pulang dari luar negara bagi mendengar penjelasan Misbun serta berbincang mengenainya.


Katanya BAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Nadzmi selepas penjelasan tersebut.

“Buat masa ini masih terlalu awal bagi BAM untuk membuat sebarang komen dan lebih elok perkara ini dibawa ke mesyuarat dalaman bersama Misbun untuk mendapatkan penjelasan terperinci bagi mengenali punca sebenar beliau bertindak demikian,” katanya.


Sehubungan itu beliau meminta spekulasi berhubung peletakan jawatan Misbun dihentikan.


Goh yang terkejut dengan surat peletakan jawatan Misbun itu bagaimanapun berharap ia dapat diselesaikan sebaik mungkin agar tigak menggugat prestasi skuad badminton yang tersenarai dalam program “Road To London 2012“.

Katanya, dengan ketiadaan Misbun, tugas melatih Lee Chong Wei akan digalas seorang lagi jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock, bagi menghadapi Kejohanan Super Series Masters Finals di Taiwan bermula esok.


“Kebetulan kejohanan Super Series kali ini di bawah kendalian Tey. Sebelum ini, dalam kejohanan tertentu, pemain akan dikendalikan Misbun dan Tey,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BAMmahujumpaMisbun/Article/index_html

'Berilah saya masa'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

TENANG...raut wajah Misbun ketika ditemui wartawan di Kanchong Darat, Banting, semalam.
TENANG...raut wajah Misbun ketika ditemui wartawan di Kanchong Darat, Banting, semalam.

“SAYA hanya boleh pesan kepada Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) supaya selamatkan diri sendiri sebelum kita cuba selamatkan orang lain,” kata jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek di kediaman keluarganya di Banting, Selangor, lewat petang semalam.

Kenyataan penuh bermakna itu keluar dari mulutnya menjawab pertanyaan sekiranya Lee Chong Wei mahu mengikut jejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).


Usaha menjejaki Misbun untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu peletakan jawatan berkuat kuasa semalam bagaimanapun masih gagal menemui jawapannya.

Walaupun berjaya menemui jurulatih itu, beliau masih enggan berbicara dan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku.


“Seperti saya katakan sebelum ini, saya belum sedia untuk memberi sebarang ulasan. Berilah saya masa... biarkan semua ini reda dulu,” kata Misbun yang berjaya mengangkat Chong Wei ke ranking nombor satu dunia sejak 2008 hingga kini.


Biarpun lebih banyak membisu daripada menjawab persoalan, beliau tetap menghormati permintaan wartawan apabila menjawab beberapa pertanyaan yang dirasakan tidak akan menyinggung mana-mana pihak.

“Saya sedia bertemu Nadzmi (Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh) jika dia mahu jumpa, atas dasar bekas majikan,” katanya.


Namun ketika ditanya sama ada akan kembali bersama BAM Misbun berkata: “Kita tengoklah, kalau... (tidak meneruskan ayat).”

Bagaimanapun emosinya terusik apabila diajukan soalan mempersoal kesetiaannya pada negara dengan mengambil tindakan meletak jawatan ketika negara memburu emas pertama Sukan Olimpik.

“Terpulang kepada orang, apa mereka nak cakap, tapi selama ini...,” kata Misbun sambil mengurut dada menahan sebak.


Peletakan jawatan Misbun ini menyebabkan Chong Wei bertolak ke Taiwan untuk Siri Super Final petang semalam diiringi Tay Seu Bock.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berilahsayamasa/Article/index_html

'Tunggu Nadzmi balik buat keputusan'


MISBUN (kiri) telah banyak menyumbang tenaga untuk mengangkat reputasi badminton negara.


ISU mengenai peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek kini terus mencetuskan pelbagai persoalan.

Pelbagai andaian dibuat berhubung keputusan Misbun itu yang secara tiba-tiba menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disem- ber lalu.

Ada yang menganggap keputusan itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati Misbun terhadap BAM yang melantik bekas pemain dan jurulatih, Datuk James Selvaraj sebagai Pengarah Prestasi Tinggi.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang merasakan bahawa Misbun sebenarnya sudah tidak tahan dengan kemelut dalaman yang sering melanda BAM dan bermacam-macam lagi.

Begitupun, ia hanyalah andai- an semata-mata kerana surat peletakan jawatan yang diserahkan Misbun kepada BAM langsung tidak tertera sebarang alasan mengapa beliau berbuat demikian.

Kini, hanya BAM sahaja yang mampu merungkai segala persoalan yang tercetus ketika ini biarpun badan induk itu sendiri tidak tahu apakah punca sebenar Misbun meletak jawatan.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, keputu- san sama ada badan induk itu menerima peletakan jawatan Misbun ataupun tidak, hanya akan dibuat selepas Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh pulang dari luar negara.

Nadzmi kini dilaporkan berada di United Kingdom dan hanya akan kembali ke tanah air hari ini.

"Biar presiden (Nadzmi) sendiri yang membuat keputusan mengenai perkara tersebut dan mungkin beliau akan mengadakan pertemuan dengan Mis- bun sendiri sebaik pulang ke Malaysia.

"Selepas itu nanti, mungkin BAM akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu ini.

"Perkara ini masih belum sele- sai lagi. Jadi... saya tidak boleh memberi sebarang komen kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan," jelas Chin Chai ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sekiranya BAM menerima peletakan jawatan Misbun itu, ternyata ia merupakan satu kehilangan besar buat arena sukan badminton tanah air.

Ini kerana, Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab menjadikan jaguh perse- orangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain ranking No. 1 dunia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm

‘Saya okay dengan Misbun’


PUNCA peletakan jawatan Misbun daripada BAM terus menjadi tanda tanya.


“SAYA tidak ada sebarang masalah dengan Misbun.”

Demikian pengakuan Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.

Sebelum ini, ada segelintir pihak membuat andaian bahawa keputusan yang dibuat Misbun untuk meletak jawatan disebabkan rasa tidak puas hatinya terhadap James.

Ia ekoran tindakan James yang melakukan rombakan terhadap sistem kejurulatihan dan corak latihan yang diterapkan sebelum beliau dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM.

Bagaimanapun, James yang memulakan tugasnya pada 1 September 2010 menafikan sekeras-kerasnya andaian tersebut.

Menurut James, jika beliau yang menjadi punca keputusan Misbun untuk meletak jawatan, sudah pasti jurulatih tersebut telah berbuat demikian sejak mula dia dilantik menjadi Pengarah Prestasi Tinggi BAM.


Datuk James Selvaraj


“Itu semua andaian semata-mata. Saya sebenarnya langsung tidak mempunyai sebarang masalah dengan Misbun dan begitu juga dengan dia.

“Bukan sebab saya dia meletak jawatan. Saya tahu apa sebenarnya punca dia berbuat demikian, namun saya mahu berjumpa dengan dia terlebih dahulu sebelum memberi penjelasan lebih lanjut,” jelas James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut James lagi, Misbun ada memberitahunya untuk berjumpa hari ini kerana ada sesuatu yang ingin dibincangkan.

“Dia (Misbun) ada beritahu saya untuk berjumpa esok petang (hari ini) dan saya akan berjumpa dengannya.”

“Saya tahu dia meletak jawatan pun pada hari Sabtu lalu ketika menghadiri upacara pengkebumian abang iparnya dan ketika itu juga dia memberitahu saya yang dia telah letak jawatan,” jelasnya lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

KBS Minta BAM Dan Misbun Beri Penjelasan

Selasa Januari 4, 2011

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek masih menunggu penjelasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mencari punca terhadap tindakan mengejut Datuk Misbun Sidek meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan.

Ahmad Shabery berkata beliau akan bertemu dengan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan penjelasan sebelum beliau bertemu dengan Misbun.

"Masih terlalu awal untuk kita buat andaian dan dalam masa sehari dua ini saya sengaja membiarkan perkara ini berlalu bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapat pertimbangan yang sewajarnya bagi menyelesaikan perkara ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya, Isnin.

Beliau berkata sebelum mengambil apa-apa tindakan, kementerian berkenaan ingin mencari punca masalah tersebut tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

"Setelah mendapat pejelasan daripada kedua-dua pihak barulah kita cari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut. "Apa pun keputusaan yang bakal dibuat nanti mestilah tidak membelakangkan kepentingan negara kerana badminton adalah salah satu daripada acara sukan yang dijangka mampu memberi sumbangan pingat kepada negara pada Sukan Olimpik London pada 2012 nanti," katanya.

Ahmad Shabery berkata beliau tidak menyalahkan pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusaan untuk keluar daripada BAM kerana faham dengan tekanan yang bakal dihadapinya.

"Sudah pasti Chong Wei akan rasa tertekan apabila jurulatih yang dianggap sebagai bapanya sendiri membuat keputusan untuk letak jawatan.

"Namun sebagai jurulatih yang diberi amanah oleh negara, Misbun sewajarnya memberi keutamaan kepada kepentingan negara sebelum melakukan keputusan tersebut," katanya.

Semalam media tempatan hangat menyiarkan berita tindakan Misbun menghantar surat peletakan jawatan bertarikh 31 Disember lepas kepada BAM, yang telah mencetus pelbagai persoalan dan tanda tanya punca beliau sanggup mengambil tindakan tersebut.

Rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Datuk James Selvaraj sebagai Pengarah Prestasi Tinggi BAM dikatakan sebagai salah satu daripada punca utama yang menyebabkan Misbun membuat tindakan tersebut. - BERNAMA

http://mstar.com.my/variasi/sukan/cerita.asp?file=/2011/1/4/mstar_sukan/20110103183202&sec=mstar_sukan

Misbun Letak Jawatan Sebagai Jurulatih Perseorangan Lelaki

Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki pasukan badminton kebangsaan, Sabtu.


Ahad Januari 2, 2011

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan lelaki pasukan badminton kebangsaan, Sabtu.

Keputusan beliau mengejutkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) malah mengundang beberapa pemain kebangsaan menarik diri dari BAM.

Ini termasuk pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Tindakan Misbun meletakkan jawatan dilihat tidak kena pada masanya kerana Chong Wei dan beberapa pemain lagi sedang membuatpersiapan untuk tiga pertandingan utama pada bulan ini.

Tiga pertandingan tersebut ialah Super Series Masters Finals di Taiwan (5-9 Januari), Terbuka Malaysia (18-23 Januari) dan Terbuka Korea (25-29 Januari).

Mungkin timbul kesan-kesan yang merumitkan terutama membabitkan Chong Wei kerana pemain itu disasarkan melakar kejayaan pada Kejohanan Dunia tahun ini selain Sukan Olimpik di London tahun hadapan.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh semalam mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM.

Bagaimanapun, Kenny enggan mengulas sebab-sebab Misbun berbuat demikian.

"Misbun tidak memberikan apa-apa sebab tetapi ada menyatakan peletakan jawatannya adalah berkuat kuasa mulai 3 Januari. Secara peribadi, saya terkejut menerima surat berkenaan.

"Saya telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Datuk Seri Nadzmi (Mohd Salleh) dan setiausaha, Ng Chin Chai. Saya juga telah menghantar semula surat itu kepada semua ahli jawatankuasa BAM," kata Kenny.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan selepas Nadzmi kembali dari luar negara pada 4 Januari.

"Masih terlalu awal bagi kami untuk mengulas sebab-sebab Misbun meletakkan jawatan. Kami masih terkejut," jelasnya.

Bukan lagi rahsia Misbun tidak gembira berikutan rombakan yang dibuat oleh BAM terhadap struktur bimbingan dan latihan sejak lima bulan lalu.

Dalam usaha memperkasakan struktur tersebut, BAM meletakkan Misbun di bawah pasukan elit yang kendalian adiknya, Rashid.

Lebih mendukacitakannya, dua pemain yang sebelum ini di bawah kendaliannya iaitu anaknya Misbun Ramdan dan Wong Mew Choo telah diasingkan daripadanya.

Ramdan diletakkan di bawah jagaan Hendrawan dalam skuad pelapis manakala Mew Choo dikendalikan jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Wong Tat Meng.

Ramdan bagaimanapun, belum melaporkan diri kepada Hendrawan untuk menjalani latihan. Dia berlatih dengan gigih di bawah kendalian ayahnya dan ini mengecewakan BAM.

Selain itu, penolong jurulatih Misbun, Teh Seu Bock turut digugurkan. Selepas rayuan dibuat oleh Misbun dan Chong Wei, Seu Bock kembali berkhidmat di skuad elit.

Malah, Seu Bock akan menemani Chong Wei ke Taiwan untuk menyertai Super Series Masters Finals, hari ini.

Misbun juga tertekan ekoran prestasi kurang memberangsangkan daripada beberapa pemain pelapis. Mereka ialah Liew Daren, Tan Chun Seang, Chang Kwong Beng dan Chong Wei Feng.

Perkara tersebut dibincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa bimbingan dan latihan pada Khamis lalu.

Kenny bagaimanapun, sangsi tindakan Misbun meletakkan jawatan adalah berpunca daripada mesyuarat tempoh hari.

"Ia seperti kebanyakan mesyuarat biasa yang lain. Kami berbincang tentang semua laporan jurulatih. Semua jurulatih hadir kecuali Rexy Mainaky (jurulatih beregu). Ia adalah mesyuarat yang baik," kata Kenny.

Ditanya mengenai sama ada keputusan Misbun itu akan mendorong pemain-pemain lain untuk menarik diri, Kenny berkata: "Misbun ialah jurulatih profesional. Dia telah mempertimbangkan keputusannya dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara. Saya tak fikir ia akan berlaku.

"Kita tidak boleh mengatakan peletakan jawatan Misbun ialah satu kehilangan besar kerana kami masih belum menerima keputusannya. Biarlah Nadzmi dan ahli jawatankuasa yang lain mengkajinya terlebih dahulu," katanya.

Di bawah tunjuk ajar Misbun, pemain perseorangan lelaki Mohd Hafiz Hashim memenangi All-England pada 2003 dan Chong Wei merangkul kejuaraan sama yang juga merupakan edisi ke-100, tahun lalu.

Chong Wei turut memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik di Beijing pada 2008

http://mstar.com.my/variasi/sukan/cerita.asp?file=/2011/1/2/mstar_sukan/20110102120850&sec=mstar_sukan

Harimau Malaya Cetus Gelombang Baru Bola Sepak Negara

Ahad Januari 2, 2011

Pasukan Malaysia dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2.

HAMPIR 14 tahun menunggu, akhirnya trofi terbaik Asia Tenggara dijulang megah di Malaysia. Sekalung tahniah kepada barisan pemain bola sepak negara kerana memenuhi harapan seluruh peminat bola sepak di Malaysia.

Gelombang kejayaan ini memberi nafas baru dunia bola sepak tempatan yang sebelum ini ketandusan kemenangan di peringkat tertinggi. Biarpun pasukan negara tewas 1-2 pada perlawaan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno Rabu lalu, namun dengan kelebihan tiga gol ketika aksi pertama sebelum ini telah melayakkan skuad kendalian K.Rajagobal ini menang secara aggregat 4-2.

Dengan kejayaan ini juga, Malaysia turut merekodkan sejarah bola sepak Asia Tenggara dengan menjadi pasukan keempat merangkul juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam. Kejayaan ini juga merupakan kejayaan pertama pasukan kebangsaan semenjak kejohanan itu diadakan.

Semangat membara

Biarpun pelbagai isu timbul sebelum perlawanan kedua ini termasuk pancaran laser, stadium dirosakkan, namun barisan negara telah memberi fokus terbaik dan tetap mengekalkan rentak konsisten sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Hakikatnya, perjalanan untuk menjulang trofi ini bukanlah mudah kerana laluan agak berliku ketika saingan peringkat kumpulan awal bulan ini,

Sebelum ini skuad kendalian K. Rajagobal ini tewas 1-5 kepada Indonesia, seri dengan Thailand 0-0 dan menang ke atas Laos 5-1 dengan mengumpul empat mata.

Selepas itu cabaran semakin sukar apabila berhadapan dengan juara bertahan 2008, Vietnam.

Namun tuah memihak kepada Malaysia apabila menang secara agregat 2-0 selepas Mohd Safee Mohd Sali menjaringkan dua gol kemenangan pada saingan separuh akhir pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, manakala pusingan kedua yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, kedua-dua pasukan terikat 0-0 sekali gus skuad negara layak ke perlawanan akhir.

Ribuan penyokong bola sepak Malaysia menyambut pasukan bola sepak negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

Rekod ke akhir

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir ialah pada tahun pertama kejohanan ini bermula, 1996 (sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger), namun tewas kepada Thailand 0-1. Sejak itu pasukan negara gagal mara ke perlawanan akhir dan hanya berada di tangga ketiga (tahun 2000 dan 2004).

Di sebalik kejayaan cemerlang sekali gus menjadi penutup kejayaan bagi tahun 2010, pengalaman jurulatih dalam mengharungi detik ini memainkan peranan penting ketika membuat percaturan setiap perlawanan. Sehingga kini Rajagobal telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang selepas turut membawa pasukan Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.

Pujian seharusnya diberikan kepadanya kerana telah membawa sukan bola sepak tanah air kembali menjadian perhatian utama.

Jika sebelum ini dia turut dikritik kerana turun naik pasukan negara, sikap tenang dan tidak mudah melatah antara faktor kejayaan skuad kendaliannya itu.

Sebelum kejohanan ini bermula, Rajagobal berkata bahawa pertandingan kali ini agak sengit kerana berada dalam kumpulan maut bersama Indonesia, Thailand dan Laos. Dia tidak menjanjikan sebarang kejayaan, namun yakin anak-anak buahnya akan mempamerkan permainan yang terbaik kerana rata-rata pemainnya masih baru.

Kata-kata itu dikotakan oleh para pemain walaupun sebelum itu dia turut pening kepala dalam menyusun barisan pemain kerana beberapa pemain senior mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi sehingga menyebabkan pasukan mengalami kekalahan besar 1-5 kepada Indonesia di peringkat kumpulan.

Jurulatih kelahiran Selangor ini berkata, walaupun kalah pada awal perlawanan, namun dengan tekad dan semangat yang dipamerkan anak buahnya sehingga Piala Suzuki AFF 2010 menjadi milik Malaysia sekali gus memadamkan terus angan-angan Indonesia.

Penyerang Malaysia, Mohd Safee Mohd Sali dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MPV) selepas menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan Piala Suzuki AFF 2010.

“Selepas mengalahkan juara bertahan Vietnam, saya menyerahkan segalanya kepada pemain-pemain. Saya memberitahu mereka, sekiranya ingin menjadi juara mereka perlu menang. Dan itulah yang dibuat oleh barisan pemain-pemain yang majoritinya pemain muda.

“Saya puji para pemain, mereka memang berhak menjadi juara setelah menunjukkan permainan komited dan berdisiplin,” katanya selepas perlawanan akhir baru-baru ini.

Paling penting kejayaan ini juga bakal membuka era baru dalam sukan bola sepak tanah air, malah turut mengembalikan kepercayaan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Secara langsung, kejayaan ini juga dijangka akan turut menarik kembali penyokong-penyokong bola sepak untuk memberi sokongan kepada perlawanan liga bola tempatan yang bakal bermula 15 Januari ini.

Antara pemain-pemain yang bakal menjadi perhatian termasuk Mohd Safee Mohd Sali yang beraksi dengan pasukan Selangor bakal menjadi lebih popular selepas menerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dengan lima gol, Norshahrul Adlan Talaha (Kelantan) yang digelar ‘arkitek’ pasukan kerana banyak mencipta gerakan cantik untuk rakan sepasukan sehingga mampu mencipta jaringan, Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) penjaga gol yang menjadi perhatian ketika menjaga gawang, kapten pasukan, Shafiq Rahim (Selangor) dan beberapa orang lagi.

Peminat kembali sokong Harimau Malaya

Siapa kata bola sepak Malaysia tiada peminat. Perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad lalu telah membuktikan bahawa pasukan Harimau Malaya sebenar mendapat sokongan penuh para penyokong tempatan.

Hampir 75,000 penonton memenuhi stadium dengan warna hitam kuning, warna kebangsaan jersi Malaysia selain dengan kibaran bendera Jalur Gemilang yang memenuhi setiap ruang di stadium itu.

Sambutan yang luar biasa ini juga turut dilihat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila hampir 3,000 orang penyokong bola sepak negara berkumpul di situ menyambut kepulangan wira bola sepak negara ini, Khamis lalu.

Kejayaan bermakna

Setiausaha Agung Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kejayaan ini amat bermakna kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali penyokong-penyokong setia Harimau Malaya.

“Kejayaan ini merupakan penutup tirai tahun 2010. Pada tahun 2009, kita juga menjadi penutup dengan membawa balik emas pada Sukan SEA. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pegawai,pemain, barisan jurutih kerana kejayaan ini.

“Kita perlu sedar setiap kejayaan tidak datang dengan mudah, lebih-lebih lagi bola sepak kerana ia memerlukan masa untuk berada di landasan yang sebenar.

“Apa yang lebih menarik, kejayaan ini merupakan kejayaan anak-anak tempatan kerana tanpa pemain import, jurulatih import kita mampu menjadi terbaik dan digeruni di Asia Tenggara selepas dikritik dan diejek kerana tidak mencapai sebarang kejayaan sebelum ini,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2011/1/2/mstar_mingguan/20110102135249&sec=mstar_mingguan

PEERS semai nilai positif




BUKAN tugas mudah untuk memperbetulkan persepsi umum mengenai istilah seks dalam institusi pendidikan Malaysia, apatah lagi untuk diajar kepada si cilik berusia tujuh tahun yang baru menjengah alam persekolahan.

Ia menuntut corak pemikiran yang lebih terbuka dalam usaha menyampaikan maklumat yang tepat dan bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak. Untuk itu, kurikulum baru telah dibentuk.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan mula beroperasi secara berperingkat awal tahun ini tatkala sekolah mula membuka pintunya untuk murid-murid darjah satu.

Pengenalan KSSR menambah baik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dimulakan pada tahun 1993 dengan membawa gelombang perubahan yang menyasarkan pengisian pendidikan yang bersifat holistik.

Memfokuskan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, reka bentuk kurikulum juga diubah dengan menerapkan pendidikan berorientasikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial atau diringkaskan sebagai PEERS.

Elemen itu bakal diajar berasingan bersama penekanan dalam aspek penjagaan pemakanan dan keselamatan menerusi mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.

Diasingkan daripada Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) menurut kurikulum lama, mata pelajaran Pendidikan Kesihatan ini akan diajar dalam ruang masa 30 minit sebanyak sekali seminggu untuk pelajar sekolah rendah.

Pendidikan Jasmani pula akan diteruskan dengan memperuntukkan tempoh masa selama satu jam setiap minggu.

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, Datuk Dr. Julaihi Bujang, pembahagian kandungan dalam Pendidikan Kesihatan dibahagikan sebanyak 75 peratus untuk PEERS, 15 peratus berkenaan pemakanan kanak-kanak dan 10 peratus akan diajarkan teknik pertolongan cemas dan keselamatan.

“PEERS adalah satu proses sepanjang hayat untuk memperoleh pengetahuan dan membentuk sikap, nilai dan kepercayaan terhadap identiti, perhubungan serta keintiman sesama individu,” singkap beliau.


PELBAGAI masalah sosial yang berkait rapat dengan salah laku seks dilaporkan media hampir setiap hari. Bagaimanakah ibu bapa hendak menjawab pertanyaan daripada anak-anak yang masih di bawah umur? - Gambar hiasan


Tambah Julaihi, pengetahuan yang dibekalkan itu akan mencakupi pengetahuan dari segi biologi, sosiobudaya, psikologi dan kerohanian serta tidak hanya berfokus isu seksual semata-mata.

Pembahagian dan pengisian

Dari sudut pengisian dalam PEERS pula, pengetahuan yang diberi akan dipecahkan kepada dua tahap berdasarkan peringkat umur murid-murid sekolah rendah.

Tahap satu melibatkan pelajar darjah satu hingga tiga dan skop utama dalam PEERS akan mengajarkan perbezaan fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kepentingan memelihara kehormatan diri, pengurusan perasaan dan kemahiran mengatakan ‘tidak’ kepada sentuhan yang tidak selamat.

“Pelajar darjah empat hingga enam yang dikategorikan dalam tahap dua akan diajar mengenai perubahan fizikal, pengurusan konflik, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko perhubungan seks sebelum perkahwinan, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran mengatakan ‘tidak’ kepada rokok, dadah dan alkohol,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Sebanyak 500,000 naskhah buku teks baru telah berjaya dicetak dan diedarkan ke sekolah rendah seluruh negara untuk kegunaan pelajar tahun satu secara percuma.

Julaihi memaklumkan terdapat enam perkara akan ditekankan dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan yang bakal dilaksanakan di semua jenis sekolah rendah seluruh negara nanti.

“Perkara-perkara tersebut adalah kesihatan diri dan reproduktif, penyalahgunaan bahan, kemahiran pengurusan mental dan emosi, kekeluargaan, perhubungan serta pencegahan penyakit.

“Jadi tidak ada kekeliruan berhubung istilah mata pelajaran seks yang bakal diajar kerana pendekatan yang digunakan bukan tertumpu pada elemen seksual semata-mata sebaliknya berkonsepkan kehidupan kanak-kanak itu sendiri,” tegas Julaihi.


TENAGA pengajar yang mendukung silibus PEERS perlu bersedia menjawab persoalan yang ditanyakan para pelajar secara telus dan tepat.


Latih guru-guru wibawa

Selain daripada buku teks yang digubal oleh guru-guru pakar dan berpengalaman, modul pengajaran turut dibekalkan kepada guru-guru yang bakal mengajar mata pelajaran tersebut.

“Modul pengajaran guru ini akan membantu para guru berkomunikasi dengan lebih efektif dan interaktif bersama pelajar serta membimbing pendidik menyediakan alat bantu mengajar secara kreatif sama ada secara digital mahupun bercetak.

“Dalam pada itu, guru-guru juga akan menjalani sesi orientasi bersama jurulatih yang dikhaskan oleh kementerian bagi menyalurkan pengetahuan yang tepat kepada pelajar kelak,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang pendidik yang bakal memikul tanggungjawab Pendidikan Kesihatan sempena transformasi KSSR, Rifhan Abdul Jabar, 28, bersedia untuk menyampaikan ilmu tentang PEERS kepada pelajar tahun satunya.

“Saya seronok dan teruja untuk memberikan ilmu pengetahuan kepada anak murid saya malah telah menyiapkan semua alat bantu mengajar bagi memudahkan pemahaman mereka,” katanya.

Keterangan jantina

Dalam pada itu, Pakar Seksual Reproduktif Lelaki dan Perempuan Hospital Damai Service, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Thambi berkata, elemen utama yang mencakupi keterangan mengenai jantina diri pelajar itu sendiri akan dapat memandu mereka bertindak dengan tepat.

Menurutnya, PEERS mungkin boleh diajar oleh guru-guru pendidikan moral, namun isi kandungan yang berkaitan sains seperti sistem reproduktif, maklumat kehamilan dan kelahiran dan penyakit-penyakit kelamin perlu dihuraikan oleh individu yang benar-benar arif.

“Cara pelajar menjaga maruah diri dan perkara berkaitan bidang sains boleh diajar oleh mana-mana guru namun sekiranya ada sesi soal jawab antara pelajar dan guru, perkara yang janggal akan timbul jika seseorang pendidik itu tidak mahir sepenuhnya.


MELALUI kurikulum baru, subjek yang selama ini jarang dibincang secara terbuka sudah mempunyai buku rujukan yang terbimbing.


“Pelajar juga kemungkinan akan bertanyakan soalan yang tidak bersangkutan tentang seks seperti orientasi seksual dan ketika inilah kredibiliti pendidik bakal teruji,” ulasnya.

Ahli Psikologi Perkembangan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaizil Ismail memberitahu, pendidikan seks perlu diajar secara menyeluruh serta dipandang dari sudut positif berikutan usaha untuk memberi pengetahuan dalam bidang ini adalah langkah yang murni.

“Kalau diperhatikan, setiap agama mengulas ajaran berkaitan seks dan pengetahuan seperti ini akan membantu individu mengubah sikap dan memberikan kesedaran dalam mencorak pemikiran,” ulas beliau.

Tambah Khaizil, masalah timbul apabila individu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap terutama apabila terbit kes-kes masalah sosial yang melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja.

“Masyarakat kita tidak menolak pelajar yang mengandung tanpa nikah namun tidak mencegah senario pergaulan bebas yang kian berleluasa dewasa kini,” jelas beliau yang membezakan penerimaan positif masyarakat Barat dalam isu yang sama.

Oleh itu, Khaizil menyarankan agar penyampaian yang betul oleh warga pendidik amat penting berikutan risiko penyalahgunaan pengetahuan yang diterima pelajar adalah tinggi.

“Ibu bapa perlu memainkan peranan utama dalam memantau perkembangan sikap dan perilaku anak-anak. Guru-guru pula harus menyalurkan pengetahuan tentang dunia seksualiti ini menerusi pendekatan berarah kekeluargaan,” katanya kepada Kosmo!.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Jualan rokok elektronik semakin meningkat di pasaran dunia



BEBERAPA sampel rokok elektronik.


PARIS - Pihak pengurusan syarikat pengeluar rokok elektronik, EdSylver menyatakan jualan rokok itu meningkat sejak 2007.

Rokok elektronik merupakan alternatif buat perokok kerana ia kelihatan seperti rokok biasa, diperbuat daripada bahan plastik, tidak mengeluarkan abu dan menghasilkan asap tiruan.

Rokok yang menggunakan kuasa bateri yang boleh dicaj itu boleh digunakan di kawasan larangan merokok.

"Sejak dilancarkan pada tahun 2007 jualannya menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus setiap tahun," kata seorang jurucakap syarikat EdSylver.

Rokok elektronik itu mula dicipta di China pada 2004.

Terdapat set rokok elektronik itu yang dijual di pasaran di AS pada harga AS$59.93 (RM184.85).

Rokok itu boleh diisi dengan nikotin yang terdapat dalam rokok biasa.

"Saya berasa gembira dengan rokok ini. Saya mahu mengulangi perasaan merokok tanpa nikotin," kata salah seorang pengguna rokok tersebut.

Pengasas bersama syarikat Rokok Elektronik Premium di Virginia, Amerika Syarikat (AS), Vitali Servutas berkata, jumlah jualan rokok elektronik keluaran pihaknya meningkat tetapi dia enggan mendedahkan jumlahnya.

Bagaimanapun, pakar tembakau di seluruh dunia menegaskan bahawa rokok elektronik itu tidak menyumbang terhadap kebaikan kesihatan dan menjejaskan kempen antimerokok.

Rokok itu turut mempunyai perasa seperti rokok Virginia Slims, Marlboro, Benson Hedges, 555, lemon dan vanila. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Rusia siasat pesawat meletup


API membakar sayap pesawat Tu-154 di sebuah lapangan terbang di Surgut, Siberia semalam.


MOSCOW - Para penyiasat penerbangan di Rusia semalam menyiasat letupan sebuah pesawat penumpang Rusia yang membawa 124 orang semasa ia ditunda di sebuah landasan terbang bersalji di Surgut, Siberia, kata beberapa pegawai.

Mereka turut menyoal saksi-saksi dan penumpang dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran peraturan operasi penerbangan.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin itu, seramai tiga orang terbunuh manakala 43 lagi cedera termasuk enam mangsa yang melecur teruk.

Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan, Vadim Grebennikov berkata, kebakaran bermula di salah sebuah enjin semasa pesawat itu ditunda untuk berlepas.

Dia berkata, kebakaran tersebut menyebabkan satu letupan kuat sehingga memusnahkan pesawat Tu-154 itu.

Selepas api dipadamkan hanya ekor pesawat dan sebuah sayap yang dapat diselamatkan manakala bahagian lain hangus terbakar.

Seorang penumpang, Vladimir Politvov berkata, beberapa penumpang berlari meredah api untuk menyelamatkan diri.

"Hanya sebuah pintu kecemasan yang berfungsi. Kami tidak dapat melihat pintu di bahagian tengah," kata seorang lagi penumpang, Olga Sytnik.

Menurutnya, penumpang yang keluar dari pintu kecemasan mendapati mereka berada dekat dengan sayap pesawat.

Orang ramai turun dari pesawat itu dengan menggunakan tangga manakala beberapa lagi melompat dari sayap pesawat dan berlari, tambahnya.

Semua tiga enjin pesawat itu terletak di bahagian belakang.

Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Surgut, Siberia ke Moscow.

Seorang mangsa yang terselamat, Sergei Grigoryev berkata, dia yang duduk di bahagian belakang pesawat melihat beberapa orang memijak kepala penumpang lain semasa mereka bergegas untuk menyelamatkan diri. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...