Saturday, March 5, 2011

Jakim: Satu perceraian pada setiap 15 minit

Jakim: Satu perceraian pada setiap 15 minit
Mac 4, 11 10:19am

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul: Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di Putrajaya, semalam.

Seramai 1,200 penjawat awam hadir pada seminar itu dengan anggota panelnya terdiri daripada pakar motivasi Datuk Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah Datuk Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata Jakim akan memperbanyakkan lagi program-program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.

Setakat ini, Jakim telah menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mashitah berkata Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran Al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ''Sidang Parlimen Roh'' selepas kematian pengasasnya Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lepas.

“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” kata beliau.

-Bernama


http://malaysiakini.com/news/157663

Guru sandaran boleh kerja semula


Guru-guru sandaran yang ditamatkan perkhidmatan tahun lalu pasti gembira apabila kerajaan menarik balik notis itu kelmarin. - Gambar hiasan


TONGOD (Sabah) – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

Serentak itu, beliau mengingatkan GSTT supaya bersedia berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

“Saya minta Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di sini semalam.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Surat pemberhentian 13,000 guru sandaran ditarik balik

Mac 3, 11 2:38pm

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan berita gembira buat 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang menerima surat pemberhentian pada tahun lepas bahawa notis itu ditarik balik.

NONEMuhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata beliau telah meneliti keadaan itu dan membuat keputusan GSTT harus dikekalkan.

"Saya minta ketua pengarah Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat pemberitahuan kepada mereka yang sudah berkhidmat dua, tiga hingga lima tahun, kita beri mereka peluang meneruskan perkhidmatan dan menempatkan mereka di tempat yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dividen ladang Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas Tongod di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah 578 GSTT di Sabah yang ditamatkan kontrak dan terdapat pemintaan termasuk daripada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar kontrak mereka ini disambung semula.

Muhyiddin berkata beliau sudah mengeluarkan arahan sejak dua bulan lepas bagi menarik balik surat pemberhentian itu dan mengekalkan khidmat GSTT terlibat.

Menurutnya keputusan mengekalkan GSTT adalah bagi memberi mereka peluang menjadi guru yang terlatih.

"Jika mereka hendak diserapkan kepada guru terlatih dan tidak cukup kelayakan, pendekatan yang sesuai diambil adalah memberi mereka peluang mengikuti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti," katanya.

Menurut beliau, pendekatan ini membolehkan GSTT meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang mata pelajaran pilihan bukan am seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Sains dan Matematik.

Muhyiddin mengingatkan GSTT supaya bersedia untuk berkhidmat di mana sahaja mereka dihantar bertugas kerana mereka tidak semestinya dihantar bertugas semula di sekolah asal.

"Pengambilan GSTT yang baru jangan diisi dahulu tetapi disemak dahulu dengan Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/157587

ANAK kesal dilabel 'haram jadah'

ANAK kesal dilabel 'haram jadah'
Jimadie Shah Othman
Mac 3, 11
1:50pm

Persatuan Anak Felda Kebangsaan (ANAK) kesal ceramah sulungnya dalam kempen pilihan raya kecil Kerdau disambut sekumpulan belia yang didakwa mempamerkan kain rentang menyifat NGO pro-PAS itu sebagai "haram jadah" dan bukan "anak soleh".

NONEPresidennya Mazlan Aliman (kiri) bagaimanapun enggan melayan "provokasi" pihak didakwa "diperalatkan Umno" itu.

"Saya tidak ada masalah. Saya tidak bermusuh dengan warga Felda...," kata Mazlan Aliman yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS.

"Tetapi saya bermusuh dengan mereka yang cuma mengambil kepentingan atas keringat peneroka untuk mengaut keuntungan dan memangsakan peneroka hingga menjadi korban kepada golongan yang tidak bertanggungjawab ini."

Sehubungan itu, menjawab soalan pemberita, Mazlan menolak mengadukan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, percubaan menghalanya itu telah berlalu beberapa kali sebelum ini.

NONESemalam, sebuah blog pro-BN Pisau.net melaporkan, ceramah Mazlan di Felda Jengka 23 disambut jeritan: "Ini ANAK bukan anak yang soleh tapi anak haram jadah".

Kumpulan anak muda itu didakwa secara terang-terangan membawa bendera BN bagi membantah ceramah Mazlan di hadapan kira-kira 60 peserta.

Felda lawan syarikat swasta

Gambar yang dipaparkan dalam blog itu juga menunjukkan sekumpulan pemuda memegang kain rentang bertulis "Mazlan Aliman Kau Jahanam".

Sementara itu, bercakap dalam sidang media harian PAS di Kerdau hari ini, Mazlan turut mengasak Felda - yang dianggap penentu utama kemenangan kedua-dua calon bertanding - dengan menyerang anak syarikat Felda Techno Plant Sdn Bhd pula.

NONEMazlan mendakwa, Felda Techno sebagai pengendali kerja penanaman semula sejak 2005 ketinggalan daripada banyak aspek jika dibandingngan dengan syarikat swasta lain.

Contohnya, tambah beliau, kos penanaman semula oleh Felda dan sebanyak RM10,503 berbanding Sime Darby (RM3,120) dan Kumpulan IOI (RM1,998).


Manakala untung bersih berdasarkan keluasan ladang untuk seekar pula didakwa amat jauh berbeza, seperti berikut: Wilmar International (RM1,050), Kumpulan IOI (RM366.30), Sime Darby (RM114).

"Felcra pula jauh lebih kecil sebanyak RM14.29 seekar untuk sebulan. Adakah ini pengurusan profesional?" soal Mazlan lagi.

Turut hadir salam sidang media itu Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dan anggota parlimen Padang Terap Nasir Zakaria.


http://malaysiakini.com/news/157581

JPN disaman kerana nombor MyKad bertindih

JPN disaman kerana nombor MyKad bertindih
Regina Lee & Hafiz Yatim
Mac 3, 11
1:37pm

Mendapatkan kad pengenalan adalah hak setiap rakyat Malaysian di negara ini.

Namun bagi pemandu teksi Mohammad Daud Salleh, 42, ia adalah permulaan mimpi ngerinya, apabila beberapa tahun lalu mendapati seseorang lain juga telah diberikan nombor pengenalan yang sama oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Perkara itu diketahuinya pada 2005, ketika cuba menggantikan kad pengenalan plastiknya dengan MyKad yang mempunyai cip.

Bermula detik itu, beliau terpaksa berulang-kali ke ibu pejabat JPN di Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut itu dan akhirnya diberikan kad yang baru.

Namun mimpi negerinya tidak berakhir selepas itu.

Pada 2007, beliau diberikan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan yang dialamatkan ke rumahnya di Gombak. Alasan mereka, Mohammad Daud 'didapati' memandu laju dengan kereta yang bernombor pendaftaran WLY3910 - kereta yang didakwa tidak dimilikinya.


Beliau kemudian mengambil keputusan menjalankan 'siasatan' sendiri dengan berkunjung ke Bank Negara dan Public Bank untuk menyemak staus pinjaman kereta berkenaan dan memaklumkan bahawa beliau tidak pernah meminjam ataupun memiliki kereta tersebut.

Beliau juga berkunjung ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya dan terkejut apabila ditunjukkan salinan MyKad yang tertera nombor yang sama dengan yang dimilikinya tetapi dengan gambar serta alamat yang berlainan.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/157578

Timbalan KSU hadapi tuduhan rasuah

Timbalan KSU hadapi tuduhan rasuah
Mac 3, 11 1:10pm

Timbalan ketua setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Bakaruddin Othman, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas tuduhan rasuah sewaktu menjadi yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

NONEDia dituduh menggunakan jawatannya sebagai yang dipertua MPS untuk meluluskan pembiayaan daripada MPS sebanyak RM26,500 untuk kerja selengaraan rumah miliknya sendiri, di dalam mesyuarat jawatankuasa sebutharga MPS Bilangan 7/2001, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan secara langsung ke atas jabatan tersebut.

Bakaruddin, 57 (tengah), dituduh berbuat demikian untuk selengaraan rumah beralamat di No. 14413, Jalan Laksamana 9, Kampung Laksamana, 68100 Batu Caves, Selangor.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di antara bulan Jun 2001 dan April 2002, di Bangunan MPS, Pesiaran 3, Bandar Baru Selayang, Gombak, demikian menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah. Hakim Asmadi Husin membenarkan ikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Datuk Abdul Razak Muda dari SPRM. Mahkamah menetapikan sebutan kes pada 4 April.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

http://malaysiakini.com/news/157571

CAP dakwa harga makanan lonjak hingga 167 peratus

Mac 3, 11 10:15am

Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa harga pelbagai makanan telah melonjak antara 20 peratus hingga 167 peratus sejak bulan lalu akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.

NONEPresidennya, SM Mohamed Idris berkata peningkatan harga makanan itu telah menyebabkan kesukaran yang amat sangat kepada kehidupan pengguna.

"Satu hidangan sayuran yang dijual pada harga 60 sen enam bulan yang lepas, kini dijual pada harga 80 sen hingga RM1.00 setiap hidangan, peningkatan 25 peratus hingga 66 peratus; udang (saiz sederhana) daripada RM1.50 hingga RM4.00 setiap satu, peningkatan 167 peratus," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut SM Mohamed, pengusaha restoran dan pemilik gerai makanan yang ditemubual oleh pegawai CAP, berkata kenaikan harga makanan dan minuman ringan adalah akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan yang diimport seperti bawang, bawang putih, kacang dal dan rempah; ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayuran, tepung beras, telur, susu pekat manis, biji kopi, serbuk teh daripada antara 20 peratus sehingga 200 peratus serta peningkatan dalam harga gas dan bahan api.

NONEKatanya kajian yang dijalankan sekitar gerai-gerai di Pulau Pinang itu mendapati kenaikan bukan sahaja membabitkan kedai makanan orang Islam tetapi juga menjejaskan makanan orang Cina dan India.

"Harga char koay teow di gerai makanan Cina menunjukkan peningkatan 50 peratus daripada RM3.00 kepada RM4.50 sepinggan.

"Barangan makanan lain seperti moey daging atau bubur meningkat daripada RM3.50 kepada RM4.50; mee udang daripada RM4.50 kepada RM5.50; mee tomyam RM4.00 kepada RM4.50; nasi goreng daripada RM3.50 kepada RM4.00," katanya.

Menurut beliau bagi makan India pula, harga tosai yang dijual RM1.00 setiap satu kini meningkat RM1.20, peningkatan 20 peratus harga roti canai dan nasi lemak masih sama tetapi kandungannya telah dikurangkan.

mamak restaurant 271206 open stoves"Harga kopi dan teh telah meningkat daripada 80 sen kepada RM1.00 hingga RM1.10 segelas; Nescafe, Horlicks dan Milo meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.30 segelas; minuman tin dan jus segar pula meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.00, peningkatan 33 peratus.

"Di sesetengah tempat ais kosong telah meningkat daripada 20 sen kepada 40 sen segelas iaitu peningkatan 100 peratus," katanya.

Presiden CAP itu berkata memandangkan kenaikan kos, bayaran bagi perkhidmatan lain seperti pembaikan paip, elektrik, bengkel kereta, membaiki motosikal juga telah meningkat bayarannya daripada antara 20 peratus kepada 30 peratusdalam tempoh lebih enam bulan lalu.

mamak restaurant 271206 patronsSehubungan itu, SM Mohamed menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara ini dengan serius bagi mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan kos.

"Pengguna (perlu) berhati-hati dalam berbelanja dan untuk meminimumkan makan di luar dan jika mereka tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa makan di luar, maka pilihlah kedai yang mengenakan harga yang berpatutan.

"CAP juga menggesa peniaga supaya memainkan peranan mereka dalam membantu situasi kenaikan harga dengan mengurangkan pengambilan keuntungan bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan," katanya.


http://malaysiakini.com/news/157553

Anwar gesa Umno, Utusan hentikan budaya fitnah

Anwar gesa Umno, Utusan hentikan budaya fitnah
Mac 3, 11 10:01am

Budaya memfitnah dan mengaibkan orang yang disebarkan oleh Umno dan akhbar kawalannya Utusan Malaysia hanya memakan diri dan gagal mempengaruhi rakyat, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

TV Selangor
memetik beliau berkata perbicaraan fitnah ke atas dirinya mendedahkan kepada orang ramai angkara jahat politik Umno untuk memanjangkan jangka hayat parti itu.

NONE"Kalau Utusan itu akhbar Melayu, kemudian orang tak dibenarkan berfikir, siapa yang khianat Melayu? Nak ikut Rais Yatim (bahawa kononya) 'kita mestilah jaga budi pekerti dan budaya bangsa kita, maka orang-orang seperti pembangkang yang rendah akhlaknya tidak boleh disokong'.

"Tiga hari kemudian Wikileaks dedahkan kes rogol... jadi jangan fitnah orang," kata Anwar.


"Sekejap saja, terbalik. Kena pada dia (Rais). Saya kesal, apakah budaya kita memfitnah? Tak terfikirkah bagaimana perasaan saya? Dihina dan diaibkan? Aku kena 12 tahun... hentikanlah fitnah khianat ini," katanya.

Berucap pada ceramah di Merlimau, Anwar berkata perbicaraannya atas tuduhan fitnah liwat sekali lagi membongkar kezaliman pemerintah dan polis.

NONE"Hari ini keluar gambar lokap. apa dia cerita? Lokap Anwar ada televisyen, ya televisyen apa? CCTV. Ada katil, khas. Tadi Ketua Polis IPD Bukit Aman sahkan tak ada. Karpal Singh tanya, bukankah Datuk Seri Anwar kata ada sakit pinggang? Dia jawab ada. Kamu tak bagi tilam, bantal? Tak ada. dia tidur atas lantai simen? ya," katanya.

Anwar berkata beliau menyedari layanan polis dan pejabat Peguam Negara di bawah telunjuk Umno adalah untuk mengaibkan beliau semata-mata demi meluntur semangat dan perjuangan politiknya.

"Telanjang saya dan ukur, sebab nak aibkan, kamu tangkap kamu telanjang ukur, hina. nak lawan lagi? Bukan kamu tentukan. Kalau Allah takdirkan ujian ini, saya terima dengan sabar dan doa.

"Ya Allah janganlah beri beban sehingga aku tak mampu menanggungnya - maksudnya sekarang ini, saya masih mampu tanggung tapi percayalah kekuasaan Tuhan," tegas Anwar.

NONEAnwar mendakwa meskipun media massa seperti Utusan dan TV3 cuba memesongkan keterangan-keterangan pada perbicaraan beliau, hakikatnya ialah bukti-bukti terhadapnya direka cipta dan fitnah semata-mata.

"Sekarang terbongkar satu persatu dalam mahkamah. Spesimen doktor periksa 28hb, periksa-periksa, 5 jantan dalam tu , bila ambil spesimen, 28hb, berapa doktor, 4 doktor. bawa spesimen ke jabatan kimia, berapa haribulan, 28 haribulan.

"Tetapi salah satu spesimen terpenting yang melibatkan DNA saya tarikh, 26 haribulan, Peguam tanya jabatan kimia, berapa haribulan, 26, periksa bila 28. Jadi macamana kamu terima, saya terima. Siapa yang periksa, 26hb, tak tau siapa periksa, Najib ka Rosmah saya tak tau. tapi terima" ujar Anwar.


http://malaysiakini.com/news/157549

Kelantan nafi rampas tanah rakyat

Mac 2, 11 7:47pm

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah daripada rakyat di Hulu Kelantan.

Beliau berkata sebaliknya kerajaan negeri mengambil balik tanah milik kerajaan negeri yang diterokai secara haram atau secara bersindiket.

"Ada juga dakwaan kerajaan merampas tanah Orang Asli di Sendrop dan Blau. Tetapi tanah yang dibangunkan di kawasan itu adalah milik kerajaan," katanya semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Semasa perbahasan, Abdul Aziz Yusoff (BN-Galas) berkata tindakan kerajaan negeri membenarkan penerokaan tanah di kawasan Lojing telah merosakkan alam
sekitar di situ selain membangkitkan kemarahan Orang Asli kerana ada syarikat menceroboh tanah adat yang didakwa milik mereka.

Ahmad berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk merizabkan tanah untuk Orang Asli seluas 200 hektar di Pos Jeli, 2,200 hektar di Kuala Betis dan 200 hektar lagi di Pos Blau.

Bagaimanapun pemberian tanah itu masih tertunda kerana kerajaan Kelantan masih menunggu kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk
membuat ukuran dan sempadan di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa, pula berkata kerajaan negeri bercadang menubuhkan dana khas RM100
juta untuk membangunkan rumah mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata melalui dana itu kerajaan negeri akan menggembleng sumber asli iaitu hutan dan pasir bagi memperoleh sumber kewangan untuk membina rumah kepada rakyat.

"Seperti pengeluaran pasir, kita akan eksportnya dengan menambah baik bahan itu dengan mencampurkannya dengan simen dan ia akan digunakan untuk pembinaan.
Kelantan mengeluarkan 4.4 juta tan pasir setahun," katanya.

Husam juga berkata kadar pengangguran di Kelantan kini adalah 2.2 peratus daripada 1.95 juta rakyatnya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/157538

'Rasa kepala macam mahu tercabut'


BERAT badan Lia pernah turun daripada 43 kg kepada 20 kg akibat leukemia tahap kritikal yang dihidapinya.


DISAHKAN menghidap leukemia tahap kritikal pada usia 14 tahun dianggap takdir yang paling memilukan buat Noorliameera Johar.

Lantaran penyakit kanser darah yang biasa menjangkiti kanak-kanak itu, kehidupan anak kelahiran Labis, Segamat, Johor ini berubah sama sekali.

Dia yang kini berumur 20 tahun masih dapat merasai kesakitan menjalani pelbagai prosedur rawatan apabila mengingati semula fasa sukar dalam hidupnya itu.

“Ia bermula apabila saya sering sakit di bahagian kiri kepala manakala hidung saya sering berdarah terutama jika berada lama di tempat panas.

“Ayah hanya membawa ke klinik biasa, namun apabila saya kerap sakit, doktor menasihatkan ayah membawa saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana ada kemungkinan saya menghidap ketumbuhan otak.

“Tidak mahu berlengah, ayah membawa saya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar di Batu Pahat. Pakar yang memeriksa mengatakan saya menghidap penyakit hati dan perlu dibedah segera.

“Namun, atas nasihat seorang pakar tulang yang pernah merawat saya, Datuk Dr. Zahir Hussein Kamari, saya enggan dibedah sebaliknya pergi ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk diperiksa dengan lebih lanjut di sana.

Jarum besar

“Pada 25 April 2005, saya jalani pemeriksaan darah di HSA. Selepas lima hari, saya diberitahu hasil daripada ujian tersebut menunjukkan saya menghidap leukemia jenis limfoblastik akut (LLA) iaitu leukemia yang dicirikan oleh limfoblas berlebihan.

“Ketika itu, tahap leukemia saya di tahap kritikal dan doktor menjangkakan saya mampu hidup di antara tiga hingga enam bulan sahaja,” katanya.

Lantaran itu, impiannya untuk kembali ke sekolah terpaksa ditangguhkan. Sebaliknya, HSA menjadi rumah kedua bagi mereka tiga beranak.

Setiap hari, selain berehat, bermacam-macam ujian dan pemeriksaan yang perlu dijalani.

Kesakitan yang ditanggung semasa penyedutan tisu sum-sum tulang (BMA), kemoterapi dan radioterapi pernah melenyapkan semangat Lia.

Bersyukur kerana memiliki keluarga yang sangat memahami keadaan dirinya, anak bongsu dari tiga adik-beradik perempuan ini mengaku mereka adalah sumber kekuatannya.

Mana tidaknya, sudahlah seluruh tubuhnya sakit, rawatan yang diberikan juga sangat menyakitkan. Menurut Lia, untuk proses penyedutan tisu tulang sum-sum, jarum yang besar dan panjang digunakan.

“Sakitnya memang tidak tertanggung. Walaupun dibius, saya boleh rasa jarum mencucuk tulang belakang dan menyedut sum-sum tulang.

Muntah hijau

“Kesan daripada itu, hampir dua minggu saya tidak mampu berdiri. Saya hanya mampu berbaring, itu pun secara mengiring di atas katil.

“Prosedur ini saya jalani dua kali sebulan manakala sebulan sekali saya menjalani rawatan kemoterapi di HSA,” katanya.

Waktu itu, katanya, badannya sentiasa rasa panas dan kepalanya sangat sakit.

“Sakitnya sampai saya rasa kepala saya mahu tercabut. Setiap kali jalani rawatan, saya akan menangis sampai tak keluar suara.

“Di samping menjalani rawatan kemoterapi, saya juga menjalani rawatan radioterapi di Hospital Pantai di Jasin, Melaka, memandangkan HSA belum memiliki mesin tersebut,” kata penuntut semester empat dalam bidang Pengurusan Pejabat di Kolej Unikop, Kuala Lumpur ini.

Beberapa kali menjalani rutin rawatan yang sama, tubuh Lia mula menerima kesan sampingan. Badannya terasa panas, cepat letih dan lembik.

Dia juga hilang selera makan sehingga berat badannya turun mendadak daripada 43 kilogram (kg) kepada 20 kg saja. Ada masanya tekak saya membengkak hingga menyebabkan leher membesar melebihi dagu.

“Walaupun tidak mampu menjamah makanan, saya kerap muntahkan cairan hijau yang rasanya sangat pahit.

“Bayangkan kalau saya terpaksa menjalani prosedur yang sama untuk tempoh dua tahun,” katanya yang kini masih mendapatkan rawatan susulan enam bulan sekali di HSA.

Pernah putus asa dan lebih rela mati daripada terus hidup, semangat dan sokongan daripada keluarganya mengembalikan kekuatan untuk dia terus hidup.

“Mereka juga percaya saya mampu melalui semua rawatan ini.

“Lama-kelamaan, timbul kesedaran dalam diri saya. Mengapa saya perlu menyerah kalah sedangkan ayah dan ibu telah berkorban segala-galanya demi memastikan saya mendapat rawatan terbaik.

“Sejak itu, saya kuatkan semangat untuk melawan penyakit ini dan sangat berharap untuk kembali sihat seperti manusia lain,” ujarnya yang menolak untuk menjalani rawatan pemindahan sum-sum tulang kerana tidak mahu kakaknya mendapat risiko sakit seperti dirinya.

Bercerita mengenai penyakit leukemia yang Lia hadapi sama seperti menceritakan putaran roda kehidupan keluarganya.

Bukan sahaja leukemia, Lia juga tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU) selepas tiga jarinya terpaksa dipotong akibat tersepit dalam mesin tebu.

“Semasa berumur lapan tahun, saya menolong ayah yang berniaga air tebu. Secara tidak sengaja, saya tergelincir dan berpaut pada mesin tebu tersebut.

Mesin tebu

“Tanpa saya sedari, jari telunjuk, hantu dan manis tersepit dan turut dimesin. Akibatnya, tulang ketiga-tiga jari itu hancur dan perlu dipotong untuk mengelak daripada terus membusuk.

“Selepas saya mendapat leukemia, ayah berhenti berniaga dan sama-sama menjaga saya di hospital bersama ibu.

“Pengorbanan ayah bukan setakat itu. Memandangkan kos rawatan leukemia yang sangat tinggi, ayah sanggup jual tanah dan kebun.

“Sekarang ayah menyara kami sekeluarga dengan mengambil upah sebagai buruh kasar manakala ibu pula tidak bekerja,” katanya yang pernah mengemukakan permohonan untuk meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak pernah dilayan.

Melihat kesusahan yang terpaksa dilalui keluarganya, Lia tekad untuk terus sihat dan maju dalam pelajarannya.

“Saya tidak mahu jadikan kekurangan ini sebagai halangan untuk saya berjaya dan membalas pengorbanan ayah dan ibu,” azamnya yang ingin menjadi seorang kaunselor satu hari nanti.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0227&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Gempa bumi jejaskan ekonomi




KESUBURAN tanah yang dianugerahkan kepada New Zealand telah menyaksikan negara tersebut berjaya menempatkan diri sebagai salah satu pengeluar pertanian disegani dunia.

Negara beriklim sederhana itu boleh dianggap masih hijau dan berada berjauhan daripada pasaran dunia dari segi geografi.

Bagaimanapun, pendekatan unik dan kreatif ditekankan New Zealand telah membuatkan industri pertanian menyumbang hampir suku pertumbuhan Dalam Negeri Kasar (GDP) negara berkenaan.

New Zealand telah menggunakan kepakaran dalam perladangan berkualiti untuk menjadi pengeksport produk tenusu, daging lembu, kambing dan bulu biri-biri bagi menempatkan diri sebagai pemain ekonomi pertanian dunia.

Dalam pada itu, negara berkenaan juga merupakan salah satu daripada lima pengimport tenusu dunia yang membekalkan 90 peratus produk tenusu di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, gempa bumi yang melanda Christchurch baru-baru ini dijangka melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di New Zealand sehingga memaksa negara tersebut menurunkan kadar faedah dan kemungkinan berdepan kemelesetan ekonomi.

Menteri Kewangan, Bill English berkata, bencana yang dipercayai telah meragut lebih daripada 240 nyawa akan meninggalkan kesan mendalam terhadap ekonomi negara itu malah menyediakan sedikit pertumbuhan dalam tahun ini.

“Sehingga bulan Jun ini mungkin akan menyaksikan tiada pertumbuhan ekonomi langsung,” katanya kepada Radio New Zealand.




“Ia merupakan satu senario berbeza daripada apa yang kami jangka enam bulan lalu tetapi kami akan terus memulihkan ekonomi negara ini,” ujarnya.

Pakar ekonomi pula menganggarkan bandar kedua terbesar di New Zealand, Christchurch itu mencatatkan kira-kira 15 peratus daripada ekonomi negara berkenaan.

Mereka juga menganggarkan kerosakan disebabkan bencana terburuk negara itu sejak 80 tahun lalu boleh mencecah sehingga AS$12 bilion (RM36 bilion).

English berkata, bencana tersebut akan menjejaskan pertumbuhan dan enggan mengetepikan kemungkinan berlaku kemelesetan ekoran gempa bumi 6.3 pada skala Richter yang melanda Selasa lalu.

“Saya tidak mempunyai jawapan kepada perkara tersebut.

“Kita akan berdepan pertumbuhan yang rendah sama ada terdapat kemelesetan ataupun tidak, sama ada ia dipanggil kemelesetan hanya akan ditentukan oleh ahli statistik,” katanya.

Kebergantungan ekonomi perladangan New Zealand telah menguncup sebanyak 0.2 peratus pada suku Ogos-September tahun lalu apabila Christchurch digegarkan gempa bumi 7.0 pada skala Richter.

Bagaimanapun, gempa bumi yang berlaku pada 4 September tahun lalu tidak mengorbankan sebarang nyawa tetapi hanya melemahkan struktur bangunan bandar itu.

Kata English, pertumbuhan bulan Oktober-Disember yang akan dikeluarkan pada akhir bulan ini juga bakal menyaksikan ekonomi agak mendatar.

Kesan kemelesetan

“Apa yang saya dapat maklum balas, orang ramai tidak terburu-buru dalam perbelanjaan mereka, peruncitan dan perumahan juga agak mendatar. Apabila ia mendatar anda tidak akan memperoleh peningkatan pertumbuhan ekonomi.




“Kini kita berdepan bencana gempa bumi pula yang akan menjejaskan pertumbuhan,” katanya.

Sekiranya data Oktober-Disember menunjukkan pengecutan, secara teknikal New Zealand akan berada dalam kemelesetan dengan dua suku berturut-turut mengalami pertumbuhan negatif.

Dengan separuh pertama tahun ini mengalami kepincangan disebabkan gempa bumi, English berkata, Bank Simpanan mungkin merendahkan nilai faedah untuk merangsang kegiatan ekonomi.

Ketua Bank Simpanan, Alan Bollard telah mengekalkan kadar pada tiga peratus sejak Julai apabila New Zealand bergelut daripada kesan kemelesetan pada awal tahun 2008 hingga pertengahan 2009.

Bagaimanapun, pakar ekonomi menjangkakan pengurus bank pusat akan mengurangkan kadar sehingga 0.5 peratus apabila bank bertemu pada 10 Mac nanti.

Membuka perniagaan

“Pasaran mengatakan apa yang difikirkan akan berlaku. Gabenor Bank Simpanan apabila membuat keputusan dia akan mengambil kira bukan sahaja mengenai gempa bumi tetapi fakta pertumbuhan ekonomi yang sedikit mendatar berbanding jangkaan mereka tiga atau empat bulan lalu.

“Ini akan menentukan keputusan tetapi kita akan melihat pada minggu hadapan,” katanya.

Sementara itu, bencana yang melanda bandar kedua terbesar New Zealand, Christchurch telah menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk.

Pemilik bersama Beach Cafe, Andy Vanlier yang menjalankan operasi di pantai Waimairi berdekatan perairan pantai Christchurch menganggarkan dia sudah kerugian simpanan stok dan perniagaan bernilai AS$18,750 (RM56,943).

Dia bercadang untuk membuka semula perniagaan selepas pembersihan dilakukan tetapi bimbang kesan jangka panjang gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

“Banyak orang telah meninggalkan Christchurch. Kita berharap orang ramai akan kembali seperti sebelum ini menikmati kopi dan bercerita mengenai pengalaman mereka,” katanya.

Bagi Les Overend pula, dia berasa agak gementar untuk kembali menjalankan perniagaan trak aiskrim Mr. Whippy di jalanan terlalu awal.




Bagaimanapun, dia mendapati penduduk amat menghargai segala imbauan kehidupan sebelum bencana gempa bumi melanda.

“Orang ramai sangat bersyukur apabila melihat kami,” katanya mengenai trak yang mengeluarkan bunyian untuk menarik perhatian pelanggan-pelanggan.

“Mereka melihat kami sebagai salah satu kehidupan normal di sini,” ujarnya lagi.

Tatkala bandar Christchurch berdepan pelbagai dugaan, dokumen bersejarah yang tersimpan rapi di dalam arca kurun ke-19 terbongkar apabila ia rebah menyembah bumi.

Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, manuskrip kulit tulisan tangan di dalam sebuah botol dan silinder tembaga tertutup rapi dipercayai mengandungi dokumen-dokumen telah dijumpai di dalam arca pengasas bandar itu.

Arca tersebut terletak di dataran utama berdekatan gereja besar bersejarah bandar itu. Ia telah terjatuh pada 22 Februari lalu ketika gempa bumi yang meragut kira-kira 155 nyawa.

Pada waktu ini, pakar muzium sedang melakukan kajian terhadap barangan tersebut dan mengandungi pesanan daripada pengasas bandar Christchurch menyuarakan wawasan mereka.

Parker berkata, ia kelihatan seperti suratan takdir apabila menjelma dalam memberi sumber inspirasi kepada kami di saat-saat berdepan masa paling sukar.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Jet Gaddafi bom bandar Libya


SEBUAH kereta kebal dikendalikan oleh para penentang Muammar Gaddafi di Brega, timur Libya kelmarin.


BREGA - Jet-jet pemerintah Libya mengebom bandar ini semalam yang dikuasai oleh para penunjuk perasaan antipemimpin Muammar Libya.

Serangan itu dibuat selepas Gaddafi memberi amaran bahawa beliau akan memerangi gerakan para penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya.

Tunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya itu dibuat sejak 15 Februari lalu.

Kebangkitan rakyat Libya itu dibuat selepas kejayaan para penunjuk perasaan di Kaherah yang mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden pada 11 Februari lalu.

Jet-jet itu menggugurkan dua butir bom di bandar ini dekat dengan sebuah loji penapisan minyak.

Para penentang Gaddafi di bandar ini menggunakan mesingan untuk mengusir askar-askar upahan pemimpin tersebut.

Di bandar Benghazi, seorang jurucakap di pusat para penunjuk perasaan menyatakan bahawa kira-kira 100 orang sudah ditahan.

Menurutnya, Gaddafi didapati cuba untuk mengukuhkan kedudukannya semalam.

Para saksi menyatakan mereka melihat sejumlah tentera dan askar upahan pemimpin itu bergerak ke arah Raslanuf.

"Kami sedang melihat sama ada mereka (askar-askar Gaddafi) akan melakukan serangan atau mengukuhkan kedudukan sebelum kawasan Sirte," kata jurucakap di pusat para penunjuk perasaan di Benghazi.

Kumpulan-kumpulan penentang menguasai kawasan timur dan barat Libya termasuk di Benghazi dan beberapa kemudahan minyak negara itu.

Gaddafi masih dapat bertahan di ibu kota Libya, Tripoli.

Pihak pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan di The Hague, Belanda bahawa Gaddafi dan pembantu-pembantunya akan disiasat berhubung dakwaan melakukan jenayah menentang kemanusiaan semasa mengekang kebangkitan rakyatnya.

Menurut pendakwa raya di mahkamah jenayah itu, Luis Moreno-Ocampo kepada pemberita di The Hague, beberapa individu telah dikenal pasti seperti Gaddafi dan orang-orang di sekelilingnya termasuk anak-anak lelakinya.

Gaddafi memberi amaran dalam ucapannya kelmarin bahawa pertempuran dengan rakyat itu akan melibatkan tempoh masa yang panjang jika terdapat campur tangan asing.

"Jika Amerika atau Barat mahu memasuki Libya, kedua-dua pihak itu perlu mengetahui ia akan menjadi neraka dan bermandikan darah, lebih teruk dari Iraq," kata Gaddafi.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberi amaran bahawa sebarang campur tangan Barat akan menjadi kontroversi di dunia Arab.

Menurutnya, para penentang Libya mahu mengusir Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun menerusi pendekatan mereka sendiri.

Gaddafi memperoleh kuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan pada 1 September 1969.

Sementara itu, pemerintah China menyatakan bahawa integriti Libya perlu dihormati manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memikirkan langkah yang perlu diambil untuk masa depan Libya.

Libya menyumbang 2.3 peratus minyak mentah dunia. Namun, pergolakan di negara itu menyebabkan harga minyak naik melebihi AS$100 (RM303) satu tong sejak beberapa hari lalu.

Beberapa buah kapal tentera AS sudah dihantar untuk mendekati perairan Libya yang mencetuskan kebimbangan sama ada negara itu akan diserang. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0304&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Dr Azman: Anak bapak di negara-negara Arab


Dr Azman Ibrahim

Ada pepatah Arab yang menyebut ‘Anak lelaki adalah mereka yang berkata, inilah saya, bukan ayah saya atau datuk saya.’ Maksudnya, anak lelaki yang sebenar adalah mereka yang tampil dengan kebolehan sendiri, samada dia seorang yang berani, bijak, kaya, berpengaruh, disegani, berpangkat semuanya kerana dirinya. Bukanlah seorang anak lelaki kalau setakat dia berbangga dengan sejarah silam keluarganya samada ayahnya atau datuknya atau sesiapa sahaja. Kalau diri sendiri tak memiliki apa-apa tapi sekadar bersandar dan bergantung dengan pengaruh keluarga.

Banyak kali saya mendengar pepatah ini diucapkan oleh sahabat-sahabat sekuliah dulu dan saya amat tertarik dengan maksudnya agar kita tampil sebagai seorang individu yang hebat dan berdikari.

Krisis politik yang berlaku di beberapa Negara Arab membuka mata kita bagaimana hebatnya pengaruh seorang anak lelaki di belakang seorang bapa yang telah berpuluh tahun bertakhta di puncak kuasa sekalipun dibenci oleh rakyat sendiri.

Gamal Mubarak


Gamal Mubarak atau nama sebenarnya Gamal Al Din Mohammed Hosni Sayed Mubarak seketika pernah menjadi sebutan kerana kekayaan dan pengaruhnya di belakang bapanya bekas Presiden, Hosni Mubarak sehingga beliaulah dikatakan individu yang dipersiapkan oleh ayahnya untuk mengambil alih kepimpinan Negara.

Usaha untuk mempersiapkan Gamal sebagai Presiden dalam pembikinan dimulakan secara serius sekitar tahun 2000. Dengan ketiadaan jawatan Naib Presiden dalam struktur pemerintahan Mesir memudahkan tumpuan media beralih kepada Gamal disamping bapanya Hosni.

Walaupun berkali-kali pernah menafikan bahawa beliau bercita-cita ke puncak kuasa, tetapi dengan posisinya sebagai Timbalan Setiausaha Agong parti pemerintah NDP di samping mengetuai Komiti yang menentukan polisi parti, satu komiti terpenting dalam NDP, penafian ini sukar dipercayai oleh kebanyakkan rakyat Mesir.

Penganalisis politik meletakkan tanggungjawab bahawa kekacauan politik dan ekonomi Mesir ketika hari-hari terakhir kekuasaan Hosni adalah direncanakan dan diatur oleh Gamal dan kawan-kawan rapatnya yang berkepentingan dengan mengambil alih kedudukan penasihat politik kepada ayahnya, mengasingkan ayahnya daripada orang ramai dan beliaulah yang menulis ucapan perletakkan jawatan ayahnya mengenepikan ucapan yang telah didrafkan oleh Timbalan Presiden.

Pada 28 Februari 2011, Akhbar Egyptian Daily, Al Ahram melaporkan satu senarai panjang akaun bank yang didakwa dimiliki oleh Gamal. Al Ahram melaporkan Ketua Pendakwaraya Mesir menerima laporan mengenai sejumlah wang luar biasa yang telah didepositkan ke dalam akaun-akaun tersebut yang diyakini milik anak lelaki bekas Presiden ini.

Semua akaun milik keluarga Mubarak ini telah menerima arahan pembekuan dari Pejabat Pendakwaraya Mesir termasuklah milik Gamal dan Mahkamah Rayuan Mesir memutuskan tarikh pada 5 Mac 2011 untuk semakan semula perintah pembekuan ini tetapi dijangkakan arahan pembekuan ini akan dikekalkan.

Uday Husein


Sebelum ini ketika menuntut di Iraq saya selalu diceritakan berkenaan anak lelaki sulong Presiden Saddam Hussein dan isteri pertamanya Sajida Tulfah, Uday Saddam Hussein al-Tikriti.

Dilahirkan 18 Jun 1964 ketika bapanya sedang dipenjarakan. Asalnya beliau dilihat sebagai bakal penganti bapanya, tetapi perlakuan buruk, salah laku seks, perlakuan jenayah serta hubungan renggangnya dengan adik beradik yang lain meminggirkannya dari peranan penting Negara.

Uday menamatkan pengajian peringkat menengah dengan markah tertinggi luar biasa yang tak pernah dicapai oleh sesiapa, 100 % dari kesemua 6 subjek! Realitinya, guru yang mengajar diarahkan mengurniakan markah istimewa kerana beliau anak Presiden dengan markah penuh bagi semua subjek sekalipun Uday menghantar kertas jawapan kosong dalam peperiksaan!

Memasuki Kuliah Perubatan, Universiti Baghdad tetapi Uday hanya belajar di kuliah tersebut selama 3 hari sebelum bertukar ke Kuliah Kejuruteraan, Universiti Baghdad. Saya sangat pasti ramai di kalangan pensyarah yang menarik nafas lega dengan pemergian Uday.

Semasa di kuliah Pergigian, Universiti Baghdad dahulu, antara teman sekelas saya adalah anak lelaki Tariq Aziz, bekas Perdana Menteri Iraq dan bekas Menteri Luar Iraq. Saya dapat rasakan bagaimana ketatnya kawalan keselamatan untuk seorang anak Perdana Menteri, apatah lagi untuk Uday, anak seorang Presiden.

Di Kuliah Kejuruteraan, sebagaimana dijangka, sekali lagi beliau berjaya menamatkan pengajian dan muncul sebagai pelajar terbaik dari seramai 76 pelajar di kelasnya! Tentu sekali kedudukannya sebagai anak lelaki Presiden mewajibkan pensyarah mengurniakan markah penuh kepadanya sekalipun beliau lebih banyak ponteng dari hadir ke kuliah!

Tahun 1988, ketika penganjuran satu parti yang dihoskan oleh Suzanne Mubarak, isteri bekas Presiden Hosni Mubarak, Uday terlibat dalam jenayah besar pertamanya, membunuh pembantu peribadi bapanya merangkap tukang rasa makanan (food tester) Kamel Hana Gogeo.

Ada dakwaan yang mengatakan, ia adalah arahan ibunya Sajida Tulfah kerana Gogeo bertanggungjawab memperkenalkan seorang wanita bernama Samira Shahbanbar kepada bapanya yang akhirnya menjadi isteri kedua Saddam. Bagi Uday, hadirnya Samira dalam keluarganya telah merampas hak ibunya.

Ekoran pembunuhan ini, Uday telah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun. Tetapi atas permintaan peribadi Raja Hussein Jordan, Uday telah diampunkan oleh Saddam hanya setelah 3 bulan sahaja menjalani hukuman penjara. Kemudian Uday dihantar ke Switzerland sebagai pembantu duta Iraq di Swiss.

Ekoran satu perlakuan jenayah yang dilakukan apabila Uday menikam seorang rakyat Swiss di sebuah restoren, beliau telah dihalau keluar oleh kerajaan Swiss.

Berkahwin dengan anak perempuan Izzat Ibrahim Ad Douri, Naib Presiden Iraq yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Revolusi Iraq. Isteri beliau kemudiannya diceraikan.

Memiliki dan menguasai akhbar harian Iraq, Babel dan saluran stesyen TV tempatan, As Shabab TV serta memegang tugas sebagai Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, Uday kelihatan begitu berkuasa tanpa dapat dibantah oleh sesiapa.

Selaku Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, sebuah Negara dengan rakyat yang sangat fanatik terhadap sukan bolasepak, Uday meletakkan sasaran wajib menang apabila pasukan bolanya atau atlit Iraq beraksi.

Kekalahan bermakna mereka akan dihukum dan didera, kepala akan dibotakkan. Atlit-atlit yang gagal untuk menang akan dirotan di tapak kaki, lokasi yang mendatangkan kesakitan yang ekstrem tetapi tidak meninggalkan bekas.

Uday akan memberikan arahan bertulis tentang berapa kali bilangan rotan yang sepatutnya diterima oleh seorang atlit berdasarkan tahap kegagalan mereka. Atlit-atlit yang gagal akan dipanggil dengan panggilan monyet dan anjing, suatu penghinaan yang amat memalukan bagi orang-orang Arab.

Kegagalan memasuki pusingan akhir Piala Dunia 1994 menyebabkan sebahagian pemain dipenjarakan dan dipaksa menyepak bola yang dibuat daripada konkrit! Kekalahan 4-1 di tangan Jepun ketika pusingan akhir Piala Asia 2000 di Labenon ternyata menjadi petaka buat penjaga gol, Hashim Hassan, pemain pertahanan, Abdel Jabbar dan penyerang, Qahtan Chatir apabila mereka dipersalahkan dan diseksa selama 3 hari oleh pengawal-pengawal Uday.

Selalu juga diceritakan bagaimana gadis-gadis Iraq ramai yang dilarikan untuk menjadi mangsa kebuasan nafsu Uday, tanpa pernah diadili. Ada yang akhirnya membunuh diri atau dibunuh keluarga sendiri untuk menutup aib.

Dalam satu tragedi sadis, seorang wanita muda yang sedang berjalan bersama suaminya diganggu Uday dan diajak untuk melakukan hubungan seks di mana Uday menghina suami wanita tersebut sebagai anjing yang tidak memiliki apa-apa, sedangkan dirinya seorang lelaki hebat, beruniform tentera, memiliki harta dan kekuasaan.

Apabila wanita tersebut enggan, Uday mengarahkan pengawalnya menangkap wanita tersebut, suaminya yang cuba mempertahankan isterinya dibelasah teruk oleh pengawal-pengawal peribadi Uday.

Wanita tersebut dirogol dan dibunuh, suaminya juga dijatuhkan hukuman bunuh atas tuduhan cuba mencederakan anak lelaki Presiden dan menentang kepimpinan Saddam.

Antara kegemaran pelik Uday adalah memelihara binatang buas seperti singa, cheetah dan harimau di rumahnya. Singa selalunya menjadi lambang kegagahan dan keberanian sehingga ada yang menamakan anak lelaki mereka dengan nama ‘Haidar’ bermakna anak singa.

Uday Saddam pernah membelasah sehingga tidak sedarkan diri seorang pegawai tenteranya yang enggan membenarkan beliau menari bersama isterinya. Pegawai tentera tersebut akhirnya meninggal dunia di hospital. Ada anggota tentera yang tidak memberikan tabik hormat kepadanya juga ada yang ditembak mati.

Satu tragedi hitam telah berlaku sekitar Disember tahun 1996 di Wilayah Mansour, Baghdad ketika beliau sedang memandu Porsche di mana satu serangan hendap bertujuan membunuh Uday berlaku.

8 butir peluru yang singgah di tubuhnya menyebabkan kecederaan parah kepada anak lelaki sulong Saddam ini sehingga memaksa satu pasukan pakar bedah diterbangkan dari Francis ke Hospital Ibnu Sina, Baghdad untuk berusaha menyelamatkan nyawa beliau. Jangkaan awal beliau akan lumpuh.

Beberapa pembedahan berulang kali dilakukan untuk mengeluarkan peluru tetapi satu peluru masih melekat di tulang belakangnya yang terlalu hampir dengan saraf tunjang dan tidak dapat dikeluarkan. Beliau pulih walaupun terpaksa bertongkat.

Terselamat dalam serangan pertama dan setelah melalui pelbagai episod hitam dalam hidupnya, tanggal 22 Julai 2003 adalah hari terakhir Uday melihat matahari apabila beliau terbunuh dalam serangan hendap anggota marin US di sebuah rumah yang terletak di daerah Mousul, bahagian utara Iraq.

Saif al-Islam Muammar al-Gaddafi

Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam Muammar al-Gaddafi yang tegar memberikan amaran bahawa bumi Libya akan digenangi dengan darah para penentang ayahnya sekiranya mereka terus berdegil untuk meneruskan demonstrasi menentang kepimpinan ayahnya yang telah 42 tahun
berkuasa.

Seorang jurutera berkelulusan Al Fateh University, Tripoli. Ijazah PhD beliau dari London School of Economic (LSE) pada 2008 menjadi pertikaian ekoran ada dakwaan ‘plagiarism’ pada thesis PhD beliau.

Plagiarism didefinisikan sebagai ‘The practice of taking someone else's work or ideas and passing them off as one's own’ (mengambil hasil kerja atau idea orang lain kemudian mendakwanya sebagai milik sendiri). Ekoran dakwaan ini, LSE berhadapan dengan tekanan untuk menarik balik penganugerahan ijazah tersebut.

Beliau merupakan anak lelaki kedua Gaddafi. Ibunya isteri kedua Gaddafi, Safia Farkash. Saif pernah menjalinkan hubungan romantik pada 2006 dengan artis Israel, Orly Weinermen.

Gaya hidup mewahnya ketara apabila pernah menganjurkan parti sambutan hari lahir ke 37 pada 2009 di Montenegro dengan tetamu kenamaan seperti Prince Albert of Monaco, Peter Munk dan Oleg Deripaska. Parti yang sama pernah dianjurkan di St Tropez dan Monaco.

Saif adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Libya bagi Pengawalan Dadah dan Narkotik serta mengasaskan Yayasan Kebajikan Antarabangsa Gaddafi yang pernah terlibat dalam misi pembebasan tebusan dan perbicaraan kes jururawat asing yang dituduh terlibat dalam penyebaran HIV di Libya.

Kerap kali mewakili bapanya dalam beberapa misi diplomatic dan hubungan awam sehingga kelihatan beliaulah yang dipersiapkan sebagai peneraju Negara seterusnya walaupun beberapa kali menafikannya.

Dalam interview dengan agensi berita ABC News, dengan kerasnya beliau menafikan bahawa bapanya membunuh orang awam sambil memberikan amaran bahawa protes yang membawa kepada perang saudara ini akan mengakibatkan tiada lagi perdagangan, tiada minyak dan negara
akan diambil alih oleh orang asing.

Beliau juga mendakwa bahawa Libya sebenarnya masih ‘aman’ dan seluruh rakyat sayang dan cintakan bapanya Gaddafi sambil menyalahkan Al Jazeera, BBC News dan Al Arabiya atas laporan putar belit dan tidak mengambarkan situasi sebenar di Libya.
-------------------------------------------

Dr Azman adalah Ketua Penerangan PAS Setiu, Terengganu. Dalam pilihan raya umum lalu, beliau bertanding di Dun Jabi, Terengganu. Dr Azman adalah doktor pergigian yang mendapat ijazahnya dari sebuah universiti di Baghdad.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31180:dr-azman-anak-bapak-di-negara-negara-arab&catid=94:global2&Itemid=135

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...