Friday, August 12, 2011

Kisah Benar Melayu/ Islam Berlindung Di Gereja

Melayu Berlindung Di Gereja Bukan Kisah Dongeng!

Kisah Benar Melayu/ Islam Berlindung Di Gereja


EKSKLUSIF

Baru-baru ini Harapan Komuniti – NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam – tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.

Pengarah eksekutif NGO itu – yang membantu golongan miskin dan ‘melarat’ dan penghidap HIV dan AIDS – Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti” sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.

Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.

Sementara peguam mereka pula, Annou Xavier berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi “harapan” kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.

Bagaimanapun, katanya, pada “malam yang malang itu”, JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.

Sejujurnya saya tidak mahu prejudis atau berprasangka kepada mana-mana pihak, apatah lagi sekiranya mereka mendakwa mereka melakukan kerja amal dan sebagainya.

Cuma saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun lepas di sebuah gereja yang terletak di atas bukit di Batu Arang, Rawang, Selangor.

Ada pihak yang mendakwa ia bukanlah gereja daripada erti kata yang sebenarnya, tetapi sudah bertukar menjadi Rumah Perlindungan HIV yang dikendalikan sekumpulan mubaligh Kristian.

Gereja ini juga dikenali sebagai White House (walaupun bentuknya jauh berbeza dari kediaman Presiden Amerika yang terletak di Washinton itu)

Ia ada salib yang besar, setiap pintu bilik digantung gambar Jesus Christ, ada kata-kata yang dipetik dari buku Bible dan terdapat sebuah dewan syarahan besar yang penuh dengan lambang agama berkenaan.

Mereka mendakwa mereka membantu para pesakit HIV/AIDS yang terbiar di jalanan, tanpa ada niat yang ‘terselindung’

Ya, saya kagum dengan usaha itu.

Cuma yang agak ‘menggerunkan’, hampir sebahagian daripada mereka yang berlindung di dalam premis itu adalah orang Melayu, orang Islam!

Selama ini saya hanya mendengar ramai anak Melayu yang berlindung di dalam gereja, majoritinya mereka yang daif dan berpenyakit.

Katanya ini kerana masyarakat Melayu atau Islam sendiri memandang keji terhadap golongan ini hingga mereka tidak tahu ke mana hendak mengadu.

Akhirnya mubaligh Kristian membawa mereka ke rumah perlindungan atau gereja seperti di White House ini.

Walaupun pihak gereja ada menyediakan bilik kecil yang mereka dakwa surau untuk membolehkan penghuni Islam beribadat, namun realitinya kehidupan penghuni Islam di situ tidak ada banyak bezanya dengan penghuni bukan Islam.

Mereka tinggal di dalam bangunan yang dipenuhi mubaligh Kristian, mereka berkumpul di dewan ‘syarahan’ Kristian, dan bilik tidur mereka juga dihiasi dengan gambar Jesus seperti mana yang saya katakan tadi.

Saya rasa penganut agama Kristian juga akan merasa tidak selesa sekiranya perkara itu terjadi kepada penganut mereka….apa perasaan mereka agaknya jika saudara seagama mereka tinggal di bangunan yang dipenuhi Ustaz, berkumpul di dewan solat dan tidur di bilik yang dipenuhi ayat suci Al-Quran yang bergantungan.

Alhamdulilah, dengan inisiatif seorang guru agama terkenal, Ustaz Muhammad Amin, pada 13 Julai 2009, saya dan rakan-rakan serta sekumpulan NGO yang diketuai oleh Muhammad sendiri bertolak ke gereja berkenaan dengan berbekalkan satu misi- mengeluarkan semua pesakit Melayu dan Islam dari gereja itu.

Setibanya kami di sana, kami disambut oleh Razak, antara penghuni Melayu yang telah lama tinggal di situ

Masuk saja ke dalam gereja tersebut, bau kuat ubat terus menusuk hidung, ia seolah-olah sebuah ‘mini hospital’

Di belakangnya telah menunggu tidak kurang daripada 20 orang anak-anak Melayu, kesemuanya pembawa virus HIV

Melihat saja kelibat mereka, saya hampir menitiskan airmata, kesemua mereka yang berkain pelikat menyambut kami dengan wajah yang sedih dan sayu

Ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda, ada yang sedang demam dan ada yang baru keluar dari wad

Hampir sejam kami mendengar keluhan hati mereka, mendengar kisah bagaimana mereka dihina, disisih, didiskriminasi dan berbagai lagi oleh masyarakat sekeliling

Pun begitu, mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya gereja tersebut sudi ‘mengutip’ mereka daripada terus menjadi sampah dalam masyarakat

Selepas itu, kami berkesempatan bertemu dengan salah seorang paderi di situ, beliau ternyata cukup profesional dan melayan kami dengan tanpa rasa curiga

Untuk pengetahuan anda, saya sebagai orang Islam sebenarnya sangat malu ketika berada di gereja berkenaan

Bayangkan, walaupun saudara-saudara kita itu bukan dari agama mereka, tetapi saudara-saudara kita itu dilayan bak menatang minyak yang penuh

Saudara-saudara kita itu dimandikan, diberi ubat, diberi makan sehingga ke peringkat dipakaikan lampin oleh petugas di gereja tersebut

Saya tertanya pada diri sendiri, kenapakah kita tidak boleh jadi seperti mereka sedangkan agama kita juga adalah yang terbaik, kita ada al-Quran sebagai panduan, semuanya cukup lengkap tetapi sayang ia tidak diterjemahkan dengan baik oleh para pengikutnya

Selepas kira-kira sejam di gereja tersebut, kami berjaya membawa keluar seorang demi seorang anak Melayu daripada gereja berkenaan, Alhamdulillah, paderi tersebut melepaskannya dengan rela hati.

Saya berharap dalam membantu golongan yang memerlukan, sama ada kerana penyakit, kedaifan dan kemiskinan, kita sebagai umat Islam kena betul-betul membantu dalam erti kata yang sebenarnya.

Agensi-agensi yang diberi amanah harus melaksanakan amanah mereka dengan bersungguh-sungguh.

Adalah mudah untuk mencari kesalahan tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah, tindakan yang pro-aktif perlu disemai dalam setiap sanubari agar golongan sebegini dapat dibantu dalam menjalani kehidupan yang singkat ini

Yang paling penting, sekiranya kita tidak mahu iman dan akidah saudara kita dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kita sendiri terlebih dahulu kena memnghulurkan tangan dan menarik mereka keluar dari segala kesulitan ini.

Saya masih ingat kata-kata Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin

Katanya memang ada kebenaran mengenai dakwaan pendekatan dakwah Islam lemah dari segi psikologi berbanding gerakan mubaligh Kristian.

Kata Dr. Abd. Aziz, Ini kerana ramai pendakwah kita melihat kerja dakwah ialah menyebar agama kepada golongan sasar tanpa melihat keperluan dan keadaan diri mereka.

Ini menyebabkan kalau keadaan itu sesuai dengan seseorang, ia akan diterima. Jika tidak, usaha itu akan gagal.

Menurut beliau, pihak kristian misalnya melihat kepada aspek keperluan.

Contohnya, gerakan kepada masyarakat orang Asli.

Mereka akan duduk bersama golongan sasar bertahun-tahun lamanya bagi mengkaji cara hidup golongan ini.

Mereka juga mempunyai satu pasukan lain untuk berdakwah kepada kumpulan sasar berdasarkan maklumat-maklumat kajian tadi.

Pendekatan begini jarang dicontohi oleh pendakwah Islam.

Selain itu, menurut Dr. Ab. Aziz, gerakan kristian mempunyai strategi suka mengambil peluang.

Ia menyebabkan kumpulan sasar akhirnya termakan akibat ‘paksaan secara halus’.

Mereka memberi perhatian kepada kebajikan dan menghulur bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.

Akhirnya, kumpulan sasar terpaksa terima. Jika tidak, masalah tidak selesai.

Kesimpulannya jika kita tidak bertindak cepat dalam menangani permasalahan ini, jangan terkejut jika lebih ramai umat Islam di muka bumi ini akan menghuni pusat perlindungan seperti di White House…atau gereja…atau apa saja nama dan gelaran yang kita beri padanya!

Inilah cerita saya. Bukan kisah dongeng. Bukan dusta semata. Wallahualam- Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)


http://mynewshub.my/bm/2011/08/11/melayu-berlindung-di-gereja-bukan-kisah-dongeng/

A Kadir Jasin: Menteri Palanivel dan macam-macam cerita

A Kadir Jasin


KALAU menambahkan bilangan, menaikkan KPI, maka KPI Perdana Menteri naik se takuk lagi. Beliau baru sajamenambah bilangan anggota kabinetnya kepada 30 dengan melantik seorang ahli politik kecundang.

Sebenarnya saya pun tak tahu kedudukan KPI menteri, pegawai dan jabatan. Yang saya baca, Idris Jala kata, kadar jenayah menurun dan matlamat NKRA sedang dicapai.

Tapi yang saya baca setiap hari orang kena bunuh, mayat reput ditemui, orang kena ragut sampai mati dan macam-macam lagi jenayah ngeri. Yang saya tengok, tak ada kawasan perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang tak dikepung dan dikawal siang malam.

Perdana Menteri melantik presiden MIC, Palanivel a/l Govindasamy aka G. Palanivel menjadi seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, menaikkan bilangan mereka kepada lima.

Seperti Koh Tsu Koon dan Shahrizat Abdul Jalil, Palanivel juga kalah pilihan raya umum. Dia kalah kepada calon PKR di Hulu Selangor dan tidak dicalonkan untuk bertanding pilihan raya kecil kawasan yang sama tahun lalu. Dalam PRU akan datang, dia dikatakan akan bertanding di Sungai Siput, Perak, kawasan bekas bosnya S Samy Vellu yang kalah kepada DAP.

Memang kabinet kita besar. UK dengan 62 juta penduduk ada 23 menteri, Perancis 66 juta ada 23 menteri, Amerika 312 juta ada 12 ahli kabinet dan Switzerland lapan juta ada tujuh menteri. Kita ada 28 juta penduduk dan 30 menteri. Tidak hairanlah susah nak jumpa menteri sebab tak tahu yang mana satu.

Seorang pegawai media Perdana Menteri berkata, PM ada 11 pegawai media yang terdiri daripada bekas pengarang, wartawan kanan dan eksekutif TV. Paling ramai Dr Mahathir ada sepanjang jadi PM adalah tiga.

Malaysia Boleh Di Mana-Mana

Dilaporkan yang pasangan lesbian Menteri Kewangan Australia peranakan Malaysia, Penny Wong, yang dikenali sebagai Sophie Allouache mengandung. Perempuan dengan perempuan bersekedudukan boleh mengandung?

Sehebat mana pun orang Malaysia atau kelahiran Malaysia, perempuan dengan perempuan dan jantan dengan jantan tak menjadi. Hukum Allah macam itu. Pasangan lesbian Penny Wong mengandung secara in vitro dengan ihsan seorang penderma sperma – air mani lah tu.

Kerana pasangan lesbian Penny Wong bunting, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata dia gembira. Gillard bukan lesbian, tapi tak kahwin. Dia ada pasangan tetap bernama Tim Mathieson.

Tukar-Menukar Harap Berjaya


MAS dan AirAsia bertukar-tukar saham. Sebab saham AirAsia mahal dan saham MAS murah, Tune Air, iaitu syarikat induk AirAsia, mendapat 20.5 peratus saham MAS dan Khazanah, induk MAS, dapat 10 peratus saja saham AirAsia.

Pertukaran saham itu bernilai hampir RM2 bilion berdasarkan harga AirAsia RM3.95 seunit Jumaat lalu dan saham MAS RM1.60 seunit. Khazanah masih pegang 49 peratus saham MAS.

Pengarah Urusan MAS, Tengku Azmil Zahruddin letak jawatan. Tony Fernandez dan rakan kongsinya Kamaruddin Meranun sertai Lembaga Pengarah MAS.

Yang menarik ialah majoriti eksekutif kanan Tune Air/AirAsia adalah Melayu. Jelas syarikat-syarikat milik usahawan India Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia cenderung memberi jawatan bermakna kepada eksekutif Melayu yang berkemampuan, tidak seperti syarikat milik kaum-kaum bukan Bumiputera lain yang ambil Melayu jadi pengarah hiasan, kerani, pemandu, penghantar surat, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi. GRO Melayu pun ramai mereka ambil.

Salah seorang ahli lembaga pengarah baru MAS adalah Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Rohana Rozhan. Astro adalah sebahagian daripada empayar korporat Ananda Krishnan.

Kalau ikut Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Khazanah akan jual banyak lagi saham GLC. Khazanah akan kurangkan pegangan saham dalam lebih 30 GLC atau menjualnya terus. Harap-harap janganlah hanyut pengurus dan eksekutif Bumiputera dalam GLC.

Tak Sangka Bawa Angkara


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop, memberitahu wartawan Jumaat lalu yang krisis kewangan Eropah dan kemerosotan ekonomi Amerika tidak akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Alhamdulillah kalau betul, Isyak-Allah akan terbukti.

Tak tahulah saya kalau menteri itu anggap kejatuhan harga saham di Bursa Malaysia, kemerosotan import oleh Amerika, kejatuhan pengeluaran perindustrian dan kenaikan harga barang pengguna tidak jejas ekonomi negara.

Yang kita tahu, bila ekonomi negara menguncup pada tahun 2009, Nor Mohamed Yakcop kata dia tak sangka. Tak tahulah saya kalau pengurusan ekonomi dan persediaan menghadapi krisis ekonomi global boleh diasaskan kepada sangka dan tak sangka. Wallahualam.

Source: http://kadirjasin.blogspot.com/2011/08/menteri-palanivel-dan-macam-macam.html

http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/4846-a-kadir-jasin-menteri-palanivel-dan-macam-macam-cerita

“Oh” Dengarlah “Jeritan Batinku”

A Samad Said

KETIKA ini sebenarnya saya sedang hanya bersama Merjah—hewan khayalan saya. Kami meninggalkan sedetik tasik warga hewan yang damai itu. Sekali ini kami tidak bersama kumpulan pipit, merpati, rusa, monyet, kambing dan, ya, sang buaya!

Memang saya bersama Merjah saja. Dan, di kafe mini di KL Sentral.

Ada pesanan lara yang ingin saya sampaikan kepada wakil masyarakat hewan. Selama ini masyarakat insan tidak sedia menerimanya. Dan Merjah (yang wujud di mata saya dan ghaib di mata khalayak) sedia menerimanya.

Dengan mewabakkan penyakit “warga segera” (kata saya kepada Merjah), maka berertilah kerajaan Umbarnas hanya berfikir tentang manfaat terkininya semata. Kerajaan tampaknya seolah tidak selesa berfikir tentang kesan tindak cemarnya itu.

Ternyata, memang tidak cukup sekadar menyimbahkan “upahan segera” hampir ke setiap ceruk yang mudah terpujuk ternyata semakin galak dibudayakan. Orang memberi bukan ketika menjelang pilihan raya. Itu berbau rasuah. Orang berjanji ketika menjelang pilihan raya. Itu baru segak.

Kalau kita tidak menyanggah wabak penyakit kongkalikong ini, (kata saya kepada Merjah yang separuh Merak separuh Gajah) berertilah kita bantu menjangkitkan penyakit manipulasi kuasa. Kita tohor. Malah kita kotor! Sebab, kita bantu mencipta kuasa demi memulakan—kemudiannya melestarikan—budaya gelumang dosa.

Memang kini kita sudah pun sampai ke tahap kekalutan kuasa secemar-cemarnya.

Kerajaan Umbarnas terus degil—enggan melayan saranan Bersih. Mereka seolah-olah sangat yakin terhadap tindakan matlamat menghalalkan cara. Ya, kuasa itu nikmat.

Kata saya kepada Merjah: Cukuplah dekad kuasa elita bangsawan selama lebih lima dekad itu. Janji menyuburi ekuiti bangsa pun mereka gagal seburuknya? Malah keluhuran bahasa dalam Perlembagaan pun mereka langgari. Perlembagaan tidak murni? Dan banyak lagi senarai kebobrokannya. Mereka suburkan semangat kronisma senyala-nyalanya dan melahap dana negara seghairah-ghairahnya. Kita lalui lima dekad yang lahap!

Makanya, cubalah menjadi anak lelaki yang sedia memungkinkan tafsiran kuasa terbaru. Jengahlah bagaimana kini Kerajaan India menangangi skandal ala Scorpene-nya dan memperelok landas demokrasinya. Rata-ratanya yang bergerak itu golongan bawahan—paling utama Anna Harare! Mereka sedang mempercantik wajah dan mempermurni batin bangsanya. Tidak mustahil kelompok daripada golongan murbawan kita juga berupaya menyembuhkan penyakit lahap kuasa yang sedang meraja-raja itu. “Oh” dengarlah “Jeritan Batinku.”

Cukuplah dedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan untuk menerjemahkan erti kuasanya pula.

Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa.

Khusus kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih BERSIH!


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/seni-budaya/4796-oh-dengarlah-jeritan-batinku

Pemuda PAS konsisten pertahan aqidah

Nasrudin bin Hassan


1. Setuju benar saya dengan pendekatan yang diambil oleh PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum membuat keputusan muktamad dalam menangani isu sensitif seperti ini. Sewajarnya PAS melangkah dengan penuh waspada sebelum mengambil apa jua pendirian setelah dilihat isu ini cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi menangguk "political millage" dalam kekeruhan situasi yang dialami.

2. Saya melihat PAS seperti "roundabout" yang sekelilingnya bercapah jalan menuju ke arahnya. Semua pihak sedang memerhati apa langkah PAS berikutnya selepas meletus isu JAIS dan Gereja ini. Lalu timbul pula pelbagai tafsiran, tanggapan dan telahan dibuat kepada PAS. Saya boleh mengenal pasti beberapa kategori untuk saya tegaskan kali ini ekoran tercetusnya isu ini.

Pertama : isu Aqidah Ummat Islam

Kedua : isu JAIS dan tindakannya

Ketiga : isu Gereja dan kedudukannya

Keempat : isu keadaan Ummat Islam secara umumnya.


3. Kami Pemuda PAS bertegas dalam apa jua keadaan, dengan komitmen tenaga, wang ringgit, masa malah darah dan nyawa akan dipersembahkan demi mempertahankan aqidah ummah. Inilah yang telah dilakukan oleh pemuda PAS terdahulu apabila ada dari kalangan mereka terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana memperjuangkan aqidah ummah dan menentang sebarang usaha yang cuba untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan keperibadian ummat Islam. Insyaallah, ketegasan itu akan diwarisi oleh saya dan seluruh warga pemuda PAS. Pemuda PAS senantiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menjadi benteng aqidah ummah.

4. Namun kita tidak boleh terburu - buru tanpa usul dalam memutuskan tindakan. Kita perlukan satu bukti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil sebarang ketetapan. Saya telah mendengar penjelasan dari Yb. Dato" Dr Hassan Ali selaku AJK PAS Pusat dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Saya memahami kedudukannya, menghormati pendiriannya, menerima keikhlasannya dan menyokong tindakannya dalam hal ini, demi melihat aqidah Islam dipertahan dan diperjuangkan.

5. Insyaallah, saya juga akan bertemu dengan pihak JAIS bagi meneliti perkara ini dengan lebih dekat. Biarpun JAIS pernah memburu saya dan cuba untuk menangkap saya seketika dulu atas kesalahan saya membaca kitab di sebuah surau di Damansara, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu, namun saya sekali - kali tidak pernah bermusuh dengan institusi itu. Sebagaimana saya pernah ditahan, dipukul dan diherdik oleh PDRM kerana kesalahan saya mennyampai ceramah atas pentas PAS di Parit Sempadan Johor dan menyertai himpunan - himpunan aman, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi saya juga tidak pernah memusuhi institusi itu. Saya sedar peranan institusi - institusi tersebut.

6. Justeru itu, saya perlu adil dalam menilai institusi atau jabatan - jabatan kerajaan. Ada masa tindakan mereka salah maka saya membantahnya dan ada masa tindakan mereka betul maka saya menyokongnya. Insyaallah, dalam menangani isu JAIS dan Gereja ini, saya menyokong penuh tindakan PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak memusuhi mana - mana pihak atau agama yang tidak memusuhi Islam malah menghormati hak - hak mereka. Justeru itu kita mengecam pencabulan hak walau berlaku ke atas siapa jua sebagaimana kita jua mengecam sekeras - kerasnya usaha untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam.

7. Saya boleh kesan bagaimana isu ini cuba dieksploit oleh pihak tertentu yang mencari laba politik murahan dan mengalih isu sebenar yang menjadi punca kepada polemik ini. Ringkasnya saya tegaskan pendirian umum saya bersama pemuda - pemuda PAS bahawa :

a] kami konsisten berjuang untuk menegak dan memelihara aqidah Islamiyyah dan dalam masa yang sama, kami menghormati hak non muslim sebagaimana yang telah diajar oleh syariat islam itu sendiri.

b] kami menasihati dan memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar aqidah ummat Islam, pemikiran dan akhlak mereka jangan diganggu dan dirosakkan dengan pelbagai dakyah, aktiviti dan gerakan samaada bersifat terbuka dalam aktiviti sosial atau sembunyi di sebalik badan - badan bukan kerajaan.


c ] kami memberi peringatan tegas kepada kerajaan yang memerintah samaada kerajaan pusat dan negeri yang diitadbir oleh UMNO dan BN, juga kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat agar mengambil pendekatan yang berkesan untuk membantu rakyat. Jangan kerana miskin, akhirnya mereka menjadi murtad kerana menagih simpati dan bergantung harap kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan pegangan agamanya.

8. Polisi PAS dan pemudanya jelas dalam perkara seperti ini. Masyarakat usah gundah, resah dan ragu terhadap PAS. jangan buka ruang kepada media untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan PAS memperjuangkan Islam dan isu - isu ummah. Insyaallah, Pemuda PAS akan terus bangkit dengan aktiviti dan gerakkerjanya untuk membentengi aqidah ummah sekaligus memerangi segala anasir yang cuba merosakkan agama Islam dan aqidah ummatnya.

9. Kerajaan yang memerintah mesti mengambil langkah yang lebih tegas untuk memastikan tiada aktiviti mungkar dan maksiat yang menghela ke arah rosaknya keperibadian ummat Islam dan lunturnya nilai keimanan mereka. Jaga kebajikan dan keperluan asas rakyat dengan meletakkan agensi - agensi tertentu seperti Pusat Pungutan Zakat dapat berorientasi dengan lebih berkesan. Bukan hanya memungut zakat tetapi cepat dan cekap mengagihkannya kepada asnaf yang berhak menerimanya. Begitulah Baitul Maal , Pusat Kebajikan Masyarakat dan lain - lain agensi yang berkaitan. Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja.

10. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh semua orang Islam dan pemimpinnya justeru ia melibatkan maslahah ummat Islam. Ummat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan ummat Islam dari dalam. Justeru harga aqidah ummat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun DUN, demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai aqidah, taruhannya ialah darah dan nyawa.


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/4787-pemuda-pas-konsisten-pertahan-aqidah-


***Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja.***

Seluruh parti Masitah bergelejat dengan PAS

Mohamed Zainal Abidin Hussin

Corak penulisan yang saya amat tidak gemar ialah mengulas tulisan orang lain. Rasanya tidak ada karya seperti itu pernah saya hasilkan.

Membaca tulisan Dr. Masitah pagi ini menjadikan saya terpaksa melupakan kebencian ini.

Pas - Parti Aloh Sokmo - begitulah bunyi tajuk artikel timbalan menteri agama yang terkenal ini.

Sebenarnya bukan beliau seorang. Seluruh tubuh badan parti sekongkol Masitah sedang bergelejat dengan perkembangan PAS sekarang.

PAS mulai memasuki era baru. Dari satu parti yang disokong oleh tok lebai dan pemberontak kampungan, kini parti ini mendapat perhatian banyak pihak.

Satu gelombang dulu para pelajar IPT dan profesional Malayu berjinak dan membantu PAS.

Lihat saja sekarang siapa yang jadi AJK PAS pusat. Mereka lulus Ph.D, Sarjana dan hampir tiada lagi yang tidak berijazah.

Kalau rajin pergilah banci pimpinan peringkat negeri-negeri. Di negeri yang katanya PAS lemah seperti Melaka, Johor dan Sabah pun pemimpin mereka bukan calang orang. Doktor, Engineer dan akauntan bersepah.

Turun lagi ke peringkat kawasan (Parlimen). Kalau berani bandingkan kelulusan mereka yang duduk dalam jawatankuasa PAS berbanding dengan parti sekongkol Masitah, sesiapa saja akan terkejut beruk.

Semua ini dah lama diperhatikan oleh orang-orang yang waras dan tidak biul. Sebab itu ombak landaan PAS tidak surut-surut. Pasang dan terus pasang.

Orang tua, orang muda, orang berpelajaran malah orang kurang pelajaran semakin percaya PAS parti bagus. Parti yang tidak tipu orang. Parti yang para pemimpinnya boleh ditumpangi dunia dan akhirat.

Meskipun diasak alat propaganda parti sekongkol Masitah. TV habis Channel ajak orang benci PAS. Akhbar berpermit tiada langsung benar orang tengok PAS baik. Radio yang ada berpuluh (mungkin beratus) setesen semuanya terbahak-bahak bawa mazhab anti-PAS.

Semuanya tidak dapat halang orang ramai semakin dekat dan percaya pada PAS.

Fenomena terkini ialah peminat-peminat baru PAS dari kalangan yang tidak pernah terfikir oleh parti puak sekongkol Masitah.

Mereka yang tidak amal Islam, malah mereka yang menganut agama bukan Islam turut percaya PAS lebih baik dibuat kawan berbanding parti-parti sekongkol Masitah.

Mereka tengok betul PAS parti miskin. Parti orang kecil tanpa pangkat itu pangkat ini, syer itu syer ini. PAS memang tidak pandai berhibur pelik-pelik dan menghabis duit beli cincin mahal-mahal. Tapi mereka buat kesimpulan jenis parti macam ni tak tipu orang. Destinasi wajib harian surau dan masjid. Kawan-kawan tiada perompak, penyamun atau jauh sekali along.

Niat orang duduk dengan PAS ialah nak amal Islam. Mula-mula untuk dirinya sendiri. Bila kahwin ada isteri dan anak, mereka mahu semua ikut apa yang dia buat. Dengan kuasa yang sah sebagai suami dan bapa kalau perlu berkeras sikit untuk tujuan kebaikan.

Kalau ditakdir dapat jadi ketua di pejabat ke, di kawasan kediaman ke, sahsiah Islam yang dia amal diminta orang di bawah jagaan buat sama.

Dalam konteks politik kerana diberitahu sesiapa boleh bertanding secara adil, maka ahli PAS masuk pilihanraya. Kalau ditakdirkan menang (macam di Kelantan) kita buat benda yang sama.

Kalau ini mahu dipanggil negara Islam. Negara Islamlah. Kalau nak panggil negera berkebajikan, negara berkebajikanlah.

Tok Guru Nik Aziz masa mula masuk pejabat MB Kelantan, wartawan tanya dia apa model pentadbiran yang dia akan pakai.

Dia jawab "Ambo nok Kelate jadi supo ambo". Maksudnya mudah. Dia orang Islam. Apa yang Allah suruh sedaya upaya perlu buat. Apa yang Allah larang sedaya upaya ditinggalkan.

Kita mewarisi sebuah negara yang kacau bilau dari segi Islam akibat angkara parti sekongkol Masitah. Kelantan hanya sebahagian Malaysia. Memang telah banyak berbeza. Masjid dimakmurkan. Kebajikan rakyat diutamakan. Pintu maksiat ditutup. Tiada premis judi berlesen, arak hanya dijual kepada non-muslim dengan pengutkuasaan ketat, tiada bar dan kelab maksiat. Memang tidak mungkin Kelantan ada undang-undang lain kerana ia sebahagian dari Malaysia.

Sebenarnya tiada apa masalah di sini. Sudah 20 tahun lebih Tok Guru jadi MB. Orang bukan Islam tidak pernah kedengaran bermasalah.

Kini PAS turut didekati kumpulan-kumpulan baru. Kelab Penyokong PAS terdiri dari mereka yang belum Islam tapi datang kepada PAS untuk memberi sokongan dalam konteks politik.

Parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat, PKR, DAP dan lain-lain turut percaya bahawa PAS boleh jadi kawan yang baik kalau nak bentuk Malaysia baru yang tidak serupa dengan budaya kuno anjuran parti sekongkol Masitah.

Memang PAS tidak terdesak dengan salakan parti sekongkol Masitah supaya berkelahi dengan peminat-peminat barunya.

Tidak perlu PAS melalak ke sini sini kononnya aku benci arak, aku benci judi, aku benci murtad, aku benci budaya maksiat. Peminat baru PAS memang amat kenal PAS. Mereka sudah lama tahu apa yang PAS suka dan apa yang PAS tidak akan bertolak ansur.

Tidak perlu Masitah dan parti sekongkolnya nak ajar PAS bab ni. PAS akan bergerak terus dengan jatidiri dan kebaikannya sehingga akan sampai matlamatnya untuk menjadikan dunia ini "hasanah" dan menuju ke akhirat dengan "hasanah" menanti di sana.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/4782-seluruh-parti-masitah-bergelejat-dengan-pas

Malapetaka Ogos

Hishamuddin Rais
Ogos 6, 11
11:33am

Setiap 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini - 15 Mei 1948 - adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru, pada tarikh ini warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948 warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas, rumah mereka diroboh. Mereka hilang harta benda, hak demokrasi dan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah Malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah Malapetaka untuk Semenajung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957 Hari Malapetaka telah di rayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah kita semua memahami makna Malapetaka ini, yang dieja dengan huruf M besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti - Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singgora dan Menara. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial Britsh telah memasukkan jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu.

Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British bawah jagaan England dan bukan lagi East India Company.

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu British telah bertemu dengan bijih. British juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Setiakawan melawan penjajah

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari Cina dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh Cina dan buruh India ini maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan, di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula menapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada tahun 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan Cina. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada tahun 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjungan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun atau Malayan People Anti Japanese Army telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada bulan Ogos 1945 sekali lagi pentadbiran ketenteraan British masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS). Semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini United Malay National Organisation. Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram dan dinetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan United Malaya National Organisation pada tahun 1946 agak lewat. Ia muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahir setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.

Semua bangsa dipanggil Melayu

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah mengoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara Bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan United Malay National Organisation telah melaungkan slogan "Hidup Melayu". Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British tetapi untuk menunjukan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan United Malay National Organisation dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu-Melayu, China-China dan India-India. Maka lahirlah PERIKATAN. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan PERIKATAN masih lagi Melayu, Cina dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA, badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hisbul Musliminin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini para pembaca telah dapat memahami pejalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan United Malay National Organisation, Malayan Chinese Association dan Malayan Indian Congress. Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh United Malaya National Organisation apabila rakyat Tanah Melayu pada thun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh United Malay National Organisation? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British tetapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jjika tidak percaya apa yang saya tulis ini, sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik United Malay National Organisation akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi suruhan British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila parti komunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah Sidi, Rashid Maydin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh United Malaya National Organisation?

Tidak berkesudahan

Sejarah jelas membuktikan gerombolan United Malay National Organisation telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai kemerdekaan, gerombolan United Malaya National Organisation bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk merdeka.

Justeru, sebagai balasan menjadi budak suruhan yang setia, pada 31 Ogos 1957 penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi Hari Malapetaka untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah Nakba untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Saya menobatkan 31 Ogos sebagai Hari Malapetaka untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Pelentong, Chu Badak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Banda Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan akta ISA pada tahun 1948. Paling akhir kita melihat enam warga penyokong BERSIH ditahan tanpa bicara bawah Ordinan Darurat.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari parlimen menyatakan lebih dari satu ribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun lalu, pada 10 Ogos 1511 Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik dakwat hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda biar saya ditunjukan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini. Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan United Malay National Organisation tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.


http://malaysiakini.com/columns/172154

Bila Amanah mahu tunjuk belangnya?

Posted by admin on August 11th, 2011

Subky Latif

Sudah dua minggu Tengku Razaleigh melancarkan penubuhan Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, namun belum diketahui apa kegiatan dan rancangannya.Ia hanya diketahui dengan apa yang diumumkan pada hari pelancarannya iaitu, ia mahu jadi NGO yang menghidupkan legasi kemerdekaan yang diamanah oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan fokas awalnya adalah tentang kepincangan pimpinan Perdana Menteri Najib dan halatujunya.
Oleh kerana ia didukung oleh bekas menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional serta bekas menteri negeri dan exco, maka tentulah NGO orang-orang politik yang kurang aktif atau sudah tidak aktif itu menarik perhatian.

Tetapi selepas pelancarannya ia seperti tenggelam dalam gelombang Tengku Razaleigh dikatakan dilamar kerabat Pakatan Rakyat bagi menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim kiranya politiknya tersekat oleh keputusan mahkamah nanti.

Sepatutnya Tengku Razaleigh dan Amanahnya yang boleh meributkan suasana kerana dipercaya akan menjadi pengkritik terbuka dari dalam Barisan Nasional.

Apakah ia hanya sekadar menjadi pengkritik bebas atau ia menjadi medan pemberontak penyokong BN yang tidak selesa dengan pimpinan Najib dan kerajaan sekarang?

Kemunculan pemberontak dalaman parti dan penyokong kerajaan selalunya mengancam pimpinan ketua kerajaan. Inilah menyebabkan pimpinan Perdana Menteri Margret Thatcher mengakhiri pemerintahan Parti Konservatifnya selama 17 tahun di Britian dan demikian juga yang terjadi kepada Perdana Menteri Tony Blair yang pernah berjaya mengetuai Parti Buruh memenangi tiga kali pilihan raya Britain.

Apakah Ku Li dengan Amanahnya akan memulakan gerakan bagi menggantikan pimpinan Perdana Menteri Najib yang dirasakan sebagai ketua kerajaan dan kerajaan Malaysia yang paling bermasalah dan lemah sejak merdeka? Itulah yang ditunggu dan hendak diperhatikannya.

Tetapi Amanah seolah-olah telah ditampar oleh bom asap yang di bawa Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang dikira agen Najib yang belum diumumkan menjadi Umno semula. Bom asap itu datang dari penyokong Najib dalam Umno tetapi cetusannya adalah bagi menjaga Umno dari menerima kesan atas politik Ku Li itu.

Ku Li lalu ditempelak pernah dirisik oleh kerabat Pakatan Rakyat bagi menjadi penyambung kepada kepimpinan Anwar mara menuju ke Putrajaya kiranya ia berdepan dengan halangan. Apakah ada asas tempelak itu dan adakah Ku Li adalah orang yang berminat untuk mengambil tempat itu adalah menjadi perkara kedua.

Tetapi sudah bergelombang atmosfera politik negara gara-gara bom asap bebas Bayan Baru itu. Kerabat Pakatan Rakyat terpaksa bersilat menangkis gas bom asap itu hingga ia mengurangkan sementara kelancarannya bergerak ke Putrajaya.

Dengan bom asap itu Ku Li dan Amanahnya tenggelam dalam asapnya hingga menyebabkan orang tidak teringatkan Amanah. Dan Ku Li sendiri senyap seribu bahasa. Dia tidak membuat sebarang respons terhadap bom asap itu dan membiarkan Pakatan Rakyat bersilat menangkisnya.

Dan Ku Li dan Amanah juga diam hingga tidak diketahui apa yang hendak dibuatnya bagi memanas jentera programnya.

Demam pilihan raya sudah rancak. Bila pilihan raya tidak diketahui. Tetapi ia sudah tidak lama. Dan Amanah tidak boleh lama menunggu untuk membangkit program dan kegiatannya.

Mungkin ia belum dibenarkan bergerak selagi tidak didaftarkan. Tetapi Amanah adalah NGO politik yang tidak terikat banyak dengan pantang larang pendaftaran pertubuhan. Dan tempoh bekerja Amanah pun tidak banyak sangat bagi meraih faedah dari suasana dan perkembangan politik kita.

Masa yang ada pada Amanah ialah tempoh menjelang pembubaran Parlimen dan sebelum pilihan raya. Apa yang Amanah hendak buat dan hendak capai adalah dari kegawatan yang melanda kerajaan, Umno dan Najib sekarang. Itulah tempoh kesempatan terbaik bagi Ku Li dan Amanah untuk merebut sesuatu.

Apabila Parlimen dibubarkan, tidak banyak lagi yang Ku Li dapat buat kerana kedudukannya sendiri pun akan ditentukan oleh keadaan itu. Ku Li tidak boleh banyak kerja lain melainkan menumpukan penuh masa dan tenaga di Gua Musang.

Sama ada dia dicalonkan semula oleh BN atau digugurkan, dia terpaksa mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang itu atas apa calon sekali pun. Kalau Ku Li digugurkan, Ku Li terpaksa menumpukan usaha bagi mendapatkan persetujuan Pakatan Rakyat memberi laluan kepadanya. Pakatan Rakyat tidak akan memberi laluan kiranya Ku Li sekadar hendak mempertahankan kerusinya.

Apakah PAS pada keadaan demikian memberi konsesi sama seperti yang diberi kepada Ibrahim Ali pada PRU 2008 dulu? Mungkin Ku Li bukan Ibrahim Ali tetapi PAS ada pengalaman yang baik.

Masa itu tiada lagi peluang bagi Ku Li bagi mewarwarkan Amanah di luar Gua Musang. Masa bagi Amanah menunjukkan belangnya adalah sekarang. Inilah masa untuk mendedahkan belang Najib dan kerajaannya. Barulah ada erti dan sengatnya pelancaran Amanah itu.


http://www.kl-today.com/2011/08/bila-amanah-mahu-tunjuk-belangnya/

Kerugian sebelum cukai Utusan meningkat

Posted by admin on August 11th, 2011

Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM9.854 juta bagi tempoh enam bulan pertama yang berakhir pada 30 Jun, 2011 dengan perolehan sebanyak RM174.619 juta.Angka itu berbanding kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM12.418 juta yang dicatatkan pada tempoh enam bulan yang sama 2010 dengan perolehan berjumlah RM155.024 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan berkata perolehan lebih tinggi dalam tempoh kajian terutamanya disumbangkan segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan.

Bagi suku tahunan semasa, perolehan kumpulan lebih tinggi pada RM88.791 juta berbanding RM85.828 juta pada suku yang sama berakhir pada 31 Mac, 2011, terutamanya disebabkan oleh kenaikan dalam hasil pengiklanan.

Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai lebih rendah sebanyak RM2.961 juta bagi suku itu berbanding kerugian sebanyak RM6.893 juta suku sebelumnya.

Menurut kumpulan, 2011 terus menyaksikan persaingan sengit bagi bahagian pasaran perbelanjaan pengiklanan (ADEX). Namun begitu, jangkaan pertumbuhan positif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan keseluruhan perbelanjaan pengiklanan bagi tahun ini akan menyediakan peluang bagi kumpulan meningkatkan perolehan pengiklanan, kata Utusan.

Sementara itu angka Audit Bureau of Circulation (ABC) bagi tahun penuh yang berakhir pada 30 Jun, 2010, menunjukkan pengedaran akhbar harian kumpulan, Utusan Malaysia, turun 5.9 peratus daripada 181,346 kepada 170,558.


http://www.kl-today.com/2011/08/kerugian-sebelum-cukai-utusan-meningkat/

Bonus penjawat awam: Bonus PRU?

Posted by admin on August 11th, 2011

Abwayman

Kerajaan akhirnya bersetuju meng’hadiah’kan bonus kepada 1.27 juta kakitangan awam yang bakal menikmati bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, manakala setiap pesara kerajaan pula mendapat RM500 yang akan dibayar pertengahan bulan ini.Jumlah pembayaran bonus tahun dianggarkan sebanyak RM2 billion.Maka kerajaan pun dilihat begitu prihatin dengan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan, lantaran Perdana Menteri sendiri menyebut pemberian bonus ini tidak lain adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat di musim perayaan ini.

Namun, dalam jangka pendek di mana kadar produktiviti pengeluaran adalah malar, maka kesan langsung dari lebihan wang dalam kitaran ekonomi ialah kenaikan harga barang yang berkali ganda mengikut hukum MV=PT dari teori Irving Fisher.

Apatah lagi kes ketidakcukupan barang-barang keperluan untuk sambutan perayaan seringkali kita dengar yang sudah pasti mengakibatkan tingkat harga semakin melambung.

Jadi pemberian bonus yang diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan kakitangan awam itu sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat jika harga barang melambung tinggi dari kadar biasa.

Logiknya, peningkatan nominal pendapatan kakitangan awam sebanyak 50 peratus pada bulan ini tidak bermakna apa-apa apabila harga barang naik mendadak lebih dari kadar berkenaan hasil dari penguncupan kuasa beli mereka.

Kita juga ingin tahu dari sumber manakah kerajaan memperolehi dana berjumlah RM2 billion untuk pembayaran bonus berkenaan? Saya tidak fikir kerajaan sanggup mencetak wang semata-mata untuk tujuan ini.

Jadi saya beranggapan ia hasil dari pinjaman kerajaan. Sudah tentu pemberian bonus ini bakal mengakibatkan jumlah pinjaman kerajaan meningkat sekaligus defisit kerajaan yang lebih tinggi.

Untuk tahun 2009 dan 2010, hutang kerajaan naik mendadak pada kadar lebih 50 peratus dari KDNK (2009 – 55 peratus dan 2010 – 54 peratus), paling tinggi sejak krisis kewangan 1998. Malah melebihi purata pinjaman kerajaan sejak 1990 hingga 2010 iaitu pada 47 peratus.

Bajet kerajaan juga masih terbelenggu masalah defisit sejak lebih sedekad lalu. Sejak dari krisis kewangan 1998 purata defisit kerajaan adalah 4-5% peratus dari KDNK negara. Paling kritikal pada 2009 iaitu pada kadar lebih 7 peratus.

Walaupun tahun 2010 dapat dikurangkan ke 5.6 peratus, namun pada 2011 ia dianggarkan dalam jajaran 5 peratus juga. Tambah buruk lagi, peningkatan defisit adalah kerana bertambahnya perbelanjan pengurusan, bukannya perbelanjaanpembangunan.

Jika dana RM2 billion ini hasil pinjaman kerajaan, maka keputusan kerajaan memberikan bonus ini seolah-olah cuba menyelesaikan masalah kenaikan harga barang dan penguncupan kuasa beli rakyat sekadar melepaskan batuk di tangga, isu ranting yang diberi perhatian, akar permasalahannya dipejamkan mata.

Yang nyata, kita berdepan dengan keadaan kewangan kerajaan yang cacamarba pengurusannya. Kita punya kerajaan yang tidak serius menangani kebajikan ekonomi rakyat.

Jika kerajaan benar-benar mahu mengurangkan beban rakyat, maka tunjukkan keseriusan dalam menangani maslah pembaziran, ketirisan, dan perbelanjaan melampau.

Ingatkah anda lagi pada kos RM50 juta untuk melaksanakan program email 1Malaysia? Manakala RM1.8 juta pula disia-siakan untuk membayar kos penyelenggaraan laman Facebook Kementerian Pelancongan Malaysia oleh syarikat yang langsung tiada laman web!

Jika anda teliti Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat, anda sudah pasti berjumpa dengan pelbagai senarai ketirisan dan salah urus harta Negara hingga mengakibatkan ketirisan lebih RM28 billion. Ini bukan cerita rekaan, semua maklumat ini juga boleh didapati dari Laporan Audit Negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Rakyat sebenarnya berhak mendapat kualiti gaji yang memungkinkan kuasa beli yg lebih tinggi. Pemberian bonus secara one-off begini tidak membantu rakyat mencapai tahap itu. Kita perlukan pengurusan yang benar-benar berhemah, yang mahu meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama.

Peningkatan ekonomi tidak sekadar pada peratus kenaikan KDNK semata, namun kebajikan dan taraf hidup rakyat patut turut meningkat.

Kalau kita teliti pemberian bonus ini pun, sepatutnya ia berbentuk piramid di mana untuk kakitangan awam di peringkat tertinggi seperti JUSA patut tiada bonus diberikan, bagi kumpulan professional dan kumpulan A mendapat setengah atau sebulan gaji, dan bagi kumpulan sokongan dan pentadbiran sekurang-kurangnya 2 bulan gaji. Ini baru dilihat benar-benar prihatin dengan kebajikan rakyat.

Tidak hairanlah ada pembaca akhbar yang meminta CUEPACS menolak pemberian bonus setengah bulan ini dan mengharap badan penjawat awam itu terus mendesak kerajaan memberikan sekurang-kurangnya bonus dua bulan gaji dan juga menyemak kembali tangga gaji mereka.

Atau adakah ini langkah kerajaan mengabui mata penjawat awam memandangkan ura-ura pilihanraya umum yang makin dekat?


http://www.kl-today.com/2011/08/bonus-penjawat-awam-bonus-pru/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...