Sunday, October 5, 2008

'Datanglah jenguk saya mak'

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
dan SUHANA YUSOP
berita@kosmo.com.my


ASRAF meluahkan isi hatinya kepada wartawan Kosmo! dalam satu temubual di Penjara Kajang baru-baru ini.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya amat rindukan mak. Setiap saat lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri, hati saya bagai dirobek ingin bertemu dengannya."

Itulah luahan pilu seorang pesalah juvenil, Asraf, 20-an, (bukan nama sebenar) di Penjara Kajang yang ditahan sejak awal 2006 yang merasakan dirinya bagai dibuang keluarga kerana tidak pernah dijenguk ibu tersayang.

"Janganlah buang saya mak. Memang saya bersalah tetapi saya sangat perlukan mak. Saya memang berdosa tetapi janganlah biarkan saya mati tanpa mendapat keampunan dari mak," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Melihatkan air mukanya yang tenang, seolah-olah terpancar raut keinsafan dan dahagakan kasih sayang ibu sebagai sokongan biarpun bergelar banduan atas kesalahan samun dan membunuh.

"Kalau mak datang melawat saya di sini, saya akan cium kakinya agar dia sudi mengampunkan dosa yang saya buat sehingga memalukannya di kampung," ujarnya.

Air matanya sesekali mengalir setiap kali diajak berbual tentang kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya yang kini berada di sebuah kampung di Negeri Sembilan sebelum hidup di sebalik tembok besi di Sungai Jelok, Kajang.

"Di sini memang ramai yang sebaya saya tetapi masing-masing ada keluarga yang datang menjenguk setiap bulan.

"Berlainan dengan saya, sejak dimasukkan ke sini, keluarga langsung tidak ambil peduli seolah-olah mereka mahu saya terus kekal dan mati di dalam penjara ini," ujarnya sambil mengesat air mata.

Bercerita tentang bagaimana dia boleh melakukan jenayah itu, kata Asfar, ketika itu dia berumur 18 tahun dan terjebak dalam jenayah atas pengaruh rakan-rakan.

"Saya tak pernah menyamun dan malam itulah pertama kali saya melakukannya dan demi mempertahankan diri, saya telah menikam orang dan kerana takut, saya menyembunyikan diri sebelum ditangkap dua hari kemudian di Ampang," ujarnya.

Menurutnya, keluarga memang terkejut apabila diberitahu kesalahannya tetapi pada masa sama, dia ingin keluarganya tahu apa yang telah dilakukan bukan atas kerelaannya.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Salwanis tak sabar ke Pakistan


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
berita@kosmo.com.my



SALWANIS menunjukkan gambar anaknya yang dilarikan oleh suaminya.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Saya harap pemergian ke Pakistan kali ini memberi petunjuk bagaimana mahu mendapatkan semula Bilal".

Itu luahan Salwanis Ma'az, 31, yang sedang menghitung hari untuk berjumpa dengan keluarga suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, untuk berbincang mengenai kehilangan anak dan suaminya.

"Saya asyik teringatkan Bilal sampai tidur malam pun sering mimpikan dia, tak sabar nak ke Lahore lepas raya nanti," ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun dia tidak mengetahui tarikh sebenar pemergiannya ke sana kerana ia diuruskan oleh Badan Pembelaan Sekretariat Pemuda UMNO.

Dia memberitahu, kehilangan Bilal nyata meninggalkan kesan mendalam pada dirinya sehingga dia membuat keputusan untuk tidak pulang beraya ke kampungnya di Pulau Pinang.

"Kalau saya balik raya, saudara mara akan berkumpul dan pasti mereka akan tanya pasal Bilal dan suami saya, ia hanya akan menambahkan kesedihan saya, lebih baik beraya di sini bersama teman-teman," katanya.

Kepayahan Salwanis yang pernah dilaporkan Kosmo! sebelum ini mendapat perhatian Badan Pembelaan Sekretariat Pemuda UMNO yang turut mengumpulkan dana khas untuk membiayai perbelanjaan Salwanis menjejaki anaknya.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Mungkinkah Fadilah dianggap anak derhaka?


KUALA LUMPUR - Meskipun Islam mengharuskan Noor Fadilah Ahmad bernikah dengan pasangannya, Nasrudin Dahrom dari Lombok Timur, Indonesia, namun perbuatannya itu boleh dianggap derhaka sekiranya perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.

Tokoh agama, Datuk Haron Din berkata, anak derhaka yang dimaksudkan itu merujuk kepada perbuatan anak gadis 18 tahun itu yang didakwa melarikan diri dari rumah.

Menurutnya, walaupun Noor Fadilah dibolehkan menikahi pasangannya kerana jaraknya dengan wali (bapanya) melebihi dua marhalah (93 kilometer) tetapi dia wajib mematuhi hukum syarak.

Ia termasuk perlunya adanya wali, saksi dan ijab kabul dalam sesuatu perkahwinan.

"Mengikut hukum syarak, wali hakim yang akan menikahkan pasangan itu mesti di kalangan wali yang berdaftar dan dilantik oleh pemerintah dan tiada halangan lain seperti kufu (taraf wanita dan lelaki sama)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! sebelum ini mengenai Noor Fadilah Ahmad yang didakwa dilarikan ke Lombok Timur, Indonesia oleh Nasrudin dan kini merayu kepada bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, untuk berkahwin dengan pemuda itu.

Ahmad pula menegaskan yang beliau tidak akan merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad membawa pulang anaknya itu.

Tambah Haron lagi, antara jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu ialah dengan merestui pernikahan Fadillah.

Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pula berpendapat, pernikahan tersebut sah sekiranya Fadilah sendiri bersetuju untuk bernikah atas kerelaannya sendiri dan bukan atas dasar paksaan.

"Memang sah sebab dia dah 18 tahun dan wali hakim yang menikahkan itu pula mesti dari kalangan orang tempatan dan dilantik secara sah bukan macam sindiket yang nikah bawah pokok.

"Akan tetapi, Fadilah sewajarnya bersimpati dengan perasaan kedua ibu bapanya dan fikir matlamatnya untuk berkahwin adalah untuk eratkan silaturahim dan luaskan hubungan," katanya.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadut menasihatkan kedua-dua pihak berbincang secara terbuka.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Tok Su sakit Fadilah mahu kahwin

Oleh KUMARA SABAPATTY dan
TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
berita@kosmo.com.my



AHMAD (tengah) serta saudara mara terkejut melihat pengakuan Noor Fadilah yang disiarkan Kosmo! di rumahnya dekat Bagan Serai semalam.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI - "Tok Su terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong yang menyakitkan hati kami sekeluarga.''

Itu cerita ayah gadis berkenaan, Ahmad Abdul Hamid, 46, mengenai keadaan Tok Su atau nenek saudara kepada Kak Yong atau Noor Fadilah, 18, sebaik sahaja mendapat tahu gadis itu tetap mahu berkahwin dengan lelaki warga Lombok, Nasrudin Dahrom.

Tok Su atau nama sebenarnya Jurukasih Abdullah, 66, kini tinggal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan emak saudara kepada Ahmad yang menjaga Noor Fadilah dari kecil sehingga berusia 12 tahun.

Beliau kini dikatakan sering menangis seharian dan enggan makan apabila terkejut melihat kenyataan yang memeritkan hatinya menerusi kenyataan Noor Fadilah dalam Kosmo! semalam.

"Jadi kami tidak membenarkan Tok Su dihubungi kerana masalah kesihatannya yang kian meruncing disebabkan penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi..harap beri ruang kepadanya.

"Orang tua itu sudah sakit hati dan terkejut serta menangis seharian setelah melihat kenyataan Kak Yong," kata Ahmad kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya semalam.

Bagaimanapun, Ahmad yakin pengakuan anaknya semalam bukanlah satu pengakuan jujur Noor Fadilah dan menganggapnya terpaksa meluahkan demikian demi keselamatan dirinya.

"Bayangkan kalau sesiapa saja yang bersendirian di tempat asing dan tidak mempunyai wang, dokumen perjalanan dan sebagainya..apa yang harus dilakukan? Itulah situasi yang dihadapinya sekarang.

"Sebagai bapanya, saya tahu sifat dan sikap anak saya dan kami sekeluarga langsung tidak yakin dan mempercayai kata-katanya itu," tegasnya.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai pengakuan anak sulungnya yang dikatakan sanggup mati dan meninggalkan keluarga yang disayangi kerana tidak mahu berpisah dengan lelaki yang dicintainya itu.

http://www.kosmo.com.my/04102008

Geng Mastika hati kering, ganas

Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my


KERATAN Kosmo! 30 Ogos 2008.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasikan enam penjenayah warga Indonesia dikenali sebagai Geng Mastika yang mati ditembak baru-baru ini merupakan antara kumpulan samun bersenjata berhati kering dan ganas.

Ini berdasarkan keterangan yang diambil daripada setiap mangsa samun kumpulan tersebut yang mengatakan suspek-suspek tidak akan teragak-agak untuk mencederakan mereka jika melawan arahan.

Antara mangsa yang pernah 'dianiaya' ahli Geng Mastika ialah mereka dilaporkan kehilangan jari dan tangan akibat ditetak atau dicederakan dengan menggunakan parang.

Kumpulan tersebut yang terlibat dalam kes pecah rumah akan mengikat kesemua mangsanya dan jika terdesak baru mangsa akan dicederakan.

Suspek-suspek banyak bersenjatakan parang, pisau dan pemutar skru.

Difahamkan, sehingga kini, polis percaya, kumpulan tersebut telah mengaut RM300,000 hasil pecah rumah terhadap berpuluh rumah mangsa di sekitar Kuala Kubu Baru, kawasan Bukit Beruntung dan Seremban.

Sasaran kumpulan tersebut pula membabitkan rumah-rumah mewah termasuk rumah VIP.

Jurucakap polis berkata, setiap kali selepas menyamun, hasilnya yang merupakan barang kemas dan wang akan dikumpul sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Mereka masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong selama beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka akan melakukan samun bersama rakan senegara.

"Selepas menyamun, kumpulan ini akan membuang atau menyembunyikan senjata seperti parang, pisau dan pemutar skru di dalam hutan dan akan mengambilnya semula sekiranya ingin menyamun lagi,'' katanya di sini baru-baru ini.

Pada 26 Ogos lalu, dua daripada sembilan suspek Geng Mastika ditembak mati di Jalan Pinggiran Tasik Kiambang Serendah.

Tiga hari kemudian, empat lagi ahli kumpulan tersebut turut mengalami nasib sama di sebuah tapak pembinaan di Bukit Hatamas, Taman Segar Perdana, Cheras di sini.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Salwanis perlu RM10,000 ke Pakistan


Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my


SALWANIS menunjukkan gambar anaknya yang dilarikan suami beliau ke Pakistan di Kuala Lumpur semalam.
-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Ibu malang, Salwanis Ma'az, 31, kini mengharapkan ehsan orang ramai untuk mengumpul dana bagi membolehkannya meneruskan usaha mencari anak kesayangan, Muhammad Bilal di Pakistan.

Beliau yang ditemui semalam memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM10,000 daripada ehsan orang ramai untuk perbelanjaannya ke Pakistan selepas Hari Raya nanti.

Kata Salwanis, beliau telah bertekad untuk ke Pakistan dengan hasrat untuk menemui keluarga suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapinya.

"Saya memang dah bertekad nak ke sana (Pakistan) sebab andai dapat jumpa keluarga suami, sekurang-kurangnya saya boleh berbincang dengan mereka dan berkongsi masalah yang saya hadapi.

"Di samping itu, saya juga akan cuba menjejaki Bilal. Manalah tahu mungkin dia ada di Pakistan ke. Oleh itu, sumbangan daripada orang ramai amat saya perlukan untuk menanggung segala macam perbelanjaan di sana nanti,"
katanya ketika ditemui semalam.

Kosmo! sebelumnya melaporkan tentang usaha Salwanis untuk mencari Bilal yang baru berusia tiga bulan walaupun menjelang Hari Raya kerana beliau benar-benar merindui anaknya itu yang dilarikan suaminya ke destinasi yang tidak diketahui sejak 26 Julai lalu.

Tambah Salwanis, masalah kewangan yang dihadapinya bukan sekadar mengenai perbelanjaan untuk ke Pakistan sahaja, malah ujar Salwanis, beliau turut dihimpit dengan tunggakan hutang sewa kedai serta perbelanjaan harian.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Angkara dukun ‘karut’ - Suami isteri mati dipukul guna topi keledar untuk pulih

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
berita@kosmo.com.my



ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa di Flat Seri Sarawak, Jalan Hang Tuah kelmarin.

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR – Angkara terlalu yakin dengan amalan karut, sepasang suami isteri maut dipercayai akibat dipukul seorang dukun yang juga anak saudaranya sendiri ketika mendapatkan rawatan secara tradisional di Flat Seri Sarawak, Jalan Hang Tuah, di sini kelmarin.

Mangsa Mohd. Ibrahim Kadar Mydin, 47, dan isterinya, Rosina SM Mydin, 41, mati di tempat kejadian selepas dipukul berkali-kali dengan topi keledar dan batang penyapu.

Mohd. Ibrahim yang menghidap penyakit sukar untuk berhenti merokok dan isterinya, menghidap penyakit hati dikatakan datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan penyakit tersebut.

Semuanya gara-gara mereka mempercayai cakap-cakap dukun dukun ‘karut’ tersebut yang dikatakan mendapat mimpi untuk mengubati penyakit bapa dan ibu saudaranya itu dengan memukul mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah berkata, selepas kedua-dua mangsa datang, upacara rawatan dimulakan pukul 2 petang dan berakhir kira-kira sejam kemudian.

‘’Dalam tempoh itu kedua-dua mangsa dipukul oleh suspek yang berusia 23 tahun dengan topi keledar sehingga menyebabkan kedua-duanya mati,’’ katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Chin Wah, sangkaan suspek yang juga bekas pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kedua-dua mangsa itu pengsan seketika selepas mendapat ‘rawatannya’ bertukar tragedi apabila kedua-dua mangsa sebenarnya sudah mati.

Beliau memberitahu, ketika kejadian, rumah tersebut dihuni adik beradik suspek berusia antara 15 dan 21 tahun termasuk bapanya berusia 50 tahun serta ibunya berusia 44 tahun.

Mangsa pula membawa tiga anaknya berumur antara 14 dengan 21 tahun yang turut melihat proses rawatan tersebut.

Chin Wah berkata, selepas kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri pada pukul 9 malam, ahli keluarga suspek telah menghubungi ambulans untuk menghantar mangsa ke hospital.

Turut cedera dalam upacara ‘rawatan’ itu adalah anak perempuan suspek yang berusia 15 tahun dipercayai turut dipukul.

“Namun selepas ambulans datang, mereka mendapati kedua-dua mangsa tidak bernyawa dan telah menghubungi polis untuk siasatan lanjut,’’ katanya lagi.

Polis yang tiba ke tempat kejadian, mendapati suspek dan ahli keluarganya cuba untuk melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Ahmad nekad bawa balik anak ke Malaysia


BAGAN SERAI - "Walau apa pun yang berlaku, saya tetap akan pergi ke Lombok untuk membawa pulang anak gadis saya".

Itulah pendirian Ahmad Abdul Hamid, (gambar) 46, terhadap anak gadisnya, Noor Fadilah Ahmad, 18, yang kini berada di Desa Kesik, Lombok kerana mengikut teman lelakinya sejak awal bulan lalu.

Katanya, dia kini hanya menunggu pengesahan untuk bertolak ke sana antara 6 Oktober dan 10 Oktober ini.

"Kami menyambut Aidilfitri dalam keadaan tertekan memikirkan tindakan Noor Fadilah yang disifatkan sebagai di luar dugaan oleh seluruh kaum keluarga," katanya ketika dihubungi di rumahnya semalam.

Menurut beliau, keluarganya menerima panggilan telefon daripada Noor Fadilah pada pukul 4.30 petang kelmarin tetapi dia enggan melayan panggilan tersebut selepas melihat kenyataan anaknya yang disiarkan Kosmo! baru-baru ini.

"Kami memang mengenali Nasrudin sejak empat tahun lalu ketika dia tinggal di rumah yang terletak berhadapan rumah kami.

"Kerana mengenali sifatnya luar dan dalam secara menyeluruh, kami sekeluarga tidak akan merestui hubungan mereka berdua dalam apa jua keadaan sekali pun walau pun dia melamar dengan cara baik," katanya.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Fadilah tak mahu berpisah


NOOR FADILAH menghidang makanan kepada tetamu di rumah bakal ibu mentuanya di Lombok Timur semalam.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - "Tolonglah abah, benarkan kami berkahwin, saya benar-benar sayangkan Nasrudin, saya lebih sanggup mati dari pulang ke Malaysia."

Demikian rayu Noor Fadilah Ahmad, 18, ketika wartawan Kosmo! mengunjungi rumah keluarga Nasrudin Dahrom untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Desa Kesik, Lombok Timur kelmarin.

Menurut Fadilah, dia sedar apa yang dilakukannya itu sudah pasti akan melukakan hati ibu bapanya namun dia yakin sudah membuat keputusan untuk menentukan masa depannya.

"Saya sudah dewasa dan saya mula mengenali Nasrudin sejak berumur 15 tahun.


NOOR FADILAH mencium pipi ibu Nasrudin, Meme Romini selepas menunaikan solat Aidilfitri di Lombok Timur, Indonesia kelmarin. Turut memerhati kekasihnya, Nasrudin.

-------------------------------------------------------------------

"Sejak itu saya sudah mengenali hati budinya dan sekarang saya sudah berusia 18 tahun, benarkan saya buat keputusan untuk diri saya sendiri," jelasnya yang sehingga kini masih belum berkahwin kerana tidak mendapat izin wali.

Pasangan kekasih ini masih belum bernikah yang sepatutnya dijadualkan sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu kerana permohonan mereka untuk bernikah masih belum diluluskan.

Mereka dijangka diijabkabulkan dalam tempoh seminggu selepas hari lebaran ini.

Pada 1 Oktober lalu, bapa Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, menegaskan bahawa dia tidak merestui hubungan anaknya dengan Nasrudin dan bertekad mahu membawa pulang anaknya itu.

Ketika ditanya mengenai reaksi bapanya yang tidak bersetuju dengan hasratnya untuk berkahwin dengan Nasrudin dan tekad untuk membawa anaknya pulang, Fadilah memberitahu, dia akan tetap tinggal di sini walaupun dipaksa untuk pulang.

"Saya tetap ingin tinggal di sini, jangan paksa saya dan kalau ada rezeki saya akan pulang juga ke sana tetapi sebagai isteri Nasrudin yang sah dan mencari rezeki yang halal untuk kami," ujarnya dengan nada sedih.

Sementara itu, Nasrudin ketika ditemui menjelaskan, dia berharap dapat berunding dengan bapa Fadilah terlebih dahulu dan sekiranya gagal, dia akan mempertahankan Fadilah walau dengan cara apa pun.

"Saya mahu bapa Fadilah lihat keadaan kami di sini dan benarkan kami berkahwin dan jika diizinkan, kami akan berkahwin dengan segera tetapi jika sebaliknya, saya akan pertahankan Fadilah walau dengan apa cara sekalipun, saya sudah membawa dia lari jadi saya harus bertanggungjawab sepenuhnya," jelas beliau.

Malah Nasrudin turut merayu kepada keluarga Fadilah agar membenarkan mereka berkahwin dan bertekad untuk memberikan kehidupan yang baik kepada Fadilah.

"Saya merayu supaya keluarga Fadilah faham dengan niat ikhlas saya untuk memperisterikan Fadilah, tolong jangan pisahkan kami," ujarnya ringkas.

Wartawan Kosmo! turut difahamkan, Nasrudin memiliki tanah untuk menjalankan kegiatan pertanian seperti menanam tembakau dan padi, dia juga turut memiliki empat ekor lembu.

http://www.kosmo.com.my/03102008

Vitamin C halang kesan ubat kanser


WASHINGTON – Pengambilan vitamin C mungkin mengurangkan keberkesanan beberapa ubat melawan barah, menurut satu kajian terbaru yang disiarkan kelmarin.

Beberapa ujian berasingan terhadap sel barah di makmal, para saintis mendapati hanya 30 hingga 70 peratus sel tersebut mati sekiranya vitamin C digunakan terlebih dahulu sebelum ubat melawan barah.

Kajian yang dijalankan pada tikus juga mendapati sel barah tumbuh dengan lebih cepat sekiranya haiwan itu dirawat dengan ubat melawan barah dan juga diberi vitamin C. – AFP

http://www.kosmo.com.my/03102008

Not £1 juta gagal raih nilai muka


WANG kertas £1 juta yang dikenali sebagai Nombor Lapan berjaya dilelong dengan harga RM474,750 di London kelmarin.

-------------------------------------------------------------------

LONDON - Sebuah rumah lelongan di London, Britain menjual satu not kertas £1 juta (RM6.06 juta) dengan harga yang lebih rendah daripada nilai muka wang kertas berkenaan.

Rumah lelongan Spink memberitahu bahawa wang kertas Bank of England itu merupakan satu daripada sembilan keping yang dikeluarkan bersempena dengan Pelan Marshall selepas Perang Dunia Kedua.

Pelan yang hanya dijalankan selama enam minggu itu bertujuan untuk menjejak aliran dana-dana dalam negeri berikutan peperangan tersebut.

Menurutnya, not kertas yang berukuran 20 sentimeter lebar itu mempunyai nombor siri 000008 dan hanya dua keping wang kertas seperti itu masih wujud.

Wang kertas istimewa tersebut telah berjaya dilelong kelmarin dengan harga hanya £78,300 (RM474,750).

Spink memberitahu bahawa satu lagi not kertas seperti itu yang mempunyai nombor siri 000007 berjaya dilelong pada 1977. - AP

http://www.kosmo.com.my/03102008

Taiwan haramkan produk Nestle


SEORANG pekerja sebuah pasar raya mengalihkan semua produk yang dipercayai mengandungi melamin di Taipei semalam.

TAIPEI - Sebanyak enam produk susu syarikat Nestle diharamkan untuk jualan selepas ujian mendapati ia mengandungi melamin, kata Menteri Kesihatan Taiwan, Yeh Ching-chuan semalam.

"Ujian mendapati produk tersebut positif melamin dalam jumlah yang sangat rendah," katanya.

Menurutnya, produk tersebut yang dihasilkan di daerah Heilongjiang, China telah ditarik balik daripada jualan di Taiwan.

Produk tersebut yang dihasilkan oleh Shuangcheng Nestle Co. dijual di bawah label Nestle dan Klim, termasuk susu formula bayi serta produk susu untuk orang dewasa.

Bagaimanapun, jabatan kesihatan memberi jaminan bahawa paras melamin yang rendah dalam produk itu tidak mencetuskan risiko kesihatan.

Bagaimanapun, syarikat Nestle Taiwan semalam menegaskan bahawa melamin tidak ditambah pada produknya dan menuduh bahan kimia yang dikesan oleh kerajaan itu sebenarnya wujud dalam persekitaran semula jadi.

Syarikat itu dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa jumlah melamin yang dijumpai pada produknya sangat rendah dan bahan kimia itu hampir pasti wujud dalam semua produk makanan di dunia.

"Nestle tidak faham mengapa pihak berkuasa Taiwan mengharamkan produk ini walaupun ia diiktiraf selamat oleh standard antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu di Seoul, pihak berkuasa Korea Selatan mengharamkan import produk susu dari New Zealand yang digunakan dalam susu formula selepas satu ujian mendapati kehadiran melamin.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Korea Selatan menyatakan kejadian tersebut merupakan kes pertama membabitkan susu tercemar selain dari China. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/03102008

Berdiam demi keselamatan krew kapal

Oleh ATIKAH DALI
berita@kosmo.com.my



MOHD. HASSAN

-------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Selepas mengambil sikap berdiam diri, Malaysian International Shipping Corporation (MISC) tampil memberi penjelasan berhubung dua kapal tangki miliknya yang telah dibebaskan lanun.

Menurut Pengerusi MISC, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, tindakan berdiam itu adalah yang terbaik bagi memberi keutamaan kepada nyawa anak-anak kapal yang menjadi tebusan lanun.

Beliau berkata, kesemua anak kapal MT Bunga Melati 2 dan MT Bunga Melati 5 kini melepasi separuh perjalanan menuju ke Djibouti, Timur Afrika.

Jelasnya, kedua-dua kapal tersebut akan melakukan pertukaran anak kapal di Djibouti sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada 4 Oktober.

"Bukan untuk sembunyi (maklumat), tetapi keadaan krew kapal yang ditawan serta keluarga mereka di sini menjadi keutamaan kami.

"Ini adalah kejadian sebenar yang berlaku selain tekanan ketika membuat rundingan dengan lanun-lanun terbabit,'' katanya yang memberitahu dua buah kapal dirampas lanun itu merupakan kejadian pertama dalam sejarah MISC.

Hassan memberitahu, buat masa ini, perjalanan kedua-dua buah kapal terbabit belum melepasi kawasan lanun tersebut dan mereka diiringi serta dikawal oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembebasan kedua-dua kapal tangki itu dilakukan hasil rundingan pihak MISC, Majlis Keselamatan Negara dan TLDM selepas sejumlah wang tebusan dibayar kepada lanun tersebut.

MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada pukul 4.14 pagi kelmarin, manakala MT Bunga Melati 5 pula dibebaskan Sabtu lalu.

Mohd. Hassan bagaimanapun enggan mengulas berapa jumlah wang yang dibayar kepada lanun berkenaan dengan alasan menjaga keselamatan anak-anak kapal lain.

"Wang tebusan itu telah diserahkan kepada lanun tersebut melalui tentera kita yang berada di sana,'' katanya.

Kesemua anak kapal selamat, kecuali seorang kelasi warga Filipina yang mati akibat terkena peluru yang tersasar ketika kapal itu dirampas lanun pada 19 Ogos lalu.

Menjelas lanjut, kata Hassan, pihak MISC akan mengendalikan urusan kepulangan anak-anak kapal tersebut secepat mungkin dan ia akan memakan masa beberapa hari lagi sebelum mereka tiba di Malaysia.

"Kita berharap agar semua krew kapal akan pulang dengan selamat dan kita akan maklumkan pada keluarga masing-masing secepat mungkin.

"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga krew kapal yang banyak bersabar dan menghadapi kejadian ini dengan tenang,'' katanya.

http://www.kosmo.com.my/01102008

‘Saya tak restu’

Oleh AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my



AHMAD tetap tidak akan merestui perkahwinan Noor Fadilah (gambar kecil) dengan pemuda Lombok.

-------------------------------------------------------------------

BAGAN SERAI – “Remuk hati dan menggigil badan saya apabila mengetahui anak saya (Noor Fadilah Ahmad) akan berkahwin juga dengan pemuda dari Lombok (Nasrudin Dahrom) itu dalam masa terdekat.

“Tak terfikirkah dia betapa derita kami sekeluarga di sini semenjak kehilangannya. Sampai mati pun saya suami isteri tidak akan merestui perkahwinan itu sekiranya ia benar-benar terjadi.

Demikian luahan Ahmad Abdul Hamid, 46, apabila mengetahui anak sulungnya, Noor Fadilah, 18, atau digelar keluarga sebagai Kak Yong membuat pengakuan rela mengikut Nasrudin, 24, lari ke Desa Kesik, Lombok Timur seterusnya mahu mengahwini lelaki itu.

Beliau yang kelihatan kusut dan agak berserabut ketika ditemui berkata, sukar untuk menerima hakikat perbuatan Noor Fadilah dan Nasrudin yang disifatkan telah menconteng arang ke muka keluarganya.

“Jika benar Nasrudin mahu anak saya, kenapa dia tak minta (melamar) dengan cara baik kepada saya, sedangkan tempat tinggalnya cuma berhadapan dengan rumah saya.

“Bagaimanapun saya mahu bertemu sendiri dengan Kak Yong dan Nasrudin untuk mendengar penjelasan daripada mulut mereka sendiri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Ladang Sungai Gedong dekat sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan pengakuan Noor Fadilah yang rela hati mengikut Nasrudin ke kampung halaman kekasihnya kerana mencintai lelaki itu dan tekad mahu mengahwininya.

Sebelum itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berhasrat membantu membawa pulang gadis tersebut ke pangkuan keluarganya setelah bersimpati dengan keluhan Ahmad yang mendapat berita anak gadisnya menderita setelah dilarikan ke Kepulauan Lombok oleh Nasrudin.

Ahmad yang telah menyediakan segala persiapan untuk ke Lombok Timur termasuk mendapatkan pasport antarabangsa kelmarin memberitahu, beliau masih mahu membawa Kak Yong pulang semula ke rumahnya.

Sehubungan itu, beliau merayu Pengerusi Sekretariat Pengaduan dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim agar membantunya mempercepatkan misi untuk ke Lombok Timur yang tertangguh sebelum ini.

Difahamkan pemergian ke kampung halaman Nasrudin yang dirancang esok terpaksa ditangguhkan kira-kira seminggu lagi bagi membolehkan Abdul Azeez bertemu dengan Ketua Polis Indonesia pada 6 Oktober ini bagi merancang strategi membawa pulang Noor Fadilah.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Hasrat Ahmad tidak dapat dipenuhi

KUALA LUMPUR - Hasrat keluarga Ahmad Abdul Hamid, 46, untuk mempercepatkan usaha membawa pulang anaknya dari Lombok, tidak mampu dipenuhi Sekretariat Pembelaan Masyarakat dan Pemuda UMNO yang telah terikat dengan rundingan bersama pihak berkuasa Indonesia.



-------------------------------------------------------------------

Pengerusi sekretariat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (gambar) ketika dihubungi berkata, pihaknya memang bersimpati terhadap keluarga Ahmad lebih-lebih lagi setelah mendapat berita Noor Fadilah, 18, mahu mengahwini jejaka Lombok itu.

"Untuk mempercepatkan perjalanan itu kemungkinan tidak boleh kerana rundingan dengan pihak berkua- sa di Indonesia sudah menetap- kan tarikh antara 6 dan 10 Okto- ber ini.

"Semua yang diputuskan itu adalah atas faktor keselamatan dan pihak sekretariat harus menghormati keputusan yang telah digariskan dan kita akur dengan arahan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rayuan Ahmad yang mahu mempercepatkan usaha membawa pulang anaknya dari Lombok setelah Kosmo! semalam melaporkan bahawa Fadilah sebenarnya mencintai Nasrudin dan akan mengahwininya.

Menurut Abdul Azeez, pihaknya tidak boleh ke Lombok jika tidak mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Indonesia dan misi itu juga dirujuk dengan Kedutaan Malaysia di Indonesia serta Ketua Polis Indonesia.

Tambahnya, misi itu akan lebih selamat jika ia diiringi dan dipantau oleh wakil-wakil di sana selain beberapa ahli rombo- ngan dari Malaysia.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Nikah ditangguh


NOOR FADILAH menyiapkan juadah hari raya untuk bakal suaminya, Nasrudin menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lombok semalam.

-------------------------------------------------------------------

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Usaha untuk mengahwinkan Noor Fadilah Ahmad, 18, dengan Nasrudin Dahrom, 24, tidak dapat dilakukan semalam ekoran masalah permohonan untuk berkahwin masih belum diluluskan.

Bagaimanapun, pasangan tersebut menjangka dapat meneruskan hasrat mereka dalam tempoh seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri yang turut disambut oleh umat Islam di sini hari ini.

Menurut Nasrudin, dia tidak bercadang untuk melakukan majlis kenduri kahwin seperti yang lazim dilakukan sama ada di Malaysia atau di sini.

"Tiada majlis perkahwinan, biasa sahaja, cincin kahwin sudah tempah dan akan diambil selepas hari raya nanti. Majlis pernikahan pula saya cadang dalam tempoh seminggu selepas hari raya.

"Persediaan hari raya pula sama seperti tahun-tahun yang lain, tidak ada bezanya walaupun tahun ini agak istimewa kerana keluarga saya bakal menerima menantu baru," katanya kepada Kosmo! semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kesediaan Noor Fadilah untuk berkahwin dengan pemuda dari Desa Kesik, Lombok Timur.

Malah, dia yang sebelum ini didakwa dilarikan oleh pemuda tersebut tidak sedikitpun menunjukkan rasa kecewa atau tertekan seperti yang dilaporkan.

Dia yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai, Perak nekad mengikut Nasrudin pada 3 September lalu ketika bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor.

Ekoran itu, Kosmo! 24 September lalu melaporkan keluhan ayahnya, Ahmad Abdul Hamid, 46, setelah mendapat tahu anaknya sudah dilarikan oleh pemuda tersebut.

Sementara itu, Noor Fadilah ketika ditemui memberitahu, dia turut membantu keluarga Nasrudin membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya ini dengan menyediakan juadah mengikut adat budaya di sini.

"Tetapi ibu Nasrudin yang banyak buatkan makanan seperti ketupat dan kuih yang dipanggil jajan pulut dan tapai, saya tengok sahaja dan belajar macam mana kuih tu dibuat.

"Masih banyak yang saya perlu tahu mengenai adat di sini, insya-Allah saya akan jadi seorang isteri yang baik," katanya.

http://www.kosmo.com.my/01102008

Produk teh susu Lipton ditarik balik



HONG KONG - Pengeluar produk makanan Belanda, Unilever semalam mula menarik balik beberapa serbuk teh susu jenama Lipton di Hong Kong dan Macau.

Tindakan itu dilakukan selepas pihak pengurusan syarikat tersebut mendapati sejenis bahan kimia terdapat dalam serbuk berkenaan.

Menurut satu kenyataan Unilever Hong Kong Ltd, arahan menarik balik empat produk serbuk teh susu Lipton tiga dalam satu itu dikeluarkan selepas syarikat berkenaan menemui bahan kimia melamin dalam beberapa produk tersebut.

Pengarah Pemasaran Unilever Hong Kong, Sharon Hwang berkata, produk yang mengandungi bahan tercemar itu menggunakan tepung susu keluaran China sebagai bahan mentah.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jenama dari China yang digunakan oleh syarikat itu.

"Bagi mematuhi arahan penguat kuasa tempatan dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami menarik balik semua produk daripada pasaran Hong Kong dan Macau," katanya.

Minggu lalu, Unilever turut mengeluarkan produk teh susu hijau Lipton dari pasaran Taiwan kerana produk tersebut menggunakan susu keluaran China. - AP

http://www.kosmo.com.my/01102008

Saturday, October 4, 2008

Tiada usul Gerakan keluar BN



Oct 3, 08 5:36pm

Tiada usul dikemukakan untuk membincangkan kemungkinan Gerakan meninggalkan Barisan Nasional dalam persidangan perwakilan tahunannya minggu depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, tiada negeri mencadangkan usul itu dalam pertemuan parti itu pada 10-12 Oktober.

Ahad lalu, pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, sentimen 60 peratus ahli mahukan ia meninggalkan BN.

Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan satu mesyuarat agung khas (EGM) diadakan bagi membincangkan kehendak majoriti ahli parti itu.

Bagaimanapun Koh hari ini dilaporkan berkata isu tersebut akan dibincangkan secara dalaman.

Chia juga berkata, walaupun tanpa usul keluar BN, isu itu mungkin akan turut dibahaskan oleh beberapa perwakilan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90688

Tindakan Hindraf boleh gagal rundingan bebas tahanan ISA


Oct 3, 08 3:55pm

Tindakan Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) menyerbu rumah terbuka Aidilfitri Perdana
Menteri dan menteri boleh menggagalkan rundingan bagi membebaskan lima pemimpinnya yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sambil melahirkan rasa kecewanya, Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berkata tindakan kira-kira 1,000 penyokong Hindraf menyerbu rumah terbuka itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PwTC), Kuala Lumpur kelmarin boleh menyebabkan segala rundingan antara MIC dengan kerajaan bagi membebaskan lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di Kamunting gagal.

Katanya, kerana taksub untuk menjadi ketua, terdapat pihak yang sengaja menjadikan perkara itu sebagai isu dengan tujuan supaya kelima-lima tahanan
terbabit terus ditahan.

"Sebenarnya ada pemimpin yang akan tertekan sekiranya tahanan ini bebas, segala penipuannya yang dijalankan semata-mata ingin menjadi ketua yang
disanjungi dan dihormati akan berkubur.

"Saya mahu semua kaum India yang menganggotai kumpulan ini berhenti mendengar segala nasihat dan tohmahan yang dikeluarkan pemimpin kumpulan ini serta meninggalkannya," katanya seperti laporan Bernama.

Samy Vellu turut mencabar pemimpin Hindraf P Waythamoorty, yang berada di London, untuk kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan kepada pengikutnya mengenai semua persoalan
termasuk wang hasil kutipan Hindraf selama ini.

"Jelaskan kepada mereka (pengikut Hindraf), adakah permergiannya ke London untuk menuntut hak RM1 juta untuk semua pengikut Hindraf atau menghabiskan semua duit anggota kumpulannya yang dikutip dan lari ke sana," kata Samy Vellu.

Bagaimanapun Hindraf menafikan ia menyerbu atau menimbulkan kekecohan di majlis itu seperti laporan beberapa media.

Penyelarasnya RS Thanenthiran dilaporkan berkata mereka mengirim surat rasmi untuk hadir di majlis tersebut untuk mengucapkan Selamat Hari Raya.

Tambahnya pembantu peribadi kanan perdana menteri Datuk Ahmad Yaakob menerima surat tersebut dan memaklumkan bahawa sesiapa sahaja boleh hadir di rumah terbuka Abdullah.

http://www1.malaysiakini.com/news/90672

Siasat rakyat tanpa kad pengenalan

Oct 3, 08 2:51pm

Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas memantau masalah yang kian meningkat berhubung rakyat Malaysia yang tidak berstatus warganegara.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan pasukan itu memantau teras masalah itu, di samping masalah berkaitan dokumentasi dan mencari penyelesaiannnya.

Pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam berkata isu itu menjadi kebimbangan terutamanya kebelakangan ini dan perlu ditangani dengan segera, lapor Bernama.

"Adalah menyedihkan ada sesetengah rakyat Malaysia masih dinafikan dengan dokumen pengenalan diri pada masa ini.

"Ini adalah melanggari hak asasi manusia kerana tidak ada rakyat Malaysia yang layak dinafikan dengan hak kewarganegaraan," katanya kepada agensi berita nasional.

Minggu lepas, pekerja sambilan P Ragu menjadi perhatian negara apabila terpaksa ke Perak dari Johor untuk memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membantunya mendapatkan MyKad, setelah menggunakan dokumen pengenalan sementara sejak 1998.

Susulan itu, MIC menganggarkan sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Malaysia keturunan India masih lagi tanpa dokumen pengenalan diri.

Subramaniam berkata Suhakam juga mengendalikan banyak kes seperti itu tetapi setiap kali perkara itu dibangkitkan pada Jabatan Perdaftaran Negara (JPN), ia diberitahu proses mendapatkan dokumen pengenalan diri adalah rumit dan memakan masa yang lama.

Beliau mencadangkan JPN mengambil kakitangan dan mengerahkan lebih ramai pegawai yang boleh bertutur dalam dialek tempatan di estet dan kawasan pedalaman bagi membantu penduduk mendaftarkan diri dan memupuk kesedaran pentingnya ibu bapa mendaftar anak mereka.

Suhakam dilaporkan berhasrat menyiasat kes seorang penduduk Sino-Kadazan berusia 78 tahun di Penampang yang diberikan kad pengenalan diri merah dengan status pemastautin tetap setelah kad pengenalan birunya hilang.

http://www1.malaysiakini.com/news/90666
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...