Saturday, October 16, 2010

Pemimpin masyarakat dapat elaun RM800 sebulan

2010/10/16

RM100j diperuntuk naik taraf sosioekonomi Orang Asli, pribumi

KUALA LUMPUR: Elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru akan dinaikkan kepada RM800 sebulan, berbanding RM450 sekarang bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bagi memastikan elaun itu dinikmati semua Ketua Kampung, ia turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan.

Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa daripada RM30 kepada RM50, selain elaun bulanan Imam dinaikkan daripada RM450 kepada RM750 sebulan, manakala imbuhan bulanan guru Kemahiran Asas Fardu Ain (KAFA) dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 sekarang, mulai Januari tahun depan.

Selain itu, RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan pribumi.

Najib berkata, ia termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli menerusi penyusunan semula Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata semua pengerusi jawatankuasa berkenaan membabitkan kira-kira 15,000 kampung.
“Peruntukan dan perhatian yang diberikan kerajaan kepada Bumiputera dan Melayu, membuktikan tanggapan bahawa golongan berkenaan membabitkan antara 70 hingga 80 peratus di negara ini terpinggir, tidak benar.

“Lebih jelas lagi apabila RM100 juta disediakan khusus untuk melaksanakan program menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli,” katanya.

Selain itu, Shafie berkata, penyusunan semula JHEOA sesuatu yang perlu untuk memberi tumpuan terhadap kebajikan dan masa depan kumpulan sasaran.

Kenaikan cukai perkhidmatan satu peratus

2010/10/16

KERAJAAN mencadangkan kenaikan cukai perkhidmatan kepada enam peratus daripada lima peratus pada masa ini untuk menjana pendapatan cukai tambahan dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara bagi melak-sanakan pembangunan nasional.

Pelaksanaan cadangan berkenaan akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan cadangan itu pada pembentangan Bajet 2011, bagaimanapun memberi jaminan kenaikan tidak akan membebankan rakyat memandangkan angka kenaikannya kecil.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang bermula tahun depan.

Pelaksanaan inisiatif NKEA penting bagi menggerakkan ekonomi domestik kerana ekonomi global dijangka tumbuh dengan perlahan dalam separuh kedua tahun ini dan tahun depan yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Skim beli rumah tanpa deposit

2010/10/16

Milikan pertama bagi gaji kurang RM3,000

KERAJAAN akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas Bhd (Cagamas) yang akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Skim ini untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan. Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan seperti amalan lazim.

Pada masa sama, hanya pembeli rumah pertama juga akan diberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah berharga tidak melebihi RM350,000.

Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama itu.
Bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah pula kerajaan menyediakan RM568 juta bagi membina 300 kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah.

Selain itu, bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet dan warga negara Malaysia untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua.

Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah kerajaan menggariskan tiga langkah penambahbaikan pada bajet ini.

Langkah pertama ialah membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik; menggandakan kadar pinjaman kepada RM20,000
berbanding RM10,000 untuk kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.

Langkah ketiga, menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa kini.
Semua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.

CUEPACS puas hati banyak tuntutan dilayan

2010/10/16

CUEPACS gembira dengan Bajet 2011 yang memenuhi sebahagian besar tuntutan 1.24 juta penjawat awam selama ini, tetapi masih berharap kerajaan dapat memberikan bonus dua bulan gaji kepada mereka pada tahun ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, CUEPACS juga menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dianggap bermasalah sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, penambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari, peningkatan kadar bantuan mengurus jenazah, kemudahan memiliki rumah, penyambungan perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS), menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

“Kami melihat bajet ini menunjukkan ekonomi sudah pulih dan mantap. Bajet yang komprehensif membabitkan semua sektor dan terima kasih kerana banyak tuntutan kami dilayan. Cuma terkilan dan sedih kerana tidak dapat bonus selain tuntutan lain tidak diambil kira seperti elaun kos sara hidup (COLA), elaun wilayah dan imbuhan tetap perumahan.

“Fokus ahli pada setiap kali bajet adalah bonus kerana ia satu langkah meningkatkan produktiviti dan semangat baru pekerja awam, namun bila diumumkan hanya dapat elaun, kami agak kecewa kerana hasrat mendapat bonus tidak kesampaian,” katanya.

“Bagaimana pun, kami berharap ahli bersabar dan terus meningkatkan produktiviti. CUEPACS akan terus memperjuangkan tuntutan yang tidak dipenuhi termasuk bonus dua bulan gaji dengan menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan semula, Isnin ini,” katanya.

Kerajaan tak beri bonus bagi elak perbelanjaan melebihi pendapatan: PM

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memberikan bantuan kewangan khas dan bukan bonus sebulan kepada kakitangan awam kerana tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.

Perdana Menteri berkata, sekiranya kerajaan memberikan bonus sebulan ia menyebabkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM3.1 bilion.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lonjakan mega

Oleh Saidon Idris
saidon@bharian.com.my
2010/10/16

Bajet 2011 angkat Malaysia sebagai negara maju pendapatan tinggi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam membentangkan Bajet 2011 yang menjadi lonjakan mega bagi mengangkat Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi dengan mengambil kira kepentingan segenap lapisan masyarakat.

Bertemakan Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi, bajet ke-53 itu turut menumpukan kepada usaha pembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Dengan peruntukan RM212 bilion, meningkat 2.8 peratus berbanding Bajet 2010, bajet tahun depan disasarkan mencapai matlamatnya menerusi empat strategi, iaitu merangsang kembali pelaburan swasta; membangunkan modal insan; mensejahterakan hidup rakyat dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Ia dirangka seiring dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Bagi merangsang pelaburan swasta, Perdana Menteri menggariskan 20 inisiatif utama, iaitu pelaksanaan projek perkongsian swasta; pembangunan strategi berimpak tinggi; mencergaskan pasaran modal; mempergiatkan industri modal teroka; mewujudkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera dan Dana Pencen Swasta; meningkatkan kegiatan industri elektrik dan elektronik serta merancakkan industri minyak, gas dan tenaga.

Inisiatif lain ialah memajukan teknologi hijau; menyuburkan sektor pertanian; merancakkan industri pelancongan; memangkin industri minyak sawit, meningkatkan potensi industri teknologi maklumat dan komunikasi; menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan; pembangunan koridor dan wilayah; menggalakkan penyelidikan pembangunan dan pengkomersialan; menambah perundangan insolvensi; memajukan lagi industri kreatif serta memperkukuhkan kedudukan kewangan negara.
Dalam setiap inisiatif itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan pelbagai projek, pemberian insentif serta peruntukan dana yang bakal menggalakkan kegiatan ekonomi domestik seterusnya merangsang pendapatan rakyat.

Bagi membangunkan modal insan, Najib menggariskan 10 inisiatif dengan matlamat mengeluarkan negara daripada perangkap terlalu bergantung kepada sumber asli, sebaliknya menjadi sebuah ekonomi yang berteraskan pengetahuan yang menjanjikan pendapatan lebih tinggi.

Inisiatif itu ialah mempergiatkan usaha menarik bakat; memperluas akses kepada pendidikan berkualiti; memperkasa pendidikan awal; memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah; memperkasa pengajian tinggi; mempergiat program latihan dan kemahiran; pengenalan Program Latihan 1Malaysia; meningkatkan produktiviti pekerja; memperluaskan pembabitan wanita dalam ekonomi serta pembangunan sukan.

“Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi,” tegas Perdana Menteri.

Ke arah mensejahterakan hidup rakyat, Najib menggariskan 12 inisiatif yang membabitkan pemberian insentif, pelaksanaan pelbagai program serta projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur bagi memastikan mutu kehidupan lebih baik di seluruh negara.

Beliau juga mengumumkan pemberian sagu hati RM500 dan insentif bagi memudahkan kakitangan awam memiliki rumah termasuk menaikkan kelayakan pinjaman perumahan kepada RM450,000 daripada RM360,000.

Perdana Menteri berkata, daripada peruntukan RM212 bilion bagi Bajet 2011 itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Bagi peruntukan pembangunan, katanya, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar, manakala RM15.5 bilion bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Najib menegaskan, dengan pelaksanaan inisiatif dalam Bajet 2011 itu serta jangkaan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang dijangka sederhana, ekonomi negara dijangka mampu berkembang pada kadar antara lima hingga enam peratus tahun ini.

Pendapatan perkapita pula diunjurkan bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000 sementara pendapatan per kapita mengikut kuasa beli pariti meningkat kepada AS$16,000 dengan mengambil kira paras inflasi yang sederhana pada dua hingga tiga peratus dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus.

Perdana Menteri turut mengumumkan semakan semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini kepada tujuh peratus daripada enam peratus sebelum ini yang dicapai hasil langkah proaktif yang diambil kerajaan dan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Penjawat awam dapat pelbagai insentif menarik

2010/10/16

PENJAWAT awam dan kakitangan swasta di Seremban bersorak mendengar pembentangan Bajet 2010 yang dibentangkan Najib di Parlimen, semalam.
PENJAWAT awam dan kakitangan swasta di Seremban bersorak mendengar pembentangan Bajet 2010 yang dibentangkan Najib di Parlimen, semalam.
Sumbangan dihargai terutama komitmen jaya inisiatif kerajaan

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak semalam memberi pelbagai insentif menarik kepada penjawat awam, pegawai kontrak dan pesara kerajaan di seluruh negara, antaranya pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan kadar bantuan mengurus jenazah.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai sumbangan semua pihak termasuk penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan dan dengan harapan supaya penjawat awam terus berusaha.

Katanya, bantuan khas kewangan diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan pada Disember ini bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

“Kerajaan juga bersetuju memansuhkan PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik penjawat awam menjelang Jun 2011.

“Ia adalah usaha berterusan dalam menyedia kerangka penilaian lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambil kira maklum balas penjawat awam,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini terhadap penjawat awam dan pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah.
Beliau berkata, perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat (PKS) yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi dengan kementerian dan agensi tidak dibenar untuk menambah bilangan PKS baru.

Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat membuat pinjaman perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

“Kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 bagi Kumpulan Sokongan Dua dan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000.

“Semua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011,” katanya.

INTI PATI BERKAITAN PEMBANGUNAN DALAM BAJET 2011

Sabtu Oktober 16, 2010

KUALA LUMPUR: Berikut adalah inti pati Bajet 2011 yang berkait dengan pembangunan:

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

* Pembangunan resort bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar 5 peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.

* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah. * RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatkan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.

* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. * Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.

* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.

* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada tahun 2010.

* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Enrolmen prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.

* Enrolmen prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.

* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Pengecualian duti eksais 100 peratus ke atas pembelian sebuah kenderaan nasional oleh Orang Kelainan Upaya (OKU).

* Memperluaskan pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa sehingga RM5,000.

* Mengecualikan 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi rumah kediaman pertama.

* Mengecualikan 100 peratus duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid.

* Melaksanakan Program Latihan 1Malaysia dengan peruntukan RM500 juta di Kolej Komuniti, IKBN, ILP dan Pusat Giat Mara.

* Menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara sebagai platform dalam penetapan gaji dan pengenalan gaji minimum mulai Januari 2011.

* Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA ke peringkat tertinggi Gred Turus III, II dan I serta penganugerahan Profesor Ulung.

* Menubuhkan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta.

* Menaikkan imbuhan Guru KAFA dari RM500 kepada RM800 sebulan.

* Menaikkan elaun bulanan RM750 sebulan kepada imam.

* Menaikkan elaun kepada Pengerusi JKKK dan Pengerusi JKKP, Tok Batin, dan Pengerusi JKKK Orang Asli, Pengerusi JK Kampung Baru, Pengerusi JK Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi JK Kampung Bagan dari RM450 kepada RM800.

* Elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dinaikkan dari RM30 ke RM50.

* Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, pegawai kontrak dan pesara kerajaan.

* Memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

* Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember untuk tempoh satu tahun lagi.

* Menaikkan kadar pinjaman perumahan kakitangan awam kepada RM20,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua.

* Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kakitangan awam kepada RM450,000.

* Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000.

* Memberi fleksibiliti dengan menentukan cuti bersalin sehingga 90 hari kepada penjawat awam wanita tertakluk kepada had semasa 300 hari. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_berita/20101015164647&sec=mstar_berita

BAJET 2011: Mentransformasi Malaysia negara maju berpendapatan tinggi

Published: Sabtu Oktober 16, 2010 MYT 4:38:00 PM
Updated: Sabtu Oktober 16, 2010 MYT 8:31:04 AM

KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, tumpuan kepada sektor swasta adalah sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara pada era pra-kegawatan.

"Kerajaan akan mempergiatkan insiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) bertujuan meningkatkan penyertaan sekstor swasta dalam kegiatan ekonomi.

"Pelaksanaan projek PPP dengna peruntukan kerajaan disediakan sebagai ‘tipping point’ bagi membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui swasta menjadi lebih berdaya maju,” katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Bangunan Parlimen pada Jumaat.

Sehubungan itu, beberapa projek PPP telah dikenalpasti dalam Rancangan Malaysai Kesepuluh (RMK10) akan dimulakan pada tahun hadapan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.

"Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Dana Mudahcara.

"Sebuah lagi projek PPP yang dikenalpasti adalah Academic Medical Centre Sdn Bhd dengan John Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland. Projek ini melibatkan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion,” katanya.

Dengan tema ‘Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi’, bajet pada tahun ini menumpukan kepada empat strategi utama berikut:

Pertama: Mendaya kembali pelaburan swasta

Kedua: Membangungkan modal insan

Ketiga: Mensejahterakan hidup rakyat

Keempat: Memantapkan penyampaianperkhidmatan awam

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_berita/20101015163627&sec=mstar_berita

Skim Rumah Pertamaku Bantu Rakyat Miliki Rumah Di Usia Muda

Sabtu Oktober 16, 2010

KUALA LUMPUR: Skim Rumah Pertamaku yang bertujuan memudahkan golongan muda pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah mendapat sambutan positif daripada pelbagai persatuan pengguna.

Masing-masing melihat skim itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2011, sebagai satu langkah yang dapat meringankan beban pembeli muda.

Ketua Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan Nadzim berkata ia merupakan satu pendekatan yang baik bagi memberi jaminan kepada masa depan pemuda.

Penghapusan bayaran 10 peratus wang pendahuluan akan memudahkan golonganmuda memiliki rumah kerana jumlah itu bukan mudah untuk diperolehi khususnya mereka yang berpendapatan sederhana, katanya kepada Bernama di sini.

Najib dalam pembentangan Bajet 2011 berkata Skim Rumah Pertamaku yang akan dilaksana melalui perbadanan gadai janji nasional, Cagamas Bhd, adalah untuk membantu golongan muda yang pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan memiliki rumah.

Menerusi skim itu pembeli akan mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.

Skim tersebut juga menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan oleh pembeli rumah pertama sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Pengguan Malaysia (Fomca) Muhammad Sha’ani Abdullah berharap skim itu akan dilaksana menerusi satu sistem yang baik agar ia tidak diselewengkan.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memantau pembelian rumah bernilai di bawah RM250,000 yang disifatkannya sering disasar oleh golongan kaya untuk meraih keuntungan. Sementara itu di PULAU PINANG, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S.M.Idris pula berpendapat skim itu perlu diperluas kepada semua rakyat sebagai usaha menyelesaikan masalah pembeli rumah.

Sementara itu mengulas isu berlainan, Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu menyifatkan tindakan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd untuk tempoh lima tahun akan datang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Pengekalan kadar tol itu akan mengurangkan implikasi pengguna yang mana harga barang juga besar kemungkinan akan kekal pada kadar yang sama kerana harga pengangkutan dapat kekal pada kadar sedia ada," katanya kepada Bernama.

Selain itu, pengguna juga dapat berjimat daripada segi kos pengangkutan untuk jangka masa panjang dan bagi sektor pengangkutan pula mereka boleh membuat perancangan untuk memajukan perniagaan mereka memandangkan kadar tol kekal untuk lima tahun akan datang, katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_berita/20101015225549&sec=mstar_berita

"Ini Bukan Bajet Pilihan Raya"

Sabtu Oktober 16, 2010

KUALA LUMPUR: Beberapa hari sebelum Bajet 2011 dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, spekulasi mulai timbul kononnya ia akan menjadi 'bajet pilihan raya'.

Penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat kali kedua Rabu lepas menguatkan lagi spekulasi itu, semasa para analisis mencari lebih banyak petunjuk, seperti kemungkinan pengurangan cukai pendapatan, peningkatan cukai beberapa barang dan bonus buat petugas kerajaan.

Bagaimanapun semasa ia dibentangkan dengan beberapa potongan cukai, mereka percaya ia jauh menyimpang daripada terma bajet pilihan raya, kerana keseluruhan bajet dilihat bergerak ke arah menambah pendapatan bagi golongan berpendapatanredah, kebanyakannya di bawah pendapatan RM3,000, di samping menambah baik sistem penyampaian kerajaan selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Jika anda tanya sekiranya ini adalah bajet pilihan raya atau tidak, saya akan katakan tidak. Agenda-agenda penting sebuah bajet pilihan raya tidak kelihatan di sini," kata ahli ekonomi yang juga bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn. Fong, bekas dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya berkata, bajet itu dilihat bergerak ke arah membaiki sistem penyampaian kerajaan dalam usaha menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Jika anda lihat dengan teliti, peningkatan dalam cukai perkhidmatan daripada lima kepada enam peratus, bertujuan untuk bersiap sedia untuk pelaksanaan GST, mungkin pada empat peratus tidak lama lagi.

"Jadi penangguhan Rang Undang-undang GST kononnya petanda bahawa pilihan raya semakin hampir, adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagaimanapun di pihak pembangkang, mereka tetap dengan pendirian bahawa bajet ini adalah bajet pilihan raya kerana kerajaan memasukkan beberapa langkah tertentu seperti peruntukan RM500 juga kepada kontraktor Kelas F, meningkatkan elaun bulanan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan juga peningkatan perbelanjaan buat sektor perbekalan dan perkhidmatan.

"Saya masih percaya yang ini adalah bajet pilihan raya. BN kelihatan sedang bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya umum," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua.

Pandangannya itu turut dikongsi oleh penganalisis politik Prof James Chin diMonash University di sini.

"Kali terakhir petugas kerajaan tidak dapat banyak, dan kali ini Perdana Menteri memberikan insentif RM500 untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah," katanya.

Bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian pula, Bajet 2011 bukan satu bajet pilihan raya, kerana ia lebih kepada langkah Perdana Menteri mewujudkan keseimbangan antara pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur.

"Ini mungkin langkah pertama ke arah pilihan raya, tapi ia bukan bajet pilihan raya," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu.

"Pada pandangan saya Perdana menteri sebenarnya sedang memberi tumpuan kepada bajet yang dapat membantunya dalam mendapatkan hasil Rancangan Transformasi Kerajaan dan Rancangan Transformasi Ekonomi," katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/16/mstar_berita/20101015232921&sec=mstar_berita

Tol 4 lebuh raya tidak dinaikkan



Mulai semalam orang ramai tidak akan dibebani dengan kadar kenaikan tol di empat lebuh raya kendalian PLUS.


KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd. (PLUS) tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta bagi meringankan beban pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.

Sementara itu, UEM Group Bhd. (UEM Group) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mewujudkan sebuah syarikat khas (SPV) untuk tawaran mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti PLUS pada harga berjumlah RM23 bilion.

Tawaran yang akan dibayar secara tunai itu adalah bersamaan dengan RM4.60 untuk setiap saham, demikian menurut kenyataan bersama KWSP dan UEM Group.

UEM Group akan menguasai sebanyak 51 peratus pegangan di dalam syarikat khas tersebut manakala 49 peratus lagi akan dimiliki KWSP.

Tawaran ini bergantung kepada kejayaan penstrukturan semula Perjanjian Konsesi dengan terma-terma yang boleh dipersetujui oleh semua pihak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

RM212 bilion untuk transformasi



NAJIB ketika membentangkan Bajet 2011 di Parlimen semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Belanjawan 2011 berjumlah RM212 bilion yang menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Ketika berucap di Dewan Rakyat semalam, beliau menyifatkan bajet ini sebagai meletakkan 'bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap, sekali gus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju' yang tinggal sembilan tahun, dua bulan dan 17 hari lagi.

Bajet bertemakan 'Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi' itu memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu Mendaya Kembali Pelaburan Swasta; Membangunkan Modal Insan; Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam.

Bagi menggerakkan kembali sektor pelaburan swasta, Najib berkata, kerajaan mempergiatkan inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP) yang dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan akan dilaksanakan tahun depan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.

Antara PPP tersebut ialah projek-projek lebuh raya baru Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Cheras- Pandan, Lebuh Raya Guthrie-Damansara, Lebuh Raya Damansara- Petaling Jaya, Lebuh Raya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuh Raya Sungai Dua-Juru dan Lebuh Raya Paroi-Senawang-KLIA.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1016&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Tidak abai kebajikan penduduk luar bandar

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM6.9 bilion dalam Bajet 2011 untuk pelaksanaan infrastruktur asas membuktikan kerajaan mendahulukan rakyat termasuk di luar bandar.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Datuk Abdul Puhat Mat Nayan berkata infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan di luar bandar penting buat penduduk luar bandar berbanding di bandar kerana kebanyakkannya miskin dan berpendapatan rendah.


“Penduduk luar bandar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kira-kira 8.5 juta orang. Jumlahnya tinggi maka itu kerajaan perlu memastikan mereka turut mendapat kemudahan asas agar penduduk luar bandar tidak ketinggalan jauh berbanding penduduk bandar,” katanya.


Beliau mengulas pengumuman Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan menyediakan RM6.9 bilion untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.


Sebanyak RM300 juta juga akan dibelanja untuk melaksanakan program bantuan rumah bagi golongan miskin dan miskin tegar melibatkan pembinaan dan baik pulih 12,000 unit rumah di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak.


Abdul Puhat berkata peruntukan infrastruktur asas, program bantuan rumah bagi golongan miskin dan miskin tegar amat diharapkan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidakabaikebajikanpendudukluarbandar/Article

Pembinaan resort di pedalaman mampu rancak industri pelancongan

2010/10/16

PERUNTUKAN RM85 juta yang diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2011 untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong dijangka mampu merancakkan industri terutama eko-pelancongan.

Presiden Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (Maho), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak pembinaan hotel dan resort di kawasan berpotensi diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.


“Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kita masih mempunyai kira-kira 60 peratus hutan semula jadi dan ini menjadi tarikan pelancong terutama mereka yang datang dari negara maju,” katanya.


Menurutnya, kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia lebih gemar memilih kawasan hutan, berhampiran sungai atau laut, lokasi berbukit-bukau serta hampir dengan alam semula jadi sebagai cara melarikan diri daripada kesibukan kota yang dipenuhi hutan batu.


“Malah, kita bukan saja memiliki alam semula jadi sebagai produk pelancongan tetapi turut memilik pusat membeli-belah bertaraf antarabangsa,” katanya.


Abdul Aziz berkata, walaupun peruntukan RM85 juta itu masih kecil, namun ia dianggap sebagai permulaan yang baik dalam memacu industri eko-pelancongan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2011, berkata perolehan industri pelancongan pada 2009 ialah RM53 bilion dan ia berpotensi menyediakan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan, sekali gus meningkatkan pendapatan negara. Mengenai eko-pelancongan ini Abdul Aziz berkata, kerajaan perlu menjalankan program pemeliharaan berterusan kerana ia adalah harta berharga yang perlu dilindungi.


“Kita bimbang sekiranya kian maju, tetapi tiada pemeliharaan dilakukan maka, negara kita berkemungkinan sama seperti negara lain dan hilang keunikan bumi Malaysia,” katanya.


Menurutnya, antara lokasi yang dicadangkan sesuai untuk dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan adalah Pahang, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pembinaanresortdipedalamanmampurancakindustripelancongan/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...