Sunday, February 15, 2009

Lagi angkara penyangak Arab


KERATAN Kosmo! 10 Februari.


SUBANG JAYA - Penyangak Pak Arab mengganas lagi! 
Kali ini bukan dengan memaksa mangsa menyerahkan barang atau pukau tetapi dengan cara sengaja menjatuhkan wang RM15 di atas jalan.

Melalui taktik yang sama, dua lelaki dipercayai keturunan Arab dapat melarikan RM50,000 daripada seorang pengurus koperasi di sini semalam.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku di sebuah bank di kawasan Taipan di sini apabila pengurus terbabit baru sahaja mengeluarkan wang yang diisi di dalam beg.

Mangsa yang berusia dalam lingkungan 50-an tersebut terpedaya dengan tindakan licik suspek yang menghampirinya ketika mangsa hendak memulakan perjalanan.

Satu sumber memberitahu, sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan telah diekori oleh dua suspek tersebut sebaik selesai berurusan di sebuah bank.

"Sebaik mangsa menghidupkan enjin kereta Perodua MyVi miliknya dan meletakkan beg di tempat duduk penumpang depan, salah seorang suspek telah mengetuk cermin pemandu dan menunjukkan wang dua keping not RM5 dan lima helai RM1 yang diletakkan di atas jalan.

"Mangsa yang menyangkakan wang tersebut miliknya yang terjatuh telah membuka pintu dan keluar untuk mengambilnya,'' katanya.

Menurut sumber itu lagi, dalam masa yang sama, seorang lagi rakan suspek bertindak membuka pintu penumpang depan dan melarikan beg tersebut tanpa disedari mangsa yang sedang leka mengambil not-not tersebut di atas jalan.

Sebaik menerima isyarat daripada rakannya yang berjaya melarikan beg itu, suspek tergesa-gesa meninggalkan mangsa yang termangu-mangu.

"Mangsa hanya menyedari dia diperdaya selepas masuk semula ke dalam keretanya dan ketika itu suspek telah menghilangkan diri,'' katanya sambil memberitahu mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Taipan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Buat maksiat depan masjid

Dataran Putrajaya tercemar dek kelakuan, nafsu pasangan bercinta


Pasangan ini tidak mempedulikan langsung orang ramai. Mereka berpeluk-pelukan dekat kawasan Masjid Putrajaya (kanan) yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong.


PUTRAJAYA - 'Rengekan' manja pasangan bercinta di kawasan rehat di celah-celah pokok di Dataran Putrajaya di sini rupa-rupanya lebih hebat daripada di taman bunga.

Aksi berpeluk, bercium, saling mengurut sambil bergelak ketawa seolah-olah menjadi senario biasa di kawasan rekreasi di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Setiap malam terutama pada cuti umum dan hujung minggu, 'kemeriahan' Dataran Putrajaya yang dibina bagi rekreasi keluarga itu tercemar kerana menjadi lokasi kegemaran pasangan bercinta.

Malah tinjauan Kosmo! Ahad juga mendapati banyak pasangan hangat bercinta tidak menghormati Masjid Putrajaya yang terletak tidak sampai 50 meter dari kawasan yang sama.

Ada yang bercanda di bawah cahaya lampu, tempat gelap dan di celah-celah pokok dan tidak kurang 'bersidai' menghadap tasik di Jambatan Seri Saujana.

Selain tidak peduli dengan kesucian rumah ibadah, pasangan yang datang ke situ juga tidak menghiraukan orang awam yang terdiri daripada warga emas dan keluarga yang beriadah.


KEPALA bertudung tidak menghalang gadis ini
membelai manja pasangannya
di Dataran Putrajaya malam tadi.


Menurut sumber yang enggan nama dan gambarnya disiarkan, kehadiran pasangan bercinta di situ bukan sahaja memalukan tetapi juga 'menyakitkan mata'.

"Mereka ingat ini Itali ke? Terlalu ramai pasangan bercinta di sini, bukanlah kata tak boleh datang lepak di sini tapi sekurang-kurangnya tahu batasan.

"Sekiranya mereka pasangan yang sudah berkahwin, mereka tidak akan datang berpeleseran di sini," kata seorang pengunjung enggan dikenali.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bebas tapi bersyarat


SEBAHAGIAN warga Bangladesh yang mengambil angin selepas dikurung di sebuah rumah kedai di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya semalam.



KERATAN Kosmo! 12 februari.


PETALING JAYA – Ibarat bebas daripada penjara. Itulah perasaan sekumpulan warga Bangladesh yang bebas semula semalam selepas dikurung di sebuah rumah kedai di Sri Damansara di sini.

Tinjauan Kosmo! Ahad ke kawasan tersebut mendapati mereka kini dibenarkan keluar dari rumah terbabit untuk membeli barangan keperluan atau sekadar melepak di luar.

Bagaimanapun, mereka diwajibkan mengisi buku rekod keluar masuk yang diuruskan oleh seorang lelaki yang bertindak sebagai pengawal keselamatan yang dilantik oleh agensi yang membawa masuk warga Bangladesh itu.

Salah seorang pekerja tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Karim memberitahu, hanya 10 orang dibenarkan keluar pada satu-satu masa.

“Tak boleh keluar semua, pintu masih lagi berkunci yang dipegang oleh jaga yang juga orang Bangladesh.

“Kami semua rasa baru lepas daripada penjara sahaja. Sudahlah tidak ada kerja, perasaan kami semua di sini sangat tertekan,” katanya ketika ditemui semalam.

Kebenaran untuk keluar dipercayai ada kaitan dengan lawatan mengejut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah kelmarin setelah Kosmo! melaporkan tentang nasib 140 warga Bangladesh yang ‘disumbat dan dilambakkan’ di sebuah rumah kedai di Bandar Sri Damansara tanpa sebarang pembelaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Servis minuman percuma - Petronas

Jika berkunjung ke stesen Petronas terpilih, jangan terkejut jika anda didekati stafnya yang memberikan minuman percuma.


PELANGGAN diberi minuman peel fresh epal oleh seorang kakitangan di stesen Petronas Seksyen 27, Shah Alam.


MENGHANTAR seorang rakan ke tempat kerjanya di Putra Height, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, memaksa penulis singgah di sebuah stesen Petronas Seksyen 27 untuk mengisi petrol kereta yang kekeringan.

Berjalan menuju ke kaunter pembayaran tiba-tiba seorang lelaki berbaju-T berwarna kuning sambil menggalas sebuah tong beg air menyapa mesra. Lelaki itu kemudian menghulurkan secawan air.




"Minum bang, air peel fresh epal percuma daripada Petronas," ujar staf stesen itu dengan sekuntum senyuman melihat penulis sedikit terkejut.

Selesai mengisi petrol, tertarik dengan perkhidmatan berbeza di stesen tersebut, tidak salah kalau cuba membuat tugasan mengejut di situ.

Seorang kakitangan di dalam Kedai Mesra stesen tersebut memperkenalkan majikannya, Faridah Daud yang kebetulan ada pada hari tersebut.

Tidak keberatan berkongsi cerita, ujar pengusaha stesen Petronas Seksyen 27, Shah Alam itu, perkhidmatan air minuman peel fresh secara percuma kepada pelanggan di stesen Petronas masih baru dalam proses pengenalan.

"Ia satu produk baru yang masih dalam percubaan lagi yang diusahakan Petronas. Oleh kerana masih baru, perkhidmatan tersebut dibuat secara bergilir-gilir selama beberapa hari dari sebuah stesen ke sebuah stesen Petronas di sekitar Lembah Klang," katanya yang mengakui perkhidmatan tersebut diperkenalkan sejak sebulan lalu.

Pemberian minuman percuma itu katanya, dilakukan pada waktu puncak terutamanya tengah hari. "Selain satu penghargaan kepada pelanggan yang membeli minyak, ia dapat menghilangkan dahaga pada waktu tengah hari," kata wanita itu lagi.

Mengakui perkhidmatan seperti minuman air percuma pernah dibuat oleh Petronas seperti promosi minum air kopi pada musim perayaan, jelas Faridah, waktu promosi itu selain dijalankan pada musim tertentu sahaja, pelanggan juga perlu ke kaunter untuk mendapatkan minuman.

"Kali ini kakitangan yang bertugas akan pergi kepada pelanggan untuk memberikan minuman.




"Ia adalah satu usaha untuk meningkatkan lagi budaya mesra pelanggan yang menjadi amalan di sini dan membezakan stesen Petronas dengan stesen-stesen lain," jelas beliau.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui tengah hari itu juga memberitahu, mereka gembira dengan perkhidmatan tambahan di stesen berkenaan.

Kakitangan Proton Shah Alam, Azizul Mohd. Dalil, 32, memberitahu, perkhidmatan pengenalan itu sesuai pada masanya untuk menghargai pelanggan.




"Pada waktu sekarang harga barang yang semakin mahal, Petronas memperkenalkan servis yang mampu menjimatkan duit poket pelanggannya.

"Baguslah, saya harap sangat ia dapat diteruskan," katanya.

Pembantu Tadbir di Universiti Malaya (UM), Siti Nurhana Samsuddin, 21, memberitahu, beliau pada mulanya sedikit terkejut kerana tiba-tiba ada kakitangan stesen yang memberikan minuman secara percuma di situ.

"Oleh kerana kampung saya di Ipoh, Perak jadi saya biasa menikmati air kopi percuma di stesen Petronas ketika pulang ke kampung.

"Namun, ini kali pertama saya dapat dapat servis seperti itu di stesen minyak, waktu tengah hari pula tu dan air jus epal.

"Saya puji perkhidmatan ini kerana selain satu bentuk penghargaan kepada pelanggan, dapat juga menghilangkan dahaga kerana cuaca panas," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0212&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

Lelaki terkecil dunia gembira


PINGPING berdiri di hadapan patung lelaki tertinggi dunia
di muzium Guinness World Records di Tokyo semalam.


TOKYO - Lelaki terkecil dunia, He Pingping dari Inner Mongolia berasa gembira walaupun ketinggiannya hanya 74.1 sentimeter dan berat tujuh kilogram.

Pingping yang diiktiraf oleh Guinness World Records pada tahun lalu menyatakan saiznya yang kecil memudahkan dia melalui ruang sempit termasuk memakan makanan dalam jumlah yang amat kecil.

Dia yang merupakan rakyat China dilahirkan dengan penyakit pertumbuhan tulang terbantut.

Pingping menjelaskan, satu nugget ayam mencukupi untuk mengisi perutnya selama satu hari walaupun dia mampu makan semangkuk mi sup apabila berasa terlalu lapar.

Walaupun kecil, dia yang tinggal bersama saudara perempuannya menghisap sebungkus rokok setiap hari tetapi dia cuba untuk mengurangnya kerana sedar kesan buruk terhadap kesihatan.

"Mimpi saya adalah untuk terus memegang rekod sebagai lelaki terkecil dunia," katanya di Tokyo semalam.

Lelaki tertinggi dunia, Bao Xishun turut berasal dari Inner Mongolia dengan ketinggian 2.36 meter dan berkahwin pada 2007. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Budak 13 tahun jadi bapa


GAMBAR menunjukkan Patten (kanan) duduk
di sebelah Chantelle memangku anak mereka.


LONDON - Seorang budak lelaki berumur 13 tahun, Alfie Patten menjadi bapa apabila kekasihnya melahirkan anak perempuan empat hari lalu di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Kekasihnya, Chantelle Steadman yang berumur 15 tahun bersalin di Hospital Eastbourne, Timur Sussex dan anak mereka seberat 3.31 kilogram.

Menurut Patten, dia dan Chantelle memutuskan untuk tidak melakukan pengguguran selepas mengetahui berita kehamilannya.

Patten mempunyai ketinggian hanya 1.21 meter dan tubuhnya seperti seorang budak berumur lapan tahun.

"Saya tidak pernah berfikir mengenai cara kami mahu membesarkan anak kami.

"Saya tidak mempunyai wang poket. Kadang-kadang bapa saya memberikan saya £10 (RM52.49)," katanya.

Patten menjalin hubungan seks ketika berumur 12 tahun tanpa memakai kondom dan mengetahui kekasihnya hamil ketika usia kandungan adalah 12 minggu.

Berita kehamilan itu terbongkar enam minggu kemudian apabila ibu Chantelle, Penny, 38, mengesyaki sesuatu selepas melihat tubuh anaknya berisi.

Pasangan kekasih itu akan membesarkan anak mereka dengan bantuan ibu dan bapa Chantelle.

Ibu Chantelle berkata: "Kami sudah mempunyai lima anak dan ia merupakan satu tanggungjawab kewangan besar.

"Namun, kami merupakan sebuah keluarga dan kami akan meneruskan kehidupan."

Sebelum ini, bapa termuda di Britain ialah Sean Stewart yang berumur 12 tahun. Dia mendapat anak selepas dia melakukan hubungan seks dengan Emma Webster berumur 15 tahun di Sharnbrook, Bedford pada 1998. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Angin kencang landa New York - Tiga maut, beberapa buah rumah terbakar


ANGGOTA-ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran 12 buah rumah di Woodhaven, Queens kelmarin.


NEW YORK - Angin kencang mewujudkan suasana huru-hara di kawasan perumahan Queens di sini sehingga mencetuskan kebakaran yang memusnahkan beberapa buah rumah, lapor sebuah akhbar semalam.

Angin selaju 96 kilometer sejam itu menyebabkan pokok tumbang manakala debu berterbangan dari beberapa buah kawasan pembinaan kelmarin.

Seorang penduduk Pulau Staten, Robert McGee, 59, mati setelah ditimpa dinding konkrit setinggi 18 meter.

Dua orang wanita turut terbunuh akibat ditimpa dahan pokok tumbang di New Jersey.

Angin turut menyebabkan kebakaran yang menjilat 12 rumah di Woodhaven sehingga memaksa penduduk setempat tinggal sehelai sepinggang.

Pihak polis percaya kebakaran itu adalah akibat puntung rokok yang bermula pada pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan.

Seramai 170 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di 96th Street, Atlantic Avenue sebelum ia dapat dikawal dalam tempoh sejam.

Philip Cueva yang sedang memandu apabila dia melihat asap keluar dari blok apartmennya di 96th Street, Atlantic Avenue.

"Terdapat banyak asap. Apabila saya tiba, semua orang keluar. Pertama kali ayat yang keluar daripada mulut saya adalah syukur, anak saya selamat," katanya.

Seramai dua anggota bomba cedera manakala dua orang awam mengalami cedera ringan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Lagi calon kabinet Obama tarik diri

WASHINGTON - Kredibiliti Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sekali lagi tercalar berikutan seorang calon anggota kabinet beliau, Senator Republikan, Judd Gregg menarik diri daripada dipertimbangkan menjadi Setiausaha Perdagangan kelmarin.

Gregg memberikan alasan perbezaan dasar antara beliau dan Obama sebagai punca berbuat demikian.

Selepas tiga minggu menerajui AS, Obama masih belum melengkapkan senarai 15 anggota Kabinet beliau.

Setakat ini, Dewan Senat sudah meluluskan sesetengah pencalonan beliau termasuk Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara manakala beberapa pencalonan lain masih berdepan masalah.

Gregg merupakan calon kedua Obama untuk jawatan tersebut selepas Gabenor New Mexico, Bill Richardson menarik diri ekoran konflik undang-undang.

Obama mengambil masa hampir sebulan sebelum memilih Gregg, seorang peguam dan perunding berpengalaman.

Selain Gregg, seorang lagi calon pilihan Obama, Nancy Killefer untuk jawatan memantau bajet turut menarik diri. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Harga minyak New York AS$34.26 setong


LONDON - Harga minyak mentah ditutup rendah melepasi paras AS$34 setong (RM122.55) di New York semalam berikutan sentimen negatif pelabur berhubung pengumuman simpanan stok minyak besar-besaran oleh Amerika Syarikat (AS).

Kontrak hadapan minyak mentah New York bagi penghantaran Mac menokok 28 sen (RM1) kepada AS$34.26 (RM123.50) setong selepas ia dibimbangi mencecah AS$32.20 (RM116) iaitu paras terendah dalam tempoh lima tahun seperti yang berlaku pada 18 Disember tahun lalu.

Sementara itu, minyak mentah Laut Utara Brent bagi penghantaran April jatuh lapan sen untuk ditutup pada AS$45.95 (RM165.61) setong di London semalam manakala kontrak Mac minyak itu berakhir kelmarin.

Harga rendah itu berikutan krisis ekonomi global yang mengurangkan permintaan selepas harga minyak Brent dan New York mencatat rekod tertinggi melebihi AS$147 (RM530) Julai lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Kemelut politik Israel

Kemelut politik Israel



NETANYAHU (tengah) tiba bagi menghadiri mesyuarat dengan Ahli-Ahli Parlimen di Baitulmaqdis semalam.


BAITULMAQDIS - Dua buah parti politik Israel yang berbeza ideologi mungkin menubuhkan kerajaan campuran setelah Menteri Luar, Tzipi Livni menang tipis dalam pilihan raya, kata penganalisis politik semalam.

Perkongsian kuasa adalah sesuatu yang jarang berlaku di Israel tetapi ia dilihat dapat menyelesaikan masalah politik semasa.

Keputusan penuh pilihan raya diumumkan kelmarin selepas kiraan undi tentera dan banduan menunjukkan tidak ada perubahan.

Livni yang memimpin Parti Kadima memenangi 28 kerusi manakala bekas Perdana Menteri, Netanyahu yang memimpin Parti Likud memperoleh 27 kerusi.

Sebanyak 10 kerusi lagi dimenangi oleh parti-parti kecil termasuk Parti Buruh yang diketuai Menteri Pertahanan, Ehud Barak.

Keputusan tipis ini menyebabkan Livni dan Netanyahu menunggu keputusan Presiden Shimon Peres untuk menamakan salah seorang daripada mereka sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun Peres hanya akan memilih Perdana Menteri baru bagi menggantikan Ehud Olmert dalam tempoh seminggu setelah keputusan rasmi pilihan raya digazet pada Rabu ini.

Livni secara terbuka menjemput Netanyahu untuk menyertai kerajaannya pada tahun lalu tetapi pelawaan itu ditolak kerana beliau mahu menjadi Perdana Menteri.

Sebuah akhbar berpengaruh, Maariv melaporkan rundingan antara Parti Likud, Parti Buruh dan Parti Kadima diadakan bagi menubuhkan kerajaan yang menguasai 68 kerusi daripada 120 Ahli Parlimen.

Kem Livni enggan mengulas laporan itu tetapi jurucakap Parti Likud menafikan spekulasi tersebut. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Nash mahu mahkamah sabitkan Sosilawati sebagai derhaka


NASH



SOSILAWATI


KUALA LUMPUR - Bekas vokalis kumpulan Lefthanded, Nash memohon supaya Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini mensabitkan isterinya, usahawan produk kecantikan, Sosilawati Lawiya sebagai nusyuz (derhaka).

Permohonan Nash atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, 50, itu terkandung dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang difailkan menerusi peguam syarie, Amli Embong di mahkamah semalam.

Terdahulu, Amli mengatakan pihaknya selaku defendan tiada bantahan untuk menetapkan tarikh bicara namun memohon plaintif untuk menjawab pembelaan.

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Sosilawati bagaimanapun memohon diberikan masa untuk meneliti terlebih dahulu dokumen tersebut sebelum memfailkan jawapan kepada pembelaan dan tuntutan balas Nash.

Sehubungan itu, hakim syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan perbicaraan kes tuntutan cerai taklid Sosilawati, 46, pada 8 April depan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

10 wanita nyaris jadi kurier dadah


MUHAMMAD SABTU menunjukkan barangan rampasan daripada tiga lelaki Afrika di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita tempatan yang dalam proses tawar menawar bayaran bagi menjadi kurier kepada satu sindiket dadah antarabangsa diselamatkan polis.

Ia ekoran penahanan tiga lelaki Afrika di Plaza Tol Lebuh raya Pantai Baru (NPE) menghala ke Pantai Dalam di sini kelmarin.

Polis percaya tiga lelaki rakyat asing itu dikatakan berada di ibu negara bagi mencari wanita yang sanggup menjadi kurier kepada sindiket mereka.

Difahamkan sekurang-kurangnya 10 wanita tempatan sedang berinteraksi dengan tiga lelaki asing itu untuk menjadi kurier dadah kerana teruja dengan upah lumayan.

Wanita-wanita yang nyaris menjadi mangsa kepada sindiket itu berasal dari ibu negara dan berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an.

Sindiket didalangi seorang pelajar Mozambique jurusan Kejuruteraan Elektrikal di sebuah kolej swasta di sini ditahan semasa dia menaiki sebuah teksi menghala ke Stesen KL Sentral pukul 4.20 petang.

Ketika ditahan, dalang berusia 34 tahun itu bersama seorang lagi rakannya yang merupakan pelajar Nigeria jurusan Pengurusan Perniagaan di kolej sama berusia 24 tahun membawa dua buah beg pakaian tanpa diisi barang.

Polis yang memeriksa kedua-dua buah beg tersebut pada mulanya tidak menemui apa-apa sehinggalah kedua-dua beg tersebut dikoyak dan polis menemui dadah jenis heroin tulen seberat tiga kilogram.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Zul 'Raja Penipu' kelentong anak buah sendiri


KERATAN Kosmo! semalam.


KUALA LUMPUR - Bukan sahaja rakan atau jiran yang menjadi mangsa Zul malah anggota keluarganya turut ditipu dengan alasan untuk meminjam wang bagi menjalankan pelbagai jenis projek.

Malah, salah seorang anak saudaranya, Amir juga menjadi sasaran Zul sehingga dia mendakwa rugi hampir RM30,000 termasuk wang yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan.

Menurut Amir, setelah lima bulan pinjaman itu dibuat, bapa saudaranya itu tidak membayar walau sesen pun sehingga menyebabkan dia terpaksa mencari pendapatan tambahan bagi menampung kos perkahwinannya hujung tahun ini.

"Saya memang memerlukan duit itu untuk perkahwinan saya... sekarang saya sudah kesempitan dan pening kepala hendak mencari duit ganti.

"Bila ini berlaku saya jadi malu dengan tunang dan keluarganya tetapi nasib baik mereka sangat memahami," katanya di sini semalam.

Bercerita mengenai pinjaman kepada bapa saudaranya, Amir memberitahu, ia dibuat atas dasar ingin membantu bapa saudaranya itu dalam satu projek baik pulih pencawang elektrik.

"Kali pertama saya bagi RM15,000 dan selebihnya untuk projek kedua pula sehingga jumlahnya kira-kira RM30,000.

"Namun apa yang pelik saya begitu mudah beri dia pinjam. Lagipun dia (Zul) bapa saudara saya, tak sangka pula dia tergamak menipu," ujarnya yang akhirnya turut membuat laporan polis mengenai kes itu di Balai Polis Kajang baru-baru ini.

Malah, menurut Amir, paling mengejutkan apabila Zul memintanya meminjam daripada ah long untuk membantunya dalam beberapa projek.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...